Wednesday, August 23, 2017

Jangan lupa bawa sos...


Baki sos cili dan mayonis yang masih banyak lagi ini 
aku berikan kepada satu keluarga Malaysia dari Kelantan yang 
duduk makan di meja sebelah. 

Kenangan ketika makan di restoran makanan segera dan cafe di UK masih berbekas. Setiap kali minta sos lebih mesti kena bayar. Kita pulak jenis yang kalau makan makanan yang bergoreng mesti nak regukan dengan sos... tak kira sos cili ke atau sos tomato. Tak ada sos tak 'kick'.

Mengenangkan itu, ketika keluar makan fish n chips di Cicerello's, Fremantle... aku bawa sendiri sebotol kecil sos cili dan mayonis.


London Court yang terletak di Hay Street, tengah 
bandar Perth. Pukul tujuh malam dah sunyi.

Sehari sebelum ke Fremantle, aku dengan Ojet keluar ke sebuah pasaraya yang terletak berhampiran London Court di Hay Street. Kami berdua jalan kaki saja dari apartment tempat tinggal kami. Bandar Perth di waktu malam agak sunyi dan lengang.

Cuaca sejuk tapi musim sejuk di Perth tidaklah sesejuk musim dingin di UK yang boleh mencecah negatif  lima. Musim sejuk di Perth ketika ini sekitar 7 hingga 11 darjah celcius. Semakin jauh ke utara suhunya naik ke 15 darjah celcius.

Selain dari membeli sedikit barang makanan untuk sarapan pagi dan bekal-bekalan untuk di bawa berjalan Ojet ingatkan aku juga supaya membeli sos cili dan mayonis.

Bagi aku berjalan dan membeli barang keperluan dalam pasaraya di Perth tidak seseronok seperti di UK. Barang keperluan dan makanan agak mahal berbanding di UK, di mana sayur-sayuran dan buah-buahan boleh didapati dengan harga satu pound. Begitu juga coklat, susu, gula dan minyak masak.

Oleh sebab itu aku tidak memasak di apartment sepanjang berada di sini. Lebih jimat dan murah membeli makanan yang telah siap dimasak atau makan di cafe saja.


Hanya sepeket saja sos yang diberikan untuk setiap 
satu pinggan kertas. Kalau minta lebih kena bayar.



Black Coffee for my sister. Comel sangat 
cawannya. Tak puas minum.

(nota sweetie: perbandingan harga bukan dalam ringgit tapi mengikut nilai matawang tempatan itu sendiri dengan berapa banyak barang yang dapat dibeli)

Monday, August 21, 2017

Yang kita semua tak tahu, mungkin...

Kata orang jangan jadi pelancong tapi jadilah pengembara apabila berkunjung ke sesuatu tempat. Dengan cara begini secara tak langsung barulah kita temui banyak perkara tentang tempat yang kita lawati.


First time mengisi minyak kereta ketika dalam perjalanan ke Pinnacles.

Walaupun tak lama... dan berpeluang memandu sendiri di Perth... serta 'merayau' ke beberapa tempat yang mungkin tidak akan di bawa kalau bersama tourist guide. Bagai dikata, 'suka hati akulah nak merayau ke mana'... lebih kurang begitulah.

Kerana memandu sendiri itulah, baru aku tahu style mengisi minyak kereta di petrol pam. Isi dulu baru bayar. Dalam hati aku kalau di laksanakan di Malaysia, mau banyak petrol pam 'tutup kedai'.

Aku mulanya teragak-agak juga sebab bila berhenti di mesin terus pam minyak masuk ke tangki kereta. Dan tak ada sesiapa pun yang monitor kita di situ. Orang kata kalau nak cabut lari boleh saja.

Harga petrol di Perth berlainan pada setiap hari. Dari hari Isnin sampai Ahad masing-masing ada diskaunnya. Dan 'seeloknya' kalau nak isi minyak kereta di Perth, isilah pada hari Isnin kerana pada setiap hari Isnin minyak petrol dijual dengan harga 98 sen seliter. Paling murah berbanding dengan hari-hari lain.

