Tuesday, December 20, 2016

Dan selepas Asar itu...

Sebelum balik aku dan Aleesya bergaya sekejap
di hadapan pelamin. Tak sempat menunggu pengantin
datang sebab nak rushing balik KL.

Jemputan kenduri kawin yang aku terima tiga minggu lepas memang surprise. Sebaik dapat saja undangan tu, aku terus decided nak pergi. Walaupun jauh tapi aku ingin sangat bertemu dengan rakan maya ini. Lebih-lebih lagi sekarang dah tak bekerja dan tak ada apa nak buat. Jammed panjang dari Sungai Buluh hingga ke RnR Bukit Gantang yang aku harungi tak buat aku rasa penat pun. Dalam hati rasa happy sangat.

Mulanya aku rancang nak pergi berdua saja dengan kakak. Tapi bila anak-anak dapat tahu mereka pun nak ikut termasuk anak saudara aku Aleesha. Tahu time ni cuti sekolah dan cuti Maulidur Rasul, aku awal-awal lagi dah tempah bilik hotel. Takut kalau main terjah saja tak ada bilik kosong.

Akhirnya kami bersua muka. Pemilik blog
zackohzack.blogspot.my di hari pernikahannya.

Aku mengenali blogger yang mengundang aku ke majlis kawinnya ini, tujuh tahun dulu. Waktu itu dia masih menuntut di University of Wellington, New Zealand. Aku tak ingat macam mana aku boleh terjumpa link ke blog dia. Sejak dari tarikh itu aku selalu 'skodeng' blog dia dan tanya pasal biasiswa/penajaan untuk belajar ke luar negara. Sambil tu aku 'selak-selak' juga entry dia yang lepas-lepas untuk mengenali siapa dia.

Ingat lagi satu entry dia tentang adik lelakinya yang sedang mempersiapkan diri untuk menghadiri temuduga Khazanah Scholarship. Macam-macam aku tanya dia. Kebetulan pulak cikgu sekolah abang pun ada hantarkan nama abang untuk scholarship tu. Tapi tak dapat surat panggilan temuduganya. Aku rasa frust jugak.

Tapi dia beritahu aku, selain Khazanah ada banyak lagi biasiswa/penajaan yang aku boleh mohon, Dan seingat aku, setiap kali aku meninggalkan komen di blognya aku akan tutup link ke blog aku. Aku segan kalau dia baca blog aku.

Satu hari tu, selepas aku tinggalkan komen di blog dia, aku terlupa nak tutup link ke blog aku, Akhirnya dia 'sampai' juga ke blog aku dan terus jadi follower. Sejak itu kami sering berbalas komen dan berchating.

Dan tak sangka setelah tujuh tahun menjadi rakan maya akhirnya kami bertemu untuk pertama kali di majlis pernikahannya pada hari Ahad, 11 haribulan 2016. Kurus, tinggi lampai dan cantik sangat orangnya kalau dibanding dengan dalam gambar.

Asalnya dia cuma mengundang aku ke majlis persandingannya di pusat Kraftangan, Hutan Kampung, Alor Setar. Tapi bila tengok aturcara majlis, pasangan mempelai akan bersanding pada pukul 2 petang. Aku pulak lepas makan pukul 12 tengahari nak rushing balik ke KL. Sebab takut hari hujan dan gelab di highway. Lalu aku tanya... kalau dia ada apa-apa cadangan supaya kami boleh bertemu.

Bila dapat tahu aku akan sampai di Alor Setar pada hari Sabtu 10 haribulan, dia terus pelawa aku ke majlis akad nikahnya di masjid Tuan Hussin, Titi Gajah., selepas Asar.

(nota mak: semoga persahabatan yang terjalin ini akan kekal selamanya.)

Monday, December 19, 2016

Tiga belas jam dari KL ke Alor Setar...

Minggu lepas sempena cuti Maulidur Rasul, aku terima satu undangan. Jemputan kenduri kawin dari sorang rakan blog. Jauh di utara sana... di Alor Setar, Kedah.

Perjalanan ke utara hari Sabtu 10 haribulan tu memang 'panjang'. Bayangkan aku sekeluarga keluar rumah pukul sebelas pagi dan sampai di Alor Setar pukul 12 malam. Tigabelas jam mengharung jammed dari Sungai Buluh hingga ke hentian RnR Bukit Gantang. Selama menggunakan lebuhraya, inilah kali pertama aku tersangkut dalam kesesakkan yang teruk.

