Tuesday, December 28, 2010

Jomla makan dim sum stimbot...

(Rebus! kami memilih untuk layan diri.)

(Ini pertama kali aku makan dim sum.)

“Kak! kita makan stimbot malam ni.”

“Ala, malaslah, anak aku tinggal kat rumah, entah makan entah tidak!”

“Jomla... saya ajak Sedek sekali. Dia kata okey, nak perabiskan duit ni!”

“Hujan lebat!” Masih mencari alasan.

“Hujan-hujan ni la sedap makan dim sum stimbot. Jomla.., jomla... Ni.. ni.. tengok paper hari ini ada satu restoran. Macam best nampak, yeh!”

“Kat mana ni?” sambil membelek-belek akhbar yang dimaksudkan.

“Kita tanya Sedek. Dia mesti tau ni.”

Aku tewas juga dengan ajakan kawan petang semalam. Hujan yang turun lebat tidak menghalang niat kami nak makan stimbot di restoran yang dimaksudkan.

Aku tinggalkan kereta di pejabat. Dan dengan kereta Shidah kami menuju ke Petronas Pudu Ulu mengambil Sidek pula. Rupa-rupanya restoran yang dimaksudkan tidak jauh dari tempat Sidek menunggu kami.

“Sedap lagi kat warung kakak yang selalu kita pergi”

“Kalau dah tekak Melayu tu, Melayu jugak. Walaupun makanan Cina, tapi nak Melayu buat juga yang sedap.”

“Iyalah, aku kata yang kat warung kakak tu juga yang sedap.”

(Sebelum balik Shidah beri loceng angin, cenderahati sempena
percutiannya di Langkawi minggu lepas.)

(Sedek beri fridge magnet yang dia beli di Cambodia. Dan ini
adalah sebahagian koleksi fridge magnet aku pemberian dari
kawan-kawan, sahabat handai, anak dan adik. Dan yang paling aku
sayang patung orang Karen tu pemberian adik dari Thailand
dan sepasang patung petani Vietnam pemberian anak lelakiku
waktu dia menyertai pengantarabangsaan matematik
di Hanoi tahun lepas.)

Mari buat bahulu!...

Bahan-bahannya:
2 cawan gula pasir
2 cawan telur (pecahkan telur dan sukat dalam cawan)
Tepung gandum

Cara mengadun:
1. Pukul telur dan gula hingga kembang dan pekat.

2. Ambil beberapa senduk andunan dan masukkan dalam satu mangkuk kecil. Campurkan tepung sedikit-sedikit sehingga mendapat adunan yang dikehendaki. (Jangan terlebih tepung sebab ini akan membuatkan kuih jadi keras dan tak lembut.)

3. Panaskan acuan dan sapu minyak sedikit. Sudukan adunan ke dalam acuan dan bakar dalam oven dengan suhu 200 C sehingga masak.

Monday, December 27, 2010

Sedapnya bau...!

(Cheese tart untuk Rose.)

(Bahulu untuk kakak.)

"Hurmmm! sedapnya bau. Mak masak apa tu!"

"Buat kulit tart. Ada orang nak cheese tart!"

Abang terhidu-hidu lagi. Dan dia tersenyum-senyum memandang tart-tart yang tersusun dalam dulang pembakar.

"Nak ke?"

"He he!"

"Ok, nanti mak buatkan!"

Cuti krismas semalam aku agak kelam kabut sikit menyiapkan blueberry cheese tart dan bahulu. Dua hari tu aku terperap di dapur dengan bahang oven.

Monday, December 20, 2010

"Mak dah gemuk la..."

(Banana cup cakes untuk kakak ipar sempena majlis tahlil
di rumahnya hari Sabtu lepas.)

(Masih dalam oven.)

(Dah masak.)

“Eii! buruk betullah. Pakai apa pun tak kena, terbuncit sana, terbuncit sini. Bencilah!”

“Ha.. ha.” Abang ketawa.

“Tengok body mak dah tak cantik. Perut buncit. Dari tengah hari semalam mak makan banyak betul. Eiiih!”

“Tau pun. Masa makan tak beringat. Salah mak. Ntah-ntah mak mengandung!”

“Tak da mananye!” Dan si abang ketawa lagi. Tak berhenti.

Aku perasan, sejak akhir-akhir ni badan rasa berat-berat. Dan selera makin bertambah. Perut nampak buncit. Tak boleh jadi ni.

“Hei kau buat apa kat rumah!”

“Duduk je.”

“Meh lah sini, datang rumah aku, kita cerita-cerita lepas tu kita keluar minum nak.”

“Ok, aku datang!” Malam tadi, kami (aku, adik, kakak, abang dan Ojet) keluar ke Ampang Waterfront.

“Aku nak minum jus kiwi.”

“Makan?”

“Tak nak!”

“Betul?”

“Betul!”

“Nanti jangan nak rasa sikittt...!”

“Tak!”

“Ei! betul-betul ni!”

“Ya, aku dah gemuk, perut pun buncit!”

Dan hari ini aku puasa. Betul, aku takut gemuk. Sebelum husband bersuara baik aku diet!

