Dua bulan dari tarikh akhir entri blog ini di biarkan sepi. Sengaja aku biarkan... demi melapangkan masa dan waktu senggang untuk diri sendiri. Dan hari ini genablah sebulan duduk di rumah. Cuti bergaji sehingga akhir tahun ini. Selepas itu jadi surirumah sepenuh masa. Saat aku ditanya oleh Datuk KP ketika menghulurkan surat perletakkan jawatan sebulan yang lalu, aku tiada jawapan untuk kenapa aku ingin bersara awal. Apa yang aku nak buat selepas bersara pun... aku tak tahu.
Semuanya kerana janji. Janji pada diri sendiri. Sebaik saja anak-anak menghabiskan pengajian di universiti dan bekerja aku mahu bersara. Rasanya sudah terlalu penat bekerja. Berulang alik ke pejabat lima hari seminggu. Meredah kesesakkan jalan raya pergi dan balik kerja saban waktu.
Kalau fikirkan sayang, memang sayang nak lepaskan kerja yang aku buat sekarang. Aku suka kerja tu. Apalagi bila fikirkan duit gaji yang aku dapat setiap bulan. Aku akan hilang sumber pendapatan tetap. Lebih-lebihlah dalam keadaan ekonomi sekarang. Dengan kos sara hidup yang melambung tinggi.
Tapi apabila di fikirkan semula,.. sampai bila? Fikirkan duit.., sampai bila pun tak pernah cukup. Banyak manapun dihimpun, akhirnya akan 'ditinggalkan' jugak. Kalau umur aku ini masih ada berbaki 5 ke 6 tahun lagi, biarlah ia di isi dan dipenuhkan dengan amalan-amalan yang akan di bawa ke akhirat pulak. Tetapi kalau boleh aku ingin hidup lebih lama lagi. Moga Allah memberikan aku umur yang panjang dengan kesihatan yang baik! Amin! Mudah-mudahan Allah merestui niat aku ini.