Thursday, October 29, 2015

Singgah Jedburgh ambil kunci...

Beginilah suasana di Jedburgh. Lengang dan tenang.

Jedburgh Castle. Berhampiran sungai dan sebaik masuk saja 
ke Jedburgh dari A68 kita akan nampak castle ini.

Tengahari kami sampai dan singgah di Jedburgh. Sebuah bandar kecil... lengang dan jauh dari kesibukkan. Dari Scottish Border kita akan nampak keseluruhan bandar ini.

Kalau tengok pada sejarahnya... tulisan Jedburgh ni macam-macam. Ada 83 versi kalau tak silap. Orang kata di 'upgarade' sehingga ia di tulis sebagai Jedburgh. Malah ketika pemerintahan Anglo-Saxon pada abad ke-10 ia di tulis Ludanbyrig.

Asalnya ia bandar di raja purba yang merupakan pintu masuk ke Scotland jika ikut A68. Jalan dan highway di UK guna huruf dan nombor. Aku pening dan tak paham. Tu pasal selalu sesat. Yang aku camkan... kalau ada huruf M... ia merujuk highway. Ojet pandai dan paham. Uncle Darylnya suami adik aku akan bertanya dengannya kalau kami dah melilau-lilau tak jumpa tempat yang di cari.

Sejarahnya juga mengatakan... Jedburgh telah melahirkan ramai kalangan orang-orang terkenal yang telah memberikan sumbangan terbesar dalam membangunkan dunia moden.

Kami tak lama di Jedburgh. Sebenarnya kami ingin berjumpa dengan Diana Callander. Pemilik homestay yang ingin kami sewa di Edinburgh. Sementara menunggu Diana kami berehat-rehat di kawasan letak kereta Abbey Bridge Tollhouse. Ada Coffee dan Gift Shop di situ. Anak-anak apa lagi... masing-masing tak lepas peluang. Bila keluar saja dari Gift Shop tu ada saja barang di tangan mereka.

Diana Callander. Tinggi orangnya. Umurnya 
hampir sebaya aku.

Dapat saja kunci rumah dari Diana kami meneruskan perjalanan ke Edinburgh. Lebih kurang sejam memandu sampailah di bandar Edinburgh. Masuk saja Edinburgh terlintas di fikiran aku "owh! inilah rupanya Edinburgh, bandar idaman ramai pelajar Malaysia yang ingin mengambil jurusan medic."

Jauhnya aku 'berjalan'...

Lebih kurang sejam memandu dari Otterburn sampailah sempadan England dan Scotland. Laluan kami merentasi Taman Negara Northumberland dan kampung Inggeris. Sepanjang perjalanan itu hanya padang ternakan, hutan pokok pine dan sungai yang bersebelahan dengan jalan. Sehinggalah sampai di Bryness Village kami nampak tasek yang luas bersebelahan dengan jalanraya. Cantik pemandangannya... Tapi kami tidak berhenti untuk mengambil gambar.


Sebaik menghampiri Scottish Border dan nampak bendera Scotland berkibar masing-masing dalam kereta dah teruja. Tak sabar-sabar nak turun. Di sini memang ada di sediakan tempat parking dan satu gerai bergerak yang menjual makanan dan minuman. Terletak di kawasan tinggi, pemandangan sekitarnyanya sangat cantik. Dan dari kawasan sempadan ini kita boleh lihat keseluruhan bandar Jedburg.

Sebaik buka saja pintu kereta terdengarlah tiupan bagpipe bersama hembusan angin yang sejuk dingin. Tak dapat nak gambarkan perasaan aku... seolah-olah bermimpi. “Betulkah... Aku sudah memijak bumi Scotland... Bersama anak-anak... Jauhnya aku berjalan meninggalkan bumi Malaysia.”

Kenangan bersama kakak dan anak-anak di sempadan
England dan Scotland.

Batu sempadan... di belakang itu adalah tanah England dan
tempat kami berdiri adalah Scotland.

Ketika aku sampai banyak juga kereta dan motor-motor berkuasa tinggi yang di tunggangi sekumpulan lelaki... Lawa-lawa dengan pakaian menunggang yang lengkap. Dari loghatnya ketika mereka menegur aku bunyinya seolah-olah dari Perancis. Mereka minta aku tolong ambilkan gambar. Tapi lepas tu segan pulak aku nak mintak bergambar dengan mereka. Rugikan... hehehhe...

