Wednesday, January 31, 2018

"Perjalanan yang indah!.."

Aku sedar, aku ini serba kekurangan dan naif dalam hal agama. Kala orang lain dalam usia aku ini sudah beberapa kali mengerjakan umrah dan haji, namun bagi aku inilah pertama kali. Kerisauan itu tetap tidak mahu berganjak dari hati. Lebih-lebih lagi aku pergi bersendirian tanpa di temani suami dan anak-anak.

Aku terfikir juga nak ajak seseorang sebagai teman ke sana... Yelah, pergi umrah ini bukan macam pergi melancong, senang-senang orang nak ikut. Banyak faktor yang perlu di ambil kira.

Dalam berkira-kira nak ajak siapa... aku teringat rakan sekolah masa darjah 6 dulu. Tak sangka pelawaan aku disambut baik. Dia bersetuju malah suami dan anak-anaknya juga ikut sekali. Persetujuannya ini memberi nafas lega kerana pada aku dia bukan saja sebagai teman malah tempat rujukan pada aku nanti. Dialah blogger yang aku maksudkan... seorang bekas guru dan ustazah di salah sebuah sekolah berasrama penuh.

Dan sehari sebelum berlepas, ada juga beberapa orang bekas rakan kerja dulu yang sudahpun mengerjakan ibadah umrah dan haji menalipon memberikan kata-kata semangat, tips serta doa-doa agar segalanya di permudahkan:

"Rabbi yassir wala tu' assir, rabbi tammin bil khoir" 

Rasanya inilah perjalanan paling indah pernah aku lalui... teringat lagi aku bagaimana rakan-rakan yang baru aku kenali yang duduk sebelah menyebelah dalam kapal terbang mengajar aku bagaimana mengambil wuduk dengan botol air spray.

Alhamdulillah berkat keazamanan ingin melakukan sesempurna mungkin, akhirnya  dipermudahkan jalan dan aku selamat menjejakkan kaki di Tanah Haram pagi subuh 13 Januari 2018. Lewat sehari seperti yang di jadualkan.

Sunday, January 28, 2018

Inilah Ujian Pertama...

Taklimat dari mutawif sebelum berlepas.

Sudah lima hari kembali dari mengerjakan ibadah umrah. Badan kurang sihat. Batuk dan selsema yang agak teruk. Bila batuk sampai terkencing-kencing. Untuk lima hari yang berlalu ini aku hanya berehat dan berbaring saja di katil. Namun hati masih teringat-ingat dan bayangan saat-saat ketika berada di Tanah Haram sentiasa berlegar-legar difikiran... malah terbawa-bawa hingga kedalam mimpi setiap kali tidur.

Kembali mengingati perjalanan umrahku... bermula dari hari untuk berlepas malam Khamis 11 haribulan itu sudah ditandai dengan ujian pertama. Saudia Airlines yang sepatutnya membawa kumpulan jemaah dari Malaysia dan Indonesia terpaksa membatalkan penerbangan malam itu kerana kerosakan teknikal.

Tidaklah diketahui apa sebenarnya yang berlaku tetapi sebaik masuk  ke dalam kapal, suasana terasa panas. Hampir sejam kami semua berada dalam keadaan tersebut. Masing-masing sudah mula mengeluh... kemudian barulah pengumuman di buat mengarahkan semua penumpang keluar. Sementara menunggu aircond kapal di baiki setiap penumpang di beri boarding pass dan kupon makan.

Jemaah dari Indonesia ada yang sudah tertidur di boarding 
hall. Mereka ini transit satu hari di KL dari Jakarta.

Dua jam berlalu, sepanjang menanti itu, bermacam-macam andaian dan spekulasi yang aku dengar. Ada yang kata tukar kapal lain... di sebelah lain pulak kata, tunggu kapal lain yang 'di datangkan' dari Arab Saudi dan tak kurang juga mengandaikan penerbangan kami malam itu di tangguhkan.

Saat waktu hampir dua belas malam kedengaran pengumuman di buat mengarahkan penumpang SV835 masuk semula ke dalam kapal. Suasana di dalam kapal tiada yang berubah... masih terasa berbahang. Tak sampai sejam sekali lagi pengumuman 'dilaungkan'... semua penumpang diarahkan keluar semula dan sah penerbangan malam itu di batalkan.

