Tuesday, December 17, 2013

YB tu turun Shah Alam...

Dah lama sangat kasut ni tersimpan dalam kabinet 
kasut. Akhirnya terkopak sendiri.

Baju sudah aku gosokkan. Aku gantung dalam almari. Kasutnya yang terkopak tu pun sudah aku gamkan semalam. Ada beberapa pasang kasut lagi dalam kabinet kasut yang tidak dibawanya ke kolej. Nanti semua tu akan aku bawak dan tunjukkan pada dia. Biar dia pilih sendiri yang mana sesuai dan dia nak pakai.

Malam ni YB tu (Ojet) akan turun ke Shah Alam. Habis kuliah tengahari nanti dia dan barisan kabinet MPP cawangan UiTM Perlis akan bertolak dari Arau dan di jangka sampai di UiTM Shah Alam malam nanti. Ada majlis watikah perlantikan MPP baru esok (Khamis). Sudah tentulah kesempatan ini peluang untuk aku berjumpa dengan Ojet.

Itulah baju dan kasut tu dia nak pakai untuk majlis perlantikan tu nanti. Aku dah cakap dengan dia dulu... kasut-kasut dia dalam kabinet tu bawalah ke kolej... pakai pergi kuliah. Kalau biar dan simpan saja dalam kabinet tu lama-lama nanti akan rosak jugak. Untienya (adik aku yang nak kawin tu) suka belikan dia kasut. Malah setiap kali bila mereka keluar bersama. Macam-macam fesyen. Semuanya tinggi-tinggi..

Aku pun tengah fikir-fikir nak bawakan apa untuk dia. Kalau nak masak-masak tu tentu tak sempat. Lately ni aku sampai rumah malam... lepas maghrib. Kakak aku pun fikir benda yang sama juga. Kakak aku tu tak ada anak. Anak-anak aku dah macam anak-anak dia. Sejak lahir dialah yang menjaga abang dan Ojet. Sanggup berhenti kerja semata-mata nak jaga anak-anak buah. Samalah dengan adik aku (bakal pengantin tu). Apa saja kemahuan anak-anak buah diturutkannya.

Dan aku tengah berkira-kira nak ambik cuti esok. Work presentation yang di bincangkan masa brainstorming di PD hari tu dah siap dan dah diserahkan pun. Tapi esok ramai pulak rakan-rakan yang nak cuti. Masing-masing nak menghantar anak-anak ke sekolah untuk ambik keputusan PMR. Aku nak cakap hantar anak ambik keputusan PMR jugak ke?... hehehe.

Sunday, December 15, 2013

Jadikan Dia Seorang Princess...

Semuanya menyesak dalam fikiran sekarang. Tak tahu di mana nak mula. Perbincangan secara formal belum dibuat... sekadar cakap-cakap saja dulu. Tapi tarikhnya sudah di pilih.

Aku kata tak boleh. Suntuk sangat masanya.  Sebulan yang diberi tu tak cukup untuk aku menguruskan dan melaksanakan seperti apa yang dimahukan.

Katanya, jadikan dia seorang princess seperti dalam cerita-cerita dongeng  Inggeris. Mahu pakai gaun kembang seperti Cinderella. Layahnya labuh menyapu lantai... Kelilingnya dipenuhi dengan bunga-bungaan persis taman Inggeris... ketika dia berjalan alunan muzik dari lagu-lagu Love Story mengiringi langkahnya berdua menuju ke lantai singahsana... hah! pengsan aku.

Kakak aku pulak cadang nak buat di rumah. Aku kata tak boleh... Aku tak ada masa nak tolong dia mengemas. Aku suggest buat kat tempat-tempat tertentu dan guna pakar perunding saja. Kalau nak buat juga di rumah sekadar majlis doa selamat dan akad saja.

Adik aku, adik perempuan yang bongsu nak kawin. Impian perkahwinannya macam yang aku cakap... dan dia dah minta aku uruskan. Tapi masa yang diberikan itu terlalu singkat bagi aku... mana lagi masuk tahun baru ni lepas brainstroming di PD beberapa minggu lepas dapat aku bayangkan macamana ketatnya jadual kerja di pejabat. Dalam perkiraan aku, agak susah juga untuk mendapat cuti nanti.

Tapi hal adik aku tak boleh nak ketepikan juga. Tambah-tambah lagi kami dah tak ada mak dan ayah lagi. Segala urusannya kami adik beradiklah yang settlekan. Kalau dulu ada juga abang, kini abang aku pun sudah tiada lagi. -(aku sedih bila teringat saat2 begini dia tiada. Kalau tidak dulu apa-apa hal pada dialah tempat mengadu).

Aku kalau boleh nak buat Malay Wedding saja. Aku suka tengok lelaki orang putih pakai baju Melayu, bersamping dan bertanjak. Nampak handsome pada pandangan mata aku. Tapi nak buat macam mana... tuan empunya badan ada impiannya... aku turutkan saja setakat mana yang mampu.

Oh ya lupa nak beritahu, pasangan adik aku itu seorang lelaki kulit putih. Bangsa Amerika. Bukan lelaki Inggeris seperti yang pernah aku beritahu dalam entry bulan Februari lalu...yang dia date ketika kami pergi ke UK tempohari. Itulah dah jodohkan... kita merancang tapi tuhan yang menentukan. Apapun aku bersyukur dia dah bertemu dengan empunya tulang rusuknya. Patutlah lambat... orang jauh rupanya yang punya... dari benua Amerika sana datangnya... haha!

(nota mak: Anak-anak aku pun belum di beritahu yang untie mereka nak kawin. Aku pasti apabila kedua mereka (abang dan Ojet) akan terkejut bila membaca post aku ini. “Acik dah nak kawin abang, dik Da”)

Thursday, December 12, 2013

Baru lega....

Berminggu-minggu aku menanggung rindu... menanti-nanti panggilan darinya.... nak dengar suaranya... nak dapat mesej dan tahu perkembangan dirinya tika ini...

Rasa macam tak boleh buat kerja... Dua minggu sudah aku di PD tiga hari... menghadirkan diri untuk brainstorming. Entah! tumpuan aku tidak sepenuhnya pada meeting tu. Semuanya macam blur je.

Perjalanan balik ke KL aku memandu santai-santai sambil dengar lagu jiwang-jiwang...  Malaslah nak fikir pasal hal-hal yang dibincangkan masa brainstorming tu.

Aku singgah di R&R untuk sembahyang zuhur dan tapau yongtofu kat gerai Umi. Sesiapa yang biasa singgah di R&R Seremban menghala ke KL mesti tahu gerai Umi tu. Owner dia Umi tu dulu tinggal berjiran dengan aku di KL. Kami tinggal satu taman... tapi sekarang tidak lagi.

Bermalam di rumah semalam... lepas tu aku ke Arau. Jumpa YB tu lah...(hehe... sekarang aku panggil Ojet YB, lepas dia menang PRK tu. Ahli Majlis Tertinggi sekarang dalam MPP. Ojet pegang jawatan Setiausaha Agung.) Pun aku pandu kereta santai-santai je. Dah tak berani nak pecut laju-laju... takut kena saman lagi. Sementelah ketika sampai di Sungkai aku nampak kamera AES memancar-mancar flashnya mengambil gambar kereta-kereta yang di depan aku.

Ketika aku memandu melalui kawasan-kawasan sawah padi dari Sungai Petani ke Alor Setar (sekitar Pendang aku rasa) pemandangannya cantik sangat. Di kiri kanan highway sawah padi terbentang luas. Terkenang masa kecik-kecik dulu... hmmmm! Dalam hati berangan... seronok kalau dapat memancing di tali air di tepi-tepi sawah padi tu.

Pemandangan yang menyejukkan mata... aku 
berhenti sekejap di tepi lebuh raya untuk mengambil gambar 
dan menikmati pemandangan yang cantik ni.

Pertama kali aku melalui kawasan sawah di Alor Setar ni, ketika aku menghantar abang ke Kuala Nerang untuk mengikuti foundation di Kolej Mara sana tiga tahun dulu. Waktu tu aku betul-betul teruja dan terpegun dengan keindahan pemandangannya.

Sampai di Arau aku tidak terus berjumpa dengan Ojet... sebab YB tu sibuk sangat masa tu. Ada program di kampus... Muka pun nampak penat je bila aku jumpa dan ambik dia. Penat dan tak cukup rehat sejak dari hari kempen. Tak dapat berlama-lama dan berbual sangat dengan dia. Tapi kami sempat jugalah ke Padang Besar. Dua hari tu Ojet tidur dengan aku di homestay.

Sekitar homestay yang aku sewa. Di sebalik 
tembok pagar tu ada tali air dan sawah padi.

Balik semula ke KL kerja menimbun menunggu untuk di siapkan. Barulah fikir semula hal-hal yang dibincangkan masa brainstorming di PD. Lepas maghrib baru balik ke rumah. Suasana yang sunyi di rumah buat aku tertekan.

Sehinggalah malam tadi... aku dapat panggilan talipon...

“Mak buat apa tu!”

“Mak tengah mengemaskan rumah”.

“Pukul berapa ni, mak tak tidur lagi”

“Pukul sepuluh! Abang ok ke?” Gembira je nada suara abang aku dengar. Tengah exam dia sekarang ni. Dan dia begitu yakin sekali akan dapat markah 100. Menurut abang selama dua minggu dia berkurung di library mengulangkaji. Sebab tu dia tak talipon aku... dan hari ni, Jumaat, aku happy sangat. Ada macam2 berita gembira yang aku terima hari ni... selepas 'berkelana' dari selatan ke utara... InsyaAllah! akan aku update di blog ni nanti.

(nota mak: Doaku sentiasa mengiringi permata-permata hatiku... abang dan Ojet pada setiap perkara yang mereka lakukan dan meraih kecemerlangan lagi dalam exam semester kali ini...aminnnn!)

Monday, December 9, 2013

Apam Nasi...

Resipinya ambik dari blog kak Noor (link). Semalam buat. Dengan sukatan dan adunan yang diberikan dapat banyak juga... tapi sayang bila dah masak tak ada sapa yang berebut dan makan. Aku cuma pandang saja... teringatkan anak-anak.. dulu kalau masak apa-apa... ada yang makan dan memuji... lepas tu kalau sedap akan adalah permintaan supaya buat lagi...

