Wednesday, December 30, 2009

Membongkar kenangan lama...

"Apa dalam kotak ni mak?"

"Gambar-gambar lama."

"Mak nak buat apa dengan gambar-gambar ni?" Soal abang sambil menyelongkar barang-barang lama yang aku simpan. Kenangan masa sekolah, remaja dan masa anak dara.

"Mak nak susun dan masukkan dalam album baru."

Dimana agaknya kawan-kawan ku ini sekarang?

Selain dari gambar-gambar lama ada juga mesej-mesej lama yang aku simpan.

Mesej dari seseorang, yang sekarang dah pun jadi suami.
Ojet kata "he! gatalnya abah!

Buat suamiku, jangan marah ya saya letak mesej ni
kat blog ni! Namanya pun Sweet Memory!

Ni pula rupa hiasan kek guna buttercream waktu
pertama kali hadiri kelas menghias kek.

Sunday, December 27, 2009

4 hari di PD..

"Dah kemaskan barang-barang. Jangan lupa baju
renang. Bawak dua tiga helai."

Rasanya lama betul tak pergi berenang dengan anak-anak. Entah-entah skil renang pun dah lupa. Anak-anak asyik berulit dengan buku. Kesempatan bercuti di PD sempena cuti krismas baru-baru ni kami manfaatkan sepuas-puasnya.

Masa untuk riadah

Ojet, Ain dan Abang posing pada kedalaman air 2.5 m,
sambil di perhatikan oleh Acik mereka.

Adik dan isteri lelaki ni cuba mententeramkannya
selepas Abang selamatkannya.

Ada yang lemas? Abang tolong selamatkan seorang lelaki cina. Sebelum tu seorang perempuan punjabi juga hampir lemas, Ojet tolong selamatkan. Kebetulan pada hari tu life guard tak ada. Rasanya tak sia-sia ajar anak-anak berenang.

"Boleh buat part time ni!" dalam kalut-kalut tu Ain sempat lagi melawak.

Cuti-cuti juga, buku tetap tak lupa.

Ojet kesejukkan...

Ain kepenatan...

Santa Claus datang.

Berhibur di Cumulus bersama Darwin dan Melati.

Istana pasir Abang

Tuesday, December 8, 2009

Masih segar diingatan...

Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR).

Masih segar diingatan
, dua tahun dulu (Mac 2008) ketika menghantar anak lelaki ku Abang ke SDAR, hati di buru kebimbangan. Macam-macam yang berlegar dan bermain di fikiran. Yang pertama sekali buli. Seluruh ahli keluarga berat hati nak melepaskan abang tinggal di asrama. Tapi atas kemahuan abang, hendak tak hendak kami seluruh keluarga terpaksa akur.

Sepanjang perjalanan pulang selepas menghantar abang hati sentiasa teringatkannya. Risau dan entah apa-apa lagi. Dan kerisauan itu hilang sebaik saja abang menalipon untuk pertama kalinya dari sekolah dengan cerita gembiranya.

”Mak, tadi ada ujian nak tentukan kelas BI. Abang masuk side A.” Alhamdulillah, permulaan yang baik.

Hari terbuka asrama 09.

Sepanjang tinggal di asrama, boleh dikatakan saban minggu kami semua melawatnya. Mendengar cerita dan melihat perkembangan diri dan pergaulannya. Inilah yang paling ditakuti sekali kerana dari kecil hinggalah usianya mencecah 15 tahun abang memang jarang keluar rumah bermain dengan kawan-kawan sebaya. Masanya banyak dihabiskan dengan membaca buku-buku.

Dan setiap kali melawat abang yang pertama akan ditanya macam mana belajar. Boleh ikut ke? Sebab waktu abang mendaftar diri masuk ke SDAR rasanya telah banyak silibus yang tertinggal. Sebulan selepas abang belajar di SDAR, dia mengadu tak boleh ikut pembelajaran dalam kelas add math sebab dah jauh ketinggalan, tambahan pula abang masuk 2nd intake. Dan masih segar diingatan waktu aku melarikan abang dari asrama semata-mata nak jumpa cikgu tuisyen math-nya. (Maaf ya, guru warden, saya terpaksa melakukannya...).

