Wednesday, July 24, 2013

Ramadan kali ini...

Puasa kali ini aku rasa lain sekali. Berbeza sangat dengan Ramadan tahun-tahun sebelum ini. Faktor usia agaknya. Dulu muda dan sihat. Tenaga masih kuat. Sekarang usia dah menjangkau 50an. Cepat sangat terasa letihnya dan lesu. Mengalahkan budak baru nak belajar puasa.

Selesai saja berbuka... masa tu datanglah letihnya dan mengantuk. Lutut pun 'ketaq' aih! Solat sunat tarawih 8 rakaat pun rasa tak terikut. Dalam sembahyang pun boleh nak tertidur. Sekarang ni letak saja kepala atas bantal terus lelap sampai ke pagi. Letak alarm tepi telinga pun belum tentu terjaga. Terukkan!

Beberapa hari lepas solat sunat tarawih di surau pejabat di imamkan oleh imam dari Mekah. Pengumuman mengatakan bermula dari malam tersebut sampai akhir Ramadan solat sunat tarawih akan dibuat 20 rakaat. Aku siang-siang dah 'surender'. Tapi tak jadi. Sekarang ni 8 rakaat pun aku rasa macam nak sembahyang duduk saja. Tapi malu pulak... macam dah tua sangat... tapi memang, dulu mudah je nak rukuk, sujud dan bangun. Sekarang ni terkial-kial. Lutut mak sakit la wei.

Tadi pergi periksa tekanan darah. Cantik sangat bacaannya... 103/85.


Thursday, July 18, 2013

Cerita pasta....

Conversation antara aku dan abang setelah dia tunjuk gambar ni. Dia sekarang 
berada di Rome... Waktu berpuasa di Rome kurang sejam dari UK.


Aku: Pasta Italy... mana lagi sedap... yang mak 
buat atau yang ori Italy ni?

Abang: Mak buat lagi sedap. Ni mahal je, tapi tak
berapa. Boleh laa asal kenyang.

(He..he.. kembangnya hati aku dipuji begini.)

Ole-ole dari Rome. Tapi belum sampai lagi 
ke tangan aku. Baru tengok gambar je.

Wednesday, July 17, 2013

Hari ini...

Buah tangan dari Felda Global Ventures Holdings 
Berhad (FGV) Beg purple tu pulak pemberian dari Kementerian 
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang 
menaja majlis berbuka kami di pejabat semalam. 

Hari yang kelapan kita berada di bulan Ramadan... bermakna akan lapan hari jugalah aku berbuka di tempat kerja. Beginilah rutin harianku setiap kali menjelang Ramadan. Sejak dari tahun 1995... sejak aku menyertai syarikat ini. Jarang aku dapat bersama dengan anak-anak di rumah. Berbuka puasa bersama-sama. Kalau ada pun cuma pada hujung minggu. Hari-hari lain mereka berbuka puasa di rumah kakak aku.

Bila aku balik mereka (abang dan Ojet) akan tanya dan antara pertanyaan mereka... “mak berbuka kat mana... mak makan apa... siapa yang sediakan tu semua.... mak beli ke? sedap ke?...

Aku akan jawab, ”mak berbuka kat tempat kerja... makan nasi je... ala nasi dengan ikan goreng dan sayur.... semua tu tempat kerja mak yang sediakan... percuma... ala biasa je... lagi sedap umi masak. (umi tu kakak aku tempat aku titipkan anak-anak bila aku keluar bekerja. Dialah yang mengasuk anak-anak aku selama ini. Anak-anak aku tu dah jadi macam anak dia.)

Setiap tahun itulah pertanyaan yang di ulang-ulang walaupun kedua-duanya dah dewasa sekarang. Dan jawapannya tetap sama... walaupun ada hari-harinya ada penaja dan majlis berbuka puasa di tempat kerja... dan menunya ‘grand-lah’ sikit... macam-macam ada. Ada kambing panggang, sate, nasi beriani dengan lauk-lauknya, kuih muih yang berbagai jenis, mee dan macam-macam lagi tapi aku tetap akan kata cuma makan nasi lauk ikan dan sayur juga. Dan setiap tahun dalam bulan Ramadan memang ada saja penaja dan buah tangan dari bank-bank atau syarikat-syarikat lain yang datang mengadakan majlis berbuka di tempat kerja aku.

