Wednesday, September 18, 2019

Grand Place... Warffle... Coklat... Curos... Agora dan Manneken Pis...

(catatan siri jalan-jalan Europe 21)

Hari ini memang badan rasa terlalu penat dan tak larat. Ikutkan hati memang tak mahu pergi ke Grand Place. Nak duduk saja dalam kenderaan dan lelapkan mata.

Pemandu kenderaan menurunkan kami di Boulevard de Berlaimont. Kemudian mak dan rakan berjalan menyusuri kaki lima kedai sejauh 600 meter untuk sampai ke Grand Place.

Bangunan Dewan Perbandaran Brussels yang berciri gothic, 
mewah dan klasik. Ketika berada di sini bermacam aksi pengunjung 
boleh di lihat di sekitarnya.

Mak nampak suasana di Grand Place amatlah meriah. Hidup sehidup-hidupnya. Lorong-lorong pejalan kaki di celah-celah bangunan yang bersimpang-siur.... semua nampak serupa. Silap-silap boleh sesat dan jauh perginya. Pejalan-pejalan kaki berdedai-dedai... berpuak-puak... berdua... berseorangan... Dalam kedai-kedai pun sama. Bersesak-sesak. Nak beli apa pun kena beratur... dan menunggu giliran.

Terdapat banyak cafe. Semuanya penuh dengan orang. Ada yang bersama keluarga, rakan dan teman istimewa barangkali. Berbual-bual... bergelak ketawa sambil minum-minum. Aroma hangat dan manis yang keluar dari dapur kedai menjual warffle sentiasa mengisi suasana. Menggoda selera.

Teringat pesanan ipar mak semalam. "jangan lupa makan warffle Belgium!"... dan mak berhenti di satu kedai menjual warffle. Beli jugak satu. Walaupun terpaksa menunggu. Kemudian mak pilih satu tempat yang agak 'strategik' di tepi tiang bangunan Dewan Perbandaran Brussles. Mak duduk berlunjur di situ dan makan warffle sambil memerhati gelagat pengunjung yang lalu lalang di sekitar Grand Place.

Rue du Marche aux Fromages yang sesak dengan orang ramai.

Menggoda selera.. pilih saja.. Harganya bergantung pada pilihan topping.

Curos yang di celup coklat.

Dua beg coklat buat yang di tinggalkan jauh di tanahair.

Seperti yang diketahui coklat Belgium adalah yang terbaik. Dan sebagai buah tangan untuk anak-anak yang di tinggalkan jauh di tanahair... mak belikan coklat Belgium seperti yang di pesan. Mak beli Pelicaen... murah sikit tapi rasanya tetap sama seperti jenama Godiva. Mak beli lima kotak semuanya dan sebagai 'terima kasih' pekedai coklat hadiahkan mak sekotak coklat Godiva.

Lepas makan warffle mak round lagi. Mak masuk Agora Galerie. Di atas salah satu kedai dalam Agora ini mak dan rakan-rakan menumpang solat. Meriahnya jualan dalam Agora ini usah cerita. Kepada yang gemarkan fesyen dan jaket-jaket kulit... di sinilah tempatnya. Cantik-cantik! Harga pula boleh di tawar.

Ketika di hadapan pusat membeli-belah Agora mak 
bervideo call dengan anak-anak di M'sia.

....  MANNEKEN PIS ....

Manneken Pis imej dan simbol cerita rakyat Brussel. 

Manneken Pis adalah arca tembaga di tengah-tengah Brussels yang menggambarkan seorang budak lelaki telanjang membuang air kecil. Manneken Pis adalah simbol paling terkenal di kalangan penduduk Brussels.

