Thursday, December 17, 2015

Inilah realitinya...

2015 hampir melabuhkan tirai... Untuk beberapa minggu kebelakangan ini kesihatan aku tidak 'membenarkan' untuk mencatat apa-apa pun di blog. Tinggallah catatan kembara UK setakat ini saja...Walaupun masih banyak kenangan yang tersimpan dalam ingatan...

Menatap kembali satu-satu gambar ketika abang konvo, hati tertanya-tanya sendiri... Segalanya seolah mimpi. Empat tahun melepaskannya sendirian berada di negara orang dengan harapan dan impian seorang emak...

Kerana kembaranya menuntut ilmu di UK secara tidak langsung membawa aku sekali ‘mengembara’ di bumi Ratu ini...

Expresi happy seorang emak...
"...dah dapat master... abang punya!"

Yakinnya aku menyerahkan kepercayaan padanya ‘memimpin’ aku berjalan-jalan ke sana kemari. Kefasihannya berbahasa Inggeris dengan telo UK adakalanya mendapat perhatian dari penduduk tempatan sendiri. Sehinggakan mereka bertanya, adakah dia rakyat Britain.

Selama dia di United Kingdom adalah dua kali aku ke sana. Kali pertama dua tahun dulu masa winter. Ya, jika sekadar untuk berlibur-libur dan melancong... tentulah tidak. Ketika itu rindu padanya seringkali bertamu. Dan dia pun acapkali talipon bertanya bila aku nak datang. Akhirnya aku gagahi juga menjenguknya di sana. Dalam bajet yang ciput dan menempuh musim sejuk yang tak pernah aku bayangkan bagaimana rasanya. Akhirnya aku dapat tahu, dia homesick dan rindukan aku jugak!

Sepanjang berjauhan dengannya berbagai rasa menjentik hati dan menjenguk perasaan. Kadang-kadang seperti ada sesuatu yang berkata dalam diri... ‘memberitahu’ keadaan dia di perantauan sana. Itu belum lagi bila memikirkan kata-kata ‘nakal’ orang keliling-keliling... “...percaya ke biarkan dia sorang-sorang di negara omputih...” Peritnya jiwa bila mendengar dan menepis segala kata-kata yang tak sedap di dengar. Setiap saat rasanya doaku tak putus-putus untuknya.

Ada kalanya tak semena-mena aku jadi risau dan asyik terfikirkan tentang dirinya.  Makan ke dia.. sihat ke dia... Bila tiba bulan puasa, tak tersuap rasanya nasi bila terkenangkannya. Apalah yang di makannya. Ada kalanya aku tak mampu nak masak makanan yang menjadi kegemarannya di rumah.

Pernah selepas tiga bulan di UK, dia talipon beritahu duit tajaan tak masuk lagi. Ingat lagi kata-katanya ketika menalipon aku, “mak kalau duit tak masuk jugak dalam minggu ni, merempatlah abang!” Tidak keruan hati aku mendengarnya. Entah pada siapa mahu mengadu. Menangis memikirkannya.

Bila dengar dia tak sihat, demam atau sakit kepala, rasa ingin terbang dan berada dekatnya. Bila dia suka dan beritahu keputusan examnya aku rasa  mahu melompat-lompat... seronok mendengarnya.

Kini semuanya jadi kenangan. Aku tahu dan dapat rasakan luka dan kecewa di hatinya kerana impian untuk meneruskan pengajian di peringkat Ph.D dalam bidang ekonomi dan politik terpaksa di lupakan kerana kewangan...

Harapan aku semoga dia sukses dalam kerjaya. Sabar dan tabah menempuh dugaan hidup. Inilah realitinya... Tidak semua yang kita mahu dan inginkan boleh di 'capai' dengan mudah. Berusahalah sayangku...Ingatlah! walau di manapun berada doa mak sentiasa menemani abang. Jangan sesekali berputus harap dan membiarkan kekecewaan membelenggu hidup kita. Tak mengapa jadi seperti kura-kura... lambat dan merangkak-rangkak untuk sampai ke garisan... Apa gunanya jadi arnab tangkas dan pantas berlari tapi akhirnya kalah kerana kealpaan.

Wednesday, November 25, 2015

Little Venice dan Camden Lock Market...

Di sinilah untuk menunggu bot ke Camden. Cuma 15 minit 
berjalan kaki dari stesen tube Edgware Road.

