Saturday, December 21, 2019

Macam Kuih Talam Tak Jadi....

Gabungan ubi parut yang di masak dengan gula merah
dan lemak santan memberikan rasa pada kuih ini.

Sedap kuih ni. Mak suka... Gabungan rasa ubi parut yang di masak dengan air gula merah dan tepung beras yang di kacau dengan lemak santan di lapisan atasnya memberikan rasa pada kuih ini.

Rupa dan rasanya seakan-akan talam ubi... bezanya cuma ia lembik dan cair... Kena sudu bila nak makan.

Pertama kali buat, anak-anak tak mahu makan. Anak bujang mak si abang kata macam kuih talam tak jadi. Pelik sangat pada dia.

Boleh tahan juga harganya kalau beli di gerai-gerai kuih. Kerana suka makan kuih ni... mak belajar dengan kawan. Walaupun nampak mudah dan simple tapi langkah-langkah penyediaannya itu kena ikut dan fahami betul-betul. Jika tidak rupa kejadiannya nanti tak cantik dan  keras. 

Untuk menyediakanya, masak dahulu lapisan bawah. Kemudian sejukkan. Apabila lapisan ubi/lapisan bawahnya benar-benar sejuk baru buat bancuhan untuk lapisan atas dan tuangkan terus ketika ia masih panas supaya bahagian yang putih ini rata dan licin.

Boko Ubi Kayu

Mak kukus dalam bekas-bekas kecil begini untuk 
memudahkan menyimpannya dalam peti sejuk.

Bahan A:
(bahagian bawah)
1000 gm ubi parut
400 ml air gula merah
400 gm gula putih
1,300 ml air
1 sudu teh garam halus

Cara-cara:
1. Campurkan semua bahan-bahan kecuali ubi parut ke dalam periuk. Dan didihkan atas api hingga menggelegak. Sambil itu kacau supaya adunan ini tidak hangit dan berkerak di dasar periuk

2. Ketika masih panas tuang ke dalam bekas berisi ubi parut dan kacau sebati.

3. Sukat sebanyak 180 gm dan masukkan ke dalam bekas plastik ukuran 12 oz. atau dalam acuan talam. Ikut pada kesukaan masing-masing.

4. Kemudian kukus selama 20 minit di atas api perlahan. Apabila masak sejukkan dahulu baharu tuangkan lapisan atas.

Bahan B:
(bahagian atas)
150 gm tepung beras
500 ml santan
1000 ml air
1 1/2 - 2 sudu teh garam halus

Cara-cara:
Masak kesemua bahan B hingga menggelegak. Kemudian sukat anggaran 90 gm dan ketika masih panas tuangkan ke atas ubi kukus (lapisan bawah) yang telah disejukkan. Adunan B ini hendakah dituangkan ketika panas-panas supaya permukaannya nanti rata dan licin (tidak berketul-ketul).

Sunday, December 15, 2019

Lemak-lemak Manis Rasanya...

Kelapa parut melengkapkan rasanya.

Pertama kali buat apam labu mak dah suka dan jatuh hati dengan rasanya... Kombinasi bahan... telur,  santan dan manis labu serta gula membuatkan rasanya jadi lemak-lemak manis. Kelapa parut bergaul garam pula melengkapkan rasanya.

Untuk memudahkan mengadun... mak telah bahagikan bahannya kepada tiga langkah A, B dan C. Kemudian gunakan blender untuk menjadikan bahan B halus dan bergaul sebati.