 Lembut dan gebu.

Ada 4 colour sebenarnya yang aku buat - kuning, 
putih, pink dan hijau...

Bahan-bahannya:
3 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula boleh tambah atau kurang 
1 peket yis mauripan
2 cawan nasi
3 cawan air
Kelapa parut putih secukupnya

Cara mengadun:
1. Masukkan semua bahan-bahan kedalam mangkuk besar kecuali nasi dan air, gaulkan dan ketepikan kejap.

2. Kisar nasi dan air hingga betul-betul hancur dan campurkan dengan bahan-bahan yang di gaul tadi... biarkan sebati.

3. Perapkan selama 3 jam atau lebih sehingga adunan naik.

4. Panaskan kukusan. Masukan adunan dalam acuan dan kukuslah selama 10 - 15 minit .

5. Apabila masak gaulkan dengan kelapa parut yang telah dicampurkan sedikit garam.


(Nota mak: Tapi aku percaya akan ada permintaan juga bila datang cuti semester tak lama lagi...)

Friday, December 6, 2013

Happy hari ni....

Bahagia dan happynya aku hari ni... berita yang ditunggu-tunggu sejak beberapa bulan ni muncul juga. Ojet akhirnya berjaya mendapat tawaran biasiswa JPA. Dari pagi tak sabar aku menunggu keputusannya. Tepat jam lima petang tadi sebaik saja keputusan diumumkan, aku terus masuk laman web JPA tu.

Sebelum ni, kos pengajian dan sara hidup Ojet di kolej aku tanggung sendiri. Mulanya memang nak apply PTPTN tapi bila mengenangkan habis belajar nanti Ojet terbeban pulak dengan hutang jadi aku tak benarkan dia proceed. Waktu tu aku cuma beritahu dia, belajarlah sungguh-sungguh dik, every semester dapatkan 4 flat... nanti try apply biasiswa JPA... Walaupun nampak macam aku pressure dia... tapi kalau dah namanya belajar tentulah nak result yang baik dan cantik... betul tak?

Alhamdulillah! syukur aku ke hadrat Ilahi hari ini. Harapan, impian dan doaku sepanjang masa agar dia terus gigih berusaha dan sentiasa mengekalkan kecemerlangannya sehingga tamat pengajian.

Wednesday, November 27, 2013

Getaran HATI SISWA SISWI...

Rakan-rakan Ojet yang membantu kempennya dalam 
pilihanraya kampus (PRK).

Antara poster Ojet untuk kempen PRK.

Pada aku satu lagi sejarah/kenangan manis terukir dalam catatan diary kehidupan seorang emak. Anak perempuanku, Ojet menang pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam pilihanraya kampus (PRK) bagi sesi 2013/14 yang di adakan semalam 27 Nov. Dalam paper pagi ni... kumpulan proaspirasi mencatat kemenangan 100 peratus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan memenangi kesemua 50 kerusi di kampus induk dan 176 kerusi di kampus cawangan. Dan ketika ini masih berlangsung lagi pilihanraya kampus di universiti-universiti lain.

Keputusan PRK itu di umumkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Pelajar UiTM, Prof. Datuk Abdullah Mohd. Said di kampus Induk UiTM. Dengan kemenangan besar ini sekaligus dapat membentuk Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

Ojet bertanding bagi wakil fakulti bisnes cawangan UiTM Perlis. Berita kemenangan itu disampaikannya pada aku tadi. Aku cuma ucap tahniah! ... Si abang di UK pun hantar message tanya adiknya Ojet bertanding untuk jawatan apa.

Itulah anak perempuan aku... Tak tahu aku nak kata apa... Hanya pesanku selain dari melaksanakan tugas-tugas sebagai wakil pelajar... study jangan di abaikan. Lakukan kedua-dua tugas itu sebaik mungkin. Janji dalam menifesto pilihanraya harus di tunaikan. Dengan lantikan itu kehidupan sebagai student makin sibuk. Harapan aku dia dapat dan pandai membahagikan masa sebaik-baiknya.

Sabtu ni aku akan ke Arau untuk berjumpa dengannya...

Monday, November 18, 2013

Ilmu di pelajari untuk apa?...

Ni antara buku-buku rujukan yang digunakan oleh abang ketika dia mengikuti foundation di Kolej Mara selama setahun dan ada beberapa buah lagi tersusun di rak buku di rumah. Ini belum  lagi masuk buku-buku Ojet yang mengambil bidang perniagaan khususnya HR.






Semua dalam bahasa Inggeris. Habis apa pendapat anda semua? Perlukan PPSMI di teruskan? Ada ke yang akan jawab, saya mahu anak saya jadi penjual ikan dan sayur je di pasar malam?

Wednesday, November 13, 2013

"Jangan buat mak susah hati..."

Hari ini terjaga dari tidur dek kerana deringan talipon. Dengan mata yang masih terpejam aku meraba-raba tepi bantal mencari talipon mengikut arah bunyinya. Puas juga meraba-raba baru jumpa.

Si pemanggilnya adik ipar aku.... pasal anak dia... anak buah aku juga. Dia ajak aku ke sekolah untuk bertemu dengan guru kelas si Aideel. Menurut cikgu kelas, dalam tahun ni si Aideel ada tiga hari tak datang ke sekolah. Itu yang dia tak puas hati sebab sepanjang tahun ni tiada satu hari pun Aideel ponteng atau cuti sakit.

Aku pun terkejut jugak. Sebab setiap hari Aideel akan di hantar ke sekolah oleh sorang lagi adik aku... dan bila petang adik ipar aku sendiri yang akan menjemputnya di sekolah. Malah aku sendiri pun pernah menghantar dan mengambil dia ke sekolah. Aku hantar dia sampai masuk dalam kawasan sekolah dan akan bergerak meninggalkan kawasan sekolah apabila loceng masuk di bunyikan. Masa bila pulak dia nak memonteng dan lari dari sekolah. Lagipun Aideel ni baru Tahun Satu.

Aku tahu sekolah tu... di situlah Abang dan Ojet bersekolah dulu. Aku tahu sangat tahap-tahap keselamatannya. Kat mana murid-murid boleh memboloskan diri... tapi untuk murid yang seusia Aideel, bertubuh kecil tak mungkin dia boleh memanjat tembok sekolah tu. Kalau pun lepas untuk masuk semula ke kawasan sekolah sebelum waktu sekolah berakhir atau sebelum maknya datang mengambilnya adalah mustahil.

Aku rasa ada silap di mana-mana... sebab menurut guru kelasnya, bukan dia yang menanda kedatangan murid tu... ianya dilakukan oleh cikgu gantian. Aku tak faham maksud cikgu gantian tu... adakah cikgu sementara atau cikgu kelas lain. Atau kemungkinan ketika cikgu menanda kedatangan si Aideel keluar ke tandas... dan bila cikgu memanggil namanya tiada sesiapapun yang menyahut dan memberitahu dia keluar.... atau cikgu tu menanda main agak-agak je.

Sebabnya aku kata macam tu... pernah satu hari... persekolahan pada hari Sabtu...  ramai budak-budak kelas Aideel tak hadir ke sekolah. Hanya ada beberapa orang saja. Kami tahu ni pun sebab si Aideel ni yang beritahu selepas dia balik dari sekolah hari tu. Dan antara hari yang ditanda Aideel tidak hadir ke sekolah termasuk hari Sabtu itu. Sedangkan pada hari itu ada majlis di sekolah dan murid-murid di minta membawa pinggan. Bila balik dari sekolah hari itu... kami tanya pada Aideel ada apa di sekolah dan dia cakap ada jamuan, makan itu... makan ini... Kalau dia tak hadir macam mana dia tahu dan bajunya comot kesan tumpahan minuman dan makanan yang di makannya.

..........

Letak je talipon satu mesej masuk. Aku tengok... sapa lagi.... Ojet yang hantar. Menurutnya dia dah on the way ke kem BTN di Sepang... kursus MPP lagi.... (n3nya di sini) dua bulan sudah dah hadir kursus di Kem Ulu Kenas, Perak. Tapi kursus kali ni menurut Ojet lebih kepada perjumpaan antara wakil-wakil MPP dari seluruh cawangan UiTM seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Anak-anak aku beginilah... Dari dulu lagi aku sering berpesan kalau ke mana-mana beritahu. Masa nak bertolak dan masa sampai kalau tak dapat talipon sms pun dah cukup. Jadi aku sentiasa tahu di mana mereka berada... termasuklah si abang walaupun dia jauh di seberang laut sana dia tetap memaklumkan pada aku ke mana dan di mana dia berada. Aku dah cakap, “jangan buat mak susah hati”. Alhamdulillah! setakat ni nampaknya mereka patuh pada peraturan ni.

Friday, November 8, 2013

Perasaan anak lelaki...

11.00 malam... supaya tak sesat... dua hari sebelum 
taklimat, aku ke Putrajaya. Tujuannya nak tengok jalan dan 
cari di mana letaknya bangunan KPT. 

Alhamdulillah! Si Farhan kawan abang dah selamat belajar di RCMP, Ipoh. Dengarnya dia happy dan selesa meneruskan pengajiannya di situ. Sebelum ni dia belajar di Universiti al-Azhar, Mesir. Tapi kerana pergolakan yang berlaku di sana kerajaan menyarankan pelajar-pelajar Malaysia di sana kembali dan meneruskan pengajian di tanah air sendiri.

Ketika sesi perjumpaan dan taklimat pelajar dengan pihak kementerian di bangunan KPT, Putrajaya bulan lepas, akulah yang menghantar si Farhan ni ke sana. Walaupun aku ni duduk di KL, tapi jarang dan tak reti ke Putrajaya. Seingat aku hanya sekali saja aku memandu ke sana ketika menghantar abang untuk temuduga dengan JPA di PICC empat tahun dulu. Itupun ketika perjalanan pulang ‘meraban’ jugak.

Beberapa hari sebelum taklimat tu Farhan talipon adik aku beritahu tentang masalah dia... tak ada sapa yang boleh hantar dia ke sana...  maksudnya keluarga dia.... dan dia juga minta tolong carikan hotel-hotel murah untuk penginapan dia di KL. Farhan ni duduk di Temerloh, Pahang. Kalau ikutkan dia memang tak nak datang dengar taklimat tu sebab masalah-masalah tu semua.