Dan ada pula apabila kita berbelanja di supermarket dengan jumlah harga yang di tetapkan, kita akan dapat vaucer mengisi minyak percuma di stesen minyak.

Dan yang paling memeranjatkan aku, harga kereta di sana. Bak kata seorang penduduk di Perth, kereta bukan lambang kekayaan atau menunjukkan orang yang memilikinya banyak duit. Percaya atau tidak, harga sebuah kereta Honda Odyssey baru di Perth ialah RM6000 sahaja.

Barangkali kerana harga kereta yang begitu murah, di sini tidak ada pusat menjual kereta terpakai. Sebaliknya apabila mereka tidak lagi memerlukan atau mahu membeli yang baru, pemilik kenderaan tersebut akan mengiklankan dalam satu laman web khas khusus memberitahu... jika sesiapa yang menginginkan kenderaan tersebut boleh datang mengambilnya sendiri dari pemilik asalnya tanpa apa-apa bayaran.

Kerajaan Australia pula tidak mengenakan cukai jalan pada pemilik kenderaan... sebaliknya pemandu kenderaan yang berumur bawah 24 tahun harus membayar polisi insuran yang tinggi sedikit.

(nota sweetie: Ini baru harga petrol dan kereta. Malah harga rumah di sini juga sungguh di luar jangkaan dan sukar di percayai.)

Sunday, August 13, 2017

Teruja cakap Melayu...


Pintu masuk ke Whiteman Park di Beechboro Rd N.



Taman Hidupan Liar Coversham ini terletak dalam 
kawasan Whiteman Park. 

Antara tarikan pelancong di Perth ialah Coversham Wildlife Park yang terletak dalam taman Whiteman. Kalau nak tengok dan mendekati kanggaro di sinilah tempatnya. Juga mempamerkan koleksi hidupan liar Australia lainnya seperti wombat, penguin, koala, walabi, quokka dan banyak lagi.

Whiteman Park ini luas dan kalau memandu sendiri tak susah untuk mencari tempat meletakkan kenderaan. Kalau naik bas pula ambil bas nombor 955 dan 956 dari Stesen Bassendean ke Ellenbrook dan turun di pintu masuk Whiteman Park, di Lord Street.

Kemudian hubungi pihak Caversham dan mereka akan datang mengambil kita di pintu masuk Whiteman Park.

Taman ini di bahagikan kepada beberapa bahagian... tapi dalam masa tiga jam cukuplah untuk kita berpeluang bermain dan memberi makan dan menyaksikan pertunjukkan haiwan yang di pelihara di sini.

Ada beberapa jenis haiwan yang di pelihara di sini jinak dan menurut pekerjanya, kalau mereka sukakan kita dia akan datang menghampiri kita dan minta dipeluk. Antaranya llama. Tapi hati-hati, dengan llama... kalau tak suka dia akan ludah kita balik. Jahat jugak kan...

Di buka seawal jam 9 pagi... rasanya aku bertiga antara orang yang terawal sampai. Kakak aku paling teruja sebab nak tengok kanggaro dan koala.

Melihatkan aku bertiga berdiri di hadapan pintu masuk dan bersedia untuk memotretkan kenangan di situ seorang pekerja lelaki di Coversham ini keluar dan menyapa kami dalam bahasa Melayu. Dia nampak begitu teruja dan menawarkan khidmat untuk tolong mengambilkan gambar kami bertiga.

Ceritanya, dia pernah tinggal di Malaysia beberapa tahun dulu. Selain dari lelaki itu ada beberapa orang lagi pekerja di Caversham ini begitu seronok dan teruja nak bercakap dalam bahasa Melayu apabila bertemu dengan pelancong dari Malaysia.


Tarikan untuk pelancong dan pengunjung dari Malaysia sampai ada 
nota pemberitahuan yang di tulis dalam bahasa Melayu di pintu masuk.



Nasi dan kari ayam yang di jual di cafe Coversham Wildlife 
Park. Sedap dan menurut pelayan di cafe, kari ayam yang di jual disini 
kari ayam citarasa Malaysia. Halal dan memang kaw. 

