Tuesday, December 30, 2014

Cerita Syada...

Perasaan terus jadi tak keruan sebaik mendapat tahu salah seorang anak saudara aku, Syada terperangkap oleh suasana banjir Kelantan. Tidak ada kata-kata yang terucap dari bibir saat mendapat tahu tentang itu.

Memikirkan tentang dirinya seorang remaja yang baru berusia 19 tahun... perempuan... jauh dan bersendirian menghadapi kesukaran yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Bagimanalah keadaan Syada agaknya... itulah yang terbayang dalam kotak fikirkan aku saat itu.

Namun syukurlah, Syada sudahpun selamat sampai ke pangkuan kami semalam.

Apapun banjir yang berlaku di Pantai Timur ketika ini, khususnya Kelantan sedikit sebanyak meninggalkan kesan dan kenangan juga pada seluruh keluarga aku. Terutamanya pada Syada pelajar tahun pertama di UMK, kampus Jeli Kelantan.

Walaupun kampus UMK, Jeli Kelantan tidak terlibat dengan banjir tetapi hubungan dengan tempat lain telah terputus dan bekalan makanan telah kehabisan. Bagaimana Syada menceritakan saat-saat cemas dan pengalaman menghadapi situasi yang menakutkan itu.

Menurut Syada tiga hari dia dan rakan-rakannya tinggal di kolej dan kehabisan makanan. Yang ada cuma sekeping biskut yang di kongsi dengan beberapa orang rakan untuk mengalas perut. Elektrik pulak terputus dan talipon kehabisan bateri. Mereka duduk bergelap dan berkumpul dalam satu bilik.

Selama tiga hari itulah kami semua di Kuala Lumpur tidak mendapat sebarang khabar dari Syada. Bayangkanlah bagaimana perasaan kami semua di KL. Sehinggalah pada petang Ahad lepas, Syada membuat panggilan dan memberitahu dia dan rakan-rakannya telah selamat sampai di Kuala Terengganu dan sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke KL.

Dari cerita Syada, (aku pun tak pernah lagi ke Jeli, lebih-lebih lagi kampus UMK) kerana kelaparan dia dan rakan-rakannya nekad keluar dari kolej dan meminta bantuan dari penduduk kampung. Adalah sorang penduduk kampung yang sanggup membantu dan menawarkan lorinya untuk membawa mereka ke tempat yang ingin mereka tuju.

Tetapi ketika dipertengahan jalan, pemandu lori tiba-tiba mengubah fikiran dan memberhentikan lorinya... dan meminta RM50 ringgit setiap sorang jika mahu di hantarkan ke tempat yang selamat.

Kata Syada... kerana tiada pilihan lain dia dan rakan-rakannya terpaksalah membayar harga tersebut dan minta di hantarkan ke tempat yang boleh mereka mendapatkan bantuan. Dari tempat tersebut Syada dan rakan-rakannya menaiki trak tentera dan di hantar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Bayangkan jauhnya dari Jeli ke Kuala Terengganu.

Cerita Syada lagi... ketika tiba di Kuala Terengganu semua mesin ATM tidak berfungsi. Aku pun belum sempat bertanya padanya dari mana dia dan rakan-rakannya mendapat duit untuk membeli tiket kapal terbang... dan sebelum dapat pulang ke Kuala Lumpur Syada dan rakan-rakannya terpaksa bermalam semalam di Kuala Terengganu kerana penerbangan dengan Air Asia ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Tak tahu macam mana untuk menggambarkan perasaan kami saat menunggu kepulangan Syada di rumah kerana di waktu yang sama kita semua mendapat berita tentang kehilangan pesawat QZ8501 juga di sebabkan cuaca yang kurang baik di perairan Laut Jawa. Ini juga membuat kami semua risau memikirkan tentang keselamatannya.

