Sunday, March 24, 2013

Hendak gugur, gugurlah nangka...

     Jangan ditimpa siranting pauh,
Hendak tidur, tidurlah mata.
     Jangan dikenang orang yang jauh.

Hai susahnya nak melelapkan mata. Terkelip-kelip dan terkebil-kebil sorang. Puas cuba memejamkan mata tapi tetap tak mahu lelap juga. Golek kekiri, golek kekanan tetap serupa. Ditambah lagi kejap-kejap si abang sms. Bukannya ada apa sangat pun. Cerita tentang dia pergi buat rambut. Sekarang rambutnya dah dikerintingkan macam masa dia kecil-kecil dulu. Beritahu tentang salji yang tak henti-henti turun dan semakin lebat di Sheffield sekarang dan separuh dari tayar-tayar kereta yang ada di hadapan rumahnya sudah ditutupi oleh salji.

Nak keluar pergi makan pun dia sms juga. Tahulah di UK sekarang waktu siang tapi di Malaysia ni sudah pukul 2 pagi sayang!

Apa yang aku nak katakan... abang macam dalam mood gembira nampaknya. Hai ada apa-apa ke? Aku seperti dapat merasakannya. Selalunya begitulah. Apa agaknya ya...

Thursday, March 21, 2013

Bermulalah episod baru....

Baru pulang dari menjenguk Ojet di kolej... Sebelum memulakan cerita, aku nak ucap tahniah pada kawan-kawan blog yang anak-anak mereka dapat result SPM hari ni. Debaran dah reda kan... mulai hari ini akan bermulalah episod baru pada anak-anak tu dan fasa pertama dalam hidup kita. Kenapa aku cakap begitu, kerana selepas ini mereka (anak-anak) akan mula melangkahkan kaki keluar meninggalkan kita pula untuk menuntut ilmu. Kalau masa sekolah dulu ada anak-anak yang dapat asrama tapi tak nak pergi... selepas ini tiada lagi perkataan 'tak nak' tu. Suka tak suka... ndak tak ndak kena pergi dan berjauhan dengan mak dan abah. Kena tinggal di kolej.

Pada mak-mak dan abah-abah pulak... selamat berjauhan dengan anak-anak ya. Hm! rindu bakal bertamu dan sepi akan jadi teman sepanjang waktu. Dan yang lebih mencabar lagi... kalau ada anak-anak yang cuba mengintai-intai peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apa pun kita harus merelakannya...

Semua situasi ini telah aku alami dua tiga tahun dulu... Ketika abang dan Ojet menerima keputusan SPM mereka. Hari itu aku sama-sama dengan mereka di sekolah untuk mengambil result SPM mereka. Abang pada tahun 2010 (ceritanya di sini dan sini) dan Ojet pada tahun 2011 (kisahnya di sini) Memang tidak dinafikan, selain dari mereka... aku pun turut sama merasai debaran dan keseronokkannya.

Ketika abang menerima result, aku yang terjerit over... dan saat Ojet aku cuma tersenyum-senyum di luar dewan memerhatikan Ojet sebab ketika itu, cikgu-cikgu sekolah tempat Ojet belajar telah asing-asingkan mereka. Mana yang dapat straight A's cikgu tak beri slip keputusan tu, tapi telah suruh mereka ke dewan untuk menerima keputusan mereka di pentas. Aku dah tak berdebar sangat sebab Ojet telahpun di suruh ke dewan untuk menerima slip keputusan SPMnya.

Alhamdulillah... berkat usaha dan ketekunan kedua-dua permata hati ku mereka kini sudahpun menjejakkan kaki ke menara gading... mengikuti kursus pilihan mereka sendiri dan berada di universiti pilihan masing-masing. Abang di luar negara manakala Ojet di dalam negara, pun dikira jauh juga di utara sana. Ojet pun ada terima tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, buat medic tapi aku tidak begitu menggalakkan... tak jauh cuma di Bandung, Indonesia. Saat itu aku tidak mahu lagi dia berhempas pulas sangat belajar... dan yang utama sekali aku risau melepaskan dia bersendirian dan berjauhan dengan aku sebab dia perempuan.

