Monday, July 15, 2019

Panorama Lucerne yang mengasyikkan...

Puas menggelongsor dan berfoto atas hamparan salji di puncak Titlis. Usai solat di tepi excalator stesen cable car, mak tinggalkan Engelberg dan Titlisnya dengan segendong kenangan manis yang bakal di bawa pulang bersama ke tanahair.

Dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di Weil am Rhein, Jerman. mak dan rakan singgah di Lucerne. Sebuah bandar yang terletak di pinggir tasik Lucerne di mana airnya keluar ke sungai Reuss yang mengalir di tengah bandar Lucerne.

Deretan pelancong mengambil kesempatan berehat-rehat 
di tepian tasik Lucerne.

Tasik Lucerne yang sangat jernih airnya hinggakan 
nampak ikan-ikan berenang di dalamnya.

Ketika mak dan rakan sampai di Lucerne cuaca agak panas. Kelihatan ramai pelancong duduk di pinggir tasik... berfoto dan menyaksikan panorama bandar Lucerne yang begitu mengasyikkan... di kelilingi banjaran gunung dan tasik yang jernih airnya dengan ikan-ikan dan itik bebas berenang di dalamnya serta burung-burung riang berterbangan.

Memandangkan harga barang seperti handbag, jam tangan, coklat termasuk key chain dan fridge magnet begitu mahal di Switzerland mak simpan saja duit. Dalam tangan cuma ada 200 swiss franc (CHF). Rasa sayang nak belanjakan.

Ada tidaknya mak cuma beli fridge magnet sebagai kenang-kenangan. Selebihnya masa yang ada mak gunakan kesempatan itu untuk bersiar-siar di atas chapel bridge sambil menunggu rakan mak berbelanja di kedai jam.

Lucerne menjadi tarikan pelancong kerana chapel bridgenya... iaitu satu-satunya jambatan kayu tertua di Eropah.

Di bina menyerong merentangi Sungai Reuss pada abad ke-14 ia berfungsi menghubungkan bandar lama di tebing kanan sungai Reuss ke bandar baru di tebing kiri. Uniknya jambatan ini kerana ia di hiasi beberapa lukisan yang di hasilkan sejak abad ke-17. Namun kebanyakan lukisan tersebut musnah dalam satu kebakaran pada tahun 1993.

Terdapat juga Wasserturm atau menara air yang tingginya 34.5 meter. Dahulu menara air tersebut digunakan sebagai penjara, ruang penyiksaan dan kemudiannya di jadikan sebagai arkib perbandaran Tetapi kini ia telah ditutup kepada orang ramai dan pelancong.

 Di belakang adalah jambatan kayu chapel/kapellbrücke yang
di bina menyerong merentangi Sungai Reuss

Chapel bridge/kapellbrücke dan menara air merupakan simbol
bandar Lucerne dan tarikan utama pelancong.

(nota mak: Di Lucerne juga dibina satu monumen singa atau lion monument yang seolah-olah bersedih untuk memperingati pengawal Swiss yang dibunuh ketika Revolusi Perancis di Tuileries Palace, Paris. Ketika rakan mak pergi melawat monumen tersebut, mak cuma menunggu di tempat letak kenderaan.)

Tuesday, July 9, 2019

Seperti berada di puncak dunia...


Tidak dapat di ungkapkan dengan kata-kata...  mak kini berada di Banjaran Alps... berdiri di antara kemuncaknya yang tertinggi...10,623 kaki dari paras laut iaitu gunung Titlis. Salah satu destinasi paling indah di Switzerland.

Titlis ibarat mahkota di tengah Switzerland. Kita akan berasa seolah-olah berada di puncak dunia ketika di situ sambil menikmati pemandangan salji.

Untuk sampai ke kemuncak Titlis, pelancung akan di bawa menaiki cable car dengan lapan tempat duduk dari Stesen Lembah di Engelberg untuk ke stesen Stand. Dari situ, pelancung di bawa pula menaiki cable car berpusing/gondola yang boleh memuatkan hampir 40 orang ke Stesen KTT, di puncak Titlis.