Dan kami semua di hantar dengan beberapa buah bas ke Palace of the Golden Horses hotel di Mines Resort City, Seri Kembangan untuk bermalam. Kos penginapan malam itu di tanggung Saudia Airlines

Palace of the Golden Horses hotel.

Pagi Jumaat 12 haribulan... Selepas sembahyang jumaat, semua penumpang SV835 yang menginap di Palace Golden Horses di beritahu agar bersiap sedia untuk kembali semula ke KLIA. Setiap wajah sudah mula kelihatan berseri-seri dan kembali ceria walaupun agak keletihan dan mengantuk kerana ada diantara kami sampai di hotel pukul lima pagi. Dan kami berharap agar hari ini kami benar-benar terbang dan tiada penangguhan lagi.

Bas-bas yang membawa jemaah ke KLIA semula.

Alhamdulillah selepas segala urusan selesai hari Jumaat malam Sabtu itu kami terbang menuju ke Jeddah.

Kejadian yang menimpa kami ini mengingatkan aku tentang perjalanan Rasulullah untuk mengerjakan umrah pertamanya pada tahun 6 hijrah... dimana niat Rasulullah dan rombongannya untuk mengerjakan umrah pada tahun itu tidak dapat di laksanakan dan tertangguh selama setahun kerana di halang dan tidak dibenarkan memasuki Mekah oleh kaum kafir Quraisy. Bila di fikirkan apalah sangat kalau hendak dibandingkan dengan penangguhan aku yang cuma sehari sahaja.

(nota sweetie: sebelum berlepas aku sempat bertanya dengan salah seorang pramugari... adakah kapal yang kami naiki itu adalah kapal yang rosak semalam. Dia kata "ya" ... dan dalam senyum dengan nada perlahan dia berbisik 'kita berdoa agar selamat").

Wednesday, January 10, 2018

Memenuhi jemputan...

Dalam hati sekarang ada debaran. Bermacam-macam rasa datang bertandang menjentik pintu perasaan. Tak pernah rasa begini. Malah ketika pertama kali menjenguk abang di United Kingdom [link] empat tahun dulu pun tidak begini hebat getarannya.

Kembara kali ini lain dari kembara-kembara terdahulu, Kembara kali ini memenuhi 'jemputan dan undangan' bertamu ke rumah Allah. Dan 'menziarahi Rasulullah di Madinah. Rasanya 'jemputan' ini sampai ketika aku berada di lapangan terbang Perth ketika penerbangan untuk pulang ke M'sia bulan Julai tahun lepas. Tidak semena-mena aku tiba-tiba beritahu adik di talipon aku ingin ke Mekah.

Sejak itu selama beberapa bulan ini memang aku sengaja menyepikan diri. Mempersiapkan diri untuk menjadi tetamu-NYA. Menghadiri kursus umrah setiap hari minggu. Dan sebelah malam pada hari-hari biasa dari Maghrib membawa ke Isya' selain solat berjemaah di surau aku juga menyemak kembali bacaan al-Quran dengan seorang ustaz tahfiz.

Impian aku, sepanjang tujuh hari di Mekah aku ingin menghabiskan sebilangan besar waktu di masjid dengan aktiviti membaca al-Quran, sembahyang sunat dan menqada'kan sembahyang yang tertinggal... Mudah-mudahan impian ini terlaksana.

Siapa yang tidak mahu 'merebut' 120 rahmat yang turun di Kaabah setiap hari. Hanya tengok saja kita sudah mendapat 20 rahmat. Dan bila kita sembahyang di depan Kaabah 40 rahmat lagi akan diperolehi. Dan bayangkanlah kalau kita berada di situ sepanjang waktu dengan membaca Al-Quran.

Moga kehadiran aku di rumah-NYA di terima dan mendapat umrah yang maqbul. InsyaAllah.

(nota sweetie: kepada rakan-rakan blogger, ampun dan maaf aku pinta andai kata ada tutur bicara dan komen yang di tulis selama ini menyinggung perasaan. Dan saat coretan ini aku post... aku sudah berada jauh berpijak di Tanah Haram, bumi anbiya.)

Wednesday, December 6, 2017

Setelah sabar menunggu...

