Wednesday, May 17, 2017

Seram...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran


Teman kala sendirian dan mengupdate
blog ketika malam sunyi.

Untuk beberapa hari ini aku sukar untuk melelapkan mata dan tidur malam. Mungkin di sebabkan udara sekeliling agak panas walaupun di luar hujan, lembab dan sejuk.

Bunyi lolongan anjing yang panjang dan sayup menakutkan serta menyeramkan. Bila aku tengok jam ia seringkali kedengaran pada pukul tiga pagi. Kemudian dikuti bunyi seakan burung-burung terbang bertebaran. Adakalanya aku merasakan seolah-olah ada seseorang menjenguk di luar pagar.

Hingga ketika azan subuh kedengaran aku masih lagi terkebil-kebil. Sedang orang lain sudah mulai sibuk keluar mencari rezeki baru aku boleh tidur lena. Pernah beberapa hari lepas sebaik azan subuh di laungkan tiba-tiba di sahut lolongan anjing seakan-akan terperanjat dan kemudian senyap.

Di hujung lorong selang empat pintu dari rumah kawasan tempat tinggal aku ini ada satu kawasan hutan belukar. Yang dipisahkan oleh satu longkang besar. Kawasannya sedikit berbukit dan berlembah, sejuk serta suram. Seingat aku dahulu ada sebatang anak sungai. Sekarang aku tak pernah lagi menjenguk ke situ... takut terserempak dengan ular. Jiran yang tinggal di hujung sekali ada beritahu dia pernah terlangkah seekor ular kapak/tedung yang sedang menyusur dalam longkang besar di situ.

Dan beberapa bulan lepas seekor ular sawa telah menangkap anak kucing peliharan jiran yang tinggal selang satu pintu dari rumah aku. Ular sawa itu dapat di tangkap oleh JPAM dan anak kucing tersebut dapat di selamatkan.

Bercerita dengan kakak aku tentang apa yang aku dengar dan alami akhir-akhir ini... dia sarankan aku ambil wuduk dan baca Al-Quran. Dan kalau terdengar benda yang pelik-pelik di luar rumah jangan jenguk atau 'tegur'. Mengikut kata-kata arwah nenek aku dulu... kakak aku beritahu itu penanggal. Terbang melintas pergi 'berburu'. Maksud pergi berburu itu tidaklah aku faham... apa yang di burunya. Dan kalau terdengar seperti bunyi pasir berserakkan itu langsuir kata adik ipar aku.

Kakak aku cakap sentiasa beringat dan kuatkan semangat. Tambah-tambah aku tak berapa sihat kebelakangan ini. Teringat suatu petang... sebelum aku diserang sakit kepala yang melampau beberapa minggu lepas... aku berjalan-jalan dengan tujuan untuk mengeluarkan peluh di lorong rumah aku ini. Sampai di hujung lorong aku nampak sebatang pokok kekabu sedang berbunga lebat. Aku cakap dengan jiran yang tinggal berhampiran tentang  bunga pokok kekabu itu... elok diambil dan buat bantal. Pantas jiran tu cakap, "ish! ada penunggunya. Dah ramai yang nampak". Aku antara percaya dengan tidak dengan kata-kata jiran tu. Selesai exercise hujan turun rintik-rintik. Waktu itu hampir senja.

Selang beberapa hari selepas itulah aku di serang sakit kepala yang teramat sangat. Serangan tiba-tiba itu datangnya waktu senja. Bermula dengan kedua-dua kaki aku rasa berat-berat. Kemudian naik ke perut... rasa senak dan nak muntah... dan terasa sakit di ulu hati. Tak semena-mena kepala rasa sakit dan berdenyut-denyut seakan-akan urat darah akan pecah.

Turutan dari itu, setiap waktu senja aku akan mengalami sakit ulu hati dan sukar bernafas. Hubby ada tanya, ada tak aku terpijak atau terlanggar apa-apa waktu aku exercise petang itu. Katanya cuba ingat balik... entah! Rasanya tak ada cuma time tu perasaan aku ada rasa kurang tenteram. Seolah-olah ada yang memerhati...

(nota mak: selalunya sebelum masuk tidur selepas isyak aku akan buang sampah dulu... tapi rasanya lepas ini tidak lagi... serammm! Teringat cerita jiran teman jogging yang aku ceritakan sebelum ini...)

Monday, May 15, 2017

Ajari aku...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran


Sedap rebus dan cicah dengan sambal. Ada juga 'gossip' 
aku dengar ia juga elok untuk orang yang berdiet.

Akhir-akhir ini aku suka beli lady finger. Buat rebus dan cicah dengan sambal belacan. Ojet pun suka kalau aku buat masak asam pedas bersama ikan pari. Tak banyak dalam dua tiga tangkai saja dah cukup. Sebab dia suka tulah bila ke pasar aku gemar membelinya. Sebelum ini memang aku tak pernah beli.

Tapi ada kemusykilan pulak pada aku. Tak tahu nak pilih... yang macam mana elok, lembut dan sedap di makan. Aku kalau beli sayur ni, main ambik je... dan selalulah dapat yang keras. Dan kadang-kadang ada rasa kelat. Seringkali aku nampak pembeli akan patah-patahkan hujungnya. Untuk apa ye.

Minta tolong my sweet friends blogger... Ajari aku macam mana memilih sayur ni yang elok untuk di masak.


Sambal belacan yang di tumbuk secara manual... 
stok untuk seminggu.

(nota mak: my Ojet said pasal gossip boleh kurus tu... "memanglah kurus kalau makan sikit je... tapi kalau dah bercicah dengan sambal... dan bertambah-tambah dua tiga kali... tak boleh kurus jugak!.." hehehe... elok di cili je mulut dia tu kan...).

Saturday, May 13, 2017

Cabaran untuk kurus...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Misi turunkan berat badan aku ini akan berakhir selepas ramadan nanti. Dari target nak capai 4 kg nampaknya hanya berjaya kurangkan 2 kg saja. Lepas ramadan nanti bulan raya... faham-faham sajalah.

Antara cabaran untuk mengurangkan berat badan ini apabila kita suka memasak dan gemar makan. Dua hari lepas dalam masih ada saki baki rasa pening-pening tu sempat juga aku mengadun resipi japanese cotton cheese cake. Dan cantik pulak naik gebunya. Habis, macam manalah nak kurus kan.

Japanese cotton cheese cake


Lembut, halus dan gebu.


