Friday, May 31, 2019

Sampai Juga ke Paris...

(catatan siri jalan-jalan Europe 5)

Senja menanti kedatangan mak dan rakan di Paris. Seharian di jalan raya. Penatnya tak dapat digambarkan. 

Sepanjang perjalanan dari Calais menuju ke Paris mak melihat ladang-ladang pertanian di kiri kanan jalan. Saujana mata memandang. 

Petani di sini bertani mengikut musim. Musim panas tanam tanaman lain, musim bunga tanam benda lain pula dan begitulah musim-musim seterusnya. Bertukar-tukar ikut kesesuaian keadaan dan cuaca.

Kelihatan juga wind turbine didirikan dalam kawasan ladang. Dapat di lihat merata-rata... Gunanya untuk menjana kuasa elektik. Satu wind turbine boleh menjana kuasa elektrik untuk 800 buah rumah.

Sepanjang melalui highway ini mak tak nampak pun 
papan-papan iklan macam highway di negara kita.

Wind turbine... 

Sesuatu yang mak paling tak lupa dan kenang selama perjalanan ini ialah berhenti di satu RnR untuk solat. Tidak ada surau atau ruang lapang di RnR tersebut yang boleh mak dan rakan jadikan tempat untuk solat. Jadi kami solat di luar... atas rumput.. tepi jalan.

8.30 malam mak dan rakan sampai di hotel penginapan. Vienna House Magic Circus yang terletak di Avenue de la Fosse des Pressoirs. Cantik hotelnya. Macam castle lama-lama. Hiasan dalamnya pun menarik... dengan tema warna kuning dan merah. Dan hotel ini terletak berhampiran dengan taman tema Disneyland, Paris.

Pintu bilik di lukis dengan gambar langsir.

Sebaik saja masuk ke bilik mak teruja melihat suasana
dalamannya. Ada katil quens dan katil dua tingkat. Mak tidur atas
katil dua tingkat bahagian bawah.

(nota mak: Bila mak call Ojet cerita pasal solat tepi jalan tu, sebab masa dalam feri asyik berborak dia jawab, "tak memasal..."

Habis nak buat macam mana, hotel jauh lagi. Takut tak sempat nak jamak zuhur dan asar.)

Wednesday, May 29, 2019

Dari Dover ke Calais...

(catatan siri jalan-jalan Europe 4)

Dover sebuah bandar pesisir (coastal town) yang terletak di Kent tenggara England. Juga merupakan terminal pelabuhan feri ke Calais, Perancis.

Ketika kenderaan yang dinaiki memasuki bandar dan menghampiri perlabuhan kelihatan istana Dover yang di dirikan atas tebingnya yang tinggi. Dulu ianya dibina untuk mengusir pencerobohan dari Selat Inggeris, Di bawahnya terdapat terowong yang di panggil Tunnels Wartime Secret. Tebing kapur yang berwarna putih merupakan simbol perlindungan dan daratan paling dekat dari Britian ke benua Eropah. Ia juga dikenali sebagai Cliffs of Dover atau Cliffs Putih.

Cliffs of Dover atau Cliffs Putih... di atasnya ada sebuah istana yang
dipanggil Dover Castle dan dibahagian bawahnya terdapat terowong rahsia.

Ketika sampai di kawasan perlabuhan kelihatan banyak lori-lori
besar dan kereta berbaris panjang masuk ke terminal untuk
menyeberangi Selat Inggeris ke Calais, Perancis.

Feri P&O yang membawa penumpang dari Dover
untuk ke Calais, Perancis.

Suasana dalam feri P&O.

Sebaik saja kenderaan yang kita naiki masuk ke perut feri, semua penumpang di minta turun dari kenderaan masing-masing... dan naik ke tingkat atas di mana terdapatnya cafe, kaunter pengurup wang (money changer) dan juga mini market. 

Besar juga feri P&O ini dan ada beberapa tingkat. Untuk tidak tercari-cari atau sesat apabila ingin kembali semula ke kenderaan yang ditinggalkan di bahagian bawah, penumpang sentiasa diingatkan supaya menggunakan tangga atau lift yang sama ketika naik dan turun. 

Setiap tangga dan lift di tandakan dengan warna-warna. Kalau ketika kita naik menggunakan lift atau tangga yang dilekatkan dengan warna kuning, jadi gunakan tangga dan lift yang sama juga ketika turun. Untuk yang dah biasa mungkin perkara ini tidak menjadi masalah. Tapi bagi mak yang pertama kali memang keliru juga.

Perjalanan menyeberangi Selat Inggeris dari Dover ke Calais mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Oleh kerana musim winter baru saja berlalu hembusan bayu Selat Inggeris terasa sejuk dan dingin. Kebanyakan penumpang cuma duduk berbual dan minum saja di cafe bahagian dalam feri. 

 Sepanjang pejalanan menuju ke Calais, mak rasa pening kerana
feri terasa terumbang ambing sedikit oleh alunan ombak.

(nota mak: Dah janji dengan Ojet, mak akan hantar mesej padanya sepanjang dalam kembara ini. Bila mak beritahu dah nak ke Paris, dia balas "Owh! nak masuk negara yang tak pernah masuk la ni... hati-hati mak, jaga barang-barang!")

Tuesday, May 28, 2019

Kasut Untuk Abang...

