Sunday, July 3, 2011

Rindukan anak-anak..

(Jeti Umbai untuk ke Pulau Besar.)

(Teringatkan anak-anak masa menjamah makanan ni.)

Sunyinya! Sejak Ojet masuk U dan tinggal di kolej aku jadi kesepian. Petang bila pulang dari kerja tiada lagi yang menyambut kepulangan aku di rumah. Tiada lagi yang bertanya, “awalnya mak balik hari ni?” Waktu abang dapat tawaran belajar luar negeri dulu aku tidaklah rasa sunyi sangat sebab masih ada Ojet di sisi.

Suasana di rumah pun terbiar dan tak terurus. Aku jadi malas dan lebih suka tidur untuk menghilang rasa sepi dan rindu pada anak-anak. Atau paling tidak setiap hujung minggu aku melepak je di rumah kakak. Adalah juga teman untuk borak-borak.

Ada juga aku suarakan rasa hatiku yang dilanda kesunyian pada husband, tapi tak ada respond pun. Sedih dan geram aku pada sifat tak kisahnya.

“Jo kita g Umbai!” bagai pucuk di cita ulam mendatang. Bila adik mengajak aku tidak menolak. Sekurang-kurangnya terhibur juga sikit hati. Dan kami bercadang nak makan ikan bakar di sana. Tapi dalam perjalanan topik perbualan kami tak lari dari kenangan dan cerita-cerita tetang anak-anak ku, abang dan Ojet. Sememangnya aku tidak akan jemu-jemu bercerita tentang anak-anak. Mereka seperti denyut nadi jantungku.

(Pemandangan dari jeti.)

Tuesday, May 24, 2011

Apa saja demi anak-anak..

(Mee rebus yang aku buat sempena meraikan Ojet yang akan
ke UiTM mengikuti pengajian Asasi Tesl.)

(Bahan-bahan rencah mee rebus.)

Aii penat betul! Menguruskan hal anak-anak. Badan pun rasa sakit-sakit. Rasa macam nak demam pun ada.

Sekarang ni musim pelajar-pelajar lepasan SPM 2010 masuk IPT. Alhamdulillah, Ojet dah pun dapat tempat di UiTM Shah Alam. Pendaftaran pada hari Sabtu, 21 Mei lepas. Inilah yang membuat aku sibuk sepanjang minggu lepas membantu Ojet membuat persiapan. Hantar ke klinik buat medical check-up, pergi bank buat akaun, pergi supermarket beli barang-barang keperluan, ke sekolah dan banyak lagi.

Rasa sedih pulak berpisah dengan Ojet. Risau pun ada. Boleh ke dia menguruskan dirinya sendirian di asrama. Mana nak basuh baju, makan, belajar. Semuanya terkejar-kejar. Aku takut dia tak sempat melakukan semua tu. Bayangkan dari kecil sampai berumur 17 tahun dia tak pernah berpisah dari aku dan banyak perkara yang aku bantu.

Food 4 d whole orientation is free!! breakfast, dinner n supper. Jimat duit, hehe. Sekarang baru pas solat, pas ni smbg orientasi.” Message yang dihantar Ojet pada hari pertama. Nadanya gembira, lega sedikit hati aku.

“Mak datang hari Sabtu ni, belah pagi ambil baju-baju kotor adik! Ok!” Janji aku pada Ojet. Memang aku tak sampai hati biarkan dia buat sendiri. Selagi terdaya dan mampu aku akan lakukan apa saja demi anak-anak!

Masuk hari ini dah empat hari Ojet tinggal di asrama. Rasa tak sabar aku menunggu hari Sabtu nak berjumpa dan mendengar cerita serta pengalamannya sepanjang minggu orientasi. Diam-diam aku mula rindukan Ojet!

Sunday, May 8, 2011

Lepak-lepak di cafe sempena Hari Ibu...

(Sandwich tuna)

Sempena hari ibu Ojet hantar pesanan ini...

Today is to celebrate you because make my life brighter...
Today is to celebrate you because you make me feel love & special...
Today is to celebrate you because you
deserve to have a very Happy Mothers Day...

dan...
kami lepak-lepak di satu cafe...
dan pesan sandwich tuna, adik belanja.
Thanks!

Wednesday, May 4, 2011

Tiba-tiba rumah seakan berputar...

(Aku baru saja habis menyiapkan tempahan tart ni
bila aku rasa rumah seakan-akan berputar ligat.)

"Dik Da cepat! tolong mak!" tiba-tiba je aku rasa keadaan dalam rumah bagaikan berpusing dan berputar ligat. Kepala pulak pening dan pandangan mata jadi kabur. Tekak rasa meloya dan nak muntah. Waktu itu aku sedang menonton tv dan baru saja lepas menyiapkan tempahan cheesetart.