Sebaik keluar dari oven terus potong 
dua slice dan hmmmm! sedapnya menikmati 
kek yang di buat sendiri

Bahan-bahannya:

(1)
250 gm cream cheese
50 gm butter
100 ml susu segar
6 biji kuning telur
1 sudu besar jus lemon
1/4 sdk garam
60 gm tepung kek / tepung superfine
20 gm tepung jagung

(2)
140 gm gula (granulated sugar)
6 biji putih telur
1/4 sudu kecil cream of tartar

Cara mengadun:

1. Cairkan cream cheese, butter dan susu dengan teknik double boiler. Bila dah cair, sejukkan. Kemudian, campurkan tepung, tepung jagung, kuning telur, garam & jus lemon ke dalam adunan cream cheese dan gaul hingga sebati. Ketepikan. (Bahan A)

2. Dalam bekas lain, pukul putih telur bersama cream of tartar sampai berbuih-buih (foamy). Kemudian tambahkan gula dan pukul lagi sampai bertanduk (soft peak). (Bahan B)

3. Campurkan Bahan A ke dalam Bahan B dan kacau sampai sebati. Sediakan tin/bekas kek bulat berukuran 8 inci, yang digriskan bawah dan tepi serta alas dengan kertas baking. Tuangkan adunan.

4. Letakkan acuan kek atas dulang pembakar yang berisi air. Bakar kek lebih kurang sejam pada suhu 160 C / 325 F.

Tuesday, May 9, 2017

Nak tolong jagakan jer...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Memandangkan sekarang ini cuaca tak menentu... pagi petang hujan... memang tak ada apa aktiviti luar rumah yang dapat di lakukan. Tambahan lagi sekarang aku pun tak berapa sihat. Masih pening-pening lagi. Bila tak boleh pergi berjogging... aku bawak jugak badan bangun dan berjalan-jalan luar rumah supaya dapat udara luar dan sekurang-kurangnya ada juga exercise sikit. Paling tidak pun membelek pokok-pokok yang aku tanam dalam pasu-pasu tepi pagar rumah.

Sejak bersara, adalah aku buat aktiviti menanam satu dua pokok macam pandan, kunyit dan cili dalam pasu. Tengok pokok-pokok tu membesar dan memberikan hasil... hati rasa seronok. Lagi bersemangat nak tambah dengan tanam-tanaman lain.

Ajak kakak temankan beli lagi pasu dan tanah. Dalam hati bercadang nak tanam pokok halia, lengkuas, limau purut, pokok kari dan pokok kantan. Ini semua rempah ratus masakan yang selalu aku gunakan hari-hari.


Pokok daun kesum, pandan, kunyit dan 
sebelah pasu pokok kunyit itu pokok kemangi.


Buah sulung... hanya dua tangkai, 
Agaknya kurang baja. Pokoknya pun kecil.

Oleh kerana aku bercadang nak tanam halia, lengkuas dan kantan, aku belilah pasu yang besar. Mahal jugak tapi pada aku tak apalah bila mengenangkan hasil yang akan aku dapat nanti. Selain dari itu boleh juga jadi ganti pokok-pokok hiasan.

Menengokkan aku yang begitu bersemangat menyusun pasu-pasu di luar pintu pagar, jiran sebelah pintu tegur. Katanya, tak takut ke pasu-pasu tu di ambil orang. Jawapan aku...  dah tentulah tidak, lagipun siapalah yang nak ambil. Jiran tu senyum dan tak cakap apa-apa. Dia ni surirumah sepenuh masa. Dan aku pun offer, nanti dah tumbuh cantik pokok-pokok tu, kalau dia memerlukan... ambil sajalah... tak perlu minta kebenaran dari aku lagi.

Rupanya aku memang silap... selama bertahun-tahun tinggal di sini... ditambah dengan kesibukkan bekerja memang aku tak begitu 'rapat' dan mengenali jiran-jiran aku. Ada jugak yang cepat tangan dan suka ambil barang orang rupanya. Patutlah jiran sebelah pintu tu 'hint-hint' aku macam tu.

Tanpa sedar pasu-pasu tu hilang dan tepi pintu pagar kosong... Teringatkan kata-kata jiran sebelah pintu... aku rayau sampai ke hujung barisan lorong rumah aku dan terjumpa tiga buah pasu aku yang cantik tersusun di rumah jiran selang beberapa pintu dari rumah aku.

Bayangkan, aku terus tanya dan cakap dengan suami tuan rumah. Aku cakap itu pasu aku. Aku nak balik. Mahal aku beli tu. Mula-mula dia cakap "mana ada"... tapi aku cakap, aku kenal itu pasu aku. Langsung dia cakap,.. dia nak tolong jagakan jer... nanti dia gantikan dengan pasu lain... lalu di hantarkannya pasu-pasu lama, kecil dan dah sumping ke rumah aku untuk menggantikan pasu-pasu aku yang dah diambilnya.

Ralat betul rasa hati. Dahlah aku beli mahal... dekat nak RM80 aku beli tiga buah pasu tu... alih-alih senang-senang je diambil orang. Dan tiap kali aku lalu depan rumahnya dan terpandangkan pasu-pasu aku tu... gerammmmmmm je hati. Walaupun si abang kata, "halalkan jelah mak" tapi dalam hati aku kata "tak!"

Thursday, May 4, 2017

Dia minta kurang... alih-alih ini yang aku dapat...!

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Beberapa minggu ni badan tak beberapa sihat. Dua minggu sudah aku tiba-tiba di serang sakit kepala yang teramat sangat. Tak dapat nak gambarkan bagaimana kesakitannya yang terpaksa aku tanggung ketika itu. Yang terlintas dan terbayang dalam fikiran... mungkin 'saat' ku telah tiba.

Peluh dingin membasahi seluruh tubuh. Aku letakkan kepala atas pangkuan kakak sedang adik perempuan serta Ojet kelam kabut menuam kepalaku dengan airbatu. Aku menangis menahan kesakitan... dan berpesan dengan kakak, sekiranya aku mati tolong jagakan abang dan Ojet. Sayup-sayup dengar kakak aku cakap, "mengucap dan ingat Tuhan."

Sehinggalah kehari ini... saat aku menulis coretan ini, denyutan kesakitan itu masih terasa. Tapi aku gagahi juga bangun dan bergerak melakukan kerja-kerja rumah. Dan menyiapkan tempahan tart.