“Saya akan cuba kak” janji Fizal... guru tuisyen anak-anak yang datang ke rumah mengajar dua kali seminggu. Terima kasih Hafizal kerana membantu. Bersusah payah datang kerumah yang jaraknya bukan dekat. Dari Petaling Jaya ke Taman Keramat. Juga terima kasih cikgu Kamila dari SMTK yang juga sudi membantu abang waktu itu, mengajar dan menghadiahkan buku Fizik. Pengorbanan dan bantuan kalian amat saya hargai.

Dengan kecekalan dan kezamanan, abang akhirnya berjaya melepasi segala kepayahan dalam memastikan dirinya tidak 'tercicir'. Dalam ujian pertama abang di SDAR dia dapat nombor 3. Dan masih segar diingatan waktu abang menghubungi aku dari sekolah memberitahu keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya.

“Mak, abang dapat nombor 1!” suara abang riang di hujung talian.

“Iye? Dalam kelas?”

“Dalam tingkatan! Abang dapat strait A”

Congratulation sayang!” Hatiku berbunga gembira. Namun nun jauh di lubuk hati, aku mula cemas sebenarnya. Dia mula menjadi perhatian. Aku takut ini akan membuatkannya hilang tumpuan.

Abang dan rakan-rakan Olympiad Mathematic
SDAR di Hanoi, Vietnam.

Abang pada Hari Anugerah Kecemerlangan.

Tidak banyak yang berubah dalam diri abang sebenarnya. Dia masih kurang berkawan, gemar belajar bersendirian. Aktiviti sekolah pun kurang disertainya.

Setiap kali pulang bercuti, abang tak pernah lekang dengan buku. Dia masih pergi kesekolah lamanya. Mencelah masuk kelas-kelas tambahan yang diadakan oleh guru-guru sekolah tersebut.

Masuk tahun baru (2009) abang dalam tingkatan 5, rasanya terlalu banyak cabaran yang terpaksa aku sendiri tempuhi. Beberapa kali aku terpaksa berkejar dari KL ke Seremban. Masih segar diingatan, ketika wabak H1N1 merebak aku cemas bila abang menalipon dari asrama.

"Mak! abang demam" Seluruh keluarga cemas. Aku menangis. Macam mana nak pergi Seremban. Siapa yang nak temankan aku memandu malam-malam di highway.

"Sabar je... aku temankan, tapi jangan bawak kereta laju sangat!" Kakak ku yang bersiap-siap untuk menghadiri majlis tahlil untuk arwah ibu mertuanya membatalkan niatnya untuk ke majlis tersebut sebaliknya bersetuju menemankan aku ke Seremban.

"Aku ikut!" adikku pun ingin ikut sama menemani. Nasib baik Abang cuma demam biasa saja, tapi pengalaman mencari klinik malam itu sukar dilupakan.

Suasana asrama abang, blok Temenggung waktu malam.

Kembali dari cuti Hari Raya Aidilfitri abang telefon lagi.

"Mak! abang kena demam campak!" Aku bergegas lagi ke Seremban. Tak sampai seminggu duduk di rumah abang gelisah ingin balik ke sekolah. Dia takut tertinggal dalam pelajaran. Dia berkeras ingin kembali ke asrama walaupun parut bekas campaknya belum pulih lagi. Begitulah abang, anak lelakiku.

Abang dan beberapa orang rakan pada Hari Raya Korban.
Terpaksa berhari raya di asrama kerana SPM belum selesai lagi.

Hari ini, 8 Dis, SPM 09 dah berakhir. Ini juga bermakna tamatlah sudah dunia abang sebagai pelajar sekolah. Pasti dia merasa sedih meninggalkan kawan-kawan dan alam persekolahannya di SDAR. Seribu satu macam kenangan dan pengalaman yang telah ditempuhnya sepanjang dua tahun di SDAR aku harap dapat menjadi pengajaran dan mematangkannya dalam menempuh alam dewasa.

