Tuesday, March 10, 2026

Lapar...

Sungai Kodara... Ketenangan di Gujo yang mendamaikan.

Keindahan perkampungan Ogimachi di Shirakawa-go benar-benar memukau. Rasa enggan melangkah pergi. Tidak puas menikmati suasananya. Dengan saljinya yang tebal memutih dan berkilau bila di sinari matahari.

Apapun kami harus meninggalkan Oghimachi untuk ke tempat lain pula. Sudah tengahari dan perut mula terasa lapar. Kami bergerak menuju ke Gujo Hachiman. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam empat puluh minit. Jalan yang kami lalui untuk ke Gujo melalui lereng-lereng gunung, hutan-hutan yang tebal...dan nun jauh di bawah kelihatan sungai-sungai yang separuh membeku, tasik yang pasti dingin airnya dan empangan.

Sampai di pekan Gujo, suasana sunyi dan hening. Tidak ada kenderaan. Selepas meletakkan kereta di kawasan parking, mak dan kawan-kawan berjalan menyusuri deretan kedai di sekitar pekan Gujo. Tapi kebanyakkan kedai makan tidak dibuka. 

Pada penglihatan mak, bangunan dan kedai-kedai di pekan Gujo Hachiman masih mengekalkan tradisi senibina tradisional.

Suasana pekan Gujo yang sunyi.

Akhirnya setelah penat menyusuri dari satu lorong ke satu lorong... kami jumpa satu kedai kecil yang menjual sandwich. Peniaganya sepasang wargamas. Tanpa berfikir panjang kami masuk dan memesan lima pinggan sandwich telur bakar. Mungkin kerana terlalu lapar kami merasakan sandwich telur tersebut sangat sedap. Ditambah pula dengan aromanya yang di bakar di atas kayu arang.

Sandwich telur dan air lemon panas yang sedap.

Aiskrim dalam waffle berbentuk muncung ikan.

Selepas makan dan badan kembali rasa bertenaga, mak dan kawan-kawan berjalan disekitar rumah penduduk di Gujo dan kami menyaksikan parit-parit di belakang rumah penduduk di penuhi ikan-ikan koi.

Tarikan di Gujo... longkang dan parit di belakang rumah penduduk 
di penuhi ikan-ikan koi.

Ikan-ikan berenang bebas dalam aliran air parit yang jernih 
di belakang rumah penduduk.

Tuesday, March 3, 2026

Gassho-Zukuri di Shirakawa-go...

Pagi datang lagi di Kanazawa dengan kedinginan yang menggigit. Usai bersarapan kami mengisi beg-beg pakaian ke dalam kereta. Hari ini kami akan berpindah lagi. Cukuplah dua hari menjadi tetamu di Kanazawa.

Perjalanan hari ini  menuju ke Shirakawa-go yang terletak di kawasan pergunungan. Untuk sampai ke sana, kami melewati kawasan hutan-hutan yang diliputi salji... kaki-kaki gunung dan beberapa terowong yang panjang. Kelihatan juga sungai-sungai yang membeku. Terpegun dengan keindahan yang terbentang di depan mata, kami memotret suasana cantik ini dalam bentuk video.

Aliran sungai yang membeku.

Hampir satu jam setengah akhirnya kami sampai ke tempat yang di tuju. Shirakawa-go... sebuah perkampungan tradisional Jepun yang wujud 250 tahun dulu... rumah2 petani yang dibina tanpa paku dan bumbung jerami berbentuk curam untuk memudahkan salji tebal mengalir jatuh. Setiap rumah mempunyai loteng yang besar untuk penternakkan ulat sutera.

Terletak di Wilayah Gifu... seni bina rumah ladang ini di gelar gassho-zukuri yang bermaksud 'tangan berdoa'. 

Untuk masuk ke kawasan perkampungan terpaksa melalui 
jambatan gantung yang merentasi sungai.

 Seni bina bumbung gassho-zukuri yang bermaksud 'tangan berdoa'

Kampung Ogimachi yang terletak di kawasan pergunungan... 
mak terpaksa berjalan mendaki bukit sejauh 400 meter untuk mendapat 
gambar pemandangan yang cantik ini.

Kawasan hutan yang terletak di bahagian belakang kampung.

Deretan kedai-kedai souviner, cafe dan hotel penginapan bagi yang ingin bermalam di perkampungan ini.

Kini kampung tradisional ini diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.