Tapi aku sarankan elok dia hadiri taklimat tu... Tak kisahlah... aku sedia mengambil dia di hentian bas... bawak balik dan tumpangkan di rumah dan bersedia menghantar dia ke Putrajaya.

Farhan ni kawan sekolah abang dulu... masa di sekolah aku tak pernah jumpa dengan dia. Cuma tahu abang ni ada kawan nama Farhan. Aku mengenali dia ketika melawat abang di UK Januari lepas. Waktu itu dia masih belajar di Mesir... dari Mesir dia datang ke UK untuk bertemu dengan abang. Dari situlah aku dan adik mengenalinya dan tahu serba sedikit tentang dirinya. Latar belakang keluarganya dan paling tak dapat aku lupa pandangannya ketika aku memeluk dan mencium abang...(n3nya di sini) Aku tak tahulah nak terangkan macam mana tapi lepas tu dia macam nak bermanja-manja dengan aku dan adik. Nampak dia juga ingin dilayan seperti mana aku dan adik melayan si abang...

Bermula dari pertemuan itu dia rapat dan kerap menalipon adik aku. Sekarang ni kami sekeluarga dah anggap dia macam sebahagian dari keluarga kami. Sering juga dia menalipon adik bertanya khabar dan kalau ada kesempatan akan datang melawat kami di KL. Aku tengok dia tak kekok langsung ketika menumpang di rumah walaupun abang tak ada. Dan ada satu perkataan yang dia cakap dengan aku masa dalam kereta ketika ke Putrajaya hari tu. Mak dia tak concent macam aku.

Aku tak faham maksud dia tapi aku beritahu, semua mak-mak sama cuma cara mereka saja yang berbeza. Aku memang dah biasa dan amalkan memeluk abang dan Ojet dari kecik sampai sekarang. Kami terbuka dalam banyak hal. Kata-kata seperti “mak sayang abang” atau “abang sayang mak” disertai dengan peluk cium itu perkara biasa dalam hubungan kami hari-hari. Usik mengusik dan bergurau senda. Mengucapkan selamat malam dan memberikan ciuman sebelum tidur.

Itulah anak-anak kan. Terutamanya yang lelaki. Walaupun mereka tak cakap tapi ada kalanya mereka juga ingin dibelai, dipeluk, dicium dan dimanja seperti anak perempuan juga. Sebelum pulang ke Temerloh aku dan adik bawa dia ke KLCC dan makan di satu restoran. Bila berjalan bersama aku rasa seperti aku berjalan dengan si abang. Mulanya dia nak belanja... tapi aku cakap nanti bila dah jadi doktor belanja makcik pulak... dan katanya kalau aku dan adik ke UK lagi berjumpa abang... dia nak ikut jugak.

Pada aku... hari ini aku tolong anak orang mana tahu pada satu masa yang lain nanti bila anak-anak aku memerlukan pertolongan akan ada orang yang lain pulak akan memberikan pertolongan. Bukan pada Farhan ni je, sebelum ni pun aku ada sorang anak angkat (n3nya di sini). Perempuan... pelajar polikteknik Ibrahim Sultan.

Thursday, October 31, 2013

Aurat tu rambut je ke....

Tak tahu mana nak mula... Sebabnya tak mahu ada sesiapa yang tersinggung dengan apa yang nak aku cerita ni.

Pasal anak-anaklah.... tentang aku tak pernah paksa anakku Ojet bertudung. Masa sekolah dulu aku pakaikan dia skirt biru tu. Cikgu tegur suruh dia berbaju kurung dan bertudung. Masa tu Ojet baru darjah dua.

Terus terang aku tak sukalah budak-budak (belum akil baligh lagi) bertudung dan berbaju kurung. ‘Berbungkus-bungkus’ ... susah nak berlari... melompat... mengambur... terjun tambam.. (hehe.. ini istilah orang nogori... mengambur dan terjun tambam tu menggambarkan betapa lasaknya).

Bila Ojet cakap cikgu suruh dia pakai baju kurung dan bertudung ke sekolah, memang bengang aku. Cikgu tu sibuk-sibuk apasal.  Siap pesan dengan Ojet, suruh aku pakaikan dia tudung dan baju kurung. Tapi Ojet cakap... mak dia ada belikan baju kurung tapi dia sendiri yang tak nak pakai.

Sebenarnya bukanlah aku melarang dan tak suka Ojet pakai tudung. Dalam kes mendidik anak-anak ni aku tak amalkan sistem paksaan. Memaksa tidak akan membawa ke arah kebaikkan. Apa gunanya depan aku dia bertudung... belakang aku... campak tudung. Biarlah dia melakukannya dengan kerelaan hatinya sendiri, fikir dan faham kenapa dia mesti bertudung dan menutup aurat.

Pendapat aku... kalau paksa anak-anak melakukan perkara-perkara yang mereka tidak mahu... ianya tidak akan memberi hasil yang di harapkan.

Lepas bertudung dan menginjak remaja, dia pakai t-shirt pendek dan seluar jeans. Si abang tegur... aurat tu rambut je ke? Ok, dia tambah aksesori diri. Pakai sarung tangan panjang... sebab t-shirtnya banyak yang berlengan pendek.

Hari demi hari dia semakin improve dalam berpakaian. Tudungnya sudah dilabuhkan. T-shirt-t-shirtnya sudah banyak yang berlengan panjang. Kakinya sudah disarungkan stokin. Itupun aku tanya... kenapa bertudung labuh-labuh sangat dan berstokin bagai... dan dia ada jawapannya...

Hari ini adalah sorang hamba Allah tu cakap dengan aku...  Dah eloklah anak tu nak bagi pahala... you pulak melarang. Dan dia cakap aku mesti begitu bukan begini... Eh! aku bukan melarang... tapi mahu anak aku faham KENAPA.  Sebab bila ada KENAPA? lu fikir sendirilah. Jangan buat semua tu kerana terpaksa atau ikut-ikutan. Macam yang banyak terjadi sekarang...
1. Bertudung... tapi make-upnya tebal.
2. Bertudung... tapi baju ketat, sendat dan jarang.
3. Bertudung... tapi bajunya lengan pendek.
4. Bertudung... tapi kainnya berbelah.
5. Bertudung... tapi... tapi.... dan banyak lagi tapi.

(* Maaf ya... aku pun belum sempurna sangat dalam berpakaian sebagai seorang muslimah. Yang paling payah untuk ditewaskan adalah nafsu!...)

Wednesday, October 30, 2013

Perhatikan sejadah kita...


Ni saya jumpa dalam akaun pemilik Facebook Yukni Kbe. 
Betullah... kadang-kadang kita perhatikan corak sejadah yang kita gunakan 
macam ada sesuatu... tapi berapa ramai antara kita yang betul-betul mengamatinya.
Bila nak sembahyang... bentang je sejadah dan sembahyang... janji 
tanggungjawab selesai... dah... lepas tu lipat balik dan gantung.

Tuesday, October 29, 2013

Mee loka a.k.a mee sanggul...


Sapa pernah makan ni... pengat pisang nangka dengan mee loka a.k.a mee sanggul. Pengat begini famous di kalangan orang negeri je rasanya. Di masak dengan gula enau. Pada aku gula enau, gula melaka dan gula kabung berbeza walaupun rupanya sama... malah rasanya juga tak sama. Antara ketiga-tiga gula ni... pada aku... gula enau lebih sedap dan baunya harum. Bila di buat pengat atau inti...aromanya akan membangkitkan selera. Seluruh rumah akan terbau kesedapannya...hmmmm!

Mee loka tu pulak lebih kurang macam mee kuning yang biasa kita buat mee goreng tu. Walaupun rupanya sama tapi mee loka ni kering dan tak berminyak.

Semalam aku singgah rumah kakak. Dia buat pengat ni. Hmmm bestnya... makanan ni mengingatkan aku ke zaman kecik-kecik dulu. Arwah nenek dan mak suka buat pengat ni bila tiba bulan puasa. Sekarang dah susah nak jumpa. Lagipun generasi sekarang tak 'reti' dan tak tahu sebab mereka tak pernah kita dedahkan dengan makanan seperti ini.

Thursday, October 24, 2013

Boleh terfikir macam itu!...

Senja... aku berlari ke pintu bila dengar pintu pagar di buka. Waktu tu aku baru saja lepas menggoreng cucur bawang. Lampu depan rumah tak pasang... saja nak jimatkan letrik lagipun ada kalkatu... Bila kalkatu datang dan banyak berterbangan... cicak pun datanglah... nanti banyak pulak tahi nya gugur ke lantai... aku tak kuasa dan tak larat nak mencuci lantai hari-hari.

Dalam samar-samar tu aku nampak susuk tubuh... rambut ikal-ikal dan tinggi. Berderau darah aku... “abang ke balik”? ei abang balik!” Hati menjerit suka.

Ntah kenapa aku ni... boleh terfikir macam itu. Rupa-rupanya anak buah dari Kelang... anak abang. Rasa macam nak menangis pun ada bila nampak dia... bukan apa, aku terkenangkan ayahnya... arwah abang aku yang telah pun pergi meninggalkan kami empat tahun lalu.

“Along rupanya, bonda ingat, Farid tadi.” Aku bancuh tea dan hidang cucur bawang. Kami makan sama-sama... dan berbual. Rupanya si along ni dah kerja... Baru tiga hari. Pejabatnya di tingkat 80 menara Petronas. Alhamdulillah!

Semalam abang call... dan aku cakap tentang apa yang berlaku. Abang tak cakap apa.. dia cuma mengeluh dan beritahu... tahun depan dia balik. Tapi abang bukan balik bercuti... Tahun depan kemungkinan debate antara universiti akan di adakan di Malaysia. Dan abang akan mewakili universitinya untuk ke pertandingan tu. So, sambil menyelam minum airlah!

Tuesday, October 22, 2013

Berhentilah menyanyikan lagu Bangau Oh Bangau!....

Puan A: Kadang-kadang kesian melihat remaja-remaja kampung yang tersesat bila keluar dari kepompongnya....

