Friday, May 24, 2019

Musim Bunga Yang Mengujakan...

(catatan siri jalan-jalan Europe 1)

Pagi menyambut kedatangan mak di Gatwick Airport, London. Udara sejuk dingin menyapa sebaik keluar dari balai ketibaaan. Ketika ini musim bunga baru menunjukkan wajahnya. Kepenatan menempuh penerbangan selama tigabelas jam termasuk transit empat jam setengah di Dubai bagaikan tidak terasa.


Seakan tidak percaya mak kembali menjejakkan kaki di London. Kali pertama tujuh tahun dulu. Waktu itu abang baru saja memulakan pengajiannya di Sheffield Universiti (link). Tanpa persediaan dan duit yang cukup mak beranikan diri datang ke London... waktu itu winter. Dan mak menjerit kesejukkan ketika pertama kali berhadapan dengan musim sejuk (link).

Tiga tahun selepas itu.... mak datang lagi dan sekeluarga merayakan Aidilfitri di sini kerana menghadiri majlis konvokesyen abang di Universiti Sheffield yang ketika itu jatuh pada hari raya.[link] Dan mak mengambil kesempatan itu untuk tinggal selama sebulan lebih di Sheffield. Sekembalinya ke Malaysia selepas itu, mak tidak pernah terfikir akan menjejakkan kaki di UK lagi.

Tapi selepas tiga tahun berlalu... kini mak melangkah lagi di celah-celah kesibukan kota metropolitan ini. Di bumi empat musim ini mak kembali menyaksikan ragam pengunjungnya. Menghirup udara dinginnya dan menyaksikan keindahan musim bunganya.

Putih dan menawan.

Cherry blossom yang banyak di temui sepanjang jalan-jalan yang mak lalui.

Sebatang pokok merah menyala yang tumbuh di Buckingham Garden

Tak tahu apa nama pokok ni tapi nampak menarik dan unik di mata mak.

 Sepanjang jalan menuju ke hotel penginapan di Hounslow.

(nota mak: Allah berikan nikmat dan berpeluang menjejakkan kaki di London untuk kali yang ketiga..")

Tuesday, April 2, 2019

Mengisi masa lapang...

Agak lama juga tak membuat catatan di blog ini. Setahun rasanya. Entry terakhir tentang kegiatan mak Januari tahun lepas. Sekembalinya dari umrah adalah sedikit catatan dan... mak terus sepi. Banyak juga kisah dan cerita sepanjang perjalanan umrah itu tapi mak tak 'mampu' meneruskannya tika ini. Pertamanya kumputer riba mak meragam. Keduanya masa begitu 'cemburu' dan menghambat kehidupan lepas bersara.

Pun seperti yang mak beritahu sebelum ini, usia tua seakan-akan mengekang kelancaran kehidupan harian. Barangkali kerana sepanjang usia muda mak habis dengan berulang alik ke tempat kerja membuatkan apabila bersara semuanya jadi tidak teratur. Amat payah untuk mengatur rutin jadual harian. Semuanya seakan menjadi kelam kabut. Masa juga seperti berlari begitu pantas hinggakan mak tidak berdaya mengejarnya.

Sepanjang tahun 2018 ada juga beberapa aktiviti perjalanan dan kenangan yang sukar dilupakan. Yang boleh juga dimuat naik catatannya di sini. Antaranya mendaftarkan diri di kelas memasak. Belajar buat kueh koci dan karipap.

Lepas hadiri kelas buat karipap, rupa paras karipap mak 
lebih elok dari yang sebelum ini. Nak bandingkan cer tengok 

Yang susahnya buat koci adalah melipat daun 
pembalutnya agar nampak kemas. Tapi sekarang dah 
tak jadi masalah lagi... malah mak enjoy kalau
buat kueh koci ni.

Dan... kalau dah belajar tu... tentulah open order juga. Walaupun sekadar suka-suka paling tidak pun sebagai mengisi masa lapang.

Pada waktu yang lain pula mak cuba bertanam pokok-pokok sebagai riadah. Tapi buat seketika hobi itu terbantut kerana serangan tikus terhadap pokok-pokok yang mak tanam.


Pokok rose, kunyit dan pandan antara yang 
subur di pasu mak.


Tuesday, March 26, 2019

Rasa tua...

Bagi yang belum melaluinya tak akan tahu bagaimana rasanya menjadi tua. Dengan tenaga dan keupayaan yang kian berkurangan adakalanya seperti nak marah pada diri sendiri. Cepat semput bila buat kerja walaupun cuma menyapu dan mengemaskan rumah.

Sendi-sendi rasa sakit terutama bahagian lutut. Siksa rasanya bila duduk dan mahu bangun semula. Penglihatan juga tidak lagi 'tajam'. Ketika usia muda dan masih bekerja dulu banyak juga anganan dan impian yang ingin dilaksanakan apabila bersara. Tapi nampaknya tak kesampian.