Tapi apapun cadangan dan pilihan, hakikatnya aku harus juga berjauhan dengan Ojet. Sungguh berat merelakannya tapi kini aku bersyukur. Dia telah boleh membiasakan dan menguruskan diri serta berjauhan dengan aku... dan pulang sendirian dengan kenderaan awam ketika cuti semester... aku sudah mula percaya, dia boleh berdikari.

Itulah sebenarnya yang merisaukan aku... Risau seorang mak, takut anak-anak tak boleh menguruskan diri mereka. Kalau boleh sentiasa nak bantu mereka buat itu ini. Yalah, kalau dah tinggal bersendirian tu, semua kena buat sendiri... Nak makan kena cari dah buat sendiri. Baju kena basuh sendiri. Mana lagi nak hadir kuliah dengan aktivi-aktiviti lain anjuran pihak kolej dan universiti. Dan yang utama sekali akaunpun kena uruskan sendiri. Manalah tahu kalau mereka terlebih belanja, nanti tak makan pulak.

Rindu jangan ceritalah... tambahan jarak beza umur abang dan Ojet cuma setahun. Bila si abang masuk universiti setahun lepas tu di ikuti oleh si Ojet pulak. Memikirkan ini semualah yang membuatkan aku terbang ke UK bulan lepas. Aku nak tengok bagaimana keadaan si abang tu di oversea. Macam mana tempat tinggalnya, makan minumnya dan 'sosial'nya. Lebih-lebih lagi duitnya... takut dia boros. Tahu-tahu jelah... belajar di tempat orang yang segala-galanya mahal. Kalau tak pandai menguruskan kewangan, boros dan terlebih belanja... aku memang tak boleh buat apa-apa. Tapi alhamdulillah! nampaknya dia ok dan boleh melakukannya sendirian walaupun jauh di rantau orang.

Doaku, kedua-dua permata hatiku akan pulang kesisiku dengan kejayaan yang paling manis!

Monday, March 18, 2013

Sepi seorang emak...

Kenangan... Banyak jasanya meja ni. Anak-anak gunakannya 
untuk study dan buat kerja sekolah. Bila cikgu tuisyen datang di meja ini 
jugalah dia akan mengajar abang dan Ojet sambil duduk bersila.

Letih sangat hari ni. Selepas solat Asar di surau pejabat sebelum balik petang tadi aku tertidur sampai maghrib. Lepas solat maghrib di pejabat baru balik. Jalan pun clear tak 'jam' sangat. Sampai dirumah duduk di sofa dan terlelap sekejap. Ketika anak-anak ada dirumah mereka bising dan kejutkan aku. Mereka tak biarkan aku tertidur di sofa sebab selalunya bila terjaga semula aku akan mengalami sakit kepala jika tertidur dalam keadaan duduk begitu.

Itulah kadang-kadang ada saja perkara yang boleh membuatkan aku teringatkan anak-anak.Ni tengah sakit kepala lah ni...

Wednesday, March 13, 2013

Kena tahan polis....

Ini polis London yang meronda-ronda di Hyde Park 
waktu aku di UK tempohari.

Pagi tadi aku on the way nak ke office. Balik dari hospital Ampang Puteri. Lepas isi minyak di stesen Petronas berhadapan dengan Risda aku membelok masuk ke Jalan Ampang Hilir. Sampai pada satu trafik light berhampiran dengan simpang nak masuk ke Great Eastern dan Kampung Pandan aku berhenti. Tapi bila aku tengok kereta dari arah Kampung Pandan semua masuk dan membelok ke kanan jadi aku rasa aku boleh jalan dan menyusur keluar ke kiri. Maksudnya masuk ke Kampung Pandan. Waktu tu lampu dari arah aku merah. Tapi kalau tak silap, aku pernah terbaca jika berada dalam situasi seperti aku pagi tadi, kita boleh membelok masuk sebab jalan tu clear. Lebih-lebih lagi kalau dalam keadaan 'jam'.

