Thursday, February 5, 2026

Narai-juku...


Puncak gunung Fuji jelas kelihatan dari lebuh raya 
ketika dalam perjalanan ke Nagano.

Perjalanan dari Ota City, Tokyo ke Nagano mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah. Pemanduan lancar sepanjang perjalanan. Dari kejauhan jelas kelihatan puncak gunung Fuji yang diliputi salji.

Destinasi pagi ini menuju ke kawasan pergunungan Kiso. Apabila kereta kami memasuki kawasan pendalaman kelihatan salji bagaikan hamparan kapas putih di kiri kanan jalan. Kelihatan sayup di jajaran gunung-gunung salji masih tebal.

Kami sampai di hentian Suwa Lake ketika perut mula berkeroncong lapar. Selesai makan dan solat jamak zuhur dan asar kami kembali meneruskan perjalanan ke Narai-juku.

Tasik Suwa di pergunungan Kiso.

Narai-juku mengekalkan sebahagian besar seni bina
tradisional dan suasana asal era Edo.

Narai-juku sebuah pekan sejarah yang terletak di Lembah Kiso, Wilayah Nagano. Di zamannya era Edo (1603-1868) ia merupakan perhentian penting di laluan Nakasendo yang menghubungkan Kyoto dan Tokyo.

Pekan ini berkembang maju sebagai perhentian rehat penting tuan-tuan tanah dan pedagang bagi mencari penginapan, makanan, bekalan dan hiburan.

Di bina dari kayu dengan konsep tradisional.. susun atur pekan ini memberikan gambaran yang jelas tentang masa lalunya juga peranannya dalam memudahkan perjalanan dan perdagangan.

Disinilah terletaknya istana atau kediaman Nakamura... seorang saudagar zaman Edo dengan pameran seni bina tradisional dan artifak yang mempamerkan gaya hidupnya yang kaya.

Walaupun usia Narai-juku sudah cecah ratusan tahun namun ia masih terpelihara dengan baik. Deretan kedai-kedai kayu yang ada dijadikan kafe dan kedai souvenir.

Terdapat juga sebuah muzium Kamidonya Shiryokan... iaitu sebuah rumah kayu yang dahulunya milik seorang paderi Shinto.

Saat zaman kegemilangannya terdapat satu papan notis yang menyiarkan berita dan peraturan rasmi Narai-juku. Papan notis itu masih kekal di tempatnya 
hingga kini.

No comments:

Post a Comment