Thursday, January 29, 2015

Menyumpah jugak....

Sekadar kenangan... melalui Matlock Road, Derbyshire, UK.  

Entah berapa kali dah aku terkuap-kuap di meja. Letih sangat rasanya badan. Lemah dan lesu saja.

Dah empat hari balik dari Arau. Mengambil Ojet. Tapi aku tidak bersendirian... berteman... dengan hubby. Tapi sepanjang perjalanan pergi dan balik aku yang memandu.

Dalam perjalanan pergi... sekitar area Sungai Buloh, nyaris nak eksiden. Aku ketika itu memandu di line tengah... tak pasti pulak kelajuan aku ketika itu berapa. Di hadapan aku ada tiga buah kereta. Tiba-tiba kereta yang di hadapan sekali, proton Iswara yang di pandu oleh seorang perempuan membrek dan memberhentikan keretanya secara tiba-tiba... gara-gara agaknya dia baru tersedar simpang yang dia nak keluar tu hampir terlepas.

Serentak dengan itu dua kereta yang di belakangnya pun turut brek mengejut. Aku pulak ketika itu baru saja menambah kelajuan apabila tersedar kereta di hadapan aku sudah berhenti. Ngeri sungguh! Aku sempat menekan brek sedikit... lepaskan... dan brek semula. Aku lakukan begitu sebab... jika aku menekan brek habis, kemungkinan besar kereta aku berpusing dan terbabas ke kiri atau ke kanan jalan. Atau paling tidak mungkin aku akan melanggar bahagian belakang kereta di hadapan aku dengan kuat.

Tidak boleh tidak mulut memang menyumpah pemandu proton Iswara tersebut. Dah tahu nak susur keluar ke kiri, memandulah di line kiri sekali. Inilah salah satu tabiat pemandu kereta di Malaysia. Mereka cuma fikir diri mereka saja tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain. Mereka buat jalan raya itu mereka yang punya. Walaupun tak semua tapi kebanyakannya begitulah.

Monday, January 19, 2015

CHEWY GOOEY YUMMY BROWNIES...

Beberapa tahun dulu aku pernah buat brownies ni. Masa tu si abang sedang belajar di SDAR. Aku pergi melawatnya di asrama dan bawakan brownies ni untuk dia dan kawan-kawannya. Itulah pertama kali aku mencuba resipi ni.

Baru-baru ni aku try lagi resipi ni untuk kali yang kedua. Kali ni aku buat untuk Ojet sebab sampai sekarang dia masih menyebut-nyebut masa aku buat yang mula-mula dulu dia tak sempat rasa.

Agak-agak adalah dalam 15 minit adunan brownies ni 
dalam oven baru perasan temperature tak on lagi. Tak tahulah 
macam mana boleh lupa. 


Dah siap potong-potong dan letakkan dalam kotak.

(Resipi asalnya aku ambil dari blog Brother Rozzan)


Bahan A:
250 gm butter - potong kecil-kecil
400 gm chocolate masakan - potong kecil-kecil

Bahan B:
6 biji telur
340 gm brown sugar
2 sudu teh esen vanilla
20 gm (1 sudu makan) chocolate emulco

Bahan C:
80 gm tepung gandum diayak bersama 60 gm serbuk koko
140g kacang walnut/pecan/almond (optional) - dibakar sebentar dan gaul dengan tepung dan koko

Cara-caranya:
1. Panaskan oven pada suhu 160 C. Sediakan dan alas acuan ukuran 11” x 11”

2. Cairkan Bahan A dengan menggunakan kaedah double boil ... ketepikan biar suam.

3. Pukul Bahan B hingga gula hancur (guna hand whisk saja).

4. Tuangkan adunan chocolate (bahan A) dan gaul hingga rata dan sebati.

5. Kemudian masukkan tepung (bahan C) dan digaul lagi hingga rata tetapi jangan terlalu lama.

6. Tuang ke dalam acuan dan bakar antara 50 minit - 1 jam.

7. Setelah masak, biarkan dalam acuan hingga sejuk. Rasanya akan lebih sedap jika disimpan semalaman.

Untuk Bahan Krim Cokelat atau Ganache:
250 gm cooking chocolate
1 sudu besar marjerin
1/2 cawan fresh cream/whipping cream 

Cara: 
1. Cairkan cooking chocolate secara double-boil. 
2. Angkat dari air panas tadi dan masukkan fresh cream/whipping cream dan mentega.
3. Kacau sehingga sebati.
4. Tuangkan atas brownies.

(nota mak: Walaupun dah dua kali aku cuba buat tapi aku tak pernah rasa dan makan sebabnya aku alah dengan coklat. )

Friday, January 16, 2015

Dah terbayang-bayang depan mata...

