Tuesday, December 18, 2018

Teman...

Black, kucing baka campuran maine coon dan 
persian. Baru setahun usianya.

.. setiap kali bunyi pintu pagar di buka dia akan 
menjenguk di tingkap melihat siapa yang datang.

Kehidupan selepas bersara agak sunyi. Agak payah juga untuk membiasakan diri. Aku jadi termanggu-manggu tiba waktu pagi. Entah apa yang ingin aku buat. Walau pada sebelah malamnya sebelum tidur sudah di pahatkan dalam hati, "bangun pagi esok nak buat itu... nak buat ini" tapi bila menjelang siang aku seperti orang bingung.

Bersendirian dan suasana yang sunyi membuat aku banyak menghabiskan masa dengan berbaring-baring di katil.

Agak lama juga aku mengambil masa untuk mengatur jadual harian. Rajin dan malas silih berganti memenuhi ruang-ruang hari ku. Sehinggalah satu hari Ojet bawa seekor anak kucing ke rumah.

Ya, dengan kehadiran black sedikit sebanyak menambah keriuhan dan penghapus rasa sunyi. Dialah peneman di kala anak-anak keluar bekerja. Anak-anak pula menganggap black 'adik bongsu' mereka. Sedikit sebanyak telatah, kelincahan dan kenakalannya memberi impak yang besar dalam keluarga aku.

Walaupun awalnya mendapat bantahan dari Abang tentang keputusan Ojet untuk memeliharanya tapi kini dialah nampaknya paling sayangkan black. Pernah satu ketika black terpaksa warded semalam di klinik veterina, abang tak lalu makan memikirkannya. Pulang dari bekerja black lah yang di cari dulu. Katanya, rindu kalau tak tengok black.

Patutlah kucing adalah haiwan kesayangan nabi. Ada sesuatu yang tak dapat di luahkan dengan kata-kata tentang haiwan ini. Hanya orang yang memelihranya saja tahu rasa itu. Walaupun pada mata kasar ia tidak memberi apa-apa faedah tetapi apabila kita menyentuh bulunya yang lembut kita dapat merasakan ketenangan dan boleh meredakan rasa marah.

Friday, December 7, 2018

Terbangkit dari lena...

Salam! Tiba-tiba seperti dikejutkan dari tidur yang lena. Seolah tersentak dari lamunan yang tak bertepi. Rupanya 2018 sudah sampai ke penghujungnya.

Terlalu banyak peristiwa yang di lalui sepanjang tahun ini. Tapi dibiarkan berlalu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Keinginan untuk berblog seperti mati. Idea untuk menulis seakan tumpul. Hari-hari yang berlalu terbiar kosong begitu saja tanpa pengisian.

Berita pemberhentian (VSS) kakitangan sebuah syarikat akhbar aliran perdana beberapa minggu lalu seakan mengetuk keras pintu hati. Dan membuat aku seakan terjaga dari mimpi. Tiba-tiba terasa sayu dan hiba. Aku mengenali kebanyakan mereka. Airmata begitu murah ketika bertemu pada hari terakhir di perkarangan bangunan pejabat akhbar tersebut. Masing-masing kini keluar membawa haluan sendiri.

Kembali ke rumah seluruh ruang terasa sunyi, Saat itu aku merasakan seolah rakan-rakan yang aku kenali selama ini telah pergi jauh. Seakannya aku pulak yang kehilangan pekerjaan. Hakikatnya telah dua tahun aku bersara dari dunia pekerjaan.