Monday, March 30, 2020

Bersabar dan Biarkanlah...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Berkurung dalam rumah bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Mak pun dah mula rasa resahnya. Walaupun sebelumnya mak bukanlah yang suka 'berpeleseran' di luar sana... akan tetapi sesekali hendak juga bermandi cahaya matahari. Berjalan-jalan menikmati keindahan alam sekitar.

Melepak dengan anak-anak di cafe. 'Cuci-cuci mata' di pasaraya. Dan paling perlu ke pasar tani setiap Sabtu untuk membeli stok sayur-sayuran dan lauk pauk.

Tapi apakan daya... keadaan tidak mengizinkan. Jika kita ingin situasi begitu kembali semula dalam kehidupan harian kita, patuhilah arahan PKP. Sosial kehidupan kita di luar sana amat terbatas kini. Berkurunglah kita walau tidak suka macam mana pun.

Setelah hampir empat belas hari 'terkurung' dalam rumah memang macam-macam boleh jadi. Silap haribulan emosi pun tidak dapat dikawal dan boleh meledak juga.

Jadi kalau ada yang post pasal makanan dan apa yang dimasak dalam FB tu biarkanlah. Mungkin itu boleh 'mengembirakan' hati dan merawat jiwa yang resah kerana PKP. Janganlah kita pertikaikan dan mempersoalkan tentang suruh berjimat cermat bagai. Pada mak itu bajet mereka... tahulah mereka bagaimana hendak menguruskannya. Yang penting asal dia tidak 'berjimba' keluar rumah.

Pasti ada yang mempersoalkan tentang bagaimana pula kalau orang susah dan miskin tengok gambar-gambar tu semua. Pada mak senang saja, orang miskin dan susah tidak ada masa nak 'layan' sosial media.

Friday, March 27, 2020

Menggeletar satu badan...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Sebaik sahaja berita tentang Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) terhadap dua kampung di daerah Kluang, Johor di umumkan, seluruh tubuh mak menggeletar. Tidak terucap satu perkataan pun ketika itu. Yang ada cuma ketakutan.

Lama juga mak terduduk di sofa dengan fikiran yang kosong. Semua yang hendak dilakukan serba tak kena. Lama.. barulah mak teringat hendak wasap beberapa orang rakan-rakan dan kenalan yang tinggal di Johor, bertanyakan keadaan mereka.

Sepi... hantaran wasap mak tidak berbalas.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul dua pagi. Tapi mak resah di tempat tidur. Keadaan di luar sana suram dan sunyi. Tiada lagi kedengaran deruman motor dan kenderaan lainnya seperti selalu. Mungkinkah masing-masing sudah lena di ulit mimpi atau seperti mak juga yang tidak mampu memejamkan mata walau sepicing pun.

Bilakah semua ini akan berakhir.... tiada siapa yang dapat menjawabnya. Hanya DIA yang mengetahui segala-galanya...

Wednesday, March 25, 2020

Kebimbangan mak...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakan
#Dudukrumah
#Stayathome

Sejujurnya, ketika berita tentang penularan wabak covid-19 (sebelum ini novel coronavirus) di lapor mula merebak di Wuhan, China, Disember tahun lalu... mak tak berapa ambil kisah pun. Fikir mak jauh di China sana. Tak mungkin dan kalau ianya merebak pun tak akan sempat sampai ke mari... penawarnya sudah tentu di temui.

Saban hari dan waktu berita diTV sentiasa menyorot tentang perkembangan jangkitan wabak tersebut. Sehinggalah Januari lalu sejumlah pelancong dari China masuk ke negara kita. Kebimbangan di kalangan rakyat mula tercetus. Tambahan pula simptom dan jangkitan sudah mula tersebar di negara jiran Singapura.

Suatu petang, awal Februari lalu, Ojet ajak mak ke Cyberjaya. Dalam perjalanan Ojet beritahu kemungkinan syarikat tempatnya bekerja akan melaksanakan 'work from home'. Ini kerana headquaters di singapura telahpun melaksanakannya ketika itu.

Menurut Ojet sebagai langkah berjaga-jaga mesyuarat telahpun di adakan untuk menangani perjalanan syarikat jika wabak covid-19 semakin serius... Tika itu mak masih berfikir, tak mungkinlah sampai begitu sekali.

Tapi apabila kes pertama di rujuk di Hospital Sungai Buluh, kebimbangan mula mengetuk pintu hati mak. Kes jangkitan semakin hari semakin bertambah. Ketakutan mula menjenguk kehidupan harian mak. Pada anak-anak mak pesan, sebelum pulang ke rumah, singgahlah sekejap di pasaraya. Beli barang keperluan sedikit-sedikit, terutama bahan-bahan penting untuk stok. Mak bimbang... manalah tahu kalau keadaan makin serius, kita tak dapat keluar rumah untuk membeli keperluan harian.