Sebaik saja cable car bergerak meninggalkan stesen... kelihatan kawasan penempatan penduduk di Lembah Engelberg yang sangat cantik... tasik serta sungai yang terbentuk dari glacier yang mencair dan pokok-pokok pine yang tumbuh di kiri kanan laluan cable car.

Sepanjang perjalanan mendaki ke puncak mak menikmati pemandangan panorama Alpen Swiss di sepanjang jalan. Jari tangan pula tidak berhenti-henti memetik kamera dari pelbagai sudut.

Lembah Engelberg yang cantik dan tasik yang terbentuk dari glacier . 

Kereta kabel yang boleh memuatkan lapan orang.

Ketika melewati kawasan ini kita seolah-olah berada 
di atas hamparan salji dan kelihatan pokok-pokok pine di kiri dan 
kanan laluan cable car.

Pendakian ketika menghampiri stesen pertama/stand.

Cable car berpusing/gondola yang membawa pelancung 
ke puncak Titlis dari stesen Stand.

Trek khas untuk pelancung yang ingin merasai 
pengalaman meluncur di atas salji

 Kelihatan peluncur salji beraksi.

Cliff Walk... jambatan gantung yang menjangkaui jurang 
pada ketinggian 1,640 kaki (500 meter) dari tanah.

Gua ais sejauh 20 meter... licin dan dingin.

(notak mak: Mak dan rakan-rakan turut merasai menggelongsor di atas salji di laluan/trek yang di sediakan. Malah sebelumnya kami juga diingatkan tentang risiko kecederaan dan kos yang tinggi untuk membawa peluncur yang cedera dengan helikopter turun dari puncak Titlis.)

Monday, June 24, 2019

Perjalanan ke Engelberg, Switzerland Yang Memukau...

Perjalanan menuju ke Engelberg, Switzerland.

Impian ingin melancong ke Switzerland telah lama berputik dalam hati.

Cerita dan gambaran tentang negara ini begitu menarik. Banjaran Alps yang tinggi dan di penuhi salji, orang-orang bermain ski, padang rumput yang menghijau, lembu dan rumah-rumah kayu di lereng-lereng gunung. Cuaca yang sejuk sepanjang tahun... jam tangan berjenama mahal yang begitu sinonim dengannya. Dan orang-orang kaya menyimpan duit di bank-bank Swiss.

Pagi di Weil am Rhein agak lengang. Selepas bersarapan... mak dan rakan-rakan bersedia untuk memulakan satu lagi 'pengembaraan'. Kami betul-betul teruja. Sebaik saja kenderaan yang dinaiki bergerak meninggalkan Weil am Rhein, Jerman dan memasuki Switzerland kami semua bersedia dengan talipon dan kamera di tangan.

Perjalanan pagi ini menuju ke Engelberg. Sebuah Perkampungan bandar alpine yang di kelilingi banjaran Alps di kaki gunung Titlis dan terletak di tengah Switzerland. Masa perjalanan hampir dua jam dari Weil am Rhein.

Engelberg bermaksud 'gunung malaikat'. Oleh kerana kedudukannya di kawasan pergunungan kami menempuh sebelas terowong sepanjang laluan jalanraya menuju ke sana. Dan Swirzerland satu-satunya negara yang mempunyai laluan terowong yang banyak dan ada yang panjangnya sejauh 57 kilometer. Hinggakan mengambil masa satu abad untuk menyiapkannya.

Terowong yang mempunyai tingkap (lake tunnel) di Stansstad.

Sebaik saja menghampiri kawasan pergunungan, pandangan mata terpukau dengan keindahannya. Sungguh mempersona dan cantik sekali. Dari kejauhan kelihatan gunung-gunung menjulang tinggi. Puncaknya penuh di litupi salji memutih. 

Padang rumput menghijau menyejukkan pandangan mata. Lembu-lembu kelihatan meragut rumput dari jenis yang terbaik. Rumah-rumah yang bertingkap banyak... bangsal-bangsal di kaki gunung dengan hutan seolah-olah seperti lukisan hidup. Semuanya tidak dapat di gambarkan dengan kata-kata.

Sejuk dan tenang mata memandang.

 Jalan raya bersebelahan dengan laluan keretapi.

Bangsal dan padang ternakan lembu.

Kebanyakan rumah di Switzerland mempunyai banyak tingkap.

Seperti lukisan... 

