Thursday, July 29, 2021

Sampai Bila...

Diam tak diam dah setahun setengah berkurung. Cepat sungguh masa berlalu. Hampir dua tahun kita hidup dalam suasana pandemik.

Ingatkan dulu wabak covid ni paling lama pun mungkin empat lima bulan saja. Rupanya berlarut-larutan hingga ke saat ini. Entah bila akan berakhirnya. Dan hingga ke saat ini entah berapa banyak pula nyawa yang terkorban.

Dalam minggu ini saja mak mendapat perkhabaran empat kematian di kalangan jiran-jiran mak. Sukar untuk mempercayai tapi itulah hakikatnya. Semalam kita nampak masih sihat. Masih tersenyum dan melambai-lambaikan tangan pada kita dari pintu rumah mereka... tapi hari ini mereka hilang. Tidak kelihatan lagi. Tahu-tahu dapat perkhabaran mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Mudahnya kematian.

Bukannya tak rimas berkurung saja begini... tapi mahu buat macam mana lagi. Selagi penawarnya belum di jumpai, selagi itulah kita terpaksa patuh pada 'tata cara kehidupan ketika ini'. Ikutkan hati... telah lama meronta-ronta untuk keluar berjalan-jalan di luar sana tanpa topeng muka.

Selepas suntikan vaksin dos pertama.

Mak pun sudah lengkap dua dos vaksin. Hari ini anak dara mak Ojet pergi melengkapkan dos vaksinnya ditemani siabang. Masa mak pergi untuk suntikan vaksin pun anak bujang mak juga yang temankan. Sampai duduk disebelah masa suntikan vaksin itu di buat.

Memang pada mulanya mak takut untuk dapatkan suntikan itu. Melihatkan jarum suntikan pun sudah menggeletar satu badan. Bila anak-anak tanya sudah daftar ke belum... mak cakap mahu tunggu dan lihat saja dulu. Dalam hati ketika itu mengharapkan wabak ini akan segera berakhir.

Tapi harapan mak itu tinggal harapan saja. Melihatkan ramai rakan-rakan semasa bekerja dulu sudahpun mendapatkan suntikan vaksin masing-masing mak beranikan diri mendaftar. Dan anak bujang mak janji akan menemani mak ketika suntikan itu dilakukan.

Tidak lama, seminggu selepas pendaftaran awal bulan Jun kelmarin mak dipanggil ke PPV Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) Seperti yang di janjikan anak bujang mak si abanglah yang menemani mak ke sana. Hingga selesai dos kedua si abang juga yang bawa mak ke PPV.

Sekarang, walaupun sudah lengkap dua dos tapi mak masih berkurung juga di rumah. Sampai bila? Hanya Allah saja yang tahu.

Tempat menunggu untuk pendaftaran. Banyak kerusi
 kosong. Lenguh kaki mak berjalan hingga ke hujung sana. 

Keluar dari dewan PPV anak bujang mak belikan 
buah-buahan ini untuk mengalas perut yang lapar.

'Masakan di hujung jari' yang disediakan oleh anak dara mak Ojet 
untuk lunch sekembalinya mak dari suntikan vaksin.

Monday, June 28, 2021

Terima Kasih YB...

Ahad yang dijanjikan sudah berlalu dan permata hati mak akhinya memberikan jawapan. Setelah di timbang tara dan di fikirkan sekali lagi dia menolak tawaran yang datang. Walaupun berada di tempat itu adalah cita-citanya namun banyak perkara juga yang harus di ambil kira. Mentelahan pula lantikkan itu bersifat politik.

Walaupun dia agak serba salah dan hampir tidak mampu untuk menolaknya... namun melihatkan keadaan situasi dalam negara ketika ini, mak tidak mahu dia kecewa dimasa akan datang. Sungguhpun dia menyakinkan mak bahawa dia bukan seperti enam tahun dulu... tapi sebagai mak yang melahirkannya kebimbangan itu tidak mampu mak hindarkan.

Pada mak dia terlalu muda untuk tugas tersebut. Senang cerita permata hati mak masih bujang. Girlfrend pun tidak ada lagi. Sudah tentu bila dia menerima jawatan tersebut jadual masanya akan terlalu sibuk. Dan jika tidak kerana covid barangkali keluar negara juga. Mungkin mak sendiri jarang dapat bersua muka kerana kesibukkannya.

"Kenapalah tawaran ini datang ketika dalam keadaan begini!.." begitulah keluhannya. Nasihat mak padanya, jika telah tertulis sejak azali rezekinya ada dibidang itu... tawaran serupa akan datang lagi. Buat masa sekarang fokus saja pada kerja yang sedia ada.

Apapun terima kasih kepada YB menteri yang tidak ragu-ragu dan menaruh kepercayaan pada permata hati mak. InsyaAllah jika 'berjodoh' permata hati mak pasti sanggup untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Thursday, June 10, 2021

'Di Lamar' VIP...

Mak cuma boleh beri nasihat dan pandangan. Selebihnya biarlah dia yang fikir sendiri dan tentukan. Nak terima atau tidak. Keputusan yang bakal di ambil melibatkan perjalanan hidup masa depan. Mak tak boleh nak kata 'tidak'... juga tak boleh nak kata 'ya'. Lamaran ini bukanlah yang pertama tapi sudah dua kali datang.

Sebolehnya mak tidak mahu permata hati mak ini kecewa lagi. Cukuplah lihat dia menangis dan merintih enam tahun dulu.

