Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Tuesday, February 17, 2026

Kalau ke Jepun...

Pintu Tsuzumi... struktur ikonik setinggi 13.7 meter yang
di bina di stesen Kanazawa.

Seronoknya travel ini bila kita dapat geng yang sekepala. Jatuh dan terbenam dalam salji ketika bersnowmobile di Hakuba kekal jadi kenangan yang tak akan dilupakan. Terasa jiwa muda kembali..ha..ha..ha.. Yelah kami berempat dalam lingkungan usia  50 dan 60an.

Puas bergolek-golek dalam timbunan salji. Ala nak malu apa kan. Kita dari negara yang beriklim panas... Jumpa salji mesti keterujaannya itu lain macam...

Semua keletihan... Dalam perjalanan pulang semua sudah terlentok dalam kereta. Dari Hakuba kami menuju ke Toyama. Sepanjang perjalananan dari Hakuba ke Toyama kami melalui jalan pesisir pantai Laut Jepun. Kenderaan agak banyak. Kelihatan permukaan laut Jepun berkabus... barangkali mungkin kerana sekarang musim sejuk.

Stesen keretapi Toyama.

Datang ke Jepun ni kalau tak naik keretapi atau bullet trainnya yang laju tak sah la kan. Dari Hakuba kami terus ke Toyama train station dan membeli tiket untuk ke Kanazawa.

Walaupun cuma perjalanan singkat kira-kira 25 minit di laluan Hokuriku dari Toyama ke Kanazawa iaitu melalui dua station saja tapi sekurang-kurangnya mak dah ada pengalaman itu.

Malam ini mak dan kawan-kawan menginap di hotel Four Points flex by Sheraton di Kanazawa.

Tiket perjalanan ke Kanazawa dari Toyama.

Stesen Kanazawa yang merupakan stesen 
paling cantik di Jepun.

Sunday, February 15, 2026

Tercampak Dalam Salji Yang Dalam...

 Akhirnya hasrat untuk menunggang snowmobile tercapai juga.

Ini memang kali pertama bagi mak... Sebelumnya tak pernah terfikir untuk melakukan aktiviti lasak ini.

Sebelum berlepas ke Jepun lagi mak dan kawan-kawan memang dah rancang untuk menunggang snowmobile memandangkan ketika ini salji turun lebat... tapi tak sangka pula track yang akan kami lalui agak mencabar. Laluannya menyusuri sungai, hutan dan berbukit-bukit.

Dengan bayaran 12,500 yen seorang... kami di berikan pakaian yang sesuai, topi keselamatan dan serba sedikit penerangan tentang bagaimana untuk mengendalikan snowmobile. 

Hati mak berdebar bila diberitahu kami tidak dilindungi insurans jika terjadi kemalangan ketika menunggang.

Kerana kami budak baru belajar kelajuan yang di bawa sekitar 30km/j ...tetapi apabila motor yang mak tunggangi melewati kawasan sedikit tinggi dan curam, motor mak tiba-tiba hilang kawalan dan meluncur laju ke bawah tebing serta terhumban ke dalam timbunan salji yang dalam. Mak terpaksa merangkak untuk keluar dari dalam salji yang tingginya separas pinggang.

Mengenang kembali kejadian ini kami ketawa. Ia satu pengalaman yang menyeronokan dan meninggalkan satu kenangan manis.

Friday, February 6, 2026

Santai-santai di Matsumoto Castle...

Melancong waktu winter ini masanya singkat. Waktu siangnya pendek. Pukul 4 petang suasana dah gelap. 

Dari Narai-juku kami ke Matsumoto... melalui Nakasendo Lane. Kenderaan agak banyak... mungkin sebab waktu orang balik kerja. 

Malam ini kami menginap di Toyoko Inn eki Higashiguchi di bandar Matsumoto. Waktu ini sekitar pukul 4 petang. Memandangkan maghrib dah masuk kami check-in dulu di hotel dan solat jamak maghrib dan isyak.

Menikmati petang yang tenang dan damai di Matsumoto Castle Park.

Matsumoto Castle yang di bina dari tanah, batu dan kayu. Banyak pengubahsuaian telah dilakukan terhadap istana ni untuk mengelakkannya roboh.

Usai solat kami keluar semula. Cuma lima minit saja... kami sampai di Matsumoto Castle Park. Ada sebuah istana lama di sini iaitu Istana Matsumoto. Asalnya ia di kenali sebagai Istana Fukashi.