Puan B: Kerajaan pun memainkan peranan jugak. Bila kerajaan jahil rakyat makin jahil. Kerajaan jugak macam ibubapa. Contoh yang terdekat himpunan jutaan belia. Cikgu pening kepala anjur program sana sini nak memperelokkan akhlak anak-anak didiknya, ibubapa berhempas pulas hantar ke tuisyen dan program motivasi untuk membentuk sahsiah anak-anak. Akhirnya kerajaan sendiri yang merosakkan akidah anak-anak muda hari ni.

Puan A: Dijemputnya kpop menari sampai nampak spender.

Puan B: Ape kejadahnya Malaysia hari ni.

Puan C: Itu namanya culture shock! Kalau anak-anak silap langkah kenapa nak salah pihak lain... Pernah tidak kita renungkan apa yang telah kita lakukan selama ini terhadap anak-anak sepanjang membesarkan mereka. Ikhlas kah kita terhadap mereka.

Puan B: Ekstrem sangat pandangan puan C tu. Faktor banyak sebenarnya. Yang puan C bagi tu satu faktor. Saya pula bagi satu faktor. Bukan masalah tuding jari. Tapi masalah tetap masalah.

Puan A: Ada ibu bapa kampung beranggapan anaknya yang 'tersesat' itu sebagai sudah maju apabila anak mereka mula berubah menjadi lebih 'kebaratan' dari orang barat. Salah tanggapan.....jahiliah dianggap maju. Menanamkan keimanan yang mantap itulah yang utama bagi ibu...

Puan C: Puan A dan puan B, saya bukan ekstrem tapi tak suka menuding. Tak siapa yang tahu tentang anak-anak kita selain dari diri kita sendiri sebagai ibu bapa. Mereka itu anugerah tuhan yang di datang pada kita ibarat sehelai kain putih.... so apa lagi... kitalah yang mencorakkannya...


Tuesday, October 8, 2013

Apa binatang kesayangan korang....

Baru-baru ni sorang kawan sepejabat bawa binatang 
peliharaannya... aku memang geli... dan tak berani langsung 
nak dekat apalagi nak menyentuhnya.

Apa binatang peliharaan yang menjadi kesayangan dan teman untuk bermain-main... Tentulah kucing bagi kebanyakkan orang... sebab mereka ni binatang kesayangan nabi kita dan memang manja dan comel.

Aku pulak suka ikan. Walaupun tak dapat di pegang dan di belai tapi aku suka tengok mereka berenang-renang dalam akuarium ataupun kolam.  Bila memerhatikan mereka berenang-renang aku rasa tenang dan asyik.

Ada juga yang suka bela binatang eksotik. Aku tak tahu di mana keistimewaan dan seronoknya membela binatang eksotik. Selain geli-geleman dengan rupa bentuk mereka... kebanyakannya merbahaya.  Jadi di mana seronoknya membela binatang-binatang ni.

Thursday, October 3, 2013

Abang penyayang orangnya...

Abang:       "What's your name sweetheart?"
Kid:            "Wobbert"
Abang:       "Wobbert?"
Kid:            "No, Woooobbert"
Abang:       "Wobbert???"
Kid:            "No! Wooobbert"
Abang:       "Robert?"
Kid:            "Hmmm..." and he nodded.
Abang:       "Alright, I've got to go. You won't mind eating alone won't you Wobbert?"
Kid:            "It's Wobbert!!!"

Seronok dengar cerita abang yang jadi volunteer Pusat Asuhan kanak-kanak di Sheffield sepanjang cuti musim panas lalu. Abang kata mereka comel-comel saja dan pelat. Kebanyakannya yang abang jaga dalam lingkungan umur 7 tahun.

Betul-betul aku tak sangka. Abang boleh melakukan kerja tu. Selalunya tak ramai kaum lelaki yang sanggup dan suka dengan kerja-kerja begitu. Apalagi melayani kerenah kanak-kanak yang pelbagai ragam.

Dan pada hari last abang bertugas dia telah membeli dua kotak coklat untuk dibagi-bagikan pada budak-budak tu. Abang cakap dengan aku, "mak mintak maaf ya, abang dah gunakan duit pembayar cukai rakyat Malaysia (biasiswa tajaan) untuk beli coklat dan bagi pada anak omputih kat sini" he..he  sempat lagi abang melawak dengan aku. Pengetua Pusat Asuhan tu pulak telah menjemput abang ke rumahnya pada krismas nanti. Katanya dia ingin pekenalkan abang pada anak perempuannya... pelajar perubatan di salah sebuah universiti di sana.

Tapi aku tak nafikan... anakku abang memang penyayang orangnya. Dari kecil lagi bila bermain dengan adiknya Ojet... jarang dia bergaduh, memukul dan membuli adiknya. Apa-apapun dia akan mengalah. Dia memang boleh di harap.

Ketika umurnya baru setahun... belum pandai bercakap aku pernah minta dia tolong ‘jaga’ adiknya, Ojet. Dia angguk tanda memahami kata-kata aku. Aku tinggalkan saja dia berdua sementara aku mengemaskan bilik di tingkat atas.

Sesekali aku intai mereka... memang abang duduk saja memerhatikan adiknya Ojet terkuis-kuis bermain. Padahal pernah aku dengar kanak-kanak seusia abang ketika itu yang pijak adiknya sendiri. Tapi aku memang percaya abang boleh jaga adiknya walaupun usianya baru setahun namun telah faham tanggungjawab yang telah digalas atas bahunya.

Aku harap sikap penyayang ini akan terus subur dalam jiwa abang. Aku percaya semua ini hasil dari apa yang telah aku lakukan pada dia masa kecik-kecik dulu.

Thursday, September 26, 2013

Teringin nak joint segmen...

Ini adalah aktiviti pertama yang aku lakukan setelah beberapa tahun berblog. Sebenarnya aku tak pandai nak joint-joint segmen yang dibuat oleh blogger-blogger lain. Senang cakap tak cekap IT.... 'Benda' ni pun aku jumpa ketika berkunjung ke blog Ibu Berbicara lepas tu aku terus klik kat banner yang telah di review oleh Sal (penulis blog Ibu Berbicara) Aku baca syarat-syarat dan cara-caranya macam senang je... lalu terlintas di hati nak joint. Itupun mengambil masa berminggu-minggu. Terjah blog-blog yang dah buat review ni untuk nak tahu macam mana mereka buat.... dan hari ni aku cuba-cuba buat...



Hello Sheila! betul ke apa yang saya buat ni. Harap-harap ok ya. Setakat ni saya belum berkesempatan membaca entry dalam blog Sheila. InsyaAllah ada waktu lapang nanti saya akan datang membaca.

Thursday, September 5, 2013

Kenapa letak nama tu...

Bubuh anak nama panjang-panjang. Lepas tu tak cukup kertas nak tulis.  Besok bila nak tulis borang tak cukup kotak-kotak huruf kat borang tu.

Nama tu pulak gabungan nama suami dan isteri. Kalau anak lelaki pangkalnya tentulah nak letak Muhammad...  Lepas tu sambung lagi Iqbal ke, Ariff ke...  apa-apa jelah yang sedap didengar, disebut dan membawa maksud-maksud tertentu. Kalau ada tiga sebutan esok-esok boleh kerja kat TV3, he..he..he..

Aku pun sama.. e eh! bukan aku.. .my hubby. Dulu sebaik tahu diri mengandung aku tak plan dan sediakan nama. Sebab aku tergamam... panik... terkejut... dan takut bila doktor dah sahkan.

Orang yang mula-mula tahu aku mengandung, rakan sepejabat. Kemudian kakak aku. Kakak aku paling happy bila tahu aku mengandung. Last sekali baru my hubby. Hubby cuma gelak-gelak je bila aku cakap aku pregnant.

Kakak aku mengharapkan aku dapat anak lelaki sebab dia dah fikirkan namanya, Ariff Jauhari... nanti jadi bijak pandai katanya. Arwah mak pulak suruh letak dan panggil Nasir, sebab dia suka dan minat dengan penyanyi Nasir Wahab!  Hubby pulak ada pilihannya sendiri. Dia minat dengan sorang personaliti tu dan nak letak nama anaknya dengan nama tu. Nanti besar jadi doktor.

Kakak aku dan hubby bertelagah pasal tu. Kenapa kakak aku sibuk-sibuk nak letak nama pilihannya? Sebab masa tu dia belum kawin lagi... jadi terujalah sikit nak dapat anak buah pertama. Akhirnya hubby menang sebab katanya itu anak dia jadi dia lebih berhak letak nama.

Lepas bersalin dan habis pantang aku kerja. Hari pertama masuk office semua rakan-rakan datang dan tanya.

“Siapa nama anak akak?”

“Muhammad Farid Ismet Emir Ghulam Raja Pucuk Pegaga bin Abdul!”

“Wow panjangnya nama!”

He..he..he.. puas hati!
(psst! sebenarnya aku teringatkan abang... tu pasal aku tulis n3 ni! Rindu nak panggil dia dengan nama tu.)

Thursday, August 29, 2013

SALAM MERDEKA!


Hargailah keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi 
sekarang! Sama-samalah kita didik anak-anak kita agar cinta dan 
sayangkan tanahair kita bumi Malaysia yang berdaulat ini! 
Merdeka kanlah mereka dari pemikiran dan pengaruh yang 
boleh merosak dan memporak-perandakan 
keharmonian hidup kita selama ini.

Sunday, August 25, 2013

Ojet tapaukan sate...

 Sate ayam dan burger yang ditapau Ojet.

 ... ubat demam dan sakit tekak...

Sendirian lagi petang minggu ni... Cuaca pulak mendung dari pagi tadi dan sesekali hujan. Aku tak buat apapun... Duduk termenung... penat duduk tergolek atas katil... bangun... jalan-jalan dalam rumah... pergi dapur... bancuh air... minum...  pastu tergolek balik atas katil. Sebenarnya badan pun tak berapa sihat. Sendi-sendi rasa sakit. Tekak pulak perit.. macam nak batuk.