Sebaik saja aku masuk, aku dengar bunyi hon dari motosikal di sebelah aku. Aku toleh tapi tak perasan pulak seragam polis yang di pakai oleh penunggang motosikal tu. Aku berhenti di tepi pintu masuk Raintree Club Kampung Pandan. Sebaik berhenti barulah aku perasan itu polis.

Aku buka cermin tingkap kereta dan bagi lesen tanpa di minta. Dia ambil dan belek-belek lesen aku dan tanya aku nak kemana. Aku cakap dari hospital dan nak cepat ke pejabat. Polis tu cakap aku dah langgar lampu merah. Aku kata, "saya nampak kereta dari sebelah kiri lampu hijau dan membelok ke kanan. Jadi saya rasa saya boleh masuk menyusur keluar ke jalan sebelah kiri sebab saya tak ganggu laluan sesiapa pun..." Polis tu angguk-angguk. Dia pandang kawannya di sebelah kiri kereta aku. Lepas tu dia pulangkan balik lesen aku dan pergi.

Huhhh! nasibbb! Sudahlah bulan Januari lepas aku dapat saman AES sebab memandu melebihi hadlaju di Lebuhraya Utara Selatan. Tapi aku abaikan saja sebab menurut kata beberapa orang kawan, saman dari kamera AES tu masih tergantung lagi. Mahkamah masih meneliti penggunaannya sebab ramai yang tak puashati. Bila kedua-dua polis tu berlalu aku terfikir balik, berhak ke mereka menahan aku sebab mereka bukan polis trafik. Mereka cuma polis biasa yang meronda-ronda dengan motosikal.

Bila aku kenang-kenangkan balik menggeletar juga badan. Bukan takut di saman tapi kalau dibuatnya yang menahan aku tu orang biasa yang menyamar jadi polis macam di UK. Iaitu Bogus Police. Mereka meminta dompet pelancung dan melarikannya. Kiranya macam samun juga. Jalan yang aku lalui pagi tadi tu pun agak sunyi juga.

Tuesday, March 12, 2013

Tak datang tak tahu... Ada juga rupanya...


Hari itu memang tak tahu nak pergi mana. Masih pagi. Abang pulak dah pergi kuliah. Adik pun ajak pergi pasar. Katanya nak tengok buah-buahan dan gerai-gerai bunga. Aku ikut saja. Dari rumah abang kami jalan kaki saja. Sambil merayu-rayau mencari di mana letaknya pasar kami sempat juga ambil gambar apa saja yang menarik perhatian kami berdua.

Kami tanya pada beberapa orang dalam perjalanan kami dimana letaknya pasar. Kebanyakkan mereka sungguh baik hati dan peramah dan sedia menunjukkan arah menuju ke pasar. Ketika melalui gedung Marks & Spencer aku dihampiri seorang remaja (aku rasa dia masih remaja dalam lingkungan usia 18 tahun berdasarkan pada penampilan dan perwatakkannya). Cantik orangnya. Berambut panjang dan kerinting-kerinting sedikit hujungnya dan elok disisir rapi. Pakaiannya pun sama. Dia cakap anaknya baru meninggal tiga hari lepas dan dia tak ada duit untuk mengebumikan anaknya. Kalau boleh dia minta duit sikit dari aku. Aku terpinga-pinga. Adik terus cakap kami berdua tak ada duit. Minah tu tak banyak cerita terus pergi meninggalkan kami.

Adik cakap ada juga rupanya peminta sedekah di negeri omputih... cuma modus operandinya berbeza sikit. Bila kami cakap tak ada duit dia terus pergi dan hilang terus. Sebelum tu abang ada cerita, beberapa hari sebelum aku sampai di UK, dia keluar makan. Dalam perjalanan balik seorang lelaki mendekati abang dan cakap dompetnya hilang. Dia tak dapat balik ke rumah sebab tak ada duit tambang dan salji pulak tebal. Anak-anaknya pulak sedang menunggu di rumah. Abang bagi lelaki tu 5 pound. Sukalah lelaki tu siap peluk-peluk abang. Lepas tu dia terus berlari pergi. Aku cakap lelaki tu mesti pemabuk. Abang kata tak, sebab penampilannya nampak ok saja. Tapi selepas aku mengalami perkara yang hampir serupa, aku percaya lelaki itu juga penipu.