Ketika ini musim sejuk baru saja berlalu dan taburan
salji masih bersisa di lereng-lereng bukit.

Memukau pandangan.

Tuesday, June 18, 2019

Weil am Rhein Titik Pertemuan Tiga Negara...

Cuaca berkabus dan hujan sepanjang perjalanan dari Perancis
ke Weil am Rhein, Jerman.

Hujan mengiringi sepanjang perjalanan menuju ke Weil am Rhein. Sebuah bandar yang terletak di tebing Sungai Rhine barat daya Jerman dan berada di sempadan Swiss, Perancis dan Jerman.

Weil am Rhein ini seolah-olah titik pertemuan tiga bandar iaitu Huningue, Perancis dan Basel, Switzerland. Dan kita boleh berjalan kaki masuk di ketiga-tiga negara ini tanpa sekatan.

Oleh kerana cuaca sejuk dan keletihan selepas membeli belah di La Vallee Village mak tertidur. Suhu sekitar 13 darjah celcius Lagipun tiada apa yang menarik untuk di lihat sepanjang perjalanan, Cuma rumah-rumah ladang dan hutan-hutan kecil yang kelihatan.

Perjalanan mak dan rakan telah jauh menuju ke tengah benua eropah barat. Hampir petang barulah berhenti di satu RnR untuk makan dan solat jamak zuhur dan asar. Kami solat di ruang yang terbuka dalam cuaca sejuk. Ketika mengambil wuduk di pili yang di terdapat di luar bangunan... jari jemari terasa kaku kesejukkan.

Setelah sembilan jam perjalanan dari Paris akhirnya sampai di Weil am Rhein, Jerman. Cuaca telah gelab. Bandar Weil am Rhein juga kelihatan sunyi. Mak dan rakan bermalam di hotel Maximilian yang jaraknya hanya 300 meter dari sempadan Switzerland dan menghadap sungai Rhein yang memisahkannya dengan Huningue, Perancis.

Oleh kerana kedudukan Weil am Rhein dan Huningue cuma di pisahkan oleh sungai Rhein dan di hubungkan melalui jambatan, mak dan rakan mengambil kesempatan itu bersiar-siar dan keluar masuk antara dua negara Jerman dan Perancis.

Suasana perjalanan menuju ke sempadan Perancis dan Jerman.

Pintu sempadan Switzerland dan Jerman di tengah 
bandar Weil am Rhein dan Basel.

Jambatan yang merentangi sungai Rhein yang 
menghubungkan Perancis dan Jerman. Bangunan yang kelihatan 
di seberang sungai itu ialah hotel Maximilian, Jerman,

Wednesday, June 12, 2019

Selamat Tinggal Kota Cinta...

Kebakaran Notre Dame Cathedral yang mak saksikan memenuhi seluruh channel TV Perancis. Temuramah pihak TV dengan rakyatnya... kebanyakan mereka menangisi kemusnahan gereja gothic tersebut. Mak mengikuti siaran langsung kebakaran bangunan bersejarah itu di bilik hotel sambil mengemaskan pakaian dan memasukkannya kedalam beg.

Beberapa orang kawan-kawan di Malaysia termasuk abang menghantar mesej bertanyakan tentang kebakaran itu. Dan ya... mak menyaksikannya sendiri.

Sebelum meninggalkan Paris...

Pagi datang menyapa dengan suasana yang nyaman dan hening. Tiada kedengaran hiruk pikuk dan kenderaan yang lalu lalang. Memang kedudukan hotel yang mak inap ini jauh dari bandar dan kesibukkan lalu lintas.

Selesai memuatkan beg-beg pakaian ke dalam kenderaan mak dan rakan bergerak meninggalkan perkarangan hotel. Oleh kerana kedudukan hotel berhampiran dengan taman tema Disneyland, kami singgah sebentar di situ. Perjalanan dari hotel ke Disneyland lebih kurang lima belas ke dua puluh minit sahaja.

Masih pagi sangat waktu mak sampai di pintu masuk ke taman tema tersebut. Oleh kerana orang tak ramai dan suasana lengang mak berlari-lari untuk bergambar di depan pintu masuk. Beg dan barang-barang yang di bawa bersama di scan di pintu keselamatan sebelum pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan taman.