Siap sudah kerja-kerja mengubah dan membesarkan ruang tamu. Setelah 'begitu sabar' menunggu... akhirnya aku berpuas hati dengan hasilnya. Pekerja Indonesia yang aku upah benar-benar memahami apa yang aku inginkan. Kerja mereka kemas dan teliti. Mereka juga membantu aku memilih warna cat dan turut memberikan pandangan juga idea. Malah fedback dari jiran-jiran juga memuji 'ketelitian' dan hasil kerja mereka.

Sepanjang sebulan lebih mereka melakukan renovation ini, kawasan sekitar tempat mereka melakukan kerja bersih dan kemas. Tiada barang-barang pertukangan, sisa-sia konkrit, simen dan kayu-kayu bertaburan, Setiap kali mereka selesai melakukan tugas, kawasan sekitar, terutamanya yang melibatkan jiran sebelah menyebelah akan dikemas bersih dan di cuci.

Kini yang tinggal tugas aku mengemas dan membersihkan habuk-habuk. Rasa tak cukup tangan aku melakukan semuanya. Masa pula seakan-akan berlari pantas.

Hanya ada beberapa minggu saja masa yang ada untuk aku menyelesaikan kerja-kerja mengemas dan menyusun semula perabut-perabut sebelum datangnya tahun baru.

Kenapa aku risaukan kedatangan tahun baru... dan rumah tak siap lagi dikemas? 

Owh! awal Januari ini aku akan melakukan satu lagi 'kembara'. Itu sebabnya, kalau boleh sebelum berangkat, aku nak pastikan rumah kemas dan teratur. Anak-anak pula rasa tenang bila pulang ke rumah dan selesa berehat-rehat melepaskan lelah setelah seharian menghabiskan waktu di tempat kerja. 

Dan bila pulang dari kembara nanti aku juga rasa seronok tengok rumah kemas dan cantik!

Aku telah menukar pintu masuk dari pintu gelongsor 
kaca ke pintu kayu. Serik dengan sliding door... selalu sangat
 rodanya jatuh dari rel. Selamat tinggal pintu gelongsor.

Warna cat dinding, bingkai tingkap dan rekabentuk
luaran gabungan idea aku dan tukang rumah. Pekerja 
Indonesia yang aku upah memahami citarasa dan 
konsep yang aku mahukan.

(nota sweetie: InsyaAllah! 'kembara' kali ini bersama seorang kawan  blogger .

Friday, November 3, 2017

Sebab mak gantung periuk...

Oktober dah berlalu sekarang masuk bulan November. Selama sebulan tak buat apa-apa update dan catatan di blog ini. Sebab sepanjang sebulan yang berlalu itu dan sampai saat menulis catatan ini memang tak ada apa aktiviti pun yang di lakukan. 

Kerja-kerja pengubahsuaian rumah sedang di lakukan sekarang. Boleh di katakan seluruh rumah berhabuk. Sepanjang hari aku duduk berkurung dalam bilik. Makan minum semua di kedai. Dengan anak-anak pun sudah di beritahu... sebelum pulang ke rumah... usai urusan di tempat kerja... makan dulu sebab mak gantung periuk selama mana kerja pengubahsuaian ini berjalan.

Cuma membesarkan sedikit ruang tamu... dengan tambahan lebih kurang tujuh kaki ke hadapan, Menaikkan tembok serta menukar pintu dan pagar rumah. Dan mengubahsuai tingkap-tingkap.

Mengecat dan memasang lantai.

Tingkap di bilik tengah telah di ubahsuai dan
di rendahkan. Sekarang dah boleh nampak ikan-ikan berenang
di kolam kecil berhampiran yang dibina dengan tujuan untuk
memberikan ketenangan dan kehijauan dalam rumah..

Tak sabar rasanya aku menantikan siapnya. Dengan cuaca yang sekejap panas dan sekejap hujan banyak kerja-kerja di luar rumah terpaksa di hentikan. Menjadikan peruntukan masa untuk menyiapkannya berlarutan.

Sepanjang hari aku duduk di tingkap ini memerhati
kerja-kerja yang dilakukan. 

Friday, September 29, 2017

Saja-saja seronok mencuba...

Masa berlalu pantas. Dalam sedar tak sedar sudah setahun aku menjadi surirumah sepenuh masa. Walaupun tidak banyak yang berubah dalam rutin harian aku tapi perlahan-lahan terasa diri ini dah tua.