Ini di Ipoh sebelum mendaki ke terowong 
Menora... hampir dua jam 'stuck' di sini.

Setiap kali sampai di hentian RnR keadaannya sangat sesak. Nak masuk ke toilet pun kena beratur panjang. Terutamanya bilik air perempuan. Bilik air lelaki ok saja. Ini yang buat aku tak faham. Apa yang orang perempuan buat lama-lama dalam bilik air ye?... sampaikan terpaksa berbaris menunggu giliran hingga ke luar kaki lima. Persoalan ini menjadi perbualan kami anak beranak dalam kereta sambil di sulami gelak tawa dan lawak jenaka sebagai pengubat letih dan mengantuk aku yang memandu sepanjang perjalanan.

Dan kalau dah bersesak-sesak di bilik air hentian RnR faham-faham sajalah. Keadaannya sudah tidak lagi terurus, kotor dan lecak. Ada satu bilik air sebuah stesen minyak.. sangat kotor. Setiap bilik tandasnya tersumbat dengan tisu dan entah apa-apa lagi. Air kotor bertakung dan najis penuh dalam mangkuk tandas dan di lantai. Orang tak 'flush' tandas lepas membuang ni memang begitu juga ke perangainya di rumah?

Dan satu lagi tabiat pengguna lebuhraya yang aku nampak... meletakkan kenderaan sesuka hati. Mana sempat saja hinggakan menghalang laluan jalan masuk ke RnR dan tempat letak kereta. Padahal, kalau terus masuk ke tempat letak kereta... keadaannya taklah sesesak mana. Masih ada lagi petak ruang untuk meletakkan kenderaan.

Aku ingat lagi, kejadian di hentian RnR Tapah dalam perjalanan pergi dan balik. Ramai pemandu kereta yang meletakkan kenderaan mereka di kiri kanan bahu jalan lorong menuju masuk ke pusat hentian. Mereka ni tak fikir pengguna lain ke? Dan apabila kenderaan besar seperti lori dan bas nak masuk memang tersekatlah.

Berkali-kalilah pemandu treler yang tersekat membunyikan honnya tapi tak siapa pun peduli. Aku pulak yang kesian dengan pemandu treler berkenaan. Bayangkan dia juga letih dan penat. Mungkin juga lapar atau dah tak tahan nak ke bilk air. Terpaksalah dia duduk di situ entah berapa lama... menunggu pemilik kenderaan datang dan mengalihkan kenderaan mereka. Akhirnya jammed berlaku bukan saja di kawasan RnR tapi juga membawa ke highway.

Oleh kerana jammed yang panjang dan kenderaan bergerak terinsut-insut, ramailah aku perhatikan yang menggunakan laluan kecemasan. Aku pelik dengan perangai manusia macam ni. Walaupun sudah berkali-kali diingatkan tapi masih ramai juga yang menggunakan laluan tersebut. Aku terfikir, mereka ni tak takut kena saman ke?... dan duit mereka banyak... jadi tak heran pun kalau kena saman setakat dua tiga ratus kerana menggunakan lorong kecemasan. Itu tak termasuk lagi yang suka potong-potong Q. Eh! kalau dah tahu nak cepat kenapa tak naik kapal terbang saja.

Apapun perjalanan aku sekeluarga ke Alor Setar minggu lepas selamat pergi dan balik. Tak di nafikan... jammed yang panjang dan lama sepanjang perjalanan pergi dan balik buat aku mengantuk dan hampir terlelap ketika sedang memandu.

(nota mak: Tiga belas jam... itu masa penerbangan dari KL ke Heathrow... :) )

Thursday, December 15, 2016

Biarlah Ojet tentukan...

Beginilah aktiviti orang yang dah bersara kan. Sepanjang hari duk melangut tak ada apa nak buat. Lepas kemaskan sikit-sikit rumah duduklah melepak sensorang. Termanggu-manggu tak tahu apa nak buat. Nak buat kerja lebih-lebih sangat tak larat. Sejak bersara ni terasa sangat diri ini dah tua.

Hari ini gagahkan diri...bersiap lebih sikit dari biasa dan keluar. Oleh kerana hari ini Jumaat jadi waktu lunch hour tu panjang... aku ada lunch date dengan Ojet.