Masa aku bertiga makan salah sorang pekerja cafe datang 
dan tanya dalam bahasa Melayu "macam mana rasanya sedap?" kakak 
aku jawab "sedap! Bukan main suka lagi dia.


(nota sweetie: Barangkali dah ramai sangat pelancong dari Malaysia yang datang ke sini itu yang buat beberapa pekerja di taman ini pandai berbahasa Melayu sikit-sikit. Taman ini juga menyediakan kemudahan wifi percuma di seluruh kawasan sekitarnya.)

Tuesday, August 8, 2017

Tak hengat donia aku menjerit...

Aku pernah menonton satu rancangan dokumentari mengenai kanggaro dalam National Geographic. Tak ingat bila tapi dalam rancangan itu ditunjukkan dua ekor kanggaro merah 'bertumbuk' dan menendang serta mengigit antara satu sama lain. 

Kangaroo ditemui di Australia Timur... ia merupakan salah satu tarikan pelancong untuk ke negara itu. Kanggaro hidup dalam kumpulan kecil yang dipanggil tentera atau 'pengganas' oleh orang Australia. 

Saiz kanggaro merah dewasa yang hidup liar di gurun pasir Australia boleh mencapai ketinggian sama dengan lelaki dewasa. Dengan kaki belakangnya ia boleh melompat sejauh 9 meter dengan kelajuan 56km/j. Wow lajunya.

Untuk 'bertemu' dengan kanggaro merah liar tentulah mustahil. Dan apabila berkunjung ke Perth, salah satu tempat yang mesti di lawati untuk melihat kanggaro lebih dekat tentulah di Caversham Wildlife Park. Tapi kanggaro yang terdapat di Caversham kecil-kecil. Saiznya sama besar kambing dewasa saja.

Waktu masih pagi benar ketika aku sampai di Caversham. Dan tak tahu pula binatang ini agak agresif waktu itu. Bila ia menerpa cuba memanjat dan menghidu muka aku, aku cuma nampak kukunya yang tajam di lengan baju aku. Teringatkan dokumentari itulah apabila aku 'dipeluk' kanggaro ketika di Caversham 'tak hengat donia' aku menjerit ketakutan.

Bila aku talipon cerita pengalaman aku dipeluk kanggaro pada adik aku dia ketawa terbahak-bahak dan mengingatkan aku supaya berhati-hati. Antara sifat kanggaro kata ipar aku si Daryl ialah, binatang itu sukakan perempuan serta bau yang harum juga memiliki sifat cemburu yang kuat. Dan anak saudara my hubby pun cakap, kanggaro yang peluk aku itu kanggaro jantan... makkkkkk! 

Apabila aku menjerit ketakutan ia merenung aku. Waktu itu cuma aku bertiga dan sepasang suami isteri juga dari Malaysia yang berada di tempat itu. Yang herannya kenapa aku 'jadi mangsa'... hahahha. Mungkin ia tertarik dengan bau minyak wangi yang aku pakai.


Satu alam terdengar jeritan aku ketakutan waktu ini. Kejadian 
ini sempat di rakam oleh Ojet.



Lari ketakutan... Aku cuma jalan cepat-cepat sebab takut 
kalau berlari binatang ini lagi agresif dan melompat-lompat mengejar aku.



Bila dah reda dan rasa berani baru aku masuk semula ke dalam 
kandang dan mendekati mereka. Dan masing-masing berkerumun dekat aku.
Agaknya pada pandangan mereka mak ni lawa kot... hahahah.

Mencari barang idaman...


Merayau-rayau di Watertown Brand Outlet pada hari pertama
sampai Perth. Tapi tidak ada satu apapun yang menarik minat aku.

Membeli belah bukanlah kegemaran aku. Beberapa kali ke luar negara aku jarang menghabiskan duit untuk bershopping. Paling tidak aku cuma beli fridge magnet untuk menambah koleksi yang ada. Dan sedikit souviner untuk adik beradik serta rakan-rakan.

Aku suka menikmati keindahan alam semulajadi di negara empat musim. Aku suka memerhatikan kebersihan bandar dan sikap berdisiplin penduduk negara yang aku lawati.