Dan pastinya untuk jangkamasa tiga bulan akan datang penuh dengan debaran...!

Monday, December 7, 2009

Lagi hari minggu yang boring..

(Mug kesayangan)

Apa nak buat? Hai sunyinya... Keluh kesah pun tak ada gunanya. Aku buka kabinet dapur. Huh berserabut. Tunggang-langgang. Aku sarung apron, capai penyapu dan... Hampir jam 12 malam baru semuanya siap.

Minggu ni abang habis periksa. Aku nak pastikan rumah kemas sebelum dia balik. Okey! tra....

(Rempah ratus dan tin-tin kek dah kemas tersusun)

(Dapur pun dah kemas)

Jom jengok kat laman plak..

(Musim hujan pokok-pokok rimbun menghijau)

(Kiambang)

(Pokok kesum yang ku tanam rimbun dalam pasu. Boleh
masak asam pedas, abang suka.)

(Kolam ikan mini, dah lama aku tak jenguk penghuninya. Ada pertambahan penduduk. Ikan tu ada yang bertelur dan dah menetas. Surprise tul.)

(Sebahagian dari koleksi masa anak dara. Aku susun atas rak khas di luar rumah)

(Ruang santai-santai dengan famili, pun dah kemas. Nanti
nak lepak-lepak dengan ojet dan abang sambil dengar cerita-cerita mereka).

Alamak! Katil abang berselerak lagi.... Bila nak kemaskan ni!!!



Sunday, November 29, 2009

Sepetang di Tasik Titiwangsa


Sendirian di rumah. Tak tau apa nak buat. Baking? tak ada mood. Berkebun, berkemas? Malas. Segala macam alasan datang bertandang dalam diri.

"Dik! jom pergi Bukit Tinggi?"

"Dah petang sangat ni"

"Alaa, aku boringlah. Rasa nak jalan-jalan, jomla.."

"Aaa.. ok! kita pergi Tasik Titiwangsa, aku nak jogging." adik ku mencadangkan. Aku menerima saja cadangannya.

Entah kenapa hatiku terasa sunyi sangat. Bagaimanalah agaknya nanti bila anak-anak ku, (abang dan ojet) dewasa. Mereka tentu ada kehidupan sendiri dan sibuk dengan urusan masing-masing. Aku...?

Monday, November 23, 2009

Birthday!....

Ketika ini hati aku gundah gulana teringatkan abang yang sedang bertungkus lumus di dewan peperiksaan SPM. Dalam hati tidak putus-putus mendoakan kejayaan abang!


Untuk meredakan sedikit kegelisahan yang bersarang dalam hati aku
melukis wajah Gadis National Geographic ini.

"Mak! Happy Birthday!"

"Hadiahnya?"

"Tak ada."

"Kalau birthday kawan susah payah pi cari hadiah. Birthday mak tak ada apa-apa. Dan Ojet cuma tersengeh-sengeh.

"Jangan lupa balik nanti masak nasi tau!" Pesanku sebelum dia turun kereta waktu aku hantar dia kesekolah pagi tadi. Walaupun cuti sekolah dah bermula tapi anak gadis aku ini tak jemu-jemu ke sekolah. Ada kelas tambahan. Tahun depan bakal ambil SPM.

"Ong beli je lah nasi bungkus nanti."

Thursday, November 19, 2009

Sejarah SENANG...!


Senang hati bila mendapat sms abang dari sekolah. Lega perasaan tahu dia ceria menghadapi peperiksaan.

"Hati-hati dan kawal perasaan!" hanya itulah yang sempat aku titipkan buatnya.

"Abang kenal Rizqin?" sempat lagi aku hulurkan pertanyaan.

"Kenal"

"Mak baru je berkenalan dengan mak dia dalam blog. Kami janji nak bertemu di SDAR raya ni."

"Rizqin tu duduk sebelah abang time exam." Ha.. aku senyum sendirian. Diluar dua ibu saling bercating walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Disekolah rupanya dua buah hati kami duduk bersebelahan.