Semalam aku kemaskan ruang depan rumah ni... sapu habuk-habuk... agaknya nilah yang buat tekak rasa perit ni... Aku ni memang cepat alah dengan habuk... Kalau tersedut habuk... takdan beberapa jam mulalah tekak perit... badan panas... tonsil mula membengkak balik. Camnilah kalau dah tua... ketahanan badan pun dah kurang... (he..he..he.. dah tua ke?).

Ojet pergi beraya ... ala jamuan raya wakil rakyat kawasan dengan untienya. Dia dah balik dari kursus MPP tu. Tiga hari saja kursus tu... Aku dengar jelah ceritanya... apa lagi.

Lepas Ojet keluar dengan untienya aku tidur... Sedar-sedar Ojet dah balik dan kejutkan aku... "Mak Ong bawakan mak makanan!" Dia tapaukan aku sate dengan burger. Tak senonoh betul anak dara aku ni... Tapi aku kena makan tu... kalau tak kang merajuk...Tapau mentapau ni ada ceritanya. Nak tahu! bukak link ni (August 2010). Ojet belikan juga air Hundred Plus dan ubat sakit tekak Fisherman Friend. Pastu dia keluar semula dengan untienya. Katanya nak ke Wangsa Walk.

Thursday, August 15, 2013

Orang tak nak kawan....

Takpalah orang tak nak kawan ngan kita. Kita ni tak setaraf dan sekufu dengannya. 
Kita tak alim dan tak warak macam dia. Belum pergi Mekah lagi. Kita bagi salam bukan saja tak jawab malah di delete kannya ke bangkul sampah. Tengok juga rakan-rakan dia.... ooooo blogger-blogger yang ada ramai follower. Patutlah dia tak nak kawan... kita ni blogger picisan yang tak ramai pengikut dan tak terkenal pun. Takpa... saya sayang rakan-rakan blog yang saya dah ada ni. Kamu semua jadi teman borak-borak saya bila saya perlu berborak walaupun saya tahu ada dikalangan mereka cuma pangkat adik-adik dan anak-anak. Saya senang dengan kamu semua. Walaupun saya jarang menyapa, tapi saya selalu berkunjung ke blog kalian. Membaca entri kalian... sedih... gembira.... berkongsi maklumat dan kadang-kadang buat saya tersenyum sendirian bila baca part-part yang lucu dan kelakar.

SELAMAT HARI RAYA semua... maafkan jika ada salah dan silap saya jika komen-komen saya menyinggung perasaan kamu semua ya. - sweetie.

10 tip membesarkan anak...

Aku dapat tip ni dari wall FB kawan baik masa sekolah dulu. Dia seorang ustazah. Aku tak pasti samada tip ni dari dia sendiri atau dia dapat dari mana-mana sumber. Apapun elok juga kita kongsikan dan dapat amalkan. Aku dah lama amalkan yang no 5 tu... dari hari pertama mereka lahir sampai sekarang. Dari kecik aku selalu beritahu kalau tak peluk dan cium maknanya tak sayang. So sampai sekarang kalau aku marah... lepas tu mereka mintak maaf dan aku maafkan tapi kalau tak disertakan dengan peluk cium maknanya masih marah dan tak sayang.

Ada anak-anak terutamanya anak lelaki yang malu kalau di peluk dan di cium lebih-lebih lagi kalau di depan kawan-kawannya. Tapi anak lelakiku si abang suka. Dia tak kisahpun kalau aku peluk dan cium dia di hadapan khalayak ramai... malah bangga. Dalam satu program motivasi yang pernah aku sertai... ada diberitahu... adalah digalakkan memeluk anak-anak ketika kita menghantarnya ke sekolah... Anak-anak yang selalu di peluk dan di belai akan menjadikan mereka seorang yang bijak.

Jadi jom kita cuba amalkan tip-tip ni:

1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak kirimkan bacaan al Fatihah. Sampai ke ayat "iyyakanakbudu waiyyakanastain" - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU pohon pertolongan..", mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang kita ingat tu, habiskan bacaan surah al Fatihah doakan semoga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang! Cubalah amalkan (ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya) dan ucapan ini adalah doa dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya kita solat dalam bilik dia dan dekat dengan dia. Jika kita selalu buat dan kita juga selalu beritahu dia yang kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang kita amat sayangkan dia dan mahu dia jadi anak yang soleh. Dia akan tahu kita selalu solat hajat untuknya.

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika dia tak jadi anak yang soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di alam Barzakh nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

6. Maafkan anak kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati kita. Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.

7. Yang paling penting jaga tutur kata kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan kita, kita marah kerana dia buat salah, bukan bermaksud membenci. Ceritalah buat macam dramapun boleh.

8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya kita, anak dan zuriat keturunan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang tetap mendirikan Solat. “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia. Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia.....untuk faham agamanya sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam (macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad s.a.w. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu. (Kenapa kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibubapanya juga ke neraka).

Sunday, August 11, 2013

Susah hati betullah....

Tengah runsing ni... memikirkan macam mana nak hantar Ojet balik ke kolej. Tiket keretapi untuk 14 haribulan ke Arau dah habis. Yang tinggal cuma 13 haribulan. Tapi kalau Ojet balik 13 haribulan... mana pulak dia nak tinggal. Kolej untuk student degree kosong. Semua penghuninya dah balik bercuti sampai September nanti. Pilihan yang ada naik bas sajalah. Itupun 14 haribulan pagi... dan sampai di Arau petang. Susah betul hati mengenangkannya lah.

Time-time macam ni mulalah hati tu geram je dengan penganjur kursus ni. Dah lah surat pemberitahuan tu lambat sampai, buat pulak musim raya. Aku pulak kerja. Kawan-kawan sepejabat semua balik kampung. Tinggal aku dengan beberapa kerat je di office ni yang kerja. Mau tak mau nampaknya aku memang kena ponteng lah ni.

Macam mana pun aku kena temankan Ojet balik ke Arau lusa dengan bas pukul 10 pagi. Tak senang hati aku memikirkan dia balik dengan bas sendirian. Dan aku kena temankan juga dia di kolej sampai peserta lain sampai pada 15 haribulan. Kursus tu akan diadakan pada 16 haribulan di Kuala Kangsar selama tiga hari. Mereka akan di bawa dari Arau ke Kuala Kangsar dengan bas. Lepas tu akulah pulak yang terpaksa 'merempat' di Arau. Belanja juga tu... Aku memang stranded tu sebab tiket-tiket untuk ke KL pada 15, 16, 17 dan 18 dah habis. Kena tunggulah balik sama-sama dengan Ojet pada 19 haribulan dan sampai KL pagi 20 haribulan.

Saturday, August 10, 2013

Ojet calon MPP Zon Utara....

Sepi sangat petang ni. Baru lepas menonton Kuch Kuch Hota Hai di TV. Aku bukanlah peminat cerita Hindustan tapi dah tak ada apa nak buat.. tengok jelah. Keliling rumah lengang dan sunyi. Jiran-jiran kebanyakannya balik kampung. Ojet pulak pergi beraya dengan untienya.

Rabu depan Ojet kena balik semula ke kolej. Dia dipanggil untuk menghadiri kursus BTN di kem Ulu Kenas. Heeeee... geramnya aku dengan pihak yang terlibat. Kenapalah time-time raya ni buat program. Tak boleh tunggu sampai akhir bulan ni ke..!

Sebenarnya Ojet telah dipilih oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) untuk calon Majlis Pemimpin Pelajar (MPP) Zon Utara mewakili  fakulti untuk Pilihan Raya Kampus yang akan datang. Aku tanya Ojet dia ke yang memohon nak jadi calon. Ojet kata tak... mungkin pemilihannya tu di buat berdasarkan keputusan peperiksaan semesternya. Aku ni bukan apa... tak berapa suka sangat Ojet malah abang juga terlibat dengan banyak sangat aktiviti di kampus. Risau kalau-kalau aktiviti tu menjejaskan masa study mereka.

Bila aku renung-renungkan dan pandang ke belakang semula... Ojet ni memang sering terlibat dan terpilih jadi leader sejak zaman persekolahannya. Pernah jadi pengerusi untuk satu pertandingan dan memenangi tempat pertama. Juga sebagai pengerusi kelab Youth Enterprise termasuklah jadi fasilitator matematik di sekolahnya dulu. Ketua koperasi dan juga pengurus pasukan hoki sekolahnya... dan memenangi tempat kedua peringkat kebangsaan. Dalam pertandingan kelab YE pasukan Ojet memenangi gerai tercantik juga peringkat kebangsaan. Memang dia ada bakat dalam kepimpinan.Cuma aku tidak begitu menggalakkan. Tak tahu kenapa...

Kalaulah dia dipilih mewakili fakulti sebagai calon dalam Pilihan Raya Kampus yang akan datang... oh! tidak! tak boleh aku bayangkan... Ojet bakal terlibat dengan banyak perkara di universiti. Tapi apapun aku tetap doakan yang terbaik buat permata hatiku Ojet. Oh ya... result semester kedua dah keluar minggu lepas. Alhamdulillah! Ojet masih mengekalkan kecemerlangannya dan penerima anugerah Dekan.

Thursday, August 8, 2013

Semerbak bau rendang satu Sheffield...

Made in UK.. inilah rupa rendang yang di masak
oleh abang.

Abang call... lama juga kami berbual. Bukan main seronok lagi dia bercerita tentang pengalamannya dengan kawan-kawan membuat persiapan raya di perantauan. Abang cakap mereka berkongsi memasak makanan. Abang ambil part memasak rendang.

Seminggu yang lepas abang call aku... tanya macam mana resipi nak masak rendang. Lepas tu dua hari lepas call lagi tanya... kerisik tu apa. Aku cakap kerisik tu kelapa yang digoreng tanpa minyak sampai garing. Kemudian tumbuk lumat sampai keluar minyak dan cair. Tapi aku kata ada juga yang dah siap. Aku suruh abang pergi kedai yang menjual produk Malaysia. Kebetulan masa aku di Sheffield tempoh hari aku jumpa satu kedai yang menjual rempah ratus dan jenama macam adabi dan maggi. Aku suruh abang pergi kedai tu dan tanya pada pekedai tu... mesti ada.