Bersiar-siar dengan bot di London Little Venice.

Melengkapkan kembara perjalanan dan percutian kami... dah tentulah membeli serba sedikit barang sebagai kenang-kenangan tanda kami dah sampai United Kingdom. Tak ada apapun.. cuma anak-anak terutamanya Ojet yang membeli lebih ‘sikit'.

Tapi kami tak ‘bershopping’ di Oxford Street tu. Dah tentu mahal... kawasan tumpuan pelancong. Kami pergi tempat yang jarang orang M’sia pergi.... Camden Lock Market. Malah ketika kami berada di Camden... tak jumpa pun orang Malaysia.

Baki empat hari di London sebelum pulang ke tanahair aku anak beranak berjalan-jalan di beberapa tempat. Bergambar kenangan sana sini. Dan paling tak lupa kami ke London Little Venice.

Melalui kawasan Regent Park.

 Melalui Zoo London.

Pemandangan sepanjang laluan menuju ke Camden. 
Musim panas ketika ini... pokok rendang menghijau di kiri 
dan kanan terusan.

Terletak di utara Paddington di mana Grand Union dan Terusan Regent bertemu. Dengan harga tiket lapan pound seorang kami bersiar-siar menaiki narrowboat menikmati jalan air menyusuri terusan menghala ke Camden. Tenang dan jauh dari kesibukan. Di kiri kanan terdapat cafe dan rumah-rumah bot.

Sepanjang lebih kurang satu jam ‘pelayaran’ kami melalui terowong air, Regent Park dan Zoo London. Ada juga penumpang bot yang ingin ke zoo menggunakan pengangkutan air ini.

Melalui terowong yang sempit dan panjang. Sebelum 
memasuki terowong ini bot yang datang dari arah bertentangan akan 
berhenti untuk memberi laluan kepada bot kita naiki.

Sebelum sampai di terminalnya di Camden, bot akan 
melalui satu castle yang di panggil Castle Pirates.

Berhenti dan turun saja di Camden aku terpinga-pinga. Orang sungguh ramai dan sesak. Tak tahu ke mana hala nak di tuju. Ikut saja langkah kaki. Bersesak-sesak. Macam-macam bangsa ada. Tapi tak jumpa pun orang Malaysia. Mungkin tempat ni tak famous di kalangan orang Malaysia.

Kalau suka dan pandai tawar menawar bolehlah 
datang ke Camden Lock.

Dan berada di Camden Lock... kita merasakan seolah-olah berada di negara lain... bukan di UK. Begitulah... Peniaga-peniaganya ada yang dari Korea, India dan Middle East. Begitu juga para pengunjungnya. Gerai-gerai makanan juga berlambak-lambak. Barang-barang jualannya dari kain baju hinggalah kepada hiasan rumah.

Suasana di Camden Lock Market ini lebih kurang macam Petaling Street di KL. Ala-ala pasar malam. Boleh tawar menawar. Baju yang berharga 25 pound boleh di tawar sampai 5 pound. Kalau pandai memilih boleh dapat cantik-cantik.

Thursday, November 19, 2015

Menjejaki Harry Potter dan misi mencari Hogwarts...

Sebelum berpisah dan serahkan kunci rumah pada Diana.

Kembali dari Isle of Skye semua kepenatan. Tidak ada upaya untuk memasak. Order online saja di Just Eat. Boleh pilih nak makan apa dan dari restoran yang menyajikan makanan halal. Kejap saja dah sampai depan pintu.

Sebelum masuk tidur pesan dengan anak-anak. Kemaskan pakaian siap-siap. Jangan sampai ada yang tercicir.

Pagi... kakak aku dah bangun. Aku pun. Macam biasa sebelum memulakan perjalanan kami siapkan bekal. Yang simple saja... sandwich dan nasi goreng. Itu saja yang senang.

Diana datang dan menunggu kami di bawah. Senyumannya meleret dan bertanya adakah kami selesa selama tiga hari menginap di homestay miliknya. Aku berani rekomen pada kawan-kawan... sewanya murah, rumah pun cantik. Kalau ada yang ingin ke Edinburgh boleh menginap di sini.

Sebelum pulang ke Sheffield dan meninggalkan Edinburgh kami singgah sebentar di Royal Mile lagi. Masing-masing rasa tak puas dan seakan enggan meninggalkannnya.

