Tuesday, December 30, 2014

Cerita Syada...

Perasaan terus jadi tak keruan sebaik mendapat tahu salah seorang anak saudara aku, Syada terperangkap oleh suasana banjir Kelantan. Tidak ada kata-kata yang terucap dari bibir saat mendapat tahu tentang itu.

Memikirkan tentang dirinya seorang remaja yang baru berusia 19 tahun... perempuan... jauh dan bersendirian menghadapi kesukaran yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Bagimanalah keadaan Syada agaknya... itulah yang terbayang dalam kotak fikirkan aku saat itu.

Namun syukurlah, Syada sudahpun selamat sampai ke pangkuan kami semalam.

Apapun banjir yang berlaku di Pantai Timur ketika ini, khususnya Kelantan sedikit sebanyak meninggalkan kesan dan kenangan juga pada seluruh keluarga aku. Terutamanya pada Syada pelajar tahun pertama di UMK, kampus Jeli Kelantan.

Walaupun kampus UMK, Jeli Kelantan tidak terlibat dengan banjir tetapi hubungan dengan tempat lain telah terputus dan bekalan makanan telah kehabisan. Bagaimana Syada menceritakan saat-saat cemas dan pengalaman menghadapi situasi yang menakutkan itu.

Menurut Syada tiga hari dia dan rakan-rakannya tinggal di kolej dan kehabisan makanan. Yang ada cuma sekeping biskut yang di kongsi dengan beberapa orang rakan untuk mengalas perut. Elektrik pulak terputus dan talipon kehabisan bateri. Mereka duduk bergelap dan berkumpul dalam satu bilik.

Selama tiga hari itulah kami semua di Kuala Lumpur tidak mendapat sebarang khabar dari Syada. Bayangkanlah bagaimana perasaan kami semua di KL. Sehinggalah pada petang Ahad lepas, Syada membuat panggilan dan memberitahu dia dan rakan-rakannya telah selamat sampai di Kuala Terengganu dan sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke KL.

Dari cerita Syada, (aku pun tak pernah lagi ke Jeli, lebih-lebih lagi kampus UMK) kerana kelaparan dia dan rakan-rakannya nekad keluar dari kolej dan meminta bantuan dari penduduk kampung. Adalah sorang penduduk kampung yang sanggup membantu dan menawarkan lorinya untuk membawa mereka ke tempat yang ingin mereka tuju.

Tetapi ketika dipertengahan jalan, pemandu lori tiba-tiba mengubah fikiran dan memberhentikan lorinya... dan meminta RM50 ringgit setiap sorang jika mahu di hantarkan ke tempat yang selamat.

Kata Syada... kerana tiada pilihan lain dia dan rakan-rakannya terpaksalah membayar harga tersebut dan minta di hantarkan ke tempat yang boleh mereka mendapatkan bantuan. Dari tempat tersebut Syada dan rakan-rakannya menaiki trak tentera dan di hantar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Bayangkan jauhnya dari Jeli ke Kuala Terengganu.

Cerita Syada lagi... ketika tiba di Kuala Terengganu semua mesin ATM tidak berfungsi. Aku pun belum sempat bertanya padanya dari mana dia dan rakan-rakannya mendapat duit untuk membeli tiket kapal terbang... dan sebelum dapat pulang ke Kuala Lumpur Syada dan rakan-rakannya terpaksa bermalam semalam di Kuala Terengganu kerana penerbangan dengan Air Asia ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Tak tahu macam mana untuk menggambarkan perasaan kami saat menunggu kepulangan Syada di rumah kerana di waktu yang sama kita semua mendapat berita tentang kehilangan pesawat QZ8501 juga di sebabkan cuaca yang kurang baik di perairan Laut Jawa. Ini juga membuat kami semua risau memikirkan tentang keselamatannya.

Apapun kini kami semua sudah merasa lega... Syada dah selamat sampai di Kuala Lumpur pukul 1 pagi semalam. Kurang sihat dan demam. Mungkin trauma dengan suasana yang di laluinya. Dari kecil dia dibesarkan dan di sekolahkan dalam suasana selesa di KL. Tidak pernah menghadapi suasana banjir dan mencemaskan ini. Pengalaman yang di laluinya ini sedikit sebanyak memberi pengajaran padanya untuk mendepani hari-hari mendatang bila kami semua sudah tiada lagi nanti.

(nota mak: Syada ni panggil aku mak jugak. Masa bayinya dulu, mak dia (adik aku yang no. 4) pernah tinggalkan Syada dengan aku. Teringat lagi dia menangis kepanasan dan aku kipas dengan tudung periuk kerana bekalan elektrik terputus pada hari itu. Tetiba tudung periuk tu ‘terkena’ kepalanya. Apa lagi melalak bagai nak rak satu rumah!

Ketika Lembah Klang menghadapi putus bekalan air pada tahun 1998, aku ingat lagi dia menangis nak makan nasi. Teringat lagi rintihannya, "dah berapa hari 'nye' tak makan nasi". (Syada membahasakan dirinya "nye" bila bercakap dengan kami). Waktu itu umur dia 3 tahun. Apa yang aku buat, aku bawak seperiuk kecil beras ke Sungai Kemensah Hulu Klang dan cuci beras tu di sungai kemudian bila sampai di rumah aku bilas semula dengan air mineral. Hari itu dapatlah dia makan nasi yang cuma berlaukkan telur dadar.)

Thursday, December 25, 2014

Misteri chiffon berbau plastik...

Chiffon coklat yang membongkar misteri chiffon 
pandan berbau dan rasa plastik.

Akhirnya misteri terbongkar juga. Kerana tak puas hati dengan apa yang terjadi pada chiffon pandan aku tempoh hari, semalam sempena cuti krismas, aku buat sebiji lagi chiffon.

Sebab aku syak jus pandan tu yang bawa masalah kali ini aku buat chiffon coklat. Tapi dalam hati was-was juga. Ketika memecahkan telur untuk mengasingkan putih dan kuningnya... aku hidu-hidu juga bau telur tu. Tapi ok saja dan tak ada apa-apa bau yang kurang menyenangkan pun.

Lepas adunan kuning telur dan gula kembang aku masukkan tepung dan bancuhan coklat. Ketika menyukat minyak untuk di masukkan ke dalam adunan entah macam mana aku tetiba tercium bau minyak tu macam bau plastik... Macam bau chiffon pandan tu.  Tak jadi aku guna minyak tu dan tukar minyak lain.

Inilah minyak yang buat kek chiffon pandan aku jadi rasa 
dan bau plastik. Sebab aku letakkan botolnya tu atas peti ais.

Minyak tu aku beli dah lama juga. Tapi masih belum expired lagi. Mungkin bau dan rasanya bertukar sebab aku letakkan botolnya atas peti ais. Peti ais kan panas, mungkin itulah yang menyebabkan rasa dan bau plastik bekas minyak tu timbul.

Ketika sedang dalam oven, satu rumah semerbak bau kek. Sedap dan lemak-lemak manis baunya.  Chiffon ni aku suka sebab ia lembut dan pada perasan aku rasanya macam kuih bahulu.

Bila di kenang-kenangkan balik, sayangnya sekotak tepung superfine dan sebotol jus pandan tu aku buangkan ke dalam tong sampah.

Monday, December 22, 2014

Tolonglah siasat...

Akhirnya jadi makanan tong sampah.

Jumaat lepas aku buat Chiffon Pandan. Cantik naiknya... gebu dan warna hijaunya pun menarik. Tapi baunya tak seperti selalu... Perasan aku macam bau plastik.

Selalunya kalau buat masa tengah mengadun lagi dah terbau wangi pandannya. Apa lagi ketika dalam oven. Semerbak satu rumah bau lemak-lemak telur dan pandan.

Sebaik keluarkan dari oven, macam biasa aku telangkupkan dulu kek tu dan biarkan sejuk. Lepas tu baru keluarkan dari acuan dan potong. Eeeee! rasanya pun tak sesedap selalu. Puas aku fikirkan... Entah mana silapnya.. Apa yang tak kena dengan kek tu. Resepinya sama saja dengan yang selalu aku buat.

Aku fikir mungkin berpunca dari tepung. Aku check balik bahan-bahan yang aku guna. Kot-kot dah ada yang expired. Ok je semuanya masih lagi dalam tempoh penggunaan.

