Saturday, November 23, 2019

Jangan Kata 'Diet' Jika Di Hadyai....

(cop pasport - 3H2M - Hadyai - 5)

Nasi kerabu sarapan yang mak makan di warung tepi 
jalan Niyomrat pada hari kedua di Hadyai.

Menikmati aiscream kelapa yang segar dan sedap 
di Sukhum Road selepas turun dari Tangkuan Hill.

Seorang rakyat tempatan bertanya... apa pandangan mak tentang Thailand. Apakah yang terlintas dan terbayang di fikiran mak.

Secara jujurnya mak jawab, maknyah dan pelacuran. Dan dia senyum. Katanya dia tak salahkan mak tentang jawapan itu. Mana-mana pun rakyat asing yang diajukan soalan yang sama akan memberikan jawapan serupa.

Katanya, sebagai rakyat Thai dia memang malu dengan pandangan orang luar tentang negaranya. Kerana itu menurutnya rakyat Thailand berusaha untuk mengikis pandangan negatif itu. Mereka bersama 'membersihkan negara' mereka dari aktiviti tidak bermoral tersebut.

Antaranya mereka jadikan produk makanan sebagai tarikan pelancong. Lihat saja di sini... maksudnya Hadyai... dan katanya lagi selepas kunjungan ini nanti anda akan mengingati betapa enak dan sedapnya makanan kami sepanjang anda berada di sini. Dan tidak mustahil anda akan kembali lagi ke sini untuk menikmatinya.

Pada hari kedua di Hadyai.. selepas menikmati pemandangan dari atas Tangkuan Hill dan Samila Beach... mak dan kawan singgah di satu restoran yang terletak di Rajuthit Road untuk makan malam. 

Banyak sungguh jenis hidangan makanan yang di sajikan. Malam itu mak makan steambot. Selain itu mak cuba juga kerabu dan lauk-lauk lain yang di sediakan. Termasuk pencuci mulut juga buah-buahan. Sungguh sedap dan mak bagaikan terasa-rasa lagi keenakannya.

Makanan di hidangkan secara bufet. Ada banyak 
pilihan kerabu dan makanan lain.

Berbagai jenis hidangan pencuci mulut.

Buah-buahan dan jeruk juga turut disajikan.

Monday, November 18, 2019

200 Baht Untuk 30 minit...

(cop pasport - 3H2M - Hadyai - 4)

Deretan kedai body massage di hadapan hotel penginapan mak.

Tidak lengkap percutian ke Thailand atau Hadyai ini kalau tak buat urutan traditional Thai. Inilah masanya untuk memanja dan membelai tubuh badan.

Urut traditional Thai ini memang popular dan ke mana saja kita pergi di Hadyai ini kita akan jumpa banyak kedai-kedai urut dan spa.

Memandangkan dah sampai Hadyai, mak pun tidak melepaskan peluang untuk merasa urutan traditional Thai ini. Tapi mak tak buat di kedai-kedai urut yang terdapat di luar hotel penginapan... sebab agak mahal. Mak beritahu pihak hotel dan mereka yang uruskan dan bawa dua orang tukang urut ke bilik. Kenapa dua?... ialah kawan sebilik mak pun nak berurut juga... hehehe

Sebenarnya kalau kita panggil mereka datang ke bilik harganya lebih murah berbanding di kedai. Dan boleh tawar menawar.

(Pix from Google)

Mak minta urut minyak untuk satu badan. Mula-mula memang rasa takut juga. Macam menguli tepung roti badan kita di buatnya. Tapi lama kelamaan mak rasa best pula. Dan lepas berurut... badan rasa lega dan ringan. Hilang lenguh-lenguh dan sakit-sakit sendi.

Sebab puashati dengan khidmat urut yang dilakukan oleh tukang urut yang di hantar oleh pihak hotel mak beri sedikit tip untuk amoi si tukang urut. Dan malamnya mak tidur lena sampai ke pagi. Sedar-sedar hari dah tinggi.

Sunday, November 17, 2019

Sedapnya Bau Makanan...

(cop pasport - 3H2M - Hadyai - 3)

Suasana pasar terapung Khlong Hae.

Nikmatnya rasa bila dapat mandi dan berbaring-baring serta melelapkan mata sekejap di bilik. Rasa segar semula dan baru ada mood nak berjalan. Bayangkan semalaman dalam kenderaan di lebuh raya dari KL sampai Padang Besar. Mana selesa nak tidur sambil duduk dalam kenderaan.

