Tuesday, July 30, 2013

Nokia kodok...

Kiri, nokia kodok pemberian abang. Tahan lasak 
betul talipon ni. Si abang cakap dah beberapa kali masuk 
dalam mesin basuh tapi ok lagi. Kanan, nokia kodok aku 
yang aku dah 'menyampah' tu.

Ianya taklah secanggih dan sehebat talipon orang lain. Nak keluarkan pun malu. Sekadar boleh hello! hello dengan anak-anak cukuplah. Kalau berdering ketika aku berada dalam LRT  confirm memang aku tak jawab punyalah... segan... talipon kodok je.

Tapi pagi ni aku tiba-tiba naik 'hangin' dengan talipon nokia yang tak berapa nak 'classic' ni. Hah! ambik kau... berderai aku hempaskan ke lantai. Mahunya tak hangin. Lately ni 'dia' selalu saja buat perangai. Bila berbunyi... angkat... line putus. Berbunyi lagi... angkat... line putus lagi. Mana boleh sabar kan. Baterinya tu 'kong' saja. Kalau di pejabat aku sentiasa connect kan ke chargernya... baru boleh angkat dan jawab panggilan yang masuk.

Nak beli ganti yang baru... takdalah kot. Teringin tapi bajet tak ada. Nasib baik ada talipon nokia yang lebih kodok dari nokia kodok aku yang dah berderai tu. Malah lebih 'classic' lagi. Kamera pun tak ada. Talipon lama abang. Masih elok lagi. Si abang bagi pada aku masa kami nak berpisah di stesen Bayswater, London hari tu! Walaupun kodok tapi aku sayangggg! Pemberian dari abang kannnn!

Thursday, July 25, 2013

Meriahnya hari ini...

Bukan saja-saja bergaya tau...

Meriah di tempat kerja hari ni. Dengan aktiviti memasak bubur lambuk  di perkarangan bangunan pejabat... dan kunjungan para tetamu serta buah tangan dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Sebenarnya beginilah suasana di tempat kerja aku setiap bulan Ramadan... walaupun ada juga tetamu-tetamu dan pelawat yang datang pada bulan-bulan lain tapi ianya tidak semeriah di bulan Ramadan.

Memasak bubur lambuk ini adalah aktiviti yang memang diadakan setiap tahun di bulan Ramadan. Sepanjang bulan itu aktiviti memasak ini akan dibuat sekali dalam seminggu. Ianya adalah sukarela yang dianjurkan oleh Badan Keluarga dari bahagian agama. Tiada paksaan... sesiapa yang free boleh datang membantu dari mengupas kulit bawang hinggalah memasukkannya ke dalam bekas. Kadang-kadang aktiviti memasak bubur lambuk ini juga di taja oleh badan-badan atau persatuan tertentu untuk mereka ambil dan agih-agihkan kepada sesiapa saja.

Dan hari ini kami semua berbuka puasa dengan kakitangan GAMUDA yang datang melawat dan menyediakan makanan di perkarangan bangunan pejabat tempat kerja aku.

Kedatangan Doremon menggemparkan 
rakan-rakan yang berebut-rebut nak 
bergambar dengannya.

Juadah berbuka pemberian dari 
Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Dalamnya 
ada nasi beriani dan lauk-lauknya. Sedap!

Enam puluh bekas bubur lambuk yang dah siap untuk 
di berikan sebagai buah tangan kepada para pelajar UNiMAP 
dari Arau Perlis yang datang membuat lawatan.

Sebahagian pelajar UNiMAP yang datang berkunjung 
sedang diberi penerangan.

Wednesday, July 24, 2013

Ramadan kali ini...

Puasa kali ini aku rasa lain sekali. Berbeza sangat dengan Ramadan tahun-tahun sebelum ini. Faktor usia agaknya. Dulu muda dan sihat. Tenaga masih kuat. Sekarang usia dah menjangkau 50an. Cepat sangat terasa letihnya dan lesu. Mengalahkan budak baru nak belajar puasa.

Selesai saja berbuka... masa tu datanglah letihnya dan mengantuk. Lutut pun 'ketaq' aih! Solat sunat tarawih 8 rakaat pun rasa tak terikut. Dalam sembahyang pun boleh nak tertidur. Sekarang ni letak saja kepala atas bantal terus lelap sampai ke pagi. Letak alarm tepi telinga pun belum tentu terjaga. Terukkan!

Beberapa hari lepas solat sunat tarawih di surau pejabat di imamkan oleh imam dari Mekah. Pengumuman mengatakan bermula dari malam tersebut sampai akhir Ramadan solat sunat tarawih akan dibuat 20 rakaat. Aku siang-siang dah 'surender'. Tapi tak jadi. Sekarang ni 8 rakaat pun aku rasa macam nak sembahyang duduk saja. Tapi malu pulak... macam dah tua sangat... tapi memang, dulu mudah je nak rukuk, sujud dan bangun. Sekarang ni terkial-kial. Lutut mak sakit la wei.

Tadi pergi periksa tekanan darah. Cantik sangat bacaannya... 103/85.


Thursday, July 18, 2013

Cerita pasta....

Conversation antara aku dan abang setelah dia tunjuk gambar ni. Dia sekarang 
berada di Rome... Waktu berpuasa di Rome kurang sejam dari UK.