Monday, October 26, 2015

Otterburn Castle...

Castle iaitu istana atau rumah orang-orang kaya. Terdapat banyak castle yang di bina di seluruh England termasuk Scotland. Pembinaannya memang mengkagumkan. Ianya melambangkan penindasan, dramatik dan romantis.

Castle di bina bertujuan untuk pertahanan dari peperangan dan pencerobohan. Dan selalunya ia di bina di atas kawasan tanah tinggi yang boleh nampak pemandangan di sekelilingnya. Ada juga yang dibina di kawasan strategik yang menjadi laluan penduduk kampung sekitarnya. Seperti di laluan-laluan sungai. Di UK ini terdapat beratus-ratus castle dan kebanyakannya masih terpelihara lagi hingga kini. Ada yang di kekalkan sebagai muzium pelancongan dan ada juga yang telah di jadikan country house hotel.

Sepanjang pengetahuan aku Scotland terkenal kerana castle-castlenya. Dan castle yang terbesar sekali di UK terletak di Scotland iaitu Aberdeenshire Castle. Luasnya lebih satu hektar. Malah dalam perancangan perjalanan kami ke Scotland memang aku bercadang untuk melawat castle dan mencari satu castle yang telah di jadikan lokasi untuk pengambaran filem Harry Potter. Tetapi  kerana ingin mengejar masa tidak semua castle sempat kami singgah dan lawati.

Dan dalam perjalanan ke Jedburgh kami singgah di Otterburn Castle. Terletak di Northumberland, England iaitu sudah hampir ke sempadan Scotland. Berhampiran dengan sungai Rede ia di kelilingi oleh hutan-hutan kecil dan menghadap ke kawasan kampung Otterburn. Kerana kedudukannya berhampiran dengan jalan raya menuju ke Jedburgh kami berhenti sekejap itu pun sebab masing-masing ingin ke rest room.

Melihat castle in lebih dekat membuat aku terbayangkan 
cerita-cerita seperti Robinhood dan Merlin.

Bunga popi dan daisy yang terdapat 
di taman Otterburn Castle.

Gugusan hydrangea (bunga tiga bulan) yang besar-besar 
di taman Otterburn Castle.

Hiasan dalam Otterburn Castle. Castle ini telah di ubah 
suai menjadi  country house hotel.

Hampir sejam juga kami menghabiskan masa di sekitar kawasan Otterburn Castle. Suasana sekitarnya yang ‘redup’ dan bunga-bunga hydrangea yang berbagai warna berkembang mekar di lamannya membuatkan aku terleka sejenak. Kerana ada temujanji dengan seseorang di Jedburgh kami tidak dapat berlama-lama di sini. Kami sampai di Jedburgh waktu tengahari.

Perjalanan ke Jedburgh...

Apabila di fikirkan balik, tak pernah terbayang oleh aku selama ini akan ‘merayau-rayau’  di United Kingdom. Boleh di katakan semua ceruk kami masuk. Hinggakan nama-nama tempat itu sendiri tidak pernah aku ketahui pun sebelum ini. Aku cuma tahu dan biasa dengar London, Manchester, Leed tapi aku tak pernah tahu pun nama-nama tempat seperti Belsay, Knowesgate, Raylees, Otterburn, Rochester dan Jedburgh.

Masih pagi benar waktu aku sekeluarga bersiap-siap dan mengemaskan beg pakaian dan bekalan makanan masuk ke dalam bonet kereta. Enam pagi. Tapi kerana summer di UK waktu itu matahari sudah bersinar terang dan macam pukul 10 pagi kalau di M'sia.

Rendang ayam yang di masak oleh kakak sebelum kami 
bertolak ke Scotland.

Aku sediakan roti dan rendang yang dimasak pada sebelah malam sebelum bertolak. Bekal dalam perjalanan. Ambil pengalaman ketika ke Salisbury. Takut kelaparan lagi... Perjalanan mungkin mengambil masa yang agak lama. Entahlah aku pun tak pandai mengagaknya sebab tak pernah lagi sampai Scotland..

Awal pagi jalan tak berapa sibuk. Sepanjang perjalanan kami melihat pemandangan ladang gandum, ladang ternakan biri-biri dan kincir-kincir angin yang bertaburan di tengah-tengah ladang. Kerana bentuk muka bumi UK ni berbukit-bukit, apabila kereta yang kami pandu berada di kawasan tinggi... akan nampak keseluruhan tanah pertanian dan ternakan dan kampung-kampung yang saujana mata memandang.

