Sunday, December 30, 2012

Bukannya berdiet...

 Petang tadi sempat buat bun kentang untuk makan 
malam. 500 gm tepung dapatlah 16 biji.

... demi kesihatan...  sejak akhir-akhir aku lebih banyak makan sayur-sayur yang direbus sahaja, susu, bijirin, biskut dan roti. Nasi memang dijauhkan sama sekali... Mulanya memang susah juga nak lupakan nasi... sebab nasi itulah yang membesarkan aku. Satu hari kalau tak makan nasi badan rasa lembik dan menggigil... tapi lama kelamaan aku dah boleh membiasakan diri tanpa nasi...

Sejak tak makan nasi ni badan rasa ringan dan kurang mengantuk. Tapi yang paling penting aku tak sakit kepala... Aku kalau di serang sakit kepala mahunya berminggu-minggu baru hilang sakitnya. Makanlah ubat atau pil penahan sakit apapun sakitnya tetap tak hilang. Dan aku memang perasan sangat setiap kali selepas makan nasi beberapa jam selepas itu sakit kepala akan menyerang.

Beberapa minggu sudah waktu buat medical check-up, aku beritahu masalah yang aku alami ini pada doktor. Nasihatnya jauhkan juga memakan makanan yang berlemak dan makanan yang bergoreng... sebab hasil pemeriksaan... menurutnya, kandungan kolesterol dalam badanku agak tinggi... tapi itu belum muktamad lagi. Doktor akan buat sekali lagi ujian pada temujanji yang akan datang. Ingatkan orang gemuk saja banyak kolesterol...

Friday, December 28, 2012

Dua masalah...

Tak tahu nak cakap macam mana... nak menangis, airmata tak mahu menitik... sebak rasa dada ni... hati pun ikut sama runsing... (macam berat je bunyi masalahnya...)

Kereta buat hal lagi... pagi tadi pergi pusat service... tengah-tengah memandu on the way to pusat service... lampu gear D berkelip-kelip (pernah jadi sekali dulu). Aku stop kejap tepi highway, matikan enjin dan start balik... ok boleh jalan tapi pergerakkannya tak lancar... ada macam jerking... Hati risau dan berdebar-debar takut tak sempat sampai ke pusat service. Alhamdulillah sempat dan selamat sampai... tengok berderet kereta menunggu giliran...

Lebih kurang 2 jam menunggu kerani kaunter pusat service panggil.... dia kata problem gear... tak boleh baiki... alternativenya.... tukar gear box baru.... harganya... kalau ambik alat ganti tulin RM20,000... kalau di kedai-kedai biasa antara RM15,000 - 16,000... waaaaaa! aku nak menjerit tak ada suara... nak menangis tiada airmata... apa pilihan yang aku ada?...

Dengan rasa sebaknya aku bawak balik kereta... singgah kat office kejap (hari ni tak kerja - cuti sampai tahun baru)... cerita dengan kawan-kawan... macam-macamlah fedback yang aku dapat... antaranya:

1. Cuba pergi workshop lain dulu... tengok dan pastikan betul yang gear boxnya rosak.
2. Check warranty, mana tahu masih dalam warranty.
3. Yang ni ramai yang syorkan, Tukar je Yang Baru...tak pa rugi 2/3 ribu dari berbelanja sampai RM15,000 - 20,000... oh tidak!

Aku talipon pusat service yang aku pergi masa kereta breakdown hari tu... dan ceritakan masalahnya... hmmm penerangan yang diberikan buat aku tenang sikit... dia minta aku bawa balik kereta tu ke tempat mereka dan check balik. Menurutnya:

1. Mungkin sensor gearnya tak di setting dengan betul.
2. Mungkin minyak gearnya tidak pernah ditukar.
3. Mungkin spark plugnya perlu ditukar.

Ada rasa lega sikit bila dengar penjelasan si penjawab panggilan tu tadi... dan aku janji akan datang minggu depan... Harap-harap bukan gear boxnya yang problem... mana aku nak cekau duit sebanyak itu... dahlah semalam dapat surat saman Hadlaju dari JPJ.

Mengadu dengan hubby, apa dia cakap.."memandu laju lagi..."

Monday, December 24, 2012

"Cukup sekali ini saja..."

...4 hari 3 malam di Jakarta dan Bandung aku rasa sudah cukup... Cukup memenatkan, merimaskan.. melemaskan dan mentensionkan... sudahlah jalannya sesak dari terbitnya matahari hinggalah ke tengah malam... kemana saja kita melangkah kita sentiasa diekori dan dikerumuni penjual barang-barang souviner, pengemis dan pemuzik jalanan. Malah peminta derma untuk mendirikan rumah-rumah kebajikan. Itu belum lagi penyeluk saku yang terdiri dari kalangan gadis-gadis bertudung yang kita sangka adalah peniaga.

Di hotel penginapan, pagi-pagi lagi mereka sudah menunggu. Menawarkan barang-barang jualan mereka, kalaupun kita kata tak mahu mereka tetap menyogok dan menawarkan barangan mereka. Cara mereka memperdagangkan jualan mereka itu yang membuat aku lemas... nak kata murah pun tidak juga... rata-rata kesemua mereka sudah tahu nilai ringgit Malaysia... Jadi untuk mendapatkan satu-satu barang agak payah juga untuk menawar harga.

Di Pasar Baru tempat tumpuan rakyat Malaysia berbelanja juga sama. Kalau mereka kata harga 'pas' bermakna tidak boleh di tawar. Seorang penduduk tempatan memberitahu, mereka menganggap rakyat Malaysia yang berkunjung ke Bandung adalah orang kaya...

 Pemuzik jalanan yang naik ke atas bas pelancong...
sekadar boleh menyanyi saja... kemudian dia akan buka topinya
dan mohon penumpang bas bagi berapa saja. Tapi ketika
di Pasar Baru aku beri beberapa syiling perak mereka
pulangkan balik, memilih... nak duit kertas saja..

Meredah kesesakan di kota Bandung memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Jalan sesak, sesesak-sesaknya... Ianya lebih teruk lagi dari kesesakan yang biasa kita lihat di Kuala Lumpur.  Untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat mengambil masa yang agak lama. Cuma satu perkara yang patut di puji, rata-rata pemandu-pemandu kenderaan di sana amat sabar dan bertolak ansur antara satu sama lain. 

Setiap kali berhenti di traffic light, kita akan nampak pengemis-pengemis kudung yang memohon simpati . Tapi menurut pemandu bas, bukan semuanya itu betul-betul kudung... mereka itu sanggup melipat anggota badan mereka semata-mata untuk meraih simpati.

Banjir ketika turun dari Tangkuban Perahu. Aku tak tahu 
nama tempat ni... tapi lama juga tersekat di kawasan ni... 

Kawah gunung berapi yang masih 'hidup' tapi sedang
'tidur' di Tangkuban Perahu.

