Monday, September 29, 2014

Begitu kisahnya....

Balik sekolah pipinya birat dan calar. Hampir kena mata. Aku tanya kenapa, jawabnya kawan sekolah buat. Esoknya dan esok lagi begitu jugak. Ada ketikanya dia minta duit dengan kakak aku. Bukan sikit-sikit. Sampai RM20 ringgit. Bila di tanya nak buat apa. Katanya nak beli mainan. Tanya lagi. Mainan apa sampai RM20 ringgit dan kat mana jual. Dia jawab kat kedai luar kawasan sekolah.

Kami satu family tak puas hati. Kakak aku tak bagi. Alasan kami, dah banyak mainan kat rumah... Lagipun untie (adik aku) dah belikan motor besar (motor mainan yang pakai bateri tu) basikal semua ada sorang satu kat rumah. Dia muram dan nampak susah hati. Kami biarkan saja. Pada fikiran kami nanti-nanti oklah tu.

Baru-baru ni dia minta duit lagi dengan kakak aku. Katanya nak beli bendera. Seringgit saja harganya. Kakak aku kasi. Bila balik sekolah, kami tanya mana benderanya. Dia kata dah koyak. Kawan koyakkan. Okay lagi. Tapi yang buat aku dan kami satu family tak tahan bila kawan sekolahnya (nama budak tu Adam) kata anak buah aku si Aideel pinjam duitnya RM20 ringgit. Aku sudah naik geram. Pasti ada yang tak kena. Bukan setakat itu saja, dia kata si Aideel makan bekalan makanannya.

Aku tanya baik-baik pada Aideel. Betul ke dia meminjam duit si Adam. Aideel berulang kali kata tak. Panjang lebar juga soal jawab aku dengan dia. Aku cakap dengan kakak dan adik aku... baik pergi sekolah dan tanya sendiri dengan budak Adam tu. Aku syak ada yang kena. Sebab dah lama dan macam-macam sangat perkara yang berlaku pada si Aideel. Dan kami asyik marahkan dia.

Jumaat lepas adik dan kakak aku pergi sekolah. Dan jumpa budak yang bernama Adam tu... dan tanya betul ke Aideel ambik duit dia. Macam-macam jawapan dia beri. Berdolak dalih. Kejap kata ‘ya’ kejap kata ‘tak’. Dengan gayanya berpakaian... baju panas yang diikat di pinggang, rambut ala trojan sambil bercekak pinggang. Baru berumur lapan tahun je pun... tapi berlagak samseng. Adik aku gertak ... nak bawak kedua-duanya ke balai polis dan serahkan pada polis. Biar polis saja yang selesaikan.

Akhirnya dia mengaku, ‘tak’, Aideel tak ada pinjam duit dia. Adik aku warning dan dengan 'garang'nya cakap, “jangan berkawan dan dekati lagi Aideel... kalau tak siap awak!”.

Kebetulan salah sorang guru sekolah tu, student renang adik aku. Bila dia nampak adik aku dia datang dan tanya, kenapa. Adik aku ceritalah kisahnya.... dan cikgu tu bawak adik aku jumpa sendiri guru kelas mereka. Barulah tahu, rupanya guru kelas tu tahu perangai si Adam ni yang suka minta duit kawan-kawan sekelas. Dia pinjam pada si A bagi pada si B. Kemudian dia ambik duit tu dari si B. Kemudian dia ambik pulak duit dari si C dan bagi pada si A. Dah si A pulak yang berhutang dengan C... kononnya. Tapi duit itu dia juga yang ambik. Begitulah pusingannya...  Last-last dia cakap si A, B dan C berhutang sesama sendiri... tapi duit itu si Adam ni yang ambik sebenarnya.

Dah beritahu pada orang tuanya, tapi mak ayahnya cakap,  tak tahu dah nak buat macam mana. Bila dengar cerita ni sedih aku, macam mana orang Melayu kita boleh biar dan tak buat apa-apa bila tahu anak jadi kaki buli dan samseng kat sekolah. Padahal budak tu kecik lagi baru lapan tahun, masih boleh di perbetulkan...

Apapun aku lega, anak saudara aku dah ceria semula. Bila balik dari sekolah nampak happy. Tak macam sebelum ni, bila balik dari sekolah moody. Tadi adik aku pergi lagi sekolah tu... dia nak intai budak Adam tu.... tapi budak tu tak datang sekolah... Kalau dia kacau lagi si Aideel lepas ni si Daryl sendiri yang bersemuka dengan guru besar.

Thursday, September 25, 2014

"Moist betullah mak...!"

Sebelum di potong masing-masing dah 'chop!" nak 
bahagian mana... Strawberry yang di tengah tu paling besar 
dan 'siang-siang' dah di 'chop' oleh adik aku.