Istana Matsumoto merupakan salah satu istana bersejarah Jepun. Ia merupakan pusat pemerintahan Domain Matsumoto di bawah Keshogunan Tokugawa Zaman Edo. Kini ia diwartakan sebagai Khazanah Negara Jepun.

Kami tak masuk pun dalam istana ini... sekadar berfoto-foto di tamannya berlatarbelakangkan istana tersebut.

Ada beberapa gerai jualan di sekitarnya. Antara menu jualannya ada yang kita tahu dan biasa makan di Malaysia, tapi kalau di sini tentulah tak halal.

Kami singgah di Family Mart berhampiran... melihat-lihat kalau-kalau ada yang ingin di beli.

Bermacam-macam jenis kekacang di jual, 
semuanya menarik minat.

Sebelum masuk ke hotel kami singgah dulu satu mall depan hotel. Alpico nama mall tu. Waktu ini kaki mak dah terasa sakit... tapi di gagahi juga melangkah. 

Menjengah supermarketnya.. buah-buahan yang di jual nampak segar-segar. Mak beli nenas satu pack. Harganya 299 yen.

Ketika mahu membayar terjadi satu insiden. Semua barang belian di bayar menggunakan mesin pembayaran. Masalahnya mesin-mesin pembayaran menggunakan bahasa mereka. 

Sebelum membayar mak dah siapkan duit cukup-cukup 299 yen. Dengan yakinnya mak pun scan harga dan masukkan duit. Tapi mesin tu masih 'bercakap' lagi. Mak masukkan lagi duit sehingga jumlah sudah melebihi 300 yen... tapi barang yang mak beli masih belum boleh di ambil. 

Panik kejap... sehingga sorang pekerjanya datang dan menekan satu butang pada mesin. Owh... rupanya mak dah terlebih masukkan duit. Mesin tu 'cakap' suruh ambil baki... hahaha...

Thursday, February 5, 2026

Narai-juku...


Puncak gunung Fuji jelas kelihatan dari lebuh raya 
ketika dalam perjalanan ke Nagano.

Perjalanan dari Ota City, Tokyo ke Nagano mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah. Pemanduan lancar sepanjang perjalanan. Dari kejauhan jelas kelihatan puncak gunung Fuji yang diliputi salji.

Destinasi pagi ini menuju ke kawasan pergunungan Kiso. Apabila kereta kami memasuki kawasan pendalaman kelihatan salji bagaikan hamparan kapas putih di kiri kanan jalan. Kelihatan sayup... di jajaran gunung-gunung... salji masih tebal.

Kami sampai di hentian Suwa Lake ketika perut mula berkeroncong lapar. Selesai makan dan solat jamak zuhur dan asar kami kembali meneruskan perjalanan ke Narai-juku.

Tasik Suwa di pergunungan Kiso.

Narai-juku mengekalkan sebahagian besar seni bina
tradisional dan suasana asal era Edo.

Narai-juku sebuah pekan sejarah yang terletak di Lembah Kiso, Wilayah Nagano. Di zamannya era Edo (1603-1868) ia merupakan perhentian penting di laluan Nakasendo yang menghubungkan Kyoto dan Tokyo.

Pekan ini berkembang maju sebagai perhentian rehat penting tuan-tuan tanah dan pedagang bagi mencari penginapan, makanan, bekalan dan hiburan.

Di bina dari kayu dengan konsep tradisional.. susun atur pekan ini memberikan gambaran yang jelas tentang masa lalunya juga peranannya dalam memudahkan perjalanan dan perdagangan.

Disinilah terletaknya istana atau kediaman Nakamura... seorang saudagar zaman Edo dengan pameran seni bina tradisional dan artifak yang mempamerkan gaya hidupnya yang kaya.

Walaupun usia Narai-juku sudah cecah ratusan tahun namun ia masih terpelihara dengan baik. Deretan kedai-kedai kayu yang ada dijadikan kafe dan kedai souvenir.

Terdapat juga sebuah muzium Kamidonya Shiryokan... iaitu sebuah rumah kayu yang dahulunya milik seorang paderi Shinto.

Saat zaman kegemilangannya terdapat satu papan notis yang menyiarkan berita dan peraturan rasmi Narai-juku. Papan notis itu masih kekal di tempatnya 
hingga kini.