Awalnya memang kami memandu ikut highway. Tapi apabila ada yang terasa nak 'services' kami akan keluar dan masuk ke jalan-jalan country village dan melalui pekan-pekan kecil dan hutan simpan... sungai dan tasek. Dan journey kami pun bermula...

 Belsay.

 Rumah kediaman berhampiran jalan raya di Rochester.

Ketika melalui dan nampak banner tu, ingatkan
itulah satu-satunya cafe yang ada di UK. Rupanya ia merujuk
cafe yang terletak di tanah England berhampiran
sempadan dengan Scotland.

Rehat sementara menunggu abang ke rest 
room. Kedai ini betul-betul di country village.
Sunyi dan selama sejam kami duduk di situ
boleh dikira berapa orang yang datang.

Sebaik melewati New Castle Upon Tyne tunjuk arah kami hanya untuk ke Jedburgh. Sepanjang laluan itu kami menempuh pekan-pekan kecil dan kawasan rumah ladang. Kami berhenti di satu ‘kedai runcit’ di Belsay sebab si abang nak ke rest room. Lama juga aku sekeluarga berhenti di situ. Suasananya tenang dan sunyi. Kenderaan pun tak banyak yang lalu lalang dan menggunakan jalan yang kami lalui.

Jumpa pokok bunga seakan-akan orkid dekat Belsay 
dan kalau tengok kedudukan signboard tu dalam semak-semak 
boleh bayangkan memang country village betul Belsay ni.

Friday, October 23, 2015

Mencari Ramly...


Tak sah kalau datang UK jika tidak ke Manchester. Dah jadi satu kemestian untuk ke Old Trafford dan mengabadikan kenangan di hadapan stadium Manchester United. Walaupun tak minat bola sepak dan kalau tanya aku siapa nama-nama pemainnya... memang aku tak boleh jawab.

Hari dah hampir tengahari ketika kami keluar rumah. Sheffield dan Manchester ni dekat saja. Kalau naik keretapi lebih kurang sejam perjalanan. Kedudukan Sheffield dengan Manchester sebelah menyebelah... lebih kurang begitulah.

Tapi oleh kerana kami memandu sendiri dan tak biasa dengan keadaan jadi panjanglah perjalanan kami. Meraban-raban dan berpusing-pusing jadinya. Tak pakai GPS pun. Main suka dan redah saja. Rasa nak masuk kiri... masuk kiri... dan rasa nak masuk kanan, masuk kanan pulak. Sehingga ada kalanya menyimpang jauh dari laluan asal.
Pemandangan countryside, Barnsley.

Kami ikut jalan countryside. Melalui kawasan rumah ladang, tanah pertanian dan hutan-hutan kecil. Betul-betul macam orang merayau tak ada tujuan. Aku pun tak ingat dan tak tahu nama-nama jalan yang dah kami redah. Bila tiba di satu-satu tempat yang menarik... kami berhenti dan bergambar.

Nun jauh di belakang sana ladang tanam-tanaman 
di Thurlstone...

Jumpa ladang ternakan lembu di Thurlstone... dan 
masing-masing teruja memberi lembu-lembu tu makan.

Sehinggalah kami sampai dan melalui serta merentasi kawasan Peak District. Tidak ada apapun di kawasan ini. Cuma gunung-gunung batu dan tasik yang besar. Tidak ada pokok-pokok. Lapang dan luas. Tidak ada pembangunan di sini. Pernah pihak kerajaan ingin mendirikan kincir-kincir angin di kawasan ini tetapi telah mendapat bantahan besar-besaran dari penduduk dengan alasan akan merosakan keindahan alam semulajadinya. Dan kincir angin itu tidak berjaya di dirikan.

Peak District... tidak ada pokok-pokok besar cuma 
tumbuh-tumbuh renek seakan lumut meliputi seluruh permukaannya.

Apabila kami melalui dan berada di kawasan paling tinggi... kelihatan satu pemandangan yang sungguh cantik. Luas... saujana mata memandang. Walaupun tiada tumbuh-tumbuhan tapi ada satu tarikan dan keindahannya yang tersendiri. Sukar di gambarkan dengan kata-kata. Aku membayangkan, jika winter tentu kawasan ini putih di litupi salji.
 Tasek yang sangat luas di Crowden. Masih lagi dalam 
kawasan Peak District.