My homemade blueberry cheese tart.

Ceritanya, sejak bertahun aku ambil tempahan membuat tart dan kek, belum pernah lagi customer complain tentang harga. Dan aku amat percaya harga yang aku beri tu memang murah... sebab aku dah survey harga dari peniaga lain juga harga di kedai-kedai kek. Malah ada dua orang pelanggan yang tiap kali buat order dengan aku akan sentiasa bayar lebih dengan alasan untuk duit tol dan minyak aku menghantar pesanan mereka. Walaupun aku tak melalui tol pun. Mereka tu bekas rakan sepejabat aku dulu.

Dan ada seorang manager sebuah bank yang juga pelanggan tart aku kata boleh naikkan sikit harga tu sebab katanya murah sangat... dan tanyanya... "boleh dapat untung ke?" Tapi aku tak sampai hati nak naikkan harga sebab memikirkan keadaan ekonomi orang sekarang macam mana. Pada aku dapat balik pusingan modal dan sedikit keuntungan sudah memadai.

Tapi bila seorang jiran aku ini kata tart yang aku jual tu mahal, aku terdiam kejap. Inilah pertama kali customer cakap mahal. Dia minta kurang harga... padahal aku dah beritahu harganya awal-awal lagi sebelum dia buat tempahan. Itupun dia dah minta kurang 20 sen setiap biji... dan bila dia minta kurang lagi masa penghantaran tu aku cakap memang aku tak boleh kurangkan lagi harganya. Itupun aku cuma dapat balik modal dan untung sikit. Kalau aku beri dia harga yang diminta bukan saja untung malah modal pun lesap. Dahlah masa aku hantar tart tu ke rumahnya, dia pura-pura lupa pasal tempahan tu.

Nampak airmuka jiran ni tak puashati masa membayar pada aku. Sebelum aku bergerak meninggalkan rumahnya, sempat dia cakap.. "orang pencen.. kan selalunya banyak duit, Pergi melancong ke sana kemari..." Aku diam dan senyum terpaksa!

Dan sebaik aku sampai rumah dia hantar WhatsAPP pada aku... tulisnya "duit sana sini apa guna kalau tak berkat.., duit ringgit dan reta banyak tak boleh bawak mati..., hidup mewah di dunia tapi miskin di akhirat..!" Astagfirullah! Ada juga manusia macam ni yer.

Bila dingatkan balik, memang aku menyesal berurusan dengan orang macam ni. Cukuplah sekali ini... lepas ini aku tak mahu lagi ambil tempahan dari jiran-jiran. Menyesal aku bila mengingatkannya. Dahlah masa memasak tu badan tak sihat... alih-alih ini pulak yang aku dapat.

(nota mak: Mahu je aku jawab mesejnya tu begini, "Kalau dah tahu tak mampu, jangan nak berselera besar!" Geram tau! Tapi bila di fikirkan balik, tak perlu dilayankan orang macam ni. Buat apa nak panjang-panjangkan lagi. Anggap je dia macam katak bawah tempurung.


...dan ini pemberian dari seorang customer 
yang kerap buat order malah tolong promote lagi dengan
 kawan-kawan sepejabatnya. Terima kasih!)

Wednesday, April 12, 2017

Carrots Cup Cakes...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Beberapa hari ni cuaca tak berapa cantik. Setiap petang hujan. Membuatkan aktiviti jogging terpaksa di tangguhkan. Setelah lebih sebulan misi turunkan berat badan dilancarkan... aku berjaya mengurangkan 2 kg dari sasaran iaitu 4 kg.

Melihat ke luar jendela cuaca gelab di sertai dengan guruh dan petir. Sesekali kilat sambar menyambar membuatkan hati berdebar-debar dan takut. Masuk ke dapur dan buka peti sejuk. Ada empat batang carrot yang entah bila tarikhnya aku beli... tapi masih segar.

Begitulah selalunya. Masa beli tak 'hengat'... main ambik saja dari atas rak-rak di supermarket. Geram tengok segar-segar...  Nak masaknya tak tahu bila. Tau-tau dah busuk dalam peti sejuk.

Tiba-tiba teringat nak buat carrots cup cakes. Simple dan mudah saja resipinya. Tak perlu banyak bahan. Dan bahan-bahan yang diperlukan semua bahan asas yang sentiasa ada dalam kabinet dapur. Sifat aku ni kalau buat kek cari resipi yang simple-simple saja. Kadang-kadang yang simple itulah yang sedap.

Carrots Cup Cakes
(sumber resepi dari You tube)


Lembab dan lemak-lemak manis rasanya.


Bahan-bahannya:
3 batang lobak merah (diparut)
3 biji telur (aku guna gred B)
3/4 cawan minyak masak (aku guna minyak sunflower)
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula kastor
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat


Cara-caranya:

1. Ayak tepung bersama barking powder dan soda bikarbonat

2. Pukul lobak, telur dan minyak masak. Kemudian masukkan tepung dan gula. Gaul rata.

3. Sudukan dalam acuan cawan kertas dan bakar dalam oven dengan suhu 160 darjah celcius selama 45 minit atau sehingga masak.

Monday, April 10, 2017

Kisah aku jadi detektif Conan...

Kisah ni tentang sorang kawan lama. Seorang ibu tunggal. Kawan ni agak berahsia sikit orangnya. Walaupun kawan lama, aku tak tahu pun dia kerja dimana, sebagai apa dan dimana dia tinggal. Misterikan. Kata kawan tapi aku tak tahu apa-apa tentang dirinya. Tapi ada satu hari tu aku terlibat dan terheret sama dalam masalahnya. Bak kata anak lelaki ku Abang, "tak pasal-pasal."

Mulanya begini, kawan aku tu ajak aku ke satu tempat... luar KL. Arahnya Pantai Timur. Biarlah aku namakan kawan tu Ana. Dalam kereta baru Ana cakap... katanya nak ajak aku skodeng seseorang. Teman lelaki dialah. Ana cerita dia agak ragu-ragu dengan lelaki tersebut. Mulanya aku agakkan lelaki tu suami orang tapi Ana cakap duda.

Menurut Ana teman lelakinya itu agak payah menjawab panggilan talipon dari dia. Itulah masalahnya. Banyak alasan. Kalau jawabpun ringkas saja... berbisik-bisik dan cepat-cepat nak letak talipon. Menurut Ana ada seseorang yang boleh dipercayai memberitahu, teman lelakinya itu dah ada perempuan lain. Maksudnya dah kawin.