Wednesday, February 4, 2026

Seijin no Hi....

Subuh di Tokyo 5.40 pagi. Udara di luar sejuk dingin. Malasnya nak bangun... ndak tak ndak kena bangun juga.

Siap solat mak berempat turun sarapan di dewan makan yang terletak di lantai bawah depan kaunter pendaftaran. Mak cuma ambil dua biji croissant dan secawan tea. Tak berani ambil macam-macam, tak tahu halal ke tidak.

Dewan makan hotel. Susun aturnya kemas dan simple.


Ketika di lobi hotel mak temui beberapa orang gadis Jepun dalam pakaian kimono yang cantik, berwarna warni, mahal dan didandan rapi. Mereka adalah gadis-gadis muda dalam usia 20an yang akan diraikan dalam satu acara yang disebut Seijin no Hi. Dan bagi lelaki pula disebut Seijin Shiki.

Seijin no Hi bermaksud Hari Kedewasaan atau matang. Ia di adakan bagi meraikan gadis-gadis yang baru menginjak usia dua puluhan. Acara ini dianggap penting dalam masyarakat Jepun dimana ia menandakan peralihan ke alam dewasa. Bagi mereka u
sia 20 tahun menunjukkan usia matang.

Upacara ini menjadi satu tradisi serta warisan budaya orang-orang Jepun dan di adakan pada bulan Januari setiap tahun... ia disambut dengan upacara dan perayaan di seluruh negara kerana bagi masyarakat Jepun dewasa melambangkan tanggungjawab. Dan hari ini juga merupakan hari cuti umum. 

Biasanya upacara ini diadakan di pejabat majlis perbandaran atau pusat komuniti, di mana pegawai memberi ucapan dan cenderahati kepada mereka.

Selesai bersarapan dan berfoto dengan gadis-gadis Jepun ini mak dan kawan-kawan memasukkan beg-beg pakaian kami ke dalam kereta dan bergerak menuju ke Nagano. Selamat tinggal Ota City, Tokyo.

Monday, February 2, 2026

Selamat Malam Tokyo...


Selamat mendarat di Haneda, Tokyo International Airport, Ota City pada pukul 9 malam waktu tempatan. Setengah jam lebih awal dari yang di jadualkan. Pilot merempit kot... ha..ha..ha.

Inilah pertama kali mak sampai di bumi matahari terbit ini. Perasaan itu tidaklah teruja sangat sebab mak tidak pernah menyimpan hasrat untuk datang kemari.

Terdetiknya hati nak ke Jepun bila pada penghujung tahun lepas seorang kenalan mengajak mak. Tanpa berfikir panjang mak terus setuju. Namun sepanjang penantian untuk fly itu mak tidak teruja langsung... malah sesekali ada timbul rasa kesal pulak menerima ajakan itu.

Tinggal beberapa hari saja lagi untuk terbang baru mak kemaskan pakaian dan membuat tukaran wang. Percaya tak... mak cuma bawa RM1k saja iaitu bersamaan 40,000 yen waktu itu. Selalunya sebelum travel ke mana-mana mak akan google tengok-tengok apa yang menarik di tempat yang akan mak kunjungi, tapi kali ini tidak. Tak tahu kenapa... nak batalkan, tiket dah beli pula.

Mak cuma berempat. Ngam-ngam satu kereta. Di luar airport sesorang sudah menunggu dan membawa kami ke hotel Oriental Express Tokyo Kamata di Jalan Keihinkamata Ekimae. Hotel bertaraf tiga bintang dengan harga RM238 untuk satu malam. Kami sampai di hotel pukul 11 malam.

Walaupun bilik hotel cuma muat-muat untuk dua katil single tapi kebersihannya memang tip top. Cadarnya putih bersih malah masih terbau akan keharuman serbuk pencucinya. Bath tabnya juga bersih seolah-olah tidak pernah di gunakan. (mak tak ambik gambar kerana dalam fikiran waktu itu cuma nak tidur sebab terlalu penat). 

Selamat malam Tokyo. Mak terlena dalam keletihan. 

Bahagian depan Hotel Oriental Express Tokyokamata
di Keihinkamata Ekimae St.

Monday, January 26, 2026

Makan Apa di Jepun...

Bercerita tentang makanan, mak antara orang yang cerewet tentang makan. Apatah lagi bila berada di tempat asing... lebih-lebih lagi di negara orang.