Apapun kini kami semua sudah merasa lega... Syada dah selamat sampai di Kuala Lumpur pukul 1 pagi semalam. Kurang sihat dan demam. Mungkin trauma dengan suasana yang di laluinya. Dari kecil dia dibesarkan dan di sekolahkan dalam suasana selesa di KL. Tidak pernah menghadapi suasana banjir dan mencemaskan ini. Pengalaman yang di laluinya ini sedikit sebanyak memberi pengajaran padanya untuk mendepani hari-hari mendatang bila kami semua sudah tiada lagi nanti.

(nota mak: Syada ni panggil aku mak jugak. Masa bayinya dulu, mak dia (adik aku yang no. 4) pernah tinggalkan Syada dengan aku. Teringat lagi dia menangis kepanasan dan aku kipas dengan tudung periuk kerana bekalan elektrik terputus pada hari itu. Tetiba tudung periuk tu ‘terkena’ kepalanya. Apa lagi melalak bagai nak rak satu rumah!

Ketika Lembah Klang menghadapi putus bekalan air pada tahun 1998, aku ingat lagi dia menangis nak makan nasi. Teringat lagi rintihannya, "dah berapa hari 'nye' tak makan nasi". (Syada membahasakan dirinya "nye" bila bercakap dengan kami). Waktu itu umur dia 3 tahun. Apa yang aku buat, aku bawak seperiuk kecil beras ke Sungai Kemensah Hulu Klang dan cuci beras tu di sungai kemudian bila sampai di rumah aku bilas semula dengan air mineral. Hari itu dapatlah dia makan nasi yang cuma berlaukkan telur dadar.)

Thursday, December 25, 2014

Misteri chiffon berbau plastik...

Chiffon coklat yang membongkar misteri chiffon 
pandan berbau dan rasa plastik.

Akhirnya misteri terbongkar juga. Kerana tak puas hati dengan apa yang terjadi pada chiffon pandan aku tempoh hari, semalam sempena cuti krismas, aku buat sebiji lagi chiffon.

Sebab aku syak jus pandan tu yang bawa masalah kali ini aku buat chiffon coklat. Tapi dalam hati was-was juga. Ketika memecahkan telur untuk mengasingkan putih dan kuningnya... aku hidu-hidu juga bau telur tu. Tapi ok saja dan tak ada apa-apa bau yang kurang menyenangkan pun.

Lepas adunan kuning telur dan gula kembang aku masukkan tepung dan bancuhan coklat. Ketika menyukat minyak untuk di masukkan ke dalam adunan entah macam mana aku tetiba tercium bau minyak tu macam bau plastik... Macam bau chiffon pandan tu.  Tak jadi aku guna minyak tu dan tukar minyak lain.

Inilah minyak yang buat kek chiffon pandan aku jadi rasa 
dan bau plastik. Sebab aku letakkan botolnya tu atas peti ais.

Minyak tu aku beli dah lama juga. Tapi masih belum expired lagi. Mungkin bau dan rasanya bertukar sebab aku letakkan botolnya atas peti ais. Peti ais kan panas, mungkin itulah yang menyebabkan rasa dan bau plastik bekas minyak tu timbul.

Ketika sedang dalam oven, satu rumah semerbak bau kek. Sedap dan lemak-lemak manis baunya.  Chiffon ni aku suka sebab ia lembut dan pada perasan aku rasanya macam kuih bahulu.

Bila di kenang-kenangkan balik, sayangnya sekotak tepung superfine dan sebotol jus pandan tu aku buangkan ke dalam tong sampah.

Monday, December 22, 2014

Tolonglah siasat...

Akhirnya jadi makanan tong sampah.

Jumaat lepas aku buat Chiffon Pandan. Cantik naiknya... gebu dan warna hijaunya pun menarik. Tapi baunya tak seperti selalu... Perasan aku macam bau plastik.

Selalunya kalau buat masa tengah mengadun lagi dah terbau wangi pandannya. Apa lagi ketika dalam oven. Semerbak satu rumah bau lemak-lemak telur dan pandan.

Sebaik keluarkan dari oven, macam biasa aku telangkupkan dulu kek tu dan biarkan sejuk. Lepas tu baru keluarkan dari acuan dan potong. Eeeee! rasanya pun tak sesedap selalu. Puas aku fikirkan... Entah mana silapnya.. Apa yang tak kena dengan kek tu. Resepinya sama saja dengan yang selalu aku buat.

