Showing posts with label Dari hatiku. Show all posts
Showing posts with label Dari hatiku. Show all posts

Friday, January 31, 2025

Impian mak...

Bunga tangan yang mak gubah sendiri dan tiara pilihan mak.

Kenangan tercipta di sini... 

Rehearsal sehari sebelum majlis berlangsung.

Hampir sebulan berlalu. Tapi mak masih terasa letihnya. Masa tu tak tahu pada siapa nak mengadu dan untuk di bawa berbincang. Semuanya mak uruskan sendiri.

Tempoh empat bulan dari tarikh tunang yang di berikan memang singkat. Tapi memikirkan perkara yang baik ini tidak harus dilengah-lengahkan. Bila pihak lelaki memberikan tarikh mak terus saja setuju. 

Tapi untuk mengadakan satu majlis kawin bukanlah perkara yang mudah. Tambah-tambah duit pun tak berapa nak ada... segala-galanya pula mahal.

Dalam tempoh empat bulan itulah mak terkejar-kejar ke sana kemari menyiapkan segala keperluan... dari venue, emcee hinggalah ke pakaian pengantin, cenderahati dan gubahan bunga telur.

Mak pun ada impian juga untuk satu-satunya anak perempuan mak. Bukanlah 'dahsyat' sangat impiannya... mak cuma menginginkan satu majlis yang 'cantik'. Majlis yang sederhana, kemas, teratur dan 'grand' pada persepsi mak. Jemputannya tidak perlu terlalu ramai... cukup 500 orang sahaja.

Konsep hidangan majlis 'dome' Semua tetamu duduk di meja dan akan di layan oleh pelayan 
kerana mak mahu mereka selesa menjamu selera tanpa perlu beratur mengambil makanan. Makanan pula di hidangkan.. course by course. Bermula dengan buah-buahan dan kuih muih sebagai appetizer... kemudian diikuti hidangan utama, tentulah nasi minyak dan lauk-lauknya... dan disudahi dengan bubur dan kek sebagai pencuci mulut serta kopi dan teh panas..

Masalah paling besar pada mak waktu itu.., untuk memastikan setiap yang di jemput dapat mengesahkan kehadiran... dan mereka benar-benar hadir. Jika tidak meja-meja akan kelihatan kosong dan banyak makanan di bazirkan. 

Dan yang paling mak inginkan, ketika pasangan mempelai berjalan masuk menuju ke pelamin semua tetamu memandang dan melihatnya.

Setelah bertungkus lumus menyiapkan segala akhirnya impian mak itu jadi kenyataan...

Sebahagian tetamu jemputan sedang menikmati hidangan.

Senja itu hujan turun agak lebat... hati mak sedikit resah... beberapa mesej masuk di talipon memberitahu mereka mungkin akan sampai lambat kerana pergerakkan traffik agak perlahan dan di beberapa jalan menuju ke Putrajaya sesak dengan kenderaan.

Usai solat maghrib... mak lihat jemputan telah mula memenuhi Grandhall Boraombak, Marina Purajaya... Hati mak lega... setiap meja telah di penuhi tetamu. 

Dan jam 8.15 malam... pengacara majlis mengumumkan kehadiran keluarga pengantin lelaki, diikuti pasangan ibu bapa pengantin... dan setelah semuanya mengambil tempat duduk masing2 lampu dewan di suramkan dan spot light di arahkan ke pintu masuk dewan... suasana sepi seketika.

...dalam iringan alunan muzik love story kelihatan Ojet sangat cantik pada pandangan mak dipimpin suaminya berjalan menuju ke pelamin.

Kebaya sulam warna biru.. juga pilihan mak.

Adik mak dan suaminya Daryl memberikan ucapan buat pengantin.

Permintaan dari bapa saudara iaitu Daryl mahu pengantin menari sebelum memotong kek. Dewan bergema dengan sorakan tetamu.

 "Selamat Pengantin Baru dikda, doa mak bahagia hingga ke Jannah."

...dan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir... mak terharu atas kesudian kalian hadir memeriahkan majlis

Monday, September 18, 2023

Akhirnya Kalah Dan Mengalah...

Beginilah...di usia meniti senja... pergerakkannya makin kerap terganggu. Ada saja sebabnya untuk mengalah dan rebah...

Seperti yang pernah mak catat di blog ini... apabila bersara dari alam pekerjaan mak ingin mengisi masa-masa lapang dengan kegemaran berkebun. Dicantikkan lagi sejak berpindah ke rumah baru ini... ada sedikit tanah di belakang dapur untuk mak realisasikan impian itu. 

Alhamdulillah apa yang mak usahakan itu menjadi dan memberikan sedikit keseronokkan apabila dapat menuai hasilnya.

Tapi disatu petang mak kalah... sedang leka mencabut rumput-rumput yang semakin meliar tumbuhnya di batas-batas tanaman mak... tiba-tiba pinggang terasa sakit. Mak cuba bangun berdiri... gagal... malah kesakitannya rasa tak tertanggung.

Dengan segenap upaya yang ada... mak merangkak perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Di tepi pintu dapur mak menangis keseorangan menahan kesakitan.

Dalam kesakitan itu, mak talipon sorang jiran memaklumkan situasi yang menimpa. Alhamdulillah... beberapa orang jiran yang berhampiran datang membawakan ubat dan minyak urut membantu melegakan kesakitan yang mak tanggung ketika itu.

Malam dan keesokkan harinya mak masih tak mampu bangun dan berdiri. Ojet nampak serba salah meninggalkan mak sendirian untuk ke tempat kerja. Tapi mak yakinkan dia... mak mampu menguruskan diri... cuma mak pesan... jangan kunci pintu bila keluar rumah supaya jika apa-apa terjadi... mak boleh talipon dan minta bantuan jiran-jiran.