Aku pun. Yang di ‘cari’ belum bertemu. Si jejaka Harry Potter. Ingin sekali singgah di Hogwarts tempat dia ‘menuntut ilmu’. Hahahah... aku memang suka malah menonton kesemua sirinya. Pada lelaki mat saleh yang menegur aku di Royal Mile tempohari ada aku bertanyakan... di mana Hogwarts School.

Alnwick Castle yang dikenali juga sebagai Hogwart kerana 
menjadi lokasi penggambaran filem Harry Potter.

Padang memanah. Gambar ini aku ambil dari atas
 kubu pertahanan castle. Zaman ia didiami serangan sering
datang dari Scotland.

Apapun dengan berat hati kami tinggalkan Edinburgh. Kali ini kami tidak ikut jalan yang sama ketika datang. Maksudnya kami tidak akan melalui Jedburgh. Kami melalui A199 kemudian keluar ke A1. Sepanjang jalan kami nampak laut iaitu Laut Utara. Sehingga sampai di Berwick-upon-Tweed sempadan Scotland dan England.

Kami mencari tunjuk arah ke Alnwick daerah Northumberland. Masuk saja England... pemandangan kembali kepada biasa. Ladang-ladang gandum dan ternakan. Kali ini Ojet jadi penunjuk arahnya dan tukang baca signboard.

Tidak nampak lagi laut... Luas daerah Northumberland ini. Aku rasa ladang gandum yang paling luas sekali tentu di Northumberland. Kalau tengok kat UK ni ada macam-macam jenis jenama roti, rupa dan rasa. Besar-besar dan murah. Tak ada pun yang melebihi dua pound (ikut nilai duit mereka jgn convertkan ya). Sebabnya setiap kawasan ladang akan mengeluarkan produk roti mereka sendiri. Jadi persaingan itu banyak. Harga tetap sama tapi mereka bersaing dari segi rasa, rupa dan saiz serta kepelbagaian produk.

Harimau Putih... keluaran Warburtons. Besar dan 
cantik roti ni. Memang menarik perhatian aku apabila ternampak 
ianya tersusun di atas rak-raknya bersama roti-roti lain.

Sepanjang di UK aku jadi ‘wartawan’ tak bertauliah kejap. Suka benar bertanya itu ini... Sampaikan berapa gaji minima setiap pekerja di sana pun aku tanya. Sewa rumah, penjagaan anak dan pendidikan sekolahnya.

Kawasan dalam castle. Cantik seni binanya.

Di sini selalunya di adakan aktiviti untuk kanak-kanak 
dan 'naik' penyapu terbang. 

Akhirnya lewat tengahari kami sampai di Alnwick Castle atau popular dengan panggilan Hogwart. Luas juga kawasan castle ini. Siap dengan kubu pertahanan, bilik tahanan bawah tanah dan taman-taman bunga serta sayurnya. Tapi aku tidak sampai ke tamannya kerana untuk masuk ke taman lain harga tiketnya. Ada bilik penyembelihan dan penyimpanan daging serta 'galeri berbisik" dimana kita boleh bercakap secara berbisik dengan orang yang bersebelahan dinding. Dinding Alnwick Castle setebal tujuh kaki.

Dengan harga tiket empat belas pound sorang aku terkesima sekejap melihat hiasan dalam castle. Klasik dan di susun letak seperti asal katanya. Ukiran-ukiran, lukisan dan potret pemiliknya dulu. Meja, kerusi baldu bewarna maroon bersalut emas dan antik sungguh. Dipamerkan juga baju-baju yang di pakai oleh Lord dan Lady yang mendiaminya dulu. Selama ini cuma tengok dalam drama saja para pelakonnya mengenakan pakaian sedemikian rupa untuk melakonkan watak orang-orang kaya Inggeris.

700 tahun dahulu castle ini didiami oleh keluarga Percy dan merupakan istana terbesar di UK.

Dari ruang tamu hinggalah ke ruang dapurnya aku masuk. Mereka memasak guna dapur kayu. Periuk belanganya juga. Tapi tak semua ruang boleh di masuki. Dan juga tidak di benarkan mengambil gambar. Luas dan berbelit-belit. Ada banyak tangga-tangga. Dan pintu-pintu. Masuk sini nanti boleh keluar sana. Ada bilik-bilik rahsia dan bilik tahanan bawah tanah.

Dungeon... ada bunyi sound effect 
orang mengerang... menakutkan bunyinya.