Aku try buat lagi sebiji. Aku tak guna tepung yang sedia ada sebaliknya beli tepung dan cream tartar yang baru. Pun sama, bau dan rasanya sama dengan kek yang mula-mula aku buat. Kerana geram aku humbankan semua kek tu ke dalam tong sampah. Hari tu buat dua biji kek semata-mata untuk di buang. Sampai sekarang aku masih lagi tertanya-tanya sendiri... apa yang tak kena.

(nota mak: Aku guna telur jenama A1 king saiz, air daun pandan yang aku blend sendiri. Tapi masa aku petik daun pandan, baunya pun tak wangi. Mungkinkah puncanya dari daun pandan tu atau telur tu telur palsu. Ai! detektif Conan... tolonglah siasat.)

Wednesday, December 10, 2014

Abang seronok sebab kembar tu....

Dah lama tak pegang, peluk dan belai-belai baby. Pada aku satu nikmat dan sesuatu yang sukar di ucapkan dengan kata-kata. Geram, sayang bercampur baur. Kulit mereka lembut dan halus sangat.

Sebulan yang lepas adik ipar aku lahirkan bayi perempuan kembar. Dan sekarang dia sedang berpantang di rumah kakak aku. Setiap hari balik kerja aku akan singgah di rumah kakak dan main-main dengan si kembar tu. Mula-mula lahir dan tengok mereka agak susah juga nak bezakan yang mana kakak dan yang mana adik. Tapi bila ditengok betul-betul ada juga bezanya. Dan aku sudah boleh kenal yang mana satu kakak dan yang mana satu adik sekarang.

Anak-anak aku terutamanya abang teruja sangat sebaik mendengar tentang kelahiran adik saudara kembarnya ni. Bila aku hantarkan gambar sikembar tu pada dia:


Abang: Ambik dua ni himpit-himpit letak dalam bakul. 

Aku: Cam anak kucingla...

Abang: Apa namanya?

Aku: Alya dan Alyah. Mak yang letak nama.

Semalam masa bercakap dengan abang di talipon, dia cakap dia geram tengok wajah adik-adik saudaranya tu. Tak sabar nak balik dan jumpa keduanya.

Aku: Tapi bila abang balik nanti, kedua-duanya dah besar. Dah umur setahun
waktu tu.

Abang: Tak pa, abang seronok sebab kembar tu.


Kesian dengan adik ipar aku tu bila kedua-duanya jaga serentak dan nak menyusu. 
Semalam aku belikan breastpump ni dengan kawan satu pejabat. Kawan tu ada dua breastpump dan dia jualkan satu pada aku bila aku cerita masalah adik ipar aku tu. Dia jual separuh harga, oraitlah kan!

Monday, December 1, 2014

Perkongsian berguna...


Aku cuma tolong sebarkan saja. Artikel ini aku dapat dari FB sorang kawan.Tentang lapan surah yang elok diamalkan dan dibaca untuk memusnahkan sel-sel kanser. Jika pesakit dapat membacanya lagi baik. Jika tidak boleh minta suami, ayah, ibu atau orang lain membacakan untuknya.

Selok-eloknya sebelum memulakan bacaan surah Istighfar, salawat dan membaca surah Al-Fatihah.
1. Surah Al Maidah (Ayat 82-91).
2. Surah Al Araf (Ayat 70-81).
3. Surah Ar Ra'd (Ayat 16-28).
4. Surah Al Anbiyaa' (Ayat 38-50).
5. Surah Asy Syu'ara (Ayat 185-227).
6. Surah Az Zummar (Ayat 42-52).
7. Surah Ghafir (Ayat 67-77).
8. Surah Az Zukhruf (Ayat 52-70).

Thursday, November 27, 2014

Berzikir pada 23 Nov...

Bukan main khusyuk lagi remaja-remaja tu mendengar 
alunan suara kumpulan al-Mawlid.

Tak ada apa yang istimewa pun 23 Nov tu... Cuma pada tarikh itu aku bersama dengan rakan-rakan sepejabat mengiringi 230 pelajar dari seluruh negara mengikuti kem motivasi di Kem Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Bermacam-macam aktiviti di lakukan sepanjang empat hari tiga malam tu... Di luar dan di dalam dewan. Berkayak, selam scuba, pinball, bersenam robik dan banyak lagi. Aku terlupa nak menwar-warkan pada rakan-rakan blogger yang ada anak-anak berumur antara 13 dan 16 tahun supaya menyertai kem ni.

Ikon-ikon dalam bidang sukan juga di jemput untuk memberikan dan menceritakan pengalaman mereka juga termasuk penyanyi Najwa Latiff. Secara jujurnya aku setuju Najwa Latiff ni dijadikan ikon remaja.Segalanya hampir sempurna. Pelajar universiti dalam bidang TESL, lemah lembut tutur bahasanya. Cara berpakaiannya sopan dan memiliki karier sebagai penyanyi. Malam itu sebelum dia memulakan persembahan Najwa menumpang solat dulu di bilik aku... jadi sempatlah aku berbual-bual dengan dia sekejap.

Kebetulan pada malam kedua kumpulan nasyid al-Mawlid di jemput untuk memberi ceramah berbentuk kerohanian. Malam itu selama 2 jam seluruh peserta di hiburkan dengan lagu-lagu nasyid dan berzikir. Aku suka sangat sebab malam itu... 23 Nov itu adalah tarikh hari lahir aku. Secara tak langsung aku berzikir dan berdoa di malam 23 Nov bersama anak-anak remaja yang menyertai kem tersebut.

Tuesday, November 18, 2014

Moga sukses...

Comel je aku tengok Ojet dalam pakaian Hanbok dan
fridge magnet comel... souviner yang dibelikannya untuk aku.

Ojet dah balik dari Korea dua minggu lepas. Seperti biasa... ada kesempatan aku pasti pergi menemuinya. Kerana hujan lebat petang tu aku tak tunggu Ojet di airport sebaliknya aku ke tempat dia bermalam di UiTM Puncak Perdana sebelum berangkat balik ke Arau pada keesokkan harinya.

Dia nampak seronok dan tak sabar-sabar nak bercerita tentang pengalamannya sepanjang lawatan di Korea. Dan malam tu Ojet tak tidur di Puncak Perdana sebaliknya ikut aku balik ke rumah. Lambat kami tidur malam tu sebab mendengar ceritanya. Esoknya pagi-pagi aku hantar dia balik semula ke Puncak Perdana untuk menaiki bas universiti yang membawa dia dan rakan-rakannya balik semula ke Arau.

Sekarang ni Ojet dalam semester lima tahun akhir pengajiannya. Tinggal sebulan lebih saja lagi nak habis. Lepas tu Ojet akan buat praktikal selama 3 bulan. Ada beberapa tempat dia hantar surat permohonan untuk praktikal. Aku paling berharap dia dapat tempat atau syarikat-syarikat yang berhampiran dengan rumah yang ada kemudahan laluan LRT.


..........................................


Abang: Abang dah beli blazer dengan seluar baru untuk grad nanti. Beli tu sebab minggu depan ada presentation project so kena pakai formal. Colour grey. Tie color pink. Satu set dengan baju sekali dalam 150 pound. Beli dekat Marks and Spencer. Tempat lain mahal. Situ je murah.

Aku: Kawal je berat badan jangan naik lagi... nanti tak muat pulak... lambat lagi grad. Mak doakan presentation abang tu dapat markah paling tinggi. InsyaAllah!

Abang: Kerja sebanyak-banyaknya tapi satu-satu dah siap. Ni last la ni. Lepas tu lama baru ada assignment balik. Nanti semua lecturer ada pastu diorang akan cari-cari salah kita, tu memang kerja diorang, so kena prepare betul-betul.

Aku: Dah nak buat macam mana... time kerja nanti lebih kurang macam tu juga.

Abang: Tak kisah pun lecturer nak tanya-tanya tu.

Aku: Ok! mak yakin abang boleh buat the bestnya...

Abang: Seluar baru beli ni labuh. Dah beli jarum nak jahit tapi malas pulak. Pin je bagi singkat.

Aku: Takda kedai boleh gi 'oter' ke. Cuba pi kat pasar. Kot-kot ada kedai yang boleh buat.

Abang: Malas la nak cari. Isnin ni je nak present. Dah dekat. Pin je senang. Nanti mak datang abang nak mintak mak tolong jahitkan.