Aku: Pasta Italy... mana lagi sedap... yang mak 
buat atau yang ori Italy ni?

Abang: Mak buat lagi sedap. Ni mahal je, tapi tak
berapa. Boleh laa asal kenyang.

(He..he.. kembangnya hati aku dipuji begini.)

Ole-ole dari Rome. Tapi belum sampai lagi 
ke tangan aku. Baru tengok gambar je.

Wednesday, July 17, 2013

Hari ini...

Buah tangan dari Felda Global Ventures Holdings 
Berhad (FGV) Beg purple tu pulak pemberian dari Kementerian 
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang 
menaja majlis berbuka kami di pejabat semalam. 

Hari yang kelapan kita berada di bulan Ramadan... bermakna akan lapan hari jugalah aku berbuka di tempat kerja. Beginilah rutin harianku setiap kali menjelang Ramadan. Sejak dari tahun 1995... sejak aku menyertai syarikat ini. Jarang aku dapat bersama dengan anak-anak di rumah. Berbuka puasa bersama-sama. Kalau ada pun cuma pada hujung minggu. Hari-hari lain mereka berbuka puasa di rumah kakak aku.

Bila aku balik mereka (abang dan Ojet) akan tanya dan antara pertanyaan mereka... “mak berbuka kat mana... mak makan apa... siapa yang sediakan tu semua.... mak beli ke? sedap ke?...

Aku akan jawab, ”mak berbuka kat tempat kerja... makan nasi je... ala nasi dengan ikan goreng dan sayur.... semua tu tempat kerja mak yang sediakan... percuma... ala biasa je... lagi sedap umi masak. (umi tu kakak aku tempat aku titipkan anak-anak bila aku keluar bekerja. Dialah yang mengasuk anak-anak aku selama ini. Anak-anak aku tu dah jadi macam anak dia.)

Setiap tahun itulah pertanyaan yang di ulang-ulang walaupun kedua-duanya dah dewasa sekarang. Dan jawapannya tetap sama... walaupun ada hari-harinya ada penaja dan majlis berbuka puasa di tempat kerja... dan menunya ‘grand-lah’ sikit... macam-macam ada. Ada kambing panggang, sate, nasi beriani dengan lauk-lauknya, kuih muih yang berbagai jenis, mee dan macam-macam lagi tapi aku tetap akan kata cuma makan nasi lauk ikan dan sayur juga. Dan setiap tahun dalam bulan Ramadan memang ada saja penaja dan buah tangan dari bank-bank atau syarikat-syarikat lain yang datang mengadakan majlis berbuka di tempat kerja aku.

Tak tergamak rasanya cakap tadi ada majlis berbuka di tempat kerja...  Dan menunya lebih dari biasa. Aku rasa macam tak tersuap makanan tu ke dalam mulut bila teringatkan anak-anak di rumah. Walaupun aku tahu kakak aku dah sediakan juadah berbuka untuk mereka di rumah... tapi entahlah... satu perasaan yang sukar aku jelaskan.

Lagipun bukan aku suka-suka nak berbuka di tempat kerja dengan kawan-kawan tapi dah tuntutan dan rutin kerja aku memang begini.Kalau aku balik pun kerumah tak sempat nak sampai di rumah sebelum maghrib. Tahu-tahu jelah keadaan trafik di Kuala Lumpur ni lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Jadi aku tak kuasa nak bersesak-sesak jika ada alternatif lain... berbuka saja di pejabat. Hubby pun sama. Dia juga berbuka di tempat kerja. Bidang kerja kami sama cuma lain syarikat saja. Anak-anakpun aku rasa dapat menerima situasi ni.

Meriah juga berbuka di tempat kerja. Makanan memang disediakan oleh majikan. Dan rasanya tahun ni lagi meriah. Dengan beberapa khemah yang telah dipasang dan dalam suasana di bangunan baru. Lepas berbuka kami semua akan solat berjemaah dan tarawih bersama-sama. Di bangunan baru ni ruang suraunya lebih besar berbanding dengan bangunan lama dulu. Alhamdulillah!

Wednesday, July 10, 2013

Hampir terlupa....

Dah beberapa minggu tak update blog... malas... lagipun badan tak berapa nak sihat... semput akibat jerebu yang melanda KL beberapa minggu sudah... Hari ni pun masih minum ubat batuk lagi... tapi lepas sahur subuh tadi. Aku puasa hari ni.

Subuh tadi pun nyaris-nyaris tak bangun sahur. Dah kunci jam pukul 4.30 pagi... tapi bila jam berdering-dering aku buat tak tahu saja sampailah aku terfikir kenapa jam berdering awal sangat... puas terkebil-kebil baru teringat hari ni start puasa. Apalagi bingkas aku bangun dan berkejar kedapur... alhamdulillah tengok nasi dah masak, air dan lauk dah ada.

Ojet yang siapkan... hmm Ojet dah balik pagi semalam. Dah start cuti semester. Tahun ni berpuasa dan berhari raya berdua dengan Ojet saja lah... Abang tak balik...

Sebut pasal abang mula hati aku sedih... macam manalah dia menjalani ibadah puasa di UK sana... lama pulak tu... abang cakap waktu berpuasa di UK... 19 jam... bermula dari jam 3 pagi sampai 10.00 malam dan ini pengalaman pertamanya... Harap-harap dia tak ‘terlupa’... risau jugak aku.