Barangkali kerana ia pernah di gunakan sebagai lokasi penggambaran filem Harry Potter ada bilik naga. Masuk dalam bilik ini eloklah berkawan. Gelab suram dan pening nak cari jalan keluar. Hehehe... mak pun terjerit-jerit jugak panggil Ojet. Kalau teringin nak pakai gaun-gaun klasik itu pun ada di sediakan. Boleh ambik gambar lepas tu.

(nota mak: Tak jumpa Harry Potter. Dia dah graduate dan pergi melawat ladang gandum hari itu... Hanya bawak balik key chain Gryffindor sebagai kenangan.)

Wednesday, November 18, 2015

Bermimpilah...

Perjalanan pulang... hari kian senja... Gunung-gunung 
sudah berselimut kabus. Barangkali juga ingin mengucapkan 
selamat malam pada kami...

Seharian memandu sambil menyusuri kaki gunung, meredah segenap sudut di kawasan tanah tinggi Scotland. Menyaksikan scenary alamnya yang menakjubkan. Terbentang di depan mata satu pemandangan yang sungguh berbeza dari kebiasaan yang aku lalui hari-hari.

Kawasan alam semulajadi yang langsung tidak terusik. Ketika ini musim panas, pokok-pokok menghijau subur. Aliran air sungai yang jernih.. sejuk dan jadi tempat ikan-ikan salmon bertelur apabila tiba musimnya.

Tasik-tasik yang di penuhi air... di kelilingi gunung-gunung dan tetap utuh tanpa di cemari sebarang aktiviti yang boleh merosakkan ekologinya. Hutan-hutan pokok pine yang cantik dan tumbuh tersusun. Glacier dan berkabus serta bongkah-bongkah batu besar seakan melengkapkan seni alamnya. Merenung puncak gunung-gunung yang menjulang tinggi seakan menggamit rasa untuk cuba mendakinya.

Udaranya pun segar. Apabila berhenti dan dapat keluar dari kereta aku sedut nafas dalam-dalam. Terasa sejuk dan terbau keharuman daun-daun.

Terdapat banyak rumah-rumah penginapan dan hotel 
di kawasan highland ini... salah satunya Atholl Arms Hotel 
yang terletak di jalan B8079. 


Singgah sebentar di Atholl Arms menumpang
untuk 'membersihkan' diri.

Kami tinggalkan kawasan tanah tinggi ni dengan seribu kenangan. Bermimpilah untuk sampai ke sini lagi. Dalam perjalanan balik laju kereta kami membelah keheningan senja. Meliuk lintuk dedaunan tumbuhan kecil di kiri kanan jalan apabila terkena angin pecutan kenderaan kami seakan melambai dan mengucapkan selamat jalan.

Tuesday, November 17, 2015

Menunggu dan mengintai Nessi...

Sama ada ianya benar atau fiksyen atau sekadar mitos. Selain daripada wiski, bagpipe dan kilt ia juga merupakan satu tarikan ke kawasan tanah tinggi Scotland malah terkenal ke seluruh dunia. Di katakan menjadi penghuni Loch Ness setiap pelancong yang datang pasti mengharapkan kelibatnya.

Beginilah rupa nessi menurut gambaran penduduk 
tempatan yang dikatakan menghuni Loch Ness.
(Pix pinjam Google)

Di kelilingi oleh gunung-gunung... Loch Ness paling
panjang dan dalam di antara puluhan tasik yang terdapat di kawasan 
highland ini. Airnya juga sangat jernih.

Salah seorang pemburu Nessi.. hehhehe... 

Selama 70 tahun ‘pemburu’ tidak berhenti-henti dan berputus asa mencarinya. Malah satu dokumentari mengenainya di terbitkan pada tahun 2003 dan usaha itu dijalankan oleh satu pasukan penyelidik yang ditaja Perbadanan Penyiaran British (BBC). Seluruh tasik di rayau menggunakan sonar dan navigasi satelit.

Malah terdapat sekumpulan orang-orang yang yakin tentang kewujudannya telah memohon satu undang-undang bagi melindunginya. Walaupun hanya sekadar simbolik pelancongan. Loch Ness adalah satu tasik yang memiliki keindahannya yang tersendiri. Paling dalam di antara tasik-tasik yang terdapat di tanah tinggi ini dan panjang. Di penuhi berbagai jenis ikan, belut dan hidupan bawah air lainnya termasuk seekor raksaksa/dinosour yang di panggil Nessi oleh penduduk tempatan.

