Hubby pernah membebel dan melarang aku memandu jauh-jauh bersendirian di lebuh raya. Tapi aku yakinkan dia supaya jangan risau. Tahulah aku jaga diri.
Selama ini aku hanya membaca berita tentang kejadian kereta di rosakkan atau di pancitkan oleh pembawa trak tunda apabila berhenti di RnR. Paku-paku sengaja di taburkan di jalan raya oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk meraih keuntungan.
Sejujurnya, aku sekadar membaca sekali lalu saja dan tak pernah ambik ‘pot’ pun... sehinggalah kejadian itu betul-betul berlaku pada diri aku minggu lepas.
Aku dalam perjalanan ke Arau menghantar Ojet. Kali ini aku ditemani oleh kakak. Begitulah selalunya, kalau bukan kakak, adik atau hubby yang temankan. Kebetulan sekarang cuti sekolah... aku jugak turut membawa anak saudara, Aidiel dan Aleesya sama.
Kami agak lambat keluar rumah. Memang dah rancang dan congak-congak... aku bercadang nak berhenti sembahyang zuhur di RTC Gopeng sebab suraunya ada aircond.
Sampai di RTC Gopeng, orang agak ramai. Walaupun tempat letak kereta masih banyak tapi petak parking yang berhampiran dengan food court atau pun surau semua sudah penuh. Terpaksalah aku meletakkan kereta jauh sedikit.
Lama jugak masa yang aku ambil berhenti dan berehat di situ. Yelah, masa aku solat... Ojet tolong perhati dan mengawasi Aidiel dan Aleesya. Kakak aku pulak masuk ke Mydin sekejap membeli selipar kerana kasut yang dipakainya rosak dan tercabut tapaknya.
Selesai aku solat, Ojet dan kakak aku pulak solat. Giliran aku pulak mengawasi Aidiel dan Aleesya. Selesai semuanya solat... kami ke kereta dan bergerak keluar meninggalkan kawasan rehat Gopeng. Kerana dah biasa apabila keluar dan kembali semula ke kereta aku akan terus saja masuk dan duduk di bahagian pemandu. Tak pernahlah aku pusing keliling kereta memeriksa tayar atau bahagian-bahagian lain... walaupun pernah diingatkan oleh hubby.
Aku tidak merasakan apa-apa kelainan pada kereta dalam perjalanan selepas keluar dari kawasan RTC Gopeng. Semuanya rasa macam biasa. Ketika mendaki dan menurun di terowong Menora semuanya ok.
Aku memandu dengan kelajuan 100 km/jam. Sesekali memotong jugak sehingga melewati RnR Sungai Perak dan menghampiri RnR Taiping Utara... aku terdengar bunyi seakan-akan tayar pancit. Ketika itu aku berada dalam jarak lebih kurang 2 kilometer lagi untuk sampai di hentian Taiping Utara.
Sebaik saja aku memasuki RnR Taiping dan berhenti... dalam waktu yang sama juga sebuah trak tunda yang di pandu seorang lelaki dan kelindannya bangsa India berhenti sangat rapat di sebelah aku. Bila aku keluar dan memeriksa tayar hadapan sebelah kiri sudah leper, rosak dan panas. Yelah, bayangkan sudah berapa kilometer jauhnya aku memandu dengan keadaan tayar begitu.
Melihat trak tunda yang berhenti di sebelah aku tetiba terfikir bagaimana mereka seolah-olah tahu yang kereta aku sedang menghadapi masalah. Mujurlah aku tak panik dengan situasi yang berlaku dan langsung tidak menoleh atau meminta bantuan mereka. Aku talipon pihak insuran dan beritahu masalah yang sedang aku hadapi. Dalam waktu yang sama juga aku beritahu tentang kewujudan trak tunda yang dipandu oleh lelaki India dan berhenti di sebelah aku.
Operator lelaki yang menyambut panggilan talipon menyuruh aku masuk ke dalam kereta. Hidupkan enjin dan kunci kereta. Apa-apa pun jangan buka pintu atau cermin tingkap sehingga orang dari workshop yang di hubungi oleh pihak insuran sampai.
Aku kira setiap sepuluh minit pihak insuran menghubungi dan menanyakan keadaan aku. Adakah pihak workshop sudah sampai dan tayar kereta aku sudah di tukar. Sehinggalah semuanya selesai dan ketika keluar dari RnR Taiping itulah sebuah lori yang di pandu laju mendekati seolah-olah menghimpit aku dari belakang. Dalam hati Tuhan saja yang tahu. Sedaya upaya aku cuba lari dan menjarakkan diri dari lori tersebut. Pihak insuran dan workshop tetap menghubungi dan bertanyakan keadaan aku sehingga aku beritahu semuanya ok dan sudah pun melepasi tol Juru, Penang. Dan selamat sampai di Arau.
Kebetulan jiran homestay yang aku sewa anggota polis bahagian jenayah di Kuala Kangsar. Dia pun menghantar anak lelakinya balik ke kolej jugak. Kami berbual dan aku beritahu tentang kejadian yang menimpa aku. Dan dia berandaian, kereta aku telah di pancitkan ketika aku berhenti di RTC Gopeng.
Berkemungkinan ketika aku masuk ke kawasan rehat itu, trak tunda tersebut sudah ada di situ dan memerhatikan kenderaan yang keluar dan masuk. Apabila mereka ternampak aku satu kereta semua perempuan mereka 'attack' kereta aku. Kemudian pemandu trak tunda tersebut mengekori kereta aku sehingga sampai di RnR Taiping.
Bila aku periksa kembali tayar kereta yang pancit... tidak ada paku yang terlekat tetapi ada kesan tusukan dengan benda tajam.
Syukurlah tidak ada apa-apa kejadian buruk yang berlaku. Kata kawan-kawan sepejabat hari ini, niat dan tujuan perjalanan itu baik. Menghantar anak balik ke kolej dan membawa anak-anak saudara untuk berjalan-jalan sempena cuti sekolah. Aku pulak baru lepas solat dan doa lepas solatku agar di selamatkan sepanjang perjalanan pergi dan balik.
(nota mak: Kawan-kawan sepejabat juga berandaian, pemandu trak tunda dan pemandu lori yang menghimpit kereta aku memang mempunyai link sesama mereka.)