Terus terang, aku memang tidak berapa selesa sepanjang berada di Bandung... Sudahlah cuaca tidak begitu baik, dari hari aku sampai hinggalah aku bertolak kembali semula ke Jakarta, hujan turun tak berhenti-henti... Dan menurut rakan sepejabat... harus berhati-hati bila keadaan cuaca begitu kerana tidak mustahil kemungkinan berlakunya gempa...huh!

Dah... cukuplah sekali ini saja aku ke Bandung... Padaku tiada apa yang menarik di sana... Lagipun aku bukan seorang yang suka berbelanja... Ketika di sana aku sekadar membeli dua pasang kain sulam untuk baju kurung buat si Ojet, telekung dan satu beg tangan... sehelai pario dan sedikit buah tangan untuk kawan-kawan sepejabat. Percaya atau tidak aku cuma bawa duit cash RM280 untuk semua barang tu...

Thursday, December 20, 2012

Tak boleh bawa ke Paris....


LV from Bandung.

Lama sebenarnya ingin memiliki beg ni... Tapi manalah mampu kan... ribu-ribu mergastua harganya... Sehari sebelum ke Jakarta dan Bandung hari tu, aku ada temujanji dengan doktor Sharifah Sakinah di hospital Ampang Putri. Aku beritahu dia aku nak ke Jakarta. Dia cakap... kalau pergi sana belilah handbag... murah dan kalau pandai pilih dapat yang cantik-cantik...

Dan masa singgah di Pasar Baru... tup-tup aku terjumpa beg ni... ‘ribu-ribu’ juga harganya... nak tahu berapa... Rp350.000... pegang... belek... berkenan... bayar.... tapi bukan original from Paris... ini gred A dari Korea... walaupun penjual tu kata ori... memanglah ada bau-bau kulit sikit... ok laaa... untuk melaram sekali sekala...

Sekali pandang siapa sangka kan... kena pulak dengan gayanya, sah-sah orang ingat beli kat butik di KLCC. Tapi kawan satu pejabat cakap... aku tak boleh bawa beg ni travel ke Paris... di airport je diorang dah tahan.... samada aku tak dibenarkan masuk atau aku terpaksa tinggalkan beg ni di airport... kastam mereka dapat detect beg ni bukan LV made in Paris... huh!

Tuesday, December 18, 2012

Biarlah gambar saja yang bercerita...

Sarapan pagi dalam Garuda Airlines.

Cantik! macam kapas... jom main lompat-lompat 
atas gumpalan-gumpalan awan tu... kalaulah boleh...

Lumba.. siapa lebih laju... Tu... nampak tak 
ada kapal terbang di hujung tu....

Arrival - departure declaration. 

 Selamat mendarat di lapangan terbang
Sukarno Hatta, Jakarta di awal pagi.

 Tol..

 Beginilah keadaan lebuhraya sepanjang perjalanan 
dari Jakarta ke Bandung. Tengok nama tempat
kat papan tanda tu...

 Didalam Garuda Airlines dalam perjalanan balik ke M'sia.

Senja di udara.... Ni dalam perjalanan balik... waktu 
Jakarta kurang sejam dari Malaysia.

KLIA 8.00 pagi... tunggu!...  Januari ni aku akan 
naik MAS tu...

Tuesday, December 4, 2012

Lusa nak 'fly' ke Jakarta...

 Ini saja yang sempat untuk tengah hari ini. Nasi
goreng pedas dan nescafe. Sejak lepas demam ni belum
ada selera untuk makan.

Demam dah ok... tapi batuk masih lagi.. Seminggu ni aku cuti... Apapun cuti tahun masih berbaki banyak lagi... Aku cadang nak mengemaskan rumah... dan buat tart shell untuk stock. Dan esok pulak ada temu janji dengan doctor di KPJ Ampang Putri. So malam ni kena puasa sebab besok nak buat medical check-up.

...dan lusa nak terbang ke Jakarta. Ikutkan hati aku memang tak nak pergi tapi adik mengajak... dia mintak sangat-sangat aku temankan dia... Alasanku pasport dah 'mati'... dia bagi duit suruh 'hidup'kan balik... Tambang juga... dengan rasa berat hati aku ikut... sebab hatiku sudah melayang ke UK. Aku rindukan Abang! Ojet juga! Tak puas tengok gambar, berchating di FB dan bertalipon...

Jadi sebelum berangkat... aku nak pastikan rumah sudah dibersihkan dan kemas. Aku tak suka meninggalkan rumah dalam keadaan berselerak... Stock tart shell juga sudah siap banyak sebab balik dari Jakarta nanti order sudah menunggu... Horey!

Thursday, November 29, 2012

Kek Oren...


Akhirnya terpaksa mengalah... Hendak tak hendak aku bawa juga diri ke klinik... Makan juga ubat yang doktor beri... Semalam cuti satu hari... Tapi bukan cuti yang doktor beri, cuti yang memang aku apply sebab aku ada 'projek' yang nak dibuat. Kawan sepejabat minta tolong buatkan kek oren dan blueberry cheesetart.

Tuesday, November 27, 2012

Demam...

Dah lima hari... Asyik bersin-bersin saja... Dada rasa panas dan pedih. .. Tekak perit... batuk sampai rasa macam nak terkencing... Tapi aku tak pergi klinik... ambil panadol saja... dan pergi juga kerja... Bila malam dan sendirian mulalah rasa sedih dan hiba di bilik. Kadang-kadang sampai pagi tak boleh tidur. Fikiran melayang jauh-jauh... jauh... dan jauh... dan dah dua malam aku mengalami sintom tak boleh tidur ni.

Dalam tak sihat tu sempat juga aku buat cheesetart 
sebab order ni dah dibuat dua minggu sudah.

Friday, November 23, 2012

Kenapa mereka lupa...!

Tak pernah rasa begini... Menunggu dan mengharap panggilan dari anak-anak.... Tiap detik aku mengira... Tiap saat menggelisahkan... Perasaan amat berat dan melemaskan... Hati terasa kosong...

Kenapa mereka lupa... Sibuk sangat ke... Hubby juga... senyap dan sunyi... Mereka semua dah lupakan aku... Tidak ingat hari ini hari apa... tarikh ini juga...

Senja baru Ojet talipon... Katanya kuliah dari pagi sampai petang... Ada latihan kawad lagi... Tak ada masa nak mencelah... Makan pun tak sempat..."Ong ingatlah!... Menurut Ojet ada sesuatu dia dah email kan pada aku... Oooo,... aku terlupa nak buka email hari ni... patutlah...

Kemudian abang pulak talipon...

"Dah malam baru ingat..."

"Eh! di UK sekarang baru siang..."

Oh! ha..ha...ha.. mak lupa..."


La..la..la.. sekarang aku sudah boleh senyum! Dan duduk di sofa senyap-senyap sambil tengok tv... dengan segelas air sejuk... sebiji blueberry cheesetart... dan sebuah novel... sebab today is my birthday!

