Friday, May 29, 2020

Apa Yang Ada Saja...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakanBersyarat
#Dudukrumah
#Stayathome
#syawal1441H

Hari ini dah 6 Syawal... sekejap saja masa berlalu... diam tak diam hari ini dah enam hari kita merayakan Syawal dalam PKPB. 

Kalau di tahun-tahun sebelum ini... disaat inilah suasana semakin meriah dengan sambutan raya dan rumah terbuka di sana sini. Namun untuk raya kali ini aktiviti kunjung mengunjung hanya di benarkan pada hari raya pertama sahaja.

Memandangkan ketupat segera masih banyak dalam stok dan kuah kacang yang anak dara mak buat masih berbaki lagi... mak bercadang nak buat kuah lodeh untuk di makan bersama kuah kacang tersebut. Kebetulan kuah kacang tu agak pedas sedikit.

Resipi kuah lodeh mak simple saja... tak banyak bahan cuma guna apa yang ada saja.

Lontong simple dengan kuah kacang.

Bahan-bahannya:
1 sudu besar udang kering (rendam untuk lembutkan)
4 ulas bawang merah
1 inci kunyit hidup
(kisar ketiga-tiga bahan hingga halus)

1/4 biji sengkuang
1/2 batang lobak merah
1/4 biji kobis
3 tangkai kacang panjang
1 keping tempe (rebus dulu kemudian potong ikut suka)
1 keping tauhu (kalau suka boleh goreng dulu dan potong kiub 6 bahagian)
2 batang serai
soohon dan fucuk (rendam dalam air biar kembang)
6 ekor udang hidup
500 ml santan

Caranya:
1. Panaskan periuk... masukkan bahan kisar, santan dan serai. Biarkan mendidih sebentar.

2. Masukkan udang juga sayur-sayuran. Biarkan sayur-sayur layu sedikit baru masukkan soohon, fucuk dan garam.

3. Akhir sekali masukkan tempe dan tauhu.

Tips: Tempe jadi makin sedap, gebu dan harum apabila di rebus dahulu kemudian baru di masak/digoreng.

Thursday, May 28, 2020

Pasti Tidak Dilupakan Sepanjang Hidup...

#covid-19
#PerintahKawalanPergerakanBersyarat
#Dudukrumah
#Stayathome
#syawal1441H

Salam Lebaran 5 Syawal.

Berlalu sudah Ramadan tahun ini dalam 'serba kelainan'. Alhamdulillah berjaya juga kita laluinya... walaupun terasa sedikit janggal. Inilah Ramadan dan Syawal yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup dan tetap dikenang hingga akhir zaman.

Apapun yang melanda negara dan dunia tika ini persediaan sambutan raya mak sekeluarga seperti tahun dulu-dulu juga. Pastinya di pagi raya kami semua berkumpul di rumah kakak yang sulung... yang juga tinggal satu taman... .

Kalau raya sebelum ini selepas berkumpul di rumah kakak kami adik beradik dan anak-anak bergerak menziarahi satu-satunya ibu saudara yang tinggal di Negri Sembilan. Tetapi memandangkan tahun ini perjalanan rentas sempadan tidak di benarkan, kami hanya bertanya khabar melalui talipon dan video call saja. Selebihnya berehat-rehat sambil menghabiskan ketupat, rendang dan sedikit biskut raya bersama keluarga di rumah.

Dan raya tahun ini secara tiba-tiba mak dapat idea buat lemang segera sebagai memenuhi keinginan anak-anak. Dan hasilnya mendapat pujian seluruh ahli keluarga. Malah anak bujang mak kata, lepas ini tak perlu lagi beli dan beratur di gerai jual lemang.

Sementelah ketika covid-19 masih bermaharajalela di luar sana, mak agak ragu-ragu untuk membeli makanan yang dah siap. Kerana itu apabila anak-anak kata ingin makan lemang... mak cuba memikirkan cara untuk membuatnya sendiri di rumah tanpa mengubah rasa dan rupanya.

Letakkan pulut yang telah dikukus masak bersama santan dan
sedikit garam atas daun pisang. Daun pisang itulah sebenarnya
yang membangkitkan rasa dan aroma lemang.

... dan gulung ketat-ketat seperti buat sushi. Kemudian 
balut pula dengan alumunium foil.

... bakar dalam oven.

... hasilnya... rupa dan rasa tetap sama seperti 
lemang yang di bakar dalam buluh.