Wednesday, November 18, 2009

SPM 09 hari ni..

"Mak sentiasa doakan kejayaan buat abang, tenang jangan gopoh and don't over confident!" SMS aku pada abang malam tadi. Pagi ni aku bangun dengan ingatan dan doa yang panjang buat anak lelaki ku yang akan menghadapi SPM bermula hari ini. Dan SMS dari guru tuisyennya dan salah seorang mak kawan abang masa di sekolah rendah dulu buat aku rasa terharu.

"Thanks, Fizal, thanks Jihan!"

Dalam perjalanan ke tempat kerja, abang sms... Message nya membuat aku senyum sendirian sambil memandu ke tempat kerja.

Dan doa mak sentiasa mengiringi abang! Good luck dear!

Thursday, November 5, 2009

Kek Coklat Kukus


"Mak nak buat kek apa pulak ni. Untuk jual ke untuk makan-makan je?"

"Kek Coklat Kukus. Saja-saja. Bahannya mak dah sukat lama. Masa abang balik cuti Depavali hari tu. Tapi tak jadi buat!"

"Alaaa..., tak best la. Asyik kek ni je. Mak, nanti birthday Ong, mak buat la kek buah yang macam mak buat masa kenduri Ong hari tu ya!" pinta Ojet. 'Ong' macam tu la dia membahasakan dirinya. Entah dari mana timbulnya 'ong' tu tak tau la pulak.

"Ok la!"

Sementara menunggu kek masak, aku bersiap untuk ke JJ yang berhampiran. "Mak nak gi mana?"

"JJ, mak beli strawbery. Adik tolong tengokkan kek tu ya, nanti bila cukup masanya, tutup api, ok!"

Tapi memang bukan musim strawbery agaknya. Tak ada pulak strawbery di JJ. Apa aku nak letak hiasan kek tu. Fikir punya fikir, aku dapat idea. Apa kata aku letak pic atasnya. Ok kot!

"Tak ada strawberyla kat JJ".

"Habis mak nak letak apa?"

"Buah pic dalam tin".

"Ha, boleh ke?"

"Janji hias" ujar ku.

Memang, masak je kek, Ojet langsung tak berminat nak menjamahnya. Sebab dah selalu sangat buat. Tapi aku potongkan juga sikit untuk dia sebelum aku bawa kek ni ke office. Tak tau la pulak samada dia makan atau tak kek tu. Tapi semalam aku tengok kek tu dah tak ada dalam peti ais didapur. Dia makanlah agaknya tu...

Kek Kukus Masam Manis


"Ha! Jangan ambik flakes tu, nanti mak tak cukup nak melapis kek ni nanti" Ojet tersengeh-sengeh. Tak jadi tangannya nak mencapai asam haw flakes yang aku letak dalam piring. "Mak nak letak dalam kek yang mak buat ni ke?" Soalnya kembali.

"Iyalah, Mak nak cuba buat resipi baru ni. Kalau cantik jadinya nanti mak cadang nak buat jualan kek ni".

"Ooo!" Ojet kembali ke meja studynya. Peperiksaan akhir tahun sekolahnya masih belum habis lagi. Seminggu dua ni leka berulit dengan buku-buku. Pastinya 10A1 jadi idaman.

Hampir tiga jam mengadun, menggaul, melapis dan mengukus, siaplah kek Kek Kukus Masam Manis ni. Ojet macam biasa, tak sabar-sabar nak memotongnya. Memang rasanya tak mengecewakan.

Monday, October 26, 2009

Mak! Jangan bawak kereta laju sangat..


''Mak, kenapa laju sangat ni?'' Soal abang bila jarum meter kereta menunjukkan 140 km/j. ''Mak nak cepat! Sekarang dah pukul 1.30 tengah hari. Mak cuma ada setengah jam je lagi nak memecut balik ke KL.''