Tapi travel kali ini berbeza. Dari awal lagi aku sudah berhasrat untuk membeli sesuatu. Sesuatu yang boleh dijadikan kenangan dengan wang collection rakan-rakan sekerja sempena persaraan aku setahun lalu. Lama juga aku simpan dan memikirkan apa yang ingin aku buat dengan duit itu.


Mencari barang yang di hajati di sini. Tengok tu 
kakak aku dah jalan dulu ke depan.

Kerana terlalu teruja... sampai saja di Perth... dan setelah ambil kunci, aku terus pandu kereta yang disewa menuju ke Belmont. Kawasan di mana terdapatnya sebuah supermaket terbesar gabungan dari tiga buah supermarket. Tapi oleh sebab pagi sangat kedai-kedai di situ belum pun pun dibuka lagi.

Selepas tidur sekejap di apartment yang di sewa, aku bertiga keluar ke Watertown Brand Outlet yang terletak di Wellington St. untuk makan tengahari dan temankan kakak aku membeli pakaian. 

Bukan main lagi kakak aku... ke luar negara tak bawa pakaian secukupnya. Rupanya dia dah merancang nak beli dan pakai. Masa datang beg dia paling ringan... bila balik bertambah dan padat isinya. Kami adik beradik selalu mengusik dia, "along dan supermarket tidak dapat di pisahkan, masuk supermaket hilang.... bila jumpa balik di tangan penuh barang."


Murahnya.. $59 dolar untuk enam belas keping... dan gambar 
di sebelah kanan harganya di Malaysia meningkat lapan kali ganda menjadi 
RM499. Patutlah surirumah kalau ke Australia cari brand ni.



Minyak wangi murah di Chemist Warehouse. Semua branded
Seronok dan aku tenggelam sekejap dalam haruman.



E-SHED Markets... membeli souviner untuk adik beradik 
dan rakan-rakan juga untuk diri sendiri di sini.



Fremantle Markets... aku ralit melihat barang-barang jualan di sini.
Hampir 'terbeli' pisau pemotong sayur... tapi Ojet menahan.

Sunday, August 6, 2017

Gementar... Debar... dan Cuak...

 

Berhenti di lampu isyarat. Lihat! penunggang motor pun ikut Q  
juga. Tak boleh memintas terus ke hadapan. Nampak line putih 
tengah tu... jangan suka-suka menukar lane atau mencelah masuk. 

Sebulan rasanya aku meneliti peta Perth City sebelum datang. Mula-mula tu rasa cuak jugak. Tapi Ojet menyakinkan aku. Dan dia printkan itinerary perjalanan kami untuk aku tengok di peta.

Supaya tak 'sesat-sesat' macam perjalanan kami di UK dua tahun dulu... Ojet cakap akan guna Google apps jugak. Katanya, jangan risau... aku cuma pandu kereta saja dan dia akan tengok peta.

Gementar... debar... semua ada. Lebih-lebih lagi kali ini cuma aku bertiga saja... Ojet dan kakak aku. Bayangkan... turun saja kapal terbang... sepanjang penerbangan aku tak tidur... waktu subuh... sejuk... mungkin juga aku kena sindrom jetleg... terus nak memandu kenderaan. Di negara orang pula.

Waktu pagi macam itu tentulah kebanyakan jalan sibuk sebab semua orang hendak keluar ke tempat kerja. Takutnya nak 'rempuh' jammed di negara orang putih. Itulah perasaan aku.

Sesat? Aku tak takut sesat sebab bandar Perth ni tak besar sangat. Tapi aku risau dan tak tahu lagi gaya pengguna jalan raya di Perth memandu. Kita baru sampai negara orang... dah tentu terhegeh-hegeh dan tercari-cari jalan. Nak baca signboard lagi. Senang ke nak menukar lane. Bila beri signal adakah mereka akan beri laluan.

Semua itu sentiasa berlegar dalam fikiran. Dan pernah ada orang cakap, kalau kita memandu terlalu perlahan sangat di Australia... pun boleh kena saman juga.