Bahan A:
1 sudu kecil yis segera
1 sudu kecil gula kaster
3 sudu besar air suam

Bahan B:
230 gm labu di rebus/kukus
150 gm gula
1 biji telur
150 ml santan pekat

Bahan C:
(ayak bersama)
200 gm tepung gandum
1 1/2 sudu kecil barking powder

Cara-cara:
1. Satukan bahan A dalam mangkuk kecil/mug. Ketepikan dan biarkan ia kembang/naik

2. Kisar/blend bahan B hingga sebati. Tuang dalam mangkuk besar.

3. Masukkan bahan C sedikit demi sedikit ke dalam B... dan gaul agar sekata.

4. Masukkan bahan A ke dalam adunan dan gaul rata. Tutup dan biarkan selama sejam supaya adunan naik.

5. Oles acuan dengan minyak dan tuang adunan ke dalam acuan. Jika guna acuan cawan tuang anggaran 3/4 isi cawan.

Kukus selama 15 - 18 minit. Gunakan api perlahan supaya kueh tidak merekah di atasnya. Apabila masak gaulkan dengan kelapa parut yang telah di kukus sebentar dengan sedikit garam.

Hanya tiga langkah saja untuk membuat apam labu yang comel ni.

Saturday, December 14, 2019

Macam Senang Tapi...

Kueh seri muka ni nampak macam senang nak buat. Tapi mak dah cuba beberapa kali... dan setiap kali buat ada saja silap dan tak jadi seperti yang diinginkan. Selalu lapisan atasnya... lembik dan kena sudu pula bila nak makan... Rasanya bukan mak sorang saja yang mengalami perkara yang sama.

Kadang-kadang sampai mak terfikir... betul ke resepi yang dorang kasi ni. Sampai naik geram dan tahu-tahu sajalah... kalau tak jadi dan cantik sapa pun taknak makan. Akhirnya terbiar sepi atas meja dan...

Mak tak putus asa... cari dan cari lagi resepi kueh ni dan bermacam-macam versi yang mak jumpa. Dalam banyak-banyak resepi itu, yang inilah yang paling mak berkenan. Itupun mak dah ubah suai sikit.

Setelah beberapa kali mencuba... 

KUIH SERI MUKA
(Loyang 8 in bulat)

Bahan Lapisan Bawah:
250 gm beras pulut
150 ml santan (sedikit minyak masak anggaran1 sudu makan jika guna santan kotak)
150 ml air
1 sudu kecil garam halus

Cara-cara:
1. Rendam pulut sekurang kurangnya 4 jam. Basuh bersih dan toskan.
2. Gaulkan dengan semua bahan-bahan dan kukus selama 30 minit. Apabila masak ratakan dalam loyang yang telah di alas dengan plastik dan tekan pulut dengan sudu supaya padat.

Akhirnya mak berjaya dan puas hati dengan hasilnya.

Bahan lapis atas:
(A)
125 gm gula kaster
50 gm tepung kastard
1 sudu makan penuh tepung gandum
200 ml santan pekat
200 ml air untuk diblender dengan 5 helai daun pandan

(B)
2 biji telur
Sedikit garam halus
Pewarna hijau

Cara-Cara:
1. Gaul semua bahan A dan masukkan bahan B. Kacau hingga sebati.
2. Tapis ke dalam periuk dan kacau atas api hingga naik wap (lebih kurang 2 - 3 minit agak-agak nampak pekat sikit)
3. Kemudian tuangkan atas lapisan bawah dan kukus selama 30 - 40 minit.
4. Supaya nampak cantik... apabila kueh benar-benar sejuk barulah dipotong dengan pisau plastik.

Monday, December 9, 2019

Belajar dari You Tube...

Mak suka buat kek. Antaranya Japanese Cotton Cheesecake ini yang merupakan kek kegemaran anak-anak. Nampak macam payah nak adun tapi sebenarnya simple saja. Mak mula-mula dulu rasa cuak juga nak buat. Tapi alhamdulillah sejak kali pertama cuba terus saja menjadi. 

Mak tak hadir mana-mana kelas pun cuma belajar dari you tube saja.

Dah tak ingat dah... ini kali yang keberapa mak buat... dan dah lupa juga dimana mak copy resipi ni. Setiap kali buat mak tukar-tukar topping atasnya.

Hmmmm! sepotong Japanese cotton cheesecake yang halus dan gebu...