Digambar sebagai haiwan gergasi yang berleher panjang dan menurut mitos gereja Katolik... kononya ia pernah mengancam seorang lelaki di Sungai Ness. Walaupun ia sekadar catatan untuk mengiakan tentang kewujudan binatang itu.

Mengintai-ngintai nessi.

Bersedia dengan kamera untuk mengambil 
gambar nessi kalau ia timbul. Hehehheh..

Tidak susah untuk mencari lokasi Loch Ness ini. Tanyalah pada penduduk tempatan sekitar perkampungan tanah tinggi Scotland ini. Pasti mereka akan tunjukkan arahnya. Walaupun hari telah lewat benar tapi aku dan keluarga masih berlegar-legar di kawasan highland ini dan berharap untuk bertemu dengan Nessi yang di gembar-gemburkan sekian lama.

Dari Invermoriston akan jumpa simpang, kiri dan kanan. Kedua-duanya boleh ikut kalau hendak ke Loch Ness kerana kedua-dua simpang dan jalan ini menyusuri tebing Loch Ness. Satu simpang menghala ke Fort Augustus. Satu pekan kecil yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang ingin bermalam di kawasan ini dan jeti bagi yang ingin menaiki bot untuk bersiar-siar di atas Loch Ness. Satu simpang lagi menuju ke urquhart castle. Dari urquhart castle ini pemandangan ke Loch Ness sungguh cantik. Anginnya segar dan sejuk sekali.

Urquhart castle yang menghadap 
ke Loch Ness... hanya tinggal runtuhan.

Sunday, November 15, 2015

Eilean Donan Castle...

Selamat tinggal Isle of Skye. Akan jadi kenangan selamanya...

Lewat petang... kami tinggalkan Isle Of Skye dengan hati yang berat. Gerimis makin lebat. Suasana persekitaran kosong dan sunyi. Memang tidak ada kenderaan yang bergerak di  jalanrayanya. Hanya kereta kami saja. Di sini pelancong di sarankan berjalan kaki untuk menikmati keindahan alam semulajadinya.

Untungnya ketika ini summer. Waktu siangnya panjang. Dalam perjalanan balik ke Edinburgh dapat juga kami singgah di beberapa tempat lagi. Sekadar bergambar untuk ‘mengutip’ kenangan. Sebaik masuk semula ke tanah besar Scotland kami singgah di Eilean Donan Castle.

Eilean Donan Castle. Istana paling cantik di Scotland.


 Nampak rumpai-rumpai tasek terdampar.  
Ketika ini air tasek sedang surut. (Model: kakak aku dan 
'anak-anaknya') hehehh.

Terbina di atas sebuah pulau di mana tiga tasik laut yang besar bertemu dan kerana itu airnya mengalami arus pasang surut. Air tasik-tasik ini masuk dari Lautan Atlantik Utara. Terletak di perkampungan Dornie dan ia merupakan laluan utama pelancong ke Isle of Skye.

Eilean Donan Castle merupakan salah satu imej paling ikonik di Scotland. Pemandangan di sekitarnya sungguh cantik dan merupakan tarikan utama pelancong di kawasan tanah tinggi Scotland.

Sedikit tentang ringkasan sejarahnya, ia dibina dan didiami pada abad ke-6 dan menjadi tempat kediaman pemerintah tanah Kintail. Sebahagiannya pernah musnah dalam satu pemberontakan pada tahun 1719. Sehinggalah seorang Leftenan Kolonel membeli pulau itu dan membaikpulih castle tersebut selama dua puluh tahun.

Untuk masuk ke dalam castle ada jambatan yang menghubungkannya dengan tanah daratan. Tapi apabila air laut surut air tasik ini juga turut surut dan akan kelihatan daratan. Oleh kerana kedudukannya di kawasan tanah tinggi dan di kelilingi oleh gunung-gunung persekitarannya sejuk dan berkabus.



Denai pejalan kaki menuju ke Dornie village.

Pun kami tidak lama di sini. Hari semakin lewat dan hujan kian lebat. Dalam basah-basah dan kesejukkan itu kami bergambar-gambar jugak.

Thursday, November 12, 2015

Sejuknya air Lautan Atlantik...

Selepas kejadian di Glen Moriston kami semakin berhati-hati. Apabila berhenti masing-masing akan sentiasa mengingatkan tentang untuk menarik handbrake.