Dan yang paling aku risau sekali kalau kereta buat hal dan tayar pancit ketika memandu ke luar bandar. Teringat lagi ketika di UK dalam perjalanan ke Salisbury. Tayar kereta pancit. Tapi masa itu aku satu keluarga... ada orang lelaki. Taklah takut.

Tapi bukanlah nak memuji... sepanjang memandu di Perth aku selesa. Kebanyakkan pemandu dan pengguna jalanraya mematuhi undang-undang dan had laju. Dan apabila aku memandu pada lorong tengah dengan kelajuan 60 km/j di Graham Farmer Fwy tidak ada siapa pun yang membunyikan hon dan menjeling-jeling. Tak perlu beri signal lama, sekali saja cukup... pemandu di belakang akan memberi laluan.


Lihat jarak pemanduan mereka, hampir sama...



Kesesakkan di Mitchell Fwy waktu pagi. Pemandu kenderaan di Perth 
menyalakan lampu kereta ketika memandu di jalan walaupun waktu siang.



 Jammed... 6 petang di Mitchell Fwy. Winter 
waktu ini. Cuaca cepat gelab. 

Pengguna jalan raya di sini sentiasa menjaga jarak pemanduan mereka. Apabila berhenti di lampu isyarat juga. Syaratnya mesti nampak plat kereta di hadapan. Tak boleh terlalu dekat kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh di saman.

Sepanjang memandu di Perth jarang jumpa penunggang motosikal di jalan rayanya. Kalau ada pun aku perhatikan bila sampai di lampu isyarat merah, mereka tidak sewenang-wenangnya memintas ke hadapan. Seperti pemandu kereta... penunggang motor juga kena berhenti di tempat mengikut giliran mereka sampai.

Seperti kebanyakkan bandar-bandar besar lain, Perth City juga mengalami kesesakkan lalulintas terutama di waktu-waktu puncak. Tetapi cepat surutnya.

Aku pernah terperangkap dalam kesesakkan lalulintas dalam perjalanan pulang dari Pinnacle Desert tapi tidaklah sampai berjam-jam atau jadi letih. Sebabnya aku perhatikan apabila berlaku kesesakkan pemandu kenderaan bersabar dan tidak sesuka hati memotong Q dan menukar-nukar lane.

Dan bagi aku memandu di Perth harus peka. Tidak ada pagar palang apabila bertembung dengan laluan rel LRT. Hati-hati ye. Aku pernah 'terhenti' di tengah-tengah rel laluan LRT ketika hendak ke Scarborough... tak perasan. Nasib baik waktu itu LRT baru saja lalu. Ngeri bila aku ingat balik.!

Rules apabila memandu di kawasan perumahan, pastikan enjin kereta senyap kerana bunyi enjin kereta yang kuat boleh menggangu ketenteram. Malah di beberapa kawasan perumahan ada papan tanda amaran tentangnya. Terkenang aku tentang kawasan perumahan aku di KL. Boleh di katakan setiap malam ada saja bunyi enjin motor dan kereta yang di pandu laju dengan bunyi yang kuat sehingga mengganggu tidur.


Traffic light di Albernethy Road. Tidak ada petak kuning. 
Cuma garisan putih putus-putus. Setiap kereta akan membelok 
mengikut lane masing-masing.

Di traffic light atau lorong keluar masuk tidak ada petak kuning tapi pemandu seperti telah 'dididik' apabila berlaku kesesakkan mereka tidak berhenti di situ yang boleh menghalang laluan.

Apabila membelok di traffic light semua pemandu akan membelok mengikut lane masing-masing. Ada garisan putih putus-putus di lukis di situ. Jadi kita tak perlu mengawasi kereta di kiri dan kanan memangkah lane kita. Aku cakap begini kerana pemandu di KL kerap menghimpit masuk ke lane tengah apabila mereka berada di lane kiri sekali.

Dan agak memalukan apabila kebanyakan kemalangan yang berlaku di sini melibatkan pelancong luar. Mereka tidak mematuhi arahan papan tanda yang di berikan terutamanya apabila memandu di laluan Indian Ocean Dr. Dan pada bulan Jun lalu satu kemalangan maut berlaku di situ melibatkan pelancong Singapura.

