Wednesday, May 17, 2017

Seram...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran


Teman kala sendirian dan mengupdate
blog ketika malam sunyi.

Untuk beberapa hari ini aku sukar untuk melelapkan mata dan tidur malam. Mungkin di sebabkan udara sekeliling agak panas walaupun di luar hujan, lembab dan sejuk.

Bunyi lolongan anjing yang panjang dan sayup menakutkan serta menyeramkan. Bila aku tengok jam ia seringkali kedengaran pada pukul tiga pagi. Kemudian dikuti bunyi seakan burung-burung terbang bertebaran. Adakalanya aku merasakan seolah-olah ada seseorang menjenguk di luar pagar.

Hingga ketika azan subuh kedengaran aku masih lagi terkebil-kebil. Sedang orang lain sudah mulai sibuk keluar mencari rezeki baru aku boleh tidur lena. Pernah beberapa hari lepas sebaik azan subuh di laungkan tiba-tiba di sahut lolongan anjing seakan-akan terperanjat dan kemudian senyap.

Di hujung lorong selang empat pintu dari rumah kawasan tempat tinggal aku ini ada satu kawasan hutan belukar. Yang dipisahkan oleh satu longkang besar. Kawasannya sedikit berbukit dan berlembah, sejuk serta suram. Seingat aku dahulu ada sebatang anak sungai. Sekarang aku tak pernah lagi menjenguk ke situ... takut terserempak dengan ular. Jiran yang tinggal di hujung sekali ada beritahu dia pernah terlangkah seekor ular kapak/tedung yang sedang menyusur dalam longkang besar di situ.

Dan beberapa bulan lepas seekor ular sawa telah menangkap anak kucing peliharan jiran yang tinggal selang satu pintu dari rumah aku. Ular sawa itu dapat di tangkap oleh JPAM dan anak kucing tersebut dapat di selamatkan.

Bercerita dengan kakak aku tentang apa yang aku dengar dan alami akhir-akhir ini... dia sarankan aku ambil wuduk dan baca Al-Quran. Dan kalau terdengar benda yang pelik-pelik di luar rumah jangan jenguk atau 'tegur'. Mengikut kata-kata arwah nenek aku dulu... kakak aku beritahu itu penanggal. Terbang melintas pergi 'berburu'. Maksud pergi berburu itu tidaklah aku faham... apa yang di burunya. Dan kalau terdengar seperti bunyi pasir berserakkan itu langsuir kata adik ipar aku.

Kakak aku cakap sentiasa beringat dan kuatkan semangat. Tambah-tambah aku tak berapa sihat kebelakangan ini. Teringat suatu petang... sebelum aku diserang sakit kepala yang melampau beberapa minggu lepas... aku berjalan-jalan dengan tujuan untuk mengeluarkan peluh di lorong rumah aku ini. Sampai di hujung lorong aku nampak sebatang pokok kekabu sedang berbunga lebat. Aku cakap dengan jiran yang tinggal berhampiran tentang  bunga pokok kekabu itu... elok diambil dan buat bantal. Pantas jiran tu cakap, "ish! ada penunggunya. Dah ramai yang nampak". Aku antara percaya dengan tidak dengan kata-kata jiran tu. Selesai exercise hujan turun rintik-rintik. Waktu itu hampir senja.

Selang beberapa hari selepas itulah aku di serang sakit kepala yang teramat sangat. Serangan tiba-tiba itu datangnya waktu senja. Bermula dengan kedua-dua kaki aku rasa berat-berat. Kemudian naik ke perut... rasa senak dan nak muntah... dan terasa sakit di ulu hati. Tak semena-mena kepala rasa sakit dan berdenyut-denyut seakan-akan urat darah akan pecah.

Turutan dari itu, setiap waktu senja aku akan mengalami sakit ulu hati dan sukar bernafas. Hubby ada tanya, ada tak aku terpijak atau terlanggar apa-apa waktu aku exercise petang itu. Katanya cuba ingat balik... entah! Rasanya tak ada cuma time tu perasaan aku ada rasa kurang tenteram. Seolah-olah ada yang memerhati...