Abang kata dia bercadang nak buat rendang dua ekor ayam. Jadi abang nak tahu berapa banyak santan dia nak guna. Aku kata kalau guna santan dalam tin lebih kurang 6 atau 7 tin macam tu. Atau lebih senang cukup untuk menenggelamkan ayam tu sudah memadai. Jangan lupa bubuh serai dan asam. Masak sampai kering dan selalu kacau supaya tak hangit.

Alhamdulillah! dah tinggal berjauhan ni pandai pun berdikari. Tak sangka ada bakat juga anak bujang aku tu. Semerbak bau rendang satu Sheffield... ha..ha..  Masa memasak rendang tu, sorang kawan serumah abang keluar dan terserempak dengan jiran mereka... dan dia terdengar percakapan dua orang mat saleh tu. Mat saleh tu cakap... mereka terbau sesuatu yang sungguh sedap...

Tuesday, July 30, 2013

Nokia kodok...

Kiri, nokia kodok pemberian abang. Tahan lasak 
betul talipon ni. Si abang cakap dah beberapa kali masuk 
dalam mesin basuh tapi ok lagi. Kanan, nokia kodok aku 
yang aku dah 'menyampah' tu.

Ianya taklah secanggih dan sehebat talipon orang lain. Nak keluarkan pun malu. Sekadar boleh hello! hello dengan anak-anak cukuplah. Kalau berdering ketika aku berada dalam LRT  confirm memang aku tak jawab punyalah... segan... talipon kodok je.

Tapi pagi ni aku tiba-tiba naik 'hangin' dengan talipon nokia yang tak berapa nak 'classic' ni. Hah! ambik kau... berderai aku hempaskan ke lantai. Mahunya tak hangin. Lately ni 'dia' selalu saja buat perangai. Bila berbunyi... angkat... line putus. Berbunyi lagi... angkat... line putus lagi. Mana boleh sabar kan. Baterinya tu 'kong' saja. Kalau di pejabat aku sentiasa connect kan ke chargernya... baru boleh angkat dan jawab panggilan yang masuk.

Nak beli ganti yang baru... takdalah kot. Teringin tapi bajet tak ada. Nasib baik ada talipon nokia yang lebih kodok dari nokia kodok aku yang dah berderai tu. Malah lebih 'classic' lagi. Kamera pun tak ada. Talipon lama abang. Masih elok lagi. Si abang bagi pada aku masa kami nak berpisah di stesen Bayswater, London hari tu! Walaupun kodok tapi aku sayangggg! Pemberian dari abang kannnn!

Thursday, July 25, 2013

Meriahnya hari ini...

Bukan saja-saja bergaya tau...

Meriah di tempat kerja hari ni. Dengan aktiviti memasak bubur lambuk  di perkarangan bangunan pejabat... dan kunjungan para tetamu serta buah tangan dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Sebenarnya beginilah suasana di tempat kerja aku setiap bulan Ramadan... walaupun ada juga tetamu-tetamu dan pelawat yang datang pada bulan-bulan lain tapi ianya tidak semeriah di bulan Ramadan.

Memasak bubur lambuk ini adalah aktiviti yang memang diadakan setiap tahun di bulan Ramadan. Sepanjang bulan itu aktiviti memasak ini akan dibuat sekali dalam seminggu. Ianya adalah sukarela yang dianjurkan oleh Badan Keluarga dari bahagian agama. Tiada paksaan... sesiapa yang free boleh datang membantu dari mengupas kulit bawang hinggalah memasukkannya ke dalam bekas. Kadang-kadang aktiviti memasak bubur lambuk ini juga di taja oleh badan-badan atau persatuan tertentu untuk mereka ambil dan agih-agihkan kepada sesiapa saja.

Dan hari ini kami semua berbuka puasa dengan kakitangan GAMUDA yang datang melawat dan menyediakan makanan di perkarangan bangunan pejabat tempat kerja aku.

Kedatangan Doremon menggemparkan 
rakan-rakan yang berebut-rebut nak 
bergambar dengannya.

Juadah berbuka pemberian dari 
Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Dalamnya 
ada nasi beriani dan lauk-lauknya. Sedap!

Enam puluh bekas bubur lambuk yang dah siap untuk 
di berikan sebagai buah tangan kepada para pelajar UNiMAP 
dari Arau Perlis yang datang membuat lawatan.

Sebahagian pelajar UNiMAP yang datang berkunjung 
sedang diberi penerangan.

Wednesday, July 24, 2013

Ramadan kali ini...

Puasa kali ini aku rasa lain sekali. Berbeza sangat dengan Ramadan tahun-tahun sebelum ini. Faktor usia agaknya. Dulu muda dan sihat. Tenaga masih kuat. Sekarang usia dah menjangkau 50an. Cepat sangat terasa letihnya dan lesu. Mengalahkan budak baru nak belajar puasa.

Selesai saja berbuka... masa tu datanglah letihnya dan mengantuk. Lutut pun 'ketaq' aih! Solat sunat tarawih 8 rakaat pun rasa tak terikut. Dalam sembahyang pun boleh nak tertidur. Sekarang ni letak saja kepala atas bantal terus lelap sampai ke pagi. Letak alarm tepi telinga pun belum tentu terjaga. Terukkan!

Beberapa hari lepas solat sunat tarawih di surau pejabat di imamkan oleh imam dari Mekah. Pengumuman mengatakan bermula dari malam tersebut sampai akhir Ramadan solat sunat tarawih akan dibuat 20 rakaat. Aku siang-siang dah 'surender'. Tapi tak jadi. Sekarang ni 8 rakaat pun aku rasa macam nak sembahyang duduk saja. Tapi malu pulak... macam dah tua sangat... tapi memang, dulu mudah je nak rukuk, sujud dan bangun. Sekarang ni terkial-kial. Lutut mak sakit la wei.

Tadi pergi periksa tekanan darah. Cantik sangat bacaannya... 103/85.


Thursday, July 18, 2013

Cerita pasta....

Conversation antara aku dan abang setelah dia tunjuk gambar ni. Dia sekarang 
berada di Rome... Waktu berpuasa di Rome kurang sejam dari UK.


Aku: Pasta Italy... mana lagi sedap... yang mak 
buat atau yang ori Italy ni?

Abang: Mak buat lagi sedap. Ni mahal je, tapi tak
berapa. Boleh laa asal kenyang.

(He..he.. kembangnya hati aku dipuji begini.)

Ole-ole dari Rome. Tapi belum sampai lagi 
ke tangan aku. Baru tengok gambar je.

Wednesday, July 17, 2013

Hari ini...

Buah tangan dari Felda Global Ventures Holdings 
Berhad (FGV) Beg purple tu pulak pemberian dari Kementerian 
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang 
menaja majlis berbuka kami di pejabat semalam. 

Hari yang kelapan kita berada di bulan Ramadan... bermakna akan lapan hari jugalah aku berbuka di tempat kerja. Beginilah rutin harianku setiap kali menjelang Ramadan. Sejak dari tahun 1995... sejak aku menyertai syarikat ini. Jarang aku dapat bersama dengan anak-anak di rumah. Berbuka puasa bersama-sama. Kalau ada pun cuma pada hujung minggu. Hari-hari lain mereka berbuka puasa di rumah kakak aku.

Bila aku balik mereka (abang dan Ojet) akan tanya dan antara pertanyaan mereka... “mak berbuka kat mana... mak makan apa... siapa yang sediakan tu semua.... mak beli ke? sedap ke?...

Aku akan jawab, ”mak berbuka kat tempat kerja... makan nasi je... ala nasi dengan ikan goreng dan sayur.... semua tu tempat kerja mak yang sediakan... percuma... ala biasa je... lagi sedap umi masak. (umi tu kakak aku tempat aku titipkan anak-anak bila aku keluar bekerja. Dialah yang mengasuk anak-anak aku selama ini. Anak-anak aku tu dah jadi macam anak dia.)

Setiap tahun itulah pertanyaan yang di ulang-ulang walaupun kedua-duanya dah dewasa sekarang. Dan jawapannya tetap sama... walaupun ada hari-harinya ada penaja dan majlis berbuka puasa di tempat kerja... dan menunya ‘grand-lah’ sikit... macam-macam ada. Ada kambing panggang, sate, nasi beriani dengan lauk-lauknya, kuih muih yang berbagai jenis, mee dan macam-macam lagi tapi aku tetap akan kata cuma makan nasi lauk ikan dan sayur juga. Dan setiap tahun dalam bulan Ramadan memang ada saja penaja dan buah tangan dari bank-bank atau syarikat-syarikat lain yang datang mengadakan majlis berbuka di tempat kerja aku.

Tak tergamak rasanya cakap tadi ada majlis berbuka di tempat kerja...  Dan menunya lebih dari biasa. Aku rasa macam tak tersuap makanan tu ke dalam mulut bila teringatkan anak-anak di rumah. Walaupun aku tahu kakak aku dah sediakan juadah berbuka untuk mereka di rumah... tapi entahlah... satu perasaan yang sukar aku jelaskan.

Lagipun bukan aku suka-suka nak berbuka di tempat kerja dengan kawan-kawan tapi dah tuntutan dan rutin kerja aku memang begini.Kalau aku balik pun kerumah tak sempat nak sampai di rumah sebelum maghrib. Tahu-tahu jelah keadaan trafik di Kuala Lumpur ni lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Jadi aku tak kuasa nak bersesak-sesak jika ada alternatif lain... berbuka saja di pejabat. Hubby pun sama. Dia juga berbuka di tempat kerja. Bidang kerja kami sama cuma lain syarikat saja. Anak-anakpun aku rasa dapat menerima situasi ni.

Meriah juga berbuka di tempat kerja. Makanan memang disediakan oleh majikan. Dan rasanya tahun ni lagi meriah. Dengan beberapa khemah yang telah dipasang dan dalam suasana di bangunan baru. Lepas berbuka kami semua akan solat berjemaah dan tarawih bersama-sama. Di bangunan baru ni ruang suraunya lebih besar berbanding dengan bangunan lama dulu. Alhamdulillah!

Wednesday, July 10, 2013

Hampir terlupa....

Dah beberapa minggu tak update blog... malas... lagipun badan tak berapa nak sihat... semput akibat jerebu yang melanda KL beberapa minggu sudah... Hari ni pun masih minum ubat batuk lagi... tapi lepas sahur subuh tadi. Aku puasa hari ni.