Tengahari...beberapa orang jiran datang melawat mak di rumah dan membawakan makanan. Rupanya sebelum ke tempat kerja, Ojet telah menitipkan pesanan pada salah sorang jiran satu lorong untuk tolong tengok-tengokkan keadaan mak.

Makanan tengahari yang disediakan dan diletakkan tepi katil mak. Terharu sungguh mendapat perhatian sebegini dari jiran-jiran.

Beberapa minggu selepas itu... dinihari 4 pagi... mak sendirian dan sibuk di dapur. Menyiapkan 170 biji kuih koci sambil menggoreng 170 biji karipap. 

Begitulah selalunya bila ada tempahan banyak dan cust nak ambil kuih-kuih mereka pagi. Memang semalaman itu mak tak tidur.

Tidak ada pembantu sebab mak lebih senang bekerja sendirian.

Hampir subuh...ketika sedang menggoreng karipap mak tiba-tiba rasa tak selesa diperut dan ulu hati. Rasa seperti di jerut-jerut sakitnya... dan mak tidak mampu lagi berdiri. Rebah dan berguling-guling di lantai menahan kesakitan yang teramat sangat.

Mendengar mak meraung kesakitan, Ojet bangun dan memapah mak ke katil. Untungnya hari itu hari minggu, Ojet tak bekerja. Dan seharian itu kesakitan yang mak tanggung tidak berkurangan. Tapi mak masih bertahan di rumah. Tidak mahu ke hospital dengan alasan takut 'di tidurkan'.

Tapi masuk hari kedua mak tidak mampu bertahan lagi. Akhirnya akur di bawa ke hospital...

Percutian dua hari satu malam di hospital.

Permandangan dari tingkap katil hospital.

Wednesday, January 25, 2023

Usia Emas...

Eh..eh sudah penghujung Januari rupanya. Dah hampir sebulan kita berada di tahun baru... tahun 2023. Begitu cepatnya masa beredar. Sedar-sedar nanti dah tiba lagi tahun baru yang lain.

Melangkah ke tahun baru bermaksud bertambahnya umur... meninggalkan zaman muda... mematangkan usia dan meninggalkan puing-puing kenangan pahit dan manis jauh di belakang...

...dan kini mak sudah pun berada di fasa usia emas.

Kejutan yang dibuat oleh jiran-jiran pada ulangtahun
kelahiran mak baru-baru ini.

Tuesday, August 16, 2022

Rumah Baru...

Rumah baru... Walaupun telah hampir lapan bulan sejak kunci di serahkan pada 
pemilik... namun masih ramai lagi yang belum berpindah masuk.

Inilah entri pertama 2022...Sudah setahun rupanya mak tinggalkan blog ini. Dalam masa setahun tu terlalu banyak momen-momen indah yang berlaku dalam kehidupan mak yang tidak dapat di catatkan di sini.

Lima tahun dulu... mak ingatkan akan ada banyak masa untuk diri sendiri selepas bersara dari alam pekerjaan.  Akan ada banyak masa terluang untuk diri sendiri dan berblog. Buat perkara yang selama bertahun-tahun itu yang tidak dapat di lakukan lantaran kekangan masa...tapi nyata sangkaan itu meleset.

Menjadi surirumah sepenuh masa bukanlah semudah yang di sangka. Malah semakin banyak tugas yang perlu dilaksanakan sepanjang hari dan menuntut perhatian...dalam usia yang tidak lagi muda segalanya agak terbatas.

Biarlah entri pertama setelah berehat selama setahun ini tentang betapa gembiranya mak dengan suasana kehidupan di tempat baru. 

Seperti yang pernah di catat dalam blog ini dulu (link) mak sekarang sudah pun mendiami rumah baru yang di beli Ojet tiga tahun dulu. 

Dengan sedikit pengubahsuaian bahagian dalaman, mak dengan rasminya berpindah masuk pada bulan April lalu. Ojet memberi mak kebebasan untuk menata rias rumah baru ini dan menerima konsep dan warna yang mak mahukan. Ojet juga telah menempah dan membuatkan mak kabinet dapur dari kayu jati dengan warna whispering white.

Kenangan... 12 Januari 2022... Ojet membuka pintu rumah 
sebaik saja kunci di serahkan...

Peti ais hadiah dari adik ipar.

Pili air dan farmhouse sinki pilihan mak.

Monday, June 28, 2021

Terima Kasih YB...

Ahad yang dijanjikan sudah berlalu dan permata hati mak akhinya memberikan jawapan. Setelah di timbang tara dan di fikirkan sekali lagi dia menolak tawaran yang datang. Walaupun berada di tempat itu adalah cita-citanya namun banyak perkara juga yang harus di ambil kira. Mentelahan pula lantikkan itu bersifat politik.

Walaupun dia agak serba salah dan hampir tidak mampu untuk menolaknya... namun melihatkan keadaan situasi dalam negara ketika ini, mak tidak mahu dia kecewa dimasa akan datang. Sungguhpun dia menyakinkan mak bahawa dia bukan seperti enam tahun dulu... tapi sebagai mak yang melahirkannya kebimbangan itu tidak mampu mak hindarkan.

Pada mak dia terlalu muda untuk tugas tersebut. Senang cerita permata hati mak masih bujang. Girlfrend pun tidak ada lagi. Sudah tentu bila dia menerima jawatan tersebut jadual masanya akan terlalu sibuk. Dan jika tidak kerana covid barangkali keluar negara juga. Mungkin mak sendiri jarang dapat bersua muka kerana kesibukkannya.

