Thursday, July 27, 2017

Hajat nak mengintai singa laut...

Hujan ketika sampai di Lancelin. Waktu aku memandu kereta masuk ke kawasan sand dune hanya kelihatan beberapa orang sedang bermain quad bike di situ. Ada sebuah 4WD mengekori kereta yang aku pandu dari belakang. Bila aku berhenti dia juga turut berhenti. Didalamnya kelihatan dua orang lelaki. Aku tak pasti siapa barangkali peronda kawasan ini.


Kenangan...


Kawasan risiko bahaya... kereta tak di benarkan masuk.


Kenangan Ojet dan umminya di Lancelin Sand Dune

Lama kami (aku, Ojet dan kakak aku) duduk dalam kereta memerhatikan suasana sekitar. 4WD yang mengekori aku tadi bergerak memintas kereta kami dan membuat pusingan U dan ketika berselisih dengan kami mereka tersenyum dan melambai ke arah kami bertiga.

Setelah hujan reda barulah kami keluar dari kereta dan mengabadikan foto kenangan di kawasan itu. Tak main gelongsor pasir pun sebab pasir basah. Tak nak comot-comot. Ojet pun tak minat. Aku dan kakak aku dah tentu surrender. Janji dah sampai tempat tu dan ambil gambar... cukup!

Sebelum meninggalkan Lancelin aku singgah sekejap di jeti Lancelin. Hajat hati nak mengintai singa laut dan kalau nasib baik dolphin datang menyapa kita di jeti Tapi tiupan angin dari Lautan Hindi di situ sangat kuat di sertai hujan. Aku tak berani nak memandu kereta rapat ke jeti.


Hajat hati nak mengintai spesis ini. Sebelum tu pengunjung pantai 
disarankan baca dulu papan tanda peringatan ini. Ingatkan tak bahaya 
rupanya menyerang manusia juga.


Jeti Lancelin... pandang dari jauh pun nampak airnya 
dalam. Kereta boleh di pandu naik ke atas jeti tu. Dan lihat jauh di tengah
tingginya ombak lautan Hindi

... dari Lancelin aku teruskan pemanduan menuju ke Nambung National Park.

Tuesday, July 25, 2017

Sepanjang laluan Indian Ocean Dr...

Saat memandu di Indian Ocean Dr. menuju ke Nambung National Park...  Ojet di sebelah di tugaskan mengambil gambar dan merakamkan perjalanan kami dalam bentuk video. 

Bila di kenang dan melihat kembali gambar-gambar yang kami ambil andai kata ada peluang lagi ke Perth, aku tak mahu memandu dan melaluinya lagi. Sepanjang berada di laluan ini hati sentiasa berdebar-debar. Dan paling tak lupa ketika melalui satu sekatan jalan raya... aku terpaksa menjalani ujian alkohol.

Awalnya dalam perancangan percutian ke Perth, aku juga berhasrat untuk ke Wave Rock. Tetapi setelah melalui pengalaman memandu di Indian Ocean Dr aku terus membatalkan hasrat untuk ke sana. Perjalanan untuk sampai ke Wave Rock memakan masa hampir empat jam dari bandar Perth dan tak tahu pulak apa yang menanti...


Perjalanan yang di sertai hujan, jalan yang licin 
dan tiupan angin yang kuat.



Timbunan bukit pasir yang dapat di lihat dari Indian Ocean Dr. 
antara Wanagarren Nature Reserve dan Nambung National Park. Pasirnya
halus dan berkilau.serta merbahaya kepada pemandu apabila di tiup
angin. Sebelum melalui kawasan ini ada papan tanda di letakkan
mengingatkan pemandu kenderaan yang lalu di kawasan tersebut.



Papan tanda selepas Wanagarren Nature Reserve... 
tiupan angin berpasir yang mengurangkan pandangan 


Mula-mula nampak papan tanda ni kakak aku asyik cakap 
harap-harap kanggaroo yang melintas. Teringat ketika di UK dalam 
perjalanan dari London ke Sheffield terdapat papan tanda yang 
mengingatkan pemandu tentang kemungkinan rusa melintas.



...dan tengah-tengah syok memecut dalam keadaan mengantuk tiba-tiba 
Ojet menjerit ada benda bergerak-gerak di hadapan. Spontan aku emergency 
break. Rupanya landak melintas.



Sepanjang 232 km hingga ke Pinnacle Desert boleh 
di katakan beginilah keadaan jalannya... lurus dan lama 
kelamaan mata jadi mengantuk dibuatnya.



