Wednesday, June 12, 2019

Selamat Tinggal Kota Cinta...

(catatan siri jalan-jalan Europe 8)

Kebakaran Notre Dame Cathedral yang mak saksikan memenuhi seluruh channel TV Perancis... Boleh dikatakan seluruh rakyat Perancis menangisi kemusnahan gereja gothic tersebut. Mak mengikuti siaran langsung kebakaran bangunan bersejarah itu di bilik hotel sambil mengemaskan pakaian dan memasukkannya ke dalam beg.

Beberapa orang kawan-kawan di Malaysia termasuk abang menghantar mesej bertanyakan tentang kebakaran itu. Dan ya... mak menyaksikannya sendiri.

Sebelum meninggalkan Paris...

Pagi datang menyapa dengan suasana yang nyaman dan hening. Tiada kedengaran hiruk pikuk dan kenderaan yang lalu lalang. Memang kedudukan hotel yang mak inap ini jauh dari bandar dan kesibukkan lalu lintas.

Selesai memuatkan beg-beg pakaian ke dalam kenderaan mak dan rakan bergerak meninggalkan perkarangan hotel. Oleh kerana kedudukan hotel berhampiran dengan taman tema Disneyland, kami singgah sebentar di situ. Perjalanan dari hotel ke Disneyland lebih kurang lima belas ke dua puluh minit sahaja.

Masih pagi sangat waktu mak sampai di pintu masuk ke taman tema tersebut. Oleh kerana orang tak ramai dan suasana lengang mak berlari-lari untuk bergambar di depan pintu masuk. Beg dan barang-barang yang di bawa bersama di scan di pintu keselamatan sebelum pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan taman.

Acah-acah beratur beli tiket.

Keindahan landskap taman membuat mak dan rakan-rakan teruja mengabadikan foto di setiap sudut. Seperti yang diceritakan, mak dalam kembara bajet dan mengejar masa. 

Selain dari tiketnya yang mahal dan tak mungkin cukup sejam dua berada di sana. Malah tidak ada pun dalam list kembara mak dan rakan-rakan berkunjung ke Disneyland... cuma kebetulan kedudukannya berhampiran dengan hotel penginapan jadi kami ambil kesempatan itu untuk singgah.

Dari taman Disneyland dan sebelum meninggalkan Paris, mak dan rakan-rakan singgah juga di La Vallee Village iaitu kawasan designer brands outlet. Cantik tempatnya. Sesuai dengan namanya village... susun atur kedai-kedainya seperti satu kawasan perumahan.

Di La Vallee Village outlet ini bukan setakat menjual pakaian dan barangan berjenama tetapi juga terdapat satu outlet pastri yang menjual macaron terkenal iaitu Laduree.

Laduree menjadi popular dan terkenal setelah terlibat menyediakan kuih dan pastri untuk filem Marie Antoinette dan beberapa siri TV. Malah macaron jenama Laduree di hidangkan sebagai dessert ketika majlis perkahwinan Putera Albert II dari Monaco pada tahun 2011. 

Dan dalam waktu yang terhad ini mak sempat membelikan Ojet beg tangan jenama Michael Kors sebagai hadiah birthday.

Suasana outlet ini seperti dalam kawasan perumahan.

Kerana popularitinya mak beli lapan keping 
macaron Laduree sebab teringin nak rasa.

Laduree macaron dessert yang sering di hidangkan 
dalam majlis perkahwinan anak-anak raja Eropah.

(nota mak: Macaron tu memang sedap, menyesal beli lapan keping je... hmmm! Selamat tinggal Paris... Switzerland menggamit datang.)

Monday, June 10, 2019

Rose Layu dan Saksi Kebakaran Notre Dame...

(catatan siri jalan-jalan Europe 7)

Memorial berbentuk sekuntum rose sempena memperingati Puteri
Diana yang maut dalam kemalangan... di atas terowong Alma.

Penatnya... seharian 'berpusing keliling' di kota Paris. Bermula dari Champ de Mars, kemudian berjalan sepanjang deretan butik-butik mewah di Avenue des Champ Elysees... dan akhirnya sampai di Bateaux Mouches di pinggir sungai Seine.

Untuk sampai ke Bateaux Mouches mak dan rakan melintasi terowong alma dan di situ dibina memorial berbentuk rose berwarna kuning sebagai memperingati Puteri Diana yang maut dalam kemalangan di situ.