Dua minggu lagi nak ke Arau jemput Ojet balik. Exam Sem 5 dah selesai. Walaupun hubby kata, biarlah Ojet balik sendiri dengan keretapi tapi aku tetap nak pergi ambik dia. Selesailah sudah pengajiannya di universiti. Bermula dari awal segalanya bergerak lancar tanpa sebarang kesulitan dan dia berjaya menyudahkan pengajiannya selama tiga tahun. Dan bulan Mac nanti dia buat practical selama tiga bulan.

Mengenang kembali detik awal dia mendaftar sebagai siswazah Sabtu, 21 Mei 2011, empat tahun dulu aku pasrah bila mempengaruhi dia memilih Asasi TESL. Sebabnya dekat di Shah Alam. Itu saja sebabnya... Langsung tak fikir, sama ada Ojet minat atau tidak. Banyak campur tangan aku sebenarnya. Aku yang sarankan dia memilih UiTM untuk meneruskan pengajian. Aku suruh dia pilih TESL. Aku suka kalau dia jadi guru Bahasa Inggeris. Tapi nampaknya hajat aku tak kesampaian. Selepas tamat Asasi... Ojet menukar haluan.

Dia memilih bidang business, khususnya Human Resource. Ramai rakan-rakan sepejabat yang setuju dengan pilihan yang di buat oleh Ojet. Mereka kata bidang kerjanya luas dan senang untuk mendapat kerja bila grad nanti. Memang itulah pun yang aku inginkan. Sebab itu aku suruh dia buat TESL. Habis belajar terus keluar jadi cikgu.

Sebenarnya sebaik mendapat keputusan SPM Ojet di tawarkan untuk meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis. Teringat lagi aku, Ojet menangis dan bertanya, adakah aku yang menukar dan memohon kolej tu dalam borang UPU. Dalam waktu yang sama dia juga mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke salah satu universiti di Bandung. Dan yang ini juga di abaikan. Aku pun tidak begitu menggalakkan dia memilih bidang sains. Susah.

Pun begitu, aku sedikit berdebar. Untuk mendapat tempat dalam Asasi TESL, setiap pemohon harus menghadiri satu temuduga dan ujian bertulis untuk melayakkan diri. Semuanya di jalankan dalam bahasa Inggeris. Itulah yang aku risaukan.

Sehari suntuk aku meneman dan menunggu dia menghadapi ujian dan temuduga di fakulti pendidikan UiTM Shah Alam. Ingat lagi aku, ramai juga mak-mak yang turut sama menunggu anak-anak mereka waktu itu. Dan apabila Ojet keluar dari bilik temuduga aku nampak senyuman di bibirnya. Dia berjaya.

Selama setahun Ojet mengikuti Asasi TESL, aku tak putus-putus berdoa. Dalam hati aku rasa menyesal pun ada menyuruh dia memilih TESL. Rupanya banyak perkara yang aku tidak tahu sebenarnya. Selepas menamatkan Asasi selama setahun pelajar boleh memilih haluan dan bidang lain jika tidak mahu meneruskan jurusan pendidikan. Itulah yang dilakukan oleh Ojet.

Aku akur. Tidak lagi campur tangan. Dia yang nak belajar. Walaupun sedih juga sebab kali ini terpaksa berpisah jauh dengannya. Ojet di hantar ke kampus UiTM Arau. Yang paling merisaukan aku, macam mana dia nak balik bila cuti semester dan kekal tinggal di kolej. Semahunya aku harap dia terus tinggal di kolej sepanjang pengajian. Boleh di katakan sepanjang tempoh dia belajar aku selalu ingatkan dia, kekalkan keputusan dengan pointer yang tinggi. Lebih-lebih lagi Ojet di bawah tajaan JPA... jika keputusan exam jatuh, tajaan akan di tarik balik.

Walaupun adakalanya sibuk dengan aktiviti lain di kolej terutamanya sebagai Setiausaha Agung dalam Majlis Perwakilan Pelajar... menyertai pertandingan pantun dan menjadi wakil negeri Perlis ke pesta pantun di Putrajaya tahun lepas. Menghadiri seminar di luar negara dan mengikuti kursus-kursus kepimpinan tapi selama 4 semester yang lepas Ojet kekal sebagai penerima anugerah dekan. Syukurlah! Ojet buat aku rasa bangga dan kian teruja menunggu hari konvokesyennya. Dah terbayang-bayang di depan mata aku dia dengan jubah dan mortarboard/graduation hat tu melangkah penuh bergaya ke pentas menerima ijazahnya. Sarjana Muda (Kepujian). InsyaAllah!