(nota mak: Mak jugakkkk.... Doakku moga abang sukses dalam presentation projectnya. Try and be the best abang! Tak sabar rasanya aku ‘menanti kepulangan’ anak-anak. Menghadiri majlis konvokesyen dan melihat mereka melangkah ke alam pekerjaan.)

Thursday, November 13, 2014

Aku? Ok je....

Cruises perlahan-lahan rapat ke terminal...

Selama empat hari tiga malam berada di Laut Andaman, singgah di Phuket dan Krabi, Thailand... kemudian belayar kembali ke Malaysia. Akhirnya selamat berlabuh semula di Swettenham Pier, Penang tepat pukul 1 tengahari.

Sekadar bersantai-santai di atas kapal persiaran dan menikmati keindahan alam semulajadi di perairan Thailand. Sungguh besar dan nikmatnya ciptaan Allah, di atas permukaan laut yang luas.... tidak kelihatan tepinya tapi kita boleh menjelajah dan bersiar-siar di atasnya.

Letih jangan nak cerita walau cuma pergi bersiar-siar dan bercuti kononnya... tapi hati puas. Segala yang terbeban di benak fikiran sudah di campakkan ke laut luas. Telah di lambung ombak dan di bawa entah kemana. Adat orang balik berjalan... tentunya gembira lebih-lebih lagi percutian dan perjalanan di tanggung sepenuhnya oleh Sir Knight Daryl Breese Abdullah. 

Ada rezeki dan diizinkan Allah katanya ingin mengajak seluruh keluarga belayar ke Antartika pulak. InsyaAllah!

Wednesday, November 12, 2014

Dah begitu adatnya...

Kapten Cruises berbaju putih di hadapan kanan. Sementara
yang berbaju putih di hujung sana adalah jurutera cruises.

Malam ini semua orang berpakaian kemas, bersolek dan berdandan rapi. Seorang crew kapal menghubungi dan mengingatkan aku tentang majlis makan malam nanti. Ada dua seating sebenarnya majlis makan malam ini. Maksud aku penumpang di bahagikan kepada dua kumpulan.

Seating 1 majlis mereka di adakan di Spice Restaurant deck 9 jadi aku tidak tahu bagaimana suasananya. Seating 2 pula majlis makan malam mereka di Western Restoran deck 4. Aku di seating 2 dan majlis/makan malam aku di Western Restaurant.

Persembahan tarian rancak dari kumpulan Sensation.
Gambar ini saja aku boleh 'belanja' untuk rakan-rakan blogger
semua... yang lain biarlah jadi simpanan peribadi aku ya..

Sebelum majlis bermula kami semua di hiburkan dengan persembahan tarian dari kumpulan Sensation di pre-dinner cocktail yang bertempat di Stardust Lounge deck 5. Inilah malam ‘panas’ yang aku maksudkan. Seketika lampu di Stardust Lounge di padamkan dan sportlight di halakan ke arah seorang demi seorang penari yang keluar ke pentas. Persembahan tarian mereka sungguh rancak dalam kostum yang sungguh seksi.

Lepas satu demi satu tarian mereka persembahkan dan ada ketikanya mereka melompat ke bawah pentas dan menari di tepi meja tetamu. Gema muzik memenuhi seluruh dewan. Para tetamu bersorak dan bertepuk tangan. Sesekali penonton juga di tarik naik ke pentas.

Selesai persembahan kami semua masuk ke Western Restaurant untuk majlis makan malam. Kapten cruises telah bersedia menyambut kedatangan para ‘tetamunya’ Surprise untuk aku malam ini apabila aku, kakak, adik dan Daryl di iringi ke meja utama dan aku lihat nama-nama kami telah di letakkan di situ bersama kapten cruises.

Waiter dan waitress telah bersedia menanti kehadiran kami semua di situ dan menarikkan kerusi untuk kami duduk. Selain dari aku berempat ada sepasang anak muda yang telah sedia duduk di meja utama tersebut. Jadi untuk meja utama ada lapan orang yang duduk makan semeja termasuk kapten dan engineer kapal. Sebaik kami duduk kapten dan engineer kapal datang bersalaman dan memperkenalkan diri mereka.

Makan malam ini sungguh formal. Menunya adalah western dan ala-carte.  Di meja kami ada dua orang pelayan yang di tugaskan. Ketika pelayan datang dan menunjukkan sebotol minuman aku tergamam sekejap. Dan kapten kapal mengingatkan pelayan tersebut agar memastikan, minuman yang ingin di hidangkan itu tidak mengandungi alkohol. Ianya cuma sparkling.

Untuk pertama kalinya dalam hidup aku mengucapkan ‘cheers’ sambil mengangkat minuman dalam gelas berkaki. Terpaksalahkan... dah begitu adatnya.

Untuk permulaan kami di beri roti dan butter yang telah disediakan di atas meja. Kemudian aku memilih smoke salmon. Makanan yang kita makan bergantung pada menu yang kita pilih yang di letakkan atas meja. Selesai hidangan itu lagi sekali kami di beri roti dan pumpkin soup. Untuk penyudahnya kami di beri tart sebagai pencuci mulut.

Kami makan sambil berbual. Mulanya aku agak kekok makan tertib begitu. Tapi keramahan kapten menghapuskan rasa janggal. Sedang asyik makan... tiba-tiba lampu di suramkan. Muzik bergema... dan tiba-tiba saja aku lihat waiter dan waitress menari di segenap sudut restoran.

Semua orang bertepuk tangan mengikut rentak lagu... satu persatu crew kapal yang bertugas di restoran keluar dan di perkenalkan kepada kami semua termasuk chef yang menyediakan menu makanan malam pada hari itu. Orang Malaysia berbangsa Melayu.

Satu demi satu surprise di berikan oleh crew kapal pada kami malam itu.  Tiba-tiba saja sekumpulan pelayan restoran menghampiri meja di sebelah kami dan menyanyikan lagu “Happy Birthday”.. dan kami semua turut menyanyi sama. Sebaik lilin kek di tiup kedengaran pula meja di belakang kami di beri ucapan tahniah! Aku tak pasti mereka di raikan sebab apa.

Jurugambar cruises pula akan datang pada setiap meja ‘tetamu mereka’ dan mengambil gambar. Kami semua benar-benar diraikan seperti VIP dan superstar. Agaknya itulah sebabnya cruises ini di namakan Superstar Libra kot.

Adik dan suaminya Daryl pula di pilih sebagai pasangan paling romantik dalam pelayaran kali ini. Hadiahnya ‘sungguh’ surprise iaitu dua tiket untuk menonton persembahan tarian 18sx di Stardust Lounge (abang cakap "itu membuka minda, mak"). Tapi mereka tak pergi pun. Sungguhpun ipar aku ni omputih tapi dia amat menjaga imej dirinya. Statusnya sebagai Sir Knight dan adik sebagai Lady membuat keduanya berhati-hati ketika ber'sosial’ di khalayak.

Malam hallowen... Penumpang dan crew kapal
menari sakan. Ada juga yang cuma duduk-duduk
saja menjadi penonton.

Hantu-hantu menari dan berjalan mengeliling
kolam renang di deck 9.

Usai saja majlis makan kebanyakan penumpang cruises naik ke deck 9 dan sundeck. Kali ini crew-crew kapal berpakaian aneh dan wajah mereka di solek seram. Parti hallowen dan menari lagi. Semua crew kapal terlibat dan mengambil bahagian. Bermain muzik, menari dan menyanyi. Sampaikan bahagian pembersihan (cleaner) juga hebat menari.

Makanan dan minuman turut di sediakan.  Ketika seluruh orang menari aku rasa seolah-olah cruises bergegar. Muzik bergema kuat di deck 9 dan rancak. Rasanya kapal-kapal nelayan yang berada di Laut Andaman mendengarnya. Waktu ini cruises telah bergerak laju balik ke M’sia. Dan pesta hallowen berakhir pada pukul 12 tengah malam.

Monday, November 10, 2014

Adik menangis di Pantai Ao nang...

Bot-bot menunggu pelancong yang ingin 
ke pulau-pulau sekitar Krabi untuk melakukan aktiviti 
menyelam dan snorkeling.