(catatan siri jalan-jalan Europe 3)

Pagi di Heston Hyde Hotel, Hounslow... udara dingin menyapa sebaik keluar dari pintu hotel. Bila bercakap keluar wap putih dari mulut... 

Sementara menunggu beg-beg pakaian di masukkan ke dalam kenderaan mak berfoto di laman hotel. Destinasi pagi ini terminal feri di Dover. Dari situ mak dan rakan akan menaiki feri menyeberangi Selat Inggeris menuju ke Calais, Perancis.

Dalam perjalanan ke Dover kami singgah sekejap di Designer Outlet Ashford. Mak mulanya tidak bercadang untuk membeli apa-apa di situ memikirkan mak cuma ada seratus lima puluh pound saja dalam tangan.

Berselfie di pintu masuk..

Ashford Designer Outlet, branded shopping outlet terbesar di UK.

Kasut untuk abang... empat puluh lima pound.

Namun sebaik saja melangkah masuk ke dalam kawasan itu mak jadi teruja. Ada beratus kedai barangan berjenama. Luas, teratur dan bersih persekitarannya. Tandasnya juga bersih.. itu yang penting.

Mak menapak dari satu kedai ke satu kedai. Mana yang berkenan mak singgah dan belek-belek... sehinggalah mak sampai di pintu kedai kasut berjenama popular... terus teringatkan abang. Dan belikan abang sepasang kasut. Walaupun dia dah bekerja dan mampu beli sendiri tapi sifat emak dah memang begitu. Anak-anak sentiasa menjadi keutamaan.

(nota mak: ...dan mak beli purse jenama Fossil untuk diri sendiri.)

Sunday, May 26, 2019

Menyusuri Oxford Street..

(catatan siri jalan-jalan Europe 2)

Menyusuri kaki lima kedai sepanjang Oxfort Street. Orang begitu ramai. Boleh dikatakan semua kedai-kedai di situ sesak dengan pengunjung. 

Tidak seperti pertama kali mak datang enam tahun dulu. [link] Terasa seronok menyusuri dari satu kedai ke satu kedai. Setiap sudut berhenti bergambar. Kini tidak lagi. Barangkali kerana usia yang semakin meniti senja. ... cepat terasa penat dan tidak ada apa yang menarik di situ untuk seorang perempuan tua seperti mak.

Mak tengah kira duit syiling... 

Dalam tangan ketika itu hanya ada seratus lima puluh pound sahaja. Mak bercadang membelikan baju raya untuk anak saudara... si kembar Alya dan Alyah. 

Dengan duit seratus lima puluh pound itu tentulah pilihannya gedung Primark. Murah dan sesuai dengan bajet mak. Kalau pandai memilih memang dapat yang cantik-cantik. Dengan harga lapan pound mak kira boleh dapat sehelai gaun kanak-kanak perempuan.

Sebaik saja melangkah masuk Primark orang ramai bersesak-sesak. Mungkin kerana hari itu hari Sabtu, kebanyakan warga London keluar bershopping. Mak rasa macam nak pitam. Kaki pulak terasa berat-berat untuk melangkah. Walaupun jumpa gaun yang mak cari tapi kerana Q yang terlalu panjang di kaunter bayaran... mak letak balik barang... tak jadi membeli.

Usai solat di London Central Mosque mak makan nasi briyani kambing di cafe masjid. Boleh tahan sedap tapi sebab badan letih... hanya separuh sahaja yang mampu mak makan.

Singgah solat di London Central Mosque

Briyani kambing.

(nota mak: kali ni mak ke London bersama rakan sewaktu sekolah rendah dulu. Setelah puluhan tahun tidak berjumpa tiba-tiba dia menghantar mesej mengajak bertemu dan melancong)

Friday, May 24, 2019

Musim Bunga Yang Mengujakan...

(catatan siri jalan-jalan Europe 1)

Pagi menyambut kedatangan mak di Gatwick Airport, London. Udara sejuk dingin menyapa sebaik keluar dari balai ketibaaan. Ketika ini musim bunga baru menunjukkan wajahnya. Kepenatan menempuh penerbangan selama tigabelas jam termasuk transit empat jam setengah di Dubai bagaikan tidak terasa.


Seakan tidak percaya mak kembali menjejakkan kaki di London. Terkenang tiga tahun dulu mak sekeluarga merayakan Aidilfitri di sini kerana menghadiri majlis konvokesyen abang di Universiti Sheffield yang ketika itu jatuh pada hari raya.[link] Dan mak mengambil kesempatan itu untuk tinggal selama sebulan lebih di Sheffield. Sekembalinya ke Malaysia selepas itu, mak tidak pernah terfikir akan menjejakkan kaki di UK lagi.

Tapi selepas tiga tahun berlalu... kini mak melangkah lagi di celah-celah kesibukan kota metropolitan ini. Di bumi empat musim ini mak kembali menyaksikan ragam pengunjungnya. Menghirup udara dinginnya dan menyaksikan keindahan musim bunganya.

Putih dan menawan.

Cherry blossom yang banyak di temui sepanjang jalan-jalan yang mak lalui.

Sebatang pokok merah menyala yang tumbuh di Buckingham Garden

Tak tahu apa nama pokok ni tapi nampak menarik dan unik di mata mak.

 Sepanjang jalan menuju ke hotel penginapan di Hounslow.

(nota mak: Allah berikan nikmat dan berpeluang menjejakkan kaki di London untuk kali yang ketiga..")