Manneken Pis terletak hanya lima minit berjalan kaki dari Grand Place iaitu di persimpangan pejalan kaki Rue du Chene dan Rue de l'Étuve. Setiap pelancong yang datang ke Brussels terutamanya di sekitar Grand Place pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar di hadapan monumen ini,

Ada banyak kisah dan lagenda di sebalik terbinanya Manneken Pis ini. Antaranya yang selalu di khabarkan kepada pengunjung ialah... pada abad ke-14, Brussels berada di bawah kepungan musuh. Dan pihak musuh telah menyusun strategi untuk meletupkan kota ini.

Tanpa di sedari oleh pihak musuh... seorang budak lelaki bernama Julianske telah mengintip mereka, yang sedang bersiap-siap menyalakan api.

Setelah api di nyalakan dan musuh beredar budak lelaki tersebut telah membuang air kecil di sekeliling api dan api tersebut terpadam serta dengan itu menyelamatkan kota Brussels.

Imej Manneken Pis di perbuat dari coklat dalam dinding 
kaca yang menghiasi kedai coklat Pelicaen.

Saturday, September 7, 2019

Rasa Macam Giant...

(catatan siri jalan-jalan Europe 20)

Deretan kibaran bendera negara Kesatuan Eropah 
sebaik saja melangkah masuk ke taman.

Mulanya mak rasa tiada apa yang menarik pun tentang taman mini ini. Terletak di Bruparck bersebelahan Atomium, Mini Europe adalah taman kecil yang mempamerkan monumen Kesatuan Eropah. Merangkumi kira-kira 80 bandar dan mewakili 350 buah bangunan.

Tetapi setelah berada di dalamnya dan melihat-lihat model manumen tersebut mak rasa seronok dan ralit pula. Rasa macam giant bila berjalan di antara model miniatur tersebut. Bukan setakat model bangunan tapi di terapkan juga suasana 'di tempat' yang di replikakan.

Ada di antara model-model tersebut, seperti kapal terbang, kapal laut dan keretapi sentiasa bergerak dan mak begitu seronok memerhatikannya. Gunung berapi yang sentiasa mengeluarkan asap. Pelantar minyak dan pelabuhan yang seolah-olah 'hidup' dengan 'orang-orang' yang sibuk bekerja.

Seronok berada di Taman Mini Europe. Diri rasa seolah-olah giant 
bila berada di antara replika ikon bangunan negara-negara Eropah ini.


Friday, September 6, 2019

Ciptaan Unik Sejarah Seni Bina...

(catatan siri jalan-jalan Europe 19)

Mak dan rakan sampai di Dataran Heysel dalam suasana pagi yang sungguh nyaman. Hangat dan segar. Matahari memancar terang. Pokok-pokok dan rumput di sekitar dataran ini tumbuh menghijau. Membangkitkan ketenangan dan keterujaan mak serta rakan untuk menghalakan lensa kamera..

Suasana pagi di kawasan Dataran Heysel yang 
nyaman, segar dan tenang.

Dari jauh kelihatan satu senibina unik... sembilan bebola keluli yang digantungkan pada tiang-tiang besi dan di hubungkan antara satu sama lain. Dengan ketinggian 102 meter ia seolah-oleh jisim atom yang di besarkan berjuta kali ganda. Kami diberitahu setiap satunya mewakili kuasa sains dan nuklear.

Direka oleh jurutera Andre Waterkeyn serta arkiteknya Andre dan Jean Polak, atomium merupakan lambang simbolik pameran dunia ketika di adakan di Brussels pada tahun 1958. Kini ia menjadi mercu tanda Brussels serta tarikan pelancong.

Malah ketika berada di sini pelancong seolah 'berebut-rebut' mencari sudut menarik untuk mengabadikan foto mereka berlatar belakangkan atomium. Masing-masing sentiasa memintas antara satu sama lain dan kalau boleh tidak mahu langsung ada kelibat orang dalam foto masing-masing.

Atomium... satu ciptaan unik dalam sejarah seni bina.

Ikon Brussels ini kini di jadikan muzium.

Kelihatan di belakang pelancong berebut-rebut mencari sudut
menarik untuk mengambil gambar berlatar belakangkan atomium.