Tuesday, September 29, 2015

Sekadar cuci mata...

Bahagian ruang dalam Natural History Museum. Berada 
di ruang ini mengingatkan aku satu scene dalam filem Harry Potter.

Peringatan...

Melepaskan lelah dan sunbath di laman Natural History Museum.

Tinggal aku dan anak-anak saja di London. Kami tak ikut kakak dan adik serta suaminya terus ke rumah abang di Sheffield sebab dah beli tiket keretapi. Itu adalah rancangan awal aku. Abang pun memang nak ajak naik keretapi sebab katanya permandangan sepanjang perjalanan dengan train sangat cantik. Ketika aku di Malaysia lagi abang dah booking online tiket untuk ke Sheffield.

Sebaik abang serahkan kunci rumahnya pada adik aku... dan untuk menghabiskan masa sehari lagi di London... kami naik tube dan turun di satu station yang aku tak ingat namanya... (sebenarnya aku tak tengok pun nama station tu... ikut saja abang ke mana dia nak bawak aku..) Dari station tu kami berjalan menyusuri jalan yang sibuk dan cafe di kiri kanan yang di penuhi pengunjung. Sesekali kami berhenti dan mengambil gambar.

Sehingga sampai dan berhenti di satu traffic light dan abang beritahu dia nak bawak aku dan adiknya melawat muzium. Ada tiga buah muzium yang terletak berhampiran iaitu Muzium Science, Natural History dan Victoria and Albert Museum. Selain dari tiga muzium ini ada banyak lagi muzium rupanya di London... dan besar-besar yang kalau nak lawat semuanya memang tak cukup sehari. Malah kalau nak habiskan melihat keseluruhan pameran dalam satu muzium saja mungkin memakan masa berjam-jam.

Muzium pertama yang kami masuk ialah Natural History Museum yang terletak di Cromwell Road. Melangkah masuk saja ke dalam muzium terpamer rangka dinosour bersaiz sebenar. Muzium ini membawa kita menerokai tentang kehidupan dinosour, serangga dan biologi manusia. Pembentukan serta letusan gunung berapi dan ekologi. Kami tak masuk semua bahagian dalam muzium ini sekadar mana yang sempat dan menarik minat saja.

Dari Natural History Museum kami susuri lagi Cromwell Road dan sampai di Victoria and Albert Museum. Dan muzium V&A ini merupakan muzium terbesar di dunia dari segi seni hiasan dan reka bentuk ruangnya. Dah tentulah kalau dilihat pada namanya saja kita dah boleh agak... ia dinamakan sempena nama Queen Victoria dan Putera Albert.

Apa yang membuat aku teruja nak masuk ke dalam muzium ini adalah kerana terdapatnya satu bahagian yang mempamerkan dan mengisahkan tentang kehidupan orang-orang Minangkabau. Walaupun aku bukan orang Minang. Kami tak lama dalam V&A. Sekadar pusing-pusing dan melihat-lihat sambil lalu saja. Dah tak larat dah. Kaki dah penat.

Keluar dari V&A kami berjalan lagi mengikut langkah kaki. Penat kami berhenti dan duduk di bangku-bangku kayu yang di sediakan di kaki-kaki lima jalan. Tiupan angin membuatkan mata jadi mengantuk. Walaupun orang lalu lalang dan jalan rayanya sibuk dengan kenderaan. Macam-macam rupa dan ragam orang yang kami lihat.

Kami berjalan... berjalan dan berjalan lagi sehinggalah sampai dan masuk ke satu kawasan yang sangat sibuk dan padat dengan orang ramai. Dari jauh aku nampak sign bangunan yang macam 'pernah' aku tengok. Dan aku berhenti betul-betul di hadapan bangunan tersebut dengan orang bersesak-sesak. Dan Ojet cakap “eh! mak, inilah Harrods.” Rupanya kami dah sampai Brompton Road di kawasan Knightsbridge.

 Susun atur di ruang dalam bahagian makanan Harrods.

Roti dan pastry yang berbagai rupa menggamit selera.

Dah terlanjur sampai Harrods tu, apalagi kami tak lepas peluang... menjengah jugak ke dalam. Tapi sekadar cuci-cuci mata. Barang-barang yang di jual mahal. Time tu juga RM semakin susut nilai. Aku tak berani nak shopping walaupun ‘terpegang’ satu handbag. Ojet pulak sentiasa ‘berbisik’,  “kita nak duduk sini sebulan mak!"

(nota mak: Aku suka tengok rekabentuk dan hiasan tangga dalam Harrods. Bercirikan Timur Tengah. Dengan lampu-lampu bercahaya suram seolah-olah gambaran dalam Hikayat Seribu Satu Malam.)