(nota mak: teringat  kata-kata abang, " Dikda lebih hebat dari abang... selama ini abang membayangi dia. Tapi bila abang tak ada dekat mak... baru terserlah dan nampak kehebatannya".

Thursday, January 8, 2015

Macam mana kalau dia bersungguh-sungguh....

Hari itu, kira-kira tiga minggu sudah... aku dan hubby memenuhi undangan majlis perkahwinan anak bekas kawan sekerja hubby. Di majlis itu ramailah tetamu jemputannya dari kalangan kawan-kawan lama kami. Antaranya sepasang suami isteri yang merupakan officemate lama aku dan hubby dulu.

Dulu masa muda-muda kami bekerja disebuah syarikat yang sama. Kemudian kami berpisah-pisah termasuklah aku dan hubby bertukar tempat kerja. Hampir 33 tahun juga aku dan kawan yang aku maksudkan ni tak jumpa.

Ketika kami sama-sama tempat kerja dulu, aku muda lagi. Belum kawin. Tapi kawan ni (lelaki) dah kawin dan ada beberapa orang anak. Dia lebih tua dari aku. Umur dia waktu tu dalam lingkungan 30an. Mula-mula jumpa tu kawan ni memang tidak mengenali aku lagi. Patutlah ketika kami duduk semeja dia langsung tak menegur aku. Hinggalah hubby memberitahu.

Bila dah kenal dan ingat balik tu... macam-macamlah ceritanya. Dan paling utama tentulah cerita pasal anak-anak.

Bila aku cerita tentang Ojet dia terus tertarik dan cakap “eh! apa kata kita berbesan”. Aku terdiam... Tak tahu nak cakap macam mana. Terkedu kejap... Serius mereka suami isteri berbincang depan aku nak menjodohkan anak lelakinya dengan Ojet. Spontan aku terbayang wajah Ojet. Seperti yang aku cakap sebelum ini, didepan mata aku, Ojet kecik lagi. Masih ‘ditimang-timang’. Setiap kali bila menalipon dia perkara yang akan di tanya dulu “adik dah makan... makan apa tadi... sedap lauknya...” Tiba-tiba ada pulak orang ‘menanya’.

Sebelum balik, kawan tu minta alamat rumah. Aku suspen dan cakap dengan hubby, macam mana kalau dia bersungguh-sungguh dan datang ke rumah membawa hajat untuk meminang Ojet secara rasmi. Apa alasan terbaik untuk menolaknya.

Bukan aku tak berkenan dengan anak bujangnya... tapi aku belum bersedia untuk jadi mak mertua. Kalau boleh biarlah habis belajar ni Ojet bekerja dulu. Muda lagi nak memikul tanggung jawab sebagai isteri. Nasib-nasib setahun lepas kawin dapat anak pulak. Tak boleh aku bayangkan. Perkara ni pernah aku bayang dan bincangkan dengan abang waktu dia balik tempoh hari. Dan abang sependapat dengan aku. Dia pun tak setuju kalau adiknya kawin sebaik habis belajar. Lagipun baru dua hari lepas Ojet cakap... habis degree ni dia nak sambung buat Master dan Ph.D terus.

(nota mak: Psssst! entah-entah Ojet pun dah ada teman istimewa. Sapa tahu. Tiba-tiba saja aku tersedar... rupanya aku ni dah ada menyimpan anak dara dan anak bujang. Nampaknya aku bakal memasuki fasa baru dalam kehidupan sebagai emak.)

Wednesday, January 7, 2015

Biarlah yang manis-manis...

Dah seminggu kita melangkah dan hidup di tahun 2015 ini. Apa yang menanti kita di hadapan... hanya Allah saja yang tahu. Walau dalam hati inginkan yang indah-indah saja. Tapi sesaat kita menoleh kebelakang... nampak berapa banyak peristiwa dan kenangan yang mewarnai kehidupan kita takat ini.

Sedih, suka dan duka saling berganti memenuhi ruang-ruang waktu. Apapun kisah dan peristiwanya tiap satunya memberi pengalaman, pengajaran, peringatan dan kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang sehingga kita sendiri tiba di titik noktahnya. Tidak kisahlah, samada kita suka atau tidak.

Dalam hati aku, secara jujurnya setiap saat aku mengharapkan biarlah yang manis-manis saja mewarnai kehidupan aku selepas ini. Setiap detik yang bakal di tempuhi nanti akan penuh dengan kebahagiaan dan keindahan.

Dalam usia yang semakin meningkat tua ini, tidak banyak yang mungkin dapat diharap dan di impikan selain dari 'senyuman' setelah bertahun-tahun merancang, berusaha dan mengharap!