Thursday, October 31, 2019

Boleh Kurus Tinggal Di Dubai...

(catatan siri jalan-jalan Europe 27 - akhir)

Letih... mengantuk...  kurang bermaya dan lapar. Hanya itu yang dapat mak katakan ketika mendarat di Dubai airport. Mak dan rakan akan transit di sini lebih kurang lima jam. Jam menunjukkan pukul tujuh pagi waktu tempatan.

Semalaman terbang mak diganggu resah tak menentu. Badan rasa kurang sihat. Dah rasa nak demam. Letih dan tak lalu makan. Di tambah dengan rasa kurang selesa bila 'di dudukkan' tepi pintu kecemasan.

Tak tahulah macam mana agaknya... kalau mak terpaksa duduk lagi di bangku yang sama untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur nanti.

Seperti yang mak kata sebelum ini... bila jauh berjalan bermacamlah yang kita tempuhi... lalui dan rasai. Perancangan awal mak memang tidak bercadang untuk membeli apapun ketika singgah di Dubai.

Untuk lima jam ini mak dan rakan cuma duduk berbual-bual saja di bangku-bangku yang hampir keseluruhannya di penuhi penumpang yang menunggu penerbangan seterusnya. Lagipun dalam purse cuma ada lima puluh dirham bersamaan lebih kurang RM56. Tapi ... perut tiba-tiba terasa lapar yang teramat sangat.

Dan menapaklah mak dari satu cafe ke satu cafe mencari makanan yang sesuai dengan selera. Tapi semuanya tidak memenuhi keinginan. Tambahan pula harga makanan tersebut di luar kemampuan mak waktu itu. Akhirnya mak beli dua keping sandwich telur dan sebotol air oren. Kesemuanya berharga empat puluh satu dirham. Mak datuk! harganya.  Boleh kurus macamni kalau duduk di Dubai.

Dua keping sandwich telur ini harganya 25 dirham 
bersamaan dengan RM28.75 sen.

Air oren botol tu harganya 15.75 dirham bersamaan RM17.94 sen.

Bil makanan dan minuman dalam dirham. Tak banyak beza
pun ringgit dan dirham.

Jalan-jalan di kawasan Dubai Duty Free sementara 
menunggu penerbangan pulang ke KL.

Comel... patung-patung unta yang di jual di airport Dubai.

Patung unta yang diukir dari kayu dan di lukis dengan cantik.

(nota mak: Dan dalam penerbangan balik ke KL mak dapat tempat duduk yang selesa. Tidak lagi 'didudukkan' dibangku tepi pintu kecemasan. Mak diberi tempat duduk di zon B. Tingkat atas. Selesa dan bilik airnya pun luas.)

Monday, October 28, 2019

Panik di Schiphol dan...

(catatan siri jalan-jalan Europe 26)

Perjalanan menuju ke lapangan terbang Schiphol.

Selamat tinggal Eropah... selamat tinggal Armsterdam. Pukul empat petang mak dan rakan telahpun berada di Schiphol Airport. Pemandu kami mengingatkan supaya berhati-hati. Jaga beg dan barang-barang terutama duit dan pasport. Kami diberitahu, telah banyak kes kecurian beg di airport Schiphol.

Mak memang tak bawa banyak beg. Cuma sebiji beg pakaian, satu hand luggage yang dibeli ketika di La Vallee Village [link], Paris dan di dalamnya mak masukkan semua sourviner yang mak beli sepanjang kembara ini dan beg tangan yang mak silangkan di bahu.

Tapi tiba-tiba sorang kawan mak memulangkan semula satu beg yang mulanya dia nak pinjam dari mak untuk isi barang-barangnya. Apalagi jadi kelam kabutlah nak berkemas semula. Bukan apa... mak risau kalau luggage mak terlebih berat yang di benarkan. Mana ada duit lagi nak bayar semua tu... Itu pun hand laggage mak dah lebih dari sepuluh kilogram.