Tuesday, September 22, 2015

Kena ada permit...!

Beginilah gayanya di kebanyakan station tube. 
Hari-hari macam ni boleh kurus.

Perut terasa lapar sangat. Selepas Ojet membeli tiket kami menaiki train laluan Picaddaly line untuk ke Queensway di mana aku dan anak-anak akan bermalam sementara menanti kakak dan adik aku suami isteri sampai. Sebelum itu kami turun di Earl Court Station untuk menukar laluan di Circle Line dan turun di Bayswater Station. Masa perjalanan dari terminal 4 untuk sampai ke Bayswater lebih kurang satu jam. Penatnya usah cerita di tambah pulak aku berkasut tumit tinggi. Rasa nak tanggal lutut... turun naik... turun naik tangga.

Sepanjang jalan abang bercerita dan beritahu dia ada bawak rendang ayam yang di masaknya sendiri. Memang aku teruja... Lebih-lebih lagi bila di beritahu, dia buat rendang tu semata-mata nak makan dengan kami semua.

Walaupun banyak plan asal yang kami rancang dari Malaysia terpaksa di tukar tapi tidak sangka pula percutian ini juga tidak mengecewakan. Bermacam kisah, lucu, kecewa, pahit dan manis kami alami. Awalnya apabila ahli keluarga yang lain sampai, kami bercadang untuk bermalam selama tiga hari di London. Memandangkan inilah kali pertama Ojet dan kakak aku sampai UK kami ingin ronda-ronda kota London dulu sebelum berangkat ke Sheffield.

Tentunya bagi yang pertama kali sampai di London ingin melawat mercu tanda tarikan pelancongnya seperti Tower Bridge, Buckingham Palace, Parliment House dan Trafalgar Square. Pastinya ingin mengabadikan kenangan di tepi pondok talipon merahnya. Ingin merasa naik bas merah dua tingkat mengelilingi bandar London walaupun di KL sendiri sudah ada bas dua tingkat tapi kalau di London tentu feelingnya lain sikit. Tapi nampaknya hasrat kami tak terlaksana.

Walaupun aku dah booking bilik untuk kakak tapi dia terpaksa ikut adik aku dan suaminya terus ke Sheffield. Kesian juga kakak aku. Belumpun hilang letih mengharungi penerbangan selama tigabelas jam dah terpaksa pula naik kenderaan untuk ke Sheffield. Dari London ke Sheffield masa perjalanannya lima jam. Ini kerana kereta yang di sewa oleh adik untuk kegunaan kami sepanjang sebulan di UK tidak ada tempat parking jika bermalam di London.

Kebanyakan hotel-hotel sekitar Queensway tempat aku menginap tidak menyediakan tempat letak kereta untuk tetamunya. Petak-petak parking yang di sediakan di tepi-tepi jalan pulak hanya untuk yang ada permit. Kalau yang ada guna mesin masukkan duit tu, tempoh di beri untuk meletakkan kenderaan hanya dua jam saja. Malah sepanjang sebulan di UK, tempat letak kereta adalah masalah utama kami. Dan dalam tempoh itu dua kali kami dikenakan saman parking. 

Di kawasan perumahan tempat abang tinggal juga kena ada permit untuk meletakkan kenderaan. Kami tak apply pun dan memang nasib kami baik... sepanjang tempoh kami parking kereta di hadapan rumah abang pihak majlis perbandaran tidak sekalipun melakukan rondaan di sekitar Brunswick Street.

(nota mak: Apa jadi agaknya kalau permit meletakkan kenderaan di kawasan atau taman perumahan di kuatkuasakan di Malaysia ya. Tentu setiap rumah hanya ada satu kenderaan saja dan tak adalah kes berebut parking walaupun di hadapan rumah sendiri. Sebab permit tu pun nak kena bayar jugak)

Monday, September 14, 2015

Kalau di fikirkan memang tak sanggup...

Penat dan letih itu hilang sebaik bertemu dengan abang... dan
Ojet yang masih boleh tersenyum manis walaupun kepenatan dan sakit
belakang menempuh penerbangan yang panjang.

Ini kali kedua aku ke UK. Kalau saja-saja nak pergi melancong memang tidaklah. Bukan saja kerana nilai matawangnya yang tinggi tapi masa penerbangannya yang sangat panjang... tigabelas jam.

Itu yang kalau di fikir-fikirkan memang tak sanggup rasanya. Apa lagi bila dikenang tentang insiden yang berlaku. Semua itu menambahkan lagi rasa cuak. Tapi kerana keinginan untuk menyaksikan abang sebagai graduan Master of Chemical Engineering aku ‘harungi’ juga. Lagipun dah janji...

