Pengalaman memandu di Indian Ocean Dr ketika percutian musim sejuk di Perth, Australia baru-baru ini memberi satu kenangan yang sukar dilupakan. Perjalanan sejauh 232 km menuju ke Pinnacle Desert, Nambung National Park itu penuh debaran.
Jalannya yang lurus boleh menyebabkan mengantuk, tiupan angin dari Lautan Hindi yang kencang serta bentuk muka bumi dan halangan serta bahaya yang tidak di jangkakan benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal.
Waktu masih pagi ketika penulis melewati Yanchep dan melalui Gnangara – moore River State Forest. Hujan mula turun rintik-rintik. Penulis memperlahankan kenderaan dan sentiasa membaca dan mengikut arahan papan tanda yang di berikan. Kelajuan yang di benarkan ketika itu ialah 70 km/j.
Tanah di kawasan ini berpasir dan kering. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya rendah. Sunyi dan lengang. Cuma kereta yang penulis pandu sahaja berada di jalan tersebut ketika itu. Bersama dalam kereta anak perempuan dan kakak penulis yang berusia 61 tahun.
Ketika melewati Gingin papan tanda yang diletakkan menunjukkan banyak lori-lori besar melalui kawasan ini. Kelihatan ladang ternakan kambing dan lembu serta ladang lobak Sun City Farm yang sangat luas di Woodridge. Hujan kian lebat disertai angin kencang. Jarak pandangan semakin terhad.
Penulis memaut kuat stering kereta dan memperlahankan kelajuan. Jalan licin. Hati kian berdebar-debar. Sepanjang laluan dari Woodridge hingga Gabbadah kawasan di kiri kanannya lapang. Terasa kereta Suzuki Swift yang penulis pandu di tolak angin ke sebelah kanan. Setiap kali berselisih dengan lori treler dari arah hadapan penulis ketakutan. Dalam hati tidak putus berdoa agar berjumpa dengan kawasan berpokok tinggi supaya terlindung sedikit dari tiupan angin.
Tiba di Karakin penulis membelok masuk ke simpang menuju ke Lancelin. Lancelin terkenal di kalangan pelancong dengan aktiviti bermain gelongsor pasir. Tidak dapat dilupakan apabila berada di satu kawasan agak tinggi penulis tiba-tiba membrek kerana merasakan seolah-olah jalan yang dilalui menuju terus masuk ke Lautan Hindi di hadapan.
Dari Lancelin penulis kembali meneruskan perjalanan sejauh 79.8 km lagi untuk sampai ke Nambung Nasional Park. Perjalanan menempuh Nilgen dan Wanagarren Nature Reserve.
Papan-papan tanda yang diletakkan sepanjang laluan ini mengingatkan pemandu tentang tiupan angin berpasir yang boleh menghalang pandangan dan kemungkinan binatang liar seperti kangaroo, emu dan landak melintas secara tiba-tiba. Dan seperti yang di jangkakan, penulis terpaksa menekan brek kecemasan apabila secara tiba-tiba seekor landak melintas.
Satu jam memandu dari Lancelin akhirnya sampailah ke tempat yang di tuju iaitu Pinnacle Desert. Dan penulis sendiri merasai pengalaman memandu di atas trek berpasir sejauh 4 kilometer. Oleh kerana ianya kawasan gurun suhu sekitarnya panas walaupun ketika penulis berada di sini Perth sedang mengalami musim sejuk.
Dalam perjalanan pulang ketika sampai di Yanchep, penulis telah melalui satu sekatan jalanraya. Dan menjalani ujian alkohol. Barangkali inilah antara salah satu faktor Indian Ocean Dr. bahaya di lalui pada waktu malam selain dari tiupan angin yang kuat, berpasir, hujan serta jalan yang licin dan binatang liar yang secara tiba-tiba melintas.
.........................................
Untuk menulis artikel Selera pula aku sempat bertemu dan menemuramah pemilik cafe tersebut. Muda lagi orangnya dan peramah sungguh. Berbual dengannya seakan telah mengenalinya bertahun-tahun. Usai menemubualnya dia menawarkan diri untuk menghantar aku dan Ojet pulang ke
apartment yang kami sewa. Terima kasih banyak-banyak dik Fazly atas kerjasama yang di berikan.
Dan untuk artikel Selera ini aku atur temujanji masa dengan
owner cafe untuk menemubualnya.
Tajuk: Insan's cafe pilihan VVIP
Menikmati masakan citarasa Malaysia ketika berada di luar negara kini bukan lagi mustahil. Ketika berkunjung dan berjalan-jalan di Murray St, Perth City, Australia baru-baru ini mata penulis terpandang ke arah satu café. Tertulis di muka pintu Insan’s Café penulis lantas melangkah masuk ke dalam.
Berkesempatan bertemu dan berbual dengan pemiliknya. Seorang anak muda berusia 38 tahun kelahiran Selangor. Di besarkan di Kedah dan memiliki Diploma Engineering dan Advance Diploma dalam bidang Hospitality.
Mohd. Fadly Mohd Nor memulakan perniagaannya sekitar tahun 2013. Melihatkan kejayaanya membuka sebuah café berkonsepkan citarasa Malaysia di bumi asing penulis cuba menyelami isi hati dan cabaran yang di tempuhinya.
Ujar Fadly, pada awalnya dia agak tertekan. Manakan tidak, di sebelah siang dia menguruskan perniagaan dan pada sebelah malamnya pula menjadi buruh kasar.
Dengan di bantu oleh tujuh orang pekerja kini setelah hampir lima tahun Insan’s Café beroperasi Fadly sudah boleh menarik nafas lega. Dibuka seawal jam sebelas pagi dan di tutup pada pukul 9 malam. Kedudukan cafenya yang berhampiran pejabat dan premis perniagaan lain seringkali menjadi tumpuan apabila tiba waktu makan tengah hari.
Selain dari menyediakan hidangan nasi campur, pelanggan juga boleh memesan nasi goreng, mee goreng, satay, roti canai, teh tarik dan lain-lain. Pelanggan juga boleh menikmati makanan ala barat seperti steak, burger dan kentang goreng. Diskaun sebanyak 15 peratus di berikan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di Australia, pekerja kedutaan dan krew penerbangan seperti Air Asia, Malindo Air, Garuda, Royal Brunei dan MAS.
Ketika misi pencarian MH370 di Lautan Hindi beberapa tahun lalu Insan’s Café telah dipilih dan ditugaskan bagi menyediakan makanan untuk anggota tentera Malaysia yang menyertai misi pencarian tersebut. Malah Insan’s café juga menjadi pilihan Sultan Johor ketika berada di Perth termasuk orang-orang kenamaan Malaysia lain juga artis-artis dari tanahair.
Apabila di tanya apakah makanan kesukaan penduduk tempatan apabila berkunjung ke cafenya, Mohd Fadly memberitahu kari kambing. Bagi memenuhi keperluan itu Fadly menyediakan lima belas ekor kambing untuk dua minggu dan bekalan daging kambing di perolehi dari Katanning sebuah perkampungan Melayu Muslim yang terletak di selatan Perth.
Kepada yang berhasrat berkunjung ke Perth bolehlah singgah di Insan’s Café. Anda pasti tidak akan kecewa kerana keenakan makanan yang di sediakan memang memenuhi selera.
Pemilik Insan's cafe Mohd. Fazly Mohd. Nor.
(nota sweetie: Maaf kepada pemenang 'contest' belum sempat lagi mengeposkan hadiahnya.)