Subuh tadi pun nyaris-nyaris tak bangun sahur. Dah kunci jam pukul 4.30 pagi... tapi bila jam berdering-dering aku buat tak tahu saja sampailah aku terfikir kenapa jam berdering awal sangat... puas terkebil-kebil baru teringat hari ni start puasa. Apalagi bingkas aku bangun dan berkejar kedapur... alhamdulillah tengok nasi dah masak, air dan lauk dah ada.

Ojet yang siapkan... hmm Ojet dah balik pagi semalam. Dah start cuti semester. Tahun ni berpuasa dan berhari raya berdua dengan Ojet saja lah... Abang tak balik...

Sebut pasal abang mula hati aku sedih... macam manalah dia menjalani ibadah puasa di UK sana... lama pulak tu... abang cakap waktu berpuasa di UK... 19 jam... bermula dari jam 3 pagi sampai 10.00 malam dan ini pengalaman pertamanya... Harap-harap dia tak ‘terlupa’... risau jugak aku.

Friday, June 14, 2013

O dia dah 'nakal' sekarang ya!

Dulu masa kecik-kecik tak berani buat macam ni... dan 
aku memang tak benarkan pun... nanti jatuh sakit!

Menatap beberapa keping gambar terbaru dari abang buat aku tersenyum... Dia nampak nakal... happy... semakin pandai bergaya... dan handsome! Perbezaan yang ketara berbanding ketika aku menemuinya beberapa bulan lepas.

Beginilah rupanya perasaan emak ya, (merujuk pada diri aku sendiri) Apabila anak-anak dah dewasa mulalah berteka teki dengan diri sendiri. Setiap perubahan yang berlaku pada diri anak cuma pendamkan saja dalam hati. Tapi tak pa... aku akan ‘intai’ dia dari jauh!

Thursday, June 6, 2013

Abang kenapa tak tidur?...

Sudah menjadi kebiasaan, setiap pagi apabila sampai di tempat kerja aku akan on FB. Bukan berchating tapi nak tengok anak-anak, terutamanya abang. Kalau dia online aku akan tanya dia buat apa. Kenapa tak tidur... sebab kalau M'sia siang, bermakna UK malam.

Hari ni aku terpandang di wall FB si abang tertulis "Pushing myself to the limit. No sleep, no rest. I will 'destroy' this last paper. That's a promise to myself." Betul-betul buat aku risau. Dari pagi sampai petang (waktu M'sia, di UK malam) dia berjaga. Sehingga pukul 4 (waktu M'sia) petang tadi, bermakna pukul 8 pagi di UK dia masih study.

Bila aku tanya kenapa tak tidur? Masa exam ni tidur kena cukup. Aku takut dia pening ke, pengsan ke masa exam tu sebab tak cukup tidur. Abang kata dia ok. Menurut abang dia nekad nak dapat markah tinggi untuk paper hari ni. Aku tak boleh nak cakap apa dah. Apa yang mampu aku lakukan cuma berdoa saja.

Macamni lah hati emak, kalau anak tak belajar, leka dan tak serius dalam pengajian, risau, Tapi kalau anak terlalu sangat study sampai tak ingat makan minum dan abaikan kesihatan, berjaga sampai larut malam dan tak tidur pun risau juga.

Lepas maghrib tadi (aku pasti ketika aku solat tu abang tengah menjawab soalan di dewan peperiksaan) aku doa panjang-panjang buat abang agar dia tenang, sihat dan segalanya di permudahkan baginya... dan semoga dia mendapat markah yang tinggi seperti yang hajatinya. Menurut abang dua paper yang lepas aku tak ingat paper apa sebab masa abang call semalam sebutannya tak berapa clear, dia mendapat markah tinggi, 98 peratus. Syukur, alhamdulillah!

Sunday, June 2, 2013

Tentang mimpi... abang hilang!...

Beberapa malam lepas aku bermimpi. Aku mimpi abang hilang. Didalam mimpi itu dia telah dicuri dari aku oleh seseorang yang tidak dikenali.

Aku menangis, merayu dan berdoa supaya abang dikembalikan semula pada aku. Seingat aku dalam mimpi itu juga aku berkata "anakku, enginer tu kena curi!"

Sebaik terjaga aku termenung memikirkan maksud mimpi yang aku alami. Aku jadi tak tenang. Risau dan takut apa-apa terjadi pada abang. Lebih-lebih lagi dia berada jauh dari aku.

Sebenarnya ketakutan aku ini ada asasnya. Beberapa minggu sudah abang ada beritahu, bulan Julai ni dia nak ke Rom. Aku benarkan walaupun dalam hati ada sedikit risau... tapi takkanlah kerana itu aku nak melarang dan mengongkong pergerakkannya... lagipun dia dah dewasa.... cuma aku berpesan jaga diri dan berhati-hati.

Untuk meredakan kerisauan aku talipon dan beritahu adik tentang mimpi yang aku alami. Adik pulak turut sama risau.

Sekali lagi aku tegaskan, kerisauan kami berdasarkan pengalaman lalu. Suatu ketika dulu, waktu itu abang dalam pra-sekolah.... aku pernah mengalami mimpi yang serupa. Abang hilang.

Sehari lepas itu, kejadian seperti dalam mimpi itu benar-benar terjadi. Abang hilang ketika aku bawa dia berjalan-jalan di Taman tasik Titiwangsa. Dan kejadian yang berlaku benar-benar serupa seperti dalam mimpi aku. Itulah sebabnya aku fobia dan takut bila mengalami mimpi yang serupa. Lebih-lebih lagi kalau ianya bersangkut-paut dengan abang.

Tetapi dari sisi lain pula aku percaya dengan gerak hati dan naluri aku. Naluri sebagai seorang ibu yang punya anak bujang.

Mimpi aku kali ini membawa aku berfikir dan merasakan, "abang dah ada girlfrend kot!" Itulah maksud dia 'dicuri' dari aku.

Untuk mententeram perasaan dan menenangkan hati kami semua, adik menalipon abang dan cakap tentang mimpi aku itu pada dia.

Abang kata, belum confirm lagi nak pergi ke Rom tu. Kalau kami semua risau takpalah dia batalkan hajat nak berjalan tu.

Adik beritahu juga abang tentang firasat aku tentang mimpi tu....

Abang ketawa besar dan mengaku memang ada 'seseorang' yang cuba 'menjentik' hati dan mendekatinya. Tapi gadis itu bukan gadis Melayu.

Abang cakap tak perlu risaulah, dia belum lagi terfikir ke arah itu. Abang nak fokus pada study dulu!

Huh!..kan... perasaan, naluri dan gerak hati emak benar belaka. Apapun aku dah lega dan tak risau lagi memikirkan tentang mimpi aku. Doaku "semoga abang selamat di perantauan. Janganlah ada sesiapa yang cuba 'mencurinya' dari aku sebelum tiba masanya.

Thursday, May 16, 2013

Cikgu...!

Selamat pagi cikgu! Hehehe... dah lama benar tak mengucapkan perkataan tu. Berpuluh tahun dah meninggalkan sekolah. Kalau pun ada kalangan cikgu-cikgu yang pernah mengajar aku dulu masih hidup lagi sekarang pun aku dah lupa rupa mereka. Aku bersekolah di banyak tempat... merata... sebab mengikut abah yang berkerja sebagai askar... yang kena berpindah ke merata negeri. Masa darjah satu aku bersekolah di Temerloh Pahang... lepas tu bertukar ke Negeri Sembilan. Waktu darjah enam berpindah lagi dan bersekolah di Kuantan Pahang.

Masuk sekolah menengah aku pindah semula ke Negeri Sembilan. Setahun lepas tu masuk tingkatan dua abah berpindah ke Kuala Lumpur... dan aku bersekolah di Sekolah Menengah Perempuan Kampung Baru (sekarang ni dah tukar nama Sekolah Menengah Puteri Wilayah). Aku belajar di sekolah ni selama dua tahun. Selepas keputusan peperiksaan SRP (sekarang ni PMR) aku dihantar ke Sekolah Aminuddin Baki sampailah tamat tingkatan lima. Bayangkan berapa ramai cikgu yang mengajar aku. Rasanya kalau jumpa pun tak kenal.

.... dan pada cikgu-cikgu yang pernah mengajar aku dulu.... walau pun tak pernah jumpa lagi... Terima Kasih cikgu!... dan pada rakan-rakan blog yang bertugas sebagai cikgu..., cikgu-cikgu yang blogwalking di Sweet Memory ni.... terimalah...."SELAMAT HARI GURU!

Thursday, May 9, 2013

Cakap-cakap dua beranak...

Baru-baru ni, Ojet ada cakap, kalau dia dapat 4 flat juga semester kedua ni... dia nak apply scholarship dan nak sambung degree dan buat master terus kat oversea. Tapi terikat dengan penaja. Pilihannya UK jugak. Wah! sudah ada cita-cita untuk melangkah jauh nampaknya. 

Aku cakap, kalau macam tu aku nak berhenti kerja dan ikut dia sekali. Ojet terjerit kecil dan cakap "Heyai! macam mana?" Aku cakap "guna duit biasiswa adik tu lah untuk sara hidup mak sekali. Boleh! lebih dari cukup!" ... dan kami ketawa... Bunyinya kelakar dan tak masuk akal kan? Tapi ya, aku serius! Hm! kalau sungguh, pergilah dik Da, mak redha dan merestuinya. "Mak doakan!..."

Thursday, May 2, 2013

Ingatan dari UK....



Kenangan dengan abang ketika di Bakewell, Derbyshire, UK.
Tak ada kena mengena dengan catatan aku di sini cuma aku suka
gambar ni... Pemandangannya sangat cantik.


“Mak kalau nak pergi mengundi nanti pergi pagi2. Bukan apa, kalau buatnya petang2 sikit ada yg tak puas hati nampak macam dah nak kalah, buat kacau ke ape, terperangkap dlm jammed ke hiruk pikuk ke. Org nk cite pasal politik biar lantak..Org skang ni dah gila,sampai dah berbom2 dan berparang2.. gila”

Itulah message yang aku dapat pagi ni... Dari si abang di UK. Katanya hari-hari dia baca berita dan mengikuti perkembangan PRU13.