Friday, November 16, 2012

Merlin, siri kegemaran kami...


Aku menonton Merlin dalam slot Mega Movie di tv. Sendirian. Dulu Merlin ini merupakan cerita bersiri yang ditayangkan setiap hari Ahad malam Isnin. Dan menjadi siri kegemaran kami anak beranak. Kami semua ada sebab sendiri kenapa sukakan siri ini. Tak kira apa pun sebabnya yang pasti setiap hari Ahad kami sekeluarga akan berkumpul dan menontonnya bersama-sama.

Kalau ada hal atau urusan diluar pada hari itu, seboleh-bolehnya kami cepat-cepat ingin selesaikan dan segera sampai kerumah. Sebelum cerita bermula semua dah siap sedia depan tv dengan 'bekal' masing-masing. Tapi semuanya dah tinggal kenangan. Terasa sangat kekurangan dan macam tak seronok bila menontonnya sorang-sorang.

Opps.. maaf aku terlepas cakap...!

Catatan di blog ini khas buat anak-anakku sebagai satu kenang-kenangan selama membesarkan mereka. Aku letak titlenya Sweet Memory. Dan juga tag linenya Satu Catatan Diari Kehidupan Seorang Emak. Itu saja sudah menggambarkan tentulah aku nak tulis yang manis-manis dan indah-indah saja. Kisahnya tentang anak-anak aku.

Aku bangga dan bersyukur diberi peluang dan kesempatan oleh Allah untuk menjadi seorang emak. Aku berdoa semoga aku dikurniakan sepasang cahayamata seperti yang aku idamkan. Aku bermohon kepada-NYA agar aku diberikan anak-anak yang bijak dan pintar. Alhamdulillah! doaku di makbulkan. Dan untuk menzahirkan rasa bahagia itu aku catatkan di sini.

Aku bahagia dengan kehidupan aku sebagai seorang emak dan bangga dengan pencapaian anak-anakku lalu aku ‘bercerita’ disini. Salahkah? Aku tidak ingin jadikan blog aku ini tempat mencaci, mengumpat dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.

Hanya kerana aku bercerita tentang anak-anak ada sorang hamba Allah ni mula mengata. Yang paling menjadi sasarannya abang.

Ada sahaja yang tidak kena dengan abang dari pandangan matanya. Dari rupa paras dan fizikal hingga tergamak mengata anakku macam pondan. Cara abang berpakaian tak class. Gaya macam orang tua hinggalah kepada hobi abang yang suka membaca. Ada saja yang salah di matanya. Anaknya tak jadi ulat buku pun dapat strait A juga. Eh! suka hati masing-masinglah. Nak jadi ulat buku ke tidak.

Aku tahu puncanya cemburu. Aku pasti itu. Kalau nak dibandingkan dengan anaknya, anakku abang tinggi orangnya dan ada body kalau nak dibandingkan dengan anaknya yang kurus melidi dan melengkung. Rendah dan jongang. Bercermin mata tebal lansung tak handsome. Opssss!

Pakaian tak berjenama dan tak mahal. Si abang tak kisah benda tu semua. Dia amat memahami tentang kemampuan aku. Tak branded tak apa, asalkan selesa itu adalah keutamaannya. Apapun si dia tu memang tak berani nak sentuh tentang pencapaian akademik anak-anakku. Walaupun ada juga cuit-cuit sikit tapi tak berani terang-terangan.

Sebaik saja abang dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, semakin menjadi-jadilah makhluk tu mengata. Kononnya tajaan Mara tak bagus. Lagipun kalau nak dapat tajaan Mara pada dia senang sebab ada kenal orang dalam. Tapi anaknya tak nak. Aik tetiba je tak nak. Betul ke tak nak? Setelah gagal dalam temuduga baru kata tak nak. Tapi akhirnya aku dapat tahu juga dalam diam-diam si dia tu pergi juga buat rayuan...Tapi kalau dah tak layak tu, tetap tak layak. Aku dapat tahu masa pergi interview, anaknya tak bercakap apa. Senyap sebab English tak fluent. Lagipun seorang yang penakut. Pernah masa bersekolah dulu anaknya nak tukar subject tapi tak berani nak jumpa cikgu yang berkenaan. Anaknya talipon minta dia sendiri pergi tolong cakapkan dekat cikgu.

Selama ini aku diamkan saja. Biarlah apa orang nak kata. Tapi lama-kelamaan kesabaran ku tercabar juga. Sebagai seorang emak malah emak-emak yang lain juga pasti berasa hati bila orang mengata anak-anak mereka.  Dan hari ini aku ‘terpaksa’  luahkannya di sini. Dan ada banyak lagi kata-kata yang menyakitkan telinga dan hati yang tiba dari keliling-keliling aku. Mereka kata si Ojet tu macam orang dah berumur 20 tahun. Ha.. betullah... Memang umur Ojet 20 tahun. Tak tahulah apa maksudnya. Tunggulah sikit hari lagi, tahulah apa bendanya tu. Peliklah manusia ni. Ada saja yang tak kena di mata mereka. Tak paham betul.


Tadi ada sorang lagi tetiba je cakap, “ramailah orang yang anak mereka belajar di luar negara...” Eh! tak pasal-pasal. Betullah tu, habis anak you.... Opsss, maaf aku terlepas cakap. Dah dua orang anak awak ambil peperiksaan besar, tapi bila tiba hari keputusan, senyap dan sunyi. Soriiiii!

Tuesday, November 13, 2012

Rajin sikit....

Tak hujan hari ni. Cuaca redup dan nyaman. Adalah peluang mengemaskan kawasan luar rumah. Aku tengok pasu-pasu bunga penuh dengan rumput-rumput yang tumbuh meliar. Sekali pandang dah macam rumah tinggal. Dari sehari ke sehari nak buat tapi tak jadi-jadi jugak. Asyik bertangguh. Hari ini kata esok. Esok kata lusa. Lusa kata minggu depan. Hai! Petang tadi, aku tengok cuaca cantik aku gagahkan diri. Kalau asyik bertangguh sampai bila-bila pun macam tu jugaklah.

 Lusa sempena cuti Awal Muharram, sambung lagi. Ada banyak lagi yang perlu dibuat. Semakin usia meningkat, semakin malas pulak.

Tengok tu, pokok melur tumbuh merimbun. Sekali mengeluarkan 
bunga baunya menerjah sampai kedalam rumah. Dulu di tepi pagar kayu ni
 aku tanam heliconia dan tempat burung-burung kecil bermain 
dan rama-rama berterbangan.

Monday, November 5, 2012

My First RVC permintaan Ojet...

Red Velvet pertama ku.

Dah lama bertangguh nak buat kek ni. Bahan-bahan dah ada cuma masa tak mengizinkan. Masa tu seperti datang dan berlalu begitu cepat.