Melelapkan mata seketika di hentian sebelah sebelum 
sampai ke Yanchep dalam perjalanan pulang.

(nota sweetie: apa yang ditulis berdasarkan pengalaman dan perasaan aku yang memandu bersama anak perempuanku Ojet dan kakak aku yang berusia 61 tahun. Cuma kami bertiga dan keselamatan mereka ketika itu terletak di tangan aku selaku pemandu kereta.)

Sunday, July 23, 2017

An article by me...

Dah balik dari Perth. Agak busy sikit. Siapkan dua artikel untuk ruangan Destinasi dan Selera di akhbar Mingguan Malaysia. Dah janji dengan pengelola ruangan ini cik Nisa Sulaiman nak beri story ketika aku masih lagi di Perth.

Orang kata sambil menyelam minum air. Walaupun pergi bercuti tapi bila ada sesuatu yang menarik dan boleh di jadikan cerita kita buat. Sungguhpun dah hampir setahun bersara... tapi dek kerana dah bertahun-tahun berkecimpung dalam bidang ini dan menjadi punca rezeki selama ini... mana boleh lupakan terus kan...


Ruangan Destinasi Mingguan Malaysia 23 Julai.


(Kepada yang tidak sempat membacanya di akhbar, boleh baca kisahnya di sini...)

Tajuk: Indian Ocean Dr menguji mental dan fizikal

Pengalaman memandu di Indian Ocean Dr ketika percutian musim sejuk di Perth, Australia baru-baru ini memberi satu kenangan yang sukar dilupakan. Perjalanan sejauh 232 km menuju ke Pinnacle Desert, Nambung National Park itu penuh debaran.

Jalannya yang lurus boleh menyebabkan mengantuk, tiupan angin dari Lautan Hindi yang kencang serta bentuk muka bumi dan halangan serta bahaya yang tidak di jangkakan benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal.

Waktu masih pagi ketika penulis melewati Yanchep dan melalui Gnangara – moore River State Forest. Hujan mula turun rintik-rintik. Penulis memperlahankan kenderaan dan sentiasa membaca dan mengikut arahan papan tanda yang di berikan. Kelajuan yang di benarkan ketika itu ialah 70 km/j.

Tanah di kawasan ini berpasir dan kering. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya rendah. Sunyi dan lengang. Cuma kereta yang penulis pandu sahaja berada di jalan tersebut ketika itu. Bersama dalam kereta anak perempuan dan kakak penulis yang berusia 61 tahun.

Ketika melewati Gingin papan tanda yang diletakkan menunjukkan banyak lori-lori besar melalui kawasan ini. Kelihatan ladang ternakan kambing dan lembu serta ladang lobak Sun City Farm yang sangat luas di Woodridge. Hujan kian lebat disertai angin kencang. Jarak pandangan semakin terhad.

Penulis memaut kuat stering kereta dan memperlahankan kelajuan. Jalan licin. Hati kian berdebar-debar. Sepanjang laluan dari Woodridge hingga Gabbadah kawasan di kiri kanannya lapang. Terasa kereta Suzuki Swift yang penulis pandu di tolak angin ke sebelah kanan. Setiap kali berselisih dengan lori treler dari arah hadapan penulis ketakutan. Dalam hati tidak putus berdoa agar berjumpa dengan kawasan berpokok tinggi supaya terlindung sedikit dari tiupan angin.

Tiba di Karakin penulis membelok masuk ke simpang menuju ke Lancelin. Lancelin terkenal di kalangan pelancong dengan aktiviti bermain gelongsor pasir. Tidak dapat dilupakan apabila berada di satu kawasan agak tinggi penulis tiba-tiba membrek kerana merasakan seolah-olah jalan yang dilalui menuju terus masuk ke Lautan Hindi di hadapan.

Dari Lancelin penulis kembali meneruskan perjalanan sejauh 79.8 km lagi untuk sampai ke Nambung Nasional Park. Perjalanan menempuh Nilgen dan Wanagarren Nature Reserve.

Papan-papan tanda yang diletakkan sepanjang laluan ini mengingatkan pemandu tentang tiupan angin berpasir yang boleh menghalang pandangan dan kemungkinan binatang liar seperti kangaroo, emu dan landak melintas secara tiba-tiba. Dan seperti yang di jangkakan, penulis terpaksa menekan brek kecemasan apabila secara tiba-tiba seekor landak melintas.