Thursday, December 16, 2010

Siapa nak fruit tart...

(Inilah fruit tart yang aku buatkan untuk kawan
sepejabat, Shidah.)

“Abang boleh tolong mak tak?”

“Mak nak abang buat apa?”

“Temankan mak gi seven eleven kejap. Mak nak beli susu segar.”

Waktu tu jam dah pukul 10 setengah malam. Aku baru nak memulakan aktiviti dapur, baking. Janji dengan kawan satu office nak buatkan dia fruit tart. Tapi susu tak ada. Nasib baik kedai seven eleven dekat dengan rumah. Tapi takut pula nak pergi sorang. Itulah minta anak lelaki si abang temankan. Husband? Ooo husband belum balik kerja lagi. Selalunya dia balik lambat.

“Ada sesiapa yang nak makan fruit tart!”

Tak ada jawapan

“Cepat sebelum mak ubah fikiran!”

Pun senyap. Nampaknya tak ada siapa yang mahukan fruit tart. Tart yang dah siap aku masukkan dalam kotak. Dan tiga keping lagi aku letakkan dalam satu bekas lain. Cadangnya nak kasi Anisa kawan Ojet yang suka makan fruit tart.

Cerita Ojet...


“Abang tak datang hari ni. Dia kata Ojet masak kat rumah!”

Hai surprise! Ojet dah pandai masak. Macam tak percaya je dengan apa yang aku dengar.

“Aku talipon tadi dia cakap goreng sardin. Abang makan banyak. Sedap sangat adik dia masak.”

Begitulah cerita kakak aku. Tengah hari tadi abang dan Ojet tidak datang kerumahnya untuk makan tengah hari. Memang setiap hari sebelum keluar ke tempat kerja aku akan tinggalkan pesanan pada anak-anak, tengah hari nanti pergi makan rumah ummi (panggilan Ojet dan abang untuk kakakku yang sulung). Kebetulan kami tinggal satu taman.

Masa abang dan Ojet kecil-kecil dulu, bila aku keluar bekerja, kedua-duanya aku tinggalkan di rumah kakak. Aku lebih selesa dan tenang meninggalkan anak-anak di bawah jagaan dia. Hinggalah mereka dah besar panjang begini, bila aku kemana-mana aku tinggalkan mereka di rumah kakak. Senang nak makan dan aku pun tak risau.

“Semalam aku balik, aku tengok kain-kain bersidai di ampaian. Aku tanya sapa yang basuh, Ojet kata dia yang basuh.”

“Baguslah! Pandai juga dia buat kerja rumah!”

Aku sebenarnya memang tak harap Ojet buat semua tu. Sebab selama ini memang aku tak pernah suruh dia membasuh pakaian apa lagi memasak. Aku tak confidence dia buat semua tu. Apalagi menggunakan peralatan dapur.

Hai! sedar tak sedar aku dah ada anak dara dalam rumah! Walaupun cuma masak nasi dan goreng sardin tapi sekurang-kurangnya sudah ada perubahan pada diri Ojet. Aku patut galakkan!

Wednesday, December 15, 2010

Kek Gula Hangus


"Mak nak buat kek ke?"

"Ya"

"Sapa nak?"

"Nina, Mak ngah telefon tadi dia minta mak buatkan kek Gula Hangus. Nina nak."

Nina tu anak saudara. Tinggal di Kelang. Masa aku bercuti dua minggu menemankan Ojet periksa dia telefon minta aku buatkan kek Gula Hangus. Katanya teringin nak makan. Janji lusa nak hantarkan. Tapi bila di fikirkan balik kesian pulak, lama menunggu. Jadi sebelum aku ke Sungai Petani minggu lepas aku buatkan sebiji dan hantarkan ke rumah dia di Kelang.

Tapi tak sangka pulak rupanya Ojet dan abang pun nak juga. Kebetulan abang ada di rumah. Dia cuti sempena semesta pertama. Sebaik saja masak dia tak sabar-sabar nak memotongnya. Macam tulah anak-anak gemar makan kek yang aku buat. Inilah sebabnya kenapa aku pergi belajar memasak dan menghias kek. Alhamdulillah anak-anak memberi sokongan!

Kalau ada sesiapa yang nak resipi kek tu bolehlah ambil. Terutama cik Bidadari yang ingin aku menulis tentang resipi di blog ini semalam. Harap puas hati.

Bahan-bahannya:
10 biji telur
125 gm margerin
2 cawan tepung gandum
3 sudu teh soda bicarbonat
1/2 tin susu pekat manis
2 cawan gula
2 cawan air

Cara-caranya:
1. (Untuk gula hangus) Masak gula hingga cair dan berwarna keperang-perangan. Kemudian perlahan-lahan tuangkan air sejuk dan kacau supaya gula larut. Angkat dari api dan biarkan sejuk.