Semalam lepas balik dari jemputan kenduri seorang sahabat lama, aku bergegas ke dapur mengadun dan melepa kek ni. Aku buat ni pun atas permintaan Ojet yang dah lama juga teringin nak makan kek ni. Dan ini juga merupakan red velvetku yang pertama. Tapi aku belum sempat menjamahnya lagi macam mana rasanya. Cuma Ojet sorang saja yang makan. Katanya sedap. Kemudian tu aku potongkan sikit untuk dia bawa balik ke Arau semalam dengan keretapi pukul 9.30 malam tadi...

Juga aku bekalkan nasi goreng untuk Ojet makan 
dalam perjalanan.

...dan aku kembali keseorangan di rumah. Dua bulan sudah ketika anak-anak berangkat meninggalkan aku, seorang kawan lama berkata, "Anak-anak ini ibarat tetamu dalam hidup kita... dia datang dan pergi. Sampai masanya mereka akan punyai kehidupan sendiri...dan hidup kita berakhir sendirian juga..." Setiap kali aku baca nota ini airmata aku bergenang. Entahlah!

Wednesday, October 31, 2012

Top 10 Best Speaker in Manchester...

Header lama

Pernah seorang folower aku tanya, kenapa aku asyik cerita pasal abang saja. Yang lain-lain tu (empat girls kat header blog aku tu) macam mana. Mereka tak jealous ke? Part jealous tu memang aku tak boleh jawab. Kena tanya girls tu. Lebih-lebih lagi Ojet. Yang tiga lagi tu anak saudara. Apapun aku pasti mereka tahu kenapa aku asyik cerita pasal abang mereka.

Aku banyak bercerita pasal abang sebab dia suka buat surprise. Seorang yang bercita-cita tinggi, yakin dengan kebolehan diri dan sentiasa mahu grand (meminjam kata-kata abang, he..he..he). Dalam kehidupannya sehari-hari ada saja perkara-perkara baru yang dilakukannya. Kadang-kadang tu pada perkara-perkara yang tidak aku jangkakan. 


Abang bersama team Sheffield di Manchester.

Semalam, dia postkan di akaun facebooknya "I'm listed as the Top 10 Best Speaker in Manchester...." dari 112 orang yang bertanding. Wow! pada aku hebatlah tu sebab abang baru dua bulan belajar di universiti Sheffield. Masa malam raya hari tu abang ada call dan beritahu dia akan menyertai debate universiti di Manchester. Dan dia antara wakil universiti Sheffield ke pertandingan itu. Sejak dari zaman persekolahan debate memang aktiviti kegemarannya. Menurut abang hanya dia satu-satunya pelajar Melayu dalam pertandingan itu.

Selepas ini abang dan teamnya akan ke Cardiff pulak. Mereka akan tour seluruh England untuk debate dan juga bakal ke German juga for debate tidak lama lagi.

Begitulah kalau hatinya suka dan moodnya tip top dia akan memberikan yang terbaik walau dalam apa perkara pun.

(Nota mak: Abang! debate ok, tapi study jangan lupa. Mak nak study pun grand juga.)

Sunday, October 28, 2012

Tak Tahu Nak Buat apa..

Gelab di luar rumah. Tanda-tanda hujan akan turun. Buntu tak tahu nak buat apa. Nak beraktiviti di luar rumah cuaca pulak mendung.

 Orkid yang aku tanam dah mula berbunga.

Pagi tadi jiran sebelah hulurkan sebungkus daging korban. Sejak tinggal di kawasan perumahan ini aku tak pernah dapat daging korban. Ini pertama kali. Dah cuci dan bersihkan aku simpan dalam peti ais. Tak tahulah nak masak apa. Banyak juga. Terima kasih!

Seminggu ni aku ada teman di rumah, Ojet. Dapatlah borak-borak walaupun dia nampaknya sibuk menyiapkan assigmentnya.

Ni salah satu buku yang abang minta aku postkan pada dia.

Dua hari lepas kami sempat skye dengan abang. Dan abang minta aku postkan beberapa buah bukunya ke UK. Dia dah pilih beberapa tajuk. Nilah aku tengah berkira-kira macam mana nak bungkus buku-buku ni. Ada empat buah semuanya. Tebal-tebal pulak tu. Entah berapa ringgitlah pulak kena stemnya ni. Haii!

Friday, October 26, 2012

Kari Daging Rempah Ikan...

Salam dan Selamat Hari Raya Aidiladha! Aku sedikit sedih. Rumah macam sepi, sunyi dan lengang. Untuk kali pertamanya aku berasa abang berada sangat jauh dari aku. Memang jauh pun.

Ketika memasak untuk juadah raya, ingatan sentiasa pada dia. Dia gemar makan dan suka memuji kalau apa yang aku masak tu sedap. Pernah dia talipon ketika sedang makan pie. Penuh je kedengaran mulutnya mengunyah. Aku tanya makan apa dan sedap ke? Abang kata makan pie. "Pie yang selalu mak buat tu tapi  rasanya tak sesedap yang mak buat". Bila dipuji begitu rasa kembang je diri ini. 

Untuk raya korban kali ni aku sekadar memasak pulut, rendang ayam, roti jala dan kari daging. Tak ada yang istimewa pun. Cuma ketika nak masak kari daging untuk dimakan dengan roti jala tu aku teringat kisah masa bulan puasa lepas. 

Roti Jala dan kari daging. Antara menu raya hari ini.

Kisahnya, aku nak buat kari daging, tapi rempah kari daging tak ada di rumah yang ada cuma rempah kari ikan. Si abang pun cadangkan masak je kari daging tu dengan rempah kari ikan. Ok, sedap!

Tadi bila nak masak kari daging aku gunakan rempah kari ikan. Tak ada sesiapa pun yang komplen, Kakak dan adiku kata sedap.

Friday, October 19, 2012

Puding favorite anak-anak....

 Ini puding favorite anak-anak, Puding Cinta aka Puding Karamel.

Puding Roti Karamel yang pecah. Silap sendiri, 
aku terbalikkan masa masih panas. Untuk mencantikkannya 
semula aku hias dengan potongan buah peach. 

...dan seminggu lagi Raya Korban. Dalam fikiran mula berkira-kira nak masa apa. Menunya dah tentulah yang menjadi kesukaan anak-anak. Tapi raya korban kali ni hanya Ojet saja yang balik. Abang tak mungkinlah balik sebab dia baru saja sebulan di UK, jadi aku kena fikirkan yang menjadi kesukaan Ojet.

Tuesday, October 16, 2012

Demi Anak-anak...


Tidak tahu apa yang mendorong aku hari ini, tiba-tiba buat keputusan untuk ambik dua polisi insurans. Setelah menyaksikan seorang rakan pejabat menerima sejumlah pampasan yang di ambil untuk isterinya yang ketika ini sedang menerima rawatan kanser.