Tengahari itu aku pun memandulah dengan Ana menuju ke Jerantut. Nasib baiklah aku dah pernah ke Jerantut jadi tak susahlah nak cari tempat dan rumah teman lelaki si Ana ni. Kawasan peneroka Felda. Senang saja dan pantas je aku menemukan tempat itu berpandukan alamat yang di berikan.

Sampai depan rumah teman lelaki Ana, aku nampak rumah tu sepi. Pintu dan tingkap tertutup rapat. Lama aku berhenti dan memandang ke arah rumah tu. Sampai aku sendiri jadi tak selesa sebab jiran-jiran di kiri kanan rumah tu memerhatikan aku dan Ana yang duduk dalam kereta. Last-last aku beranikan diri pergi bertanyakan pada pekedai runcit yang berhadapan dengan rumah teman lelaki Ana. Pekedai itu beritahu, lelaki itu ke Bandar Tun Razak, Jengka.

Kesiankan Ana aku beranikan diri memandu dalam kawasan ladang kelapa sawit yang luas menuju ke Bandar Tun Razak. Waktu itu dah senja... Suasana gelab. Tak ada lampu jalan. Kiri kanan hanya tanaman kelapa sawit... dan hutan-hutan kecil. Di jalan waktu itu hanya kereta aku saja. Kalaulah jadi apa-apa memang tak siapa yang tahu.

Berpandukan dari apa yang diberitahu oleh pekedai depan rumah teman lelaki Ana, aku cari tempat yang di maksudkan. Tapi tiada apa di situ, cuma sebuah banglo kecil yang sunyi sepi. Diterangi lampu yang suram ada beberapa buah kereta di letakkan di kawasan tersebut. Tapi tidak kelihatan kelibat orang.

Melihatkan suasana yang suram dan sepi aku jadi takut. Tapi aku beranikan juga diri duduk berdua dengan Ana dalam kereta menunggu kalau-kalau ada orang keluar. Tapi setelah lebih sejam tiada sesiapa yang keluar. Waktu itu jam sudah melewati sembilan malam. Akhirnya aku mengambil keputusan mengajak Ana pulang.

Begitulah kisahnya. Bila difikirkan semula, beraninya aku meredah hutan kelapa sawit pergi 'mengendap' orang. Apapun perkara itu dah berlalu dan paling sedih Ana telahpun kembali kerahmatullah beberapa bulan lalu. Dan kisah ini kekal jadi kenangan buat aku terhadap Ana.

Saturday, April 8, 2017

Mengejutkan seisi rumah...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Hujung minggu ni ketepikan diet dan tinggalkan jogging. Tiba-tiba datang selera nak makan nasi biryani yang di buat sendiri. Terpandang pula gambar nasi biryani yang di post oleh 'jiran' FB dan Instagram. Bila teliti bahan-bahan terutama beras basmati yang memang ada dalam kabinet dapur aku pun decide nak try resipi ni.

Apapun ada jugak perubahan yang aku buat. Empunya resipi guna periuk noxxa tapi aku guna periuk biasa. Lagipun 1 kg beras tu banyak sangat untuk hidangan di rumah aku... jadi aku ubah kuantitinya bukan resipinya. Tak salah kan?


Inilah rupanya nasi biryani pakistan yang aku 
masak. Sebenarnya aku tak ikut pun tips mengacau 
nasi yang diberikan. Kekok nak menggaul nasi 
seperti yang sarankan.


Biryani Pakistan
(Sumber asal resepi dari blog kak Noor)

Bahan Untuk Perapan Ayam:
1-2 kg ayam (drumstick or thigh or keduanya sekali)
1 inci halia parut
3 ulas bawang putih parut
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam untuk perasa

Cuci bersih ayam dan perahkan sedikit lemon untuk mewangikan ayam. Perap selama 1 - 2 jam .

Bahan untuk tumisan.


Bahan Untuk Nasi Biryani:
1 kg beras basmathi
60 gm rempah Bombay Biryani Masala (1 paket)
1 cawan yogurt
1 batang kulit kayu manis
Beberapa biji bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga
3 labu bawang besar di dadu kecil
4-5 biji tomato di dadu kecil
Secukupnya daun pudina
Secukupnya daun ketumbar
Secukupnya cili hijau di potong dua
Sedikit safron
Sedikit garam untuk perasa
2 sudu minyak sapi// butter // minyak zaiton (terpulang selera sendiri)

Tips cuci beras:
Jangan diramas, cukup sekadar mengesel ketepi cooker atau besen yang diguna untuk mencuci, Lakukan dengan cara yang lembut untuk mendapat nasi yang cantik.


Aku tumis dan masak dalam periuk 
biasa. Dengan 3 cawan beras yang aku masak 
banyak juga hasil nasinya.

Cara Memasak Nasi:
1. Cuci beras sehingga airnya jernih kemudian rendam untuk selama 1 - 2 jam dan toskan.
2. Panaskan minyak sapi dalam periuk.
3. Tumis bahan rempah, bawang besar, tomato, pudina dan ketumbar sehingga wangi.
4. Masukkan rempah briyani dan kacaulah sehingga pecah minyak.
5. Kemudian masukkan yogurt dan ayam yang telah di perap.
6. Biar sehingga ayam separuh masak baru masukkan beras dan sedikit garam.
7. Masukkan air atau chicken stock secukupnya bergantung berapa banyak beras yang kita gunakan.
8. Biarkan mendidih dan air kering. Selepas 7 minit masukkan sedikit cairan safron. Tutup sekejab kemudian buka kembali, biarkan wapnya hilang dengan sendiri baru di gaul nasinya.

Tips mengacau/menggaul nasi biarlah dari dinding cooker ke tengah untuk mengelakkan nasi patah dan tak cantik.

Keseluruhan hasilnya aku berpuas hati dan nasinya sedap. Masa aku menumis seluruh ruang dapur dan rumah semerbak dengan aromanya serta mengejutkan seisi rumah. Masing-masing menjenguk ke dapur. Dengan tiga cawan beras yang aku masak banyak juga nasinya untuk hidangan keluarga kecil aku.

(nota mak: Kalau nak lebih detail berkenaan dengan resipi nasi biryani ni jenguk terus ke blog kak Noor. Sebab macam yang aku cakap... empunya resipi memasak dalam periuk noxxa.)