(nota mak: selalunya sebelum masuk tidur selepas isyak aku akan buang sampah dulu... tapi rasanya lepas ini tidak lagi... serammm! Teringat cerita jiran teman jogging yang aku ceritakan sebelum ini...)

Monday, May 15, 2017

Ajari aku...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran


Sedap rebus dan cicah dengan sambal. Ada juga 'gossip' 
aku dengar ia juga elok untuk orang yang berdiet.

Akhir-akhir ini aku suka beli lady finger. Buat rebus dan cicah dengan sambal belacan. Ojet pun suka kalau aku buat masak asam pedas bersama ikan pari. Tak banyak dalam dua tiga tangkai saja dah cukup. Sebab dia suka tulah bila ke pasar aku gemar membelinya. Sebelum ini memang aku tak pernah beli.

Tapi ada kemusykilan pulak pada aku. Tak tahu nak pilih... yang macam mana elok, lembut dan sedap di makan. Aku kalau beli sayur ni, main ambik je... dan selalulah dapat yang keras. Dan kadang-kadang ada rasa kelat. Seringkali aku nampak pembeli akan patah-patahkan hujungnya. Untuk apa ye.

Minta tolong my sweet friends blogger... Ajari aku macam mana memilih sayur ni yang elok untuk di masak.


Sambal belacan yang di tumbuk secara manual... 
stok untuk seminggu.

(nota mak: my Ojet said pasal gossip boleh kurus tu... "memanglah kurus kalau makan sikit je... tapi kalau dah bercicah dengan sambal... dan bertambah-tambah dua tiga kali... tak boleh kurus jugak!.." hehehe... elok di cili je mulut dia tu kan...).

Saturday, May 13, 2017

Cabaran untuk kurus...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Misi turunkan berat badan aku ini akan berakhir selepas ramadan nanti. Dari target nak capai 4 kg nampaknya hanya berjaya kurangkan 2 kg saja. Lepas ramadan nanti bulan raya... faham-faham sajalah.

Antara cabaran untuk mengurangkan berat badan ini apabila kita suka memasak dan gemar makan. Dua hari lepas dalam masih ada saki baki rasa pening-pening tu sempat juga aku mengadun resipi japanese cotton cheese cake. Dan cantik pulak naik gebunya. Habis, macam manalah nak kurus kan.

Japanese cotton cheese cake


Lembut, halus dan gebu.


Sebaik keluar dari oven terus potong 
dua slice dan hmmmm! sedapnya menikmati 
kek yang di buat sendiri

Bahan-bahannya:

(1)
250 gm cream cheese
50 gm butter
100 ml susu segar
6 biji kuning telur
1 sudu besar jus lemon
1/4 sdk garam
60 gm tepung kek / tepung superfine
20 gm tepung jagung

(2)
140 gm gula (granulated sugar)
6 biji putih telur
1/4 sudu kecil cream of tartar

Cara mengadun:

1. Cairkan cream cheese, butter dan susu dengan teknik double boiler. Bila dah cair, sejukkan. Kemudian, campurkan tepung, tepung jagung, kuning telur, garam & jus lemon ke dalam adunan cream cheese dan gaul hingga sebati. Ketepikan. (Bahan A)

2. Dalam bekas lain, pukul putih telur bersama cream of tartar sampai berbuih-buih (foamy). Kemudian tambahkan gula dan pukul lagi sampai bertanduk (soft peak). (Bahan B)

3. Campurkan Bahan A ke dalam Bahan B dan kacau sampai sebati. Sediakan tin/bekas kek bulat berukuran 8 inci, yang digriskan bawah dan tepi serta alas dengan kertas baking. Tuangkan adunan.