Sampai di SDAR jam sudah pun 1.45 pm. Sambil menunggu abang menurunkan barang-barangnya, aku duduk berehat di wakaf tepi dewan makan asrama. Abang lesu saja. Tak taulah samada dia penat atau sengaja melengah-lengahkan masa aku.

Habis saja abang membawa barang-barangnya naik ke bilik, jam dah pukul 2.00 petang. ''Ok!, abang, mak balik.'' Aku cium pipi abang kiri kanan. "Mak, jangan bawak kereta laju sangat." Sempat abang berpesan sebelum aku melangkah masuk ke kereta.Aku terdiam. Tak tahu apa nak kata. Terasa diri ini disayangi.

Tuesday, October 20, 2009

Sepanjang Syawal...


15 Okt - Majlis raya di office... 

11 Okt - Hubby sambut birthdaynya yang ke ...



10 Okt - Aideel sambut birthdaynya yang ke -3


25 Sept - Nasi himpit, kuah kacang, makaroni goreng, kek butter dan 
kek chiffon, untuk jamuan raya dengan keluarga di rumah.


Warna tema kasut raya tahun ni, putih.


Kasut sapa paling cantik!

Kasut raya sapa ni woi, tak buang tanda harganya lagi!

Wednesday, October 7, 2009

Muffin Pisang untuk majlis raya, Solat Hajat & Bacaan Yasin di SDAR


Ramadan dah lama berlalu, Syawal pula sudah hampir kepenghujung. Sana sini sibuk dengan rumah terbuka. Jalan raya jadi sesak. Sabtu lalu (3 Okt '09) di SDAR telah diadakan solat hajat dan bacaan Yasin khusus untuk pelajar-pelajar PMR dan SPM. Oleh kerana masih dalam bulan syawal satu majlis hari raya juga turut diadakan.

(Abang tak sertai majlis Hari Raya ni, sebab demam campak. Melihat rakan-rakannya, hati teringatkannya di rumah. Kesian dia tak dapat bersama-sama meraikan raya tahun ni dengan rakan-rakan di sekolah dan tahun ni (09) tahun akhir abang di SDAR. Semoga abang mendapat kejayaan yang cemerlang dalam SPMnya, Amin!).

(Terima kasih Nila kerana jemputan majlis raya di Shell Seremban Utara!)

Friday, August 28, 2009

Kisah Cinta


(Cerpen ini adalah karya pertama saya yang pernah terbit dalam salah sebuah majalah, (tidak ingat tahun bila). Tajuknya, Semalam Sudah Berlalu. Dan saya muatkan kembali di blog ini sebagai kenangan.)

AZRINA meletakkan gagang telefon dan tersandar di kerusi melayan perasaan. Timbul rasa kesal di hati Azrina. Mengapa Rusli menelefonnya. Perlu apa lagi lelaki itu dengannya?


Azrina mengeluh lemah. Lemah dalam keresahan. Tekadnya cuma satu. Hubungannya dengan Rusli biarlah setakat itu saja.


“Oh! Tuhan, tabahkanlah hatiku. Kuatkanlah semangatku. Tolonglah aku melupakan dia!. Doa Azrina dalam hati.


Sudah hampir tiga tahun Azrina tidak bertemu dengan Rusli. Sejak Azrina berpindah ke Kuala Lumpur ini. Kisah-kisah manisnya bersama Rusli dulu sudah dikikisnya habis-habis.

Dia datang ke Kuala Lumpur ini dengan tekad dan semangat baru. Tapi... Kuala Lumpur ini kecil. Betapapun dia cuba melarikan diri, suatu masa tersua jua.


Agak terkejut juga Azrina sewaktu terserempak dengan Rusli pagi semalam. Dia hendak naik ke tingkat empat dan kebetulan Rusli datang ke pejabat itu kerana urusan tertentu. Perjalanan melalui tangga di pagi hening itu telah menemukan semula Azrina dengan Rusli.


“Heh... Azrina?” Rusli terpekik sedikit.


“Rusli...!”
“Apakhabar?”

“Baik,” sahut Azrina. Dadanya berdebar kencang. Tak sangka bertemu Rusli.


