Wednesday, June 24, 2020

'Confirm' Jadi...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakanPemulihan
#Dudukrumah
#patuhiSOP

Seorang rakan kenalan memberi resepi kuih ni. Kami berkenalan ketika sama-sama menghadiri satu kelas masakan di Shah Alam beberapa tahun lalu. Sejak itu hubungan kami kian rapat. Dia bekas jururawat... berhenti kerja semata-mata ingin berniaga kuih muih di samping dapat memberikan perhatian pada keluarga terutama anak-anaknya.

Sejak berkenalan dengannya kami saling bertukar pandangan, pendapat dan resipi. Kuih bakar ini antara kuih yang sering mendapat permintaan yang tinggi dari kalangan pelanggannya. Rasanya yang lemak manis dengan aroma pandan yang harum memang menggamit selera. Anak bujang mak pun antara penggemar kuih bakar ini. 

Senang sangat nak buat kuih bakar bijan ni. Aroma pandan, 
santan dan telur dalam adunannya membangkitkan selera.

Bahan-bahannya:
4 biji telur
2 cawan Santan
7 helai daun pandan
1 cawan air
1 1/2cawan gula
1 1/2 cawan tepung gandum
Secubit garam dan sedikit bijan

Cara-caranya:

1. Kisar daun pandan dengan air dan tapis. Satukan semua bahan yang lain... adun rata sehingga tepung serta gula larut dan tiada lagi adunan yang bergentel. Tapis lagi sekali.

2. Sapu sedikit minyak pada acuan. Tuangkan adunan ke dalam acuan... tabur sedikit bijan di atasnya (jika tidak ada acuan kuih bakar boleh guna loyang yang bersesuaian dengan kuantiti aduanan...)

3. Bakar dalam suhu 180 selama 35 minit atau kuih bakar kelihatan perang...

Tuesday, June 16, 2020

Memang 'Menjadi'...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakanPemulihan
#Dudukrumah
#Stayathome
#syawal1441H

Bulan puasa yang berlalu baru ini mak kerap buat kuih-kuih untuk juadah berbuka. Lebih-lebih lagi ramadan tahun ini tiada bazar ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya ekoran wabak covid-19.

Maka rajinlah mak menyemak resepi dan mencubanya... resepi yang simple dan senang-senang saja... yang tak banyak guna bahan dan sentiasa ada dalam kabinet dapur. Kalau nak keluar membeli... memang tidaklah.

Prosedur nak keluar rumah itu saja sudah cukup untuk mak berfikir sepuluh kali... memang kalau tak penting sangat rasanya mak tak akan keluar rumah sekarang ini. Barang-barang keperluan dapur pun pandai-pandai anak bujang mak saja yang membelinya.

Kuih lapis ini rupanya senang saja nak buat... tak banyak 'ragam.' Sebelum ini mak pernah cuba... tapi tak jadi... resepinya mak dapat dari satu blog... biarlah mak rahsiakan nama blog tu. Tak pastilah samada penulis blog tu tersilap tulis sukatan bahan atau apa... Bila mak try... memang tak tak jadi.

Resepi yang mak dapat kali ini memang 'menjadi'. Lembut dan boleh 'buka' sekeping-sekeping lapisannya. Mak puas hati dan simpan resepinya di sini.

Kuih lapis simple dan mudah sangat membuatnya.

Bahan-bahannya:
Campurkan 2 cawan santan dan 2 cawan air
2 cawan tepung beras cap teratai
1 1/3 cawan gula pasir
1/2 cawan tepung ubi/tepung jagung
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan air pandan
secubit garam
2 sudu minyak masak jika menggunakan santan kotak

Cara-caranya:
1. Satukan semua bahan, gaul rata dan sebati. Kemudian tapis untuk mengasingkan jika terdapat ketulan2 tepung yang tidak larut.

2. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan satu bahagian letak warna.

3. Didihkan air dalam kukusan dan panaskan loyang. Kemudian baru masukkan adunan putih. Kukus lebih kurang 5 minit. Tuang pula adunan berwarna di atasnya. Dan kukus lagi 5 minit. Ulangi proses ini sehingga adunan habis dan kukus hingga masak.

(untuk sukatan adunan di atas mak guna loyang saiz 7 x 3 bulat dan setiap lapisan mak sukat 3/4 cawan utk dapat ketebalan lapisan yang sama.)

(nota mak: terima kasih pada yang empunya resepi. Maaf! lupa di mana 'jumpa' resepi ni... rasanya di youtube)

Tuesday, June 9, 2020

Senang Naik Dan Gebu...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakanPemulihan
#Dudukrumah
#Stayathome
#syawal1441H

Harap tak adalah yang bosan singgah di blog mak ni yer... memang sekarang mak rajin update resepi dan aktiviti masak-masak di blog sweet memory ni. 

Jumpa je resepi dalam blog... youtube... dan tengok macam mudah... memang mak try. Bila jadi dan sedap... rasa seronok sangat.

Resepi apam tepung beras ni mak copy dari blog Rasa. Sedap kuihnya. Lembut... kenyal dan kemanisannya sedang elok saja. Masa untuk menyediakannya pun tak lama dan tak renyah. Mak kalau banyak sangat step memang malaslah nak cuba. 

Yang penting buat apam atau kuih-kuih yang menggunakan penaik ni...ialah jenis yis/ibu yang kita guna. Dan mak memang suka menggunakan 'satu jenama' tu... sebab ia memang tidak pernah menghampakan... senang naik dan kejadian kuih-kuihnya gebu.

Apam tepung beras... sedap di makan begitu sahaja atau 
di gaul dengan kelapa parut masin.

Oleh kerana kejadiannya elok... cantik dan sedap mak catat dan simpan resepinya disini... Mana tahu satu hari nanti kot-kot berada di luar negara... dan teringin nak buat kuih-kuih boleh refer resepinya di blog ni... hahahaha..

Bahan-bahan:
1 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula pasir
secubit garam
1/2 peket yis kering
2 cawan air

Cara-caranya:

1. Gaul semua sekali dan perap lebih kurang 30 minit. Jika suka bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letak warna.

2. Oles acuan dengan sedikit minyak. Tuang 3/4 adunan ke dalam acuan dan kukus hingga masak (dalam 15 - 20 minit).

3. Tabur/gaul dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam (Seeloknya kukus sekejap kelapa tersebut untuk mengelakkannya cepat basi.)

(nota mak: kredit untuk Rose Rosnah dari blog Rasa yang share resepi apam tepung beras ini.)