Acah-acah beratur beli tiket.

Keindahan landskap taman membuat mak dan rakan-rakan teruja mengabadikan foto di setiap sudut. Seperti yang diceritakan, mak dalam kembara bajet dan mengejar masa. 

Selain dari tiketnya yang mahal dan tak mungkin cukup sejam dua berada di sana. Malah tidak ada pun dalam list kembara mak dan rakan-rakan berkunjung ke Disneyland... cuma kebetulan kedudukannya berhampiran dengan hotel penginapan jadi kami ambil kesempatan itu untuk singgah.

Dari taman Disneyland dan sebelum meninggalkan Paris, mak dan rakan-rakan singgah juga di La Vallee Village iaitu kawasan designer brands outlet. Cantik tempatnya. Sesuai dengan namanya village... susun atur kedai-kedainya seperti satu kawasan perumahan.

Di La Vallee Village outlet ini bukan setakat menjual pakaian dan barangan berjenama tetapi juga terdapat satu outlet pastri yang menjual macaron terkenal iaitu Laduree.

Laduree menjadi popular dan terkenal setelah terlibat menyediakan kuih dan pastri untuk filem Marie Antoinette dan beberapa siri TV. Malah macaron jenama Laduree di hidangkan sebagai dessert ketika majlis perkahwinan Putera Albert II dari Monaco pada tahun 2011. 

Dan dalam waktu yang terhad ini mak sempat membelikan Ojet beg tangan jenama Michael Kors sebagai hadiah birthday.

Suasana outlet ini seperti dalam kawasan perumahan.

Kerana popularitinya mak beli lapan keping 
macaron Laduree sebab teringin nak rasa.

Laduree macaron dessert yang sering di hidangkan 
dalam majlis perkahwinan anak-anak raja Eropah.

(nota mak: Macaron tu memang sedap, menyesal beli lapan keping je... hmmm! Selamat tinggal Paris... Switzerland menggamit datang.)

Monday, June 10, 2019

Rose Layu dan Saksi Kebakaran Notre Dame...

Memorial berbentuk sekuntum rose sempena memperingati Puteri
Diana yang maut dalam kemalangan... di atas terowong Alma.

Penatnya... seharian 'berpusing keliling' di kota Paris. Bermula dari Champ de Mars, kemudian berjalan sepanjang deretan butik-butik mewah di Avenue des Champ Elysees... dan akhirnya sampai di Bateaux Mouches di pinggir sungai Seine.

Untuk sampai ke Bateaux Mouches mak dan rakan melintasi terowong alma dan di situ dibina memorial berbentuk rose berwarna kuning sebagai memperingat Puteri Diana yang maut dalam kemalangan di situ.

Setelah membeli tiket mak bersama rakan-rakan belayar menyusuri sungai Seine. Hembusan angin dingin membelai wajah. Sepanjang pejalananan dengan cruise mak menyaksikan keindahan senibina bangunan lama kota Paris yang terpelihara rapi di kiri dan kanan sungai.

Sebelum kembali semula ke hotel mak jalan-jalan di Petit Pont. Melihat-lihat lukisan yang di jual di kakilima jalan dan membeli makanan di satu restoran Turki dan sedikit souviner sebagai kenang-kenangan. 

Ketika dalam perjalanan untuk keluar dari bandar Paris, jalan raya sesak dan bunyi siren polis kedengaran merata-rata. Beberapa jalan masuk kebanyakkannya di tutup. Rupa-rupanya Notre Dame Cathedral yang berusia ratusan tahun terbakar. Dan mak menyaksikan asap berkepul-kepul serta api menjulang tinggi.

 Menurut cerita penduduk Perancis arca berwarna emas yang 
di letakkan atas dua tiang batu yang kelihatan seperti di kiri dan 
kanan Eiffel Tower itu diperbuat daripada seratus peratus emas.

Orang Perancis suka lepak-lepak di cafe dan kalau diperhatikan
mereka akan duduk menghadap ke jalan raya.

Lukisan-lukisan yang di hasilkan pelukis jalanan 
menggunakan colour pencil di pinggir sungai Seine.