Tak tergamak rasanya cakap tadi ada majlis berbuka di tempat kerja...  Dan menunya lebih dari biasa. Aku rasa macam tak tersuap makanan tu ke dalam mulut bila teringatkan anak-anak di rumah. Walaupun aku tahu kakak aku dah sediakan juadah berbuka untuk mereka di rumah... tapi entahlah... satu perasaan yang sukar aku jelaskan.

Lagipun bukan aku suka-suka nak berbuka di tempat kerja dengan kawan-kawan tapi dah tuntutan dan rutin kerja aku memang begini.Kalau aku balik pun kerumah tak sempat nak sampai di rumah sebelum maghrib. Tahu-tahu jelah keadaan trafik di Kuala Lumpur ni lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Jadi aku tak kuasa nak bersesak-sesak jika ada alternatif lain... berbuka saja di pejabat. Hubby pun sama. Dia juga berbuka di tempat kerja. Bidang kerja kami sama cuma lain syarikat saja. Anak-anakpun aku rasa dapat menerima situasi ni.

Meriah juga berbuka di tempat kerja. Makanan memang disediakan oleh majikan. Dan rasanya tahun ni lagi meriah. Dengan beberapa khemah yang telah dipasang dan dalam suasana di bangunan baru. Lepas berbuka kami semua akan solat berjemaah dan tarawih bersama-sama. Di bangunan baru ni ruang suraunya lebih besar berbanding dengan bangunan lama dulu. Alhamdulillah!

Wednesday, July 10, 2013

Hampir terlupa....

Dah beberapa minggu tak update blog... malas... lagipun badan tak berapa nak sihat... semput akibat jerebu yang melanda KL beberapa minggu sudah... Hari ni pun masih minum ubat batuk lagi... tapi lepas sahur subuh tadi. Aku puasa hari ni.

Subuh tadi pun nyaris-nyaris tak bangun sahur. Dah kunci jam pukul 4.30 pagi... tapi bila jam berdering-dering aku buat tak tahu saja sampailah aku terfikir kenapa jam berdering awal sangat... puas terkebil-kebil baru teringat hari ni start puasa. Apalagi bingkas aku bangun dan berkejar kedapur... alhamdulillah tengok nasi dah masak, air dan lauk dah ada.

Ojet yang siapkan... hmm Ojet dah balik pagi semalam. Dah start cuti semester. Tahun ni berpuasa dan berhari raya berdua dengan Ojet saja lah... Abang tak balik...

Sebut pasal abang mula hati aku sedih... macam manalah dia menjalani ibadah puasa di UK sana... lama pulak tu... abang cakap waktu berpuasa di UK... 19 jam... bermula dari jam 3 pagi sampai 10.00 malam dan ini pengalaman pertamanya... Harap-harap dia tak ‘terlupa’... risau jugak aku.

Friday, June 14, 2013

O dia dah 'nakal' sekarang ya!

Dulu masa kecik-kecik tak berani buat macam ni... dan 
aku memang tak benarkan pun... nanti jatuh sakit!

Menatap beberapa keping gambar terbaru dari abang buat aku tersenyum... Dia nampak nakal... happy... semakin pandai bergaya... dan handsome! Perbezaan yang ketara berbanding ketika aku menemuinya beberapa bulan lepas.

Beginilah rupanya perasaan emak ya, (merujuk pada diri aku sendiri) Apabila anak-anak dah dewasa mulalah berteka teki dengan diri sendiri. Setiap perubahan yang berlaku pada diri anak cuma pendamkan saja dalam hati. Tapi tak pa... aku akan ‘intai’ dia dari jauh!

Thursday, June 6, 2013

Abang kenapa tak tidur?...

Sudah menjadi kebiasaan, setiap pagi apabila sampai di tempat kerja aku akan on FB. Bukan berchating tapi nak tengok anak-anak, terutamanya abang. Kalau dia online aku akan tanya dia buat apa. Kenapa tak tidur... sebab kalau M'sia siang, bermakna UK malam.

Hari ni aku terpandang di wall FB si abang tertulis "Pushing myself to the limit. No sleep, no rest. I will 'destroy' this last paper. That's a promise to myself." Betul-betul buat aku risau. Dari pagi sampai petang (waktu M'sia, di UK malam) dia berjaga. Sehingga pukul 4 (waktu M'sia) petang tadi, bermakna pukul 8 pagi di UK dia masih study.