2. Tepung di ayak bersama soda bicabonat. Ketepikan.

3. Pukul telur sehingga kembang. Ketepikan.

4. Dalam mangkuk lain, pukul margerin dan susu hingga kembang.

5. Masukkan telur yang telah dipukul dan tepung. Gaul rata.

6. Akhir sekali masukkan air gula hangus. Gaul semua hingga sebati.

7. Masukkan dalam acuan yang telah di sapu dengan sedikit margerin dan dialas dengan kertas kuih.

8. Bakar dalam oven dengan suhu 160 C selama satu jam setengah atau sehingga masak.

Sunday, December 12, 2010

Cuti dah habis...

(Ojet mengabadikan kenangan bersama
pasangan
mempelai.
"SELAMAT PENGANTIN BARU Shidah
dan
pasangannya.)

Aghhh! lega rasanya. Ojet juga! SPM dah selesai seminggu sudah. Semalam aku tengok dia nyenyak tidur. Kalau tidak pukul tiga pagi dia masih mengadap buku.

Selama dua minggu, aku cuti semata-mata nak temankan dia menghadapi SPM. Menghantar dan menjemputnya di sekolah. Dan membawakan makanan tengah hari untuknya. Alhamdulilah, doaku moga dia memperolehi kejayaan yang cemerlang.

Sebenarnya ada beberapa perkara lagi yang aku selesaikan sepanjang dua minggu itu, selain dari menemani Ojet. Di penghujung cuti sempat juga aku bergegas ke IKM Sungai Petani mengambil anak saudara yang berlajar di sana untuk balik sempena cuti semesta pertama.

Kembali dari Sungai Petani aku berkejar pula ke Melaka menghantar seorang lagi anak saudara mendaftarkan diri untuk memasuki salah sebuah kolej di sana. (Kenapa aku sibuk-sibuk menguruskan hal mereka, jawapannya mereka ini tidak ada ayah lagi, jadi aku mengambil tanggungjawab itu untuk membantu kedua-duanya.)

Di celah-celah ‘kekalutan’ tu, sempat juga aku meluangkan masa memenuhi jemputan kenduri kahwin. Meriah dan makanannya sedap!

(Nasi beriani. Sed
appp! Tuan rumah tauke nasi beriani.)

(Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian
.)

Sunday, November 21, 2010

"HAPPY BIRTHDAY.."

To...
...and
Me....

Sempena birthdayku hari ini sms dari abang yang buat
aku rasa happy, bahagia dan bangga...
"exam fizik sgt senang td, plus projek sains abg
dpt projek trbaik. dpt rm70, hehe..

jawapanku...,
"apalagi bayarlah blek harga tiket
kapalterbang pada mak"

abang balas...,
"mane boleh... nk beli buku utk sem 2,
tu pun x cukup, kena tmbh lg."

Dalam hatiku...
Bertuahnye anak!

Thursday, November 18, 2010

Cream Custard buah-buahan untuk kawan Ojet...

(
cream custard buah-buahan
untuk Anisa kawan Ojet.)

(Ini cream custard buah-buahan yang aku buat masa
Hari Raya
Korban kelmarin.)

“Mak! ada bekas tak?”

“Nak buat apa?”

“Ong nak bawakan kawan Ong, Anisa tart buah-buahan tu!”

“Eh, tok sahlah bawa yang tu, strawberrynya dah nampak kecut, dah tak sedap. Nanti mak buatkan yang lain.”

Semalam Ojet cerita dengan kawannya Anisa, aku buat tart buah-buahan yang juga menjadi kegemaran kawannya tu. Rasa ralat hati pulak nak beri orang baki dua potong lagi tart yang aku buat masa raya kelmarin.

Kebetulan strawberry, peach dan kiwi masih ada lagi dalam peti ais. Aku bercadang nak buat satu khas untuk kawan Ojet. Lebihnya boleh juga bawakan untuk kawan-kawan di pejabat pula. Bahan-bahan lain untuk mengadun kulit tart tu pun masih banyak lagi dalam kabinet dapur. Lagipun bukannya rumit sangat nak buat tart tu.

Pagi tadi, masa hantar Ojet ke sekolah (ada kelas tambahan) aku kirimkan untuk kawan Ojet, Anisa sepotong. Harap dia suka dan puas menikmatinya walaupun aku cuma beri dia sepotong. Selebihnya aku isikan dalam bekas dan bawa ke pejabat untuk kawan-kawan pulak.

Hmm!, kalaulah tau Cik Bidadari kawan bloggerku tinggal kat mana, boleh juga aku hulurkan untuk dia sepotong.

Wednesday, November 17, 2010

Raya Korban yang sepi...

(Kegemaran anak-anak. Tapi raya kali ni, segalanya
sepi, Abang jauh dari aku, Ojet pula sibuk study untuk SPM.)

“selamat hari raya abang!”

“hehe, slamat raya, mak kat mane tu?”

Airmataku hampir menitis. Inilah pertama kali aku berjauhan dengan abang pada hari raya. Walaupun cuma hari raya korban.

“Mak kat rumah le, ni baru lepas sembahyang isyak..! Tak sanggup rasanya memberitahu aku baru je lepas memasak juadah untuk raya.

Seperti raya-raya korban yang lepas, aku cuma menyediakan spaghetti, tart buah-buahan dan dadar berlauk saja. Menu yang menjadi kegemaran anak-anak. Kebiasaannya aku jarang memasak rendang dan ketupat pada hari raya korban.