Cantik hiasan taman di jalan masuk menuju 
ke Princeville Resort & Spa di pantai Ao nang ni. Teringin 
pulak aku menirunya untuk dekorasi taman 
sekangkang kera kat rumah.

Terlalu singkat masa yang diperuntukkan untuk ‘merayau-rayau’ di Krabi. Setiap penumpang telah di ingatkan agar kembali semula ke cruises pada jam lima petang waktu Malaysia (waktu Thailand cepat sejam dari M’sia). Dan last bot dari jeti ke cruises pada pukul 5.30 petang. Semua di ingatkan agar kembali segera ke cruises kerana majlis cocktail bermula pada pukul 6.15 petang.

Hampalah harapan aku untuk ke Phi Phi Island dan bersnorkeling walaupun aku dah bawa semua peralatan dan baju renang. Kerana shopping bukanlah keutamaan aku dalam percutian ini jadi aku cuma duduk bersendirian saja di bawah pokok-pokok yang merimbun di sepanjang pantai Aonang. Memerhatikan pelancong-pelancong yang berbagai bangsa berjalan di pasir pantai dan bot-bot yang silih berganti... datang dan pergi, menurunkan dan mengambil penumpang/pelancong yang ingin ke pulau sekitar untuk melakukan aktiviti menyelam, snorkeling dan bersiar-siar di atas bot sambil menikmati keindahan alam semulajadinya.

Aku khayal dan leka seketika di buai angin Laut Andaman di pantai Aonang. Sehingga adik datang dan menangis... suaminya Daryl hilang tanpa dapat di kesan dan dihubungi dengan talipon. Kami berdua panik sekejap dan hilang punca di mana mahu mencari Daryl. Aku tinggalkan kakak yang tak larat lagi berjalan di pondok polis berhampiran dan aku dengan adik berjalan mundar mandir dan menjenguk setiap kedai dan pusat urut sepanjang pantai mencari Daryl.

Hampir sejam aku dan adik ke hulu ke hilir. Apa yang kami takutkan Daryl di tarik maknyah Thailand dan di bawa masuk ke bilik hotel. Aku cuma sabarkan adik walaupun aku  panik jugak. Tak tahu kemana nak mengadu. Kemudian dari satu selekoh deretan kedai-kedai di pantai Aonang aku dan adik nampak Daryl keluar sambil tersenyum dan menjinjit sehelai sut. Rupanya dia pergi menempah baju untuk di pakai dinner malam nanti. Murah dan potongannya pun kemas.

Kerana 'kehilangan' Daryl  lunch kami agak lambat. Waktu itu sudah pukul 3 petang. Perut memang dah memainkan lagu keroncong yang hebat ketika kami masuk ke sebuah kedai makan dan memesan makanan. Tapi nasib baik adik cepat perasan... kedai tu tak halal dan ada menjual babi. Kami batalkan semua pesanan. Pekedai makanan tu ok saja bila kami batalkan pesanan apabila mereka tahu kami semua muslim dan tunjukkan satu kedai dimana menjual makanan halal. Pesan ku pada rakan-rakan blogger yang akan berkunjung ke Krabi... hati-hati bila masuk ke kedai makan kerana nama bukan melambangkan Islam dan halal. Sebabnya, kedai yang kami masuk itu namanya restoran Siti.

Habis saja makan... teksi telah sedia menunggu. Kami berempat kembali semula ke jeti untuk menaiki bot yang akan menghantar semua pulang semula ke cruises yang berlabuh di tengah laut dan bersiap-siap untuk cocktail dan Gala Dinner.

(nota mak: Gala Dinner kemuncak segalanya dalam pelayaran ini dan ada macam-macam surprise!)

- bersambung.

Sunday, November 9, 2014

Jemputan dari Kapten Cruise...

Cuaca yang panas di Phuket, buat aku, adik, kakak dan Daryl tak lama di daratan. Selepas melawat tempat memproses kacang gajus dan membeli belah kami kembali semula ke kapal.

Jemputan...

Ketika aku sampai di cabin ada sepucuk surat yang di letakkan di pintu cabin aku. Sebaik di koyakkan sampulnya dan di buka, “wah! surprise...” jemputan makan malam dari kapten kapal. Makan malam tu pada malam ketiga ketika pelayaran kembali ke M’sia.

Hu..hu.. aku segera menyelongkar beg pakaian... mencari-cari baju yang sesuai. Kebetulan aku bawa dua helai gaun dan sepasang kasut bertumit tinggi.

Sementara menunggu untuk makan malam dan solat maghrib aku rehat sekejap di sundeck. Melihat matahari terbenam dan pemandangan sekitar dari atas kapal. Angin laut bertiup nyaman. Petang yang sungguh cantik.

Pemandangan dari sundeck (tingkat 10) Para peniaga 
di terminal Chaophaya, Phuket baru nak membuka gerai.

Selesai makan malam aku kembali ke cabin dan tidur awal. Keletihan. Kapal kembali meneruskan pelayaran ke Krabi. Aku pun tak sedar masa bila kapal mula bergerak meninggalkan terminal Chaophaya. Sunguh lena tidur malam itu sehingga subuhku benar-benar kelaut.

Perahu nelayan di perairan Krabi.

Sebelum turun ke daratan di Krabi, setiap penumpang 
akan dilekatkan dengan stiker hijau ni di baju masing-masing. 

Cruise berlabuh di tengah laut dan penumpang yang 
ingin turun ke daratan akan di pindahkan ke bot kecil tu.

 Nampak tu... cruises berlabuh diantara pulau tu...

Inilah bot yang membawa penumpang dari cruises ke jeti.

Seperti hari sebelumnya, bangun saja pagi aku terus ke luar cabin dan buat sikit senaman pemanas badan di deck 6. Jalan-jalan sekeliling kapal dan menikmati udara pagi yang sungguh segar. Air laut pada penglihatan aku makin tinggi dan Laut Andaman kelihatan hitam. Banyak kapal-kapal nelayan dan di kejauhan nampak deretan pulau-pulau di perairan Thailand. Cantik!

Naik ke deck 9 pagi ini ada aktiviti menari cha cha. Tapi aku tak joint sebab ketika semua bersarapan pagi kapal telahpun berlabuh di Krabi. Dari cermin tingkap restoran (hari ini aku bersarapan di Spice Restoran deck 9) kelihatan beberapa buah bot telah menghampiri kapal.

Ini juga satu pengalaman yang menarik apabila semua penumpang yang ingin turun ke daratan akan dipindahkan ke bot-bot yang membawa kami semua ke daratan. Tidak seperti di Phuket cruises berlabuh di terminal.

Dan dari tengah laut di mana cruises berlabuh... perjalanan bot mengambil masa kira-kira 35 minit untuk sampai di jeti pantai Krabi. Suhu dan cuaca panas di Krabi menanti kedatangan kami.

(nota mak: Tunggu... malam 'panas' dan siapa yang aku jumpa dalam pelayaran ini...

- bersambung.

Thursday, November 6, 2014

Di buai angin laut...

Basket ball... eh! mana bolanya ada 
sesiapa nampak?

Selepas dinner, solat maghrib, mandi dan rehat-rehat kejap, aku dan adik turun ke deck 4 nak massage badan. Tukang urutnya warganegara Thailand... perempuan... Dalam cruises ni para pekerjanya dari semua bangsa dan warganegara... Korea, China, Nepal, Thailand, Indonesia, Singapore... Filipina... Sweden.. dan ramai lagi. Aku mula-mula tu macam ‘susah’ nak terimalah suasana tu... sebab tak pernah tengok...

Di deck 4 ni selain dari bilik untuk massage ada salon untuk pedicure dan manicure (betul ke aku spell ni). Nak cuci rambut pun boleh... dan kedai menjual souviner, jam, minyak wangi dan beberapa lagi. Klinik pulak di deck 1 kalau tak silap. Aktiviti centernya di deck 5, ada kelab malam di situ. Casino pulak aku tak pasti deck berapa. Malam tu aku tidur lena tak sedar apa. Tahu-tahu hari dah nak siang.





Di sini aku berjogging 3 kali pusingan kapal.