4. Letakkan acuan kek atas dulang pembakar yang berisi air. Bakar kek lebih kurang sejam pada suhu 160 C / 325 F.

Tuesday, May 9, 2017

Nak tolong jagakan jer...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Memandangkan sekarang ini cuaca tak menentu... pagi petang hujan... memang tak ada apa aktiviti luar rumah yang dapat di lakukan. Tambahan lagi sekarang aku pun tak berapa sihat. Masih pening-pening lagi. Bila tak boleh pergi berjogging... aku bawak jugak badan bangun dan berjalan-jalan luar rumah supaya dapat udara luar dan sekurang-kurangnya ada juga exercise sikit. Paling tidak pun membelek pokok-pokok yang aku tanam dalam pasu-pasu tepi pagar rumah.

Sejak bersara, adalah aku buat aktiviti menanam satu dua pokok macam pandan, kunyit dan cili dalam pasu. Tengok pokok-pokok tu membesar dan memberikan hasil... hati rasa seronok. Lagi bersemangat nak tambah dengan tanam-tanaman lain.

Ajak kakak temankan beli lagi pasu dan tanah. Dalam hati bercadang nak tanam pokok halia, lengkuas, limau purut, pokok kari dan pokok kantan. Ini semua rempah ratus masakan yang selalu aku gunakan hari-hari.


Pokok daun kesum, pandan, kunyit dan 
sebelah pasu pokok kunyit itu pokok kemangi.


Buah sulung... hanya dua tangkai, 
Agaknya kurang baja. Pokoknya pun kecil.

Oleh kerana aku bercadang nak tanam halia, lengkuas dan kantan, aku belilah pasu yang besar. Mahal jugak tapi pada aku tak apalah bila mengenangkan hasil yang akan aku dapat nanti. Selain dari itu boleh juga jadi ganti pokok-pokok hiasan.

Menengokkan aku yang begitu bersemangat menyusun pasu-pasu di luar pintu pagar, jiran sebelah pintu tegur. Katanya, tak takut ke pasu-pasu tu di ambil orang. Jawapan aku...  dah tentulah tidak, lagipun siapalah yang nak ambil. Jiran tu senyum dan tak cakap apa-apa. Dia ni surirumah sepenuh masa. Dan aku pun offer, nanti dah tumbuh cantik pokok-pokok tu, kalau dia memerlukan... ambil sajalah... tak perlu minta kebenaran dari aku lagi.

Rupanya aku memang silap... selama bertahun-tahun tinggal di sini... ditambah dengan kesibukkan bekerja memang aku tak begitu 'rapat' dan mengenali jiran-jiran aku. Ada jugak yang cepat tangan dan suka ambil barang orang rupanya. Patutlah jiran sebelah pintu tu 'hint-hint' aku macam tu.

Tanpa sedar pasu-pasu tu hilang dan tepi pintu pagar kosong... Teringatkan kata-kata jiran sebelah pintu... aku rayau sampai ke hujung barisan lorong rumah aku dan terjumpa tiga buah pasu aku yang cantik tersusun di rumah jiran selang beberapa pintu dari rumah aku.

Bayangkan, aku terus tanya dan cakap dengan suami tuan rumah. Aku cakap itu pasu aku. Aku nak balik. Mahal aku beli tu. Mula-mula dia cakap "mana ada"... tapi aku cakap, aku kenal itu pasu aku. Langsung dia cakap,.. dia nak tolong jagakan jer... nanti dia gantikan dengan pasu lain... lalu di hantarkannya pasu-pasu lama, kecil dan dah sumping ke rumah aku untuk menggantikan pasu-pasu aku yang dah diambilnya.

Ralat betul rasa hati. Dahlah aku beli mahal... dekat nak RM80 aku beli tiga buah pasu tu... alih-alih senang-senang je diambil orang. Dan tiap kali aku lalu depan rumahnya dan terpandangkan pasu-pasu aku tu... gerammmmmmm je hati. Walaupun si abang kata, "halalkan jelah mak" tapi dalam hati aku kata "tak!"

Thursday, May 4, 2017

Dia minta kurang... alih-alih ini yang aku dapat...!