Setelah membeli tiket mak bersama rakan-rakan belayar menyusuri sungai Seine. Hembusan angin dingin membelai wajah. Sepanjang pejalananan dengan cruise mak menyaksikan keindahan senibina bangunan lama kota Paris yang terpelihara rapi di kiri dan kanan sungai.

Sebelum kembali semula ke hotel mak jalan-jalan di Petit Pont. Melihat-lihat lukisan yang di jual di kakilima jalan dan membeli makanan di satu restoran Turki dan sedikit souviner sebagai kenang-kenangan. 

Ketika dalam perjalanan untuk keluar dari bandar Paris, jalan raya sesak dan bunyi siren polis kedengaran merata-rata. Beberapa jalan masuk kebanyakkannya di tutup. Rupa-rupanya Notre Dame Cathedral yang berusia ratusan tahun terbakar. Dan mak menyaksikan asap berkepul-kepul serta api menjulang tinggi.

 Menurut cerita penduduk Perancis arca berwarna emas yang 
di letakkan atas dua tiang batu yang kelihatan seperti di kiri dan 
kanan Eiffel Tower itu diperbuat daripada seratus peratus emas.

Orang Perancis suka lepak-lepak di cafe. Sepanjang berada di sini, 
mak perhatikan cafe-cafe sentiasa penuh dengan pengunjung.

Lukisan-lukisan yang di hasilkan pelukis jalanan 
menggunakan colour pencil di pinggir sungai Seine.

Deretan kedai souviner dan restoran di Rue du Petit Pont. Dan
jika di perhatikan rumah-rumah kedai di Paris kekal dengan konsep 
balkoni yang dipagari dengan besi berkerawang. 

Ketika cruise melintasi menara Eiffel.

Sempat bergambar kenangan di hadapan Notre Dame 
sebelum ianya musnah dalam kebakaran.

(nota: mak antara yang menyaksikan kebakaran Notre Dame
ketika di Paris malah ketika berfoto dan mengabadikan kenangan
di hadapan bangunan tersebut mak sudah tercium bau asap.)

Sunday, June 2, 2019

Sibuk Dan Sesak di Mana-Mana...

(catatan siri jalan-jalan Europe 6)

Kesesakkan lalulintas dalam perjalanan menuju ke Champ de Mars. 

Kesibukan di kota Paris macam di KL juga. Kesesakkan lalulintas di mana-mana. Dan kita boleh lihat sikap tidak sabarnya sesetengah pemandu kenderaan. Mereka selamba saja membuat pusingan U dan memandu menentang arus.

Waktu mak ajak abang ke sini tiga tahun dulu dia tak mahu. Katanya tak seronok... lagipun tak ada apa. Hari ini mak saksikan sendiri bandar Paris yang mendapat jolokan Kota Cinta ini.

Ketika sampai di Champ de Mars, Avenue Anatole, sekumpulan penjual souviner warga Afrika menyerbu dan menawarkan jualan mereka. Ke mana saja kita bergerak mereka sentiasa mengekori. Sampai naik rimas dan hilang sabar di buatnya.

Untuk menghindarkan mereka dari sentiasa mengekori akhirnya beli juga tujuh keping fridge magnet dengan harga sepuluh euro. Selepas itu barulah rasa selesa berposing depan Eiffel Tower yang menjadi mercu tanda kota Paris ini.

Selain dari penjual souviner gadis-gadis berketurunan gipsi juga ramai berkeliaran. Mereka akan berpura-pura bertanyakan sesuatu pada pengunjung tetapi sebenarnya mereka ini adalah penyeluk saku.

Effiel Tower ikon budaya global Perancis 
dan paling dikenali di dunia.

Dari Champ de Mars mak ke Avenue des Champs Elysees... Di sinilah nadi kota Paris kerana sepanjang avenue ini banyak butik-butik barangan jenama mewah antaranya LV, Boss, Tag Heuer dan banyak lagi. Dan di pintu butik LV orang ramai beratur panjang menunggu giliran untuk masuk. 

Malah di sini juga terletaknya cafe Nespresso yang menghidangkan kopi termahal di dunia... juga bulatan Place Charles de Gaulle di mana tegaknya tugu Arc de Triomphe. Kawasan ini sentiasa menjadi tumpuan ramai dan sering menjadi medan perhimpunan penunjuk perasaan.

Avenue des Champs Elysees sentiasa menjadi tumpuan pelancung.