Selesai solat subuh aku keluar ke trek jogging deck 6 (di di luar cabin aku je, kakak aku boleh nampak aku berlari-lari dari tingkap bilik). Dapatlah buat 3 lap (3 kali pusingan kapal). Selain aku ada lagi dua tiga orang jogging sama. Semasa jogging aku nampak banyak CCTV di sekeliling kapal... jadi tak perlu takut dan ada sorang crew yang berjalan-jalan di situ dan memerhatikan kami berjogging. Enjoy je jogging atas cruises ni... sambil berlari-lari nampak air laut, sunrise dan tiupan bayu laut yang sejuk.

Senam robik eh!

Habis jogging aku naik ke deck 9 dan joint senamrobik. Pun di kendalikan oleh crew kapal juga. Wow best, muziknya rancak dan berpeluh-peluh. Tak lama kemudian kakak, adik dan suaminya pun datang dan kami kembali semula ke deck 4 untuk sarapan pagi di Western restoran. Ada beberapa restoran dalam cruises ni. Semua boleh masuk kecuali satu (tak ingat namanya) sebab tak halal. Kalau kita beratur di situ para petugas di situ akan cakap restoran tu non halal.

Waktu kami tinggalkan kawasan kolam renang di mana aktiviti senam robik dijalankan ada lagi aktiviti lain selepas itu dan kami kembali semula ke deck 9 dan joint lagi acara-acara lain. Fun dan happening! Sebabnya bukan semua rakyat Malaysia yang ada atas kapal tu. Datang dari pelbagai negara dan dapat berkenalan antara satu sama lain.Time pelayaran aku ni ramai rakyat India.

Sementara menunggu masa untuk berlabuh di Phuket aku naik ke sundeck tingkat 10. Alamak! ‘mak rasa khayal di buai angin laut’ Di depan mata laut luas terbentang. Sesekali nampak kapal nelayan dan ikan melompat di permukaan air.

Melepak di sundeck.

Selepas makan tengahari (kali ni aku makan di Mariners Buffet deck 9, masakan Melayu) kapal telahpun merapati jeti Chaophaya International, Phuket, Thailand dan kami semua bersiap-siap untuk turun ke daratan. Kalau ikut package ada bas-bas yang menunggu tapi aku berempat tak ikut mana-mana package jadi kami ambik teksi untuk bersiar-siar dan membeli belah di Phuket.

Ada masa yang diperuntukkan ketika di Phuket dan kami di kehendaki balik semula ke kapal sebelum pukul 10 malam waktu M’sia. Kalau tak nak turun ke darat pun tak pa... boleh buat aktiviti atas kapal. Dan jam 12 malam cruises mula bergerak meninggalkan jeti menuju ke Krabi.

- bersambung.

Wednesday, November 5, 2014

Moh kite masuk cabin...

Laluan ke cabin deck 6. Keseluruhannya
ada 709 cabin dengan kapasiti penumpang 1,418 (dari 
risalah berkenaan cruises yang aku baca).

Beg-beg pakaian akan di hantar terus ke cabin 
oleh petugas-petugas kapal. Aku cuma lenggang kangkong
 masa masuk dalam kapal. Tau-tau beg dah 
pun di letakkan di tepi pintu cabin.


Ini cabin aku... Deluxe Oceanview Stateroom 
dengan tingkap deck 6 boleh masuk dua orang. Kalau tak silap
ada 7 pilihan cabin dan yang paling best dan mewah ialah Executive Suite. 
Waktu adik dan hubby dia beli tiket, suite tu dah habis di tempah. 
Tapi pada aku kira ok juga cabin ni sebab ruang
lapang di tengah-tengah tu boleh aku jadikan tempat solat.

Macamnilah rupanya excutive suite tu....
(gambar dari laman web cruises).

 - bersambung.

Terpinga-pinga seketika...

Masih awal lagi ketika sampai di Pulau Pinang. Untuk melengah-lengahkan masa aku, kakak, adik dan Daryl jalan-jalan di Komtar dan makan sebab perut dah terasa lapar. Pukul 1 tengahari baru kami masuk ke perkarangan terminal  Swetthenam Pier dan check-in. Sama macam naik kapal terbang jugak, kita akan serahkan bagasi dan mereka akan uruskan segalanya juga ada borang tentang kesihatan yang perlu kita isi. Sebelum melalui pemeriksaan imegresen para penumpang akan disajikan dengan tarian selamat datang yang sungguh rancak dari crew kapal “ha kau! rancak giler mereka menari!” Permulaan je dah 'panas!' haha..

Sebaik saja melalui pemeriksaan imegresen, kita akan di sambut dan dipeluk oleh maskot beruang sambil fotographer yang telah bersedia mengambil gambar. Dan sebelum melangkah ke dalam kapal, crew-crew kapal akan memeriksa senarai nama-nama penumpang dan mengambil pasport kita. Sebagai ganti penumpang akan di berikan sekeping kad yang meliputi pelbagai kegunaan. Sebagai kad pengenalan diri ketika turun di daratan, kunci bilik dan untuk membeli belah di atas kapal.

Taklimat keselamatan oleh crew kapal atas deck 6.
Waktu ini hati aku berdebar-debar dan rasa takut sikit! 
Teringat cerita Titanic.

Kad pengenalan/pasport, kunci bilik dan 
untuk membeli belah di atas kapal

Pertama kali melangkah masuk ke dalam kapal aku agak terpinga-pinga sedikit “betul ke aku berada di dalam kapal laut”  Ianya seolah-olah berada dalam hotel lima bintang atas daratan.

Sebelum kapal bergerak penumpang di beri sedikit taklimat tentang keselamatan. Selesai taklimat semuanya akan naik ke deck 9 di kawasan kolam renang untuk sesi berkenalan dan bertemu dengan crew kapal, kapten dan persembahan tarian dari artis khas dan juga anak-anak kapal. Sungguh meriah dan happening. Chef kapal telah menunjukkan demonstrasi memasak tomyam. Kemudian di teruskan dengan makan malam sambil di hiburkan oleh live band. Untuk malam ini penumpang di jamu dengan BBQ kambing, ayam, udang, ikan dan western food, salad jepun juga kimci . Buah-buahan, kuih-muih, puding dan kek. Meriah!

Ini makanan dalam pinggan cheq noh!

Ini pulak yang aku ambik untuk hi-tea sebelum 
taklimat keselamatan.

(nota mak: Oleh kerana pelayaran aku ni tidak mengikuti mana-mana pakage/rombongan tertentu macam pengembaraan bersama UKE yang ada program-program khas yang telah di aturkan... jadi aku bebas dan cuma ikut jadual aktiviti yang telah di sediakan oleh pihak cruises. Itu yang trillnya dan aku dapat alami percutian/pelayaran seperti yang pernah aku tengok dalam siri TV The Cruises awal tahun 80-an dulu.)

-bersambung.

Tuesday, November 4, 2014

Jom kita belayar...

paridah: salam maal hjrh...selamat bercuti...

makcikkantin: Dah pergi ke? Best tak?

nohas: Wow..bestnya naik cruise...happy holiday..rehat-rehatkan minda..

Nieda ramly: bercuti naik cruise ? mesti best. selalu naik kapal terbang sekarang merasa belayar pula. nanti story morylah ya

zana-norzana: Wow bestnya kak

Haliza Ghazalli: sweety...enjoy!!

Bunda a.k.a KN: Selamat bercuti sweety....hepy enjoy... Salam Maal Hijrah...

kak Noor: ohye, saje nk tau je berapa lah cos nya tu sweetie, mana tau ada rezeki suatu hari yg cerah nnt nk jugak merasa

Salam semua.... itu antara komen penggalak dari rakan-rakan. Aku tak nak cakap apa-apa tapi dari catatan pelayaran 4 hari 3 malam aku ini kawan-kawan blogger semua boleh nilai sendiri. Pertamanya thinking positive.

Pada aku inilah percutian paling mewah aku alami setakat ini. Harga tiket pelayaran bergantung pada pilihan package dan boleh di upgrade... jadi aku tidak boleh beritahu secara tepat harga sebenar tiket. Lagipun tiket aku tu dibeli last minit. Dan termasuk tiket penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Penang.

Kalau ada yang bercadang untuk belayar dengan cruises ni rancang dari awal dan tengok Star Deal Promotion dan tawaran-tawaran yang diberikan. Harga tiket termasuk sarapan pagi, makan tengahari dan malam, juga minum petang dan super sepanjang pelayaran.