Tuesday, April 4, 2017

Kisah tiga kenduri dan lauk hilang...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran


Simple saja pelamin pengantin di hulu... 
sekadar untuk duduk berfoto-foto.

Kalau nak di listkan kisah kenduri kendara ni memang banyak. Asal niatnya memang baik. Menjemput saudara mara yang dekat dan jauh serta jiran-jiran berkumpul. Mengeratkan hubungan siratulrahim. Dulu-dulu time beginilah dapat berkumpul dan masak ramai-ramai bersama. Tapi sekarang ramai guna khidmat catering. Lebih mudah dan rumah kemas.

Apa yang aku nak cerita #kisah jiran kali ini tentang majlis keduri kahwin yang aku hadiri minggu lepas. Ada beberapa jemputan yang aku terima. Semuanya serentak pada hari yang sama. Tapi aku tak sempat memenuhi kesemuanya. Mana mungkin aku boleh hadir kesemua jemputan itu sebab lokasinya satu di hulu, satu di hilir, satu di darat, satu di baroh... dan setaman. (Aku andaikannya hilir, hulu, darat dan baroh untuk menggambarkan kedudukan undangan yang aku terima.)

Jemputan di 'hulu' majlisnya kecil-kecilan saja. Cuma majlis akad nikah di masjid. Pelamin yang di hias pun sekadar sebagai tempat untuk pasangan mempelai berfoto. Selesai akad nikah tetamu di hidangkan dengan makan tengahari di perkarangan masjid. Tak ramai jemputannya. Cuma kaum keluarga terdekat dan beberapa jiran tetangga. Hidangannya cuma nasi putih, sayur kobis dan ayam goreng berempah. Dan sedikit kuih muih... sedap dan dalam sedar aku makan banyak jugak. (mak terlupa diet). Lagipun perut tengah lapar.

Selesai majlis di hulu aku beransur ke jemputan majlis di 'hilir' yang di adakan di dewan besar di tengah-tengah bandar KL. Meriah dan berkonsepkan moden. Waktu aku sampai mempelai tengah bersanding. Ramai tetamunya dan seperti satu majlis reunion apabila kebanyakan tetamu yang hadir adalah bekas rakan-rakan sekolah tuan rumah. Hidangannya nasi beriani dan nasi putih. Ada kuih muih, cendol dan bubur. Sebab perut dah kenyang aku sekadar mengambil sesenduk nasi beriani dan acar saja.

Oleh kerana tetamu yang hadir kebanyakkan dari bekas rakan-rakan sekolah tuan rumah, aku perhatikan mereka ini seperti tak alert dengan tetamu yang lain. Duduk berlonggok di beberapa buah meja... tidak makan atau minum... dan berborak-borak saja tanpa menghiraukan ramai tetamu lain yang berdiri-diri sambil memegang pinggan makanan menunggu meja dikosongkan. Aku tak lama... selesai makan dan bertemu tuan rumah aku minta diri untuk pulang.

Aku tinggalkan undangan di darat dan baroh sebab aku dah tak larat lagi. Dengan cuaca yang agak membahang di tambah pula terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas. Harap-harap tuan rumah memahami dan memaafkan ketidakhadiran aku ke majlis mereka.

Apa yang aku nak cerita ialah kenduri jiran setaman. Dengan jemputan seramai seribu orang... tuan rumah telah memasang khemah melewati dua belas pintu rumah jiran tetangga. Meriah sungguh. Setiap rumah-rumah jiran yang terlibat dengan pemasangan khemah di gunakan sebagai tempat acara. Bermula dengan rumah pertama sebagai tempat meletakkan barang-barang berupa cenderahati untuk tetamu.

Rumah jiran kedua pula di jadikan tempat candy bufet khas untuk kanak-kanak. Di hadapan rumah ketiga di bina pelamin untuk pengantin dan meja makan beradap. Set untuk karaoke pula di susun di porch rumah ke empat. Dan rumah-rumah selepas itu di jadikan tempat untuk meletakkan periuk-periuk makanan dan pengendali catering menyediakan hidangan.

Kemudian ada booth untuk kuih muih, bubur, kambing panggang, aiskerim, goreng pisang, kuetiaw goreng, apam balik dan banyak lagi. Aku tengok dah macam satu pesta dan festival makanan pulak. Maaf, aku bukan nak mengata tapi sebagai tetamu yang hadir suasana jadi agak kelam kabut dan bersesak-sesak dengan kebanyakan tetamu bersimpang siur ke sana kemari 'mencari makanan kegemaran' mereka. Kawasan pula agak sempit. Ini membuatkan tetamu yang duduk makan jadi tidak selesa.

Aku tengok isteri tuan rumah keletihan. Yelah nak melayan tetamu yang ramai. Kemudian si suami datang sebelah isterinya dengan muka masam dan agak marah-marah. Kebetulan aku berada dekat dengan mereka berdua, jadi aku pun pasang telinga jugak nak tahu kenapa... (maaf yer.... dah mak ni bekas wartawan pencen... hehehe..)

Rupanya-rupanya lauk banyak 'hilang' dan tak cukup. Si suami marah-marah sebab tempat periuk lauk-lauk di letakkan tak ada orang jaga. Ada beberapa orang jiran dah tapau siap-siap sebelum jemputan datang. 

Pada aku jiran sebelah menyebelah yang rumah mereka di gunakan untuk majlis adalah tuan rumah juga. Kerana percayakan merekalah tuan rumah telah mengamanahkan untuk menjaga lauk-lauk yang bakal dihidangkan untuk tetamunya yang hadir. Sepatutnya mereka dahulukan tetamu jemputan. Lagipun selalunya selesai majlis, bila ada makanan lebih tuan rumah akan bungkuskan untuk jiran-jiran yang terlibat dengan majlis. Akhirnya majlis yang sepatutnya menjadi memori manis jadi sebaliknya. Hubungan dengan jiran-jiran sepatutnya jadi lebih akrab tapi akhirnya bermasam-masam muka pulak dan terbuku dalam hati.

(nota mak: Tak paham betul aku dengan perangai orang yang suka menapau ni. Dah orang tu ajak makan bawah khemah sama-sama, makan jelah banyak mana yang boleh, Lagipun depan rumah sendiri... ulang je berapa kali pun. Ini tidak ceduk berbesen-besen bawak masuk rumah. Tak malu ke buat perangai macam tu sampai tetamu orang tu datang makan nasi tanpa lauk. Anyway mak hilang 1 kg lagi.)

