Wednesday, January 5, 2011

Cheese tart lagi...

Sebenarnya 'aktiviti dapur' ni dah lama aku tinggalkan. Kira-kira lama jugalah, agak-agak ada tiga tahun. Tapi sejak akhir-akhir ni kembali aktif. Dah tak ada apa nak buat. Nak berenang tak ada kawan. Anak-anak sibuk dengan study dan aktiviti mereka sendiri dan aku selalu kesorangan.

Dari duduk-duduk saja tak buat apa-apa baik aku buat tart. Galakan dari anak-anak dan kawan-kawan tu yang membuatkan aku seronok melakukannya. Dan dapat juga pendapatan sampingan. Terima kasih semua!

Cheese tart ni buat Mislina. 30 biji di bahagi
dua dengan jiran sebelah rumahnya. Mislina
suka yang
garing dan dia siap bawa bekas sendiri
dari rumah. Katanya dia naik motor jadi senang
nak bawa. Terima kasih ye awak!

Monday, January 3, 2011

Dah tak ke sekolah lagi....

(Hanisa dan Ojet belajar buat tart.)


(Ini fruit tart Hanisa.)


(Blueberry cheese tart untuk Lin. Terima kasih Lin.)


Heh! Tahun baru dah! Mulai tahun ni tak ada lagi aku berulang alik ke sekolah menghantar anak-anak. Ojet dah tamat tingkatan lima dan tengah tunggu result SPM. Abang sedang menghabiskan foundationnya satu semester lagi sebelum berangkat ke UK.

Bila di hitung kembali ada sebelas tahun aku berulang alik ke sekolah. Bermula dari abang masuk tahun satu pada tahun 1999 sehinggalah Ojet tamat tingkatan lima tahun 2010.

Nampak ibu bapa menghantar anak-anak tahun pertama sekolah aku teringat kisah menghantar abang masa mula-mula masuk sekolah. Masih segar lagi diingatan dengan kata-katanya pada hari pertama aku bawa dia ke sekolah. Dalam kereta dia cakap, “Mak nanti abang nak kawin dengan Amalina.”

Ha.. ha.. Bukan dia cakap tentang cita-cita nak jadi cikgu ke, doktor ke tapi dia bercita-cita nak kawin dengan kawan satu tadikanya.

“Heh!, belajar dulu pandai-pandai, kalau tak pandai Amalina pun tak nak kan abang!”

Dan alhamdulillah! syukur, tak sia-sia nampaknya usaha aku berulang alik kesekolah. Setakat ini abang sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Paling terbaru dia dapat four flat dalam foundation semester pertamanya.

Dan bila aku tanya, masihkah dia bercita-cita untuk kahwin dengan Amalina, abang cuma senyum je!


(Blueberry cheese tart untuk Odi. Terima kasih Odi.)

Tuesday, December 28, 2010

Jomla makan dim sum stimbot...

(Rebus! kami memilih untuk layan diri.)

(Ini pertama kali aku makan dim sum.)

“Kak! kita makan stimbot malam ni.”

“Ala, malaslah, anak aku tinggal kat rumah, entah makan entah tidak!”

“Jomla... saya ajak Sedek sekali. Dia kata okey, nak perabiskan duit ni!”

“Hujan lebat!” Masih mencari alasan.

“Hujan-hujan ni la sedap makan dim sum stimbot. Jomla.., jomla... Ni.. ni.. tengok paper hari ini ada satu restoran. Macam best nampak, yeh!”

“Kat mana ni?” sambil membelek-belek akhbar yang dimaksudkan.

“Kita tanya Sedek. Dia mesti tau ni.”

Aku tewas juga dengan ajakan kawan petang semalam. Hujan yang turun lebat tidak menghalang niat kami nak makan stimbot di restoran yang dimaksudkan.

Aku tinggalkan kereta di pejabat. Dan dengan kereta Shidah kami menuju ke Petronas Pudu Ulu mengambil Sidek pula. Rupa-rupanya restoran yang dimaksudkan tidak jauh dari tempat Sidek menunggu kami.

“Sedap lagi kat warung kakak yang selalu kita pergi”

“Kalau dah tekak Melayu tu, Melayu jugak. Walaupun makanan Cina, tapi nak Melayu buat juga yang sedap.”

“Iyalah, aku kata yang kat warung kakak tu juga yang sedap.”

(Sebelum balik Shidah beri loceng angin, cenderahati sempena
percutiannya di Langkawi minggu lepas.)