Mengenangkan kami semua akan singgah di Dubai mak berdoa dalam hati supaya 'lepas' tanpa apa-apa bayaran tambahan terutama ketika di airport Dubai. Anak lelaki mak, abang pernah cakap, di Dubai kadang-kadang mereka timbang hand luggage kita jika mereka rasa beratnya melebihi yang sepatutnya.

Siap packing semula barang-barang mak pun berbaris untuk daftar masuk. Dalam hati memang rasa gembira sangat untuk pulang ke tanahair. Dalam seronok bercerita sambil berbaris itu, tiba-tiba mak baru perasan hand luggage mak tak ada.

Apalagi ke hulu ke hilir mak berlari mencari dan mengagak di mana beg itu tertinggal. Nak meraung pun ada sebab dalam beg itu penuh dengan souviner yang mak beli sepanjang kembara ini. Dah banyak duit habis untuk semua itu.

Dalam hati memang rasa ralat, "kenapalah careless sangat ni... dahlah masa di Belgium telekung mak tercicir... [link] "

Dalam merungut dan menyesali atas apa yang terjadi... mak terpandang beg yang di cari atas troli salah sorang rakan mak yang beratur jauh di belakang. Huh! nasib baik.

Ketika sampai di kaunter daftar masuk dan ketika semua rakan mak telah melalui pintu pengimbas untuk ke bording... mak di beritahu pekerja yang bertugas, mereka cuma memberi boarding pass saja tapi tempat duduk akan di tentukan kemudian. Mana yang kosong mereka akan letakkan mak di situ.

Lagi sekali mak panik. Macam mana kalau semua tempat penuh dan mak terpaksa menunggu penerbangan yang lain dan terpisah dengan rakan-rakan. Sudahlah badan rasa kurang sihat dan lemah... macam-macam pulak perkara yang terpaksa mak lalui.

Beg yang 'nyaris hilang' di Schiphol airport.

Besar sungguh kapalterbang Emirates ini. Tempat duduk penumpang 
di bahagi kepada lima zon iaitu A dan B di tingkat atas manakala ekonomi 
iaitu C, D dan E di bahagian bawah. Semua tempat duduk penuh.

Di pintu masuk mak tunjukkan bording pass dan pelayan kapal membawa mak ke satu tempat duduk yang masih kosong. Tepi pintu kecemasan. bersebelahan dengan seorang wanita Nepal. Dan sepanjang penerbangan menuju ke Dubai mak rasa tidak selesa. Badan rasa lesu dan panas. Ketika makanan di hidangkan mak langsung tidak menjamahnya.

Wednesday, October 23, 2019

Basikal, Kondom dan ...

(catatan siri jalan-jalan Europe 25)

Betullah... semakin jauh kita berjalan makin bertambah pengetahuan. Kadang-kadang apa yang kita temui dalam perjalanan itu sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan selama ini.

Banyak yang dapat kita 'kutip' selain dari menyaksikan keindahan tempat yang kita kunjungi walaupun tujuan asalnya cuma ingin 'berlibur-libur' saja.

Selama ini mak tertarik untuk datang ke Armsterdam kerana ladang tulipnya. Walaupun Amsterdam bukanlah tempat asalnya kerana asal usul tulip di bawa dari Turki dan ia di tanam secara meluas di Belanda kerana tanahnya sesuai untuk pokok tersebut. Juga kincir anginnya yang menggamit lagenda silam.

Sejarah asal usul bandar Armsterdam ini panjang dan penuh peristiwa. Bermula ketika sekumpulan nelayan yang tinggal di sepanjang perairan Sungai Amstel di abad ke-12 membina penempatan dan jambatan di situ sehingga ianya berkembang pesat menjadi bandar pelabuhan seperti sekarang ini. 

Rentetan dari situ Amsterdam terkenal dengan warisan artistik dan sistem terusan di seluruh bandarnya... sehingga mendapat jolokan sebagai Venice Utara. Dan penduduknya sendiri gemar menggunakan bot sebagai pengangkutan. 

Suasana sekitar Armsterdam Centraal yang sesak dengan orang ramai.

Bot-bot persiaran sedang berlabuh di De Ruijterkade West Street.