Bahan A:
250 gm cream cheese
50 gm butter
100 ml susu segar
6 biji kuning telur
1 sudu besar jus lemon
1/4 sdk garam
60 gm tepung kek / tepung superfine
20 gm tepung jagung

Bahan B:
140 gm gula castor
6 biji putih telur
1/4 s/k cream of tartar

Cara mengadun:
1. Cairkan cream cheese, butter & susu dengan teknik double boiler. Bila dah cair... sejukkan. Kemudian, campurkan tepung, tepung jagung, kuning telur, garam & jus lemon ke dalam adunan cream cheese & gaul hingga sebati. (Bahan A)

2. Dalam bekas lain, pukul putih telur bersama cream of tartar sampai berbuih-buih. Kemudian tambahkan gula dan pukul lagi sampai ringan/bertanduk. (Bahan B)

3. Masukkan sesenduk Bahan A ke dalam Bahan B dan kacau rata. Kemudian baru masukan selebihnya bahan A dan gaul sampai sebati. Sediakan tin/bekas kek bulat berukuran 8 inci, yang digriskan bawah dan tepi serta alas dengan kertas baking. Tuangkan adunan.

4. Bakar kek lebih kurang sejam, dengan cara waterbath pada suhu 160 C /325 F. (oven yang saya guna jenama europa)

Baru keluar oven. Sejukkan dulu baru keluarkan dari acuan.

Untuk nak nampak bergaya sikit ayakkan icing sugar di atasnya. 

Begitulah rupanya setelah di potong.

Friday, December 6, 2019

"Mak pilihlah yang mana...

Rakan mak Puan Aishah yang sama-sama menjelajah Europe hari tu mengajak kembara lagi. Termenung kejap mak memikirkannya. Rasanya baru lagi mak kembali ke tanahair dari kembara Europe... dan jalan-jalan di Hadyai dengan kawan. Orang kata letihnya pun belum hilang lagi.

Itu cuma kata-kata penyedap hati untuk menolak pelawaan.

Setelah difikirkan sedalam-dalamnya mak menolak pelawaan itu. Walau dalam hati sebenarnya meronta-ronta untuk ikut lagi. Tetapi keadaan tidak begitu mengizinkan. Terutamanya kewangan. Tabung ayam mak dah pecah!

Rumah baru yang bakal mak duduki... - pix dari laman web pemaju.

Selepas balik dari Europe baru-baru ni... Ojet buat surprise untuk mak. Suatu petang dia ajak mak keluar. Katanya saja nak ajak mak round-round. Tanpa banyak soal mak ikut. Lagipun hari minggu. Dah tak ada apa yang nak di buat di rumah.

Ojet bawa mak ke Cyberjaya. Katanya ada janji dengan seseorang. Mak ok je... dan dia bawa mak singgah di satu showroom projek perumahan.

Rupanya kawan yang dimaksudkan agen hartanah. Kedatangan kami 'di sambut mesra' managernya. Selepas serba sedikit penerangan kami di bawa melihat rumah contoh. Memang mak teruja... dan berangan kejap...

Selepas dua tiga kali pusing-pusing kami di bawa melihat plan dan Ojet cakap..."mak pilihlah yang mana..." Eh! mak memang betul-betul terkejut. Nak menangis pun ada waktu itu. Petang itu Ojet settlekan booking dan depositnya.

Dalam perjalanan balik mak tanya... kenapa beli rumah tu. Sebab mak risau... besar hutangnya... (biarlah rahsia tentang harga.) Adakah kerana dia memang nak beli... Kata Ojet dia beli rumah tu untuk mak. Dia nak bawa mak pindah dan duduk di satu kawasan seperti yang mak idam-idamkan selama ini.

Jauh dari hiruk pikuk... kawasan pinggir bandar. Bersih dalam konsep ala-ala resort... Rumah dalam taman... dan berpagar. Ada pengawal keselamatan. Semua lengkap dalam satu kawasan...

Dan mulai dari 'tarikh itu' mak mula berangan... Konsep hiasan dalamannya. Kabinet dapurnya dan barangkali sedikit pengubahsuaian. Itulah sebabnya mak tak boleh ikut pelawaan rakan mak puan Aishah jalan-jalan kali ini.