Sebaik saja dia meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pelajaran di Sheffield, United Kingdom, aku start menabung dan merancang... malah sejak dari awal tahun lagi aku dah beritahu kawan-kawan sepejabat yang aku akan bercuti selama sebulan pada tahun ini. Bukan apa supaya mudah kami nak membahagi-bahagikan kerja yang bakal aku tinggalkan dan tahu siapa yang akan mengambil alih sepanjang aku bercuti.

Kalau dua tahun dulu aku ‘main redah’ saja datang ke London. Walaupun takut tapi aku beranikan diri tanpa memikirkan apa yang bakal aku hadapi saat tiba di negara yang tak pernah aku jejak sebelumnya... Tapi kali ini aku di temani Ojet. Ada sedikit kekuatan dan yakin serta tahu serba sedikit ke mana hendak dituju dan menggunakan pengangkutan awamnya andai kata abang tidak ada menunggu aku di airport Heathrow. Adik dan suaminya serta kakak aku naik penerbangan lain. Mereka naik British Airways dan berlepas sebelah malam pada hari yang sama.

Lupakan hal yang berlaku di surau KLIA. Melihat ramai orang yang akan satu penerbangan dengan aku, hati rasa lega. Ketika di boarding area aku berkenalan dengan seorang emak yang juga mahu bertemu dengan anak lelakinya yang belajar di UK. Dia juga di temani anak perempuannya lebih kurang sebaya Ojet. Peramah orangnya. Kami berbual seolah-olah sudah kenal lama. Nasib baik tempat duduk kami tak sama, kalau tidak mahu sepanjang penerbangan 13 jam itu kami tidak henti-henti berborak.

Melangkah masuk ke dalam pesawat aku di sapa oleh pelayan kapal dengan mesra... “Wah! baju raya ke ni puan” sebab aku berdua dengan Ojet saja rasanya yang pakai baju kurung dan berkasut tumit tinggi. Tak ada gaya macam orang nak pergi travel... Memang kami dah janji nak pakai baju kurung... lagipun time tu masih dalam mood raya. Dan sebelum pesawat MAS Airbus A380 yang aku naiki berlepas, sempat aku hantar mesej pada abang, “mak akan sampai 4.30 ptg waktu UK, tunggu mak di Terminal 4...”

Sepanjang penerbangan mata aku tak lepas dari melihat skrin tv yang memaparkan pergerakan kapal... di mana dan dah sampai mana. Setiap kali ada gegaran yang kuat sikit, hati rasa cemas. Tapi bila melihat pelayan-pelayan kapal yang ceria melaksanakan tugas mereka dan membayangkan pilot yang menerbangkan pesawat aku rasa tenang. Berbisik dalam diri sendiri “kenapa nak takut, pilot tu lagi tahu... dah tentu dia pun tak ingin kejadian buruk berlaku...”

Kadang-kadang untuk menghilangkan rasa takut dan cemas aku cuba melelapkan mata dengan harapan bila terjaga nanti kapal yang aku naiki sudahpun memasuki ruang udara Britain. Walaupun mata lelap, tapi telinga aku masih boleh mendengar deruan enjin kapal.

Sebaik pengumuman memberitahu kapal akan mendarat sebentar lagi di Heathrow... hati rasa lega. Terbayang wajah abang yang sedang menunggu kedatangan aku. Ketika melalui pemeriksaan imigresen, panjang lebar juga soal jawabnya bila tahu aku akan tinggal selama sebulan di UK. Dan ketika keluar saja di muka pintu balai ketibaan terminal 4 itu, aku dah nampak abang melambai-lambai dan berlari-lari mendapatkan aku. Tentulah peluk dan cium dari aku untuknya setelah lama tak jumpa.

Wednesday, September 9, 2015

Aku nak gi Londonlahhh!...


Catatan perjalanan aku... bermula 20 Julai lalu. Penerbangan aku pagi. Pukul 10 pagi. Aku suka ‘terbang’ pagi. Tak tahulah samada kepercayaan atau gerak dan naluri hati mengatakan... lebih selamat kalau memulakan sesuatu perjalanan waktu pagi.

Sebelum subuh aku dah keluar rumah. Lima pagi teksi sudah menunggu. Dari rumah ke KLIA masa perjalanan lebih kurang 45 minit. Aku memang bercadang nak sembahyang subuh di surau KLIA.

Seperti yang di rancang, elok-elok saja sampai di KLIA azan subuh kedengaran. Aku masuk solat dulu sementara Ojet menjaga beg-beg pakaian kami di luar. Dalam surau agak ramai jemaah.

Aku ambil ruang bahagian sudut belakang. Dekat situ dah ada dua orang perempuan dan sorang baby. Aku tak pasti samada keduanya dah sembahyang atau duduk-duduk saja.