You kerja di sini?” tanya Rusli. Masih tidak percaya bertemu kekasih lama di tempat itu.

“Ya...” “Apa tuahnya kita bertemu hari ini.” kata Rusli riang. Azrina tidak menjawab. Dia terus beredar ke pejabatnya.

Inilah kali pertama dia bertentang mata dengan Rusli sejak berpisah tiga tahun lalu. Dalam tiga tahun itu dia tidak pernah tahu khabar berita Rusli. Sejak dia berhijrah ke Kuala Lumpur ini, Rusli sudah hilang dari ingatannya.


Pertemuan singkat tadi telah membangkitkan semula ingatan lamanya terhadap lelaki itu. Tapi pertemuan yang terjadi pagi tadi tidak seindah pertemuan dengan Rusli tiga tahun dulu. Pertemuan sebentar tadi tidak pernah diharapkannya sejak perpisahan mereka.


“You tak turun makan, Ina?” Tanya Ruby ketika hendak turun makan tengah hari itu.


“Oh! tidak Ruby, I tak lapar!” beritahu Azrina.

“Kalau begitu
I turun dulu lah.” Okey!”

Tinggallah Azrina sendirian melayani fikiran. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Matanya dipejamkan. Fikirannya melayang jauh. Kenangan lama berputar semula dalam kotak ingatannya.


“Rin!” tiba-tiba satu suara memecah keheningan pejabat yang sudah ditinggalkan sepi oleh penghuninya tengah hari itu.


“Oh!...Rusli?” You tak keluar makan?” Tanya Rusli kemudian menarik sebuah kerusi berhampiran. Azrina serba salah.

“Tidak! I tak lapar!” sahut Azrina. Dia merenung Rusli yang duduk di hadapannya. Rusli makin segak! bisik hati Azrina.

“Rin, lama kita tak jumpa ya. Entah apa tuahnya kita jumpa pagi semalam,” ujar Rusli tetap riang.


“Cuma kebetulan saja. I bekerja di sini dan you datang dengan urusan pejabat. Sebenarnya I tak mengharapkan pertemuan yang begini lagi!” Azrina cuba menahan sebak di dada. Kenangan lama menghiris-hiris tangkai hatinya.

You membenci I Rin?”

I tak pernah membenci sesiapa pun Rusli. Temasuk juga you. Cuma I sudah tidak mengharapkan lagi untuk bertemu dengan you. Kita tidak ada apa-apa hubungan lagi!” Azrina gementar. Dadanya berombak kencang. Nafasnya sesak dan airmatanya sudah hampir tidak dapat dibendung lagi.

“Rin...! Lama I mencari you. Dari saat ke saat I tak pernah melupakan you. I masih sayangkan you Rin!”

“Hem... buat apa
you cari I. Berapa banyak sayang lagi hendak you katakan pada I?” Ucapan itu bagaikan sembilu menusuk jantung hati Rusli. Azrina yang berada di hadapannya kini bukan macam Azrina yang dikenalinya tiga tahun dulu. Senang dipujuk rayu.

“Apa yang hendak I katakan pada you Rin. Bagi I you bukan orang lain lagi. I masih tetap sayangkan you.”

“Sudahlah. Antara kita sudah tidak ada cerita lagi. Sudah habis dan I sudah lupa segala-galanya. Diam. Rusli tidak tahu apa yang hendak dicakapkannya pada Azrina. Gadis itu benar-benar sudah benci kepadanya. Silapku juga! bisik hati Rusli sendiri.

“Rin... Kalau you tak keberatan I datang ambil you petang nanti!” Rusli beredar dari situ. Dia tidak mahu tergesa-gesa. Azrina harus dipujuk. Lama-lama nanti sejuklah hatinya! bisik hati Rusli.

Petang itu Azrina serba-salah. Rusli sudah sedia menunggu seperti yang dijanjikan. Hendak tak hendak terpaksalah Azrina naik kereta Rusli.

I hantar you terus ke rumah,” Azrina tidak membantah. “Di mana you tinggal?”

