Tuesday, December 8, 2009

Masih segar diingatan...

Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR).

Masih segar diingatan
, dua tahun dulu (Mac 2008) ketika menghantar anak lelaki ku Abang ke SDAR, hati di buru kebimbangan. Macam-macam yang berlegar dan bermain di fikiran. Yang pertama sekali buli. Seluruh ahli keluarga berat hati nak melepaskan abang tinggal di asrama. Tapi atas kemahuan abang, hendak tak hendak kami seluruh keluarga terpaksa akur.

Sepanjang perjalanan pulang selepas menghantar abang hati sentiasa teringatkannya. Risau dan entah apa-apa lagi. Dan kerisauan itu hilang sebaik saja abang menalipon untuk pertama kalinya dari sekolah dengan cerita gembiranya.

”Mak, tadi ada ujian nak tentukan kelas BI. Abang masuk side A.” Alhamdulillah, permulaan yang baik.

Hari terbuka asrama 09.

Sepanjang tinggal di asrama, boleh dikatakan saban minggu kami semua melawatnya. Mendengar cerita dan melihat perkembangan diri dan pergaulannya. Inilah yang paling ditakuti sekali kerana dari kecil hinggalah usianya mencecah 15 tahun abang memang jarang keluar rumah bermain dengan kawan-kawan sebaya. Masanya banyak dihabiskan dengan membaca buku-buku.

Dan setiap kali melawat abang yang pertama akan ditanya macam mana belajar. Boleh ikut ke? Sebab waktu abang mendaftar diri masuk ke SDAR rasanya telah banyak silibus yang tertinggal. Sebulan selepas abang belajar di SDAR, dia mengadu tak boleh ikut pembelajaran dalam kelas add math sebab dah jauh ketinggalan, tambahan pula abang masuk 2nd intake. Dan masih segar diingatan waktu aku melarikan abang dari asrama semata-mata nak jumpa cikgu tuisyen math-nya. (Maaf ya, guru warden, saya terpaksa melakukannya...).

“Saya akan cuba kak” janji Fizal... guru tuisyen anak-anak yang datang ke rumah mengajar dua kali seminggu. Terima kasih Hafizal kerana membantu. Bersusah payah datang kerumah yang jaraknya bukan dekat. Dari Petaling Jaya ke Taman Keramat. Juga terima kasih cikgu Kamila dari SMTK yang juga sudi membantu abang waktu itu, mengajar dan menghadiahkan buku Fizik. Pengorbanan dan bantuan kalian amat saya hargai.

Dengan kecekalan dan kezamanan, abang akhirnya berjaya melepasi segala kepayahan dalam memastikan dirinya tidak 'tercicir'. Dalam ujian pertama abang di SDAR dia dapat nombor 3. Dan masih segar diingatan waktu abang menghubungi aku dari sekolah memberitahu keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya.

“Mak, abang dapat nombor 1!” suara abang riang di hujung talian.

“Iye? Dalam kelas?”

“Dalam tingkatan! Abang dapat strait A”

Congratulation sayang!” Hatiku berbunga gembira. Namun nun jauh di lubuk hati, aku mula cemas sebenarnya. Dia mula menjadi perhatian. Aku takut ini akan membuatkannya hilang tumpuan.

Abang dan rakan-rakan Olympiad Mathematic
SDAR di Hanoi, Vietnam.

Abang pada Hari Anugerah Kecemerlangan.

Tidak banyak yang berubah dalam diri abang sebenarnya. Dia masih kurang berkawan, gemar belajar bersendirian. Aktiviti sekolah pun kurang disertainya.

Setiap kali pulang bercuti, abang tak pernah lekang dengan buku. Dia masih pergi kesekolah lamanya. Mencelah masuk kelas-kelas tambahan yang diadakan oleh guru-guru sekolah tersebut.

Masuk tahun baru (2009) abang dalam tingkatan 5, rasanya terlalu banyak cabaran yang terpaksa aku sendiri tempuhi. Beberapa kali aku terpaksa berkejar dari KL ke Seremban. Masih segar diingatan, ketika wabak H1N1 merebak aku cemas bila abang menalipon dari asrama.

"Mak! abang demam" Seluruh keluarga cemas. Aku menangis. Macam mana nak pergi Seremban. Siapa yang nak temankan aku memandu malam-malam di highway.

"Sabar je... aku temankan, tapi jangan bawak kereta laju sangat!" Kakak ku yang bersiap-siap untuk menghadiri majlis tahlil untuk arwah ibu mertuanya membatalkan niatnya untuk ke majlis tersebut sebaliknya bersetuju menemankan aku ke Seremban.

"Aku ikut!" adikku pun ingin ikut sama menemani. Nasib baik Abang cuma demam biasa saja, tapi pengalaman mencari klinik malam itu sukar dilupakan.

Suasana asrama abang, blok Temenggung waktu malam.

Kembali dari cuti Hari Raya Aidilfitri abang telefon lagi.

"Mak! abang kena demam campak!" Aku bergegas lagi ke Seremban. Tak sampai seminggu duduk di rumah abang gelisah ingin balik ke sekolah. Dia takut tertinggal dalam pelajaran. Dia berkeras ingin kembali ke asrama walaupun parut bekas campaknya belum pulih lagi. Begitulah abang, anak lelakiku.

Abang dan beberapa orang rakan pada Hari Raya Korban.
Terpaksa berhari raya di asrama kerana SPM belum selesai lagi.

Hari ini, 8 Dis, SPM 09 dah berakhir. Ini juga bermakna tamatlah sudah dunia abang sebagai pelajar sekolah. Pasti dia merasa sedih meninggalkan kawan-kawan dan alam persekolahannya di SDAR. Seribu satu macam kenangan dan pengalaman yang telah ditempuhnya sepanjang dua tahun di SDAR aku harap dapat menjadi pengajaran dan mematangkannya dalam menempuh alam dewasa.

Dan pastinya untuk jangkamasa tiga bulan akan datang penuh dengan debaran...!

2 comments:

  1. sis..sy dtg baca
    abang mmg anak yg kuat semangat
    beruntung akak dpt anak mcm abang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Irfa. Harap Irfa janganlah risau sangat kalau sikakak dapat dan nak duduk di asrama. Pedulikanlah cerita remeh temeh tu... Semuanya bergantung pada mereka sendiri... sekurang2nya mereka jumpa dan belajar banyak perkara2 yang tidak pernah kita jangkakan ketika bergaul dengan rakan2 di asrama. Kalau asrama perempuan 'begini' masalahnya dan asrama lelaki 'begitu' pulak masalahnya...

      Delete