Seafood untuk lunch aku dan Ojet 
tengahari tadi.

Jarak antara rumah dengan office tempat kerja Ojet tak jauh pun. Adalah lebih kurang lima belas minit memandu.... kalau tak jammed... sampailah.

Tahun depan... awal Januari ni, office tempat kerja Ojet akan berpindah. Lagi dekat dengan rumah, boleh jalan kaki saja. Ojet dah cakap, bolehlah dia balik rumah waktu lunch. Itu plan dia... tapi kalau ada rezeki Ojet bakal bekerja dengan kerajaan. Bulan November haritu dia dipanggil jalani ujian PTD dan lulus.

Kalau difikirkan, sayang juga jika Ojet tinggalkan kerja dan jawatan yang di pegangnya sekarang. Gaji pun ok malah yang specialnya basic yang Ojet dapat lebih 'sikit' dari basic yang selalunya untuk fresh graduate. Dan yang syoknya, dekat dengan rumah. Di situ dah jimat banyak kos. Tapi ada sorang kawan aku yang memberikan pandangan kalau dapat eloklah Ojet terima jawatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik tu. Katanya bukan calang-calang orang boleh dapat jawatan tu. Ianya dianggap sebagai salah satu kerjaya yang eksklusif dan berada pada kelasnya yang tersendiri.

Apapun, biarlah Ojet yang tentukan. Lagipun masa belajar di universiti, pengajian Ojet di taja sepenuhnya oleh JPA. Dan dia terikat kena bekerja dengan kerajaan sekurang-kurangnya lima tahun. Kalau menolak nanti kena bayar balik. Banyak tu, mana nak gegau duit... ye dak!

Sunday, October 9, 2016

Moga Allah merestui...

Dua bulan dari tarikh akhir entri blog ini di biarkan sepi. Sengaja aku biarkan... demi melapangkan masa dan waktu senggang untuk diri sendiri. Dan hari ini genablah sebulan duduk di rumah. Cuti bergaji sehingga akhir tahun ini. Selepas itu jadi surirumah sepenuh masa. Saat aku ditanya oleh Datuk KP ketika menghulurkan surat perletakkan jawatan sebulan yang lalu, aku tiada jawapan untuk kenapa aku ingin bersara awal. Apa yang aku nak buat selepas bersara pun... aku tak tahu.

Semuanya kerana janji. Janji pada diri sendiri. Sebaik saja anak-anak menghabiskan pengajian di universiti dan bekerja aku mahu bersara. Rasanya sudah terlalu penat bekerja. Berulang alik ke pejabat lima hari seminggu. Meredah kesesakkan jalan raya pergi dan balik kerja saban waktu.

Kalau fikirkan sayang, memang sayang nak lepaskan kerja yang aku buat sekarang. Aku suka kerja tu. Apalagi bila fikirkan duit gaji yang aku dapat setiap bulan. Aku akan hilang sumber pendapatan tetap. Lebih-lebihlah dalam keadaan ekonomi sekarang. Dengan kos sara hidup yang melambung tinggi.

Tapi apabila di fikirkan semula,.. sampai bila? Fikirkan duit.., sampai bila pun tak pernah cukup. Banyak manapun dihimpun, akhirnya akan 'ditinggalkan' jugak. Kalau umur aku ini masih ada berbaki 5 ke 6 tahun lagi, biarlah ia di isi dan dipenuhkan dengan amalan-amalan yang akan di bawa ke akhirat pulak. Tetapi kalau boleh aku ingin hidup lebih lama lagi. Moga Allah memberikan aku umur yang panjang dengan kesihatan yang baik! Amin! Mudah-mudahan Allah merestui niat aku ini.

Wednesday, July 6, 2016

Japanese Cotton Cheesecake...

Selamat Hari Raya kawan-kawan blogger yang singgah di blog Sweetie ini.

Birthday Ojet kali ini jatuh pada 1 Syawal. Atas permintaannya aku buatkan sebiji cheese kek. Lembut dan moist. Simple saja toppingnya. Strawberry dan karamel.