“No. 55, Jalan Anggerik,” ujar Azrina tegas juga.
Rusli akur. Kedua-duanya tidak berkata-kata sewaktu di dalam kereta. Masing-masing melayani perasaan yang berkecamuk di hati. Azrina melemparkan pandangan keluar sepanjang jalan yang dilalui!

“Masuklah Rusli.” pelawa Azrina sebaik saja dia menolak daun pintu.
Wajah Rusli kelihatan jernih sedikit. Azrina sudah mahu berlembut dengannya sekarang, fikir Rusli.

“Sunyi saja,
you tinggal sorang saja di rumah ni?” tanya Rusli sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi empuk di ruang tamu. Matanya liar memerhatikan sekitar ruang tamu yang dihias kemas dan rapi. Sudah mewah hidup Azrina sekarang, fikir Rusli lagi.

“Memang selamanya I sorang!” sahut Azrina sambil berlalu ke dapur. Tinggal Rusli sendirian di ruang tamu.

“Rusli!...” seru Azrina sebaik saja meletakkan segelas oren sejuk di atas meja di depan Rusli. Kemudian dia duduk di kerusi berhadapan dengan Rusli.

“Apa yang nak you bincangkan dengan I sehingga beriya-iya sangat you datang ke pejabat tengah hari tadi dan bermurah hari pula menghantar I pulang petang ni!” tanya Azrina.

Rusli menghisap rokok seperti mencari akal. Kosong fikirannya dan hilang segala kata madah dan pujuk rayunya yang sudah dikarang sejak tadi. Tergamam dengan gaya dan layanan dari Azrina yang dingin dan tawar.


I tahu you masih marahkan I.”

“Sudahlah Rusli!
I tak mahu bincangkan lagi hal itu.”

“Rin, sebenarnya...” Rusli teragak-agak untuk menerangkan maksud sebenar hatinya.

“Sebenarnya apa?
You sengaja datang untuk melukakan hati I. Sengaja mencari jalan untuk mengorek semula parut luka lama di hati I. Biar berdarah semula. You kejam! Rusli. Jenis apa you ni Rusli?” ujar Azrina. Airmatanya tak dapat dibendung lagi. Dia menangis. Walaupun dia sudah cuba untuk tidak menangis kali ini. Tapi ternyata Azrina tidak dapat membendung airmatanya dari terus mengalir. Sedih hatinya mengenangkan bagaimana Rusli dulu begitu angkuh meninggalkannya.

“Rin! Berilah
I peluang untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya.” pujuk Rusli. Suaranya lembut meresap ke hati.

I rasa tak perlu lagi Rusli. Cukuplah setakat itu.”

“Begitu keras hati you Rin!” Azrina menarik nafas panjang. Tangisannya sudah reda. Dia menatap wajah Rusli yang sayu. Terusik juga hati kecilnya. Mestikah dia terus bersikap kasar dengan orang yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dulu? Rusli yang pernah memutuskan tali pertunangan mereka tiga tahun dulu.

Sejak itu Azrina tidak pernah lagi bercinta. Usianya pun kini sudah menjangkau kedua puluh sembilan tahun. Dia sudah bertekad tidak terlibat lagi dengan cinta. Hatinya sudah kecewa. Sekarang pun dia sudah cukup bahagia dengan apa yang ada. Tapi Rusli datang mengocak kedamaian hatinya semula.

“Kami sudah berpisah Rin. Nora yang
I kahwini ternyata tidak menyintai I sepenuh hatinya. Dia hanya berpura-pura. Setahun saja usia perkahwinan kami, kemudian kami berpisah mengikut haluan masing-masing. Sehinggalah I bertemu dengan you semalam,” ucap Rusli bagai memohon simpati. Azrina tersentak dengan penjelasan Rusli. Benarkah seperti apa yang dikatakan oleh Rusli? “Mungkin itulah pembalasan yang I terima kerana mengecewakan hati you Rin.”