"Kenapalah tawaran ini datang ketika dalam keadaan begini!.." begitulah keluhannya. Nasihat mak padanya, jika telah tertulis sejak azali rezekinya ada dibidang itu... tawaran serupa akan datang lagi. Buat masa sekarang fokus saja pada kerja yang sedia ada.

Apapun terima kasih kepada YB menteri yang tidak ragu-ragu dan menaruh kepercayaan pada permata hati mak. InsyaAllah jika 'berjodoh' permata hati mak pasti sanggup untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Thursday, December 31, 2020

2020 Berakhir Dengan Banyak Cerita Duka...

Tahun 2020 sudah ke garisan penamat. Tahun yang mencabar bagi kita semua. Bersamanya terpahat cerita duka lara, sengsara, kepedihan, kehilangan serta kesedihan dan keperitan hidup bagi ramai orang.

Sesungguhnya covid-19 yang hadir di tahun 2020 membelenggu dan mengubah lanskap hidup kita. Perkara yang tidak pernah kita jangkakan berlaku dan mengubah segala-galanya. Selama setahun kita 'terkurung' di rumah. Pergerakan kita dibatasi dengan peraturan yang perlu di patuhi. 

Dan sehingga kini kita masih belum dapat menjangkakan bila semua ini akan berakhir. Semoga tahun 2021 membawa sinar terang dalam hidup kita dan dunia seluruhnya. SELAMAT TAHUN BARU 2021.

Friday, April 17, 2020

Berkurung... Terkurung dan Dikurung...

#covid-19
#PerintahKawalPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome
#kitajagakita

Sudah sebulan kita semua satu dunia berkurung. Dari fasa pertama, kedua dan kini masuk fasa ketiga. Terasa 'sunyi dan sepi' sekali kehidupan ini...

Kali terakhir mak keluar rumah penghujung Februari lalu. Itupun ke pasar malam. Walaupun takut kerana waktu itu wabak covid-19 sudah makin menular tapi bertemankan anak bujang... si abang... mak redah juga... mencari sedikit bahan-bahan kering untuk keperluan harian. Petang itu hujan lebat.

Dan itulah kali akhir mak keluar rumah... dan dua minggu selepas itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di keluarkan. Terkurunglah mak dan kita semua hingga ke jangka waktu yang tidak dapat dipastikan.

Namun hakikatnya mak bukan saja berkurung dan terkurung tapi juga 'dikurung'. Sejak arahan PKP mak langsung tidak dibenarkan keluar rumah oleh anak-anak walau cuma untuk melihat-lihat tanaman mak dalam pasu-pasu di luar rumah. Kalau ternampak mak berlama-lama di luar menjemur kain atau terdengar mak berbual-bual dengan jiran sebelah walau dalam jarak yang jauh... mereka akan menjenguk dan panggil mak masuk.

Berdasarkan statistik dan mangsa wabak covid-19 setakat ini kebanyakkannya dalam lingkungan kanak-kanak dan dan orng-orang tua berumur lima puluh tahun dan ke atas.

Berdasarkan itu anak bujang mak cakap dia tidak mahu apa-apa terjadi pada mak... dalam usia seperti mak... mudah kena jangkitan katanya. Setiap kali mahu ke luar dia akan berpesan tutup dan kunci pintu... jangan keluar... dan mak akur... tak sanggup menatap wajah 'moncongnya' bila 'mengingkari' pesanannya

Mahu 'apa-apa' cakap saja. Anak bujang mak akan keluar mencari dan mendapatkannya. Urusan membeli keperluan harian semua di tangannya. Walau pada awalnya ia tidak memenuhi citarasa kerana brand lain yang mak mahu... brand lain pula yang dapat. Alasannya jenama yang mak mahu sudah habis.

Mak pesan beli sayur kacang buncis... tengok di rak tidak ada dia langsung tidak pandai untuk 'spin' beli sayur lain... walau mak dah pesan begitu... Pun mak redha...

Akhirnya setelah sebulan PKP... kini anak bujang mak sudah pandai membeli keperluan harian dan bahan-bahan untuk masakan apabila ke pasaraya.

Kali pertama membeli barang keperluan semasa PKP... cili besar 
sampai empat peket. Termenung mak kejap...

... setelah sebulan PKP... si abang makin bijak membeli 
bahan-bahan masakan dan keperluan lainnya.

Friday, April 10, 2020

"Esok Mak Masak Apa..."

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Time PKP/MCO ni soalan yg kerap ditanya anak-anak "esok mak nak masak apa?"

Semalam apabila anak bujang mak tanya, mak jawab "kari ayam dan roti jala" dan dengan senyuman terukir dia membalas "he sedapnya!"

Tujuh pagi tadi, dengar dia sarapan sendirian di dapur.  Bau mcm roti bakar... Sayup-sayup kedengaran dia bercakap-cakap dengan adiknya... anak dara mak yang sekarang bekerja dari rumah.

Apabila mak keluar dari bilik anak bujang mak sudah keluar. Tinggal si adik 'di pejabatnya' sedang bekerja.

Dalam hati mak ada sedikit rasa tidak tenang dan ralat. Tak nampak si abang keluar bekerja hari ini. Dalam hati hanya doa moga dia selamat dan terhindar dari wabak yang sedang melanda dunia sekarang ini.

Hari ini sekali lagi anak bujang mak akan menyertai kumpulan staff KKM, wartawan media cetak dan elektronik, polis serta bomba juga dengan kawalan tentera melakukan ujian saringan dan semburan nyahcemar di kawasan Jalan Masjid India dan penghuni Selangor Mansion.