Minggu lepas mak berada di Jepun. Sebelum terbang lagi mak dah membayangkan tentulah hari-hari makan sushi... risau jugak memikirkannya. Mak mana lalu makan benda-benda tu...

Tendon... udang dan sayur-sayur seperti keledek, labu kuning dan cili 
bersalut tepung... di goreng garing... dimakan dengan nasi, jeruk daun bawang dan sos yang sangat sedap. Mak makan ketika berhenti rehat dan solat 
di Suwa Lake, kawasan pergunungan Kiso.... dihidangkan panas-panas dalam cuaca sejuk. Sampai kini masih terasa kesedapannya.

Udon... makan malam ketika di Matsumoto

Sushi..

Tempura Soba... makan tengahari di Kanazawa.

Makan malam... tempura, sushi, salad ketam, sup lobak putih, akar teratai, terung bakar dan sotong yang di cucuk dengan lidi dan dibakar macam sate.

Saturday, March 15, 2025

Kenangan...

Kita tidak mampu untuk mencatat setiap apa yang berlaku sehari dalam hidup ini. Setiap saat akan ada saja perkara-perkara yang terjadi... dan pastinya apa yang berlaku itu memberi makna dan kenangan.. tak kisahlah perkara itu manis atau sebaliknya.

Tapi dengan satu perkara yang kita catat tentang apa yang berlaku sehari dalam hidup kita... ia mampu mengingatkan kita tentang banyak perkara lain yang terjadi pada waktu yang sama.


Meninjau suasana dan persiapan dewan sebelum majlis 
berlangsung. Ketika ini hati kian berdebar... dalam hati 'berjayakah 
majlis ini dilangsungkan seperti yang diharapkan.

Mak tiba-tiba di datangi idea nak buat bunga telur dari gula-gula.

Hasilnya... untuk di agih-agihkan pada tetamu.

Ingatkan pada hari nikah tidak ada lagi dulang-dulang hantaran, tapi 
pihak lelaki nak hantar juga 5 dulang, jadi kenalah balas... Mak kehilangan
 idea... akhirnya jadilah gubahan ringkas ini.

Pilihan menu... ketika pertemuan dan perbicangan dengan pihak 
peramusaji... akhirnya acar nenas dan ayam masak merah di tukar dan digantikan dengan ayam bakar percik dan sambal goreng tempe.

Tuesday, May 30, 2023

Mak Sebagai Penjual Kuih...

Kuih tepung pelita dan cara berlauk yang mak titipkan di gerai jiran 
yang berniaga di bazar ramadan lepas.

Setiap hari seratus biji kuih tepung pelita yang mak buat akan habis terjual.

Sesungguhnya ramadan dan syawal 1444H meninggalkan banyak kenangan pada mak. Untuk pertama kalinya ramadan tahun ini mak 'terjebak' secara langsung dalam aktiviti menjual kuih muih secara serius hingga membawa ke syawal. 

Bersama seorang jiran... masih muda belia orangnya.. mak berjual kuih muih seperti karipap, koci, cara berlauk serta tepung pelita. Alhamdulillah...  sambutannya sungguh memberangsangkan. 

Walaupun keletihan tetapi hati puas bila mengira rezeki yang masuk. Sehingga kini, walaupun syawal sudah berlalu tapi tempahan untuk kuih-kuih seperti karipap, cara berlauk, koci dan lain-lain masih rancak mak terima.

Karipap antara kuih yang paling banyak tempahan yang mak dapat sepanjang 
syawal lalu. Malah sehingga kini tempahan untuknya masih lagi masuk.

Tuesday, November 29, 2022

Menghilangkan rasa sunyi...

Sudah berjanji dalam diri sejak update 'paling terbaru' pertengahan Ogos lalu... mahu kembali mencatat dalam blog ini. Tapi masih belum tertunai lagi. Diam tak diam sudah tiga bulan sejak tarikh itu. Begitu cepatnya masa berlalu.

Dan tanpa sedar mak pun semakin di mamah usia. Sudah cecah 60-an. Sejak jadi wargamas ini rasa sepi dan sunyi memang tidak dapat dihindarkan dari ruang kehidupan. Mentelahan sejak berpindah di rumah baru ini. Suasana dan persekitarannya agak sunyi dan lengang. Tidak kedengaran langsung bunyi deruman kenderaan.