Satu jam memandu dari Lancelin akhirnya sampailah ke tempat yang di tuju iaitu Pinnacle Desert. Dan penulis sendiri merasai pengalaman memandu di atas trek berpasir sejauh 4 kilometer. Oleh kerana ianya kawasan gurun suhu sekitarnya panas walaupun ketika penulis berada di sini Perth sedang mengalami musim sejuk.

Dalam perjalanan pulang ketika sampai di Yanchep, penulis telah melalui satu sekatan jalanraya. Dan menjalani ujian alkohol. Barangkali inilah antara salah satu faktor Indian Ocean Dr. bahaya di lalui pada waktu malam selain dari tiupan angin yang kuat, berpasir, hujan serta jalan yang licin dan binatang liar yang secara tiba-tiba melintas.

.........................................

Untuk menulis artikel Selera pula aku sempat bertemu dan menemuramah pemilik cafe tersebut. Muda lagi orangnya dan peramah sungguh. Berbual dengannya seakan telah mengenalinya bertahun-tahun. Usai menemubualnya dia menawarkan diri untuk menghantar aku dan Ojet pulang ke apartment yang kami sewa. Terima kasih banyak-banyak dik Fazly atas kerjasama yang di berikan.


Dan untuk artikel Selera ini aku atur temujanji masa dengan
owner cafe untuk menemubualnya.


Tajuk: Insan's cafe pilihan VVIP

Menikmati masakan citarasa Malaysia ketika berada di luar negara kini bukan lagi mustahil. Ketika berkunjung dan berjalan-jalan di Murray St, Perth City, Australia baru-baru ini mata penulis terpandang ke arah satu café. Tertulis di muka pintu Insan’s Café penulis lantas melangkah masuk ke dalam.

Berkesempatan bertemu dan berbual dengan pemiliknya. Seorang anak muda berusia 38 tahun kelahiran Selangor. Di besarkan di Kedah dan memiliki Diploma Engineering dan Advance Diploma dalam bidang Hospitality.

Mohd. Fadly Mohd Nor memulakan perniagaannya sekitar tahun 2013. Melihatkan kejayaanya membuka sebuah café berkonsepkan citarasa Malaysia di bumi asing penulis cuba menyelami isi hati dan cabaran yang di tempuhinya.

Ujar Fadly, pada awalnya dia agak tertekan. Manakan tidak, di sebelah siang dia menguruskan perniagaan dan pada sebelah malamnya pula menjadi buruh kasar.

Dengan di bantu oleh tujuh orang pekerja kini setelah hampir lima tahun Insan’s Café beroperasi Fadly sudah boleh menarik nafas lega. Dibuka seawal jam sebelas pagi dan di tutup pada pukul 9 malam. Kedudukan cafenya yang berhampiran pejabat dan premis perniagaan lain seringkali menjadi tumpuan apabila tiba waktu makan tengah hari.

Selain dari menyediakan hidangan nasi campur, pelanggan juga boleh memesan nasi goreng, mee goreng, satay, roti canai, teh tarik dan lain-lain. Pelanggan juga boleh menikmati makanan ala barat seperti steak, burger dan kentang goreng. Diskaun sebanyak 15 peratus di berikan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di Australia, pekerja kedutaan dan krew penerbangan seperti Air Asia, Malindo Air, Garuda, Royal Brunei dan MAS.

Ketika misi pencarian MH370 di Lautan Hindi beberapa tahun lalu Insan’s Café telah dipilih dan ditugaskan bagi menyediakan makanan untuk anggota tentera Malaysia yang menyertai misi pencarian tersebut. Malah Insan’s café juga menjadi pilihan Sultan Johor ketika berada di Perth termasuk orang-orang kenamaan Malaysia lain juga artis-artis dari tanahair.

Apabila di tanya apakah makanan kesukaan penduduk tempatan apabila berkunjung ke cafenya, Mohd Fadly memberitahu kari kambing. Bagi memenuhi keperluan itu Fadly menyediakan lima belas ekor kambing untuk dua minggu dan bekalan daging kambing di perolehi dari Katanning sebuah perkampungan Melayu Muslim yang terletak di selatan Perth.

Kepada yang berhasrat berkunjung ke Perth bolehlah singgah di Insan’s Café. Anda pasti tidak akan kecewa kerana keenakan makanan yang di sediakan memang memenuhi selera.



Pemilik Insan's cafe Mohd. Fazly Mohd. Nor.


(nota sweetie: Maaf kepada pemenang 'contest' belum sempat lagi mengeposkan hadiahnya.)

Friday, July 14, 2017

Berjemur di pantai Scarborough...