Masuk saja ke Thailand terus 'meronda' ke sana sini. Satu hari tak mandi. Kulit rasa melekit-lekit dan berlengaih (pinjam kata orang utara) dan letihnya usah cerita. Petang baru sampai hotel dan masuk bilik. Malam ini mak dan kawan akan ke Khlong Hae floating market.

Perjalanan menuju ke Khlong Hae agak sesak dengan kenderaan dan mengambil masa lebih kurang 20 minit dari hotel penginapan mak. Ketika sampai... kawasan lapang yang disediakan untuk meletakkan kenderaan telah penuh. Dan hujan turun renyai-renyai.

Pertama kali sampai di floating market, mak tertarik dengan suasana dan persekitarannya. Walaupun hujan dan kawasan sekitar sedikit berlopak keadaanya tetap bersih dan teratur... Dari jauh sudah tercium semerbaknya bau makanan. Mak rasa teruja dan tak sabar melihat-lihat apa yang di jual.

Apabila melewati setiap gerai yang menjual makanan baunya begitu menggamit selera. Peniaga-peniaga makanan yang berjualan dari dalam sampan pula kebanyakannya beragama Islam. Bermacam-macam jenis makanan di jual. Tentunya mak mencari pulut mangga, miang kam, udang goreng dan merasai beberapa lagi. Boleh kata semuanya sedap-sedap.

Menariknya Khlong Hae floating market ini peniaga di sini menggunakan buluh, kelapa dan pot tanah liat sebagai bekas makanan dan minuman. Gerai-gerainya pula didirikan menggunakan buluh dan beratapkan nipah.

Pertama kali sampai di floating market ini 
mak tertarik dengan suasana persekitarannya.

Deretan gerai-gerai yang tersusun dan meriah 
dengan pelbagai jualan selain dari makanan. 

Peniaga makanan yang menjual makanan dari atas sampan.

Pondok-pondok yang beratapkan rumbia untuk 
pelanggan duduk menjamu selera.

Puas menjamu selera di floating market dan dalam perjalanan pulang mak dan kawan singgah di Lee Garden night market. Di sini terdapat ramai peniaga menjual udang goreng. Besar-besar dan menggoda selera. Tapi mak tak beli pun sebab dah kenyang.

Saturday, November 16, 2019

Baru Terasa di Thailand...

(cop pasport - 3H2M - Hadyai - 2)

Bila nampak signboard baru terasa berada di Thailand.

Urusan di pintu masuk imigresen Thailand selesai sejam kemudian. Pemandangan sepanjang jalan dari Padang Besa menuju ke pekan Hadyai cuma rumah-rumah kampung dan kebun-kebun getah. Kelihatan juga masjid. Tak jauh beza pun dengan suasana pemandangan di Malaysia. Cuma terasa lain bila nampak signboard yang ditulis dalam tulisan Thai.

Dan dalam perjalanan ini kami singgah makan di satu warung untuk sarapan pagi merangkap makan tengahari juga. Tentunya pilihan mak adalah nasi dan lauk-lauk seperti tomyam dan kerabu. Barangkali kerana terlalu lapar... mak rasa semua makanan yang terhidang ketika itu sungguh sedap! Gambar pun tak sempat ambil.

Setelah kenyang dan perut pun berhenti memainkan lagu keroncongnya, kami meneruskan perjalanan hari pertama di Hadyai ini terus ke Chang Puak Elephant Camp. Tapi mak tak masuk pun... sebab tak begitu berminat. Lagipun depan mata mak nampak gembala gajah itu menekan tengkuk gajah berkenaan dengan besi tajam untuk menyuruh gajah berkenaan bergerak. Kesian! Dan hati mak rasa pilu melihat binatang diperlakukan begitu.

Oleh kerana kembara mak ini cuma 3 hari 2 malam... jadi dalam perjalanan ke hotel penginapan kami singgah di Nora Plaza. Sebagai kenangan mak beli sehelai sarung kusyen bersulam gambar gajah, kacang gajus, pulut dan snek-snek ringan lain di sekitar kawasan berhampiran.

Lewat petang baru mak dan kawan sampai di hotel penginapan kami iaitu Lee Garden Hotel, yang terletak di Leepatana Alley. Penatnya tak dapat di gambarkan. Sehari semalam berjalan. Kulit dah rasa melekit-lekit.