Kalau pada raya-raya yang lepas tiap kali aku sibuk di dapur pasti abang akan duduk sambil memerhatikan aku memasak. Mulutnya sibuklah menanyakan itu ini tentang apa yang aku masak. Sesekali memuji dan dia tak sabar-sabar nak merasa.

Ojet pula jenis yang tak suka ke dapur. Ditambah pula tahun ni bakal menghadapi SPM yang tinggal tak berapa hari saja lagi. Apa lagi memerap sajalah di biliknya.

Aku rasa raya kali ini begitu sepi...

Tuesday, November 9, 2010

Ingatan pada anak-anak...

Sedar, aku bukanlah seorang pelukis yang bagus,
cukup untuk membuatkan aku leka serta menghilang
rasa sunyi dan bosan duduk sendirian.

Pertama kali mendengar luahan hati Ojet di malam ceramah motivasi untuk pelajar tingkatan lima di sekolah minggu lepas hati tersentuh. Aku sebak dan hampir menitiskan airmata. Aku renung jauh-jauh kedalam anak matanya tika dia mengungkapkan kata-katanya.

"Mak sayang Dek Da. Mak nak Dek Da pun sama macam abang. Mak sentiasa mendoakan kejayaan juga buat Dek Da. Dan mak wujudkan blog ini khas buat abang dan Dek Da," dan aku seperti mendengar tepukan tika aku meluahkan kata-kata ini dari hadirin yang hadir pada malam itu.

Tiap detik bersama anak-anak adalah waktu yang amat manis dalam hidup. Keletah, tingkahlaku dan kenakalan Dek Da dan Abang ketika kecil tetap segar dalam ingatan. Segala-galanya itu tidak mungkin dapat aku lupakan dan itulah Sweet Memoryku dalam hidup ini.

Sunday, October 31, 2010

High tea dan baulu...


(Baulu yang aku buat tadi.)




Ahad,1.45 petang: Hari ini Ojet ada high tea di Hotel Putra, Jalan Tun Razak. Kenalah aku pergi menghantarnya. Begitulah selalunya. Aku jarang membiarkan anak-anak keluar sendirian atau kemana-mana menggunakan pengangkutan awam. Semacam ada satu ketakutan di situ.

Aku perhatikan saja Ojet bersiap dan membelek dirinya di hadapan cermin. Sudah jadi anak dara. Suka atau tidak aku kena beri dia ruang untuk bersosial. Apa salahnya sekali sekali bertemu rakan-rakan diluar waktu sekolah. Lagipun jamuan yang akan dihadirinya hari ini anjuran koperasi sekolah.

Teringat aku masa sekolah dulu. Usahkan hotel, makan-makan direstoran pun tak pernah. Masa tu KFC ataupun coffee house. Mak tak kasi punya. Inikan pula hotel, menyebutnya pun ‘takut’. Tabu, hotel di bayangkan tempat orang jahat-jahat.

Kalau jamuan akhir tahun dengan rakan-rakan cuma di adakan di dalam kelas. Makanan yang ada cuma gula-gula, cokelat, kacang, buah-buahan dan bihun goreng. Jauh benar dengan keadaan sekarang. Anak-anak sudah pandai memilih tempat untuk bertemu dengan rakan-rakan seusia.

Aku ‘drop’kan Ojet di lobby Hotel Putra dengan janji aku datang ambil dia usai majlis pukul lima petang nanti. Lepas ni aku ada urusan lain di rumah, meneruskan projek yang tergendala minggu lepas. Cadangannya nak buat baulu. Dah janji dengan blogger ummi iman.

Kali ni aku buat baulu cara orang dulu-dulu. Iaitu sukatan guna mangkuk bukan timbangan. Cuma cara mengadun dan membakarnya saja guna cara moden. Dan acuan yang aku guna ni pun acuan lama. Seingat aku, sejak kecil-kecil lagi acuan inilah yang mak aku guna tiap kali dia membuat baulu. Kalau dikenang-kenangkan balik rasanya terlalu banyak kenangan yang tersimpan di sebaliknya yang tak mampu aku ungkapkan di sini.



(Putar telur dan gula hingga kembang dan ringan.)



(Masih dalam oven.)

Friday, October 15, 2010

"...da jadi da kek 2..."


Jeritan message dari telepon mengejutkan aku dari tidur.

Mak da bgun tido ke. Nak tanya camne na wat kek yang sukatan gula ngan marjerinnya sama je tu. Lau mak da bangun mis kol nanti kak long tepon mak blek” Siapa pulak ni. Aku keliru dan terpinga-pinga sekejap. Subuh-subuh begini ada orang kejutkan aku tanya pasal resipi"

Lama jugak aku memikirkannya di tepi katil. Ojet ke? Aku berlari kebilik Ojet, tengok dia nyenyak tidur.

Oooo... Ain rupanya. ‘Kembar’ Ojet. Berkulit gelap jadi kami sekeluarga panggil dia bawang merah dan Ojet bawang putih (sebab kulit Ojet putih). Aku jarang bercerita pasal Ain sebab dia tak tinggal dengan aku.