Menjadi suri rumah sepenuh masa pada usia tua bukan sesuatu yang menyeronokkan. Ianya tidaklah seperti yang diimpikan. Banyak perkara yang tidak mampu di lakukan. Malah daya ingatan berkurangan. Berfikir juga boleh membuatkan rasa penat apalagi berjalan.

Adakalanya seperti mahu menangis memikirkan keadaan diri yang seperti ini. Tapi apakan daya sudah begitu aturan dan kitaran hidup ini.

Tuesday, December 18, 2018

Teman...

Black, kucing baka campuran maine coon dan 
persian. Baru setahun usianya.

.. setiap kali bunyi pintu pagar di buka dia akan 
menjenguk di tingkap melihat siapa yang datang.

Kehidupan selepas bersara agak sunyi. Agak payah juga untuk membiasakan diri. Aku jadi termanggu-manggu tiba waktu pagi. Entah apa yang ingin aku buat. Walau pada sebelah malamnya sebelum tidur sudah di pahatkan dalam hati, "bangun pagi esok nak buat itu... nak buat ini" tapi bila menjelang siang aku seperti orang bingung.

Bersendirian dan suasana yang sunyi membuat aku banyak menghabiskan masa dengan berbaring-baring di katil.

Agak lama juga aku mengambil masa untuk mengatur jadual harian. Rajin dan malas silih berganti memenuhi ruang-ruang hari ku. Sehinggalah satu hari Ojet bawa seekor anak kucing ke rumah.

Ya, dengan kehadiran black sedikit sebanyak menambah keriuhan dan penghapus rasa sunyi. Dialah peneman di kala anak-anak keluar bekerja. Anak-anak pula menganggap black 'adik bongsu'. Sedikit sebanyak telatah, kelincahan dan kenakalannya memberi impak yang besar dalam keluarga aku.

Friday, December 7, 2018

Terbangkit dari lena...

Salam! Tiba-tiba seperti dikejutkan dari tidur yang lena. Seolah tersentak dari lamunan yang tak bertepi. Rupanya 2018 sudah sampai ke penghujungnya.

Terlalu banyak peristiwa yang di lalui sepanjang tahun ini. Tapi dibiarkan berlalu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Keinginan untuk berblog seperti mati. Idea untuk menulis seakan tumpul. Hari-hari yang berlalu terbiar kosong begitu saja tanpa pengisian.

Berita pemberhentian (VSS) kakitangan sebuah syarikat akhbar aliran perdana beberapa minggu lalu seakan mengetuk keras pintu hati. Dan membuat aku seakan terjaga dari mimpi. Tiba-tiba terasa sayu dan hiba. Aku mengenali kebanyakan mereka. Airmata begitu murah ketika bertemu pada hari terakhir di perkarangan bangunan pejabat akhbar tersebut. Masing-masing kini keluar membawa haluan sendiri.

Kembali ke rumah seluruh ruang terasa sunyi, Saat itu aku merasakan seolah rakan-rakan yang aku kenali selama ini telah pergi jauh. Seakannya aku pulak yang kehilangan pekerjaan. Hakikatnya telah dua tahun aku bersara dari dunia pekerjaan.

Saturday, March 31, 2018

Awak tak cakap 'innalillah...!"

Ekoran dari kemalangan yang berlaku semasa dalam perjalanan ke Ja'ranah, group kami agak lewat dari masa yang ditetapkan kembali semula ke Kota Mekah dan memulakan tawaf. Malah ketika sampai di Ja'ranah kami semua tidak turun dan bersembahyang sunat di masjidnya. Jemaah lelaki pula menukar pakaian ihram mereka di dalam bas di bahagian tempat duduk belakang.

Syukurlah ketika di Jabbal Rahmah aku sempat mengambil wuduk malah sepanjang berada di Mekah wuduk aku kekal lama.

Jangan silap sangka, gambar ni dirakamkan 
setelah selesai melakukan saie.

Selesai tawaf dan atas persetujuan semua sembilan belas orang group kami masing-masing bersetuju untuk bersaie dengan menaiki skuter. Setiap orang di kenakan 50 riyal. Tidak di nafikan aku awalnya agak takut juga bersaie dengan skuter... takut tertinggal dan tercicir dari group. Tapi alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.

Elok saja kami menghabiskan tujuh pusingan dan sampai di bukit Marwah, azan asar berkumandang.

Sejujurnya, bagi aku, melakukan saie lebih seronok dan lebih 'feel' jika berjalan. Walaupun letih tapi rasanya kita lebih menghayati apa yang telah dilakukan oleh Siti Hajar dulu. Itu pada pendapat aku.

Ketika berjalan pulang ke hotel kumpulan kami berpecah. Aku berjalan sendirian melalui jalan di hadapan Al Safa Royal Palace. Udara nyaman dan hembusan angin lembut membuat aku rasa seronok berjalan sambil memerhati sekumpulan jemaah Turki melangkah penuh semangat menuju ke pintu masjid.