Panjang juga laluan di Peak District ini. Pada sesetengah kawasan kelihatan padang-padang rumput, biri-biri dan di hujung jalan iaitu apabila keluar dari kawasan ini barulah kelihatan hutan-hutan pokok pine. Mengikut buku pelancongan UK, Peak District ini adalah satu taman besar. Dan sepertiga dari Sheffield termasuk dalam kawasan Peak District. Di kawasan inilah terletaknya Chatsworth, Bakewell, Matlock dan Matlock Bath yang menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati keindahan dan panorama yang begitu mengkagumkan serta tinggalan sejarah dan penempatan awal di Britain.

Hampir petang baru kami sampai di Manchester. Setelah beberapa kali sesat dan bertanya-tanya dengan orang baru kami jumpa Stadium Old Trafford yang popular tu. Puas 'merayau' ke sana ke mari mencari Ramly....

Menikmati aiskrim di perkarangan stadium.

Monday, October 19, 2015

Merungkai misteri Stonehenge....

Stonehenge...

Rumah yang di dipercayai di diami oleh orang-orang 
yang membina Stonehenge...

Sehingga kini para pengkaji sejarah tidak dapat merungkai misteri Stonehenge. Tetapi kunjungan aku sekeluarga ke sana bukanlah untuk mencari atau merungkai misterinya... tetapi kerana ianya termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO... seperti juga Geopark di Langkawi. 

Terletak di selatan England, ia dibina kira-kira 5000 tahun lalu dan terdiri daripada kira-kira 100 batu-batu besar tegak yang di susun dalam bentuk bulatan. Sarjana moden hari ini bersetuju bahawa Stonehenge adalah tanah perkuburan. Apapun Stonehenge merupakan monumen penting dalam prasejarah Britain. Dan kalau di baca pada sejarah pembinaan Stonehenge ini ia melalui beberapa fasa dan peringkat.

Aku sampai awal pagi di kawasan Wiltshire di mana terletaknya Stonehenge. Tak jauh dari hotel tempat aku dan keluarga bermalam. Cantiknya kawasan ini kerana ianya teletak di tengah-tengah kawasan lapang yang luas... yang di kelilingi oleh ladang pertanian dan ternakan. Saujana mata memandang.

Pemandangan dan jalan menuju ke Stonehenge.

Malah sepanjang jalan menuju ke Stonehenge kami melalui ladang gandum dan ladang-ladang ternakan Bukan saja ternakan biri-biri tapi juga ternakan babi. Maaf... ladang ternakan babinya tidak seperti di Malaysia. Di UK ternakan tu di lepaskan bebas di kawasannya. Tidak di bina rumah atau reban atau kandang. Cuma ada di sediakan satu dua tempat untuk binatang itu berlindung mungkin bila waktu winter.

Tiupan angin di kawasan ini juga sangat kuat. Dan itulah cabaranya ketika ingin berfoto. Bukan saja tudung sampai terangkat... kamera pun boleh jatuh kalau tak pegang betul-betul. Maksud aku bukanlah kamera jenis DSLR tapi kamera kompak tu.

Beratur membeli tiket untuk masuk ke kawasan Stonehenge...

Ketika aku sekeluarga sampai pelancong belum ramai lagi. Dan kami tidaklah lama sangat menunggu untuk beratur membeli tiket. Untuk 'duit kita" aku kira mahal juga tiketnya. Tapi kerana abang dan Ojet masih student, keduanya dapat potongan harga. Sebelum berangkat ke UK aku dah pesan dengan Ojet, jangan lupa bawa kad pelajarnya... Rupanya ada juga guna walaupun Ojet bukan student negara mereka.

Malah Ojet juga turut di temubual oleh seorang pekerja pusat pelancongan Stonehenge tentang pendapat dan cadangannya untuk meningkatkan lagi prasarana dan perkhidmatan yang di sediakan di tempat itu. Dan yang buat aku rasa bangga seketika apabila pekerja pusat pelancongan tu memberitahu, dia pernah datang ke Malaysia tahun lepas.

Ojet sedang memberi pendapat dan cadangannya 
kepada pekerja di Stonehenge.

Can you move the stone... mak cuba tarik 
sarsen stone tu... tak bergerak pun... kena tambah 
kekuatan 99 orang lagi baru boleh.

... dan mak posing ala-ala model di atas rumput yang
menghijau berlatarkan deretan kereta-kereta yang masuk
ke Stonehenge dan ladang gandum melaut luasnya.