Aku hampir membatalkan perjalanan ini selepas memberitahu abang akan hasrat aku untuk pergi bercuti dengan cruises. Nada suara dan keluhannya menghadapi assignment yang menimbun buat aku sedih pulak nak ‘meninggalkannya’. Sedangkan aku pergi ‘berseronok-seronok’  (hehehe... hati emak kan... padahal si abang tu jauh dan lagi best kot duk kat UK sana).

“Kau jangan tak jadi... tiket dan beli... mahal ni” dan adik aku call semula abang. Tapi bila untienya call elok je nada suaranya dan happy saja. Saja je dia kan!

Pagi Ahad, selesai solat subuh dan setelah memastikan segalanya di tinggalkan dalam keadaan baik aku memandu ke rumah kakak untuk ambik dia dan kemudian membelok ke jalan menuju kerumah adik. Aku tinggalkan kereta di kondonya dan kami berempat, aku, kakak, adik dan suaminya mengambil teksi untuk ke KLIA. Penerbangan dengan MH1138 cuma mengambil masa 50 minit saja untuk sampai di Penang di mana kami berempat akan memulakan pelayaran dengan Superstar Libra di jeti/terminal Swettenham Pier pukul 4 petang hari yang sama.

- bersambung....

Monday, November 3, 2014

Janji temu di KLIA2...

Won 124.00 = RM398.

Untuk pertama kalinya aku rasa seperti aku anak beranak terlalu sibuk dengan aktiviti masing-masing. Aku ke hulu... hubby ke hilir. Abang berada di sebelah barat dan Ojet pulak bergerak ke sebelah timur. Seolah-olah kami cuma berselisih bahu dan bersimpang siur di jalan. Begitulah!

Aku masih lagi terkuap-kuap... Keletihan dan mengantuk. Belum hilang penat berjalan... Walaupun cuma berehat-rehat saja dalam pelayaran di atas cruises tu tapi rasa 'letih' juga. Semalam aku bergegas lagi ke airport. Berjanji temu dengan Ojet yang akan sampai dari Arau. Peluang yang tak patut aku lepaskan untuk bertemu dengan permata hatiku yang sorang ni sebelum dia berlepas ke Korea untuk lawatan lima hari bersama tigabelas orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Perlis.

Lagi pun ada bebarapa barang yang aku nak serahkan pada dia macam kamera, beg sandang, sarung tangan dan baju panas sebab sekarang di Korea sedang mengalami musim luruh dan suhu telah jatuh ke paras 15 darjah Celcius... serta souviner yang aku belikan untuk dia ketika aku dalam pelayaran bersama cruises ke Phuket dan Krabi minggu lepas. Dan sedikit duit saku yang telah siap di convertkan ke Won (KRW).

Nampaknya untuk tahun ini saja telah dua kali Ojet keluar negara dalam jarak masa tidak sampai pun tiga bulan atas urusan sebagai ahli MPP dan wakil universiti. Keciknya dulu aku ‘kurung’ je dalam rumah. Maksud aku dia cuma bermain saja dalam rumah. Jarang malah tak sekalipun dia keluar berkawan dan bermain-main di luar rumah. Tapi bila dah besar-besar begini merata pulak dia pergi.

(nota mak: Awalnya aku tidaklah begitu menggalakkan dia menyertai lawatan tu sebab aku takut ianya akan mengganggu study dan kuliah. Tapi Ojet dah yakinkan aku supaya jangan risau tentang semua itu... dan aku tengok dia tetap bawak buku dan nota kuliahnya.)

Friday, October 24, 2014

Cruise Vacation....

Jom snorkeling.

Aghhhh! lega... Tugas di tempat kerja untuk tahun ni dah beres. Rasanya tahun nilah yang paling strees kot. Untuk dua bulan yang akan datang ni boleh rilex hingga awal Januari 2015. Dan... jom holiday! merehatkan badan dan melapangkan minda. Meluaskan pemandangan dan menikmati percutian dengan Star Cruise menuju ke Krabi dan Phuket.

Monday, October 20, 2014

Pergi belai rimau!....

Di FB kawan-kawan hari ni kecohlah pasal ‘kempen pegang dan belai anjing'. Acara yang kononnya diadakan bagi membantu orang ramai termasuk orang Islam bagi mengatasi persepsi negatif terhadap anjing. Penganjur ceritanya bangsa Melayu agama Islam. Dan di tunjukkanlah gambar-gambar gadis Melayu bertudung yang begitu seronok dan happy nampaknya memeluk dan membelai binatang tu. Rata-rata rakan-rakan FB kata ‘fenomena gila.’

Entahlah! semakin moden kehidupan semakin merepek-repek keinginan Gen Y ni. Dan ada juga ibu-ibu yang membawa anak-anak kecil mereka menyertai ‘kempen’ tu. Nak salahkan siapa... Patut ke kita menyalahkan dan menuding jari pada DIA, DIA dan DIA!

Aku simple je didik anak-anak tapi tegas! Kalau binatang yang bersifat najis seperti itu, aku cuma cakap “Tengok je, jangan pegang! Dan dah pasti aku tak akan bawak anak-anak ke ‘kempen tu’ walau untuk tengok anjing saja. Aku tak kuasa nak explain, ”kalau dia kering, kita kering, tak pa... bla..bla...bla dan blah” Aku tak mahu mengelirukan pemikiran mereka dengan apa yang mereka ‘tengok’... kang kalau tak betul explainationnya macam tulah jadinya.

Biarlah orang nak kata aku ni kolot, ortodoks atau apa saja... aku tetap mempertahankan pendirian aku yang telah di ajarkan oleh arwah tok, mak dan ayah dulu. "Anjing tu haram di pegang!" Tiada explain di berikan oleh mereka. Dan bila aku ada anak... aku pun cakap macam itu juga pada anak-anak. Pada aku yang ortodoks ni, perkara yang berkaitan haram ini tiada tolak ansurnya... tiada penerangan lain... tak perlu menyusahkan diri untuk menerangkan sisi halalnya pulak. Banyak lagi binatang lain yang halal di pegang untuk di buat main dan di belai. Atau kalau dah ingin kelihatan hebat sangat, pergi belai rimau!

(Nota mak: AKU! makcik yang di didik cara old school... tak kisahlah ianya lekang dek panas atau reput dek hujan... dah saya di lahirkan dari bangsa Melayu yang beragama Islam... arwah tok kata jangan pegang anjing "Haram" ...haramlah pada saya sampai bila-bila... takyah nak pikir panjang-panjang pasal haram tu. Noktah!)

Friday, October 10, 2014

Baru aku tahu...


Haah! Terkejut badak... tak mungkin, tak mungkin. Turun naik... turun naik aku atas penimbang tu. Termenung kejap atas sofa... berfikir-fikir... penimbang ni dah rosak ke?

Mulalah hati nak marah dengan anak saudara aku si Aideel. Semalam dia dan Aleesha main-main dengan penimbang tu. Aku angkat dan belek-belek manalah tahu kot ada springnya yang dah tercabut.  Nampak elok je... tapi dalam hati memang nak marahkan dia esok.

Berlari ke depan cermin. Angkat sikit baju di bahagian pinggang dan telek depan cermin. Nampak tak ada apa-apa perubahan pun. Tapi kenapa penimbang tu tunjuk berat aku 70 kg. Tak senang hati betul.

Semua buat tak kena. Nekad dalam hati... nak puasa. Lusa mesti pergi gym semula. Hampir tiga bulan aku tak masuk gym. Sejak bulan Julai hari tu. Masa tu abang ada di rumah, jadi aku tak pergi gym sebab nak spend banyak masa dengan dia. Lagipun bulan puasa. Habis raya dan abang balik semula ke UK aku macam jadi malas pulak nak continue semula.

Bila adik datang rumah, aku beritahu berat aku. Dia pun terkejut. “Ko biar betul!...” Dia angkat penimbang dan letakkan atas lantai, “eh berat aku betul!... ” Dan dia suruh aku naik semula nak pastikan... dan jarum penimbang tu tunjuk berat asal... berat sebenar aku.

Adik aku gelak dan dapat agak kenapa... “kau letakkan penimbang ni atas karpet ya?”

Baru aku tahu rupanya... penimbang tak boleh di letakkan atas karpet masa kita timbang berat. Nanti jarum tak stabil. Fuuuh! legaaaa...

Adik: Baik kau minta maaf dengan Aideel!