Kemudian tidak semena-mena tiba sebuah lori kecil diikuti buggy dengan di atasnya ada beberapa orang lelaki Arab berhenti di sebelah aku. Ketika aku menoleh terlihat sekujur tubuh yang sudahpun siap dikapan terbaring di atasnya. Dan aku spontan terjerit kecil "ei! orang mati." Lama aku berdiri di situ memerhatikan jenazah berkenaan di bawa masuk ke dalam masjid.

Sampai di hotel aku ceritakan apa yang aku nampak dengan seorang rakan group. Dia tanya "awak tak cakap 'innalillah...!" Aku cakap tak... aku cuma cakap.."ei orang mati!" Apalagi, kawan tu ketawa bila dengar aku cakap macam itu.

(nota sweetie: Maaflah, sebenarnya ketika melihat jenazah berkenaan di sebelah aku, fikiran aku ketika itu kosong dan blur. Tergamam pun ya juga.)

Tuesday, March 27, 2018

'Jangan lafazkan...' Ini kat Mekah tau!

Walaupun telah hampir tiga bulan berlalu kenangan ketika di Mekah masih segar dan sentiasa dalam bayangan ingatan. Mana boleh lupa... terlalu manis dan indah walaupun terselit juga dugaan dan cabaran. Apatah lagi bila menatap kembali gambar-gambar yang sempat di rakam sepanjang aku berada di sana.

Hari pertama ziarah luar segalanya berjalan dengan baik. 
Cuaca cantik. Jalanraya kelihatan lengang.  Kami di bawa 
ke Tanaem untuk bermiqat.

Ziarah hari kedua kumpulan kami di bawa ke Ja'ranah. Perjalanan bas pastinya melalui Padang Arafah, Mina dan sudah semestinya bas berhenti di Jabal Rahmah. Bukit pertemuan Adam dan Hawa setelah terpisah ratusan tahun lamanya.

Menyaksikan Padang Arafah yang begitu luas dari atas Jabal Rahmah, aku cuba membayangkan bagaimana keadaannya ketika musim haji di mana ribuan umat Islam berhimpun di sana. Aku cuma boleh membayangkan kerana aku belum lagi pernah 'dapat jemputan' untuk menunaikan haji.

Sebahagian Padang Arafah di lihat dari Jabal Rahmah.

Deretan bas yang membawa jemaah di jalan 
berhampiran Jabal Rahmah.

Ketika bas yang aku naiki mula bergerak meinggalkan kawasan 
Jabal Rahmah aku terlihat seorang pemandu bas sedang memasak dalam 
tempat simpanan barang yang telah diubah suai diperut bas.

Jamrah, Mina.

Sebaik melepasi Mina dalam perjalanan menuju ke Ja'ranah sesuatu yang tidak terduga terjadi. Bas yang kami naiki terlibat dalam kemalangan. Hampir sejam juga kami 'tersangkut' menunggu polis datang. Mujurlah tiada sesiapa yang cedera dalam kemalangan ini.

 Lelaki Arab itu cuba mencari penyelesaian tanpa
melibatkan polis. Dan kemek di pintu bas kami sebelah
pemandu akibat perlanggaran.

Kenderaan yang terlibat melanggar bas yang kami naiki 
cuma di pandu oleh budak lelaki dalam lingkungan umur 
lima belas tahun dan tidak berlesen.

Kesesakkan yang berlaku akibat dari perlanggaran ini.

Mengenangkan kembali kejadian yang berlaku... ada sesuatu yang tak mungkin aku lupa dan bakal di kenang sampai bila-bila... dan dijadikan peringatan dan lucu... Bolehlah dikatakan aku saksi kejadian ini kerana aku melihat sendiri bagaimana ianya terjadi... 

Semuanya sungguh jelas di mata aku bagaimana budak lelaki yang memandu kereta berkenaan meluru masuk dan cuba memintas bas yang kami naiki. Dan sedari awal lagi bila aku nampak kereta berkenaan dipandu laju aku sudah berkata-kata dalam hati malah melafazkannya. 

Cukup tiga kali aku melafazkan kata-kata "kena kang ni"... ya serentak dengan itu kami semua dalam bas mendengar dentuman yang kuat. Ada beberapa jemaah di dalam bas yang tercampak dari tempat duduk termasuk mutawif kami.

Dalam keadaan panik dan terkejut itu kami dalam bas masih boleh ketawa bila masing-masing dapat tahu aku yang melafazkan kata-kata 'kena kang ni'. Ustaz mutawif cakap, sebaik aku lafazkan kata-kata itu malaikat mengaminkannya. Ini kat Mekah! Dan kata-kata itu jadi bahan gurauan pulak selepas itu.

(nota sweetie: aku sempat menghantar wasap menceritakan kejadian ini pada Ojet... Ojet cakap "mak punnn, biasa bonar cakap macam tu." Aku cakap, aku terlupa yang aku berada di Mekah! hehehhe...)