Sunday, March 26, 2017

Macam-macam nampak...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran

Sudah tiga minggu mengawal cara makan dan exercise dengan berjalan sekitar taman perumahan. Badan ada rasa agak ringan sikit. Timbangan jarum penimbang kurang 1 kg.


Hari ini berjaya ke pasar dengan berjalan kaki
sejauh 200 meter kemudian naik LRT.

Di bawah sinaran matahari dan angin pagi yang sesekali menyapa perlahan... dan menampar manja pipiku yang tak mulus seakan membisikan lagu kehidupan... perjalanan ke pasar tak terasa penatnya. Sambil menggalas beg sandang yang bakal di isi dengan barang-barang aku melenggang santai.

Sepanjang jalan macam-macam dapat tengok. Terpandang pagar rumah jiran cantik... aku cakap dalam hati, "nanti nak buat pagar macam tu."

Nampak laman rumah jiran penuh dengan tanaman dan bunga... aku berhenti melangkah... dalam hati.., "cantiknya." Ada sebatang pokok mangga tumbuh di tepi pagar dan sedang mengeluarkan buah... air liur aku kecur kejap.

Jumpa si meow sedang berjemur di bibir jalan... aku tengok dan panggil. Dapat belai-belai kejap bulunya yang bersih dan lembut, jadilah... berkata dalam hati, "mesti ada orang yang punya."

Pendek kata memang seronok berjalan kaki. Aktiviti yang dah bertahun-tahun di tinggalkan sejak dapat pakai kereta. Tapi bila terpandang suami si A 'mengurat' janda B aku tak terkata apa. Pejam mata dan cepat-cepat melangkah. Penat otak aku memikirkan... "si A tahu suaminya ada hubungan dengan B. Kenapa dia biarkan. Pernah ada jiran yang menegur perbuatan mereka, tapi tak diendahkan oleh pasangan. Si A pula katanya dia redha. Akhirat nanti dapat payung emas. Dalam pada tu dia 'sasau' jugak.

(nota mak: walaupun di janjikan payung emas, walau bumi terbelah dua... kalau aku... tetap tidak merelakan. Kata-kata redha itu hanya di mulut...)

Tuesday, March 7, 2017

Bela Hantu?... ...

#misiturunkanberatbadan
#kisahjiran


Semalam aku dah mulakan berjalan seribu langkah 
sehari sekitar kawasan perumahan. Berjalan sambil menikmati 
suasana petang yang nyaman. Hari pun tak panas.

Selama bertahun-tahun berulang alik dari rumah ke tempat kerja... setiap hari... dari mula terbitnya matahari hinggalah terbenam... Selagi tak habis selagi itulah tak balik rumah. Malah sudah di tunggu bulan baru beransur pulang. Di kalangan rakan-rakan yang sealiran ungkapan "datang diiringi matahari balik di teman bulan" itu sudah biasa.

Pernah juga jiran-jiran bertanya, "kau kerja apa, dah malam baru balik!" Puaslah aku menerangkannya untuk beri mereka faham akan tugas dan kerja aku. Itupun banyak kali juga mereka menanya aku soalan yang sama sampai aku dah malas nak jawab.

Kerana dah time kerja aku begitu jadi selama bertahun-tahun itu juga aku jarang berbual dengan jiran-jiran. Dan tak tahu sangat tentang apa-apa kisah di kalangan jiran-jiran aku. Time cuti dan tak bekerja memang waktu untuk relaks dan duduk santai-santai di rumah. Melapangkan fikiran dari macam-macam yang membuat otak serabut. 'Politik' di tempat kerja ni kadang-kadang buat kita tension.

Rupanya 'politik' jiran-jiran dan surirumah ini lagi hebat dan daring. Banyak kisahnya. Yelah, selama ini bekerja, jadi aku tak ambik 'pot' dan malas nak campur tapi bila dah jadi housewife ni sedikit sebanyak terlibat juga. Aku tak 'pergi' mereka yang datang bercerita. Aku dengar jelah. Sekadar mendengar... tak komen apa-apa...

Boleh percaya ke? Dalam zaman IT ni ada orang bela hantu. Tapi itulah cerita yang aku dengar sepanjang berjogging dengan sorang kawan ni.

Sepanjang jalan sejauh setengah kilometer tu dia bercerita tentang jiran sebelah rumahnya bela hantu. Mereka dah lama tak bertegur sapa sebab itulah. Katanya, dia selalu nampak hantu jirannya itu merayau-rayau dan di lepaskan masuk ke dalam rumahnya. Aku memang tak percaya. Tak masuk akal langsung kan.

Beberapa tahun lepas dia pernah sakit dan di masukkan ke hospital. Tapi doktor tak dapat kesan penyakitnya. Atas saranan bekas kawan sekerjanya dia pergi berubat dengan bomoh. Dan bomoh tu cakap dia terkena buatan orang. Orang yang 'buat' tu tak jauh, Sebelah rumah jer... mudahnya.

Itulah ceritanya... dan sepanjang jalan kami berlari-lari anak itu dia tak henti-henti bercerita. Aku angguk-anggukkan saja. Conclusion aku perbalahan antara jiran-jiran ini sebab cemburu je. Macam-macam benda boleh mendatangkan cemburu.

(nota mak: aku cakap dalam hati jangan campur...)

Thursday, February 23, 2017

Nak try sebulan...

#misiturunkanberatbadan

Beberapa minggu kebelakangan ini aku cuba mengubah cara pemakanan. Bukanlah nak cantik atau slim macam anak dara tapi nak turunkan sikit berat badan. Sejak bersara ni memang terasa sangat badan berat-berat and one of the part tu macam dah terlebih saiz. Ada juga beberapa helai baju yang terasa macam ketat dan sendat.

Tak tahulah sampai bila boleh bertahan makan 
makanan macam ni. Heheheh... kuat betul cabaran nak 
turunkan berat badan ni...

Diet yang aku buat ni tak follow mana-mana pun. Makan macam biasa tapi kurangkan kuantitinya dari biasa. Kurangkan minyak dan minuman manis. Itu saja. Sayur-sayur aku rebus dan lauk-lauknya seperti ikan dan ayam cuma di panggang. Kalau boleh tak mahu lagi goreng-goreng. Dapur pun bersih takde percikan minyak. Aku nak try buat dalam masa sebulan ni. And no more makanan ringan bila tengok tv.