Skye Bridge yang menghubungkan antara tanah besar 
Scotland dan Isle Of Skye. Jambatan ini juga melalui satu 
pulau kecil yang terletak antara Isle Of Skye dan 
tanah besar. Ada rumah api di situ.

Lewat petang... sedar tak sedar kami telahpun berada di atas skye bridge. Jambatan yang menghubungkan antara tanah besar Scotland dan Isle Of Skye. Tinggi dan panjang jambatan yang merentasi Loch Alsh ini dimana airnya mengalami pasang surut ekoran kedudukan Isle of Skye ini di kawasan perairan Lautan Atlantik Utara.

Owh! seakan rasa dalam mimpi... Aku telah melangkaui tanah besar Scotland dan Britain dan sampai di kawasan kepulauan Isle. Ada banyak pulau-pulau terpencil lagi tapi kami cuma sempat berada di Isle Of Skye... pulau yang paling besar dan paling hampir dengan tanah besar. Lagipun kalau untuk ke Isle of Harris, Isle of Lewis dan Uist dah tentu tak sempat dan kena bermalam di Isle Of Skye kerana kedudukannya jauh ketengah dan terpaksa menaiki bot.

Di belakang... Kapal kaca Atlantis yang membawa 
pelancong yang ingin menyaksikan hidupan laut.

Pada awalnya sebelum datang ke Scotland memang kami cuba cari hotel di sekitar Portree tapi semuanya sudah penuh. Ini kerana  Skye adalah salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Scotland dan pernah dinobatkan sebagai pulau keempat terbaik di dunia oleh majalah National Geographic.

Aku memanglah berangan untuk berjalan-jalan di pantai-pantai Scotland. Menyaksikan pelbagai habitat hidupan liar seperti burung laut, singa laut, ikan lumba-lumba dan paus. Merayau-rayau di Coastal Townnya. Malah Scotland memiliki beratus-ratus pulau terpencil, masing-masing mempunyai landskap yang unik kesan-kesan geografi purba akibat hakisan ombak. Dan di sini terdapat satu kolam yang di panggil Fairy Pools yang terletak di kaki gunung hitam Cuillin.

Pelancong yang ingin menyaksikan kehidupan laut pula akan di bawa dengan menaiki kapal Atlantis ke satu kawasan di mana terdapatnya hidupan liar ini. Ada harga yang di kenakan mengikut tempat yang ingin di lawati. Penumpang akan turun dan duduk di bahagian bawah kapal yang di perbuat daripada kaca dan dapat melihat seluruh pemandangan di dasar laut. Malah di bawa juga melihat kawasan dan kapal karam pada Perang Dunia ke 11.

Loch Alsh mengalami pasang surut kerana 
ia bersambung dengan Lautan Atlantik.

Kyleakin coastal town.

Rumah-rumah kediaman di kaki bukit 
dan menghadap ke laut.

Ketika kami sekeluarga berhenti di Kyleakin hujan rintik-rintik. Bukak saja pintu kereta angin sejuk menerpa. Anak-anak berlari ke gigi air. Mencelupkan kaki dan merasai kesejukkan air Lautan Atlantik. Sejuknya seperti air yang kita simpan di dalam peti ais.

Kerana hari telah lewat petang, kami tidak lama di sini. Kami harus pulang semula ke Edinburgh. Kedudukan Edinburgh dengan Isle Of Skye ini memang jauh. Jauh perjalanannya seperti jauhnya perjalanan ketika kami dari Sheffield ke Edinburgh. Macam tulah lebih kurang. Untungnya ketika ini musim panas jadi waktu siangnya lebih panjang. Tapi kedai-kedai dan premis perniagaan tetap di tutup pada pukul lima petang. Ketika aku dan abang masuk ke satu-satunya restoran yang ada di sini, pelayan restoran memberitahu mereka hampir menutup perniagaan. Cadangnya kami ingin makan seafood. Bila mereka kata perniagaan mereka hampir tamat kami masuk ke cafe yang terletak bersebelahannya.

(nota mak: Kalau menang loteri aku ingin datang lagi ke Isle Of Skye ini... khahah!)

Wednesday, November 11, 2015

Kejadian yang takkan dilupa seumur hidup...

Kawasan Shielbridge...sepanjang jalan-jalan yang
kami lalui memang lengang dan tak banyak kenderaan.