Ya, beberapa hari selepas mak nyatakan kebimbangan... Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Hari ini masuk hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setelah beberapa hari bekerja dari rumah hari ini anak-anak mendapat arahan untuk hadir ke pejabat. Hati mak mana yang tak risau memikirkannya. Redha dan rela saja melepaskan keduanya keluar rumah pagi tadi.

Dari semalam hinggalah ke pagi tadi sebelum keduanya keluar rumah, macam-macam pesanan yang mak titipkan pada keduanya.

Memandangkan tidak ramai yang hadir ke tempat kerja buat masa ini, pesan mak pada Ojet agar park kereta di aras satu saja. Kalau boleh yang berhampiran dengan lif. Pahamlah kenapa kan... dengan PKP ketika ini suasana di luar sana agak lengang dan sunyi. Manalah tahu dalam saat-saat begini 'ada bahaya lain' pula yang menanti. Orang-orang jahat yang cuba mencari kesempatan... lebih-lebih lagi bagi perempuan.

Buat si abang, waktu hantar dia sampai ke pintu pagar, mak pesan jangan lupa bawa surat arahan bekerja dari pejabat dan gantung tag nama di leher. Ini kerana abang akan melalui beberapa sekatan jalanraya sebelum sampai ke tempat kerjanya.

Dan pesan mak lagi, guna sarung tangan bila berhenti untuk mengisi minyak di mana-mana petrol pam. Memandangkan keadaan jalanraya yang sunyi dan lengang, hati-hati memandu. Kalau apa-apa jadi susah... pada siapa hendak minta pertolongan.

Gambar yang di hantar oleh si abang... suasana lengang dan sunyi 
sepanjang perjalanannya ke tempat kerja hari ini.

Sendirian di rumah, mak ke dapur untuk memasak. Hari ini masak nasi lemak atas permintaan Ojet semalam... ala kadar saja cuma sambal dan telur rebus. Namun hati mak tak tenang. Risau memikirkan 'keselamatan' anak-anak di luar sana.

(nota mak: ketika catatan ini dibuat... hati mak masih tidak tenteram!)

Wednesday, March 11, 2020

Kakiage...

Pertama kali terpandangkan makanan yang di beri nama kakiage ini ketika melewati satu section yang menjual makanan berkonsepkan Japanese food disalah sebuah pasaraya.

Timbul keinginan untuk merasanya. Pada penglihatan mak ia nampak sedap. Penuh dengan sayur-sayuran. Dan mak beli satu sekadar untuk merasa. Orang kata kalau sedap nanti boleh beli lagi...

Pada pendapat mak, sedap. Ia adalah cucur sayur-sayuran. Kerana telah terpikat dengan rasanya mak try buat di rumah.

Bahan A:
40 gm daun bawang - potong panjang
160 gm lobak merah – potong memanjang
200 gm burdock root / sengkuang / ubi keledek (mak letak sengkuang) - potong memanjang. Atau boleh tukarkan dengan bunga kobis atau broccoli yang di potong kecil-kecil.
80 gm bawang bombay – hiris
segenggam udang basah yang telah di cincang / ikan bilis atau crab stik.
100 gm tepung gandum. Kalau ada tepung tempura lagi bagus.

Cara:

Sayur-sayur yang telah dipotong, dibersihkan dan toskan kering-kering. 
Kemudian gaulkan dengan tepung termasuk udang. Ketepikan.


Bahan B - untuk bancuhan tepung:
200 gm tepung gandum / tepung tempura
350 ml air sejuk dari peti ais dan sedikit ketulan ais

Cara mengadun tepung:
1. Bancuh tepung dengan air sejuk. Kacau sebati. Kemudian masukkan sayur-sayuran yang telah di gaul dengan tepung tadi dan dua tiga ketul ais. Ini untuk membuatkan sayur-sayur sedikit garing bila digoreng.

2. Panaskan minyak. Rendamkan acuan dalamnya. Bila minyak dan acuan telah panas masukkan adunan sayur dalam acuan. Tekan-tekan sikit. Agak-agak dah melekat antara satu sama... angkat acuan dan tolakkan adunan ke bawah supaya ia tertanggal dari acuan. Goreng hingga kekuningan.

Sayur-sayur yang telah siap digaul dengan tepung.

Acuan kakiage.

Goreng adunan dalam minyak yang banyak.