(nota mak: catatan ini dibuat sebagai mengingati hari di mana mak betul-betul surprise... hari di mana mak hampir mengalirkan airmata... Moga umur mak panjang dan sempat menjejakkan kaki di rumah baru ini nanti... thank you dikda)

Tuesday, December 3, 2019

Surat untuk Cempaka Biru...

"Salam Nieda! barangkali Nieda tertunggu-tunggu berita pengeposan kiriman Nieda pada saya. Maaf lambat saya memberitahu. Kiranya barang berkenaan telah sampai seminggu yang lalu. Tapi cuma beberapa hari lepas ianya benar-benar sampai ke tangan saya.

Alamat yang tertera pada sampul tersebut sebenarnya alamat rumah lama... Rumah arwah orang tua saya. Kini saya tidak tinggal lagi di situ. Tetapi saya masih menggunakan alamat tersebut untuk urusan surat menyurat.

Terima kasih atas kiriman keychain dan fridge magnet tersebut. Saya amat berbesar hati menerimanya dari seorang sahabat maya."

Pemberian dari blogger Cempaka Biru

Asalnya cuma bertegur sapa dalam blog dan bersahabat di dunia maya. Bagaimana mulanya 'berkenalan' pun mak dah tak ingat. Tapi mak suka nama blognya Cempaka Biru. 

Kalau nak terjah blognya tekan saja Cempaka biru ni... Cuma sekarang ni mak susah sikit nak terjah blognya sebab setiap kali tekan link tu... keluar iklan perkataan ni "99.widgetserver.com" Harap Nieda maklum...

Sejujurnya mak senang bersahabat dengan rakan-rakan blogger ni. Walaupun tak kenal mereka siapa. Tapi lama kelamaan jadi makin 'akrab' pulak.

(nota mak: Moga suatu hari kelak ada 'jodoh' kita berjumpa di alam nyata.)

Monday, December 2, 2019

Segala-galanya ada...

(cop pasport - 3H2M - Hadyai - 6)

Berakhir sudah percutian 3 hari 2 malam di Hadyai. Seronok... walaupun mulanya mak 'berkira-kira' juga.. nak ikut ke tidak.

Berpeluang menyaksikan aktiviti berjualan di Khlong Hae floating market. Walaupun ia mungkin tidak sehebat pasar terapung di Bangkok barangkali. Tapi sekurang-kurangnya dapatlah menyaksikan sendiri macam mana peniaga-peniaga di atas sampan itu beroperasi dengan para pelanggannya.

Merasai keenakkan makanannya sepanjang tiga hari di Hadyai. Persekitaran bandarnya yang bersih walaupun rakyatnya sibuk berjualan dan berurusan dengan pelancong tapi persekitaran terjaga rapi.

Hari kedua malam akhir di Hatyai, sempat dah gagah juga mak 'merayau-rayau' di Asean bazar night market. Sekadar melihat-lihat... Kemudian mak bersama kawan berjalan pula di Greenway night market. Lebih luas dan besar dari Asean night market. Segala-galanya ada... dari pakaian dalam hingga lollipop, jeans, jus dan makanan ringan. Pun mak cuma berjalan-jalan dan melihat-lihat saja. Dan untuk balik ke hotel malam itu, mak naik tuk-tuk. 

Suasana di Asean night market. Bersih dan susun atur kedainya 
memudahkan pelancong bergerak dan membeli belah.

Greenway Night Market. Lebih luas dan besar dari Asean Night Market
Ada zone ABCDE. Setiap zone mewakili barang dan gaya. Ada zone sexy look.

Memang tidak banyak tempat pun yang mak kunjungi masa di Hadyai. Hanya dua malam. Apa sangatlah yang boleh di buat... Dan hari ketiganya mak dan kawan bertolak semula balik ke Kuala Lumpur. Tapi laluan kami bertukar.

Waktu datang kami masuk ikut pintu di Padang Besar. Masa pulang kami ikut Bukit Kayu Hitam. Dan sebelum keluar kami singgah makan nasi ayam di pekan Danok.