Deretan kedai souviner dan restoran di Rue du Petit Pont. Dan
jika di perhatikan rumah-rumah kedai di Paris kekal dengan konsep 
balkoni yang dipagari dengan besi berkerawang. 

Ketika cruise melintasi menara Eiffel.

Sempat bergambar kenangan di hadapan Notre Dame 
sebelum ianya musnah dalam kebakaran.

(nota: mak antara yang menyaksikan kebakaran Notre Dame
ketika di Paris malah ketika berfoto dan mengabadikan kenangan
di hadapan bangunan tersebut mak sudah tercium bau asap.)

Sunday, June 2, 2019

Sibuk Dan Sesak di Mana-Mana...

Kesesakkan lalulintas dalam perjalanan menuju ke Champ de Mars. 

Kesibukan di kota Paris macam di KL juga. Kesesakkan lalulintas di mana-mana. Dan kita boleh lihat sikap tidak sabarnya sesetengah pemandu kenderaan. Mereka selamba saja membuat pusingan U dan memandu menentang arus.

Waktu mak ajak abang ke sini tiga tahun dulu dia tak mahu. Katanya tak seronok... lagipun tak ada apa. Hari ini mak saksikan sendiri bandar Paris yang mendapat jolokan Kota Cinta ini.

Ketika sampai di Champ de Mars, Avenue Anatole, sekumpulan penjual souviner warga Afrika menyerbu dan menawarkan jualan mereka. Ke mana saja kita bergerak mereka sentiasa mengekori. Sampai naik rimas dan hilang sabar di buatnya.

Untuk menghindarkan mereka dari sentiasa mengekori akhirnya beli juga tujuh keping fridge magnet dengan harga sepuluh euro. Selepas itu barulah rasa selesa berposing depan Eiffel Tower yang menjadi mercu tanda kota Paris ini.

Selain dari penjual souviner gadis-gadis berketurunan gipsi juga ramai berkeliaran. Mereka akan berpura-pura bertanyakan sesuatu pada pengunjung tetapi sebenarnya mereka ini adalah penyeluk saku.

Effiel Tower di namakan sempena nama juruteranya 
Gustave Eiffel. Pembinaannya (1887 - 1889) dikritik rakyat
Perancis ketika itu tetapi kini ia menjadi ikon budaya
global Perancis dan paling dikenali di dunia. 

Dari Champ de Mars mak ke Avenue des Champs Elysees... Di sinilah nadi kota Paris kerana sepanjang avenue ini banyak butik-butik barangan jenama popular antaranya LV, Boss, Tag Heuer dan banyak lagi. Dan di pintu butik LV orang ramai beratur panjang menunggu giliran untuk masuk. 

Malah di sini juga terletaknya cafe Nespresso yang menghidangkan kopi termahal di dunia... juga bulatan Place Charles de Gaulle di mana tegaknya tugu Arc de Triomphe. Kawasan ini sentiasa menjadi tumpuan ramai dan sering menjadi medan perhimpunan penunjuk perasaan.

Avenue des Champs Elysees menjadi tumpuan pelancung kerana 
di sini banyak butik barangan jenama popular beroperasi.

Cafe Nespresso, yang menghidangkan  kopi termahal di dunia.

Sekadar bergambar di hadapan butik LV... 

(nota mak: teringin juga nak 'menjinjit' LV tapi bila mengenangkan mak dalam kembara bajet...)

Friday, May 31, 2019

Sampai Juga ke Paris...

Senja menanti kedatangan mak dan rakan di Paris. Seharian di jalan raya. Penatnya tak dapat digambarkan. 

Sepanjang perjalanan dari Calais menuju ke Paris mak melihat ladang-ladang pertanian di kiri kanan jalan. Saujana mata memandang. 

Petani di sini bertani mengikut musim. Musim panas tanam tanaman lain, musim bunga tanam benda lain pula dan begitulah musim-musim seterusnya. Bertukar-tukar ikut kesesuaian keadaan dan cuaca.

Kelihatan juga wind turbine didirikan dalam kawasan ladang. Dapat di lihat merata-rata... Gunanya untuk menjana kuasa elektik. Satu wind turbine boleh menjana kuasa elektrik untuk 800 buah rumah.

Sepanjang melalui highway ini mak tak nampak pun 
papan-papan iklan macam highway di negara kita.