Sehelai sarung kusyen sebagai kenangan tanda dah sampai Hadyai.

(nota mak: (belah Thai di sebut Pdg. Besa... huruf 'r' hilang.)

Friday, November 15, 2019

Merentasi Sempadan...

(Cop pasport... 3H2M, Hadyai - siri 1)

Bila nampak signboard ni mak rasa macam tak percaya dah sampai Thailand.

Tiada perancangan untuk berjalan ke Thailand. Maksud mak ke Hadyai. Tiba-tiba saja pelawaan datang dari bekas rakan sekerja dulu. Lama mak ambil masa berfikir tentang ajakan itu. Bincang juga dengan Ojet. "Boleh ke mak ikut!"

Macam-macam yang bermain di fikiran. Dan yang paling ligat bermain di minda ketika itu ialah tentang keselamatan. Kita sendiri pun selalu dengar tentang banyak kejadian yang tidak seronok dan menakutkan di selatan Thai.

Setelah minta pendapat Ojet dan hubby akhirnya mak setuju. Lagipun belanjanya murah saja... dan Ojet berjanji akan beri mak sedikit duit untuk berbelanja di sana.

Dengan duit sebanyak RM500 ringgit yang Ojet beri mak dan rakan bertolak sekitar jam sepuluh malam dari KL Central menuju ke Padang Besar. Semalaman berada di lebuhraya... pukul enam pagi kami sampai di Padang Besar. Dan singgah di Masjid Solahuddin Al Ayyubi untuk solat subuh.

Urusan kemasukan di pintu imigeresan Thailand agak lama. Walaupun mak dan kawan sampai awal pagi... rupanya ada yang sampai lebih awal dari mak... dan beratur menunggu pemeriksaan.

Lama juga rasanya mak beratur. Kaki dah rasa lenguh. Mata pula mengantuk. Badan pun rasa tak selesa sebab tak mandi dan dalam waktu yang sama perut pula lapar dan minta diisi.

Tuesday, November 12, 2019

Kaswi Labu Lemak Manis...

Kaswi Labu yang lemak-lemak manis

Ada sepotong labu kat kabinet dapur. Dah beberapa hari mak pegang-pegang dan fikir nak buat apa dengan labu tu. Nak buat apam... dah selalu sangat buat. Nak buat koci macam jemu pula. Lalu mak pun buka komputer dan 'merayau-rayau' mencari idea. Akhirnya mak singgah di blog Izah Muffin Lover dan 'selongkar lemari' kuih-kuihnya dan jumpalah resepi labu.

Puan Izah pun mendapat sumber resepi ini dari blog lain juga tapi mak 'tiru' puan Izah punya sebab dia dah tukar sikit kuantiti sukatan gula dan tepungnya.

Bahan:

250 gm labu dikukus
200 gm gula pasir
250 ml santan
100 gm tepung ubi
200 gm tepung gandum
25 gm tepung jagung
350 ml air
1sudu teh garam
3 helai daun pandan 
1sudu teh air kapur

kelapa parut (putih) yang digaul 
dengan sedikit garam dan
 dikukus anggaran 6 - 10 minit.

Mudah dan sedap!

Cara:

1. Labu dikukus hingga empuk dan dilecek.

2. Satukan santan, gula, garam serta daun pandan dalam periuk dan dimasak hingga gula larut.

3. Gaul dan bancuh semua tepung dengan air... kemudian tuangkan santan panas. labu yang telah di lecek dan air kapur. Gaul rata dan tapis.

4. Tuang dalam loyang. Kukus hingga masak (lebih kurang 1/2 jam). Apabila masak sejukkan dulu baru potong dan gaulkan dengan kelapa parut.

(nota mak: akhir-akhir ni memang mak kerap cuba buat kuih-kuih dan memasak... Setiap resepi yang dah dicuba dan dah 'pasti menjadi' kenalah simpan di blog ni. Sebabnya lain kali tak payah dah menyelongkar lemari dapur blogger masakan.)

Sunday, November 10, 2019

Kuih Lompang Cantik...

Sedap kuih lompang ni. Mak ambil resepi dari blog daridapur.com. Cantik dan berkilat-kilat rupa kuihnya. Resipi kuih-kuih dari blog ini best sangat. Mak suka jadikannya sebagai blog rujukkan selain dari beberapa blog blogger lain. Bukan saja resepi tapi diberikan juga tip-tip yang berguna sebagai panduan bila memasak kuih muih.