Mak tepung tu 2 cwn je kan?”

“Ya”

Dan waktu aku sedang memandu, jeritan message masuk lagi.

Mak da jadi da kek 2...”


---------------------------------------------------------------------------------
(pssst... aku tiba-tiba terkenangkan Ain yang tinggal kat Langkawi. Tahun ni dia pun akan hadapi SPM, mak doakan semoga kak long pun berjaya capai 9A, Amin!)

Tuesday, October 12, 2010

“Tak balik!”

“Ya, tak balik. Abang tak balik raya haji ni.”

Semalam, abang (anak lelaki ku) call dari kolej. Dia tak balik raya haji ni. Nak beraya di kolej saja dengan kawan-kawan.

“Kenapa, tak dapat cuti ke?”

“Tak, dah nak exam semester pertama tu. So abang nak tumpukan study. Ramai juga kawan-kawan yang tak balik.”

Ok, apa sajalah!. Aku tak kisah. Walaupun terselit juga rasa sedih. Tapi pada waktu yang sama aku faham juga situasi yang dilaluinya. Cita-cita dia, cita-cita aku juga. Tak sabar rasanya menantikan saat itu. Menyaksikan abang berjaya menggenggam segulung ijazah dan mencapai impiannya menjadi seorang jurutera.

Nampaknya aku kena belajar berjauhan dengan anak-anak terutamanya abang. Tahun depan pastinya terpaksa berenggang pula dengan Ojet yang mengikuti jejak langkah abang. Dan abang pulak semakin jauh melangkah meninggalkan aku demi cita-citanya melanjutkan pelajaran di UK.

Teringat abang yang suka makan nasi himpit dengan kuah kacang bila raya. Rasa macam nak pergi je melawat dia di kolej. Bawakan makanan dan kek-kek yang dia suka. Tapi apakan daya jauh...!

(Pai ni antara yang menjadi kesukaan abang. Selalunya
tiap raya haji aku buat bersama dengan ayam panggang dan
spaghetti ataupun macaroni goreng.)

Monday, October 11, 2010

Lukisan dari hati...

Yesterday is history, tomorrow is mystery,
... and today is a gift so cherish your life.

Monday, September 27, 2010

Ojet, sambal tempoyak dan cup cakes..

(Kek cawan yang aku buat semalam, ringkas dan
mudah
.)

(Masih dalam oven.)

“Mak! dah terbau. Hmm sedapnya...” He..he, senyum Ojet meleret sampai ke pangkal telinga.

Ini pertama kali aku buat, Ojet punya pasal.

"Mak kenapa tak letak ikan bilis"

"Dah!"

"Sikit je!"

"Kalau tak cukup, adik bubuhlah lagi."

Itu dia penangan sambal tempoyak masak. Favourite Ojet. Entah macam mana pulak amoi ni suka sangat dengan sambal tempoyak. Pipinya yang putih tu pun bertukar kemerah-merahan kerana pedas. Walaupun pedas dia takkan berhenti menyuap nasi dan sambal tu ke mulutnya.

Tengah bermalas-malas sambil memerhatikan Ojet mengulangkaji pelajarannya adik talipon, kak ipar nak datang rumah. Mata yang makin kuyu tiba-tiba segar. “Nak buat apa ni! Ada orang nak datang, biskut raya pun dah habis. Pulak tu datang mengejut. Tak prepare apa-apa pun.

Buka kabinet, ada marjerin dan tepung. Apa lagi aktiviti dapur yang dah lama aku tinggalkan... (baking) Tak lama siaplah adunan cup cakes aku. Simple je. Elok-elok semuanya masak, tetamu pun sampai.

(Penangan sambal tempoyak, tinggal study.)

Thursday, September 23, 2010

Model Petronas Coffee Break...

Seronoknya dapat minum coffee di stesen petronas. Hilang penat memandu dari Alor Setar ke KL. Oleh kerana free, jadi bercawan-cawanlah kami minum, saja-saja seronok-seronok. Badan pula letih, coffeenya pun sedap jadi ambik kesempatan la berehat ramai-ramai sambil minum-minum (opss!).

(Coffee ni dapat di stesen Petronas Behrang.
)

(Antara model yang beraksi.
Ojet serta untienya. Dan yang paling
riang
dapat
coffee - bertudung
biru tu, ummi Ojet, along..)

Dalam perjalanan Kl ke Alor Setar, along@ummi request nak singgah di Tanjung Dawai. Dia nak beli ikan bilis. Apa lagi sakanlah beli ikan bilis dan ikan kering. Nampaknya lepas raya ni asyik makan ikan bilis goreng, sambal tumis ikan bilis, ikan bilis goreng bercili dan yang sewaktu dengannya... ha..ha.. Jangan marah ya long! "Nanti cheq bawak hang pi lagi sana."

(Tu dia.. borong sakan aih!)

Tuesday, September 21, 2010

"Tak payah hias cantik-cantik..!"