Monday, October 6, 2014

Aku dah jatuh hati....

Sebelum cerita tentang resipi, aku nak ucapkan terima kasih pada kak Noor... sebabnya aku ambik resipi ni dari blog dia. Aku dah beritahu kak Noor sebelum menyalin resipi ni. Sebelum tu bila blogwalking ke blog-blog masakan sentiasa saja jumpa gambar dan resipi roti ni. Lama-lama teringin pulak nak membuatnya.

Lembut rotinya... walaupun sakit-sakit juga pergelangan tangan mengulinya sebab aku guna cara 'tradisional'. Inilah antara sebabnya kadang-kadang aku berfikir banyak kali bila nak buat roti. Tak 'kuasa' nak mengulinya. Entah bilalah agaknya 'mampu' beli sebiji breadmaker.

Yang membuat aku 'jatuh hati' pada roti ni ialah pada sos butterscotchnya... Lebihan dari yang di tuangkan atas roti tu aku buat cicah pulak.

Sedap roti ni lembut tapi aku paling suka butterscotchnya...

Nampak tu dah 'rongak' sebaik keluar saja dari oven
adik aku dah korek sebiji sarangnya.

Bahan untuk membuat Doh:
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh yeast kering / mauripan
1/4 sudu teh garam
½ sudu teh baking powder
1 sudu besar gula pasir
¼ cawan plain yogurt (suhu bilik)
¼ cawan minyak masak (saya guna minyak Naturel)
1/2 cawan air suam
Sedikit Almond flakes untuk di taburkan atas roti.

Cara Penyediaan:
1. Larutkan yeast dan gula dalam air suam dan biarkan berbuih.

2. Dalam mangkuk adunan, campurkan tepung gandum, baking powder serta garam dan gaul rata.

3. Masukkan yogurt dan larutan yeast.

4. Uli dengan tangan dan tuangkan minyak sedikit demi sedikit dan teruslah menguli doh sehingga tak melekat lekat lagi di tangan. (Cara mengulinya dengan cara tolak dan tarik). Uli sehingga kenyal.. roti akan menjadi makin gebu jika di uli lebih lama. Biarkan/rehatkan doh di ruang panas atau tertutup dan biarkan ia naik dua kali ganda.

5. Bila doh dah naik, tumbuk-tumbukkan untuk mengeluarkan angin.

6. Sapukan tangan dengan minyak dan ambil doh sebesar buah langsat atau mata kucing dan susun rapat di dalam loyang yang telah di sapu dengan sedikit minyak. Buat sampai habis. (Kalau doh melekat-lekat di tangan jangan di tambah tepung cukup sekadar menyapu tangan dengan minyak masak saja).

7. Taburkan dengan almond flakes dan biarkan doh rehat dan naik dua kali ganda sekali lagi.

8. Sementra menunggu doh naik, Panaskan oven... (Aku guna oven jenama Europa dan setting suhu 180-200 C. Pastikan oven betul-betul panas baru masukkan doh. 10 minit pertama guna api bawah dan 5 minit terakhir guna api atas bawah. Masa untuk membakar ialah antara 10 - 15 minit.

9. Sebaik roti di keluarkan dari oven tuangkan butterscotch di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.

NOTE:
1. Doh memang lembik.. Jangan tambah tepung, cuma sapukan tangan dengan minyak masa nak bahagi-bahagikan doh.
2. Tak perlu betul-betul bulat sebab roti akan jadi bulat dan cantik dengan sendirinya apabila di bakar.
3. Pastikan oven betul-betul panas supaya roti apabila masak jadi lembut.
4. JANGAN bakar terlalu lama kerana roti akan jadi keras.
5. Simpan roti dalam bekas kedap udara jika tak habis makan.


Butterscotch Sos:
1/2 cawan brown sugar.
1/2 cawan susu cair atau whipping cream
Secubit garam
1/2 sudu teh vanilla essence
25 gm butter

1. Cairkan butter dalam periuk kecil. Masukkan brown sugar, kacau selalu sehingga gulanya cair dan larut sepenuhnya.

2. Tuangkan susu cair / whipping cream perlahan-lahan sambil mengacaunya.

3. Masukkan esen vanilla dan bila semuanya sebati angkat dari api dan sejukkan sedikit... dan sedia untuk digunakan sebagai topping.

(Nota mak: Kalau nak lebih detail lagi tentang resipi ni dan tengok gambar roti yang cantik pergilah ke blog kak Noor. Sayang kak Noor!)

Friday, October 3, 2014

Macam mana kita di mata anak-anak...

 Kasut yang di belikan oleh Ojet untuk aku dan
fesyennya di pilih oleh abang.

Waktu ke Medan untuk seminar IMT GT baru-baru 
ni, Ojet belikan aku sepasang kain baju kurung. Fabriknya 
dari jenis Japanese cotton.

Apa agaknya yang ada dalam fikiran anak-anak. Macam mana mereka ‘melihat’ kita selama ini dan bagaimana mereka mahu ‘melihat’ kita.

Adakah mereka mahu kita kelihatan muda dan bergaya selalu. Dan pilihkan warna-warna terang dan cerah untuk kita dan akan komen tentang cutting dan fesyen baju kita dan cakap, “cantik baju mak ni tapi kalau di shape-kan sikit di bahagian pinggang dan kembangkan bahagian bawahnya lagi cantik!” atau kata “cantik mak pakai baju ni, nampak muda...” Wow!

Masa mereka kecik-kecik dulu mereka tak kisah je apa kita pakai dan bagaimana kita berpakaian. Dan kita pun tak pernah terfikir bahawa anak-anak akan peduli tentang itu semua. Tapi sekarang ni bila kita bersiap, mereka akan duduk memerhati dan beritahu, "...aaa tudung tu tak sesuai dengan baju yang mak pakai!"

Antara kedua orang anak aku, abanglah yang suka komen dan memuji aku. Kalau tak sesuai dan tak berapa berkenan di matanya dia akan cakap. Dia tak suka aku berpakaian dalam warna gelab. Katanya itu warna-warna orang tua... Handbag yang aku pakai sekarang pun abang dan Ojet yang pilih. Warna merah dan tak sangka pulak, doktor yang merawat aku selama ini pun minat dengan warna dan handbag tu.

(nota mak: memang mak dah tua, tak lama lagi nak pencen...)

Monday, September 29, 2014

Begitu kisahnya....

Balik sekolah pipinya birat dan calar. Hampir kena mata. Aku tanya kenapa, jawabnya kawan sekolah buat. Esoknya dan esok lagi begitu jugak. Ada ketikanya dia minta duit dengan kakak aku. Bukan sikit-sikit. Sampai RM20 ringgit. Bila di tanya nak buat apa. Katanya nak beli mainan. Tanya lagi. Mainan apa sampai RM20 ringgit dan kat mana jual. Dia jawab kat kedai luar kawasan sekolah.

Kami satu family tak puas hati. Kakak aku tak bagi. Alasan kami, dah banyak mainan kat rumah... Lagipun untie (adik aku) dah belikan motor besar (motor mainan yang pakai bateri tu) basikal semua ada sorang satu kat rumah. Dia muram dan nampak susah hati. Kami biarkan saja. Pada fikiran kami nanti-nanti oklah tu.

Baru-baru ni dia minta duit lagi dengan kakak aku. Katanya nak beli bendera. Seringgit saja harganya. Kakak aku kasi. Bila balik sekolah, kami tanya mana benderanya. Dia kata dah koyak. Kawan koyakkan. Okay lagi. Tapi yang buat aku dan kami satu family tak tahan bila kawan sekolahnya (nama budak tu Adam) kata anak buah aku si Aideel pinjam duitnya RM20 ringgit. Aku sudah naik geram. Pasti ada yang tak kena. Bukan setakat itu saja, dia kata si Aideel makan bekalan makanannya.

Aku tanya baik-baik pada Aideel. Betul ke dia meminjam duit si Adam. Aideel berulang kali kata tak. Panjang lebar juga soal jawab aku dengan dia. Aku cakap dengan kakak dan adik aku... baik pergi sekolah dan tanya sendiri dengan budak Adam tu. Aku syak ada yang kena. Sebab dah lama dan macam-macam sangat perkara yang berlaku pada si Aideel. Dan kami asyik marahkan dia.