Menyaksikan peluncur ombak lautan Hindi di pantai Scarborough
beraksi di atas papan luncur mereka membelah ombak tanpa ada sedikit
pun rasa takut dan curiga akan kehadiran jerung.

Lebih kurang sejam perjalanan dari Rockingham sampailah di Scarborough. Tetapi jika dari pusat bandar Perth dekat sahaja... kira-kira 20 minit memandu kereta. Terletak di utara bandar Perth Scarborough terkenal kerana pantainya yang cantik, berpasir halus dan luas. Ketika berada di sini aku kagum dengan kebersihan pantainya.

Cahaya matahari terang dan panas. Suasana terasa suam dan nyaman dengan tiupan angin bersama deburan ombak dari Lautan Hindi. Dan aku mengambil peluang ini duduk berjemur sambil memerhatikan peluncur ombak beraksi di atas papan luncur mereka. Di atas helikopter berlegar-legar mengawasi peluncur ombak dan perenang. Jika kelihatan jerung berhampiran siren akan dibunyikan.

Dan sebelum masuk ke pantai kita pasti jumpa tanda-tanda amaran dan arahan ini.


Peringatan untuk peluncur ombak


Peringatan untuk pejalan kaki dan pengayuh basikal.


Mula-mula nampak tanda amaran ini aku terkedu kejap. Tak berani 
nak meneruskan langkah. Papan tanda seperti ini bukan saja terdapat di pantai 
Scarborough tetapi juga di pantai Shoalwater Marine Park.


Pantai Scarborough bersih dan berpasir halus.


Apapun aku tetap ngeri mendekati dan mencecahkan kaki di gigi air. 
Ombak lautan Hindi tinggi dan tepi-tepi pantainya pun dalam. Patutlah 
jerung boleh berenang hingga ke pantai.

(nota: pemenang yang meneka di mana aku berada sekarang telah di umumkan di entry sebelum ini.)

Tuesday, July 11, 2017

Bukanlah merajuk...

Ada seorang bekas rakan sepejabat aku dulu kata, konsep raya aku ala-ala retis (artis)... beraya di perantauan.

Yelah kan... 1 Syawal atau hari raya sudah semesti di tunggu oleh setiap orang. Masa inilah kita bertemu dan berkumpul adik beradik. Ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung sanak saudara jauh dan dekat... tapi aku 'melarikan diri' jauh di perantauan.

Sebenarnya bukanlah membawa diri atau merajuk tapi ini sajalah masa yang ada dan peluang untuk membawa kakak aku berehat dari menjaga dan mengasuh anak adik lelaki aku seramai empat orang. Dan memenuhi keinginan kakak aku merasai suasana winter.

Menyambung dari entry terdahulu... berapa orang rakan blogger yang cuba meneka di mana aku berada sekarang mungkin tertunggu-tunggu akan jawapannya. Ok! baiklah. Kepada blogger A, B dan C sila beri alamat di email sweetie.

..........................................................

Pagi hari ke empat kami di Perth... birthday Ojet. Hari ini kami bercadang untuk ke Penguin Island. Sebelum keluar dan sambil menyanyikan lagu 'Happy Birthday' aku hulurkan hadiah untuknya.

Ini tahun ketiga birthday Ojet jatuh pada hari raya dan kali kedua di sambut di luar negara... Tapi itu bukanlah tujuan kami berkunjung ke Australia ini. Rancangan untuk berlibur di Australia telah lama diatur. Jadi kami memilih untuk datang bersempena dengan cuti Hari Raya. Seperti yang aku kata, menggambil kira cuti Ojet dan cuti kakak aku.


Jeti untuk ke penguin island di belakang.


Di belakang sebahagian rumah-rumah kediaman yang 
mengadap Lautan Hindi di Shoalwater.

Dari apartment yang kami sewa di Mountbay Road untuk ke Rockingham mengambil masa kira-kira 1 jam lebih untuk sampai. Lalu lintasnya lancar. Aku memandu melalui Mitchell Fwy dan Kwinana Fwy kemudian menyusur keluar ke Anketell Road.

Sepanjang perjalanan aku sudah memasang angan-angan... ingin menyaksikan penguin lebih dekat. Menyentuh dan bermain dengan dolphins yang berenang bebas di laut.

Kami sampai agak lewat di Rockingham Wild Encounters yang terletak di Shoalwater Island Marine Park. Dan kami terlepas feri pukul 10 pagi yang membawa pengunjung ke Penguin Island. Tiket untuk feri yang bergerak pukul 12 tengah hari pula cuma tinggal satu saja. Hampalah harapan aku untuk menyaksikan penguin secara dekat dan berenang bersama dolphins di lautan Hindi.