Menyaksikan itu, aku terus terkenangkan anak-anak terutamanya Ojet yang ketika ini sedang menuntut di universiti tanpa tajaan atau biasiswa. Andai kata aku pergi dulu atau hilang upaya untuk bekerja dalam waktu Ojet masih belajar, bagaimana nanti. Aku tidak mahu pengajiannya tergendala di tengah jalan. Doaku padaNya, janganlah itu terjadi. “Lanjutkanlah usiaku, sihatkan tubuh badanku, aku ingin menyaksikan kejayaan anak-anak!.... Aminnnn!”


Sebelum ini pandangan aku terhadap polisi insurans agak ‘teruk’ dan berbagai. Agak negatif! Kenapa nak ambil polisi insurans sedangkan kita boleh menyimpan setiap bulan. Jika ada ejen insurans yang datang cepat-cepat aku kata 'tidak". Curiga dan fobia seolah-olah mengharapkan sesuatu yang buruk berlaku. Oh! minta dijauhkan semua itu.

Tapi keputusan hari ini bukanlah bermakna semua yang aku fikirkan selama ini tentang polisi insurans sudah positif. Tidak! Aku lakukan demi anak-anak! Ya, demi anak-anak!

Friday, October 12, 2012

Kenapa nak belajar di luar negara?...


Bagi lepasan SPM, mendapat peluang dan tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah satu bonus selepas berhempas pulas mengulangkaji pelajaran dan tanpa jemu untuk mencapai strait A’s.

Itu jawapannya bila di tanya kenapa memilih universiti luar negara. Tidak dapat dipastikan sejak bila dia menyimpan hasrat itu. Siapa yang mendorongnya kearah itu juga tidak aku ketahui. Yang aku tahu, sebaik saja dia mendapat 8A dalam PMR, dia berharap akan mendapat tempat di mana-mana MRSM. Katanya, hanya di MRSM saja impiannya untuk keluar negara bakal terlaksana. Tidak pulak aku tanya, kenapa dan bagaimana.

Apabila nama-nama pelajar yang ditawarkan ke MRSM di umumkan, namanya tidak tersenarai. Dia kecewa. Ejekan dari kawan-kawan menambahkan lagi kecewanya dia. Melihat dia kecewa aku juga turut kecewa, bagaimana aku terpaksa menghadapi situasi itu, dimana dia menangis dan memaksa aku memindahkannya ke sekolah lain. Apa yang dapat aku katakan padanya saat itu, "sabar! Sedangkan aku sendiri tidak tahu bagaimana aku mahu melakukannya untuk memenuhi impian dan cita-citanya.

Tika itu aku runsing dan susah hati dengan apa yang dilaluinya. Aku takut dia patah semangat dan hilang keyakinan diri. Apa yang mampu aku lakukan saat itu hanyalah berdoa agar ketika pengambilan kedua dijalankan, namanya akan tersenarai.

Syukur! untuk sesi pengambilan kedua pelajar ke asrama namanya terpilih masuk ke salah sebuah sekolah SBP (link).  Pada hal dia tidak pun mengisi borang untuk ke SBP. Dia kembali bersemangat dan berazam untuk melakukan yang terbaik. Alhamdulillah, dia berjaya..

Sebaik saja keputusan SPM (link) diumumkan, cita-cita untuk 'fly' tu kian bersemarak. Terkenang bagaimana kami sama-sama mengisi borang permohonan secara on line itu di pejabat aku. Kami berteka-teki, MARA ke JPA. Akhirnya kami sama-sama sepakat memilih JPA. Sebab frust tak dapat MRSM. Adalah alasannya di situ. He..he.. karut!

Tidak tahu bagaimana perasaan dia menunggu jawapan permohonan itu, tapi yang pasti aku paling berdebar. Pada hari pengumuman itu dibuka, aku lah yang paling exited sangat...dan dia terpilih untuk jalani sesi temuduga di PICC Putrajaya. Kerana terlalu gembira aku sanggup meredah kesibukkan waktu lunch untuk balik kerumah semata-mata nak beritahu dia tentang berita itu. Padahal boleh talipon saja.

Ya, kalau difikir-fikirkan balik macam-macam juga yang dilalui abang sebelum impiannya untuk belajar ke luar negara terlaksana. Bagaimana pada hari interview, pak ngahnya meninggal. Kemudian pada hari keputusan diumumkan, nama abang tidak tersenarai. Sekali lagi dia kecewa. Aku juga kecewa dan risau dia patah semangat.

Tiap detik aku sentiasa berdoa pada-Nya agar tiba-tiba datang keajaiban. Hmm! ya, siapa sangka memang keajaiban itu betul-betul terjadi. Aku baru balik dari Sungai Petani, bila surat dari Bahagian Penganjuran Pendidikan Mara sampai. Kami mengisi borang JPA tapi tawaran MARA pula yang tiba. Dan berita gembira (link) itu aku beritahu padanya yang ketika itu sudahpun sebulan belajar di Pusat Asasi Universiti Malaya (PASUM).

Alhamdulillah! kini dah hampir sebulan abang berada di UK, setelah dua tahun mengharung segala macam dugaan dan cabaran sebelum layak dihantar belajar ke universiti luar negara. Apa yang aku perhatikan tentang abang ini ialah, pantang dicabar atau diperlekehkan. Jika ada orang yang melakukan itu padanya dia akan berusaha membuktikan kebolehannya. Bila diberi peluang, dia akan bersungguh-sungguh dan tidak mensia-siakan peluang yang diberi. Itulah dia, anak lelakiku yang aku panggil Abang!

(nota mak: Doaku agar abang sentiasa gembira, bersungguh-sungguh, tidak leka dengan keindahan dan keseronokan tempat orang, tiada lagi kecewa dan pulang dengan kejayaan!)


Monday, October 1, 2012

Aku sedang 'bahagia'...


Saat ini berita yang paling aku tunggu-tunggu adalah berita dari anak-anak! Dan aku paling seronok kalau dapat mesej, talipon atau sms dari mereka.  Kerana itu aku sekarang ‘berhantu’ dengan facebook. Boleh dikatakan saban waktu aku sentiasa on dengan laman sosial tu. Kalau talipon berdering aku akan bergegas menjawabnya. Tidur pun jadi tak berapa nak ‘lena’. Ha! ha!

Permata hatiku.

Aku suka dengar kalau anak-anak talipon beritahu, mereka happy dengan course yang mereka pilih. Mereka ‘berseronok’ dengan persekitaran mereka. Padaku ini adalah sedikit bahagian daripada faktor yang menyumbang kepada kejayaan. Sedikit tapi memberi kesan yang banyak.

Di dalam kuliah mereka sering memberi pendapat dan diri sering menjadi tempat rujukan kawan-kawan sealiran. Lecturer pula suka bertanya dan meminta pendapat dari mereka. Aku dapat rasakan mereka selesa dan amat memahami apa yang sedang mereka pelajari. Getaran di jiwaku seakan memberitahu, "mak, kamilah yang paling pandai sekarang!" Sepertinya kejayaan itu boleh digapai dengan mudah. Jangan blame aku dengan entry yang agak mengangkat diri sendiri ini. Aku tidak dapat menipu diri aku sendiri dan mengatakan yang aku bahagia dengan pencapaian anak-anakku.