I simpati dengan nasib you.” ujar Azrina agak tersekat-sekat. Kesal hatinya bersikap kasar dengan Rusli.


I minta maaf Rin. I mengaku kesalahan I. Maafkanlah I. Janganlah menyimpan dendam. Kita buangkan yang keruh dan ambil yang jernih,” pinta Rusli.

I sudah memaafkannya!” sahut Azrina lemah.

“Rin, kembalilah semula pada I, kita sambung kembali ikatan yang telah terputus,” rayu Rusli.

“Tapi mengapa baru sekarang Rusli, tidak dulu? Waktu I menangis siang malam mengharapkan you.”

“Setiap orang tidak lari dari membuat kesilapan Rin. Waktu itu I muda. Orang muda cepat bertindak tanpa berfikir panjang.”

“Tindakan
you itu menghancurkan hati I Rusli...” I kesal sekarang Rin. Tapi berilah I peluang menebus semula kesalahan I,” rayu Rusli lagi.

You tak tahu bagaimana lukanya hati ini Rusli...” suara Azrina tertahan-tahan. Wajahnya muram kembali. Detik-detik pahit yang lalu amat sukar hendak dikikisnya semula walaupun Rusli sudah mengaku kesalahannya.

“Rin... I masih sayangkan you lagi. Marilah kita bina hidup baru. Yang lalu lupakan saja!” Azrina merenung Rusli, kemudian dia tersenyum pahit.

“Sudahlah Rusli. Usah disebut lagi soal kasih, soal sayang.
I sudah serik.”

I masih sayangkan you, Rin... Percayalah...”
I hargai kasih sayang you. Tapi I tidak dapat membalasnya. I sudah jemu dengan suasana cinta. Biarkanlah I begini. I sudah cukup bahagia sekarang,” ungkap Azrina.

“Sampai hati you sia-siakan harapan I.”

“Harapan
I lebih dulu you sia-siakan Rusli. Mengapa sekarang you mengungkit-ungkit harapan you yang I sia-siakan?”

You mahu menyeksa hati I...”

“Tidak,
I tidak pernah berniat untuk menyeksa hati sesiapa. Kalau you merasa terseksa, jangan salahkan I. Tapi salahkanlah diri you sendiri. Dan belajarlah dari kesalahan itu!”

You mahu membalas dendam!”

“Tak pernah terlintas begitu dalam hati
I. I cuma mahu hidup sendiri!” Rusli terdiam, hanya matanya saja merenung wajah Azrina yang suatu ketika dulu adalah tunangannya. Wajah yang membendung seribu kepahitan atas tindakannya sendiri. Rusli tidak menyangka Azrina yang lemah-lembut ini begitu keras hatinya. Wanita yang pernah dilukakan hatinya, yang pernah menangis kerananya dulu sekarang sudah begitu kuat tekad dan semangatnya untuk terus hidup sendirian.

Memang Azrina tidak mahu berfikir panjang lagi. Biarlah Rusli tahu, dia tidak semudah itu untuk dipujuk rayu lagi.
Mudah-mudahan dia akan bertemu dengan gadis yang benar-benar menyintai dirinya.

“Lupakanlah
I... lupakanlah!” pnta Azrina. Rusli menatap wajah Azrina puas-puas. Itu saja yang dapat dilakukannya. Segala usaha untuk memujuk Azrina ternyata tidak berjaya. Azrina masih tetap dengan keputusannya.

Perlahan-lahan Rusli mengundur diri ketika senja mula berlabuh. Meninggalkan kenangan semalam yang pahit. Esok akan ditunggu dengan penuh tabah.

Wajah Emylia


Waktu mula-mula belajar melukis potret, saya gemar melukis wajah Emylia isteri AC ni. Ada banyak lagi lukisan wajahnya yang saya lukis cuma tiga ni saja yang sempat saya abadikan di blog ni.

Thursday, August 27, 2009

Hubby Message


Thanks B, kerana memberi jambangan ni.

Friday, August 14, 2009

Jelita/Jelek?


Jelita dan menawan hati sesiapa saja yang melihatnya?