Cafe Nespresso, yang menghidangkan  kopi termahal di dunia.

Sekadar bergambar di hadapan butik LV... 

(nota mak: teringin juga nak 'menjinjit' LV tapi bila mengenangkan mak dalam kembara bajet...)

Friday, May 31, 2019

Sampai Juga ke Paris...

(catatan siri jalan-jalan Europe 5)

Senja menanti kedatangan mak dan rakan di Paris. Seharian di jalan raya. Penatnya tak dapat digambarkan. 

Sepanjang perjalanan dari Calais menuju ke Paris mak melihat ladang-ladang pertanian di kiri kanan jalan. Saujana mata memandang. 

Kelihatan juga wind turbine didirikan dalam kawasan ladang. Dapat di lihat merata-rata...

Sepanjang melalui highway ini mak tak nampak pun 
papan-papan iklan macam highway di negara kita.

Kenangan... solat tepi highway di kawasan RnR.

Sesuatu yang mak paling tak lupa dan kenang selama perjalanan ini ialah berhenti di satu RnR untuk solat. Tidak ada surau atau ruang lapang di RnR tersebut yang boleh mak dan rakan jadikan tempat untuk solat. Jadi kami solat di luar... atas rumput.. tepi jalan.

8.30 malam mak dan rakan sampai di hotel penginapan. Vienna House Magic Circus yang terletak di Avenue de la Fosse des Pressoirs. Cantik hotelnya. Macam castle lama-lama. Hiasan dalamnya pun menarik... dengan tema warna kuning dan merah. Dan hotel ini terletak berhampiran dengan taman tema Disneyland, Paris.

Pintu bilik di lukis dengan gambar langsir.

Sebaik saja masuk ke bilik mak teruja melihat suasana 
dalamannya. Ada katil quens dan katil dua tingkat.

(nota mak: Bila mak call Ojet cerita pasal solat tepi jalan tu, sebab masa dalam feri asyik berborak dia jawab, "tak memasal..." Habis nak buat macam mana, hotel jauh lagi.)

Wednesday, May 29, 2019

Dari Dover ke Calais...

(catatan siri jalan-jalan Europe 4)

Dover sebuah bandar pesisir (coastal town) yang terletak di Kent tenggara England. Juga merupakan terminal pelabuhan feri ke Calais, Perancis.

Ketika kenderaan yang dinaiki memasuki bandar dan menghampiri perlabuhan kelihatan istana Dover yang di dirikan atas tebingnya yang tinggi. Dulu ianya dibina untuk mengusir pencerobohan dari Selat Inggeris, Di bawahnya terdapat terowong yang di panggil Tunnels Wartime Secret. Tebing kapur yang berwarna putih merupakan simbol perlindungan dan daratan paling dekat dari Britian ke benua Eropah. Ia juga dikenali sebagai Cliffs of Dover atau Cliffs Putih.

Cliffs of Dover atau Cliffs Putih... di atasnya ada sebuah istana yang
dipanggil Dover Castle dan dibahagian bawahnya terdapat terowong rahsia.

Ketika sampai di kawasan perlabuhan kelihatan banyak lori-lori
besar dan kereta berbaris panjang masuk ke terminal untuk
menyeberangi Selat Inggeris ke Calais, Perancis.

Feri P&O yang membawa penumpang dari Dover
untuk ke Calais, Perancis.

Suasana dalam feri P&O.

Sebaik saja kenderaan yang kita naiki masuk ke perut feri, semua penumpang di minta turun dari kenderaan masing-masing... dan naik ke tingkat atas di mana terdapatnya cafe, kaunter pengurup wang (money changer) dan juga mini market. 

Besar juga feri P&O ini dan ada beberapa tingkat. Untuk tidak tercari-cari atau sesat apabila ingin kembali semula ke kenderaan yang ditinggalkan di bahagian bawah, penumpang sentiasa diingatkan supaya menggunakan tangga atau lift yang sama ketika naik dan turun. 

Setiap tangga dan lift di tandakan dengan warna-warna. Kalau ketika kita naik menggunakan lift atau tangga yang dilekatkan dengan warna kuning, jadi gunakan tangga dan lift yang sama juga ketika turun. Untuk yang dah biasa mungkin perkara ini tidak menjadi masalah. Tapi bagi mak yang pertama kali memang keliru juga.