Susunan strawberry yang aku decorate menjadi 
seperti kuntuman rose.

Dah seminggu abang balik ke UK... Hati masih terkenang-kenang lagi padanya. Cutinya dua bulan setengah tu rasa kejap sangat. Setahun saja lagi abang akan menamatkan pengajiannya. Entahlah! macam mana pulak lepas ni apabila abang sudah mula mengintai-intai peluang untuk bekerja di luar negara.

“Mak!...,  nanti mak ikut abang... Abang akan bawak mak kemana saja supaya mudah abang nak jaga mak. Kalau mak duduk jauh dari abang, nanti susah abang nak balik jenguk kalau mak tak sihat. Kalau kerja di luar negara nanti tak tahu macam mana cutinya...” Itu kata abang.

Aku perhati je dia berkemas-kemas dan membelek-belek e-tiket di tangannya. Dan terdengar keluhannya, “... huh tak bestnya nak balik...” dan dia menoleh pada aku, “... nanti abang rindukan mak lagi...!” dan itulah saat paling manis bila abang datang peluk aku. Inilah satu tabiatnya yang tak pernah berubah. Pernah aku tanya, “abang tak malu ke... mak, ummi dan acik peluk dah besar-besar macam ni?” Dia kata “tak” malah suka dan bangga lebih-lebih lagi di hadapan kawan-kawannya.

Sehari sebelum dia balik Khamis lepas aku buat sikit majlis minum-minum petang di rumah. Aku ambik cuti hari tu dan buatkan sebiji kek coklat kukus. Special, yang ditopping dengan coklat meleleh dan di hias penuh dengan strawberry. Bangga je rasa hati bila abang memuji, “moist betullah mak!”

Wednesday, September 24, 2014

Resipi kuih kosui Azie....

Masa buat majlis minum petang dengan adik beradik sebelum abang balik ke UK Khamis lepas aku buat kuih kosui. Kuih ini antara kuih kegemaran abang. Selain dari kuih kosui aku buat lepat pisang, pau, kek coklat, salad dan nasi lemak atas permintaan abang. Sepanjang dua bulan setengah dia berada di rumah aku tengok abang tak jemu-jemu makan nasi lemak. Kadang-kadang aku yang masakkan dan di waktu yang lain dia minta tolong kakak aku yang masakan. Bila keluar makan pun dia pesan nasi lemak juga. Nasi lemaknya ringkas saja. Tak perlu ikan bilis goreng, telur rebus dan ulam timun. Cukup dengan sambal tumis ayam.

Dan resipi kuih kosui yang aku buat hari itu aku ambil dari resipi blog Azie Kitchen. Sedap! tapi kakak aku komen, kalau kukus lama lagi akan buat kuih tu lebih sedap dan lagi kenyal.

Aku guna acuan kuih lompang.

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2 keping gula Melaka sederhana besar
1 cawan gula pasir - saya tambah 1 sudu besar
7 cawan air
1 sudu kecil kapur – bancuh dengan sedikit air

Bahan lain:
Kelapa parut muda
Sedikit garam

Cara penyediaan:
1. Masak air dengan gula Melaka dan gula pasir sehingga mendidih dan sedikit pekat. Sejukkan sehingga agak-agak air gula suam.

2. Satukan tepung gandum dan tepung ubi kemudian masukkan ke dalam air gula yang telah suam. Kacau sebati. Masa ini, boleh rasakan sedikit adunan dan jika belum cukup manis, boleh tambah sedikit gula pasir.

3. Akhir sekali, masukkan air kapur dan kacau rata. Tapis adunan.

4. Panaskan periuk pengukus dan panaskan loyang (saiz 9 inci) atau acuan kuih lompang. Setelah loyang/acuan panas, tuang adunan ke dalam loyang/acuan dan kukus sehingga masak selama 1 jam atau sehingga masak dengan menggunakan api yang besar.

5. Sekali sekala, lapkan penutup pengukus atau balut penutup dengan tuala. Bila telah masak, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup seketika untuk mengeringkan air di permukaan kuih.

6. Setelah betul-betul sejuk, baru dipotong atau di keluarkan dari acuan. Hidangkan bersama kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

(nota mak: kalau ada yang ingin mencubanya dan ingin lebih detail lagi pergilah ke blog Azie.)

Sunday, September 21, 2014

Terima kasih Nora....

GA dari Nora Karim

Jumaat lepas satu bungkusan sampai kat rumah kakak. Tertera di alamat ianya di hantar untuk aku. Memang alamat surat menyurat aku semuanya di alamatkan ke rumah kakak. Sebab aku jarang ada di rumah.