Bila anak-anak hantar message dan ingatkan kita tentang keselamatan... sedih dan terharu pun ada. Nampak dah ada sikap tanggungjawab dalam diri mereka. Terasa diri ini disayangi. Yelah kan... tak banyak yang aku minta dari mereka... cuma kasih sayang..

Wednesday, April 24, 2013

MC 2 hari...

Dua hari MC... sakit kat pangkal lengan. Nak buat kerja pun payah... serba serbinya jadi terbatas. Tarik nafas pun terasa sakit. Apalagi kalau terbatuk atau bersin. Tidur pun tak lena sebab sakitnya berdenyut-denyut. Kawan-kawan satu pejabat suruh pergi urut... tapi aku tak tahu di mana.

Semalam pergi klinik. Doktor cuma bagi ubat tahan sakit dan MC. Lepas tu cakap, jangan guna sangat tangan yang sakit ni... Habis macam mana. Apa pun kerja kena guna kedua-dua belah tangan. Dalam hati geram pun ada dengan doktor tu... Rasanya membazir duit saja pergi klinik... Kalau takat bagi nasihat macam tu tak perlu jumpa doktor pun tak pa. Berapa lama sangat aku boleh bertahan dengan ubat tahan sakit tu. Habis kesannya, sakit tu datang balik.

Kisahnya, hari Sabtu lepas, roda pintu gelongsor kat rumah terkeluar dari railnya... aku cuba angkat... dan-dan tu bunyi berderup kat pangkal lengan... bergulung-gulung aku menahan sakit sorang-sorang... Hmmm! sedihnya bila sakit... kesorangan dan bersendirian di rumah. Mujurlah Isnin lepas Ojet balik. Walaupun dia tak boleh buat apa, tapi sekurang-kurangnya boleh juga mengadu dan buat teman bercerita.

Saturday, April 13, 2013

Catatanku...

 Catatan Destinasiku dalam MM hari ini.

Tak ada apa pun... semuanya dah ditulis dalam blog tapi kerana ada banyak 'lebihan' waktu jadi aku menulisnya kembali untuk ruangan Destinasi Mingguan Malaysia. Cuma ada sikit-sikit yang telah diperbaiki oleh pengelola ruangan ini seperti perkataan 'aku' itu telah ditukar kepada 'penulis'. Jadi aku rasa story ni macam tak 'punch'... kurang jiwa. Pada pendapat aku, kalau perkataan 'aku' itu di kekalkan pembaca akan merasai penghayatannya seolah-olah mereka sendiri yang berada di tempat itu. Apa-apa pun terima kasih kepada pengelola ruangan ini, Nisa yang telah memilih catatan destinasiku untuk dimuatkan dalam ruangan Destinasi minggu ini.

Wednesday, April 3, 2013

Parking...


Waktu merayau-rayu di Sheffield, UK aku terjumpa kawasan letak kereta ni di perkarangan Waitrose supermarket. Baguskan, di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur aku belum jumpa lagi parking yang dikhaskan untuk yang datang berkeluarga. Yang terbaru cuma ada parking yang dikhususkan untuk wanita saja di KLCC.

Aku amati betul-betul apa yang membezakannya dengan petak-petak lain. Perasan tak? Ha, ada ruang dan jarak antara sebelah menyebelah tu luas sikit. Tentu pihak pentadbiran mereka ada alasannya yang tersendiri kenapa buat petak khas untuk yang membawa anak-anak bila membeli-belahkan. Dan aku tengok para pengunjung supermarket ni betul-betul ikut peraturan. Mereka tidak sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan mereka di tempat-tempat yang telah dikhaskan untuk golongan-golongan tertentu. Kalau kat tempat kita, parking yang dikhaskan untuk golongan kurang upaya pun terpaksa dipagar. Kalau tidak, pengguna lain sesuka hati mereka saja meletakkan kenderaan mereka di situ.

Lagi satu ketika di UK, aku tengok pemandu kenderaan terutamanya pemandu bas apabila mereka berhenti di stesen mereka akan mematikan enjin. Walaupun sekejap. Mereka buat begitu mungkin sebab minyak mahal. Tapi perkara yang elok apa salahnya kita ikut kan. Selain dari menjimatkan petrol ia juga menjaga alam sekitar.

Sunday, March 24, 2013

Hendak gugur, gugurlah nangka...

     Jangan ditimpa siranting pauh,
Hendak tidur, tidurlah mata.
     Jangan dikenang orang yang jauh.

Hai susahnya nak melelapkan mata. Terkelip-kelip dan terkebil-kebil sorang. Puas cuba memejamkan mata tapi tetap tak mahu lelap juga. Golek kekiri, golek kekanan tetap serupa. Ditambah lagi kejap-kejap si abang sms. Bukannya ada apa sangat pun. Cerita tentang dia pergi buat rambut. Sekarang rambutnya dah dikerintingkan macam masa dia kecil-kecil dulu. Beritahu tentang salji yang tak henti-henti turun dan semakin lebat di Sheffield sekarang dan separuh dari tayar-tayar kereta yang ada di hadapan rumahnya sudah ditutupi oleh salji.

Nak keluar pergi makan pun dia sms juga. Tahulah di UK sekarang waktu siang tapi di Malaysia ni sudah pukul 2 pagi sayang!

Apa yang aku nak katakan... abang macam dalam mood gembira nampaknya. Hai ada apa-apa ke? Aku seperti dapat merasakannya. Selalunya begitulah. Apa agaknya ya...

Thursday, March 21, 2013

Bermulalah episod baru....

Baru pulang dari menjenguk Ojet di kolej... Sebelum memulakan cerita, aku nak ucap tahniah pada kawan-kawan blog yang anak-anak mereka dapat result SPM hari ni. Debaran dah reda kan... mulai hari ini akan bermulalah episod baru pada anak-anak tu dan fasa pertama dalam hidup kita. Kenapa aku cakap begitu, kerana selepas ini mereka (anak-anak) akan mula melangkahkan kaki keluar meninggalkan kita pula untuk menuntut ilmu. Kalau masa sekolah dulu ada anak-anak yang dapat asrama tapi tak nak pergi... selepas ini tiada lagi perkataan 'tak nak' tu. Suka tak suka... ndak tak ndak kena pergi dan berjauhan dengan mak dan abah. Kena tinggal di kolej.

Pada mak-mak dan abah-abah pulak... selamat berjauhan dengan anak-anak ya. Hm! rindu bakal bertamu dan sepi akan jadi teman sepanjang waktu. Dan yang lebih mencabar lagi... kalau ada anak-anak yang cuba mengintai-intai peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apa pun kita harus merelakannya...

Semua situasi ini telah aku alami dua tiga tahun dulu... Ketika abang dan Ojet menerima keputusan SPM mereka. Hari itu aku sama-sama dengan mereka di sekolah untuk mengambil result SPM mereka. Abang pada tahun 2010 (ceritanya di sini dan sini) dan Ojet pada tahun 2011 (kisahnya di sini) Memang tidak dinafikan, selain dari mereka... aku pun turut sama merasai debaran dan keseronokkannya.

Ketika abang menerima result, aku yang terjerit over... dan saat Ojet aku cuma tersenyum-senyum di luar dewan memerhatikan Ojet sebab ketika itu, cikgu-cikgu sekolah tempat Ojet belajar telah asing-asingkan mereka. Mana yang dapat straight A's cikgu tak beri slip keputusan tu, tapi telah suruh mereka ke dewan untuk menerima keputusan mereka di pentas. Aku dah tak berdebar sangat sebab Ojet telahpun di suruh ke dewan untuk menerima slip keputusan SPMnya.

Alhamdulillah... berkat usaha dan ketekunan kedua-dua permata hati ku mereka kini sudahpun menjejakkan kaki ke menara gading... mengikuti kursus pilihan mereka sendiri dan berada di universiti pilihan masing-masing. Abang di luar negara manakala Ojet di dalam negara, pun dikira jauh juga di utara sana. Ojet pun ada terima tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, buat medic tapi aku tidak begitu menggalakkan... tak jauh cuma di Bandung, Indonesia. Saat itu aku tidak mahu lagi dia berhempas pulas sangat belajar... dan yang utama sekali aku risau melepaskan dia bersendirian dan berjauhan dengan aku sebab dia perempuan.

Tapi apapun cadangan dan pilihan, hakikatnya aku harus juga berjauhan dengan Ojet. Sungguh berat merelakannya tapi kini aku bersyukur. Dia telah boleh membiasakan dan menguruskan diri serta berjauhan dengan aku... dan pulang sendirian dengan kenderaan awam ketika cuti semester... aku sudah mula percaya, dia boleh berdikari.

Itulah sebenarnya yang merisaukan aku... Risau seorang mak, takut anak-anak tak boleh menguruskan diri mereka. Kalau boleh sentiasa nak bantu mereka buat itu ini. Yalah, kalau dah tinggal bersendirian tu, semua kena buat sendiri... Nak makan kena cari dah buat sendiri. Baju kena basuh sendiri. Mana lagi nak hadir kuliah dengan aktivi-aktiviti lain anjuran pihak kolej dan universiti. Dan yang utama sekali akaunpun kena uruskan sendiri. Manalah tahu kalau mereka terlebih belanja, nanti tak makan pulak.

Rindu jangan ceritalah... tambahan jarak beza umur abang dan Ojet cuma setahun. Bila si abang masuk universiti setahun lepas tu di ikuti oleh si Ojet pulak. Memikirkan ini semualah yang membuatkan aku terbang ke UK bulan lepas. Aku nak tengok bagaimana keadaan si abang tu di oversea. Macam mana tempat tinggalnya, makan minumnya dan 'sosial'nya. Lebih-lebih lagi duitnya... takut dia boros. Tahu-tahu jelah... belajar di tempat orang yang segala-galanya mahal. Kalau tak pandai menguruskan kewangan, boros dan terlebih belanja... aku memang tak boleh buat apa-apa. Tapi alhamdulillah! nampaknya dia ok dan boleh melakukannya sendirian walaupun jauh di rantau orang.

Doaku, kedua-dua permata hatiku akan pulang kesisiku dengan kejayaan yang paling manis!