Beberapa malam lepas aku bermimpi. Aku mimpi abang hilang. Didalam mimpi itu dia telah dicuri dari aku oleh seseorang yang tidak dikenali.
Aku menangis, merayu dan berdoa supaya abang dikembalikan semula pada aku. Seingat aku dalam mimpi itu juga aku berkata "anakku,
enginer tu kena curi!"
Sebaik terjaga aku termenung memikirkan maksud mimpi yang aku alami. Aku jadi tak tenang. Risau dan takut apa-apa terjadi pada abang. Lebih-lebih lagi dia berada jauh dari aku.
Sebenarnya ketakutan aku ini ada asasnya. Beberapa minggu sudah abang ada beritahu, bulan Julai ni dia nak ke Rom. Aku benarkan walaupun dalam hati ada sedikit risau... tapi takkanlah kerana itu aku nak melarang dan mengongkong pergerakkannya... lagipun dia dah dewasa.... cuma aku berpesan jaga diri dan berhati-hati.
Untuk meredakan kerisauan aku talipon dan beritahu adik tentang mimpi yang aku alami. Adik pulak turut sama risau.
Sekali lagi aku tegaskan, kerisauan kami berdasarkan pengalaman lalu. Suatu ketika dulu, waktu itu abang dalam pra-sekolah.... aku pernah mengalami mimpi yang serupa. Abang hilang.
Sehari lepas itu, kejadian seperti dalam mimpi itu benar-benar terjadi. Abang hilang ketika aku bawa dia berjalan-jalan di Taman tasik Titiwangsa. Dan kejadian yang berlaku benar-benar serupa seperti dalam mimpi aku. Itulah sebabnya aku fobia dan takut bila mengalami mimpi yang serupa. Lebih-lebih lagi kalau ianya bersangkut-paut dengan abang.
Tetapi dari sisi lain pula aku percaya dengan gerak hati dan naluri aku. Naluri sebagai seorang ibu yang punya anak bujang.
Mimpi aku kali ini membawa aku berfikir dan merasakan, "abang dah ada
girlfrend kot!" Itulah maksud dia 'dicuri' dari aku.
Untuk mententeram perasaan dan menenangkan hati kami semua, adik menalipon abang dan cakap tentang mimpi aku itu pada dia.
Abang kata, belum
confirm lagi nak pergi ke Rom tu. Kalau kami semua risau takpalah dia batalkan hajat nak berjalan tu.
Adik beritahu juga abang tentang firasat aku tentang mimpi tu....
Abang ketawa besar dan mengaku memang ada 'seseorang' yang cuba 'menjentik' hati dan mendekatinya. Tapi gadis itu bukan gadis Melayu.
Abang cakap tak perlu risaulah, dia belum lagi terfikir ke arah itu. Abang nak fokus pada
study dulu!
Huh!..kan... perasaan, naluri dan gerak hati emak benar belaka. Apapun aku dah lega dan tak risau lagi memikirkan tentang mimpi aku. Doaku "semoga abang selamat di perantauan. Janganlah ada sesiapa yang cuba 'mencurinya' dari aku sebelum tiba masanya.