Melihatkan bungkusannya aku dah dapat agak siapa pengirimnya dan apa isinya. Ianya datang dari Nora Karim pemilik blog http://dialoguda.blogspot.com. Tak ingat aku macam mana aku boleh sampai ke blog Nora dan ikut Mini Giveaway #9 di blognya... dan menang. Ini kali kedua aku joint GA. Kali pertama aku joint GA di blog Happy Irfa. Tapi aku tak ambik hadiahnya sebab terlupa nak beri alamat aku pada Irfa...(jangan merajuk ye Irfa.. serius! lupa sebab masa tu bulan puasa... dan jarang on Internet).

Aku baru selak-selak je buku ni. Belum ada kesempatan lagi untuk membacanya. Tak tebal pun bukunya cuma ada 125 muka surat.

(nota mak: Dua tiga hari ni aku kepenatan sikit dan banyak menghabiskan masa dengan tidur dan berehat di kondo adik. Petang Khamis lepas aku buat majlis minum petang dengan adik beradik di rumah. Adalah masak-masak sikit... itu yang buat aku kepenatan. Abang dah balik UK pagi Sabtu semalam.)

Wednesday, September 17, 2014

Setelah 20 tahun....

Abang dan Ojet nampak sebaya... sebab jarak usia 
keduanya cuma setahun.

Tahun demi tahun berganti dan di lalui. Dalam kesibukan aku menguruskan kehidupan sebagai isteri, emak dan pekerja di sebuah syarikat, anak-anak membesar dan semakin meningkat dewasa. Masing-masing sudahpun berusia awal dua puluhan.  Kini sedang menuntut di universiti di tahun akhir dalam jurusan pilihan masing-masing. InsyaAllah! tahun depan keduanya akan grad dan memperoleh ijazah mengikut bidang masing-masing.

Kalau di toleh semula ke belakang, terkenang betapa peritnya aku waktu itu. Ketika abang lahir, arwah mak dan nenek masih hidup. Aku tinggal dengan mak dan bila keluar bekerja maklah yang menjaga si abang. Tidak ada apa yang perlu di risaukan. Hati aku senang meninggalkan anak dalam jagaan mak. Dan si abang ni menjadi buah hati pengarang jantung arwah mak. Di jaga dan di tatang seperti minyak yang penuh.

Tiga bulan habis pantang (menjalani tempoh berpantang 44 hari...) aku di sahkan mengandung lagi. Arwah mak ‘bising’ jugak tapi nak buat macam mana kan... Aku happy je sebab nak dapat anak lagi... Tapi Allah telah aturkan semuanya... ketika abang berusia lima bulan mak meninggal. Dari detik itu bermulalah ‘kekalutan’ dalam kehidupan aku sebagai mak... menjaga dan mengasuh abang bersendirian. Dengan keadaan diri yang sedang mengandungkan anak kedua aku rasa ‘siksa’ sangat. Setiap kali aku tinggalkan abang di rumah pengasuh, hati jadi tak tenang dan risau. Melihat pandangan matanya yang sayu setiap kali aku tinggalkan buat hati aku hiba.

Pernah hubby berpesan, “awak jangan cerewet sangat!”... tapi hati seorang emak kan...

Masa tu aku menangis dalam hati. Rasanya saat paling getir ketika Ojet lahir.  Dia agak ‘nakal’  ketika bayinya. Payah tidur, tak mahu menyusu dan kuat menangis. Ketika tempoh berpantang melahirkannya aku tinggal sendirian di rumah.  Keadaan yang aku lalui ketika itu buat aku tertekan. Abang ketika itu genab usia setahun. Dia seakan-akan mengerti dan memahami aku... Boleh di harap untuk tengok-tengokkan adiknya dan menyuap sendiri makanannya... walaupun tumpah-tumpah jugak tapi aku tak ada pilihan. Dari kecik lagi, abang memang bijak, cepat belajar dan memahami setiap kata dan arahan.

Bila di kenang-kenangkan, keadaan aku waktu itu memang kelam-kabut dan tidak terurus. Sepanjang membesarkan abang dan Ojet terlalu banyak ranjau dan duri yang di lalui. Setiap saat aku sentiasa ingatkan diri... “ini tanggung jawab aku... aku yang memilih jalan ini... aku harus redha... ” Alhamdulillah setelah bertahun-tahun melaluinya kini aku sudah boleh menghela nafas panjang. Ibarat kata, ketika anak-anak masih kecil dan bersekolah... kita seperti sedang mendaki gunung yang tinggi... Dan keadaan aku sekarang seperti sudah sampai ke puncaknya dan sedang mencari-cari tempat untuk duduk melepaskan lelah... Alhamdulillah!