(Sedek beri fridge magnet yang dia beli di Cambodia. Dan ini
adalah sebahagian koleksi fridge magnet aku pemberian dari
kawan-kawan, sahabat handai, anak dan adik. Dan yang paling aku
sayang patung orang Karen tu pemberian adik dari Thailand
dan sepasang patung petani Vietnam pemberian anak lelakiku
waktu dia menyertai pengantarabangsaan matematik
di Hanoi tahun lepas.)

Mari buat bahulu!...

Bahan-bahannya:
2 cawan gula pasir
2 cawan telur (pecahkan telur dan sukat dalam cawan)
Tepung gandum

Cara mengadun:
1. Pukul telur dan gula hingga kembang dan pekat.

2. Ambil beberapa senduk andunan dan masukkan dalam satu mangkuk kecil. Campurkan tepung sedikit-sedikit sehingga mendapat adunan yang dikehendaki. (Jangan terlebih tepung sebab ini akan membuatkan kuih jadi keras dan tak lembut.)

3. Panaskan acuan dan sapu minyak sedikit. Sudukan adunan ke dalam acuan dan bakar dalam oven dengan suhu 200 C sehingga masak.

Monday, December 27, 2010

Sedapnya bau...!

(Cheese tart untuk Rose.)

(Bahulu untuk kakak.)

"Hurmmm! sedapnya bau. Mak masak apa tu!"

"Buat kulit tart. Ada orang nak cheese tart!"

Abang terhidu-hidu lagi. Dan dia tersenyum-senyum memandang tart-tart yang tersusun dalam dulang pembakar.

"Nak ke?"

"He he!"

"Ok, nanti mak buatkan!"

Cuti krismas semalam aku agak kelam kabut sikit menyiapkan blueberry cheese tart dan bahulu. Dua hari tu aku terperap di dapur dengan bahang oven.

Monday, December 20, 2010

"Mak dah gemuk la..."

(Banana cup cakes untuk kakak ipar sempena majlis tahlil
di rumahnya hari Sabtu lepas.)

(Masih dalam oven.)

(Dah masak.)

“Eii! buruk betullah. Pakai apa pun tak kena, terbuncit sana, terbuncit sini. Bencilah!”

“Ha.. ha.” Abang ketawa.

“Tengok body mak dah tak cantik. Perut buncit. Dari tengah hari semalam mak makan banyak betul. Eiiih!”

“Tau pun. Masa makan tak beringat. Salah mak. Ntah-ntah mak mengandung!”

“Tak da mananye!” Dan si abang ketawa lagi. Tak berhenti.

Aku perasan, sejak akhir-akhir ni badan rasa berat-berat. Dan selera makin bertambah. Perut nampak buncit. Tak boleh jadi ni.

“Hei kau buat apa kat rumah!”

“Duduk je.”

“Meh lah sini, datang rumah aku, kita cerita-cerita lepas tu kita keluar minum nak.”

“Ok, aku datang!” Malam tadi, kami (aku, adik, kakak, abang dan Ojet) keluar ke Ampang Waterfront.

“Aku nak minum jus kiwi.”

“Makan?”

“Tak nak!”

“Betul?”

“Betul!”

“Nanti jangan nak rasa sikittt...!”

“Tak!”

“Ei! betul-betul ni!”

“Ya, aku dah gemuk, perut pun buncit!”

Dan hari ini aku puasa. Betul, aku takut gemuk. Sebelum husband bersuara baik aku diet!

Thursday, December 16, 2010

Siapa nak fruit tart...

(Inilah fruit tart yang aku buatkan untuk kawan
sepejabat, Shidah.)

“Abang boleh tolong mak tak?”

“Mak nak abang buat apa?”

“Temankan mak gi seven eleven kejap. Mak nak beli susu segar.”

Waktu tu jam dah pukul 10 setengah malam. Aku baru nak memulakan aktiviti dapur, baking. Janji dengan kawan satu office nak buatkan dia fruit tart. Tapi susu tak ada. Nasib baik kedai seven eleven dekat dengan rumah. Tapi takut pula nak pergi sorang. Itulah minta anak lelaki si abang temankan. Husband? Ooo husband belum balik kerja lagi. Selalunya dia balik lambat.

“Ada sesiapa yang nak makan fruit tart!”

Tak ada jawapan

“Cepat sebelum mak ubah fikiran!”

Pun senyap. Nampaknya tak ada siapa yang mahukan fruit tart. Tart yang dah siap aku masukkan dalam kotak. Dan tiga keping lagi aku letakkan dalam satu bekas lain. Cadangnya nak kasi Anisa kawan Ojet yang suka makan fruit tart.