Aku ceritakan pasal perempuan tu pada abang. Abang cakap perempuan tu memang selalu ada di kawasan tu. Cuma kadang-kadang ceritanya saja berbeza. Itulah, tak datang tak tahu... ada juga rupanya peminta sedekah disebuah negara yang kita anggap maju. Yang berbeza pengemis di negara kita berpakaian selekeh dan compang camping dan kotor. Pengemis di UK, berpakaian cantik, kemas dan tak bawa tempurung. Mereka terus datang dan cakap nak duit sebab sekian-sekian.

Monday, March 11, 2013

Tak datang tak tahu... hilang 2 kg...

Ikut pusingan jam, Fish n Chips, Hot Chocolate, Chicken 
Doner, Jacket potatoes dan White Coffee antara yang menjadi 
menu harian aku ketika di Sheffield.

Lasagna, yang aku pilih untuk makan malam 
dalam MH004.

Sudah beberapa minggu berlalu... yang tinggal dan kekal bersama cuma kenangan. Selain kenangan ada satu lagi yang tertinggal dan hilang dari aku... Berat badan aku hilang 2 kg sejak balik dari UK. Pastilah itu satu-satunya yang amat mengembirakan lebih-lebih lagi bulan depan aku ada temujanji dengan doktor.

Macam mana boleh hilang 2 kg tu? Aku pun tak pasti bagaimana. Apapun aku amat gembira dengan perubahan diri. Selama ini berhempas pulas nak mengurangkan berat badan, alih-alih pergi UK berat badan susut. Baju-baju yang sebelum ini terasa ketat sekarang dah longgar.

Aku memang risau sebelum berangkat ke UK haritu. Terutama bila memikirkan pasal makanan. Takut kalau susah nak jumpa yang halal. Dari Malaysia memang aku dah siapkan 'bekal' mee segera, biskut dan coklat. Mana tahu ketika sampai di London aku tak jumpa restoran halal. Dan dalam kapalterbang pun aku dah nekad nak makan kenyang-kenyang. Kalau tak cukup aku minta lagi... hehehe. Teruknya niat tu. Pulak tu kawan-kawan sepejabat cakap, berdasarkan pengalaman mereka... masa aku sampai tu winter. Perut mesti lapar. Tapi alhamdulillah, aku tidak pula mengalami sindrom lapar tu. Hati suka dan perut tak rasa lapar.

Sebelum bertemu dengan abang dia ada mesej dan beritahu, kalau aku nak makan, carilah kedai yang ada tanda 'V" hijau. Maknanya suitable for vegetarian... bolehlah makan. Tak susah sebenarnya mencari makanan halal di Sheffield dan London. Ketika di Hammersmith kami (aku, adik, Adrian, abang dan Farhan) masuk satu restoran semata-mata nak tanya di mana boleh dapat makanan halal... dan pekerja di situ sungguh baik hati dan tunjukkan satu restoran yang menjual makanan halal.

Hari pertama berjalan di London, lepas ambil breakfast di hotel, (kebanyakan hotel di London tidak menyediakan sarapan pagi seperti di Malaysia walaupun hotel tu bertaraf 5 bintang) aku berjalan merata tempat dalam cuaca sejuk. Walaupun dah berjalan satu hari aku langsung tak merasa lapar. Agaknya 'sibuk' melayan kesejukkan... cuma berhenti sekejap di satu cafe Itali untuk minum segelas coklat panas. Malam baru aku makan. Itupun fish n chip... pun tak habis. Waktu ini mungkin aku tersangat happy sebab dah berjumpa dengan si abang.

Hari kedua pun sama, aku langsung tak ambil sarapan pagi dan makan tengahari. Yang ada cuma segelas kopi panas ketika menunggu bas untuk ke Sheffield. Tidak ada sedikit pun rasa lapar. Ketika masuk ke satu restoran aku sekadar menemankan abang dan kawannya untuk makan tengahari. Malam ketika sampai di Sheffield baru aku makan.