(Nota mak: Masih teringat-ingat kata-kata arwah mak semasa memangku si abang... “Bila besar nanti jadi pembela nasib mak dan jadi ‘beg tangan’ uwan ye...”  Kalaulah arwah mak masih hidup, dia bukan takat dapat ‘beg tangan’ tapi  dia mendapat 'beg tangan berjenama mahal...'

* uwan: bahasa diri arwah mak pada abang.
* beg tangan: arwah mak tak tahu membaca dan menulis. Setiap bulan dia akan ke bank untuk mengambil duit pencen arwah abah. Jadi dia berharap apabila abang besar, abang akan menjadi teman dia ke bank dan bacakan serta terangkan apa-apa yang dia tak faham. Abang pulak bukan setakat boleh membaca dan menulis tapi juga fasih berbahasa Inggeris. Sudah tentu dia juga boleh membaca dan menerangkan perkara-perkara yang di tulis dalam BI pada arwah mak. Sebab itu aku kata 'beg tangan berjenama mahal'... Ojet pulak boleh berbahasa Inggeris dan Mandarin.) Tapi arwah mak tak sempat melihat cucu-cucunya membesar dan menyaksikan kejayaan mereka dalam akademik.

Monday, September 8, 2014

Berenang....

Itu abang. Abang suruh aku buat lima kali pusingan
sampai hujung sana... 

Seronok berenang berlatarkan pemandangan yang 
cantik ni.... Seolah-olah satu terapi pulak.

Dah lama tak berenang. Bertahun-tahun jugalah aku tinggalkan aktiviti ni. Sebab tak ada ‘geng’. Lagipun nak berenang di kolam-kolam awam dan terbuka ni payah sikit. Dulu, kalau tak silap aku dalam tahun 2000 setiap minggu aku dan adik akan ke kolam renang di bangunan MAS Kelana Jaya. Masa tu kami berdua mengajar ground staff MAS berenang.

Kelmarin Ahad dan Isnin semalam abang ajak aku pergi berenang di kondo adik aku. Sebab dah bertahun tak buat, semput juga mula-mula tu. Seluruh sendi-sendi rasa sakit. Tapi hari pertama saja. Masuk hari kedua dah ok.

Seronoknya berenang ni... fikiran tenang dan relax je. Tapi nak teruskan terus aktiviti ni dah tak bestla pulak... sebab geng tu dah nak balik ke UK.

Friday, September 5, 2014

Perubahan abang...

Dua bulan, lima buah buku. Kalau di lihat pada
buku-buku ini mungkin tidak terfikir oleh kita bahawa pemilik
dan pembacanya cuma baru berusia 23 tahun.

Ini antara koleksi majalah yang di baca abang.

Aku happy sekarang... Tapi bila aku cakap begini bukanlah bermakna aku tidak gembira selama ini. Cuma tika ini aku seronok dan tak rasa sunyi sebab abang ada bersama aku di rumah. Setiap hari bila balik kerja ada orang di rumah. Ada kawan untuk di lawan berbual. Tidaklah sunyi je seperti beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiap waktu yang terluang kami berborak-borak. Tentang macam-macam benda. Sejak tinggal di luar negara ni, abang dah lain. Maksud lain tu... cara dia melontarkan idea dan pandangannya tentang beberapa perkara. Lebih bijak berfikir dan matang.

Hobinya suka membaca. Dan setiap waktu yang terluang dan bila sendirian aku tengok dia sentiasa membaca buku-buku. Selama dua bulan di rumah aku lihat sudah lima buah buku yang di bacanya. Aku perasan setiap kali dia keluar bila balik ada saja buku baru yang di belinya. Dan aku akan tanya, “abang beli buku lagi?”

Walaupun jauh di rantau... tapi sentiasa mengikuti perkembangan politik tanahair. Bercerita tentang pandangan serta pendapatnya.

Beritahunya pada aku “mak dalam hidup ni banyakkan berfikir tentang perkara-perkara positif!” Entahlah! ... bila aku sendirian aku fikir balik apa yang dia cakap...

Pada sesetengah orang mungkin ini perkara biasa, maksud aku suka membaca. Tapi pada aku tidak. Aku heran dari mana timbulnya minat membaca yang luar biasa ini dalam diri dia. Aku tak heran kalau usia sepertinya suka membaca buku-buku sains fiksyen atau novel-novel cinta... tapi buku-buku bacaanya bukanlah buku-buku biasa yang sering di baca oleh seorang yang baru berusia 23 tahun.

(nota mak: Aku tak sangka dalam pada minat membaca tu rupanya abang pun minat cerita Hindustan dan pandai nyanyi lagu Dil To Pagal Hei! Diam tak diam dah dua bulan abang di rumah. Dua minggu lagi baliklah abang ke UK semula. Cepatnya masa berlalu seolah-oleh cemburu dengan kegembiraan aku.)