Rasanya tiada apa yang aku harap dari mereka tika ini selain dari menanti kepulangan keduanya, Abang dan Ojet kepangkuan ku tiga tahun lagi dengan segulung ijazah kelas pertama. Aku memang menaruh harapan di situ. Sungguh!


Temanku, komputer riba pemberian dari anak lelakiku si Abang 
sebelum dia berangkat ke UK aritu. Sebenarnya komputer ni adalah 
hadiah dari aku untuk Abang masa  dia dapat 9A dalam SPM. 
Kini dia hadiahkan balik pada aku sebab dia dah dapat 
yang baru dari penajanya.


Tuesday, September 25, 2012

Kereta pulak nak 'bermanja'...

 Kereta aku yang di'usung' dengan trak tunda sampai
ke Seremban, semalam.

Hai, kereta meragam dan nak 'manja-manja'lah pulak. Kenalah naikan atas trak tunda dan usung ke workshop. Kejadian ni berlaku semalam. Aku out station. Pergi ke Temeris, Bahau Negeri Sembilan. Ada urusan dengan pejabat Felcra di sana. Ditemani kakak aku memandu santai je sambil borak-borak cerita perihal anak-anak. Begitu begini urusan selesai pukul 4 petang. Dah kebetulah sampai di Bahau aku dan kakak bercadang nak melencong ke Jempol untuk menziarah seorang mak saudara yang tinggal di Kampung Jelutong dalam daerah Jempol.

Biasalah, kalau dah jumpa mak saudara aku sorang ni, dia suruh masaklah, makanlah, minumlah, pergi kutip sayur-sayur kampung yang di tanam sekeliling rumahnya bagai. Siap je memasak dan makan, lepas maghrib tu aku dan kakak bertolak balik ke KL. Tak sampai beberapa meter berjalan aku rasa kereta lain macam. Pergerakkannya seperti 'meloncat-loncat'. Sekejap laju sekejap slow.

Kejadian seperti ini pernah terjadi waktu aku ke Singapore hujung tahun lepas. Tapi lepas di hantar servis kondisinya ok balik. Jadi aku ingat mestilah problem yang sama berulang balik. Apapun cemas tetap ada. Tiba-tiba aku terdengar seperti ada sesuatu berdetap dan lampu gear D berkelip-kelip. Enjin kereta bunyi lain macam. Kereta jadi slow. Aku panik! Pulak tu kejadian berlaku waktu malam dalam kawasan kampung yang gelap dan sunyi. Aku cuba bertenang dan memandu perlahan menuju ke pekan Batu Kikir yang berhampiran.

Dalam pada bertenang-bertenang tu, berpeluh juga cari nombor ejen insuran dan maklumkan kejadian yang berlaku. Takut pun ada, faham-faham jelah, pekan kecil. Lepas pukul enam petang dah 'mati'. Orang semua dah balik rumah masing-masing. Suasana sunyi dan macam tak berpenghuni. Lebih kurang pukul 8.30 malam macam tu, trak tunda sampai. Malam tu aku dan kakak merasalah naik trak tunda sampai ke Senawang Seremban. Nak gelak pun ada, hilang glamour.

Tapi aku solutelah pada pemandu trak tunda dan pengawal keselamatan di workshop Honda Senawang. Sebelum balik, pemandu trak berbangsa Cina beragama Islam tu tanya aku, macam mana nak balik KL. Aku beritahu adik lelaki ku datang. Dia tanya lagi, adik aku tu dah tahu ke? Aku kata adik aku dalam perjalanan dan hampir sampai. Dan pengawal keselamatan workshop tu lelaki Melayu separuh umur, sentiasa menemani aku dan kakak di tepi jalan Senawang tu sehingga adik lelaki ku sampai. Dia kata bahaya perempuan duduk tepi jalan malam-malam macam tu. Dan ejen insuran pun call, tanya aku dah sampai ke workshop ke belum.

Alhamdulillah! semuanya dah selesai. Kereta pun dah dibaiki. Masalahnya, setting sensor gearnya dah lari. Kena reset dan setting balik semula. Hendaknya janganlah meragam lagi. Aku ni jenis yang cepat panik jugak. Kena pulak sekarang ni selalunya sangat long distance.

Thursday, September 20, 2012

Kembali sendirian...


Hampir dua bulan aku 'tinggalkan' blog ni. Banyak peristiwa dan kenangan sepanjang dua bulan tu.Sekarang aku kembali sendirian di rumah. Anak-anak semuanya sudah kembali ke universiti masing-masing.

Abang, Sheffield Universiti, UK.

 Ojet, UiTM.

Semoga mereka kembali dengan kejayaan yang membanggakan kami sekeluarga.

Thursday, July 12, 2012

Terlampau panas...


Plug ketuhar yang terbakar.

Tengok tu, salah satu pin plug tu melekat dan tertinggal 
dalam soket. Bila dibuka sebelah dalam soket tu dah cair.

Ceritanya hari minggu (Ahad) lepas, aku anak beranak pindah pukul 3 pagi. Bukannya tak bayar sewa rumah atau rumah nak kena lelong tapi plug yang aku gunakan untuk ketuhar cair dan terbakar.  Agaknya terlalu panas.

Bayangkan, sejak hari Khamis tu aku gunakan ketuhar tak henti-henti. Kiranya ketuhar tu on je lah 24 jam.  Macam-macam yang aku buat. Mula-mula tu buat kek empat biji, lepas tu bakar cheesetart 112 biji.  Tengah-tengah bakar tart tu aku perasan, ketuhar macam sejuk je. Aku tekan lampunya tak menyala. Pastu aku tengok cheese tart tu macam tak naik. Aku dah gelabah. Masa tu dah pukul 1 pagi. Aku kena siapkan tart malam tu jugak sebab esoknya kena hantar pada pelanggan. Aku tekan-tekan plug akhirnya 'hidup' balik lampunya dan suhu ketuhar naik semula sampai semua tart tu siap di bakar.

Siap je tart-tart tu dibakar aku pun tekan suis off. Tapi tak boleh. Aku rasa plug panas dan ada kesan hitam macam terbakar. Puas aku tarik nak keluarkan tapi tak boleh. Rupa-rupanya dah cair dan melekat pada soket. Aku cuba cungkil untuk tanggalkan plug tu dari soket tapi tak boleh. Nak dibiarkan saja takut pulak, mana tahu tengah sedap-sedap tidur menyala pulak api. Pilihan yang aku ada malam tu ialah tutup suis besar. Seisi rumah bergelap dan panas.  Masa tu jam dah tunjuk pukul 3 setengah pagi. Hendak tak hendak aku kejutkan anak-anak dan beritahu masalah yang sedang berlaku.  Dinihari tu jugak kami sekeluarga ke rumah kakak yang jaraknya hanya beberapa meter untuk menumpang tidur.