Agh! Penatnya. Baru balik dari temujanji dengan doktor di Ampang Puteri. Risau dan susah hati dengan keputusan pemeriksaan doktor tadi. Apa aku nak buat ni...!

Dalam saat-saat macam ni fikiran mulalah teringatkan anak-anak. Kalau boleh aku tak mahu mereka juga runsing dan risau dengan kesihatan aku.

“Mak jaga kesihatan tau” pesan abang waktu aku hantar dia balik Sabtu lepas.

“Ya, ya.. mak akan jaga kesihatan. Mak berdoa semoga dipanjangkan umur dan nak tengok abang berjaya ... ”

“Tapi mak tu tak jaga makan...!” Iyalah tu! Bukan aku saja yang meninggalkan pesanan pada abang sebaliknya dia pula yang menitipkan itu ini pada aku. Tapi sekurang-kurangnya jauh di sudut hati, tahulah aku perasaan dia.

Bercerita tentang abang, aku teringat sebelum dia balik Sabtu lepas dia minta aku buatkan dia kek coklat (kek kegemarannya).

“Mak boleh tak buatkan abang kek coklat kukus. Tak payah hias cantik-cantik.”

“Abang nak bawak balik ke?”

“Tak! abang nak makan..”

(Inilah Kek Coklat Kukus kegemaran abang.
Kerana nak cepat, belum sempat sejuk lagi aku dah
topping! Tu pasal toppingnya nampak cair.)

(Honey Flakes kegemaran abang juga. Malam sebelum balik,
untienya buatkan satu bekas untuk dia."

Sunday, September 5, 2010

"Ong belikan mak baju raya..."

(Inilah baju kurung yang Ojet belikan semalam.)

Surprise dan terharu! itulah yang dapat aku katakan. Nak tau kenapa. Anak perempuanku Ojet belikan aku baju kurung. Sebelum tu dia tanya aku, kenapa tak beli baju raya.

"Alah, baju-baju lama tu boleh pakai."

"Tak bestlah! mak tak ada baju raya, Belilah yang dah siap, tak mahal, Ong tengok enam puluh ringgit."

"Tak payahlah dik!"

Rupa-rupanya semalam dia pergi ke Jalan TAR dan belikan aku baju kurung. Tak dapat aku gambarkan bagaimana perasaan aku tatkala menerima pemberian itu.

Mana dia dapat duit beli baju tu?

Ingat tak, dalam catatan di blog ni dua bulan lepas, Ojet menang pertandingan Ranjer Ridsect.

Minggu lepas dia beritahu duit hadiah tu dah masuk dalam akaun. Dia minta izin untuk keluarkan duit tu.

“Buat apa nak keluarkan, biarlah dalam akaun bank, itu lebih selamat.”

“Ong nak ambik seratus je mak, boleh tak?”

“Jangan ambik banyak sangat, tahun depan nak masuk U boleh juga guna untuk persiapan!”

Waktu aku tengah mengemaskan rumah malam tadi, Ojet hulurkan satu bungkusan. "Ong belikan mak baju raya."

"Berapa ringgit ni!"

"Lima puluh ringgit je mak!"

Terima kasih Dik Da!. Mak terharu sangat tak kisah walau berapapun harganya!


Monday, August 30, 2010

Jangan salah naik kapal terbang....

“Abang! mak dah bookingkan tiket penerbangan untuk balik raya ni. Jangan lupa salin dan simpan no booking tu. Ingat tu, awal-awal kemaskan barang yang nak dibawa balik. Jangan banyak sangat barang sebab mak tak bayar untuk bagasi.

Macam baju mak rasa tak perlu bawak, sebab nanti sampai di KL nak beli baju baru juga kan... Tapi s......... tu kena bawaklah dua tiga helai.

Di airport nanti hati-hati. Kalau ada orang minta tolong pegangkan barang jangan mahu, macam tu juga abang, jangan kasi orang lain pegangkan beg dan barang-barang abang. Ha, satu lagi laptop tu sandang walaupun nak pergi bilik air.

Duit bawak lebih sikit. Nanti buka puasa kat airport saja. Jimat-jimat bila berbelanja.

Satu lagi mesti ada kat airport tiga jam awal sebelum penerbangan. Nanti acik dan mak tunggu di LCCT.”

Ha tu dia, punyalah panjang berjelanya arahan dan pesanan buat abang. Tak cukup kat telepon siap email lagi. Yelah, hati mak mana yang tak risau bila memikirkan anak akan travel sorang-sorang balik ke KL sempena hari raya ni. Mentelah abang mana pernah keluar dan berjalan sorang jauh-jauh begini. Masa dia belajar di Seremban aku sanggup curi masa lunch time, drive ambik dia kat asrama.

Kang dibuatnya tersalah naik kapal terbang, naya anak aku entah lepas kemana.

“Woi, kau jangan merapu, mana ada tersalah naik kapal terbang...!”

"He he..tak ade yek!"

"Hai mak kau ni banyak na merapunya"

Apa-apa pun aku nak abang tahu aku sayangkannya.

Sunday, August 29, 2010

Kelana sampaikan award....

Award blogwalking dari Kelana_fana. Terima kasih Kelana yang sentiasa memerhatikan alam semesta.