Friday, October 16, 2015

Sunyi...takut...lapar dan halal....

Waktu pagi di Church St dan bahagian pintu masuk
hadapan hotel. Dan yang warna merah biru tu... itulah kedai 
kebab yang aku maksudkan.

Saat melalui Church Street di Amesbury ketika jam di tangan menunjukkan hampir pukul 12 malam. Gelab... sunyi dan cahaya lampu yang menerangi jalan kelihatan suram. Semua dalam kereta senyap. Dalam hati memang berdebar-debar. Terbayang cerita-cerita seram dan triller.

Kami sampai dan memasuki satu pekan kecil. Juga sunyi dan hening. Semua premis perniagaan sekitarnya sudah di tutup. Hanya terdapat satu kedai kebab yang masih di buka. Ketika melewati kedai tersebut barulah anak-anak bersuara. Dan beberapa meter dari kedai tersebut barulah kami jumpa hotel yang di cari-cari. Antrobus nama hotel tu.

Dengan sewa bilik 70 pound satu malam...beserta dengan sarapan pagi... kami memang tiada pilihan lain. Hari pun sudah larut malam. Kakak aku sudah keletihan dan kami risaukan kesihatannya. Anak-anak sudah tidak tahan kelaparan dan sejuk.

Suasana dalam hotel sepi. Barangkali ketika itu semua penghuninya sudah di ulit mimpi. Dapat saja kunci kami bergegas ke bilik masing-masing. Bukak saja pintu... terkejut...  rasa seram menerpa melihat suasana dalamnya...

Berlatarkan warna maroon... dan cahaya lampu yang suram buat kami anak beranak tersentak... spontan je abang cakap “macam bilik dracula!”... buat umminya (kakak aku) terjerit. Atas permintaan umminya malam itu abang tidur sebilik dengan kakak aku.

Beginilah suasana dalam bilik hotel waktu kami masuk.

Selepas meletakkan beg dan barang-barang di bilik... aku, abang dan Ojet ke luar semula dan berjalan ke kedai kebab yang kami nampak. Keadaan dalam kedai sunyi. Hanya tiga orang pekerjanya sahaja yang serentak memandang ketika kami menolak pintu cermin kedai dan melangkah masuk.

Sebelum masuk aku cakap juga dengan anak-anak... “halal ke” sebab tak ada tanda halal yang di letakkan di pintu masuknya seperti mana kedai-kedai yang terdapat di Sheffield. Waktu itu anak-anak dan aku juga memang dah lapar sangat. Anak-anak cakap tak kisah... dah tak tahan lapar.

Sebelum buat order abang tanya jugak pada salah sorang pekerja kedai yang pada pandangan aku lebih baya dan mungkin juga pemilik kedai. Katanya halal! Dengar halal saja anak-anak terus minta ayam dan kentang goreng. Ketika kami makan pekerja kedai asyik memandang kami bertiga. Cuma kami bertiga sahaja... sehinggalah tak lama kemudian masuk beberapa orang lelaki tempatan. Agak riuh... Aku memang berdebar-debar saat dia datang ke meja aku anak beranak dan mengambil sos cili di atas meja kami. Bukan apa, aku takut mereka buat hal... hehehe... memang aku agak terpengaruh dengan cerita-cerita yang aku tengok kat tv...

Selesai makan kami berjalan pulang semula ke hotel. Sedar aku anak beranak keluar... sebaik kami masuk saja pekerja hotel terus menutup dan mengunci pintu. Malam itu sebab takut... aku tidur dengan semua lampu di bilik terpasang...

Ada taman di bahagian belakang hotel dan berhampiran 
ruang makan. Baru aku tahu cantik rupanya...

Pagi aku terbangun bila adik mengetuk pintu bilik dan mengajak turun untuk sarapan. Dalam takut-takut tu lena jugak aku tidur.

Ketika di ruang makan, seorang pekerja perempuan menyambut kehadiran kami dengan senyum dan bertanya... adakah kami semua muslim. Apabila kami kata 'ya' dia terus kata, kami boleh makan semua yang di hidangkan pagi itu... halal katanya.

(nota mak: Ketika di ruang makan barulah tahu rupanya ramai juga yang duduk menginap di hotel tu. Masing-masing bersama keluarga. Dan hiasan dalam hotel dan sekitarnya memang cantik... tentulah konsepnya Inggeris country. Seperti nama jalannya Church St. terdapat sebuah gereja berhampiran hotel dan juga kubur kristian... patutlah aku rasa seram dan takut... hehehhe).