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Beberapa minggu ni badan tak beberapa sihat. Dua minggu sudah aku tiba-tiba di serang sakit kepala yang teramat sangat. Tak dapat nak gambarkan bagaimana kesakitannya yang terpaksa aku tanggung ketika itu. Yang terlintas dan terbayang dalam fikiran... mungkin 'saat' ku telah tiba.

Peluh dingin membasahi seluruh tubuh. Aku letakkan kepala atas pangkuan kakak sedang adik perempuan serta Ojet kelam kabut menuam kepalaku dengan airbatu. Aku menangis menahan kesakitan... dan berpesan dengan kakak, sekiranya aku mati tolong jagakan abang dan Ojet. Sayup-sayup dengar kakak aku cakap, "mengucap dan ingat Tuhan."

Sehinggalah kehari ini... saat aku menulis coretan ini, denyutan kesakitan itu masih terasa. Tapi aku gagahi juga bangun dan bergerak melakukan kerja-kerja rumah. Dan menyiapkan tempahan tart.


My homemade blueberry cheese tart.

Ceritanya, sejak bertahun aku ambil tempahan membuat tart dan kek, belum pernah lagi customer complain tentang harga. Dan aku amat percaya harga yang aku beri tu memang murah... sebab aku dah survey harga dari peniaga lain juga harga di kedai-kedai kek. Malah ada dua orang pelanggan yang tiap kali buat order dengan aku akan sentiasa bayar lebih dengan alasan untuk duit tol dan minyak aku menghantar pesanan mereka. Walaupun aku tak melalui tol pun. Mereka tu bekas rakan sepejabat aku dulu.

Dan ada seorang manager sebuah bank yang juga pelanggan tart aku kata boleh naikkan sikit harga tu sebab katanya murah sangat... dan tanyanya... "boleh dapat untung ke?" Tapi aku tak sampai hati nak naikkan harga sebab memikirkan keadaan ekonomi orang sekarang macam mana. Pada aku dapat balik pusingan modal dan sedikit keuntungan sudah memadai.

Tapi bila seorang jiran aku ini kata tart yang aku jual tu mahal, aku terdiam kejap. Inilah pertama kali customer cakap mahal. Dia minta kurang harga... padahal aku dah beritahu harganya awal-awal lagi sebelum dia buat tempahan. Itupun dia dah minta kurang 20 sen setiap biji... dan bila dia minta kurang lagi masa penghantaran tu aku cakap memang aku tak boleh kurangkan lagi harganya. Itupun aku cuma dapat balik modal dan untung sikit. Kalau aku beri dia harga yang diminta bukan saja untung malah modal pun lesap. Dahlah masa aku hantar tart tu ke rumahnya, dia pura-pura lupa pasal tempahan tu.

Nampak airmuka jiran ni tak puashati masa membayar pada aku. Sebelum aku bergerak meninggalkan rumahnya, sempat dia cakap.. "orang pencen.. kan selalunya banyak duit, Pergi melancong ke sana kemari..." Aku diam dan senyum terpaksa!

Dan sebaik aku sampai rumah dia hantar WhatsAPP pada aku... tulisnya "duit sana sini apa guna kalau tak berkat.., duit ringgit dan reta banyak tak boleh bawak mati..., hidup mewah di dunia tapi miskin di akhirat..!" Astagfirullah! Ada juga manusia macam ni yer.

Bila dingatkan balik, memang aku menyesal berurusan dengan orang macam ni. Cukuplah sekali ini... lepas ini aku tak mahu lagi ambil tempahan dari jiran-jiran. Menyesal aku bila mengingatkannya. Dahlah masa memasak tu badan tak sihat... alih-alih ini pulak yang aku dapat.

(nota mak: Mahu je aku jawab mesejnya tu begini, "Kalau dah tahu tak mampu, jangan nak berselera besar!" Geram tau! Tapi bila di fikirkan balik, tak perlu dilayankan orang macam ni. Buat apa nak panjang-panjangkan lagi. Anggap je dia macam katak bawah tempurung.


...dan ini pemberian dari seorang customer 
yang kerap buat order malah tolong promote lagi dengan
 kawan-kawan sepejabatnya. Terima kasih!)