Untuk memenuhi masa senggang dan menghilangkan rasa sunyi mak bercucuk tanam. Ada sedikit kawasan lapang dan tanah di belakang dapur yang dapat dimanfaatkan dengan tanaman sayur-sayuran. Hasilnya selain dari kegunaan sendiri dapat juga mak sedekahkan pada jiran-jiran.

Kangkung dan pegaga yang mak tanam subur menghijau.

Pokok ubi kayu pun sudah boleh di petik pucuknya.

Tomato sudah mula mengeluarkan buah.

Pokok cili juga sudah menampakkan hasilnya.

Thursday, July 29, 2021

Sampai Bila...

Diam tak diam dah setahun setengah berkurung. Cepat sungguh masa berlalu. Hampir dua tahun kita hidup dalam suasana pandemik.

Ingatkan dulu wabak covid ni paling lama pun mungkin empat lima bulan saja. Rupanya berlarut-larutan hingga ke saat ini. Entah bila akan berakhirnya. Dan hingga ke saat ini entah berapa banyak pula nyawa yang terkorban.

Dalam minggu ini saja mak mendapat perkhabaran empat kematian di kalangan jiran-jiran mak. Sukar untuk mempercayai tapi itulah hakikatnya. Semalam kita nampak masih sihat. Masih tersenyum dan melambai-lambaikan tangan pada kita dari pintu rumah mereka... tapi hari ini mereka hilang. Tidak kelihatan lagi. Tahu-tahu dapat perkhabaran mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Mudahnya kematian.

Bukannya tak rimas berkurung saja begini... tapi mahu buat macam mana lagi. Selagi penawarnya belum di jumpai, selagi itulah kita terpaksa patuh pada 'tata cara kehidupan ketika ini'. Ikutkan hati... telah lama meronta-ronta untuk keluar berjalan-jalan di luar sana tanpa topeng muka.

Selepas suntikan vaksin dos pertama.

Mak pun sudah lengkap dua dos vaksin. Hari ini anak dara mak Ojet pergi melengkapkan dos vaksinnya ditemani siabang. Masa mak pergi untuk suntikan vaksin pun anak bujang mak juga yang temankan. Sampai duduk disebelah masa suntikan vaksin itu di buat.

Memang pada mulanya mak takut untuk dapatkan suntikan itu. Melihatkan jarum suntikan pun sudah menggeletar satu badan. Bila anak-anak tanya sudah daftar ke belum... mak cakap mahu tunggu dan lihat saja dulu. Dalam hati ketika itu mengharapkan wabak ini akan segera berakhir.

Tapi harapan mak itu tinggal harapan saja. Melihatkan ramai rakan-rakan semasa bekerja dulu sudahpun mendapatkan suntikan vaksin masing-masing mak beranikan diri mendaftar. Dan anak bujang mak janji akan menemani mak ketika suntikan itu dilakukan.

Tidak lama, seminggu selepas pendaftaran awal bulan Jun kelmarin mak dipanggil ke PPV Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) Seperti yang di janjikan anak bujang mak si abanglah yang menemani mak ke sana. Hingga selesai dos kedua si abang juga yang bawa mak ke PPV.

Sekarang, walaupun sudah lengkap dua dos tapi mak masih berkurung juga di rumah. Sampai bila? Hanya Allah saja yang tahu.

Tempat menunggu untuk pendaftaran. Banyak kerusi
 kosong. Lenguh kaki mak berjalan hingga ke hujung sana. 

Keluar dari dewan PPV anak bujang mak belikan 
buah-buahan ini untuk mengalas perut yang lapar.

'Masakan di hujung jari' yang disediakan oleh anak dara mak Ojet 
untuk lunch sekembalinya mak dari suntikan vaksin.

Tuesday, May 11, 2021

Semestinya Ini Satu Kenangan...

Ramadan telah pun sampai ke penghujungnya... dalam serangan covid yang entah bila akan berakhir...tiada siapa yang boleh memberikan jawapannya. Ini kali kedua kita menempuh ramadan dengan norma baharu. Ramadan yang akan datang belum tahu lagi bagaimana pula.

Walaupun telah hampir dua tahun hidup kita dibelenggu oleh pandemik ini... dan kita tidak lagi sebebas dulu ke sana ke sini... malah bazar ramadan tidak lagi semeriah dulu... namun ada cerita baharu pulak yang berkisar dalam hidup mak di ramadan tahun imi.