Esoknya (Isnin) jiran satu blok dengan aku datang tolong baiki. Alhamdulillah, plug dan soket yang terbakar tu dah diganti. Dah boleh ‘berbisnes’ semula.

Inilah antara projek hari Ahad tu. Siapkan kek patung barbie 
untuk sambutan birthday anak buah, Alisya, 2 tahun dan Ojet .
First time buat kek patung ni.

Thursday, July 5, 2012

"..mak buat yang simple je..."



Birthday Ojet hari ni. Dah sembilan belas tahun. Cadangnya hari minggu ni nak celebrate. Tapi semalam aku buat juga sebiji kek coklat moist. Ojet nak bawak ke sekolah. Nak celebrate dengan murid-muridnya waktu rehat nanti.

Tapi Ojet pesan, buat kek yang simple je. Tak perlu deco lebih-lebih sangat. Kalau selalunya kek coklat ni aku susun strawberry atasnya tapi kali ni tidak. Ojet kata nanti susah nak bahagi-bahagikan. Berebut-rebut nak yang ada buah. Nanti ada pulak yang merajuk sebab potongan kek mereka tak ada strawberry atasnya dan cakap “teacher tak adil”. Payah pulak nak memujuknya nanti.

Atas permintaan Ojet, itulah rupa keknya. Memang simple. Plain je. Untuk nampak meriah aku taburkan gula manik warna-warni tu sikit. Jadilah, yang penting rasanya tetap moist dan bercoklat.

HAPPY BIRTHDAY
Dik Da!

Friday, June 29, 2012

Cetusan dari si abang...


Makin bertambah...

Fridge magnet lagi. Kali ini dari Australia. Adik yang belikan. Dua minggu sudah dia ke Melbourne. Semalam dia baru balik. Sebelum pergi tu dia ada tanya aku nak apa, macam selalulah aku akan pesan belikan aku fridge magnet. Aku tak nak benda lain. Mula-mula dulu satu, tak lah nampak cantik. Tapi bila makin bertambah bilangannya nampak cantik pulak. Sekarang ni bukan aku saja yang suka mengumpul fridge magnet malah seluruh adik-beradik turut sama meminati koleksi ni. 

Pasangan berpakaian tradisional Korea dan 
Burj Dubai dari hubby.

Anak lelakiku abang yang mencetuskan minat ni. Dialah orang yang mula-mula sekali belikan aku fridge magnet ni dari Vietnam. Lepas tu sesiapa saja ahli keluarga yang keluar negara mereka akan beli fridge magnet ni sebagai buah tangan. En. hubby pun sama. Dia belikan aku sepasang patung berpakaian tradisional dari Korea. Adik ipar beri fridge magnet lambang Taj Mahal waktu dia ke India tiga bulan lepas. Bila dibelek-belek semua fridge magnet ni aku rasa si abang lebih seni dan pandai memilih bentuk-bentuk fridge mangnet yang cantik.

Air tangan Ojet...

Bubur kacang. 

Puding santan.

Nak masak sangat. Ha ini hasilnya. Ojet anak perempuan ku sibuk sangat nak masak dan mencuba resipi. Aku biarkan je. Boleh tahan la. Ada juga resipi yang dibuatnya tak jadi. Baru-baru ni dia cuba buat dadih, tapi dadih tu tak beku-beku. Tak tahu kat mana silapnya. Sayangnya aku tak ambik gambar pulak nak tunjukkan kan sini.

Thursday, June 21, 2012

Macam cikgu betul-betul...


(Sumber dari Google, tapi aku lukis semula.)

Dah dua minggu anak perempuan ku Ojet kerja. Jadi guru sementara di sekolah rendah tempat dia belajar dulu. Tak jauh dari rumah. Gantikan guru bersalin. Tak lama sampai pertengahan bulan Ogos nanti. Awal bulan September tu dah nak balik semula ke universiti.

Ojet mengajar petang. Subject BI dan Pendidikan Seni untuk tahun 2 dan 3. Sesuai sangatlah dia mengajar BI sebab Ojet ambik TESL di universiti. Selain tu dia juga guru kelas untuk 2 Kurnia (ada tiga kelas saja untuk tahun 2 - Kurnia, Ehsan dan Rahmat). Sebelum mula bertugas tu, sempatlah dia buat reserch sikit, tentang silibus sekarang ni.

Tengah hari kalau nak ke sekolah, Mak Tehnya - adik aku yang nombor 4 hantar. Kebetulan dia tak kerja. Surirumah sepenuh masa. Legalah sikit. Kalau tak risau juga aku memikirkan Ojet berjalan sendirian. Walaupun jarak antara rumah dan sekolah tak begitu jauh hanya melalui jalan-jalan perumahan tapi suasana agak sunyi sikit. Dan bila balik pula kalau sempat aku sendiri yang jemput.

Hari pertama Ojet ke sekolah guru besar perkenalkan dia sebagai guru baru di sekolah tu. Guru besar cakap, Ojet adalah bekas pelajar sekolah tu. Guru besar beritahu dalam perhimpunan, “dulu masa kecik-kecik macam awak semua dia belajar di sekolah ni, sekarang dia dah sama pangkat dengan saya! Awak semua nak jadi macam dia tak?” dan seluruh murid-murid dalam perhimpunan tu jawab “nakkk!”. Aku rasa bangga bila mendengar ucapan guru besar dan jawapan pelajar-pelajar tu. Guru-guru sekolah tu pun ada antaranya masih mengenali Ojet. Dan bekas guru matematiknya kata dulu kecik je sekarang dah kembang (dah besar).

Balik dari sekolah pada hari pertama tu Ojet dah mengeluh penat. Budak-budak nakal. Terutamanya kelas 2 Rahmat. Aku tanya dia marahkan ke budak-budak tu. Ojet jawab tak. Kadang-kadang bebudak tu keluar kelas dan dia terpaksa pergi cari. Aku cakap jangan rotan anak orang. Ojet kata dia rasa murid-murid tu macam adik-adik dia je. Kadang-kadang gelihati dan nak ketawa pun ada bila melihat telatah budak-budak tu. Kata Ojet merajuk tu biasalah. Kenalah pujuk. Kalau tak, tak nak buat kerja sekolah.

Menurut Ojet, ada beza antara murid-murid kelas ‘depan’ dan ‘belakang’. Kalau kelas depan lebih senang dikawal berbanding dengan kelas belakang. Kadang-kadang tu mereka pulak yang mengajar Ojet, kalau budak-budak buat bising teacher ketuk meja kuat-kuat dengan pemadam. Tapi Ojet cakap, sekejap je, lepas tu riuhlah balik.