Bahan-bahan:

Bahan A:
250 gm cream cheese
50 gm butter
100 ml susu segar
6 biji kuning telur
1 sudu besar jus lemon
1/4 sdk garam
60 gm tepung kek / tepung superfine
20 gm tepung jagung

Bahan B:
140 gm gula (granulated sugar)
6 biji putih telur
1/4 s/k cream of tartar

Cara mengadun:
1.  Cairkan cream cheese, butter & susu dengan teknik double boiler. Bila dah cair, sejukkan. Kemudian, campurkan tepung, tepung jagung, kuning telur, garam & jus lemon ke dalam adunan cream cheese & gaul hingga sebati. (Bahan A)

2. Dalam bekas lain, pukul putih telur bersama cream of tartar sampai berbuih-buih (foamy). Kemudian tambahkan gula dan pukul lagi sampai kental. (Bahan B)

3. Campurkan Bahan A ke dalam Bahan B dan kacau sampai sebati. Sediakan tin/bekas kek (springfoam) bulat berukuran 8 inci, yang dibalut/dibungkus bahagian bawah dan kelilingnya dengan alumunium foil (Ini dilakukan supaya air yang diisikan dalam dulang ketika proses membakar tidak masuk kedalam adunan kek.


4. Bakar kek di atas dulang yang berisi air lebih kurang sejam pada suhu 160C /325 F.

Friday, June 3, 2016

Pemberian dari Nestum...

Sebulan ni banyaklah stok untuk 
sahur.... senang kerja mak.

Petang Khamis tu Ojet sampai di rumah dengan sebendung bunga dalam dakapannya. Mak tanya mana dapat... dari siapa?  Kenapa? Memang bertalu-talulah soalan dari mak.

Dalam fikiran mak tak ada lain dah... Keluar dengan teman lelaki ke. Yelah dah dewasa pun. Adatlah kan. Mana tahu kot-kot dah ada secret admire.

“Nestle kasi” ringkas jawapan Ojet. Dan dia bergegas kembali ke luar. Mak ikut sekali... terpinga-pinga. Ojet buka bonet kereta dan angkat keluar satu kotak kayu penuh dengan paket minuman nestum.

Ojet letak kotak tu atas meja di ruang tamu. Eh! banyaknya... Seronok betul mak tengok dan membelek-belek isi kandungan dalam kotak kayu yang tertera dengan nama anak mak Ojet. Nampaknya seperti di tempah khas.

Dan sambil membuka belitan tudungnya, Ojet pun cerita... Wakil dari Nestle datang officenya. “Ong dah beritahu mak kan... yang nestum nak beri penghargaan.” Masa penyerahan tu adalah ambik gambar. Semua kawan-kawan pejabatnya termasuk manager pun turut teruja dan ambik gambar sama.

Barangkali ada kawan-kawan blogger yang dah terbaca kisah Ojet yang di viralkan di laman sosial baru-baru ni. Rupanya ada hikmah juga. Kisah bagaimana dia berjimat dan makan nestum untuk mengalas perut ketika menuntut di universiti. Walaupun dia mendapat tajaan JPA, tapi Ojet ni memang berjimat cermat orangnnya. Dia jarang menceritakan kesusahannya melalui pahit getir sepanjang belajar di universiti kepada kami sekeluarga. Tak sangka pulak pihak Nestle juga membaca kisah kejayaan Ojet itu.

Kata-kata dalam kad ucapan yang di sertakan:

Salam sejahtera kepada di sana
Yang jadi bualan serata orang
Di sana membuat di sini terkesima
Atas pengorbanan bukan kepalang

Dengan ijazah hasil susah payah
Kini bersedia menabur bakti
Sedang membahagiakan emak ayah
Pahatkanlah juga kami di hati

Hai Anis Sebenarnya kami ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan anda menamatkan pengajian dengan cemerlang! Dan kami juga berbesar hati kerana dapat bersama anda sepanjang pengajian anda. Kami berharap anda terus berjaya di masa hadapan dan berhasrat kami akan sentiasa berada 'disisi'. - ikhlas Team Nestum

Siapa menduga, anak mak yang bukan siapa-siapa ni, tetiba jadi bualan dan nestle/nestum pengeluar produk minuman dan makanan memberi penghargaan kepadanya. Dan buku-buku yang di belinya dengan hasil dari tabungan dan jimat cermat itu kini di berikan kepada kawan-kawan yang masih lagi menuntut di universiti yang sama.