Kawasan rak letak basikal di stationsplein, Armsterdam Centraal.

Basikal pula merupakan kenderaan utama penduduknya. Dan Amsterdam merupakan antara bandar besar di dunia ini yang membudayakan penggunaan basikal.

Ketika berada di Armsterdam Centraal mak melihat banyak kemudahan untuk penunggang basikal seperti laluan sikal, rak basikal dan garaj penyimpanan basikal. Kerana itu penduduk Armsterdam tidak di galakkan memandu kenderaan apabila memasuki pusat bandar kerana banyak jalan-jalan di tutup untuk memberi laluan kepada penunggang basikal selain dari bayaran letak kereta yang mahal.

Dan jangan terkejut ketika sedang seronok berjalan-jalan dan berfoto di Armsterdam kita ternampak banyak kedai-kedai menjual kondom. Itu tandanya kita telah sampai dan memasuki kawasan Red-light zone iaitu De Wallen. Cantik kawasan ini dan menjadi tumpuan ramai pelancong untuk bergambar di atas satu jambatan dengan berlatarkan terusan, bot dan basikal yang sengaja di letakkan di atas jambatan tersebut.

Selama ini tidaklah mak tahu... pekerja seks di Belanda di iktiraf dan sah di sisi undang-undang serta dikawal selia dengan baik. Malah kerajaan Belanda juga mengutip cukai dari mereka. De Wallen juga merupakan kawasan pelancongan seks antarabangsa. Wow! Kerana itu bila kita melalui kawasan ini terdapat banyak rumah pelacuran yang kewujudannya mendapat kebenaran dari pihak berkuasa. Juga usah terkejut jika ada antara mereka ini pandai berbahasa Melayu.

Apabila melewati kawasan Red-light zone ini terdapat banyak kedai-kedai menjual kondom... bermacam rupa dan warna untuk menarik pelanggan.

Jika terasa dahaga berhati-hati. Jangan salah pilih cafe atau kedai. Ada di antaranya menjual minuman atau kopi yang berasaskan canabis atau ganja. Malah terdapat banyak kedai yang menjual produk hasil canabis atau ganja termasuk coklat, aiskrim dan pelbagai lagi.

Begitulah keterbukaan masyarakat dan penguatkuasaan di Belanda terhadap dua perkara iaitu seks dan dadah.

Amaran untuk sesiapa saja yang melalui kawasan 
Red-light zone di De Wallen.

Kedai menjual kondom.

Hati-hati... jangan terbeli coklat ni bila ke Armsterdam...

Pelbagai produk yang dihasilkan berasaskan canabis dan ganja.

Dan kembara mak serta beberapa rakan sampai ke garisan penamatnya. Sementara menunggu pemandu kenderaan kami datang untuk membawa kami semua terus ke lapangan terbang Schippol, kami duduk dikaki lima jalan Prins Hendrikkade sambil bergelak ketawa dan berfoto-foto di sekitar Armsterdam Centraal sebagai kenang-kenangan untuk di bawa kembali ke tanahair.

(nota mak: Terima kasih pada kawan mak, Puan Aishah yang begitu berani memetik foto-foto di kawasan De Wallen.)

Monday, October 21, 2019

Zaanse Schans Melengkapi Zamannya...

(catatan siri jalan-jalan Europe 24)

Kembara mak dan rakan di bumi Europe hampir berakhir. Setelah menjelajah ke tujuh buah negara dengan kos yang bukan sedikit... kami bakal kembali ke tanahair. Untuk 'mencukupkan' masa mak dan rakan ke Zaanse Schans yang terletak di Zaandam.

Perjalanan ke Zaanse Schans melalui kawasan pertanian. Kelihatan juga terusan-terusan kecil dan besar juga jambatan. Sepanjang di bumi Belanda ini mak melihat banyak terusan. Dan rumah-rumah penduduk termasuk hotel yang mak inap juga seolah-olah di lingkungi oleh terusan dan sungai-sungai. Malah kedudukan bumi Belanda terutama Armsterdam dan lapangan terbang utamanya iaitu Schiphol berada 4 meter di bawah paras laut.