Hari-hari seterusnya pun sama. Aku tiada selera untuk makan. Bila makan di kedai  portionnya banyak sangat boleh share dua orang. Kenyangnya pun lama dan aku lebih banyak minum air. Setiap hari aku berjalan dan merayau merata tempat sehingga berkilo-kilometer jauhnya... dan tidak merasa penat. Agaknya ini yang membuatkan aku susut 2 kg. Habis semua lemak-lemak dibakar. Lagipun hati suka, rindu pun dah lepas, makan pun tak lalu.

Dan ketika menginap tiga malam di Malaysian Hall sebelum balik ke Malaysia, bekal yang aku bawa masih ada dan tersimpan elok dalam beg pakaian. Aku berikan pada salah seorang petugas di Malaysian Hall tu. Itulah kenangan manisnya, kalau tak datang mungkin aku masih plum lagi... hehehe..

Sunday, March 3, 2013

Tak datang tak tahu, sesat a.k.a silap.....

Dalam bedroom koc, Senandung Langkawi, Bukit 
Mertajam to Hadyai.

Baru sampai rumah dari Arau dengan keretapi Senandung Langkawi. Menghantar Ojet balik ke kolej semula. Bertolak hari Jumaat malam dan sampai di Arau pagi semalam, Sabtu, jam 8 pagi. Yang ikut sama menghantar Ojet ke Arau, adik dan kakak aku. Dah lama kami rancang perjalanan dengan keretapi ni.

Lepas uruskan dan tolong Ojet pindahkan semula barang-barang kedalam biliknya... dan adik temankan dia ke pekan Arau beli sedikit barang-barang keperluannya, kami ambik teksi dan keluar makan. Begitu begini jam pun dah pukul 5 petang. Hantar semula Ojet balik ke hostel... dan aku bertiga terus ke stesen keretapi dan balik semula ke KL dengan train pukul 7 malam dan sampai di KL Central pukul 5.30 pagi tadi. Takdalah penat sangat sebab sepanjang perjalanan pergi dan balik aku tidor. Kami ambik koc tempat tidur. Best juga tidur dalam keretapi, macam tidur dalam buaian. Kerana rasa 'syok' tu, kami (aku dan adik) rancang nak travel ke Bangkok dengan keretapi... tapi tak tahu lagi bila tarikh yang sesuai.

Tengok jadual perjalanan keretapinya... maunya tak pening, 
banyak sangat platform dan akan tiba pada satu-satu masa..

 Tiket perjalanan pergi dan balik, Sheffield 
ke Matlock 10 pound, seorang.

Terkenang masa di Sheffield tempohari, aku, adik dan kawan abang, Farhan rancang nak ke Matlock Bath. Pemandangan tempat tu cantik. Ianya dalam area Peak Districk sama seperti Bakewell. Abang tak ikut sebab ada projek di universiti. Setelah google-google, kami pun bercadang ambik train saja... nampak macam senang. Dari rumah abang kami naik tram untuk sampai ke stesen keretapi... (bila di fikir-fikirkan balik... apalah punya bengongnya kami bertiga... ini semua kerana ikut arahan dari en. googlelah. Padahal dari rumah abang nak ke stesen keretapi tu takde lah jauh mana, boleh jalan kaki. Tak pasal-pasal kena keluar tambang untuk naik tram 4 pound.

Setelah beli tiket keretapi London St Pancras tu, kami pun naik train di platform 8 - itupun setelah puas membelek-belek infomation dan adik bertanya sana sini. Kalau ikutkan si Farhan memang takdelah... budak lelaki... pulak tu dia pun travel sorang-sorang dari Egypt ke UK... egolah sikit kot. Tak suka nak bertanya-tanya.

Dari stesen keretapi di Sheffield kami turun di Derby untuk menukar train ke Matlock. Pun sama, selepas bertanya-tanya... kami pergi ke flatform 6a. Dari pengumuman yang dipaparkan pada skrin, keretapi untuk ke Matlock akan sampai beberapa minit lagi. Sebaik saja keretapi sampai tanpa usul periksa kami pun naik. Tapi hati aku berkata-kata juga... tanya dengan Farhan, betul ke keretapi yang kitorang naik tu. Dia kata betul... Tapi masa keretapi tiba, aku macam nampak ada tulis Sheffield...