(nota mak: Sememangnya bagi mak, banyak kenangan manis termasuk pahit juga yang di lalui sepanjang anak-anak membesar dan menuntut di universiti. Perkara-perkara yang tak di jangkakan dan bakal di kenang selamanya.)

Tuesday, May 31, 2016

It's only words...

Smile, an everlasting smile
A smile can bring you
near to me

Don't ever let me find you gone
cause that would bring a tear to me

This world has lost it's glory
Let's start a brand new story now
My Love

Right now there'll be no other time
and I can show you how
My Love

Talk in everlasting words
and dedicate them all to me

And I will give you all my life
I'm, here if you should call to me

You think that I don't even mean 
a single world I say...

It's only words
and words are all I have..
To take your heart away

(nota mak: hari ni mak sentimental sikit...)

Wednesday, May 18, 2016

Selendang pink...

Dah seminggu berlalu...
Mak tak mahu cerita apa-apa...
cukuplah dengan apa yang telah ditulis 
oleh wartawan BERNAMA dan jadi viral 
di laman sosial serta komen-komen...


Antara penerima Anugerah Naib Canselor 
pada konvokesyen UiTM ke 84.



Ditemubual wartawan BERNAMA.

Apapun banyak juga ucapan tahniah yang sampai 
kepada kami sekeluarga serta dari Nestle juga. 
Terima kasih!

Thursday, April 28, 2016

Gigih seorang emak....

Inilah rupanya sponge cake yang dilapis dengan fruit 
cocktail, kemudian di topping dengan fresh cream dan di hias dengan 
buah-buah segar, kiwi, strawberry, nenas dan peach.

Kelmarin... ada yang nak makan kek sempena birthdaynya. Langsung mak pun berfikir nak buat kek apa... nak deco macam mana. Apa yang nak di masak sempena tarikh ‘bersejarah’ itu. Sebagai jamuan seisi keluarga.

Petang, selepas Asar... mak ‘lari’ balik rumah. 'Mengharung' jammed dan meninggalkan tugas di tempat kerja yang masih melambak. Lantaklah nak kena panggil dengan boss pun. Mak akan jawab nanti kenapa. Semuanya semata-mata nak balik untuk memasak dan buat kek.

Sampai rumah terus keluarkan ayam yang dah diperap belah pagi sebelum keluar ke tempat kerja. Terkocoh-kocoh mak. Baju pun tak sempat salin. Terus ke dapur... on kan oven. Laraskan suhunya. Kemudian potong bawang, halia dan segala macam yang di perlukan untuk rencah masakan. Kupas dan rebus kentang. Keluarkan butter dan telur dari peti sejuk. Biarkan ia dalam suhu bilik. Macam lipas kudung mak buat kerja petang tu. Cadangnya nak makan lepas Isyak.

Tengok oven dah panas, terus masukkan ayam. Set time... Panasnya ruang dapur usah cerita. Lebih-lebih lagi dalam cuaca yang membahang ketika ini. Sambil tunggu ayam masak, buat kentang putar. Sesekali jenguk dan kacau sos untuk ayam panggang yang masih atas tungku. Takut hangit. Siap kentang putar dan sos masak baru kupas buah.

Hampir Maghrib... azan kerkumandang. Mak lagi gelabah. Kek tak deco lagi. Masa ada lebih kurang satu jam lagi. Nasib baiklah kek dah di masak pada malam sebelumnya. Keluarkan kek dari acuan. Letakkan atas papan kek. Inilah satu kerja yang paling mak failed dalam sejarah buat kek. Memotong kek untuk dibahagikan kepada beberapa keping/lapis. Tapi mak gigih je... senget ke apa tak kisahlah. Dah di lapis dan di topping nanti tak nampak lapisan-lapisan yang senget tu. Mak pernah dengar ayat ni dari seorang chef terkemuka.

Lepas solat Maghrib putar fresh krim sampai kembang... dan mak mula menghias kek yang di hajatkan. Betul-betul lepas Isyak semuanya siap dan dapat makan sambil borak-borak.
Ayam panggang bersos cendawan, ketang putar 
dan kacang panggang.

(nota mak: kini menghitung bulan untuk menamatkan perkhidmatan sebagai pekerja di sebuah syarikat).

Thursday, April 14, 2016

Melawat rumah orang-orang tua...