Bila aku tanya kenapa tak tidur? Masa exam ni tidur kena cukup. Aku takut dia pening ke, pengsan ke masa exam tu sebab tak cukup tidur. Abang kata dia ok. Menurut abang dia nekad nak dapat markah tinggi untuk paper hari ni. Aku tak boleh nak cakap apa dah. Apa yang mampu aku lakukan cuma berdoa saja.

Macamni lah hati emak, kalau anak tak belajar, leka dan tak serius dalam pengajian, risau, Tapi kalau anak terlalu sangat study sampai tak ingat makan minum dan abaikan kesihatan, berjaga sampai larut malam dan tak tidur pun risau juga.

Lepas maghrib tadi (aku pasti ketika aku solat tu abang tengah menjawab soalan di dewan peperiksaan) aku doa panjang-panjang buat abang agar dia tenang, sihat dan segalanya di permudahkan baginya... dan semoga dia mendapat markah yang tinggi seperti yang hajatinya. Menurut abang dua paper yang lepas aku tak ingat paper apa sebab masa abang call semalam sebutannya tak berapa clear, dia mendapat markah tinggi, 98 peratus. Syukur, alhamdulillah!

Sunday, June 2, 2013

Tentang mimpi... abang hilang!...

Beberapa malam lepas aku bermimpi. Aku mimpi abang hilang. Didalam mimpi itu dia telah dicuri dari aku oleh seseorang yang tidak dikenali.

Aku menangis, merayu dan berdoa supaya abang dikembalikan semula pada aku. Seingat aku dalam mimpi itu juga aku berkata "anakku, enginer tu kena curi!"

Sebaik terjaga aku termenung memikirkan maksud mimpi yang aku alami. Aku jadi tak tenang. Risau dan takut apa-apa terjadi pada abang. Lebih-lebih lagi dia berada jauh dari aku.

Sebenarnya ketakutan aku ini ada asasnya. Beberapa minggu sudah abang ada beritahu, bulan Julai ni dia nak ke Rom. Aku benarkan walaupun dalam hati ada sedikit risau... tapi takkanlah kerana itu aku nak melarang dan mengongkong pergerakkannya... lagipun dia dah dewasa.... cuma aku berpesan jaga diri dan berhati-hati.

Untuk meredakan kerisauan aku talipon dan beritahu adik tentang mimpi yang aku alami. Adik pulak turut sama risau.

Sekali lagi aku tegaskan, kerisauan kami berdasarkan pengalaman lalu. Suatu ketika dulu, waktu itu abang dalam pra-sekolah.... aku pernah mengalami mimpi yang serupa. Abang hilang.

Sehari lepas itu, kejadian seperti dalam mimpi itu benar-benar terjadi. Abang hilang ketika aku bawa dia berjalan-jalan di Taman tasik Titiwangsa. Dan kejadian yang berlaku benar-benar serupa seperti dalam mimpi aku. Itulah sebabnya aku fobia dan takut bila mengalami mimpi yang serupa. Lebih-lebih lagi kalau ianya bersangkut-paut dengan abang.

Tetapi dari sisi lain pula aku percaya dengan gerak hati dan naluri aku. Naluri sebagai seorang ibu yang punya anak bujang.

Mimpi aku kali ini membawa aku berfikir dan merasakan, "abang dah ada girlfrend kot!" Itulah maksud dia 'dicuri' dari aku.

Untuk mententeram perasaan dan menenangkan hati kami semua, adik menalipon abang dan cakap tentang mimpi aku itu pada dia.

Abang kata, belum confirm lagi nak pergi ke Rom tu. Kalau kami semua risau takpalah dia batalkan hajat nak berjalan tu.

Adik beritahu juga abang tentang firasat aku tentang mimpi tu....

Abang ketawa besar dan mengaku memang ada 'seseorang' yang cuba 'menjentik' hati dan mendekatinya. Tapi gadis itu bukan gadis Melayu.

Abang cakap tak perlu risaulah, dia belum lagi terfikir ke arah itu. Abang nak fokus pada study dulu!

Huh!..kan... perasaan, naluri dan gerak hati emak benar belaka. Apapun aku dah lega dan tak risau lagi memikirkan tentang mimpi aku. Doaku "semoga abang selamat di perantauan. Janganlah ada sesiapa yang cuba 'mencurinya' dari aku sebelum tiba masanya.