(nota mak: "cuba" untuk mengurangkan berat badan sebanyak 5 kg.)

Monday, February 20, 2017

Blogwalking cari puding karamel...

Puding karamel memang kegemaran kami siisi keluarga. Rasanya yang pahit-pahit manis itulah yang menambat selera. Selain dari itu aku suka ianya lembut dan halus macam tofufah.

Walaupun dah selalu buat tapi resipi yang selalu aku guna pudingnya agak 'padat' dan berlubang-lubang di dalamnya. Resipi tu aku ambil dari satu majalah. Dalam berkira-kira nak buat puding karamel... teringat satu pemilik blog yang banyak buat entri tentang puding karamel ni. Dan aku terus pi selongkar lemari resepinya.


Puding Karamel
(sumber resipi dari blog Azie Kitchen
Ikut resepi ni boleh dapat 20 bekas plastik
 kecil-kecil macam dalam gambar)


Bahan-bahan:
1 tin susu pekat manis (jika tak 
suka manis guna 3/4 tin sahaja)
1 tin susu cair
1 tin air
5 - 6 biji telur - buang mata/tali pusat
Esen vanilla

Gula Hangus:
1 1/2 cawan gula pasir
3 cawan air


Cara-caranya:

1. Cairkan gula hingga perang. Bila bertukar warna, baru masukkan air. Masak sehingga menggelegak dan gula hangus menjadi cair semula. Tutup api dan biarkan sejuk.

2. Telur dipukul tetapi jangan sampai berbuih. Masukkan semua bahan lain. Kacau sehingga sebati dan tapis.

3. Tuang ke dalam bekas kecil yang telah diisi dengan air gula hangus.

4. Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Kukus selama 10 minit atau sehingga masak. Sentiasa di lap penutup pengukus supaya permukaan karamel menjadi cantik.


Dari nota Azie, kalau nak sedap, seeloknya air gula hangus di simpan semalaman dalam peti ais sebelum di gunakan. Ojet pun puji dan suka rasa puding dari resipi ini yang lemak-lemak manis.

Resipi-resipi masakan ni, walaupun nampak simple dan mudah... kadang-kadang kita kena tahu jugak teknik dan tips-tips yang membuatkan rasanya berbeza dan sedap walaupun resipi yang kita guna sama.

Tuesday, February 14, 2017

Masalah chef di rumah...

Untuk menambat selera... masaklah 'cantik-cantik
macam ni, tapi masih tak 'jalan' jugak.

Sekarang ni akulah tukang masak dan chef tersohor di rumah aku sendiri. Dan hari-hari aku pening kepala memikirkan menunya. Kalau tak kena gaya... makanan yang dimasak tak berusik.

Memandangkan harga barang basah seperti ikan dan sayur mahal aku terpaksa 'berkira-kira' kalau ke pasar. Ambil dan beli mana yang akan dimakan oleh anak-anak. Susah juga memilih dan memikirkannya. P. Ramlee saja yang kata dalam lagunya, .."tukang masak kerjanya enteng. Hari-hari masak nasik goreng..." Cubalah masak nasi goreng hari-hari... alamatnya sekuali nasi goreng tu nanti kita sorang je yang perabiskan.

Satu lagi masalah yang aku hadapi atau mungkin juga masalah pada mak-mak yang lain jugak... anak-anak tak suka makan sayur. Ini memang masalah 'besar' pada aku. Masaklah... buatlah macam manapun... sayur bukan favorite anak-anak aku. Kalau masak sayur di rumah, hanya aku sorang saja yang makan.

Sabtu lepas Ojet temankan aku ke pasar tani. Melihatkan harga barang-barang basah begitu mahal dia agak terkejut. Ikan kembung saja RM20 sekilo. Sardin RM14. Sotong RM34 sekilo. Nampak dia belek-belek sotong aku tanya.., dia nak makan sotong ke?.. Ojet senyum dan kata tak. Katanya dia cuma geram tengok sotong tu besar-besar.

Langsung aku cakap "dah tengokkan, harga barang kat pasar mahal... sebab tu jangan demand... makan saja apa yang mak masak".

Masing-masing suka ala-ala western... tapi takkan hari-hari 
nak masak lamb chop, spaghetti, macaroni dan yang sewaktu 
dengannya... Mabuk barat di dapur mak nanti...

Sunday, February 5, 2017

Kerana Aleesya dan DLP ...

Mungkin aku agak ketinggalan tapi terus terang inilah first time aku dengar tentang DLP... itupun kerana anak buah aku Aleesya terpilih dan terlibat dalam program ini. Baru tahun ini pelaksanaannya. Itupun tidak semua sekolah yang terlibat. Pemilihan murid-murid pula di buat selepas ujian menentukan kelas tahun satu awal Januari lepas. 

Dari ujian itu, tahap pencapaian murid ketika di tadika dinilai dan mereka di asingkan mengikut kelas... A, B, C dan seterusnya. Murid yang dimasukkan kelas 'A' akan diberikan satu lagi ujian Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka mengikuti Program Dual Language. Dan murid-murid yang lulus ujian BI tersebut diasingkan dalam satu kelas khas untuk program ini.

Dan sebelum di laksanakan atau di ajar pada murid-murid yang terpilih ibu bapa diminta menandatangani satu surat persetujuan. Sebabnya, apabila telah mengikuti program ini ibu bapa tidak boleh berundur dan mengeluarkan anak-anak mereka dari program tersebut... walau macam mana pun kena teruskan. Andai kata terpaksa berpindah dan anak pulak harus bertukar sekolah... kena pastikan sekolah baru itu juga ada melaksanakan DLP... sebabnya anak yang dah ikut program ini tak boleh keluar dari DLP sampailah ke peringkat sekolah menengah.

Cerita tentang DLP ini, ia adalah satu program pengukuhan Bahasa Inggeris di mana sekolah diberi peluang menawarkan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sains dan matematik serta beberapa subjek lain dalam dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bagusnya pada aku, selain dari guru-guru peranan ibu bapa juga di perlukan untuk memastikan anak-anak tidak tercicir. Senang cerita, kalau anak kita tak pandai berbahasa Inggeris, kita sebagai ibu bapa kenalah juga mengambil inisiatif lain supaya mereka tidak ketinggalan. Taklah ibu bapa lepas tangan begitu saja. Sekurang-kurangnya ambik tahu tentang pelajaran anak-anak. Nak anak pandai... sama-sama usaha bukan harapkan seratus peratus pada guru-guru di sekolah saja.