Bila aku berdiri di situ dan nak solat, salah sorang perempuan tu bangun dengan gaya tak sukanya dan pandang aku. Aku cuba senyum tapi aku pulak yang di jelingnya. Laaa... tak pasal-pasal.

Masa aku sembahyang taliponnya berdering-dering. Tapi saja di biarkan. Dahlah masa aku solat tu salah sorang pompuan tu sesaja je lalu lalang dan melangkah-langkah depan aku. Pergi balik. Memang tak salah pun dia melangkah-langkah depan aku yang tengah sembahyang tapi beradaplah sikit. Lagipun dalam surau tu masih lapang lagi dan belakang aku kosong je. (Tak pasal-pasal sembahyang aku tak khusyuk memikir perangai pompuan tu).

Habis solat aku gunakan cermin yang tergantung di tepi dinding belakang aku untuk berbedak dan bertudung. Dalam surau tu ada lagi cermin lain... tapi waktu tu hanya cermin yang di belakang aku tu je yang kosong. Sebelum tu pompuan yang aku ceritakan ni gunakan cermin tu jugak. Dia tinggalkan sekejap cermin tu sebab memujuk babynya yang menangis. Bila dia tengok aku berdiri depan cermin tu, cepat-cepat dia datang semula dan dengan lagaknya yang memang tak boleh 'blah'... seolah-olah nak 'nyahkan' aku dari situ.

Masa dia melilit tudungnya (selendang) aku rasa dengan sengaja dia 'melemparkan' tudungnya tu mengenai muka aku... Aku kata sengaja sebab dia langsung tak minta maaf. Selamba je macam tak ada apa-apa. Eeeee gerammmm je aku.

Dalam hati aku "blah lah kau,... perasan lawa kot... lawa lagi aku... Kau ingat, kau je ke yang nak naik kapalterbang... wei aku nak gi Londonlahhh!"

Masa beratur check-in aku cari-cari jugak pompuan tu. Tak nampak pun batang hidungnya. Entah beratur kat mana. Pergi Bandung kot!

Sampai sekarang bila aku kenang-kenangkan kejadian tu... bengang je aku. 

(nota mak: . Sorry, ini entry lepas geram. )

Friday, September 4, 2015

Ada peluang kita jumpa lagi...

Brunswick Street, Sheffield.

Langit Sheffield dipenuhi awan... gerimis membasahi bumi dan membawa kedinginan hingga menusuk ke tulang hitam. Rumput-rumput di bahu jalan telah mati kekeringan... Daun-daun kering bertaburan merata-rata. Summer perlahan-lahan merangkak pergi dan autum bakal tiba...

Lebih sebulan berada di UK... Menyaksikan pelangi kehidupan di buminya. Mengutip kenangan di celah-celah hangat dan dingin suasananya. Menghirup udara tanah England ini hingga melangkaui Scotland dan singgah sebentar di Isle of Skye. Merasai kesejukkan air di Lautan Atlantik Utara. Melangkah di celah-celah kesibukan kotaraya London dengan ragam pengunjungnya.

Rumput-rumput kering di Crookes Valley Park, Sheffield.

Terasa lama sungguh meninggalkan tanah air... Blog ini pun hampir tiga minggu terbiar sepi. Tak semena-mena laptop abang tiba-tiba rosak. Tiada apa yang dapat dilakukan selain dari membantu abang mengemaskan pakaiannya dan mana yang tidak mahu lagi aku isikan dalam dua beg plastik dan di dermakan di British Heart Foundation. Membersihkan rumah sebelum diserahkan kembali kepada tuan punya.

Aku tiba-tiba terasa amat sepi dan seperti terputus hubungan dengan kawan-kawan.

..........

Rimbunan rumpun bunga-bunga kecil di pinggir taman, 
Bakewell, Derbyshire.

Maaf! itu kisah beberapa minggu sudah. Kini aku dan anak-anak telah selamat pulang ke tanah air. Seperti yang aku cakap, banyak kenangan yang di kutip sepanjang satu bulan tujuh hari tinggal di Sheffield. Keinginan aku untuk bercuti dan melancong bersama anak-anak di UK akhirnya tercapai juga.

Memang pada asalnya kami merancang untuk berjalan di beberapa negara Eropah, tapi atas faktor kewangan rancangan itu kami batalkan. Semua maklum nilai RM sekarang macam mana. 1 pound bersamaan 7 ringgit ketika aku cuba untuk membuat pertukaran ketika berada di London.

Banyak kisah-kisah dan pengalaman yang kami lalui sepanjang berada di UK. Bayangkan empat buah kamera yang kami bawa penuh dengan gambar-gambar.

(nota mak: Ada peluang kita jumpa lagi...)