Sebelum ini nyahcemar yang di lakukan di bangunan City One Plaza turut di sertai juga oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Di luar cuaca kelihatan redup. Seperti yang di janji semalam... mak masak kari ayam dan buat roti jala. Time PKP ni kami makan nasi selang sehari.

Mak sedang menyediakan adunan roti jala... ketika sayup-sayup terdengar dua orang sedang bercakap-cakap di luar rumah.

Rupa-rupanya si adik menyambut kepulangan si abang dan sedang membuat semburan sanitizer ke tangan dan kaki si abang.

Argh! nampak anak bujang mak dah pulang baru tenteram rasa hati. Setelah menanggalkan baju, seluar dan stokin yang dipakai ketika keluar tadi dan mencampakkannya ke dalam mesin basuh si abang terus ke bilik air membersihkan diri.

Hati mak lega... Kari ayam dan roti jala kegemarannya pun sudah siap di masak.

Seperiuk kari ayam... Aromanya menyelinap ke seluruh ruang rumah.

Roti jala yang digandingkan dengan kari ayam.

Monday, March 30, 2020

Bersabar dan Biarkanlah...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Berkurung dalam rumah bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Mak pun dah mula rasa resahnya. Walaupun sebelumnya mak bukanlah yang suka 'berpeleseran' di luar sana... akan tetapi sesekali hendak juga bermandi cahaya matahari. Berjalan-jalan menikmati keindahan alam sekitar.

Melepak dengan anak-anak di cafe. 'Cuci-cuci mata' di pasaraya. Dan paling perlu ke pasar tani setiap Sabtu untuk membeli stok sayur-sayuran dan lauk pauk.

Tapi apakan daya... keadaan tidak mengizinkan. Jika kita ingin situasi begitu kembali semula dalam kehidupan harian kita, patuhilah arahan PKP. Sosial kehidupan kita di luar sana amat terbatas kini. Berkurunglah kita walau tidak suka macam mana pun.

Setelah hampir empat belas hari 'terkurung' dalam rumah memang macam-macam boleh jadi. Silap haribulan emosi pun tidak dapat dikawal dan boleh meledak juga.

Jadi kalau ada yang post pasal makanan dan apa yang dimasak dalam FB tu biarkanlah. Mungkin itu boleh 'mengembirakan' hati dan merawat jiwa yang resah kerana PKP. Janganlah kita pertikaikan dan mempersoalkan tentang suruh berjimat cermat bagai. Pada mak itu bajet mereka... tahulah mereka bagaimana hendak menguruskannya. Yang penting asal dia tidak 'berjimba' keluar rumah.

Pasti ada yang mempersoalkan tentang bagaimana pula kalau orang susah dan miskin tengok gambar-gambar tu semua. Pada mak senang saja, orang miskin dan susah tidak ada masa nak 'layan' sosial media.

Friday, March 27, 2020

Menggeletar satu badan...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Sebaik sahaja berita tentang Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) terhadap dua kampung di daerah Kluang, Johor di umumkan, seluruh tubuh mak menggeletar. Tidak terucap satu perkataan pun ketika itu. Yang ada cuma ketakutan.

Lama juga mak terduduk di sofa dengan fikiran yang kosong. Semua yang hendak dilakukan serba tak kena. Lama.. barulah mak teringat hendak wasap beberapa orang rakan-rakan dan kenalan yang tinggal di Johor, bertanyakan keadaan mereka.

Sepi... hantaran wasap mak tidak berbalas.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul dua pagi. Tapi mak resah di tempat tidur. Keadaan di luar sana suram dan sunyi. Tiada lagi kedengaran deruman motor dan kenderaan lainnya seperti selalu. Mungkinkah masing-masing sudah lena di ulit mimpi atau seperti mak juga yang tidak mampu memejamkan mata walau sepicing pun.

Bilakah semua ini akan berakhir.... tiada siapa yang dapat menjawabnya. Hanya DIA yang mengetahui segala-galanya...

Wednesday, March 25, 2020

Kebimbangan mak...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Sejujurnya, ketika berita tentang penularan wabak covid-19 (sebelum ini novel coronavirus) di lapor mula merebak di Wuhan, China, Disember tahun lalu... mak tak berapa ambil kisah pun. Fikir mak jauh di China sana. Tak mungkin dan kalau ianya merebak pun tak akan sempat sampai ke mari... penawarnya sudah tentu di temui.

Saban hari dan waktu berita diTV sentiasa menyorot tentang perkembangan jangkitan wabak tersebut. Sehinggalah Januari lalu sejumlah pelancong dari China masuk ke negara kita. Kebimbangan di kalangan rakyat mula tercetus. Tambahan pula simptom dan jangkitan sudah mula tersebar di negara jiran Singapura.

Suatu petang, awal Februari lalu, Ojet ajak mak ke Cyberjaya. Dalam perjalanan Ojet beritahu kemungkinan syarikat tempatnya bekerja akan melaksanakan 'work from home'. Ini kerana headquaters di singapura telahpun melaksanakannya ketika itu.

Menurut Ojet sebagai langkah berjaga-jaga mesyuarat telahpun di adakan untuk menangani perjalanan syarikat jika wabak covid-19 semakin serius... Tika itu mak masih berfikir, tak mungkinlah sampai begitu sekali.

Tapi apabila kes pertama di rujuk di Hospital Sungai Buluh, kebimbangan mula mengetuk pintu hati mak. Kes jangkitan semakin hari semakin bertambah. Ketakutan mula menjenguk kehidupan harian mak. Pada anak-anak mak pesan, sebelum pulang ke rumah, singgahlah sekejap di pasaraya. Beli barang keperluan sedikit-sedikit, terutama bahan-bahan penting untuk stok. Mak bimbang... manalah tahu kalau keadaan makin serius, kita tak dapat keluar rumah untuk membeli keperluan harian.