Friday, October 9, 2015

Tayar kereta pancit, lapar dan Church St...

Ada kesan kebocoran kecil di tayar.

Angin tayar pun kena bayar.

Antara kenangan yang tak mungkin aku lupakan ketika ingin ke Stonehenge yang terletak di Amesbury dalam kawasan Wiltshire. Hari hampir senja... Kenderaan yang menggunakan lebuhraya A303 sudah semakin berkurangan. Sunyi. Di kiri dan kanan jalan cuma ladang-ladang pertanian dan pokok-pokok yang merimbun. Tak nampak kawasan perumahan atau kedai-kedai.

Perut terasa lapar. Sedari pagi kami cuma makan roti, coklat dan snek-snek ringan. Apalagi yang boleh di makan ketika berada di negara yang makanan rujinya bukan nasi.

Mengikut waktu tika itu... telah menunjukkan hampir 9 jam kami berada di jalan raya. Kami bergerak dari Sheffield pagi dan selama itu kami cuma berhenti di Welcome Break Leicester Forest East Services, M1 untuk sarapan pagi. Itupun cuma coffee. Tidak ada makanan halal.

Sehinggalah tiba di Barton Stacey... satu lampu signal atas dashboard berkelip-kelip memberitahu ada sesuatu yang tak kena dengan kereta kami. Kebetulan ada satu stesen minyak yang berdekatan. Kami berhenti di situ untuk memeriksa keadaan. Apabila keluar dari kereta rupanya tayar hadapan sebelah pemandu pancit.

Nasib baiklah kereta yang kami sewa dibekalkan sekali dengan tayar spare. Sementara menunggu abang dan unclenya menukar tayar kereta... aku ke Travelodge berdekatan dengan harapan ada bilik kosong untuk kami menginap malam itu. Tapi nasib tidak menyebelahi, semua bilik sudahpun penuh. Sebelum bergerak meninggalkan stesen minyak tersebut, kami tanyakan juga pada cashier arah untuk ke Stonehenge.


Sepi dan sunyi...

Kami sampai di Amesbury hari dah malam. Sebelum itu kami lewati Stonehenge di Wiltshire tapi kawasan itu telahpun di tutup untuk pelawat. Dan kami berpatah semula ke Salisbury dan masuk ke pekan Amesbury untuk mencari tempat bermalam.

Berpusing-pusing kami di Amesbury mencari tempat penginapan. Kebanyakan yang kami tanya semuanya dah penuh. Dalam hati ketika itu risau memikirkan anak-anak sudah mengadu lapar dan kakak aku yang kepenatan. Andai kata malam itu kami tidak dapat tempat tinggal, kami semua bercadang untuk tidur dalam kereta saja.

Atas saranan salah seorang pekerja hotel tempat kami bertanya, mengesyorkan ke Church Street. Menurut mereka di situ mungkin masih ada bilik-bilik hotel yang masih kosong.

Bukanlah perkara mudah untuk kami yang pertama kali mencari tempat yang di maksudkan. Beberapa kali tersesat dan berpusing-pusing di tempat yang sama. Di tambah pulak malam dan gelab. Jam di tangan sudah pun hampir pukul 12 malam.

Akhirnya kami masuk ke sebatang jalan yang sunyi dan sampai satu pekan kecil. Semua kedai-kedai sudahpun di tutup. Lampu jalan agak malap. Hanya terdapat satu kedai makan yang masih di buka. Dan 'di hujung' Church St kami menemukan hotel yang di maksudkan.

Tuesday, October 6, 2015

Mengejar biri-biri di Chatsworth...

Abang mengejar biri-biri yang dilepaskan meragut 
rumput di hadapan Chatsworth House...

Gemuk-gemuk...

Dari kejauhan sekali pandang macam gumpalan kapas yang memutih ... berlonggok dan bertaburan di atas rumput. Pemandangan yang sering di lihat apabila melalui lebuh raya atau jalan-jalan yang berhampiran dengan ladang-ladang ternakan di UK.

Dari dalam kenderaaan nampak  ‘longgokkan kapas’  tu seakan tak bergerak. Tapi apabila di amati rupanya biri-biri yang di biarkan lepas bebas sedang meragut rumput. Beratus-ratus malah mungkin juga mencecah ribuan ekor.