Cantik dan berkilat.

Bahan: (untuk 15 - 20 biji kuih)
Sumber: daridapur.com

Bahan A:
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan

Bahan B:
1 3/4 cawan tepung beras
1/2 sudu makan membukit tepung ubi
1/2 sudu makan air kapur

Bahan C:
Kelapa parut secukupnya di gaul dengan 1/2 sudu teh garam. dan kukus sekejap. (anggaran 6 - 10 minit)

Cara membuat:

1. Masak bahan A hingga larut. Alihkan dari api dan biarkan suam.

2. Dalam mangkuk satukan bahan B. Tuangkan bahan A yang telah suam ke dalamnya. Kacau sebati dan tapis.

3. Panaskan pengukus. Oles acuan dengan sedikit minyak kemudian kukus acuan saja lebih kurang lima minit. Tujuannya untuk membentuk lubang / lompang pada tengah kuih terbentuk.

4. Setelah acuan panas baru tuang 3/4 cawan adunan ke dalam acuan. Kukus sekitar 15 - 20 minit dengan api yang sederhana. Bila masa sejukkan dulu baru keluarkan dari acuan dan gaul dengan kelapa parut.

Kuih Lompang ni walaupun nampak simple tapi kadang-kadang tak
menjadi juga jika kita abaikan tip-tip dan langkah-langkah penyediaannya.

Thursday, November 7, 2019

Donut...

Mak memang suka donut. Dulu masa zaman-zaman remaja kalau demam arwah mak dan abah akan belikan donut bila tak lalu makan nasi. Donat tu seperti ubat. Bila dapat makan donut rasa macam demam tu sembuh. Dan sampai  dah tua ini pun mak masih suka makan donut.

Kerana suka makan donut mak berusaha mencari resepinya. Bermacam-macam sukatan dan adunan yang mak jumpa. 

Resipi ni mak dapat dari blog Rasa. Bila teliti bahan dan caranya macam senang saja nak buat. Tapi kalau ikut sukatan yang diberi 1 kilo tepung tu memang banyak dapat kuihnya. Hampir empat puluh biji donut. Jom kita buat donut. 

DONUT
(Sumber: rasa)

Bahan A:
2 1/2 cawan air suam
2 peket yis
5 sudu makan gula
5 sudu makan susu pekat manis

Bahan B:
1 kg tepung gandum
5 sudu makan marjerin
4 sudu teh barking powder
2 sudu teh garam halus

Puas hati dengan hasil pertama dari resepi ini.

Cara: 

1. Campurkan bahan A dalam satu bekas. Kacau dan biarkan kembang.

2. Sementara menunggu yis kembang satukan bahan B.

3. Masukkan larutan yis yang telah kembang ke dalam adunan bahan B. Uli lebih kurang 5-10 minit hingga doh licin dan cantik. Tutup dan biarkan lebih kurang 30 minit. (kalau mahukan donut yang cantik gebu uli lama sikit)

4. Bila doh mengembang dua kali ganda... tumbuk doh untuk mengeluarkan angin.

5. Tabur sedikit tepung pada bahagian atas dan bawah doh dan canai. Ketebalannya ikut citarasa sendirilah... mak buat lebih kurang setengah inci tebal... dan terap dengan acuan donut. Rehatkan sekejap baru goreng dalam minyak yang banyak dan api yang perlahan.

Mak suka donut yang bersalut gula macam ini saja.

(nota mak: terima kasih kepada puan Ina Bakeri yang telah berkongsi resipi ini di blog rasa)

Saturday, November 2, 2019

Fridge Magnet Untuk Yang Mahu...

Inilah fridge magnet yang mak cerita dalam kisah [link] ketika berada di sekitar Eiffiel Tower. Ada tujuh semuanya tapi tiga sudah diberikan kepada kakak. Dan balance empat lagi ni mak nak berikan kepada rakan-rakan blog yang suka mengumpul fridge magnet.


Sesiapa yang berminat boleh bagi alamat pada emel mak ye. Pilihlah yang mana berkenan di hati. Tapi jika ada pertindihan pilihan... keutamaan akan di beri kepada yang pertama memilih dan memberi komen... "siapa cepat dia dapat.."