Perjalanan menyeberangi Selat Inggeris dari Dover ke Calais mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Oleh kerana musim winter baru saja berlalu hembusan bayu Selat Inggeris terasa sejuk dan dingin. Kebanyakan penumpang cuma duduk berbual dan minum saja di cafe bahagian dalam feri. 

 Sepanjang pejalanan menuju ke Calais, mak rasa pening kerana
feri terasa terumbang ambing sedikit oleh alunan ombak.

(nota mak: Dah janji dengan Ojet, mak akan hantar mesej padanya sepanjang dalam kembara ini. Bila mak beritahu dah nak ke Paris, dia balas "Owh! nak masuk negara yang tak pernah masuk la ni... hati-hati mak, jaga barang-barang!")

Tuesday, May 28, 2019

Kasut Untuk Abang...

(catatan siri jalan-jalan Europe 3)

Pagi di Heston Hyde Hotel, Hounslow... udara dingin menyapa sebaik keluar dari pintu hotel. Bila bercakap keluar wap putih dari mulut... 

Sementara menunggu beg-beg pakaian di masukkan ke dalam kenderaan mak berfoto di laman hotel. Destinasi pagi ini terminal feri di Dover. Dari situ mak dan rakan akan menaiki feri menyeberangi Selat Inggeris menuju ke Calais, Perancis.

Dalam perjalanan ke Dover kami singgah sekejap di Designer Outlet Ashford. Mak mulanya tidak bercadang untuk membeli apa-apa di situ memikirkan mak cuma ada seratus lima puluh pound saja dalam tangan.

Berselfie di pintu masuk..

Ashford Designer Outlet, branded shopping outlet terbesar di UK.

Kasut untuk abang... empat puluh lima pound.

Namun sebaik saja melangkah masuk ke dalam kawasan itu mak jadi teruja. Ada beratus kedai barangan berjenama. Luas, teratur dan bersih persekitarannya. Tandasnya juga bersih.. itu yang penting.

Mak menapak dari satu kedai ke satu kedai. Mana yang berkenan mak singgah dan belek-belek... sehinggalah mak sampai di pintu kedai kasut berjenama popular... terus teringatkan abang. Dan belikan abang sepasang kasut. Walaupun dia dah bekerja dan mampu beli sendiri tapi sifat emak dah memang begitu. Anak-anak sentiasa menjadi keutamaan.

(nota mak: ...dan mak beli purse jenama Fossil untuk diri sendiri.)

Sunday, May 26, 2019

Menyusuri Oxford Street..

(catatan siri jalan-jalan Europe 2)

Menyusuri kaki lima kedai sepanjang Oxfort Street. Orang begitu ramai. Boleh dikatakan semua kedai-kedai di situ sesak dengan pengunjung. 

Tidak seperti pertama kali mak datang enam tahun dulu. [link] Terasa seronok menyusuri dari satu kedai ke satu kedai. Setiap sudut berhenti bergambar. Kini tidak lagi. Barangkali kerana usia yang semakin meniti senja. ... cepat terasa penat dan tidak ada apa yang menarik di situ untuk seorang perempuan tua seperti mak.

Mak tengah kira duit syiling... 

Dalam tangan ketika itu hanya ada seratus lima puluh pound sahaja. Mak bercadang membelikan baju raya untuk anak saudara... si kembar Alya dan Alyah. 

Dengan duit seratus lima puluh pound itu tentulah pilihannya gedung Primark. Murah dan sesuai dengan bajet mak. Kalau pandai memilih memang dapat yang cantik-cantik. Dengan harga lapan pound mak kira boleh dapat sehelai gaun kanak-kanak perempuan.

Sebaik saja melangkah masuk Primark orang ramai bersesak-sesak. Mungkin kerana hari itu hari Sabtu, kebanyakan warga London keluar bershopping. Mak rasa macam nak pitam. Kaki pulak terasa berat-berat untuk melangkah. Walaupun jumpa gaun yang mak cari tapi kerana Q yang terlalu panjang di kaunter bayaran... mak letak balik barang... tak jadi membeli.

Usai solat di London Central Mosque mak makan nasi briyani kambing di cafe masjid. Boleh tahan sedap tapi sebab badan letih... hanya separuh sahaja yang mampu mak makan.

Singgah solat di London Central Mosque

Briyani kambing.

(nota mak: kali ni mak ke London bersama rakan sewaktu sekolah rendah dulu. Setelah puluhan tahun tidak berjumpa tiba-tiba dia menghantar mesej mengajak bertemu dan melancong)