Enam tahun dulu, sekembalinya ke tanah air usai menyudahkan pengajiannya di luar negara... dia berharap dapat meneroka bidang yang dipilihnya. Bekerja dalam bidang oil and gas. Tapi waktu itu keadaan tidak seperti yang diharapkan. Harga minyak di pasaran dunia jatuh merudum. Banyak syarikat minyak ternama menghentikan sementara operasi mereka. Malah ada juga yang mengecilkan tenaga kerja.

Tidak dinafikan, mak juga sedih melihat situasi yang dilaluinya. Puas memberikan kata-kata nasihat dan semangat padanya supaya dia tidak terus down. Hinggalah dia akhirnya dengan berani menukar haluan. Walaupun mak kurang bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Waktu itu mak pula yang rasa kecewa. Ibarat kata, mak mahu dia begitu... tapi dia pilih begini.

Dengan pengalaman dan kelebihan yang dikutipnya sepanjang tempoh menuntut di luar negara dia dengan beraninya menghubungi seseorang yang berpengaruh di syarikat tempat dia bekerja sekarang. Dia beritahu dia ingin bekerja di situ... yang akhirnya dia dipanggil untuk di interview dan di terima.

Selama bekerja dan menyandang jawatan yang dipegangnya sekarang permata hati mak ini nampak happy dan puas dengan apa yang dilakukannya. Tugas yang di pikul membuatkan dia semakin matang dan berani malah juga di kenali... Hinggalah sesuatu yang tidak di sangka-sangka datang... permata hati mak dilamar VIP untuk mengisi kekosongan satu jawatan.

Setelah berbincang dan mengambil kira pandangan beberapa orang rakan serta keadaan situasi semasa... lamaran itu di tolak dengan alasan dia masih baru dalam bidang yang di ceburinya.

Mak nasihatkan dia carilah dulu pengalaman. InsyaAllah kalau ada rezeki... peluang yang sebegitu akan datang lagi. Ya... seminggu yang lepas permata hati mak dapat offer lagi. Dan semalam dia telah pun ke Putrajaya bertemu VIP berkenaan. 

Dan permata hati mak minta tempoh hingga Ahad ini untuk memberikan jawapan. Dalam hati mak terselit juga sedikit rasa bangga. Dalam usia dua puluh sembilan tahun permata hati mak mendapat perhatian dan kepercayaan untuk menggalas satu tugas yang begitu berat dan mencabar... 

Manisnya lamaran ini, permata hati mak pernah mendapat hadiah galakan dari VIP berkenaan kerana keputusan cemerlangnya dalam PMR tahun 2017.

Nampaknya tak sia-sia permata hati mak bergiat aktif sebagai debeter ketika di universiti dulu serta mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana itu antara sebab kenapa dia ditawarkan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Tuesday, May 11, 2021

Semestinya Ini Satu Kenangan...

Ramadan telah pun sampai ke penghujungnya... dalam serangan covid yang entah bila akan berakhir...tiada siapa yang boleh memberikan jawapannya. Ini kali kedua kita menempuh ramadan dengan norma baharu. Ramadan yang akan datang belum tahu lagi bagaimana pula.

Walaupun telah hampir dua tahun hidup kita dibelenggu oleh pandemik ini... dan kita tidak lagi sebebas dulu ke sana ke sini... malah bazar ramadan tidak lagi semeriah dulu... namun ada cerita baharu pulak yang berkisar dalam hidup mak di ramadan tahun imi.

Tidak di sangka-sangka mak dapat beberapa tempahan kuih dari jiran dan rakan-rakan. Ini kali pertama tanpa sengaja mak berniaga kuih di bulan ramadan. Sekadar suka-suka berniaga dari rumah. 

Antara kuih-muih yang mak buat ialah kuih lompang, kuih lapis, karipap, serimuka, nona manis, apam labu, koci pulut hitam dan cara berlauk. Alhamdulillah! feedback dari pelanggan semuanya berpuas hati. 

Kuih lompang

Karipap dan kuih lapis

Karipap dan kuih serimuka

Nona manis

Apam labu kuning

Koci pulut hitam

Kuih lompang dan seri muka

Cara berlauk

Sudah semestinya satu kenangan dalam hidup mak di ramadan kali ini. Sesuatu yang tidak dirancang dan anak-anak memberi galakan... malah ianya memberi satu keseronokkan pula.

Friday, January 22, 2021

Kerana seekor lipas...

Ketika menunggu rawatan.

Kisahnya kerana takut dan ingin lari dari seekor lipas kaki mak tersadung di bendul bilik air dan jatuh tertiarap. Untuk menahan diri dan dagu dari bertembung dengan bibir bendul tangan kanan mak cuba menahan dan mengampu badan dari terhentak sepenuhnya ke lantai.

Selepas jatuh tak rasa sakit. Cuma tangan kanan rasa kebas. Ingatkan cuma salah urat. Panggil tukang urut. Tapi selepas diurut sakitnya semakin kuat.. Tangan tak boleh di angkat dan di gerakkan. Semalaman mak menangis menahan sakit. 

Esoknya Ojet bawa ke hospital. Selepas di x-ray, doktor kata ada kalsium beku dan mengeras di sendi bahu. Lebih kurang bergitulah. Mak pun tak fokus sangat dengan apa yang doktor cakap masa itu kerana tak tahan menanggung sakit.

Sejak kejadian itu hingga kini tangan kanan tak boleh melakukan banyak sangat kerja. Itulah mulanya... sekitar bulan Julai tahun lalu. Sejak itu blog mak ini terbiar sepi. Walau dalam hati sebenarnya ingin sangat membuat catatan. Banyak sebenarnya yang ingin ditulis di sini sebagai kenangan di masa hadapan.