"Dik Da, dik Da!" dan Ojet berlari-lari datang mendapatkan aku. Oh! kenapa ni, Hanya aku berdua saja dengan Ojet di rumah ketika itu. Waktu itu jam sudahpun pukul 12.00 malam

"Tolong bawakan baldi kecil, mak nak muntah!" Ojet berlari ke bilik air dan datang dengan satu baldi kecil. Perut bagaikan bergelombang. Aku muntah.

"Talipon acik!" aku betul-betul rasa takut. Janganlah jadi apa-apa padaku. "Ya Allah! panjangkanlah umur ku! Berilah aku peluang mendidik dan melihat anak-anakku berjaya".

Tak lama adik dan kakak datang menghantar aku ke klinik. Nasib baik tak ada apa-apa. Kata doktor cuma angin. Tapi kejadian yang menimpa memang menakutkan aku. Tidak ada yang lain tergambar dalam fikiranku ketika itu selain dari wajah anak-anak yang masih memerlukan perhatian. Syukur! Hari ini kesihatanku kembali pulih seperti sediakala.

(Sempat juga buat cheesecake untuk kakak sempena
birthdaynya pada petang sebelum di serang pitam.)

Tuesday, April 26, 2011

Abang genap 19 tahun hari ini....


(Hadiah birthday abang! Dan ini ini adalah
sebahagian dari koleksi buku-buku abang.
Walaupun
dah remaja tapi masih gemar
membaca komik Doraemon).

Bebarapa minggu sudah abang call minta aku belikan buku 'A Doctor In The House'.

"Mak dah agak abang mesti nak buku tu. Mak dah beli, hadiah untuk birthday abang ya!"

"Ok, versi Inggeris ke Melayu?"

"Inggeris...Wow best!" Abang memang peminat Dr. M. Dia amat mengagumi pemikiran Tun Dr. Mahathir. Pernah dia berkata, dia ingin berfikir seperti Dr. Mahathir. Dalam hatiku risau juga kalau dia berminat dalam politik.

"HAPPY BIRTHDAY abang!"

Sunday, March 27, 2011

Tahniah Dik Da!...

(Tahniah Dik Da! kerana berjaya dalam SPM.)

Hari pertama aku menghantarnya ke sekolah aku tidak meletakkan harapan yang tinggi padanya. Padaku cukuplah dia tahu membaca, menulis dan mendapat pekerjaan bila dewasa kelak. Kerana perwatakannya yang agak manja dan ‘tembel’ aku tidak pernah membebel dan memarahinya apabila dia jarang mendapat markah yang baik dalam peperiksaan.

Dalam UPSR dia sekadar mendapat 3A, 1B dan 1C, pun aku tak kisah. Aku cuma kata, “okeylah”. Ketika keputusan PMR diumumkan aku agak teruja sedikit dan turut berada di sekolah. Alhamdulillah! dia berjaya dengan keputusan 7A 1B. Sejak itu aku melihat dia sentiasa berusaha memperbaiki kelemahannya dalam pelajaran. Dan sedar tak sedar aku pun sudah pandai meletakkan harapan padanya.

Dan pagi ini seawal jam 7.00 pagi aku sudah berada di perkarangan sekolah. Hari ini ada penyampaian anugerah cemerlang buat pelajar-pelajar lepasan SPM 2010 dan Ojet antara yang tersenarai penerima anugerah. Selama sebelas tahun aku berulang alik menghantar dan mengambilnya di sekolah, hari ini segala penat lelah itu terbayar sudah. Tahniah Dik Da! Selamat menjejakkan kaki ke menara gading dan mak sentiasa mendoakan kejayaan buat Dik Da selalu.


Monday, March 7, 2011

Selepas baik demam...

(Pesanan 50 biji blueberry cheese tart dari Laila.
Terima kasih La!)

Abang balik. Rasanya tak puas bertemu abang yang balik bercuti seminggu. Masa di airport aku tak sabar menunggu kemunculannya di balai ketibaan. Ciuman dan pelukannya melegakan rasa rindu yang bersarang dalam diri. Dia nampak kurus dan makin dewasa.

"Mak dah baik demam?"

"Dah!"

"Mak masih buat tart lagi?"

"Ya, makin banyak order dari kawan-kawan." ... dan sepanjang perjalanan dari airport ke rumah abang tak henti-henti bercerita sampaikan aku tersesat jalan.

Hari ini dah dua hari abang berlepas pulang semula ke kolej. Aku kembali sunyi dan sepi. Rindu pergi dan datang lagi.

(50 biji cheese tart order dari Mislina. Terima kasih awak!)