Pihak berkuasa di Australia kini cuba memikirkan satu cara untuk mengurangkan kemalangan di tempat itu. Terutama di kalangan pelancong luar. Mereka mahu pelancong yang memandu di laluan itu sentiasa mematuhi arahan had laju kerana mahu pelancong menikmati panorama kawasan tersebut.

Thursday, August 3, 2017

Kembara Pinnacles...

Rakaman video yang di buat oleh Ojet ketika aku memandu 
melalui Pinnacles Desert sambil menyaksikan keajaiban ciptaan-NYA.

video

Apabila menonton kembali rakaman ini, terbayang saat-saat ketika berada di situ. Keyakinan dan keberanian melakukan perjalanan ini datangnya dari Ojet. Kecilnya dulu aku pimpin dan asuh apabila dewasa dia kembali 'memimpin' aku melakukan satu 'pengembaraan" Bila mendengar dialog antara kami dalam video ini buat aku ketawa sendiri. Tapi dialog itu telah di padamkan... 

Wednesday, August 2, 2017

Scenery yang menakjubkan...

Setelah memadu sejauh lebih kurang 80 kilometer lagi dari Lancelin sampailah ke simpang masuk menuju ke Pinnacle Desert yang terletak dalam kawasan Nambung National Park. Musim sejuk ketika ini tapi hawa sekitarnya tetap berbahang.

Untuk mengelakkan dehidrasi kita di sarankan membawa air minuman secukupnya. Aku bukan sahaja membawa air minuman tetapi juga bekalan sandwich telur yang di buat oleh Ojet.


Baca dulu tanda amaran ini sebelum mula melangkah
 masuk ke kawasan gurun pasir ini.



Gurun Pinnacles terbentuk dari struktur batu kapur semulajadi 
sejak lebih 25,000 tahun lalu selepas air laut surut dan meninggalkan 
batu karang dan cengkerang. Cuaca serta angin menghilangkan pasir 
sekitarnya dan mewujudkan unsur-unsur tiang batu kapur. 
Maknanya 25 ribu tahun dulu kawasan ini adalah laut???

Dengan bayaran dua belas dolar untuk satu kereta... aku berpeluang merasai memandu di atas trek berpasir. Walaupun mulanya agak ragu-ragu tapi ada tanda atau penunjuk arah yang telah di letakkan bagi mengelakkan pemandu kenderaan sesat dan hilang arah untuk kembali dan keluar dari kawasan ini. Kami videokan perjalanan kami ketika aku memandu melaluinya.

Oleh kerana waktu aku berada di sini... Perth sedang mengalami musim sejuk jadi tidak banyak yang dapat di saksikan. Dari risalah yang aku baca, waktu yang paling elok sekali untuk datang ke sini adalah pada musim bunga iaitu sekitar September hingga Oktober. Di bulan inilah bunga-bunga liar Australia Barat sedang berbunga. Berwarna-warni dengan berbagai rupa bentuk dan saiz.

Dari Nambung National Park kami terus pulang ke Perth City dan tidak jadi meneruskan perjalanan ke Cervantes. Kerana untuk ke Cervantes aku terpaksa memandu sejauh 17 kilometer lagi ke utara. Cukuplah dengan apa yang telah di lalui sepanjang perjalanan ketika datang. Lagipun aku takut hari telah gelab dan agak merbahaya memandu di Indian Ocean Drive ketika malam.

Dan dalam perjalanan pulang kami singgah di beberapa lokasi untuk memotretkan kenangan.


Pemandangan yang sangat cantik dan menyejukkan mata.


Beginilah rupa pokok-pokok yang tumbuh 
di Wanagarren Nature Reserve.

Tuesday, August 1, 2017

Buat Saniah, mama aryan dan Nieda...



Separuh hari di pejabat Pos Malaysia. Baru hari ini berkesempatan 
mengeposkan barang untuk tiga sahabat blog yang telah 'meneka di mana 
aku berada'. Pasti ketiga-tiganya tertunggu-tunggu kiriman 
barang ini. Maaf... agak lambat.