Tidak di sangka-sangka mak dapat beberapa tempahan kuih dari jiran dan rakan-rakan. Ini kali pertama tanpa sengaja mak berniaga kuih di bulan ramadan. Sekadar suka-suka berniaga dari rumah. 

Antara kuih-muih yang mak buat ialah kuih lompang, kuih lapis, karipap, serimuka, nona manis, apam labu, koci pulut hitam dan cara berlauk. Alhamdulillah! feedback dari pelanggan semuanya berpuas hati. 

Kuih lompang

Karipap dan kuih lapis

Karipap dan kuih serimuka

Nona manis

Apam labu kuning

Koci pulut hitam

Kuih lompang dan seri muka

Cara berlauk

Sudah semestinya satu kenangan dalam hidup mak di ramadan kali ini. Sesuatu yang tidak dirancang dan anak-anak memberi galakan... malah ianya memberi satu keseronokkan pula.

Friday, January 22, 2021

Kerana seekor lipas...

Ketika menunggu rawatan.

Kisahnya kerana takut dan ingin lari dari seekor lipas kaki mak tersadung di bendul bilik air dan jatuh tertiarap. Untuk menahan diri dan dagu dari bertembung dengan bibir bendul tangan kanan mak cuba menahan dan mengampu badan dari terhentak sepenuhnya ke lantai.

Selepas jatuh tak rasa sakit. Cuma tangan kanan rasa kebas. Ingatkan cuma salah urat. Panggil tukang urut. Tapi selepas diurut sakitnya semakin kuat.. Tangan tak boleh di angkat dan di gerakkan. Semalaman mak menangis menahan sakit. 

Esoknya Ojet bawa ke hospital. Selepas di x-ray, doktor kata ada kalsium beku dan mengeras di sendi bahu. Lebih kurang bergitulah. Mak pun tak fokus sangat dengan apa yang doktor cakap masa itu kerana tak tahan menanggung sakit.

Sejak kejadian itu hingga kini tangan kanan tak boleh melakukan banyak sangat kerja. Itulah mulanya... sekitar bulan Julai tahun lalu. Sejak itu blog mak ini terbiar sepi. Walau dalam hati sebenarnya ingin sangat membuat catatan. Banyak sebenarnya yang ingin ditulis di sini sebagai kenangan di masa hadapan.

Thursday, January 23, 2020

"disinilah mak shopping..."

Ketika mak sampai suasana dalam cafe lengang 
dan tak ramai orang...

Tahun 2020 dah hampir sebulan 'berjalan'. Tapi mak masih belum move on lagi. Entah apa saja yang mak buat. Semakin bertambah usia semakin lemah dan 'malas' nampaknya. Mata pun dah makin kurang penglihatan. Itu yang buat malas sangat nak update blog.

Selepas mak blogwalking dan singgah di blog orangbukit... dan baca entrynya tentang Kakigori... tiba-tiba mak teringin pula nak merasa ais parut stail Jepun ini. Sebelum ini mak tak pernah tau pun tentang kakigori atau cafe Mykori ini.

Dan petang Sabtu minggu lepas... Ojet bawa mak ke Mykori Cafe Cyberjaya. Ada banyak cawangan cafe Mykori tapi Ojet memilih untuk ke Cyberjaya. Dia bercadang selepas santai-santai di Mykori kami akan terus ke tapak pembinaan rumah yang di beli Ojet sambil melihat-lihat perkembangan progressnya. Janji pemaju... projek di jangka siap tahun 2021 nanti.

Dalam perjalaanan ke Cyberjaya melalui lebuhraya MEX Ojet memandu santai. Mak di sebelah cuma bercerita dan memasang angan-angan tentang bagaimana konsep hiasan rumah baru kami nanti. Dan sesekali dia mencelah menanyakan berapa kosnya. Senang nak buat bajetnya dari sekarang.

Ada ketikanya kami ketawa bila Ojet cakap 'ini kira berlatih juga tengok jalan untuk balik ke rumah sendiri. Takdelah nanti nak balik rumah pun kena tanya en.google.'

