Sunday, January 26, 2025

Sempurna Sudah...




Teringat satu petang, Julai 2023, pertama kali dan hari pertama Ojet memperkenalkan teman lelakinya... senyuman dan perwatakannya berjaya menawan hati mak untuk mengatakan dialah orangnya yang mak ingin dan harapkan untuk menjaga dan memimpin Ojet ke syurga-NYA.

Dua minggu kemudian Ojet dirisik serta di lamar...dan awal september 2023 terjalinlah janji untuk menyatukan Ojet dan pilihan hatinya pada satu tarikh yang telah ditetapkan.

Dalam tempoh itu jadual harian mak jadi padat dan sibuk menguruskan segala persiapan perkahwinannya.

Dan tiga minggu lalu, Pagi jumaat, 10 Januari, bertempat di dewan Boraombak, Marina Putrajaya...  Ojet selamat dinikahkan dengan pilihan hatinya.

Di hadapan enam puluh orang jemputan pernikahan Ojet di sempurnakan oleh abangnya sendiri. Ketika abang membacakan akad dan disambut oleh pengantin lelaki, hati mak di runtun pilu. Tidak pernah terbayangkan akan saat begini ketika abang dan Ojet kecil dulu. 

Saat mak melepaskan tangan Ojet dan menyerahkan kepada suaminya, airmata tidak dapat di tahan-tahan dan deras mengalir membasahi pipi.

Melangkah sebagai pasangan suami isteri.

(nota mak: Selamat menempuh alam rumahtangga dikda, doa mak kekal bahagia hingga ke syurga.)