Setiap kali melalui ladang ternakan biri-biri kami anak beranak sering cakap “kalaulah kita yang punya semua tu...”

Kebetulan ketika dalam perjalanan ke Bakewell kami singgah di Chatsworth. Kehijauan kawasan ini sungguh menyegarkan pandangan dan sering menjadi tumpuan pelancong tempatan untuk beriadah pada musim panas. Tiupan anginnya sejuk dan segar kerana kawasan ini terletak dalam Peak Districk National Park.

Dan berhampiran dengan Sungai Derwent terdapat satu padang ragut dan beratus biri-biri dibiarkan meragut rumput. Kami tak lepaskan peluang untuk bergambar.

Ingat nak nyanyi lagu Kuch-kuch Hota Hei... tapi lupa 
lirik pulak time ni...

Hijau dan menyejukkan mata...

Friday, October 2, 2015

Berlari-lari mengekori anak-anak...

Beginilah... gambar yang goyang dah cukup 
memberitahu macam mana keadaan aku di belakang 
yang terkejar-kejar mengikut abang dan Ojet. 

Termengah-mengah aku mengikut langkah anak-anak. Di tambah lagi dengan turun naik... turun naik tangga di stesen tube. Longgar lutut. Nasib baik beg pakaian aku di tarik oleh abang. Kalau tak mau semput di buatnya.

Dari Bayswater kami turun di Edgware Road dan menukar laluan untuk ke King Cross St. Pancras. Keretapi dari St. Pancras ke Sheffield akan bergerak pukul dua belas lima puluh tengahari nanti. Sesekali aku berlari-lari mengejar abang dan Ojet yang dah jauh ke depan. Abang kata nak cepat sebab nak print tiket. Tiketnya dah booking online. Abang ambik tiket first class. Katanya nak bagi aku selesa. Tambangnya 26 pound tapi kalau ikut harga sebenar tiket ialah 90 pound.

Tiket...

Abang beritahu, kena selalu tengok website East Midland trains ni... kadang-kadang mereka buat offer tambang murah. Masa itulah booking.

Dua tahun dulu, pertama kali aku datang UK, abang bawa naik bas untuk ke Sheffield. Masa tu winter. Cuma snow saja yang memutih. Kali ni dia bawak aku naik keretapi. Janjinya, pemandangan sepanjang perjalanan cantik. Melalui ladang-ladang pertanian dan ternakan. Juga sungai-sungai, tasik dan rumah-rumah penduduk Lagipun perjalanan dengan keretapi dari London ke Sheffield cuma dua jam berbanding bas iaitu lima jam.

Itu trainnya. Sambil berlari aku snap gambar ni.

Coffee dan biskut yang di berikan oleh 
pelayan keretapi. Percuma.. mintalah berapa kali pun.

Tak lama menunggu... keretapi sampai tepat pada masanya. Sekali lagi aku berkejar-kejar mengikut abang. Koc kami depan sekali. Sebaik dapat tempat duduk, trains mula bergerak meninggalkan stesen St. Pancras.

Pelayan trains datang sambil menolak troli dan bertanyakan sama ada kami ingin minum dan makan. Kami cuma ambil coffee dan shortbread. Makanan lain dah tentu tak halal.

Di luar cuaca mendung. Langit kelam dan hujan mula turun. Pergerakkan trains terasa pantas. Anak-anak sibuk berFB. Ada wifi dalam trains. Penumpang-penumpang lain pun sama aku tengok. Malah kalau bercakap melalui talipon dari atas keretapi yang bergerak pun jelas taliannya. Waktu itu aku cuba bercakap dengan Iqa anak angkat aku di Kuala Kangsar. Jelas kedengaran suara Iqa di hujung talian.

Sepanjang perjalanan kamera memang tak lepas dari tangan aku. Tapi oleh kerana cuaca di luar hujan dan pergerakkan trains agak laju, fokusnya tak begitu jelas. Tapi hati puas dapat menikmati pemandangan dan selesa sepanjang perjalanan hingga ke Sheffield.

Inilah rupa gambar dapat aku snap ketika train bergerak laju 
dan tengok tu bintik-bintik air di cermin tingkap train.

(nota mak)

Ketika train berhenti di stesen Derby ini aku terkenang 
dua tahun dulu aku pernah tersilap menaiki keretapi untuk 
ke Matlock. Dan itu bangku yang aku duduk dulu.