Dalam keretapi, aku perasan... aku seperti melihat pemandangan yang sama seperti dalam perjalanan datang ke Derby. Aku cakap dengan adik, dia kata "nanti kat depan dia masuklah rail arah ke Matlock. Apalagi nak cakap, ikut sajalah.

Ketika pemeriksa tiket datang dan periksa tiket kami, dia tanya... kami bertiga nak ke mana sebenarnya. Kami pun cakaplah, nak ke Matlock... apa dia cakap... kami bertiga sudah silap. Keretapi yang kami naiki tu menghala balik ke Sheffield... ha... kan... Awal-awal lagi aku dah cakap... naluri seorang ibu... orang tua sebenarnya... hehehe... kan dah salah. Lepas tu panjang lebarlah ceritanya. Pemeriksa tiket tu perempuan... baik dan peramah. Macam-macam dia cerita tentang keindahan di Matlock Bath tu. Dia cakap kalau pun kami nak teruskan juga perjalanan ke Matlock dah tak sempat. Pukul 3 tempat tu dah tutup. Lagipun winter banyak tempat-tempat yang di tutup pada pelawat. Tapi dia telah tuliskan satu nota dan suruh kami berikan nota tu pada kaunter tiket di stesen keretapi Sheffield. Menurutnya kami boleh mendapat tiket ganti dan boleh ke Matlock pada hari yang lain. Tapi kami tak buatpun sebab si Farhan dah nak ke Paris pulak.

Tak pasal-pasal buang duit 10 pound. Geram juga, tapi yelah... Itulah kenangannya... tak datang tak tahu... boleh cuba lagi di lain kali jika berkunjung ke UK.

Friday, March 1, 2013

Setelah tiga minggu....

Ini bukan roti jala yang aku buat pagi tadi 
tapi gambar lama... saja untuk hiasan.

Esok, lusa dan hari-hari seterusnya... aku akan kembali sendirian... dan menanti lagi sehingga tiba cuti semester yang akan datang apabila anak-anak (Ojet tentunya) kembali semula kerumah untuk menghabiskan cuti semester yang lain pula.  Malam nanti Ojet akan pulang semula ke kolej dengan keretapi ke Arau untuk menyambung pengajian semester keduanya. Abang pula sudah tentu tak balik cuti musim panas nanti kerana ketika bersama dengannya di UK tempoh hari, dia ada beritahu nak buat internship dengan Barclays. Kalau berjaya... kemungkinan dia akan di hantar ke Dubai. InsyaAllah! aku berdoa moga dia berjaya dan dapat menimba banyak pengalaman sebelum dia benar-benar bekerja selepas tamat pengajian nanti.

Setelah tiga minggu... bersama abang di UK, kemudian tiga minggu lagi bersama Ojet di rumah... aku rasa amat bahagia sekali. Bertemu dengan anak-anak yang sentiasa aku rindui... Ketika aku membuat catatan ini, airmataku bergenang. Kata suami, "awak harus menempuhinya... suka atau tidak... apa yang perlu awak buat, duduk saja diam-diam di rumah!" ugh! aku rasa 'zalimnya' ayat tu.

Pagi tadi aku bangun awal, seawal jam 4 pagi semata-mata untuk memasak kari ayam dan membuat roti jala untuk sarapan Ojet. Aku kadang-kadang rasa bersalah sangat dengan anak-anak jika tidak dapat memasak sesuatu yang mereka minta apalagi jika makanan itu makanan kegemaran mereka... sehingga pukul tujuh pagi baru semuanya selesai... kemudian kembali menyambung tidur semula... dan... aku tertidur sehingga pukul 10.30 pagi dan terlambat untuk menghantar pesanan blueberry cheesetart kepada pelanggan dan ke tempat kerja.

...kalut... dan aku rasa seperti tak bermaya....