Melihat gunung-gunung yang menjulang tinggi di kiri dan kanan jalan sepanjang perjalanan kami ke Isle of Skye... aku berborak-borak dengan kakak aku.

“Agak-agak kalau aku panjat berapa hari agaknya boleh sampai atas sana ye long!”

“Aku rasa....  kalau kau... hmmmm sebulan kot!”

“Eh! takkan lah!”

“Tinggi tu... lagipun batu-batu je. Mesti licin. Ntah-ntah kau tak sampai langsung atas sana!”

Dalam perjalanan ini kami ‘jumpa’ empangan. 
Kalau tak silap empangan ini pernah dijadikan lokasi 
penggambaran filem James Bond.

Di sinilah kereta kami menggelongsor ke depan
ketika sedang mengisi minyak.

Entah berapa lama kami memandu dan berada di kawasan pergunungan ini. Seingat aku... sepanjang perjalanan sebelum menyeberangi Skye Bridge... kami berhenti dua kali untuk mengisi minyak. Dan satu kejadian yang tak akan aku lupakan seumur hidup ketika ‘mengembara’ di tanah tinggi Scotland apabila kereta kami menggelongsor laju masa mengisi minyak di Glen Moriston. Gara-gara terlupa menarik handbrake.

Aku menjerit sekuat hati. Cemas kerana ketika itu anak-anak dan kakak aku berada di dalam kereta. Aku berdiri kaku... tak tahu apa yang perlu dibuat. Hanya mampu memandang abang dan Ojet terseret sama ketika cuba keluar dari kereta. Sepasang suami isteri kulit putih yang ada di tempat kejadian juga terdiri kaku melihat kejadian di depan mata mereka.

Daryl suami adik aku juga turut terseret ketika cuba mengejar dan masuk ke dalam kereta untuk menghentikannya. Alhamdulillah Daryl sempat menarik handbreak dan mendapat tepukan dari sepasang suami isteri kulit putih yang menyaksikan kejadian itu.

Meneroka kawasan highland...

Sejuk, dingin dan berkabus...

Simpang... mana-mana boleh ikut tapi kami membelok ke kiri 
menghala ke Spean Bridge. Journey kami kembali bermula...

Anak-anak telah di beritahu. Minta mereka bangun awal pagi untuk bersiap. Kakak aku pulak dah sediakan sandwich untuk di buat bekal dalam perjalanan. Hari ini kami ingin 'bersiar-siar' di kawasan highland. Dan dalam perjalanan ke Isle Of Skye. Masa perjalanan untuk sampai ke tempat yang di tuju pun tidak dapat di pastikan. Macam ketika kami datang ke Edinburgh. Kami mungkin berhenti di mana-mana atau mungkin juga sesat. Sepanjang memandu di UK memang kami tak guna GPS pun.

Dari Leith kami memandu menuju ke Queensferry dan melintasi jambatan Forth Road Bridge. Mulanya aku ingatkan akan memandu dan menaiki Forth Bridge dan bercadang nak berhenti di situ untuk mengabadikan kenangan. Rupanya Forth Bridge hanya untuk laluan keretapi saja. Forth Bridge ni jambatan yang berwarna merah yang merentasi muara sungai Forth dan airnya mengalir masuk ke Laut Utara.

Di kiri ialah Forth Road Bridge dan di sebelah kanan
yang berwarna merah ialah Forth Bridge. (Pix pinjam 
dari Google).

Sebaik melintasi muara sungai Forth kami memandu ikut tanda arah ke Perth iaitu A9. Sepanjang laluan itu tidak ada apa yang menarik perhatian cuma kawasan ternakan dan  pokok-pokok pine dan jambatan yang merentasi sungai-sungai kecil. Sehinggalah hampir sampai di Pitlochry kami mula 'membaca' signboard-signboard yang di tulis dalam 'tulisan' yang payah untuk di sebut. Pelik dan berpintal lidah nak menyebutnya. Abang cakap itu tulisan dalam bahasa Gaelic. Sebahagian penduduk Scotland terutamanya country village menggunakan bahasa Gaelic.

Kawasan letak kereta Atholl Road, Pitlochry. Masing-masing 
ambil peluang untuk makan bekalan yang di bawa.

Kenangan bersama anak-anak di Pitlochry.