Ya, beberapa hari selepas mak nyatakan kebimbangan... Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Hari ini masuk hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setelah beberapa hari bekerja dari rumah hari ini anak-anak mendapat arahan untuk hadir ke pejabat. Hati mak mana yang tak risau memikirkannya. Redha dan rela saja melepaskan keduanya keluar rumah pagi tadi.

Dari semalam hinggalah ke pagi tadi sebelum keduanya keluar rumah, macam-macam pesanan yang mak titipkan pada keduanya.

Memandangkan tidak ramai yang hadir ke tempat kerja buat masa ini, pesan mak pada Ojet agar park kereta di aras satu saja. Kalau boleh yang berhampiran dengan lif. Pahamlah kenapa kan... dengan PKP ketika ini suasana di luar sana agak lengang dan sunyi. Manalah tahu dalam saat-saat begini 'ada bahaya lain' pula yang menanti. Orang-orang jahat yang cuba mencari kesempatan... lebih-lebih lagi bagi perempuan.

Buat si abang, waktu hantar dia sampai ke pintu pagar, mak pesan jangan lupa bawa surat arahan bekerja dari pejabat dan gantung tag nama di leher. Ini kerana abang akan melalui beberapa sekatan jalanraya sebelum sampai ke tempat kerjanya.

Dan pesan mak lagi, guna sarung tangan bila berhenti untuk mengisi minyak di mana-mana petrol pam. Memandangkan keadaan jalanraya yang sunyi dan lengang, hati-hati memandu. Kalau apa-apa jadi susah... pada siapa hendak minta pertolongan.

Gambar yang di hantar oleh si abang... suasana lengang dan sunyi 
sepanjang perjalanannya ke tempat kerja hari ini.

Sendirian di rumah, mak ke dapur untuk memasak. Hari ini masak nasi lemak atas permintaan Ojet semalam... ala kadar saja cuma sambal dan telur rebus. Namun hati mak tak tenang. Risau memikirkan 'keselamatan' anak-anak di luar sana.

(nota mak: ketika catatan ini dibuat... hati mak masih tidak tenteram!)

Tuesday, March 26, 2019

Rasa tua...

Bagi yang belum melaluinya tak akan tahu bagaimana rasanya menjadi tua. Dengan tenaga dan keupayaan yang kian berkurangan adakalanya seperti nak marah pada diri sendiri. Cepat semput bila buat kerja walaupun cuma menyapu dan mengemaskan rumah.

Sendi-sendi rasa sakit terutama bahagian lutut. Siksa rasanya bila duduk dan mahu bangun semula. Penglihatan juga tidak lagi 'tajam'. Ketika usia muda dan masih bekerja dulu banyak juga anganan dan impian yang ingin dilaksanakan apabila bersara. Tapi nampaknya tak kesampian.

Menjadi suri rumah sepenuh masa pada usia tua bukan sesuatu yang menyeronokkan. Ianya tidaklah seperti yang diimpikan. Banyak perkara yang tidak mampu di lakukan. Malah daya ingatan berkurangan. Berfikir juga boleh membuatkan rasa penat apalagi berjalan.

Adakalanya seperti mahu menangis memikirkan keadaan diri yang seperti ini. Tapi apakan daya sudah begitu aturan dan kitaran hidup ini.

Tuesday, December 18, 2018

Teman...

Black, kucing baka campuran maine coon dan 
persian. Baru setahun usianya.

.. setiap kali bunyi pintu pagar di buka dia akan 
menjenguk di tingkap melihat siapa yang datang.

Kehidupan selepas bersara agak sunyi. Agak payah juga untuk membiasakan diri. Aku jadi termanggu-manggu tiba waktu pagi. Entah apa yang ingin aku buat. Walau pada sebelah malamnya sebelum tidur sudah di pahatkan dalam hati, "bangun pagi esok nak buat itu... nak buat ini" tapi bila menjelang siang aku seperti orang bingung.

Bersendirian dan suasana yang sunyi membuat aku banyak menghabiskan masa dengan berbaring-baring di katil.

Agak lama juga aku mengambil masa untuk mengatur jadual harian. Rajin dan malas silih berganti memenuhi ruang-ruang hari ku. Sehinggalah satu hari Ojet bawa seekor anak kucing ke rumah.

Ya, dengan kehadiran black sedikit sebanyak menambah keriuhan dan penghapus rasa sunyi. Dialah peneman di kala anak-anak keluar bekerja. Anak-anak pula menganggap black 'adik bongsu'. Sedikit sebanyak telatah, kelincahan dan kenakalannya memberi impak yang besar dalam keluarga aku.

Friday, December 7, 2018

Terbangkit dari lena...

Salam! Tiba-tiba seperti dikejutkan dari tidur yang lena. Seolah tersentak dari lamunan yang tak bertepi. Rupanya 2018 sudah sampai ke penghujungnya.

Terlalu banyak peristiwa yang di lalui sepanjang tahun ini. Tapi dibiarkan berlalu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Keinginan untuk berblog seperti mati. Idea untuk menulis seakan tumpul. Hari-hari yang berlalu terbiar kosong begitu saja tanpa pengisian.

Berita pemberhentian (VSS) kakitangan sebuah syarikat akhbar aliran perdana beberapa minggu lalu seakan mengetuk keras pintu hati. Dan membuat aku seakan terjaga dari mimpi. Tiba-tiba terasa sayu dan hiba. Aku mengenali kebanyakan mereka. Airmata begitu murah ketika bertemu pada hari terakhir di perkarangan bangunan pejabat akhbar tersebut. Masing-masing kini keluar membawa haluan sendiri.