Dan ini jawapan untuk 7 soalan tu... .

1. Apakah yang bermain di minda anda sekarang?
Duit, kenapalah sentiasa tak cukup...

2. Apakah nama samaran anda?
Sweetty...

3. Siapakah 3 orang yang paling kamu sayang?
Anak-anak (abang n Ojet) dan selebihnya untuk adik beradik dan semua kawan-kawan yang baik termasuk folower blog saya.

4. Panggilan untuk si dia?
Panggil nama je...

5. Hadiah yang anda impikan daripada seseorang yang istimewa?
Hmmm... sebuah rumah yang lengkap dengan kolam renang dan taman yang penuh dengan bunga rose berbagai warna. (jangan anggap saya the meterial girl ya. Ini sekadar impian

6. Blog yang anda selalu lawat?
Semua yang dah jadi kawan-kawan (folower).

7. Tag kan kepada 15 blogger (aduh ramainya... sebenarnya saya tak pandai nak tag men-tag ni.)


Wei! letih mengetaq nama-nama ni. harap-harap mereka semuanya sudi datang kemajlis penganugerahan award ni.

Monday, August 23, 2010

Satu hari Ong tak makan...

Eh dah dekat nak raya! He..he.. diam tak diam dah lima belas hari dah puasa. Sekejap je masa berlalu.

“Mak! ok tak? Sesuai?” Oooo patutlah senyap je kat dalam bilik. Rupanya menggayakan baju raya.

“Ok, cantik. Tapi colour tudungnya light sangatlah. Kalau adik beli yang gelap sikit, mak rasa lagi cantik.”

“Ong tak ingat colour baju ni” Dan Ojet berpusing-pusing depan aku lagak model menggayakan baju rayanya. Baju kurung pahang warna ungu, kasut dan handbag jenama bonia. Pun warna ungu.

Dengan anak perempuanku Ojet ni ada satu kenangan yang tak mungkin akan aku lupakan sampai bila-bila. Walau sudah sebelas tahun berlalu namun kenangan itu tetap segar dalam ingatan. Dan setiap kali menjelangnya bulan Ramadan kenangan itu muncul dan jadi bahan jenaka kami sekeluarga.

Masa tu Ojet baru berumur enam tahun masih dalam tadika lagi, tapi aku dah mula latih dia berpuasa.

Hari pertama permulaan puasa itulah hari yang paling mencabar sekali. Boleh ke Ojet kata aku nak bunuh dia, sebab tak bagi dia makan. Aku masih ingat lagi dialog antara kami waktu tu...

“Mak! Ong nak makan, Ong laparlah”

“Ala sabarlah dik, sikit je lagi.” Waktu tu jam dah pukul enam petang. Aku baru saja sampai rumah dari tempat kerja. Tahu jelah, KL ni, kalau bulan puasa ‘jam’nya macam mana. Dahlah jalan sesak, letih kerana berpuasa sampai kat rumah anak pulak merengek nak buka puasa. Terpaksa juga layan, sebab sayangkan puasanya.

“Mak ni nak bagi Ong mati agaknya, satu hari ong tak makan...” Boleh! dia kata aku sengaja tak bagi dia makan sebab nak biar dia mati kelaparan. He! sabar je lah.

Kerana nak sabarkannya, aku terpaksa mendukung Ojet sekeliling taman perumahan untuk melengah-lengahkannya sampai azan maghrib. Naik pitam aku dibuatnya.

Namun alhamdulillah! berkat kesabaran, berjaya juga aku melatih anak-anak berpuasa walaupun waktu tu mereka masih kecil lagi. Masuk hari kedua, Ojet ok, tidak lagi merengek dan dia berjaya menghabiskan puasanya sampai ke waktu berbuka. Dan semenjak itu tiap kali tibanya ramadan dia tetap berpuasa dan bertarawih.

Sebut tentang tarawih ni, ada satu kisah antara aku dan Ojet.

"Mak, Ong ada bawakkan makanan untuk mak, tadi Ong ambik kat surau. Mak makanlah"

"Nanti mak makan"

"Mak ni tak hargai langsung, bersusah payah Ong ambik dan bawak balik nak bagi mak rasa."

Aku terkedu.

Tuesday, August 10, 2010

"Apa Nak Masak Malam ni?..."

Entah! Rasa macam tak bersemangat je. Lebih-lebih lagi badan masih rasa lemah dan lesu saja. Dan malaslah pulak nak berat-beratkan fikiran memikirkan menu untuk sahur malam ni.

Buat kawan-kawan semua SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN!

Monday, August 2, 2010

Wad 506....

(Bahan bacaan ketika merehat-rehatkan diri
atas katil hospital.)
(Sambil berehat-rehat atas katil hospital
aku baca artikel ni.)

(Pemandangan dari tingkap bilik hospital,
nampak rumah...)

(Makanan orang sakit. Kentang putar, ikan dengan
sos cendawan, sayur rebus, sup dan epal hijau.)