Sebaik saja Ojet membelok ke kawasan Cyberjaya, suasana amat lengang dan tenang sekali. Cuaca kelihatan cerah dan cantik... Mak memang rasa teruja bila membayangkan akan menetap di sini nanti. Sebelum ke Mykori Cafe... Ojet bawa round-round dulu... melihat-lihat persekitaran sambil 'menambah' angan-angan. Nampak DPULZE Shopping Centre.. Ojet cakap "nanti disinilah mak shopping barang-barang keperluan".

Petang itu memang penuh dengan angan-angan. Sambil menghirup kakigori kami sambung lagi angan-angan. Cerita lagi tentang rancangan untuk rumah baru. Cuaca yang terang dan panas di luar membuatkan tak sedar mak dan Ojet telah menghabiskan dua mangkuk kakigori perasa pilihan kami. Nyaman dan sejuk.

Chocolate Honey Smore's Toast. Sedap! mak pilih mint
aiscream dan coconut aiscream untuk topping atasnya.

Ojet pilih Mont Fuji Mini dan mak ambil Mont Mouve Mini.

(nota mak: Ojet janji nak bawa mak ke Mykori lagi minggu ni...)

Tuesday, December 3, 2019

Surat untuk Cempaka Biru...

"Salam Nieda! barangkali Nieda tertunggu-tunggu berita pengeposan kiriman Nieda pada saya. Maaf lambat saya memberitahu. Kiranya barang berkenaan telah sampai seminggu yang lalu. Tapi cuma beberapa hari lepas ianya benar-benar sampai ke tangan saya.

Alamat yang tertera pada sampul tersebut sebenarnya alamat rumah lama... Rumah arwah orang tua saya. Kini saya tidak tinggal lagi di situ. Tetapi saya masih menggunakan alamat tersebut untuk urusan surat menyurat.

Terima kasih atas kiriman keychain dan fridge magnet tersebut. Saya amat berbesar hati menerimanya dari seorang sahabat maya."

Pemberian dari blogger Cempaka Biru

Asalnya cuma bertegur sapa dalam blog dan bersahabat di dunia maya. Bagaimana mulanya 'berkenalan' pun mak dah tak ingat. Tapi mak suka nama blognya Cempaka Biru. 

Kalau nak terjah blognya tekan saja Cempaka biru ni... Cuma sekarang ni mak susah sikit nak terjah blognya sebab setiap kali tekan link tu... keluar iklan perkataan ni "99.widgetserver.com" Harap Nieda maklum...

Sejujurnya mak senang bersahabat dengan rakan-rakan blogger ni. Walaupun tak kenal mereka siapa. Tapi lama kelamaan jadi makin 'akrab' pulak.

(nota mak: Moga suatu hari kelak ada 'jodoh' kita berjumpa di alam nyata.)

Monday, November 18, 2019

200 Baht Untuk 30 minit...

(cop pasport - 3H2M - Hadyai - 4)

Deretan kedai body massage di hadapan hotel penginapan mak.

Tidak lengkap percutian ke Thailand atau Hadyai ini kalau tak buat urutan traditional Thai. Inilah masanya untuk memanja dan membelai tubuh badan.

Urut traditional Thai ini memang popular dan ke mana saja kita pergi di Hadyai ini kita akan jumpa banyak kedai-kedai urut dan spa.

Memandangkan dah sampai Hadyai, mak pun tidak melepaskan peluang untuk merasa urutan traditional Thai ini. Tapi mak tak buat di kedai-kedai urut yang terdapat di luar hotel penginapan... sebab agak mahal. Mak beritahu pihak hotel dan mereka yang uruskan dan bawa dua orang tukang urut ke bilik. Kenapa dua?... ialah kawan sebilik mak pun nak berurut juga... hehehe

Sebenarnya kalau kita panggil mereka datang ke bilik harganya lebih murah berbanding di kedai. Dan boleh tawar menawar.

(Pix from Google)

Mak minta urut minyak untuk satu badan. Mula-mula memang rasa takut juga. Macam menguli tepung roti badan kita di buatnya. Tapi lama kelamaan mak rasa best pula. Dan lepas berurut... badan rasa lega dan ringan. Hilang lenguh-lenguh dan sakit-sakit sendi.

Sebab puashati dengan khidmat urut yang dilakukan oleh tukang urut yang di hantar oleh pihak hotel mak beri sedikit tip untuk amoi si tukang urut. Dan malamnya mak tidur lena sampai ke pagi. Sedar-sedar hari dah tinggi.