Untuk sampai ke Zaanse Schans di Zaandam kenderaan kami 
melalui De Tweede Coentunnel yang di bina untuk melintasi terusan
 Laut Utara. Di atas tunnel ini pelabuhan dan laluan kapal.

Dalam perjalanan ke Zaanse Schans mak terpandang 
rumah penduduk yang comel ini.

Terusan dan bot tidak dapat dipisahkan dari kehidupan di Armsterdam.

Ketika sampai di Zaanse Schans cuaca panas dan bahang mentari kian terik menggigit kulit. Badan mak rasa makin lesu. Untuk berjalan-jalan lagi rasanya seperti sudah tidak berdaya. Namun mak gagahkan juga diri.

Zaanse Schans ini pada pandangan mak merupakan satu perkampungan warisan budaya. Ia 'dicipta' menyerupai sebuah kampung di sekitar abad ke-18. Kincir angin yang merupakan ikon Belanda dan rumah kayu hijau yang comel... terusan dan tasik melengkapi situasi dan suasana ketika zamannya. Kelihatan juga biri-biri yang sengaja di lepaskan sedang meragut rumput.

Para pekerjanya yang berpakaian tradisional akan menunjukkan cara pembuatan coklat, cheese, ukiran dan terompah kayu serta beberapa lagi yang tak sempat mak kunjungi. Secara tidak langsungnya Zaanse Schans menjadi pusat warisan industri.

Rumah kayu bewarna hijau, kincir angin dan terusan
gambaran kehidupan suasana di abad ke-18.

Pekerja di Catharina Hoeve menunjukkan cara membuat cheese. 
Mak tertarik dengan penutup kepalanya... mcm topi kartun The Smurf.

Ada banyak pilihan dan rasa tapi mak pilih Goulda Cheese ini 
sebagai buah tangan untuk yang di tinggalkan di tanahair.

Cuaca panas terik... dan berfoto berlatar belakangkan kincir
angin satu kemestian bagi yang berkunjung ke Armsterdam.

Thursday, October 17, 2019

Pesona tulip...

(catatan siri jalan-jalan Europe 23)

Ketika mak melangkah masuk ke dining room Veenendaal 
hotel ini, mak terpukau dengan hiasan dalamannya. 

Mak terbangun dari lena ketika sinar suria mengintai dari balik langsir tingkap kaca. Cerah dan bahang panasnya terasa menyentuh kulit. Allahuakhbar! Lena sungguh mak tidur.

Mak bingkas bangun. Membersihkan diri... dan bersiap. Mak sarung kain bunga-bunga merah yang mak beli di Bandung untuk di padankan dengan baju kurung dan tudung warna putih mutiara. Kemudian bersolek ala kadar. Semuanya di lakukan sepantas mungkin. Nasib baik sebelum tidur semalam mak dah kemaskan semua barang-barang dan di masukkan ke dalam beg.

Setelah pasti semuanya dan tidak ada apa yang tertinggal mak heret beg keluar dan kunci bilik. Ketika sampai di lobby suasana lengang. Tak jumpa pun rakan-rakan lain.

Mak tinggalkan beg pakaian di lobby hotel untuk bersarapan. Tidak ramai orang dan kelihatan beberapa orang rakan mak yang sudah turun awal sedang menikmati sarapan pagi mereka. Tapi mak seperti tidak ada mood untuk bersarapan. Ada tidaknya cuma menghirup secawan kopi. Tekak seperti tidak boleh lagi menerima apa yang terhidang di meja bufet. Tubuh terasa semakin lesu.

Ketika matahari semakin terik memancarkan sinarnya mak dan rakan-rakan telah bersedia dalam kenderaan untuk meninggalkan hotel Veenendaal dan bergerak menuju ke taman tulip terbesar di Keukenhof. Pastinya pagi ini kami begitu teruja...

Perjalanan menuju ke taman tulip di Keukenhof.

Ketika kenderaan yang di naiki melewati ladang tulip kelihatan 
jaluran pokok-pokok tulip yang saujana mata memandang.

Ladang tulip merah.

