Menatap kembali satu-satu gambar ketika abang konvo, hati tertanya-tanya sendiri... Segalanya seolah mimpi. Empat tahun melepaskannya sendirian berada di negara orang dengan harapan dan impian seorang emak...
Kerana kembaranya menuntut ilmu di UK secara tidak langsung membawa aku sekali ‘mengembara’ di bumi Ratu ini...
Expresi happy seorang emak...
"...dah dapat master... abang punya!"
"...dah dapat master... abang punya!"
Yakinnya aku menyerahkan kepercayaan padanya ‘memimpin’ aku berjalan-jalan ke sana kemari. Kefasihannya berbahasa Inggeris dengan telo UK adakalanya mendapat perhatian dari penduduk tempatan sendiri. Sehinggakan mereka bertanya, adakah dia rakyat Britain.
Selama dia di United Kingdom adalah dua kali aku ke sana. Kali pertama dua tahun dulu masa winter. Ya, jika sekadar untuk berlibur-libur dan melancong... tentulah tidak. Ketika itu rindu padanya seringkali bertamu. Dan dia pun acapkali talipon bertanya bila aku nak datang. Akhirnya aku gagahi juga menjenguknya di sana. Dalam bajet yang ciput dan menempuh musim sejuk yang tak pernah aku bayangkan bagaimana rasanya. Akhirnya aku dapat tahu, dia homesick dan rindukan aku jugak!
Sepanjang berjauhan dengannya berbagai rasa menjentik hati dan menjenguk perasaan. Kadang-kadang seperti ada sesuatu yang berkata dalam diri... ‘memberitahu’ keadaan dia di perantauan sana. Itu belum lagi bila memikirkan kata-kata ‘nakal’ orang keliling-keliling... “...percaya ke biarkan dia sorang-sorang di negara omputih...” Peritnya jiwa bila mendengar dan menepis segala kata-kata yang tak sedap di dengar. Setiap saat rasanya doaku tak putus-putus untuknya.
Ada kalanya tak semena-mena aku jadi risau dan asyik terfikirkan tentang dirinya. Makan ke dia.. sihat ke dia... Bila tiba bulan puasa, tak tersuap rasanya nasi bila terkenangkannya. Apalah yang di makannya. Ada kalanya aku tak mampu nak masak makanan yang menjadi kegemarannya di rumah.
Pernah selepas tiga bulan di UK, dia talipon beritahu duit tajaan tak masuk lagi. Ingat lagi kata-katanya ketika menalipon aku, “mak kalau duit tak masuk jugak dalam minggu ni, merempatlah abang!” Tidak keruan hati aku mendengarnya. Entah pada siapa mahu mengadu. Menangis memikirkannya.
Bila dengar dia tak sihat, demam atau sakit kepala, rasa ingin terbang dan berada dekatnya. Bila dia suka dan beritahu keputusan examnya aku rasa mahu melompat-lompat... seronok mendengarnya.
Kini semuanya jadi kenangan. Aku tahu dan dapat rasakan luka dan kecewa di hatinya kerana impian untuk meneruskan pengajian di peringkat Ph.D dalam bidang ekonomi dan politik terpaksa di lupakan kerana kewangan...
Harapan aku semoga dia sukses dalam kerjaya. Sabar dan tabah menempuh dugaan hidup. Inilah realitinya... Tidak semua yang kita mahu dan inginkan boleh di 'capai' dengan mudah. Berusahalah sayangku...Ingatlah! walau di manapun berada doa mak sentiasa menemani abang. Jangan sesekali berputus harap dan membiarkan kekecewaan membelenggu hidup kita. Tak mengapa jadi seperti kura-kura... lambat dan merangkak-rangkak untuk sampai ke garisan... Apa gunanya jadi arnab tangkas dan pantas berlari tapi akhirnya kalah kerana kealpaan.