Ketika kami sekeluarga dapat tahu Aleesya terpilih, perkara yang kami fikirkan, macam mana nak tingkatkan penguasaan bahasa Inggerisnya. Abang pula bila dapat tahu... perkara pertama yang dia cakap, teruskan dan tandatangan surat persetujuan itu. Katanya banyak manfaat dan kelebihannya nanti. Aku dapat tahu ramai juga ibu bapa yang tak memberikan persetujuan untuk anak-anak mereka mengikuti program DLP ini. Sebabnya itulah... Aku suka dan setuju matematik dan sains di ajar dalam bahasa Inggeris. Tapi DLP ini bukan PPSMI.


Kerana tak mahu Aleesya tercicir... kami daftarkan dia untuk mengikuti kelas bahasa Inggeris di British Council. Yuran pengajian di tanggung oleh untienya (adik aku). Urusan menghantarnya ke kelas setiap minggu terletak dibahu kak ngahnya (Ojet). 

Dan untuk memudahkan Ojet mengambil dan menghantar Aleesya ke British Council dia dijaga oleh kakak aku. Sebabnya rumah kami berdekatan. Selain dari itu boleh juga jadi teman kakak aku sebab kakak aku tinggal sendirian. Dia tak ada anak. Suaminya pun dah meninggal lima tahun lepas. Pendek kata kami sama-sama terlibat untuk memastikan kejayaan Aleesya dalam program ini. Setelah tiga minggu kami nampak perubahannya. Dia lebih berani dan yakin bertutur dalam bahasa Inggeris. Bila dia dah pandai berbahasa Inggeris tak ada masalah padanya untuk memahami dan belajar sains dan matematik dalam BI.

(nota mak: Aleesya anak adik lelaki aku yang bongsu. Apa yang aku tulis ini adalah dari apa yang di lalui oleh Aleesya ketika pemilihan untuk DLP dilaksanakan di sekolahnya. Mohon maaf kalau aku silap dan tolong betulkan).

Wednesday, February 1, 2017

1000 cup cakes...

Hari-hari pandang Ojet pergi kerja. Tak tahu kenapa tapi aku rasa seronok sangat tengok dia pakai cantik-cantik, berkasut tumit tinggi dengan handbag dan memandu 'kereta kecilnya' menuju ke tempat kerja. Kalau sempat aku akan siapkan bekal untuk dia. Simple je... nasi dengan telur goreng kicap pun jadi. Letak timun sekali. Dia suka.

Dah setahun lebih dia kerja. Ingat lagi sebulan lepas dia dapat gaji pertama dia beli kereta. Aku tak masuk 'campur'. Segala down payment semua dia yang sediakan. Tau-tau dia cakap "mak, ong nak beli kereta". Aku iyakan jelah. Dalam hati risau jugak. Waktu itu aku masih belum yakin dengan kemampuannya. Tapi bila dengar macam mana dia mengatur kewangan dan perancangan hidupnya aku pelan-pelan rasa yakin dan harapkan yang terbaik saja untuknya.

Baru-baru ni Ojet dapatkan aku satu 'job'. Buat cup cakes. Seribu biji. Terkesima aku kejap. Banyaknya... Kawan sepejabat Ojet... baya-baya aku jugak nak mengadakan majlis kawin anak perempuannya. Dua hari aku menyiapkan tempahan tu. Sorang-sorang... dengan oven kecik aku tu.., alhamdulillah berjaya jugak aku laksanakan.

Inilah cup cakesnya... Ada enam kotak semuanya...

Bila balik kerja dan tengok kek-kek yang dah siap tu... Ojet seronok sangat. Dialah yang mengira kek-kek tu dan menyusunnya kemas-kemas dalam kotak. Hari penghantaran tu Ojet tolong aku. "Mak kalau tiap minggu mak dapat order macam ni... banyak 'masuknya'." 

Tapi aku taknaklah serius sangat dalam baking ni. Tak larat. Suka-suka je..

(nota mak: Dan selepas tolong hantar 
kek-kek tu mak belanja Ojet minum dekat cafe.
...'kenaaaa' jugak mak kan...)

Monday, January 30, 2017

Nikmatnya jadi suri rumah...

Januari 2017 dah berlalu. Maknanya dah sebulan secara rasminya aku bersara... sekarang suri rumah sepenuh masa. Walaupun tak bergaji tapi fikiran rasa tenang dan lapang sangat. Setakat ini belum ada apa-apa yang merisaukan hati dan harap-harap begitulah seterusnya di hari-hari mendatang. Segalanya berjalan seperti yang diharapkan.

Kedua-dua permata hatiku dah bekerja. Seperti mana yang di rencanakan... sebaik tamat pengajian setahun yang lalu kedua-duanya mendapat tempat dalam sektor pekerjaan.

Dan kalau dah namanya suri rumah, tugas memasak tu memang tidak dapat di pisahkan. Bila-bila ada kelapangan aku try resipi dari blog kawan-kawan yang aku 'singgah'. 

Muffin Chocolate Chip

Bahan-bahannya:
(sumber resipi dari blog INAHAR'S )

1 3/4 cawan tepung gandum 
1/4 cawan serbuk coklat / serbuk koko
1 cawan gula perang
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat 
1/2 sudu kecil garam 
1 cawan fresh milk 
1 biji telur dipukul sikit 
1/3 cawan minyak / butter yang dicairkan
1 sudu kecil esen vanila 
choc chips secukupnya




Cara-caranya:
1. Campurkan tepung, gula, serbuk coklat/koko, soda bikarbonat, baking powder dan garam. Ayak dan ketepikan. (Bahan A.)

2. Dalam bekas lain, campurkan susu, telur, esen vanila dan minyak. Kacau rata kemudian masukkan Bahan A. dan choc chips. Gaul rata.

3. Sudukan 3/4 penuh ke dalam cup muffin dan tabur sedikit coklat cip diatasnya dan bakar selama 20 minit atau sehingga masak. (tips: untuk memastikan muffin gebu dan moist, pastikan kacau campuran bahan kering dan basah hanya sebentar sekadar rata saja menggunakan senduk kayu (kalau di kacau lama ia akan manyebabkan hasil muffin yang kering dan keras).

(nota mak: Mak dapat elaun bulanan. Dan masuk tahun baru ni elaun mak dinaikkan. :) :))