Perasaan terus jadi tak keruan sebaik mendapat tahu salah seorang anak saudara aku, Syada terperangkap oleh suasana banjir Kelantan. Tidak ada kata-kata yang terucap dari bibir saat mendapat tahu tentang itu.
Memikirkan tentang dirinya seorang remaja yang baru berusia 19 tahun... perempuan... jauh dan bersendirian menghadapi kesukaran yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Bagimanalah keadaan Syada agaknya... itulah yang terbayang dalam kotak fikirkan aku saat itu.
Namun syukurlah, Syada sudahpun selamat sampai ke pangkuan kami semalam.
Apapun banjir yang berlaku di Pantai Timur ketika ini, khususnya Kelantan sedikit sebanyak meninggalkan kesan dan kenangan juga pada seluruh keluarga aku. Terutamanya pada Syada pelajar tahun pertama di UMK, kampus Jeli Kelantan.
Walaupun kampus UMK, Jeli Kelantan tidak terlibat dengan banjir tetapi hubungan dengan tempat lain telah terputus dan bekalan makanan telah kehabisan. Bagaimana Syada menceritakan saat-saat cemas dan pengalaman menghadapi situasi yang menakutkan itu.
Menurut Syada tiga hari dia dan rakan-rakannya tinggal di kolej dan kehabisan makanan. Yang ada cuma sekeping biskut yang di kongsi dengan beberapa orang rakan untuk mengalas perut. Elektrik pulak terputus dan talipon kehabisan bateri. Mereka duduk bergelap dan berkumpul dalam satu bilik.
Selama tiga hari itulah kami semua di Kuala Lumpur tidak mendapat sebarang khabar dari Syada. Bayangkanlah bagaimana perasaan kami semua di KL. Sehinggalah pada petang Ahad lepas, Syada membuat panggilan dan memberitahu dia dan rakan-rakannya telah selamat sampai di Kuala Terengganu dan sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke KL.
Dari cerita Syada, (aku pun tak pernah lagi ke Jeli, lebih-lebih lagi kampus UMK) kerana kelaparan dia dan rakan-rakannya nekad keluar dari kolej dan meminta bantuan dari penduduk kampung. Adalah sorang penduduk kampung yang sanggup membantu dan menawarkan lorinya untuk membawa mereka ke tempat yang ingin mereka tuju.
Tetapi ketika dipertengahan jalan, pemandu lori tiba-tiba mengubah fikiran dan memberhentikan lorinya... dan meminta RM50 ringgit setiap sorang jika mahu di hantarkan ke tempat yang selamat.
Kata Syada... kerana tiada pilihan lain dia dan rakan-rakannya terpaksalah membayar harga tersebut dan minta di hantarkan ke tempat yang boleh mereka mendapatkan bantuan. Dari tempat tersebut Syada dan rakan-rakannya menaiki trak tentera dan di hantar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Bayangkan jauhnya dari Jeli ke Kuala Terengganu.
Cerita Syada lagi... ketika tiba di Kuala Terengganu semua mesin ATM tidak berfungsi. Aku pun belum sempat bertanya padanya dari mana dia dan rakan-rakannya mendapat duit untuk membeli tiket kapal terbang... dan sebelum dapat pulang ke Kuala Lumpur Syada dan rakan-rakannya terpaksa bermalam semalam di Kuala Terengganu kerana penerbangan dengan Air Asia ditangguhkan kerana cuaca buruk.
Tak tahu macam mana untuk menggambarkan perasaan kami saat menunggu kepulangan Syada di rumah kerana di waktu yang sama kita semua mendapat berita tentang kehilangan pesawat QZ8501 juga di sebabkan cuaca yang kurang baik di perairan Laut Jawa. Ini juga membuat kami semua risau memikirkan tentang keselamatannya.
Apapun kini kami semua sudah merasa lega... Syada dah selamat sampai di Kuala Lumpur pukul 1 pagi semalam. Kurang sihat dan demam. Mungkin trauma dengan suasana yang di laluinya. Dari kecil dia dibesarkan dan di sekolahkan dalam suasana selesa di KL. Tidak pernah menghadapi suasana banjir dan mencemaskan ini. Pengalaman yang di laluinya ini sedikit sebanyak memberi pengajaran padanya untuk mendepani hari-hari mendatang bila kami semua sudah tiada lagi nanti.
(
nota mak: Syada ni panggil aku mak jugak. Masa bayinya dulu, mak dia (adik aku yang no. 4) pernah tinggalkan Syada dengan aku. Teringat lagi dia menangis kepanasan dan aku kipas dengan tudung periuk kerana bekalan elektrik terputus pada hari itu. Tetiba tudung periuk tu ‘terkena’ kepalanya. Apa lagi melalak bagai nak rak satu rumah!
Ketika Lembah Klang menghadapi putus bekalan air pada tahun 1998, aku ingat lagi dia menangis nak makan nasi. Teringat lagi rintihannya, "dah berapa hari 'nye' tak makan nasi". (Syada membahasakan dirinya "nye" bila bercakap dengan kami). Waktu itu umur dia 3 tahun. Apa yang aku buat, aku bawak seperiuk kecil beras ke Sungai Kemensah Hulu Klang dan cuci beras tu di sungai kemudian bila sampai di rumah aku bilas semula dengan air mineral. Hari itu dapatlah dia makan nasi yang cuma berlaukkan telur dadar.)