"B, terasa seolah-olah setitik kasihmu tumpah dan meresap keseluruh urat nadi darahku tika sebuah kucupan mu hinggap di dahiku... Dan seperti seluruh kesakitan itu hilang..."

Tuesday, July 27, 2010

Renjer Ridsect...?

(Itu Ojet anak perempuan ku yang 'degil'... Tapi
aku bangga dengan keberanian dan kesungguhannya.)

“Apa tu, tak habis-habis dengan aktiviti. Ingat tahun ni nak SPM. Hentikan semua aktiviti yang tak berfaedah tu!......”

“Mak, hadiahnya banyak, cikgu kata tempat pertama RM13,000. Kalau Ong buat ni markah koko Ong nanti penuh mak...”

“Ala tak de maknanya dik, macam-macamlah...” Ojet cuma diam. Aku memang tak berapa suka dia aktif sangat dengan aktiviti koko sebab hujung tahun ni dia akan menghadapi SPM.

Tapi itu kisah lima bulan dulu waktu Ojet minta izin nak masuk pertandingan tersebut. Nampaknya usaha Ojet (selaku pengerusi) dan rakan-rakannya tak sia-sia. Mereka berjaya meraih tempat pertama dari 100 buah sekolah yang menyertai pertandingan itu.

Dan hari ini, pagi tadi bertempat di SMK Putrajaya Presint 18 (1) aku menyaksikan Ojet dan rakan-rakannya naik kepentas menerima hadiah berupa trofi, hamper dan replika cek bernilai RM13,000.

Hari ini Dek Da dan rakan-rakannya jadi tumpuan media cetak dan elektronik.

“Apa yang wartawan tanya?” Ojet cuma senyum-senyum je.

(Selepas kemenangan bergambar bersama VIP dan guru pengiring.)

TAHNIAH! Dek Da dan rakan-rakan. Lepas ni tumpukan sepenuh perhatian pada SPM hujung tahun ni. Dah menang dah. Mak pun happy (walaupun ibubapa tidak dijemput tapi aku tetap menyibuk pergi menyaksikan penyampaian hadiah tu pagi tadi!)

Friday, July 23, 2010

Pemberian dari sweetsal...

Terima kasih sweetsal...
Cuma boleh jawab 4 soalan saja ya sweetsal sebab tak tau nak tag sapa:
1. Dimanakah anda selalu BW?
Yang rajin menyapa saya.
2. Kenapa anda sangat suka BW?
Suka baca entri penulis-penulis blog lain. Boleh hilangkan tension dengan kerja kat office. Kadang-kadang senyum sendiri bila baca entri dan gambar-gambar yang kelakar sikit.
3. Apa yang anda dapat kalau BW?
Suka kalau dapat berkawan dengan bloggers tu (kalau mereka sudi).
4. Macam mana perasaan orang yang anda BW itu?
Tak tau, harap-harap mereka gembira dan suka dengan sapaan saya tu.

Tuesday, July 20, 2010

Mak teringatkan abang...

(11 Julai, abang sewaktu pendaftaran untuk foundation
satu tahun di Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah)

“Mak kat mana tu?”

“Mak kat UM. Betul-betul depan pintu gerbang masuk ke UM ni”.

“Mak buat apa kat sana?” Nada suara abang ceria. Pasti dia selesa di tempat barunya. Senang hati aku.

“Saja... minggu ni dah tiga kali mak masuk UM. Round-round kat kolej pastu mak balik!”

(Dewan Tunku Cancelor sewaktu sesi taklimat. Bersemangat
betul bila dengar lagu universiti Malaya waktu tu.)

(23 Mei, abang di hari pendaftaran di Kolej Kediaman
Raja Nazrin (KK12) UM.)

Sebenarnya aku teringatkan abang. Masa dia belajar di PASUM bulan lepas, dah jadi rutin setiap Jumaat aku pasti datang, ambik baju-baju kotor dia bawak balik dan basuh. Kemudian hari Ahad aku datang hantar baju-baju abang yang dah bersih dan bergosok. Dan setiap kali kalau nak pergi UM, pasti ramailah yang nak ikut. Bila lalu depan dewan Tunku Canselor kami semua berangan, suatu hari nanti nak tengok abang terima ijazahnya di situ. Hai! impian dan angan-angan seorang emak.

(Abang ketika menghadiri temuduga untuk ke luar negara
di PICC. Suka dan duka bercampur tika ini. Waktu abang jalani
sesi temuduga ni, Abang Ngah meninggal, kami tak sempatpun
menziarah jenazahnya buat kali terakhir.)

“Kalau macam tu, bila abang balik dari UK nanti, abang sambung buat master di UM, mak boleh sambung balik impian mak tu!” Aduh! sejuknya telinga mendengar janji abang.

“Nanti masa abang grad, kita ramai-ramai gi UK!” Wow! tingginya angan-angan mak.

(Abang keluar dari kem PLKN Benum Hill Resort, Pahang
sehari sebelum result SPM diumumkan)

“Abang! Dek Da menang tempat pertama pertandingan Skuad Ridsect. Dapat RM13,000. Majlis penyampaian hadiah minggu depan di Putrajaya. Nanti tengok kat TV ya!”