Kembali ke rumah seluruh ruang terasa sunyi, Saat itu aku merasakan seolah rakan-rakan yang aku kenali selama ini telah pergi jauh. Seakannya aku pulak yang kehilangan pekerjaan. Hakikatnya telah dua tahun aku bersara dari dunia pekerjaan.

Saturday, March 31, 2018

Awak tak cakap 'innalillah...!"

Ekoran dari kemalangan yang berlaku semasa dalam perjalanan ke Ja'ranah, group kami agak lewat dari masa yang ditetapkan kembali semula ke Kota Mekah dan memulakan tawaf. Malah ketika sampai di Ja'ranah kami semua tidak turun dan bersembahyang sunat di masjidnya. Jemaah lelaki pula menukar pakaian ihram mereka di dalam bas di bahagian tempat duduk belakang.

Syukurlah ketika di Jabbal Rahmah aku sempat mengambil wuduk malah sepanjang berada di Mekah wuduk aku kekal lama.

Jangan silap sangka, gambar ni dirakamkan 
setelah selesai melakukan saie.

Selesai tawaf dan atas persetujuan semua sembilan belas orang group kami masing-masing bersetuju untuk bersaie dengan menaiki skuter. Setiap orang di kenakan 50 riyal. Tidak di nafikan aku awalnya agak takut juga bersaie dengan skuter... takut tertinggal dan tercicir dari group. Tapi alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.

Elok saja kami menghabiskan tujuh pusingan dan sampai di bukit Marwah, azan asar berkumandang.

Sejujurnya, bagi aku, melakukan saie lebih seronok dan lebih 'feel' jika berjalan. Walaupun letih tapi rasanya kita lebih menghayati apa yang telah dilakukan oleh Siti Hajar dulu. Itu pada pendapat aku.

Ketika berjalan pulang ke hotel kumpulan kami berpecah. Aku berjalan sendirian melalui jalan di hadapan Al Safa Royal Palace. Udara nyaman dan hembusan angin lembut membuat aku rasa seronok berjalan sambil memerhati sekumpulan jemaah Turki melangkah penuh semangat menuju ke pintu masjid.

Kemudian tidak semena-mena tiba sebuah lori kecil diikuti buggy dengan di atasnya ada beberapa orang lelaki Arab berhenti di sebelah aku. Ketika aku menoleh terlihat sekujur tubuh yang sudahpun siap dikapan terbaring di atasnya. Dan aku spontan terjerit kecil "ei! orang mati." Lama aku berdiri di situ memerhatikan jenazah berkenaan di bawa masuk ke dalam masjid.

Sampai di hotel aku ceritakan apa yang aku nampak dengan seorang rakan group. Dia tanya "awak tak cakap 'innalillah...!" Aku cakap tak... aku cuma cakap.."ei orang mati!" Apalagi, kawan tu ketawa bila dengar aku cakap macam itu.

(nota sweetie: Maaflah, sebenarnya ketika melihat jenazah berkenaan di sebelah aku, fikiran aku ketika itu kosong dan blur. Tergamam pun ya juga.)

Tuesday, March 27, 2018

'Jangan lafazkan...' Ini kat Mekah tau!

Walaupun telah hampir tiga bulan berlalu kenangan ketika di Mekah masih segar dan sentiasa dalam bayangan ingatan. Mana boleh lupa... terlalu manis dan indah walaupun terselit juga dugaan dan cabaran. Apatah lagi bila menatap kembali gambar-gambar yang sempat di rakam sepanjang aku berada di sana.

Hari pertama ziarah luar segalanya berjalan dengan baik. 
Cuaca cantik. Jalanraya kelihatan lengang.  Kami di bawa 
ke Tanaem untuk bermiqat.

Ziarah hari kedua kumpulan kami di bawa ke Ja'ranah. Perjalanan bas pastinya melalui Padang Arafah, Mina dan sudah semestinya bas berhenti di Jabal Rahmah. Bukit pertemuan Adam dan Hawa setelah terpisah ratusan tahun lamanya.

Menyaksikan Padang Arafah yang begitu luas dari atas Jabal Rahmah, aku cuba membayangkan bagaimana keadaannya ketika musim haji di mana ribuan umat Islam berhimpun di sana. Aku cuma boleh membayangkan kerana aku belum lagi pernah 'dapat jemputan' untuk menunaikan haji.

Sebahagian Padang Arafah di lihat dari Jabal Rahmah.

Deretan bas yang membawa jemaah di jalan 
berhampiran Jabal Rahmah.

Ketika bas yang aku naiki mula bergerak meinggalkan kawasan 
Jabal Rahmah aku terlihat seorang pemandu bas sedang memasak dalam 
tempat simpanan barang yang telah diubah suai diperut bas.

Jamrah, Mina.

Sebaik melepasi Mina dalam perjalanan menuju ke Ja'ranah sesuatu yang tidak terduga terjadi. Bas yang kami naiki terlibat dalam kemalangan. Hampir sejam juga kami 'tersangkut' menunggu polis datang. Mujurlah tiada sesiapa yang cedera dalam kemalangan ini.

 Lelaki Arab itu cuba mencari penyelesaian tanpa
melibatkan polis. Dan kemek di pintu bas kami sebelah
pemandu akibat perlanggaran.

Kenderaan yang terlibat melanggar bas yang kami naiki 
cuma di pandu oleh budak lelaki dalam lingkungan umur 
lima belas tahun dan tidak berlesen.

Kesesakkan yang berlaku akibat dari perlanggaran ini.

Mengenangkan kembali kejadian yang berlaku... ada sesuatu yang tak mungkin aku lupa dan bakal di kenang sampai bila-bila... dan dijadikan peringatan dan lucu... Bolehlah dikatakan aku saksi kejadian ini kerana aku melihat sendiri bagaimana ianya terjadi... 

