(Baulu yang aku buat tadi.)
Ahad,1.45 petang: Hari ini Ojet ada high tea di Hotel Putra, Jalan Tun Razak. Kenalah aku pergi menghantarnya. Begitulah selalunya. Aku jarang membiarkan anak-anak keluar sendirian atau kemana-mana menggunakan pengangkutan awam. Semacam ada satu ketakutan di situ.
Aku perhatikan saja Ojet bersiap dan membelek dirinya di hadapan cermin. Sudah jadi anak dara. Suka atau tidak aku kena beri dia ruang untuk bersosial. Apa salahnya sekali sekali bertemu rakan-rakan diluar waktu sekolah. Lagipun jamuan yang akan dihadirinya hari ini anjuran koperasi sekolah.
Teringat aku masa sekolah dulu. Usahkan hotel, makan-makan direstoran pun tak pernah. Masa tu KFC ataupun coffee house. Mak tak kasi punya. Inikan pula hotel, menyebutnya pun ‘takut’. Tabu, hotel di bayangkan tempat orang jahat-jahat.
Kalau jamuan akhir tahun dengan rakan-rakan cuma di adakan di dalam kelas. Makanan yang ada cuma gula-gula, cokelat, kacang, buah-buahan dan bihun goreng. Jauh benar dengan keadaan sekarang. Anak-anak sudah pandai memilih tempat untuk bertemu dengan rakan-rakan seusia.
Aku ‘drop’kan Ojet di lobby Hotel Putra dengan janji aku datang ambil dia usai majlis pukul lima petang nanti. Lepas ni aku ada urusan lain di rumah, meneruskan projek yang tergendala minggu lepas. Cadangannya nak buat baulu. Dah janji dengan blogger ummi iman.
Kali ni aku buat baulu cara orang dulu-dulu. Iaitu sukatan guna mangkuk bukan timbangan. Cuma cara mengadun dan membakarnya saja guna cara moden. Dan acuan yang aku guna ni pun acuan lama. Seingat aku, sejak kecil-kecil lagi acuan inilah yang mak aku guna tiap kali dia membuat baulu. Kalau dikenang-kenangkan balik rasanya terlalu banyak kenangan yang tersimpan di sebaliknya yang tak mampu aku ungkapkan di sini.