Banyak perkara yang tidak boleh di lakukan. Kalau dulu aku sentiasa terfikir untuk melakukan itu ini apabila bersara, tapi nampaknya hanya tinggal angan-angan. Tenaga dan keupayaan diri itu telah banyak berkurangan. Walaupun aku cuba namun akhirnya aku kalah dengan kemampuan diri. Betullah, walaupun zahirnya nampak muda tapi dalamannya telah tua. Ya, aku akur... aku tidak lagi selincah dulu.

Apapun kegemaran mencuba resipi membuat kek masih lagi menjadi aktiviti memenuhi masa lapang. Malah ada antaranya aku tak makan pun kek yang aku buat. Aku cuma seronok mencuba. Tengok resipinya ringkas dan bahan-bahan pula ada dan lengkap semuanya... Apa lagi kita cubalah kan!

Kek Pandan
(Sumber resepi dari buku:
Kek Lazat Norzailina Nordin)


Bahan-bahan:
250 gram mentega
220 gram gula kastor
3 biji telur
300 gram tepung naik sendiri 
1 sudu teh soda penaik
150 ml santan pekat
50 ml jus pandan
Sedikit pewarna hijau

Cara-cara mengadunya:

1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang. Kemudian masukkan telur satu persatu dan pukul sebati. Masukkan separuh dari tepung yang diayak ke dalam adunan dan gaul lagi.

2. Satukan dan kacau jus pandan dan pewarna hijau dalam santan.

3. Tuangkan adunan santan kedalam adunan tepung dan gaul lagi. Masukkan lebihan tepung dan gaul biar semuanya benar-benar sebati. Tuang adunan ke dalam loyang 8 inci yang dialas kertas kek.

4. Bakar pada suhu 160C selama 50 minit atau sehingga masak.

(nota sweetie: dalam buku Kek Lazat Zailina, adunan ini dituang dalam cawan-cawan kertas dan masa membakarnya cuma 30 minit sahaja tapi aku tak ada kerajinan pulak untuk itu... hehehe...)

Tuesday, September 12, 2017

Tak Perlu Mengukus Lagi...

Kek buah ini favorite arwah abah aku dulu. Masih teringat lagi bila dia teringin nak makan... arwah abah akan pergi beli bahan-bahannya. Dan dia akan letakkan semua bahan atas meja dapur dan pesan dengan arwah mak minta aku buatkan. Waktu itu aku cuma tahu buat kek buah yang dikukus.

Kini tak perlu lagi mengukus. Aku dah jumpa resipi kek buah versi bakar. Kalau sebelum ini terpaksa mengukus sehingga empat jam sekarang tak perlu lagi. Hanya 45 minit saja masa yang diperlukan untuk menunggu kek ini masak.

Resipi kek buah versi bakar ini aku selongkar dan lemari resipi Inahar's. Rupanya Ina pun ambil resipi ini dari dapur Azie. 

Melihatkan resipinya simple dan cara mengadunnya pun mudah aku buka kabinet dapur dan kebetulan semua bahan-bahan yang di perlukan ada. Dari terbiar rosak baik aku try resepi dari blog Ina dan Azie ini. Walaupun tidak di kukus seperti biasanya, ia tetap moist .

Kek Buah-Buahan Campuran
(Sumber resipi dari blog: INAHAR'S dan Azie Kitchen)


Bahan-bahan:
250 gram butter 
500 gram mix fruit 
1 cawan gula perang (boleh kurangkan) 
1 cawan air sejuk 
2 cawan tepung gandum (ayak bersama 
1 sudu kecil baking powder)
1 sudu kecil esen vanilla
3 biji telur

Cara-cara membuatnya: 

Rebus buah-buahan campuran bersama air dan gula 
sehingga kembang. Tutup api dan masukkan butter. Kacau
 rata dan biarkan sejuk.

  • Pukul telur dan masukkan esen vanila. Kemudian tuangkan ke dalam adunan buah rebus dan kacau dengan senduk. 
  • Masukkan tepung yang diayak bersama baking powder sedikit demi sedikit dan kacau rata. 
  • Tuang ke dalam loyang bulat saiz 8 inci yang telah disapu dengan butter dan dialas dengan kertas baking. Tabur sedikit kepingan badam di atasnya.
Adunan kek sebelum dan selepas di bakar.


Bakar pada suhu 170 C selama 45 minit atau sehingga 
masak. Angkat dan sejukkan seketika di dalam loyang sebelum
 disejukkan sepenuhnya atas wire rack.