Kami berhenti sekejap di tourist information, Pitlochry untuk mendapatkan peta. Cuaca sungguh sejuk walaupun summer. Udara terasa segar dan bernafas pun 'sedap'. Apa yang menariknya setiap April hingga penghujung September di Pitlochry ini ialah melihat ratusan ikan salmon melompat tangga-tangga yang dibina untuk melepasi empangan setinggi 86 meter dan menuju ke hulu sungai untuk bertelur.

Dari Pitlochry kami memandu ikut A86 menghala ke Spean Bridge. Journey kami kembali bermula... Dan selepas itu kami nampak banyak signboard tertulis perkataan 'loch'. Setelah beberapa kali terjumpa perkataan itu barulah aku faham ia merujuk kepada tasik... sebab setiap kali nampak signboard yang tertulis loch... pasti ada tasik berhampirannya.

Cantik sungguh pemandangan dan landskap di sepanjang perjalanan kami. Sungguh dramatik. Kami melewati kawasan pergunungan yang menghijau. Terdapat banyak tasik-tasik. Kecil dan besar. Dan tasik-tasik ini mengalami air pasang surut. Aku agak pelik macam mana ianya berlaku tapi itulah yang kami lihat ketika perjalanan pergi dan balik.

Semakin jauh kami 'meneroka' semakin cantik pemandangan di hadapan kami. Dari puncak-puncak gunung di kiri kanan jalan kami melihat aliran anak-anak sungai mengalir turun di celah-celah batu. Dan nun jauh di puncak gunung kami nampak glacier. Ada kalanya puncak-puncak gunung tersebut di selubungi kabus. Walaupun summer tapi suasana di kawasan tanah tinggi ini lembab dan sejuk.

Glacier... Kakak aku yang mula-mula nampak. Bila dia 
kata ada salji kami cakap mana ada salji musim panas. 

Tengok macam mana National Nature Reserve di tulis 
dan di sebut dalam bahasa Gaelic.

Anak-anak sungai yang mengalir turun dari 
celah-celah batu gunung.

Sunday, November 8, 2015

Kalau tak di kenangkan...

Penatnya usah cerita. Separuh hari kami menghabiskan masa di Royal Mile dan kawasan-kawasan sekitarnya. Masing-masing pun dah berpecah-pecah. Aku berjalan dengan Ojet. Abang pulak dengan umminya. Menyusur sepanjang kaki lima kedai. Keluar masuk... Rasa macam nak beli semua barang yang di tengok. Kalau tak dikenangkan pasal nilai ringgit yang kian ‘jatuh’... tak tahulah. Macam-macam ada. Dari kasut, beg, baju, payung dan macam-macam lagi... semua ber'trademark'kan corak pakaian Scotland tu. Cantik-cantik.

Gerai Malaysia. Ada sate, laksa, 
rojak dan macam-macam lagi.

Pelabuhan Leith waktu malam. Kelihatan kapal-kapal 
besar sedang berlabuh. Ocean terminal ini cuma di hadapan 
homestay yang aku duduk.

Aku juga di sapa oleh sorang lelaki kulit putih... dengan ucapan ‘assalamualaikum!’ Begitu fasih sekali. Kami berbual-bual sekejap. Katanya dia pernah datang ke Malaysia. Pergi Cameron Highland, Taman Negara dan singgah di Menara Berkembar Petronas. Seronok dan bangga aku bila dia memuji tentang keindahan Malaysia.

Ketika sedang leka mengambil gambar aku tercium bau yang sedap sangat. Rasa-rasa macam ‘kenal’ je dengan bau tu. Tapi aku buat tak endah saja. Bila berpaling ke belakang rupanya gerai-gerai yang menjual makanan sempena fringe festival tu. Dan betul-betul di belakang aku gerai Malaysia yang menjual laksa. Mula-mulanya teringin sangat nak makan tapi ntah kenapa bila tengok peniaganya lelaki China aku tak jadi beli. Takut tak halal...

Nampak macam 'grand' sangat... tapi cuma gulai sardin.

Hidangan ringkas yang sempat aku sediakan untuk
makan malam setelah seharian berjalan.

Sebelum balik ke homestay aku singgah di mini market. Masing-masing dah mengeluh lapar. Malam tu penat-penat pun memasak jugak. Mungkin kerana terlalu letih berjalan... malam aku tak boleh tidur. Seluruh badan sakit-sakit. Kaki rasa lenguh-lenguh. Entah dari mana datangnya idea... aku rendamkan kaki dengan air suam di dalam bilik air. Aghhh!

Merendamkan kaki dengan air suam dalam bathtab.