Sebelum pulang ahli PIMPIN/Sukarelawan Nadi18 mengabadikan 
kenangan bersama penghuni rumah Sejahtera.

Balik dari Melaka demam. Walaupun sepanjang tiga hari berada di sana aku sentiasa berhati-hati. Minum banyak air dan tak keluar pun 'merayau-rayau'... duduk saja dalam bilik tapi demam jugak.

Usai meeting dan sebelum balik aku ikut ahli-ahli PIMPIN juga Sukarelawan Nadi18 (dah tentulah ikut sebab aku PR Ojet kan...) berkunjung ke rumah orang-orang tua Sejahtera di Bukit Baru, Melaka.

Inilah pertama kali aku melawat rumah kebajikan. Gembira dan manis senyuman penghuni rumah Sejahtera menyambut kedatangan Sukarelawan Nadi18. Sungguhpun bahang panas memenuhi seluruh dewan tempat di adakan pertemuan suasana tetap ceria. Para penghuni di jamu dengan ayam goreng KFC.

Sambil  melayan penghuni rumah Sejahtera makan mereka berbual-bual dan berselfie. Walaupun rata-rata penghuni rumah tersebut terdiri dari kaum Cina dan India tapi aku tengok budak-budak tu tak kekok pun melayan mereka.

Walaupun aku cuma mengekor Ojet, tapi apa yang aku lalui dan saksikan di sini memberi satu pengalaman baru buat aku... dan mendengar sendiri kisah dan cerita dari penghuni bagaimana mulanya mereka mendiami rumah tersebut.

Sedih dan rata-rata penghuninya 'dibuang' oleh anak-anak. Tapi dalam sedih tu ada juga lucunya... siapa sangka walaupun dah tua-tua begitu... pun ada juga 'nakalnya'. Menurut penjaga rumah tersebut, kadang-kadang ada juga penghuni yang sembunyi-sembunyi keluar sendirian ke pekan dan kedai berhampiran untuk minum-minum dan makan. Kemudian mereka terlupa dan tak reti nak balik semula. Kenalah penjaga rumah tersebut pergi mengambilnya di balai polis.

Hampir tiga jam ahli PIMPIN/Sukarelawan Nabi18 menghabiskan masa di rumah Sejahtera, Bukit Baru Melaka. Next time... kalau Ojet ajak lagi aku temankan dia, nak juga ikut. Macam best pulak.

Saturday, April 2, 2016

'Mengekori' Ojet...


Sehari dua ni makan tidur sajalah nampak gayanya hidup aku. Berbaring saja atas katil tanpa buat apa-apa. Penat terlentang, meniarap... pusing kiri... pusing kanan. Nak keluar berjalan-jalan, malas. Tambah-tambah lagi dalam cuaca panas di luar sana. Tak berani aku. Nanti tak pasal-pasal buat sebab je.

Aku sekarang ni di Melaka. Menemani Ojet mesyuarat Persatuan Alumni MPP UiTM Malaysia (PIMPIN). Dah tiga hari dan bermalam di Seri Costa Resort Hotel. Kami sampai hari Jumaat malam. Saja je lah... bukannya aku nak control atau tak percaya tapi memandangkan Ojet baru saja dapat lesen dan inilah pertama kali dia memandu jauh di lebuhraya. Malam-malam pulak tu. Tambah-tambah lagi perempuan... tak senang hati aku melepaskan dia berjalan sorang.

Walaupun dah dewasa, 'layanan' aku terhadap Ojet tetap macam dulu... masa kecik-kecik. Walaupun ada kawan-kawan sepejabat yang perli dan sinis dengan tindak tanduk aku 'mengekori' anak-anak. Aku tak boleh mengubah cara aku. Katalah apa-apa pun... Lagipun dia masih bujang... pada aku dia masih dalam tanggungjawab aku. Tak kisahlah tinggi mana pun jawatannya.

Ojet pun tak kisah. Dia cuma risau aku boring bersendirian di bilik sebab mesyuarat yang di hadirinya panjang. Dari pagi sampai ke petang dan bersambung hingga jam 12 malam. Ada juga dia syorkan aku pergi berjalan-jalan di sekitar Banda Hilir tapi macam aku cakap... dalam cuaca panas ni tak berani. Takut sakit kepala. Ubat pun tak bawak. Ada tidaknya semalam aku ke down town Dataran Pahlawan. Cari cencalok untuk kakak aku.