Jumaat lepas adik dan kakak aku pergi sekolah. Dan jumpa budak yang bernama Adam tu... dan tanya betul ke Aideel ambik duit dia. Macam-macam jawapan dia beri. Berdolak dalih. Kejap kata ‘ya’ kejap kata ‘tak’. Dengan gayanya berpakaian... baju panas yang diikat di pinggang, rambut ala trojan sambil bercekak pinggang. Baru berumur lapan tahun je pun... tapi berlagak samseng. Adik aku gertak ... nak bawak kedua-duanya ke balai polis dan serahkan pada polis. Biar polis saja yang selesaikan.

Akhirnya dia mengaku, ‘tak’, Aideel tak ada pinjam duit dia. Adik aku warning dan dengan 'garang'nya cakap, “jangan berkawan dan dekati lagi Aideel... kalau tak siap awak!”.

Kebetulan salah sorang guru sekolah tu, student renang adik aku. Bila dia nampak adik aku dia datang dan tanya, kenapa. Adik aku ceritalah kisahnya.... dan cikgu tu bawak adik aku jumpa sendiri guru kelas mereka. Barulah tahu, rupanya guru kelas tu tahu perangai si Adam ni yang suka minta duit kawan-kawan sekelas. Dia pinjam pada si A bagi pada si B. Kemudian dia ambik duit tu dari si B. Kemudian dia ambik pulak duit dari si C dan bagi pada si A. Dah si A pulak yang berhutang dengan C... kononnya. Tapi duit itu dia juga yang ambik. Begitulah pusingannya...  Last-last dia cakap si A, B dan C berhutang sesama sendiri... tapi duit itu si Adam ni yang ambik sebenarnya.

Dah beritahu pada orang tuanya, tapi mak ayahnya cakap,  tak tahu dah nak buat macam mana. Bila dengar cerita ni sedih aku, macam mana orang Melayu kita boleh biar dan tak buat apa-apa bila tahu anak jadi kaki buli dan samseng kat sekolah. Padahal budak tu kecik lagi baru lapan tahun, masih boleh di perbetulkan...

Apapun aku lega, anak saudara aku dah ceria semula. Bila balik dari sekolah nampak happy. Tak macam sebelum ni, bila balik dari sekolah moody. Tadi adik aku pergi lagi sekolah tu... dia nak intai budak Adam tu.... tapi budak tu tak datang sekolah... Kalau dia kacau lagi si Aideel lepas ni si Daryl sendiri yang bersemuka dengan guru besar.

Thursday, September 25, 2014

"Moist betullah mak...!"

Sebelum di potong masing-masing dah 'chop!" nak 
bahagian mana... Strawberry yang di tengah tu paling besar 
dan 'siang-siang' dah di 'chop' oleh adik aku.

Susunan strawberry yang aku decorate menjadi 
seperti kuntuman rose.

Dah seminggu abang balik ke UK... Hati masih terkenang-kenang lagi padanya. Cutinya dua bulan setengah tu rasa kejap sangat. Setahun saja lagi abang akan menamatkan pengajiannya. Entahlah! macam mana pulak lepas ni apabila abang sudah mula mengintai-intai peluang untuk bekerja di luar negara.

“Mak!...,  nanti mak ikut abang... Abang akan bawak mak kemana saja supaya mudah abang nak jaga mak. Kalau mak duduk jauh dari abang, nanti susah abang nak balik jenguk kalau mak tak sihat. Kalau kerja di luar negara nanti tak tahu macam mana cutinya...” Itu kata abang.

Aku perhati je dia berkemas-kemas dan membelek-belek e-tiket di tangannya. Dan terdengar keluhannya, “... huh tak bestnya nak balik...” dan dia menoleh pada aku, “... nanti abang rindukan mak lagi...!” dan itulah saat paling manis bila abang datang peluk aku. Inilah satu tabiatnya yang tak pernah berubah. Pernah aku tanya, “abang tak malu ke... mak, ummi dan acik peluk dah besar-besar macam ni?” Dia kata “tak” malah suka dan bangga lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawannya.

Sehari sebelum dia balik Khamis lepas aku buat sikit majlis minum-minum petang di rumah. Aku ambik cuti hari tu dan buatkan sebiji kek coklat kukus. Special, yang ditopping dengan coklat meleleh dan di hias penuh dengan strawberry. Bangga je rasa hati bila abang memuji, “moist betullah mak!”

Wednesday, September 24, 2014

Resipi kuih kosui Azie....

Masa buat majlis minum petang dengan adik beradik sebelum abang balik ke UK Khamis lepas aku buat kuih kosui. Kuih ini antara kuih kegemaran abang. Selain dari kuih kosui aku buat lepat pisang, pau, kek coklat, salad dan nasi lemak atas permintaan abang. Sepanjang dua bulan setengah dia berada di rumah aku tengok abang tak jemu-jemu makan nasi lemak. Kadang-kadang aku yang masakkan dan di waktu yang lain dia minta tolong kakak aku yang masakan. Bila keluar makan pun dia pesan nasi lemak juga. Nasi lemaknya ringkas saja. Tak perlu ikan bilis goreng, telur rebus dan ulam timun. Cukup dengan sambal tumis ayam.

Dan resipi kuih kosui yang aku buat hari itu aku ambil dari resipi blog Azie Kitchen. Sedap! tapi kakak aku komen, kalau kukus lama lagi akan buat kuih tu lebih sedap dan lagi kenyal.

Aku guna acuan kuih lompang.

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2 keping gula Melaka sederhana besar
1 cawan gula pasir - saya tambah 1 sudu besar
7 cawan air
1 sudu kecil kapur – bancuh dengan sedikit air

Bahan lain:
Kelapa parut muda
Sedikit garam

Cara penyediaan:
1. Masak air dengan gula Melaka dan gula pasir sehingga mendidih dan sedikit pekat. Sejukkan sehingga agak-agak air gula suam.

2. Satukan tepung gandum dan tepung ubi kemudian masukkan ke dalam air gula yang telah suam. Kacau sebati. Masa ini, boleh rasakan sedikit adunan dan jika belum cukup manis, boleh tambah sedikit gula pasir.

3. Akhir sekali, masukkan air kapur dan kacau rata. Tapis adunan.

4. Panaskan periuk pengukus dan panaskan loyang (saiz 9 inci) atau acuan kuih lompang. Setelah loyang/acuan panas, tuang adunan ke dalam loyang/acuan dan kukus sehingga masak selama 1 jam atau sehingga masak dengan menggunakan api yang besar.

5. Sekali sekala, lapkan penutup pengukus atau balut penutup dengan tuala. Bila telah masak, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup seketika untuk mengeringkan air di permukaan kuih.

6. Setelah betul-betul sejuk, baru dipotong atau di keluarkan dari acuan. Hidangkan bersama kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

(nota mak: kalau ada yang ingin mencubanya dan ingin lebih detail lagi pergilah ke blog Azie.)

Sunday, September 21, 2014

Terima kasih Nora....

GA dari Nora Karim

Jumaat lepas satu bungkusan sampai kat rumah kakak. Tertera di alamat ianya di hantar untuk aku. Memang alamat surat menyurat aku semuanya di alamatkan ke rumah kakak. Sebab aku jarang ada di rumah.

Melihatkan bungkusannya aku dah dapat agak siapa pengirimnya dan apa isinya. Ianya datang dari Nora Karim pemilik blog http://dialoguda.blogspot.com. Tak ingat aku macam mana aku boleh sampai ke blog Nora dan ikut Mini Giveaway #9 di blognya... dan menang. Ini kali kedua aku joint GA. Kali pertama aku joint GA di blog Happy Irfa. Tapi aku tak ambik hadiahnya sebab terlupa nak beri alamat aku pada Irfa...(jangan merajuk ye Irfa.. serius! lupa sebab masa tu bulan puasa... dan jarang on Internet).

Aku baru selak-selak je buku ni. Belum ada kesempatan lagi untuk membacanya. Tak tebal pun bukunya cuma ada 125 muka surat.

(nota mak: Dua tiga hari ni aku kepenatan sikit dan banyak menghabiskan masa dengan tidur dan berehat di kondo adik. Petang Khamis lepas aku buat majlis minum petang dengan adik beradik di rumah. Adalah masak-masak sikit... itu yang buat aku kepenatan. Abang dah balik UK pagi Sabtu semalam.)