Semuanya sungguh jelas di mata aku bagaimana budak lelaki yang memandu kereta berkenaan meluru masuk dan cuba memintas bas yang kami naiki. Dan sedari awal lagi bila aku nampak kereta berkenaan dipandu laju aku sudah berkata-kata dalam hati malah melafazkannya. 

Cukup tiga kali aku melafazkan kata-kata "kena kang ni"... ya serentak dengan itu kami semua dalam bas mendengar dentuman yang kuat. Ada beberapa jemaah di dalam bas yang tercampak dari tempat duduk termasuk mutawif kami.

Dalam keadaan panik dan terkejut itu kami dalam bas masih boleh ketawa bila masing-masing dapat tahu aku yang melafazkan kata-kata 'kena kang ni'. Ustaz mutawif cakap, sebaik aku lafazkan kata-kata itu malaikat mengaminkannya. Ini kat Mekah! Dan kata-kata itu jadi bahan gurauan pulak selepas itu.

(nota sweetie: aku sempat menghantar wasap menceritakan kejadian ini pada Ojet... Ojet cakap "mak punnn, biasa bonar cakap macam tu." Aku cakap, aku terlupa yang aku berada di Mekah! hehehhe...)

Thursday, February 22, 2018

Jarak dan langkah...

Selama di Mekah jarak hotel penginapan aku dengan masjid jauhnya 700 meter dan jalannya agak mendaki sedikit. Ini bermakna setiap waktu solat aku berjalan sejauh lebih satu kilometer. Dan apabila dicampurkan kelima-lima waktu jumlah keseluruhannya 7 kilometer.

Tanpa sedar aku telah melakukan satu rutin exercise sepanjang berada di sana. Sesuatu yang tak mungkin dan dapat aku lakukan di M'sia. Ini belum lagi dikira dan dicampur jarak semasa melakukan tawaf dan sa'ie.

Dan tahu tak berapa banyak langkah dan jarak kilometer semasa kita melakukan tawaf dan saie. Tentulah tak tahu sebab waktu itu kita khusyuk berdoa.

Satu sumber berkaitan dengan jarak dan langkah ketika tawaf dan saie telah aku perolehi dari FB ustaz mutawif yang memandu group kami.

Tawaf: Kiraan langkah ini di buat di tingkat dua, tempat kegunaan kerusi roda. Satu pusingan tawaf kita melangkah sebanyak 902 langkah dengan jarak 670 meter. Untuk tujuh pusingan lengkap tawaf kita melangkah sebanyak 6,314 langkah dengan jarak 5600 meter

Jika kita melakukan tawaf di bawah (dataran kaabah)... lengkap tujuh pusingan jaraknya ialah 3.5 km

Sa'ie: Jarak antara Sofa ke Marwah pula ialah 370 meter dan kalau di kira langkah kita untuk sampai ke Marwah ialah 495 langkah. Bagi melengkapkan tujuh pusingan sa'ei kita berjalan sejauh 2,690 meter.

Lihatlah, dalam melaksanakan ibadat kita juga melakukan senaman. Setiap masuk waktu solat kita gagah berjalan menuju ke masjid dengan fikiran yang tenang dan gembira. Seronok melangkah beramai-ramai dan berduyun-duyun menuju ke satu arah... Masjidil Haram.

(nota sweetie: Ketika berjalan bersama rakan-rakan menuju ke masjid aku cakap, selesai umrah ini tentu aku jadi cantik dan kurus bila balik ke Malaysia. Bila di timbang berat badan aku susut 4 kg. hmmmm!)

Friday, February 16, 2018

Tertidur Keletihan...

Kali pertama berdiri memandang kaabah, hati terasa sebak. Tanpa sedar airmata bergenang.

Bermula dari lampu hijau di penjuru Hajarul Aswad aku mula melangkah... selangkah demi selangkah bersama ribuan umat Islam lain. Setiap pusingan dan langkahku sarat dengan doa. Moga segala kesilapan yang dilakukan dalam sedar atau tanpa sedar selama ini diampunkan yang Maha Esa.

Hingga selesai pusingan yang ketujuh aku berpelukkan dengan rakan yang memimpin sepanjang melakukan tawaf... sambil menyeka airmata yang bergenang di kelopak mata.

Syukur, aku berjaya menyudahkan tawaf dan saie kemudian menggunting tiga helai rambut. Selesai sudah umrah pertama.

Kenangan bersama rakan kumpulan setelah selesai
menyempurnakan tawaf. 

Dalam perjalanan pulang ke hotel nampak banyak kedai-kedai makan di kiri kanan jalan... dan aku lihat ramai orang beratur. Dan bersesak-sesak. Aku ingatkan pelanggan yang menunggu giliran membeli makanan... Rupanya tidak. Mereka mengharapkan sedekah dari pelanggan lain yang lalu lalang di situ.

Menurut ustaz mutawif kebanyakkan mereka itu jemaah yang datang dari India, Bangladesh dan negara yang berhanpiran. Mereka cuma datang dengan duit tambang tanpa tempat penginapan dan duit makan. Melihatkan keadaan itu, terfikir dalam hati, "aku datang dengan duit yang cukup. Boleh beli apa saja yang diinginkan dan makan serta tempat penginapan yang selesa. Betapa besarnya nikmat yang aku perolehi."

Kemudian aku nampak kedai jual nasi beriani, hati tiba-tiba teringin... dan beli sebungkus. Hajat hati ingin makan bersama rakan-rakan sebilik. Tapi sampai saja di bilik aku tertidur keletihan.