Tuesday, March 15, 2016

Simple dan mudah...

Dah lama tak update blog. Lama tinggal... dan bila nak memulakannya semula itu memang payah. Mood nak menulis dah makin 'sejuk'. Jadi sebagai 'pemanas' aku share kan satu resipi kek lobak yang simple dan mudah.

Tak banyak pakai bahan dan tak perlu peralatan yang 'canggih-canggih' sangat pun. Pejam mata pun jadi... dan rasanya pun sedap. Aku dapat resipi ni dari youtube.

Bahan-bahannya:
3 batang lobak merah
3 biji telur (aku guna gred B)
3/4 cawan minyak masak (aku guna minyak sunflower)
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan gula kastor (tapi aku cuma guna 1 cawan saja sebab tak suka manis sangat)
1 sudu makan baking powder

Cara-caranya:
1. Blend lobak, telur dan minyak masak. (ketepikan)
2. Ayak bersama tepung dan baking powder.
3. Satukan tepung, gula dan bahan-bahan yang telah di blend. Gaul rata.
4. Tuangkan dalam acuan (saiz acuan yang aku gunakan 7 x 3') dan bakar dalam oven dengan suhu 160 darjah celcius selama 45 minit atau sehingga masak.

Inilah rupanya kek dari resipi tu yang aku buat 
baru-baru ni. Tapi aku tak toppingkan sebab bahan-bahan 
topping tak ada dalam simpanan di dapur.

Kalau teringin nak topping bahan-bahannya:
1 cawan gula
1 cawan serbuk koko
1/4 cawan susu segar
50 gm butter
(semua bahan ini masukkan dalam periuk dan panaskan. Kacau biar pekat sikit dan curahkan atas kek.)

Sunday, January 31, 2016

Janji...

Rasanya macam lama sangat tak update blog. Tahun 2015 pun dah sebulan berlalu. Tapi bila di kira balik baru sebulan setengah saja aku tak membuat apa-apa catatan di sini dan ketinggalan banyak story dari entri rakan-rakan.

Saat diuji oleh-NYA, aku hampir patah semangat. Dalam hati terdetik, "mungkinkah masaku telah tiba."

Teringat kata-kata abang, "mak jagalah kesihatan, jangan buat kitorang susah hati."

Alhamdulillah! aku masih diberi peluang untuk bernafas dan menyaksikan suka duka dan pahit manis kehidupan ini.

Berbicara tentang anak-anak.., Ojet juga dah habis pengajian. Seperti yang diimpikannya dalam entry aku 'Berebut Cuti...(26 Mei tahun lepas)... Ojet bakal penerima Anugerah Naib Cancelor (ANC) pada hari konvonya yang dijangka bakal berlangsung Mei ini. Berita gembira ini di terima ketika kami sekeluarga masih lagi di United Kingdom.

Ojet pun dah bekerja sekarang. Balik dari UK lepas dia terus settlekan beberapa perkara yang tertangguh. Belajar memandu dan menghadiri beberapa temuduga kerja. Dan dalam beberapa siri temuduga itu dia berjaya dan telah memilih salah satu darinya. Tapi maaf,.. demi privasi dan keselamatan aku terpaksa merahsiakan syarikat tempat dia bekerja sekarang. Siang Ojet bekerja di pejabat dan pada sebelah malam pula dia jadi guru di satu pusat tuisyen mengajar subjek matematik. Nampaknya aku tidak lagi boleh menulis kisah anak-anak lepas ini tanpa izin mereka.

Ojet juga sudah memiliki sebuah kereta kecil hasil titik peluhnya sendiri. Walau cuma sebuah kereta kecil tapi akulah mak yang paling happy melihat perubahan hidup anak-anak. Dari kecil di asuh.., di beri pendidikan... membesar sehinggalah boleh berdikari dan memiliki kerjaya.

Dan ini membuatkan aku yakin dengan keputusan untuk bersara dari tugas yang aku buat sekarang. Janjinya dulu sebaik anak-anak tamat pengajian dan bekerja aku ingin bersara. Ingin jadi suri rumah sepenuh masa. Melaksanakan tugas-tugas yang banyak terabai dan memberi sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. InsyaAllah!