Monday, September 18, 2023

Akhirnya Kalah Dan Mengalah...

Beginilah...di usia meniti senja... pergerakkannya makin kerap terganggu. Ada saja sebabnya untuk mengalah dan rebah...

Seperti yang pernah mak catat di blog ini... apabila bersara dari alam pekerjaan mak ingin mengisi masa-masa lapang dengan kegemaran berkebun. Dicantikkan lagi sejak berpindah ke rumah baru ini... ada sedikit tanah di belakang dapur untuk mak realisasikan impian itu. 

Alhamdulillah apa yang mak usahakan itu menjadi dan memberikan sedikit keseronokkan apabila dapat menuai hasilnya.

Tapi disatu petang mak kalah... sedang leka mencabut rumput-rumput yang semakin meliar tumbuhnya di batas-batas tanaman mak... tiba-tiba pinggang terasa sakit. Mak cuba bangun berdiri... gagal... malah kesakitannya rasa tak tertanggung.

Dengan segenap upaya yang ada... mak merangkak perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Di tepi pintu dapur mak menangis keseorangan menahan kesakitan.

Dalam kesakitan itu, mak talipon sorang jiran memaklumkan situasi yang menimpa. Alhamdulillah... beberapa orang jiran yang berhampiran datang membawakan ubat dan minyak urut membantu melegakan kesakitan yang mak tanggung ketika itu.

Malam dan keesokkan harinya mak masih tak mampu bangun dan berdiri. Ojet nampak serba salah meninggalkan mak sendirian untuk ke tempat kerja. Tapi mak yakinkan dia... mak mampu menguruskan diri... cuma mak pesan... jangan kunci pintu bila keluar rumah supaya jika apa-apa terjadi... mak boleh talipon dan minta bantuan jiran-jiran.

Tengahari...beberapa orang jiran datang melawat mak di rumah dan membawakan makanan. Rupanya sebelum ke tempat kerja, Ojet telah menitipkan pesanan pada salah sorang jiran satu lorong untuk tolong tengok-tengokkan keadaan mak.

Makanan tengahari yang disediakan dan diletakkan tepi katil mak. Terharu sungguh mendapat perhatian sebegini dari jiran-jiran.

Beberapa minggu selepas itu... dinihari 4 pagi... mak sendirian dan sibuk di dapur. Menyiapkan 170 biji kuih koci sambil menggoreng 170 biji karipap. 

Begitulah selalunya bila ada tempahan banyak dan cust nak ambil kuih-kuih mereka pagi. Memang semalaman itu mak tak tidur.

Tidak ada pembantu sebab mak lebih senang bekerja sendirian.

Hampir subuh...ketika sedang menggoreng karipap mak tiba-tiba rasa tak selesa diperut dan ulu hati. Rasa seperti di jerut-jerut sakitnya... dan mak tidak mampu lagi berdiri. Rebah dan berguling-guling di lantai menahan kesakitan yang teramat sangat.

Mendengar mak meraung kesakitan, Ojet bangun dan memapah mak ke katil. Untungnya hari itu hari minggu, Ojet tak bekerja. Dan seharian itu kesakitan yang mak tanggung tidak berkurangan. Tapi mak masih bertahan di rumah. Tidak mahu ke hospital dengan alasan takut 'di tidurkan'.

Tapi masuk hari kedua mak tidak mampu bertahan lagi. Akhirnya akur di bawa ke hospital...

Percutian dua hari satu malam di hospital.

Permandangan dari tingkap katil hospital.

Wednesday, June 21, 2023

Siapa ID?...

Hari minggu baru ni ejen hartanah yang Ojet hubungi masa nak beli rumah dulu datang bertandang. Namanya Candy. Sejak awal berjumpa waktu nak beli rumah ni empat tahun dulu hingga sekarang rupanya dah jadi kawan dengan Ojet.

Memandangkan mak ni dah aktif membuat dan menjual kuih... mak pun readylah bila dengar ada tetamu nak datang. Mak gorengkan karipap, keropok dan hidangkan kek buah kukus yang dibuat masa hariraya hari tu. Kek buah kukus ni memang tahan lama di simpan dalam peti ais.

Candy datang bersama dua lagi rakannya yang juga ejen hartanah syarikat yang sama. Sebaik saja dia melangkah masuk perkataan pertama yang keluar dari mulutnya "wahh"... dan dia bersama rakannya seolah tidak sabar-sabar masuk dan menjenguk ke setiap sudut.

Kemudiannya tanya siapa yang ID. Mak cakap..., mak buat sendiri. Katanya, cantik dan macam London.... hahaha.. mak gelak dengar dia kata mcm london. Sebelum ni pun ada sorang jiran mak... cakap macam tu jugak. Apa yang dimaksudkan dengan 'london' tu tak tahulah. 

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama mak menerima pujian dari tetamu yang datang malah tukang tebuk dinding untuk gantung frame gambar pun berkata perkara yang sama. Tapi hati mak kembang juga bila ramai yang mengagumi hasilnya. 

Simple saja sebenarnya hiasan rumah baru mak ni. Cuma kali ini mak memilih warna putih sebagai warna temanya... dan tidak banyak perabut yang di letakkan di dalamnya.







Kolam kecil sebagai penyejuk mata. Di dalamnya mak lepaskan 
beberapa ekor ikan.
 
Mini library... di rak ini tersimpan buku-buku bacaan abang dan
 Ojet ketika kanak-kanak, buku-buku sekolah, universiti, novel juga
 termasuk buku- buku resepi mak.

Sesi photography yang di lakukan beberapa bulan dulu. 

Tuesday, May 30, 2023

Mak Sebagai Penjual Kuih...

Kuih tepung pelita dan cara berlauk yang mak titipkan di gerai jiran 
yang berniaga di bazar ramadan lepas.

Setiap hari seratus biji kuih tepung pelita yang mak buat akan habis terjual.

Sesungguhnya ramadan dan syawal 1444H meninggalkan banyak kenangan pada mak. Untuk pertama kalinya ramadan tahun ini mak 'terjebak' secara langsung dalam aktiviti menjual kuih muih secara serius hingga membawa ke syawal. 

Bersama seorang jiran... masih muda belia orangnya.. mak berjual kuih muih seperti karipap, koci, cara berlauk serta tepung pelita. Alhamdulillah...  sambutannya sungguh memberangsangkan. 

Walaupun keletihan tetapi hati puas bila mengira rezeki yang masuk. Sehingga kini, walaupun syawal sudah berlalu tapi tempahan untuk kuih-kuih seperti karipap, cara berlauk, koci dan lain-lain masih rancak mak terima.

Karipap antara kuih yang paling banyak tempahan yang mak dapat sepanjang 
syawal lalu. Malah sehingga kini tempahan untuknya masih lagi masuk.

Wednesday, January 25, 2023

Usia Emas...

Eh..eh sudah penghujung Januari rupanya. Dah hampir sebulan kita berada di tahun baru... tahun 2023. Begitu cepatnya masa beredar. Sedar-sedar nanti dah tiba lagi tahun baru yang lain.

Melangkah ke tahun baru bermaksud bertambahnya umur... meninggalkan zaman muda... mematangkan usia dan meninggalkan puing-puing kenangan pahit dan manis jauh di belakang...

...dan kini mak sudah pun berada di fasa usia emas.

Kejutan yang dibuat oleh jiran-jiran pada ulangtahun
kelahiran mak baru-baru ini.