(nota sweetie: Paling nikmat, minum air zam-zam usai menyempurnakan tawaf sebelum menuju ke bukit safa untuk memulakan saie.)

Sunday, February 4, 2018

Dugaan lagi, batal wuduk aku...

Aku ini sorang yang agak payah untuk 'lelap'. Sejauh manapun perjalanannya pasti aku tak akan tertidur. Begitulah selama penerbangan menuju ke Jeddah. Sepicing pun aku tak tidur. Mata aku sentiasa melihat ke skrin yang menunjukkan di mana kapalterbang yang aku naiki ini berada.

Ketika kapalterbang hampir melintasi Qarnul Manazil dan sebelum pengumuman di buat oleh pramugari aku ke bilik air dan mengambil wuduk.. solat sunat dan selesai saja aku terus berniat. Seperti yang di pesan oleh ustaz yang memberikan kursus aku membaca niat bersyarat. Kemudian duduk diam-diam sambil menjaga pantang larangnya. Sambil memejamkan mata aku bertalbiah dalam hati... sudah tak sabar rasanya.

Sebaik nampak saja menara jam ini dalam 
perjalanan masuk ke Kota Mekah hati bagai 
diruntun-runtun ingin segera sampai.

Subuh 13 Januari, sebaik melangkah masuk ke terminal airport Jeddah, kami penumpang SV835 di sambut mesra oleh para petugas airport. Ucapan "selamat datang, selamat pagi" tak putus-putus kami terima... mereka menunjukkan arah jalan untuk beratur bagi pemeriksaan imigresen.

Oleh kerana aku datang bersendirian, aku beratur dibelakang ustaz mutawif yang akan 'memandu' group aku sepanjang mengerjakan umrah. Sementara yang lain dari kumpulan aku beratur di barisan lain bersama ahli keluarga mereka. Ya, dalam kumpulan aku, cuma aku sorang saja yang datang bersendirian.

Sambil berdiri menunggu giliran sempat juga aku memerhatikan suasana keliling. Kebanyakan petugas di kaunter imigresennya muda-muda dan 'cantik' dalam jubah mereka berwarna putih. Mereka amat peramah dan sentiasa tersenyum mengatur para jemaah umrah yang baru sampai. Berbeza sangat dari cerita-cerita yang aku dengar sebelum ini yang menggambarkan mereka ini serius dan berwajah bengis.

Line aku berbaris menunggu pemeriksaan pendek saja tapi tak tahu apa masalah di hadapan jadinya agak lama juga aku menunggu... sedangkan rakan-rakan sekumpulan dengan aku di barisan lain semuanya sudah melepasi pintu masuk.

Ketika aku berdiri di kaunter imigresen, petugas lelaki yang tadi kelihatan serius tersenyum dan bertanya pada aku, "nama siapa?"... Aku tanya dia balik, "You can speak Bahasa Malaysia?" dia jawab "no.." dan selamba saja dia menarik tangan aku dan meletakkannya di atas alat pengimbas cap jari.

Dugaan lagi... batal wuduk aku yang memang aku simpan untuk solat subuh kejap lagi. Insiden ini memang buat aku terkejut dan gerammmm!

Keluar dari terminal airport bas yang akan membawa kami seramai sembilan belas orang masuk ke kota Mekah sudah sedia menunggu. Suhu subuh itu sekitar 22 darjah celcius.

Sebaik saja bas yang membawa rombongan kami dari airport berhenti berhampiran hotel penginapan, azan subuh berkumandang dari Masjidil Haram. Syahdu sangat laungannya pada pendengaran aku. Dan aku melihat seperti dalam tv barisan orang ramai bersembahyang di atas jalanraya.

(nota sweetie: dicatat sebagai kenangan)

Wednesday, January 31, 2018

"Perjalanan yang indah!.."

Aku sedar, aku ini serba kekurangan dan naif dalam hal agama. Kala orang lain dalam usia aku ini sudah beberapa kali mengerjakan umrah dan haji, namun bagi aku inilah pertama kali. Kerisauan itu tetap tidak mahu berganjak dari hati. Lebih-lebih lagi aku pergi bersendirian tanpa di temani suami dan anak-anak.

Aku terfikir juga nak ajak seseorang sebagai teman ke sana... Yelah, pergi umrah ini bukan macam pergi melancong, senang-senang orang nak ikut. Banyak faktor yang perlu di ambil kira.

Dalam berkira-kira nak ajak siapa... aku teringat rakan sekolah masa darjah 6 dulu. Tak sangka pelawaan aku disambut baik. Dia bersetuju malah suami dan anak-anaknya juga ikut sekali. Persetujuannya ini memberi nafas lega kerana pada aku dia bukan saja sebagai teman malah tempat rujukan pada aku nanti. Dialah blogger yang aku maksudkan... seorang bekas guru dan ustazah di salah sebuah sekolah berasrama penuh.

Dan sehari sebelum berlepas, ada juga beberapa orang bekas rakan kerja dulu yang sudahpun mengerjakan ibadah umrah dan haji menalipon memberikan kata-kata semangat, tips serta doa-doa agar segalanya di permudahkan:

"Rabbi yassir wala tu' assir, rabbi tammin bil khoir" 

Rasanya inilah perjalanan paling indah pernah aku lalui... teringat lagi aku bagaimana rakan-rakan yang baru aku kenali yang duduk sebelah menyebelah dalam kapal terbang mengajar aku bagaimana mengambil wuduk dengan botol air spray.

Alhamdulillah berkat keazamanan ingin melakukan sesempurna mungkin, akhirnya  dipermudahkan jalan dan aku selamat menjejakkan kaki di Tanah Haram pagi subuh 13 Januari 2018. Lewat sehari seperti yang di jadualkan.