Sekarang ni waktu malam di rumah aku tengok Ojet agak ‘busy’ jugaklah. Menanda kertas, membuat persiapan mengajar. Dan semalam dia “key in’ apatah dalam komputer. Ojet ada cakap tapi aku lupa. Apa tu.. Sistem Pentaksiran Pelajar?... (entahlah, aku pun tak tau, kalau ada cikgu-cikgu yang baca entry ni mesti  dapat agak apa bendanya tu). Aku tengok sampai pukul 3 pagi dia buat. Ojet cakap cikgu yang dia gantikan tu tak buat, jadi Ojet kenalah buat. Sabtu ni pulak ada hari akademik dan sukantara. Lepas tu ada minggu bahasa Inggeris. Ojet kena melatih pelajar tahun 2 untuk buat persembahan. Kalau boleh Ojet cakap dia naklah murid kelas dia - kelas 2K menang. Esok ada sambutan Israk Mikraj di sekolah dan Ojet dah pun memilih dua pelajar untuk dilatih mendeklamasikan sajak. Pun Ojet nak pelajar yang dilatihnya tu menang juga dalam pertandingan membaca sajak. Minggu lepas mengiringi pelajar-pelajar membuat lawatan. Itu pada hari Sabtu.

Ojet cakap, "cuma jadi cikgu sementara je, tapi dah macam cikgu betul-betul." Secara tak langsung aku dapat tengok, tugas guru sebenarnya. Tak habis di waktu sekolah di luar waktu sekolah pun masih terbeban dengan tugas-tugas yang perlu digalas.

Sunday, June 17, 2012

Syukur!...


Menitis airmataku, saat mendapat panggilan talipon dari anak lelakiku Abang, memberitahu result peperiksaannya. Waktu tu aku tengah memandu dalam perjalanan pulang kerumah dari pejabat.

Permata hatiku, Abang.

Dengan keputusan itu, bermakna abang akan meneruskan pengajian tahun keduanya di Sheffield Universiti, UK. Begitulah selalu, sejak dari zaman persekolahannya lagi, abang akan sentiasa memaklumkan pada aku akan setiap keputusan peperiksaannya. 

Padaku, satu kebahagiaan dan kebanggaan apabila anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam peperiksaan. Syukur dan doaku, Abang dan Ojet akan sentiasa beroleh kejayaan yang cemerlang dalam pengajian di universiti masing-masing.

Thursday, June 14, 2012

Bersara umur 60? Tak nak...


Gambar tidak ada kena mengena dengan story, kedua 
mereka adalah permata hatiku yang telah meningkat dewasa dan 
sekarang sedang mengikuti pengajian di universiti dalam 
jurusan pilihan mereka. Ojet Tesl dan Abang 
Chemical Engineering.

Umur bersara swasta 60?. Aaaa tak nakkkkk... Den dah ponek kojo kato kau ha... Tak sabar dah nak memencenkan diri. Nak duduk rumah yo tomankan anak-anak.

Pada aku dah elok dah bersara pada umur 55 tu.  Buat apa kerja lama-lama sebab makin lanjut umur makin tak produktif. Aku tak nak pandang jauh-jauh cukuplah merenung dalam-dalam pada diri aku sendiri. Tenaga dah kurang, kreativiti pun tak berapa nak menyerlah.

Lagipun aku dah bajet, cukup je umur 55 nanti, anak-anak dah habis belajar dan bekerja. Segala hutang piutang yang ada sekarang ni, dah habis bayar. Masa tulah nanti untuk aku menambah dan melipat gandakan ibadah yang mungkin selama bekerja ni ada yang terkurang sana sini dan mengeratkan hubungan silaturrahim anak beranak, adik beradik, saudara mara dan jiran tetangga (jangan tubuh kelab mengumpat ye).

Kebetulan anak perempuan ku Ojet sekarang ni tengah study Tesl di U. Aku pernah beritahu dia andai kata lepas grad nanti di postingkan jauh ke utara sana, aku akan ikut dia. Temankan dia sementara belum bertemu jodoh. Ditakdirkan abang memilih untuk terus bekerja di luar negara lepas habis belajar di UK, bila cuti sekolah aku ikut pulak anak lelaki ku. Dia pun cakap akan bawa aku sama.

Lagipun aku tak sabar nak keluarkan duit EPF. Anak lelaki ku kata, duit EPF tu nanti mak buat joli-joli je. Dah penat kerja bertahun-tahun, bila lagi?

Friday, June 8, 2012

Penatnya tapi suka...


Sehingga pukul 3 pagi tadi baru semua cheesetart ni siap
dibakar dan di susun ke dalam kotak.

Alhamdulillah! Nampaknya rezeki bertambah sepanjang beberapa minggu ni. Dari suka-suka asalnya kini  tempahan untuk blueberry cheesetart, egg tart dan kek semakin menggalakkan. Rasanya aku tak cukup tangan untuk menyiapkan semua tu. Penat dan rasa tak cukup rehat tapi hati seronok.

Anak perempuanku Ojet pun dah bising. Dia kata aku ni dah tak pedulikan kesihatan diri. Setiap malam aku masuk tidur pukul 3 dan bangun pukul 6 pagi. Dan sebelum ke tempat kerja aku akan menghantar semua tempahan kepada pelanggan. Waktu anak angkat aku Iqa ada bila petang aku sampai di rumah dia akan tanya, "hari ni mak buat tart lagi?" Sekarang Iqa dah habis praktikal dan aku dah hantar dia balik Kuala Kangsar minggu lepas.

Apapun terima kasih juga kepada adik yang secara tak langsung telah buat sale marketing untuk aku. Sejak dia buat promosi, nampaknya setiap hari ada saja tempahan. Ada ketikanya aku dah tak mampu menerimanya tapi akhirnya kalah juga dengan pujuk rayu. Pernah beberapa minggu sudah aku tetiba naik 'hangin'. Tension tak tentu pasal sebab penat.

Okeyla, sekarang ni aku dah boleh settle. Untuk minggu ni tempahan telah ditutup. Semalam saja aku telah siapkan 18 belas kotak blueberry cheesetart. Semua tu kena hantar pada hari ini (jumaat). Nasib baik Ojet bantu. Dialah yang menyusun dan memasukkan tart-tart tu ke dalam kotak.  “Hati-hati angkat benda ni esok mak!

Lapan belas kotak cheesetart siap untuk di hantar kepada
pelanggan di sebuah bank di Jalan Ipoh. Aku pun tak kenal siapa
orangnya. Order di buat melalui adik.

Dan sehingga akhir bulan ini, tempahan untuk cheesetart dan egg tart telahpun masuk. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan tempahan.

Psst! aku ada cakap sesuatu pada anak perempuanku Ojet, kalau target jualan aku mencecah sasaran, aku ingin belikan dia ‘sesuatu’.

Tapi Ojet kata tak perlu, dia takut sebab nak belikan dia 'benda' tu, nanti aku tak tidur malam dan ambil tempahan melebihi kemampuan.

“Tapi untuk kegunaan adik kat universiti jugak.”

“Tak payah mak!”


 Kek Pisang order dari Arina kawan satu pejabat. Baru 
keluar dari oven.