Bila aku cakap, frustlah tak dapat swim dengan dolphins, kakak aku kata, eloklah, mana tahu tengah-tengah main dengan dolphin, shark datang.

Sebelum meninggalkan Shoalwater aku dan Ojet berjalan-jalan di kawasan sekitarnya sambil mengabadikan kenangan di lensa kamera kami.

Kami tinggalkan Shoalwater lewat tengah hari dan Ojet mengajak aku ke Scarborough beach yang terletak kira-kira 1 jam perjalanan. 

(nota: Tekan huruf A, B dan C warna merah dalam para ke empat untuk mengetahui siapa yang mendapat fridge magnet dari Aussie. Jangan lupa emailkan alamat sekali untuk urusan penghantaran)

Wednesday, July 5, 2017

Kira satu contest la...


Seperti yang di inginkan...'my new car'

5.30 pagi. Suhu 7 darjah celcius menunggu kedatangan... Sebaik sampai di balai ketibaan Ojet beli sim kad dulu . Lepas tu kami terus ke kaunter kereta sewa Hertz untuk ambik kunci kereta. Semua urusan penyewaan dan pembayaran sudah di buat dalam online sebelum aku datang.

Keluar saja dari balai ketibaan udara dingin menyapa. Dahlah penat dan mengantuk kerana sepanjang 6 jam penerbangan dari KL aku tak tidur. Aku macam blur dan bingung sikit tiba-tiba 'diterkam' suasana winter. Macam tak boleh nak tumpukan pemikiran. Berpusing-pusing kejap sambil menarik dua beg bagasi mencari di mana kereta yang aku sewa di letakkan. Seorang pemandu teksi yang dapat mengagak apa yang sedang aku cari menunjukkan tempatnya.


Hadiahnya fridge magnet untuk rakan blogger
yang pertama beri komen dan menulis nama negara 
yang aku tunjuk... Cepat mama aryan!

Seperti yang aku inginkan, sebuah suzuki swift warna merah. Tapi kelakarnya aku tak tahu nak bukak bonet kereta tu. Puaslah aku dan Ojet mencari-cari di mana 'punatnya'. Akhirnya aku dekati sekeluarga pelancong dari Indonesia yang juga sedang menyusun bagasi dalam bonet kereta sewanya. Si suami begitu baik dan cuba membantu. Puas juga dia mencari-cari akhirnya jumpa juga. Rupanya tekan saja butang di bahagian bawah pintu bonet. Hahaha...

Settle semuanya... aku mula bergerak. Hala tuju kami ke Belmont. Ojet di sebelah penunjuk arahnya dan sentiasa mengingatkan aku... "mak, masuk kiri..., mak, jalan terus..., bagi signal!"

Sampai di Belmont... kedai dan supermarket pun tak buka lagi. Masih pagi... baru pukul 7. Dan aku terus memandu menuju ke appartment yang kami sewa.

(nota mak: kira story ni satu contest-la. tapi jawapan mesti tepat. Bukan nama negara je, beri nama tempatnya sekali. Klu dah bagi dalam story. Tapi ada beberapa orang rakan blogger dah tahu di mana saya berada sekarang... so mereka kalau meneka di kira bukan pemenang yer...)

Sunday, July 2, 2017

Salam Aidilfitri dari perantauan...

Ramadan dah berlalu dan Syawal juga sudah tiba. Tanpa disedari hari ini sudah seminggu Syawal bertamu di hati kita semua. Dan bila aku toleh semula dan hitung kembali hampir setahun juga aku bersara dari dunia pekerjaan. Dulu ketika di alam pekerjaan bulan Ramadan adalah bulan yang paling manis sekali untuk di kenang... Berbuka bersama rakan-rakan di perkarangan pejabat dan bersolat terawih berjemaah bersama di surau tempat kerja. Bila Syawal pula setiap department akan buat jamuan raya. Meriah!

Sekarang semua itu sudah jadi kenangan yang tetap kekal dalam ingatan selamanya. Dan Syawal kali ini juga untuk kedua kalinya aku berada jauh dari tanahair Malaysia. Tiada suasana hari raya dirasa dan diraikan. Sekadar bercuti melepaskan lelah...


Bercuti dan berkelana seketika 
di perantauan. Menikmati musim dingin.

Buat semua rakan-rakan blog Salam Aidilfitri dariku di perantauan...