Thursday, April 28, 2016

Gigih seorang emak....

Inilah rupanya sponge cake yang dilapis dengan fruit 
cocktail, kemudian di topping dengan fresh cream dan di hias dengan 
buah-buah segar, kiwi, strawberry, nenas dan peach.

Kelmarin... ada yang nak makan kek sempena birthdaynya. Langsung mak pun berfikir nak buat kek apa... nak deco macam mana. Apa yang nak di masak sempena tarikh ‘bersejarah’ itu. Sebagai jamuan seisi keluarga.

Petang, selepas Asar... mak ‘lari’ balik rumah. 'Mengharung' jammed dan meninggalkan tugas di tempat kerja yang masih melambak. Lantaklah nak kena panggil dengan boss pun. Mak akan jawab nanti kenapa. Semuanya semata-mata nak balik untuk memasak dan buat kek.

Sampai rumah terus keluarkan ayam yang dah diperap belah pagi sebelum keluar ke tempat kerja. Terkocoh-kocoh mak. Baju pun tak sempat salin. Terus ke dapur... on kan oven. Laraskan suhunya. Kemudian potong bawang, halia dan segala macam yang di perlukan untuk rencah masakan. Kupas dan rebus kentang. Keluarkan butter dan telur dari peti sejuk. Biarkan ia dalam suhu bilik. Macam lipas kudung mak buat kerja petang tu. Cadangnya nak makan lepas Isyak.

Tengok oven dah panas, terus masukkan ayam. Set time... Panasnya ruang dapur usah cerita. Lebih-lebih lagi dalam cuaca yang membahang ketika ini. Sambil tunggu ayam masak, buat kentang putar. Sesekali jenguk dan kacau sos untuk ayam panggang yang masih atas tungku. Takut hangit. Siap kentang putar dan sos masak baru kupas buah.

Hampir Maghrib... azan kerkumandang. Mak lagi gelabah. Kek tak deco lagi. Masa ada lebih kurang satu jam lagi. Nasib baiklah kek dah di masak pada malam sebelumnya. Keluarkan kek dari acuan. Letakkan atas papan kek. Inilah satu kerja yang paling mak failed dalam sejarah buat kek. Memotong kek untuk dibahagikan kepada beberapa keping/lapis. Tapi mak gigih je... senget ke apa tak kisahlah. Dah di lapis dan di topping nanti tak nampak lapisan-lapisan yang senget tu. Mak pernah dengar ayat ni dari seorang chef terkemuka.

Lepas solat Maghrib putar fresh krim sampai kembang... dan mak mula menghias kek yang di hajatkan. Betul-betul lepas Isyak semuanya siap dan dapat makan sambil borak-borak.
Ayam panggang bersos cendawan, ketang putar 
dan kacang panggang.

(nota mak: kini menghitung bulan untuk menamatkan perkhidmatan sebagai pekerja di sebuah syarikat).

Thursday, April 14, 2016

Melawat rumah orang-orang tua...

Sebelum pulang ahli PIMPIN/Sukarelawan Nadi18 mengabadikan 
kenangan bersama penghuni rumah Sejahtera.

Balik dari Melaka demam. Walaupun sepanjang tiga hari berada di sana aku sentiasa berhati-hati. Minum banyak air dan tak keluar pun 'merayau-rayau'... duduk saja dalam bilik tapi demam jugak.

Usai meeting dan sebelum balik aku ikut ahli-ahli PIMPIN juga Sukarelawan Nadi18 (dah tentulah ikut sebab aku PR Ojet kan...) berkunjung ke rumah orang-orang tua Sejahtera di Bukit Baru, Melaka.

Inilah pertama kali aku melawat rumah kebajikan. Gembira dan manis senyuman penghuni rumah Sejahtera menyambut kedatangan Sukarelawan Nadi18. Sungguhpun bahang panas memenuhi seluruh dewan tempat di adakan pertemuan suasana tetap ceria. Para penghuni di jamu dengan ayam goreng KFC.

Sambil  melayan penghuni rumah Sejahtera makan mereka berbual-bual dan berselfie. Walaupun rata-rata penghuni rumah tersebut terdiri dari kaum Cina dan India tapi aku tengok budak-budak tu tak kekok pun melayan mereka.

Walaupun aku cuma mengekor Ojet, tapi apa yang aku lalui dan saksikan di sini memberi satu pengalaman baru buat aku... dan mendengar sendiri kisah dan cerita dari penghuni bagaimana mulanya mereka mendiami rumah tersebut.

Sedih dan rata-rata penghuninya 'dibuang' oleh anak-anak. Tapi dalam sedih tu ada juga lucunya... siapa sangka walaupun dah tua-tua begitu... pun ada juga 'nakalnya'. Menurut penjaga rumah tersebut, kadang-kadang ada juga penghuni yang sembunyi-sembunyi keluar sendirian ke pekan dan kedai berhampiran untuk minum-minum dan makan. Kemudian mereka terlupa dan tak reti nak balik semula. Kenalah penjaga rumah tersebut pergi mengambilnya di balai polis.

Hampir tiga jam ahli PIMPIN/Sukarelawan Nabi18 menghabiskan masa di rumah Sejahtera, Bukit Baru Melaka. Next time... kalau Ojet ajak lagi aku temankan dia, nak juga ikut. Macam best pulak.

Saturday, April 2, 2016

'Mengekori' Ojet...


Sehari dua ni makan tidur sajalah nampak gayanya hidup aku. Berbaring saja atas katil tanpa buat apa-apa. Penat terlentang, meniarap... pusing kiri... pusing kanan. Nak keluar berjalan-jalan, malas. Tambah-tambah lagi dalam cuaca panas di luar sana. Tak berani aku. Nanti tak pasal-pasal buat sebab je.

Aku sekarang ni di Melaka. Menemani Ojet mesyuarat Persatuan Alumni MPP UiTM Malaysia (PIMPIN). Dah tiga hari dan bermalam di Seri Costa Resort Hotel. Kami sampai hari Jumaat malam. Saja je lah... bukannya aku nak control atau tak percaya tapi memandangkan Ojet baru saja dapat lesen dan inilah pertama kali dia memandu jauh di lebuhraya. Malam-malam pulak tu. Tambah-tambah lagi perempuan... tak senang hati aku melepaskan dia berjalan sorang.

Walaupun dah dewasa, 'layanan' aku terhadap Ojet tetap macam dulu... masa kecik-kecik. Walaupun ada kawan-kawan sepejabat yang perli dan sinis dengan tindak tanduk aku 'mengekori' anak-anak. Aku tak boleh mengubah cara aku. Katalah apa-apa pun... Lagipun dia masih bujang... pada aku dia masih dalam tanggungjawab aku. Tak kisahlah tinggi mana pun jawatannya.

Ojet pun tak kisah. Dia cuma risau aku boring bersendirian di bilik sebab mesyuarat yang di hadirinya panjang. Dari pagi sampai ke petang dan bersambung hingga jam 12 malam. Ada juga dia syorkan aku pergi berjalan-jalan di sekitar Banda Hilir tapi macam aku cakap... dalam cuaca panas ni tak berani. Takut sakit kepala. Ubat pun tak bawak. Ada tidaknya semalam aku ke down town Dataran Pahlawan. Cari cencalok untuk kakak aku.