Ketika mak dan rakan sampai di Keukenhof kelihatan ratusan kenderaan telah memenuhi ruang petak tempat letak kereta. Juga deretan bas-bas pelancung. Sebaik saja pintu di buka ratusan pelawat berpusu-pusu masuk. Masing-masing tidak sabar untuk melihat keindahan bunga tulip dan mengabadikan foto di celah-celah bunga tulip yang berbagai warna.

Ratusan pengunjung sedang menunggu pintu Keukenhof di buka.

Putih, purple dan light pink.

Merah jambu... warna kesukaan mak.

Mak terasa seolah berada di taman istana yang 
digambarkan dalam filem Melayu dulu-dulu.

Mak memang merancang memilih baju kurung putih 
ini untuk dipakai ketika melawat Keukenhof dan bergambar 
berlatar belakangkan bunga-bunga tulip.

Sunday, October 6, 2019

Veenendaal... Satu Pengalaman Baru...

(catatan siri jalan-jalan Europe 22)


Kembara mak di bumi Europe kini menuju ke Armsterdam. Negara ketujuh dalam senarai kunjungan kami. Begitu lama memendam hasrat untuk berjalan-jalan di sana. Tentunya keterujaan mak ingin menyaksikan ladang tulip yang seluas mata memandang.

Ketika ini musim panas baru saja bermula. Tumbuh-tumbuhan telah mula kembali mengeluarkan daun. Suasana di lebuhraya sepanjang perjalanan dari Brussel menuju ke Armsterdam agak sibuk dengan kenderaan.

Di kiri kanan jalan kelihatan tumbuhan rapeseed hidup subur dan sedang berbunga... kuning... cantik... dan memukau pandangan. Bunga rapeseed ini di gunakan untuk membuat minyak masak canola.

Tumbuhan rapeseed yang sedang berbunga menghiasi kiri kanan 
lebuhraya sepanjang perjalanan dari Brussels menuju ke Armsterdam.

Lewat senja baru mak dan rakan sampai di hotel penginapan yang terletak antara Utrecht Hill Ridge dan Gelderse Valley di Bastion 73. Kelihatan dari jauh hotel Veenendaal yang akan kami inap malam ini seperti sebiji kontena yang panjang yang didirikan di atas tiang-tiang besar dan kecil yang bersilang-silang dan terletak di satu kawasan lapang.

Sebaik saja kenderaan yang kami naiki berhenti di hadapan pintu masuk hotel, mak dan rakan bergegas turun. Masing-masing dah kepenatan. Badan mak rasa lesu sangat. Tekak pula terasa kering. Rasanya tak sabar untuk mendapatkan kunci bilik dan berehat. Malah ketika dalam perjalanan dari Brussel entah berapa kali mak terlelap keletihan.

Masuk saja bilik... suasana terasa amat hening sekali. Mak merebahkan diri di katil... memejamkan mata dan cuba menikmati suasana yang tenang. Terkenang anak-anak dan si black yang di tinggalkan. Tak sabarnya untuk kembali ke tanahair.

Malam ini mak tidur sendirian di bilik hotel yang luas dalam gaya reka bentuk kontemporari. Katilnya besar... selesa dan rasa amat santai... harap bermimpilah yang indah-indah!

Dari dalam kenderaan dah nampak hotel 
yang akan mak dan rakan duduki

Suasana di luar hotel yang kelihatan sunyi dan tenang.

Hotel Veenendaal bertaraf 4 bintang.

Terusan kecil yang jernih airnya bersebelahan hotel.

Moden dan futuristik. Seolah-olah sebiji kontena yang panjang.

Terbuka... tidak ada penghadang antara katil dan bilik air.

(nota mak: setiap bilik di hotel ini berkonsep open. Bilik airnya terbuka... cuma di hadang dengan cermin. Kalau nak mandi kena berbasahan. Mak beruntung kerana bersendirian. Tak perlu 'menyorok-nyorok' bila nak mandi... satu pengalaman baru. Belum pernah jumpa suasana bilik hotel sebegini sebelum ini... hehhehe)