Aku fikir mungkin berpunca dari tepung. Aku check balik bahan-bahan yang aku guna. Kot-kot dah ada yang expired. Ok je semuanya masih lagi dalam tempoh penggunaan.

Aku try buat lagi sebiji. Aku tak guna tepung yang sedia ada sebaliknya beli tepung dan cream tartar yang baru. Pun sama, bau dan rasanya sama dengan kek yang mula-mula aku buat. Kerana geram aku humbankan semua kek tu ke dalam tong sampah. Hari tu buat dua biji kek semata-mata untuk di buang. Sampai sekarang aku masih lagi tertanya-tanya sendiri... apa yang tak kena.

(nota mak: Aku guna telur jenama A1 king saiz, air daun pandan yang aku blend sendiri. Tapi masa aku petik daun pandan, baunya pun tak wangi. Mungkinkah puncanya dari daun pandan tu atau telur tu telur palsu. Ai! detektif Conan... tolonglah siasat.)

Wednesday, December 10, 2014

Abang seronok sebab kembar tu....

Dah lama tak pegang, peluk dan belai-belai baby. Pada aku satu nikmat dan sesuatu yang sukar di ucapkan dengan kata-kata. Geram, sayang bercampur baur. Kulit mereka lembut dan halus sangat.

Sebulan yang lepas adik ipar aku lahirkan bayi perempuan kembar. Dan sekarang dia sedang berpantang di rumah kakak aku. Setiap hari balik kerja aku akan singgah di rumah kakak dan main-main dengan si kembar tu. Mula-mula lahir dan tengok mereka agak susah juga nak bezakan yang mana kakak dan yang mana adik. Tapi bila ditengok betul-betul ada juga bezanya. Dan aku sudah boleh kenal yang mana satu kakak dan yang mana satu adik sekarang.

Anak-anak aku terutamanya abang teruja sangat sebaik mendengar tentang kelahiran adik saudara kembarnya ni. Bila aku hantarkan gambar sikembar tu pada dia:


Abang: Ambik dua ni himpit-himpit letak dalam bakul. 

Aku: Cam anak kucingla...

Abang: Apa namanya?

Aku: Alya dan Alyah. Mak yang letak nama.

Semalam masa bercakap dengan abang di talipon, dia cakap dia geram tengok wajah adik-adik saudaranya tu. Tak sabar nak balik dan jumpa keduanya.

Aku: Tapi bila abang balik nanti, kedua-duanya dah besar. Dah umur setahun
waktu tu.

Abang: Tak pa, abang seronok sebab kembar tu.


Kesian dengan adik ipar aku tu bila kedua-duanya jaga serentak dan nak menyusu. 
Semalam aku belikan breastpump ni dengan kawan satu pejabat. Kawan tu ada dua breastpump dan dia jualkan satu pada aku bila aku cerita masalah adik ipar aku tu. Dia jual separuh harga, oraitlah kan!

Monday, December 1, 2014

Perkongsian berguna...


Aku cuma tolong sebarkan saja. Artikel ini aku dapat dari FB sorang kawan.Tentang lapan surah yang elok diamalkan dan dibaca untuk memusnahkan sel-sel kanser. Jika pesakit dapat membacanya lagi baik. Jika tidak boleh minta suami, ayah, ibu atau orang lain membacakan untuknya.

Selok-eloknya sebelum memulakan bacaan surah Istighfar, salawat dan membaca surah Al-Fatihah.
1. Surah Al Maidah (Ayat 82-91).
2. Surah Al Araf (Ayat 70-81).
3. Surah Ar Ra'd (Ayat 16-28).
4. Surah Al Anbiyaa' (Ayat 38-50).
5. Surah Asy Syu'ara (Ayat 185-227).
6. Surah Az Zummar (Ayat 42-52).
7. Surah Ghafir (Ayat 67-77).
8. Surah Az Zukhruf (Ayat 52-70).