Wind turbine... 

Sesuatu yang mak paling tak lupa dan kenang selama perjalanan ini ialah berhenti di satu RnR untuk solat. Tidak ada surau atau ruang lapang di RnR tersebut yang boleh mak dan rakan jadikan tempat untuk solat. Jadi kami solat di luar... atas rumput.. tepi jalan.

8.30 malam mak dan rakan sampai di hotel penginapan. Vienna House Magic Circus yang terletak di Avenue de la Fosse des Pressoirs. Cantik hotelnya. Macam castle lama-lama. Hiasan dalamnya pun menarik... dengan tema warna kuning dan merah. Dan hotel ini terletak berhampiran dengan taman tema Disneyland, Paris.

Pintu bilik di lukis dengan gambar langsir.

Sebaik saja masuk ke bilik mak teruja melihat suasana
dalamannya. Ada katil quens dan katil dua tingkat. Mak tidur atas
katil dua tingkat bahagian bawah.

(nota mak: Bila mak beritahu Ojet pasal solat tepi jalan tu, sebab masa dalam feri asyik berborak dia jawab, "tak memasal..." Habis nak buat macam mana, hotel jauh lagi. Takut tak sempat nak jamak zuhur dan asar.)

Wednesday, May 29, 2019

Dari Dover ke Calais...

Dover sebuah bandar pesisir (coastal town) yang terletak di Kent tenggara England. Juga merupakan terminal pelabuhan feri ke Calais, Perancis.

Ketika kenderaan yang dinaiki memasuki bandar dan menghampiri perlabuhan kelihatan istana Dover yang di dirikan atas tebingnya yang tinggi. Dulu ianya dibina untuk mengusir pencerobohan dari Selat Inggeris, Di bawahnya terdapat terowong yang di panggil Tunnels Wartime Secret. Tebing kapur yang berwarna putih merupakan simbol perlindungan dan daratan paling dekat dari Britian ke benua Eropah. Ia juga dikenali sebagai Cliffs of Dover atau Cliffs Putih.

Cliffs of Dover atau Cliffs Putih... di atasnya ada sebuah istana yang
dipanggil Dover Castle dan dibahagian bawahnya terdapat terowong rahsia.

Ketika sampai di kawasan perlabuhan kelihatan banyak lori-lori
besar dan kereta berbaris panjang masuk ke terminal untuk
menyeberangi Selat Inggeris ke Calais, Perancis.

Feri P&O yang membawa penumpang dari Dover
untuk ke Calais, Perancis.

Suasana dalam feri P&O.

Sebaik saja kenderaan yang kita naiki masuk ke perut feri, semua penumpang di minta turun dari kenderaan masing-masing... dan naik ke tingkat atas di mana terdapatnya cafe, kaunter pengurup wang (money changer) dan juga mini market. 

Besar juga feri P&O ini dan ada beberapa tingkat. Untuk tidak tercari-cari atau sesat apabila ingin kembali semula ke kenderaan yang ditinggalkan di bahagian bawah, penumpang sentiasa diingatkan supaya menggunakan tangga atau lift yang sama ketika naik dan turun. 

Setiap tangga dan lift di tandakan dengan warna-warna. Kalau ketika kita naik menggunakan lift atau tangga yang dilekatkan dengan warna kuning, jadi gunakan tangga dan lift yang sama juga ketika turun. Untuk yang dah biasa mungkin perkara ini tidak menjadi masalah. Tapi bagi mak yang pertama kali memang keliru juga.

Perjalanan menyeberangi Selat Inggeris dari Dover ke Calais mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Oleh kerana musim winter baru saja berlalu hembusan bayu Selat Inggeris terasa sejuk dan dingin. Kebanyakan penumpang cuma duduk berbual dan minum saja di cafe bahagian dalam feri. 

 Sepanjang pejalanan menuju ke Calais, mak rasa pening kerana
feri terasa terumbang ambing sedikit oleh alunan ombak.

(nota mak: Sepanjang masa di perantauan, mak sentiasa menghantar mesej pada Ojet. Bila mak beritahu dah nak ke Paris, dia balas "nak masuk negara yang tak pernah masuk dah ni... hati-hati mak, jaga barang-barang!")